Friday, 7 September 2012

Bersatu Selamanya - 57


------------BAB 57------------
“Shahrul...?” Fazira agak terkejut kerana terserempak dengan Shahrul di hadapan pintu syarikat papanya. Belum sempat dia membuka mulut untuk kali kedua, Shahrul terlebih dahulu melangkah pergi. Terkesima Fazira dengan kelakuan lelaki itu. Hatinya berbelah bahagi namun yang pasti dia perlu meminta maaf atas sikap kasarnya tempoh hari.
“Shahrul.., tunggu!” Panggil Fazira sambil mengejar langkah Shahrul yang sudah menghampiri keretanya. Shahrul langsung tidak mengendahkan panggilan Fazira. Sebaik saja pintu kereta dibuka, Fazira menolak kuat hingga kembali tertutup. Shahrul nampak terkejut dengan tindakan Fazira.
“Puan..., rasanya saya tak ada urusan dengan Puan. Jadi.., tolong jangan ganggu saya lagi.” Shahrul bersuara tegas dengan pandangan yang dingin. Fazira terkesima lagi. Dia memberanikan diri untuk bertentang mata dengan lelaki itu.
“Saya nak cakap sesuatu dengan awak.” Fazira bersuara tenang. Shahrul diam.
“Apa dia..?” Balas Shahrul juga tenang. Fazira tertunduk dan diam seketika. Shahrul mendengus sambil menyilang lengannya kerana bosan menunggu lama.
“Saya minta maaf..!” Fazira bersuara pantas selepas melihat reaksi lelaki itu. Shahrul agak terkejut.
“Saya nak minta maaf atas sikap kurang sopan saya tempoh hari. Saya sedar yang saya sudah berkasar dengan awak tapi... saya nak awak tahu yang saya tak berniat nak meninggi suara dengan awak. Angin saya tak berapa baik hari tu dan secara tak sengaja juga saya... lepaskan semuanya pada awak. Saya tak berniat begitu.., percayalah. Saya minta maaf sekali lagi.” Tambah Fazira panjang lebar dan penuh penyesalan. Shahrul yang masih setia mendengar hanya mendiamkan diri. Masing-masing membisu.
Fazira memberanikan diri untuk melihat reaksi Shahrul namun hatinya hampa melihat Shahrul seperti tidak mengendahkan bicara ikhlasnya. Dia tertunduk malu dan sedih seraya mengeluh kecil.
“Saya tak kisah kalau awak tak boleh maafkan saya. Tapi.., sekurang-kurangnya saya sudah meminta maaf. Saya minta diri dulu.” Pinta Fazira sopan dengan hati yang agak sebal.
“Saya maafkan awak asalkan awak belanja saya lunch.” Kata-kata Shahrul serta-merta mematikan langkah Fazira. Shahrul mula tersenyum menang. Tidak sangka, sikap dingin dan merajuknya berjaya menarik perhatian wanita itu.
Fazira menoleh pantas. Dia tersenyum lega melihat Shahrul yang sudah tersenyum manis memandangnya. Langsung dia terlupa dengan perangai beluncas lelaki itu.

Fazri berjalan keluar dari perut lif menuju ke pintu keluar. Perut yang kosong perlu diisi memandangkan hari sudah pun tengahari. Memandangkan hari ini bukan giliran bersama Fazira, terpaksalah dia makan seorang diri. Kalau nak balik ke kondo Erin agak jauh dari pejabatnya. Lagipun, seleranya hilang sebaik saja menatap wajah perempuan itu. Dia mengeluh berat. Sampai di sebuah restoran berhampiran syarikat, langkahnya mati serta-merta tatkala matanya menangkap sepasang pengunjung yang sedang asyik berbual.
Bukan pasangan biasa tapi isterinya sedang duduk bersembang mesra dengan seorang lelaki segak. Yang menambahkan rasa panas ialah isterinya nampak gembira dan sentiasa tersenyum dan tertawa setiap kali lelaki itu membuka mulut. Ini tak boleh jadi. Disebabkan api cemburu yang membuak-buak, dia segera mengorak langkah mendekati meja mereka. Sebaik saja menatap wajah jantan yang berjaya mengukir senyuman manis di bibir isterinya, langkahnya mati sekali lagi. Niat untuk mengganggu perbualan mereka hilang seketika. Barulah dia kenal siapa gerangan lelaki itu.
Shahrul, pembantu peribadi kepada Datuk Hamdan. Mereka baru saja selesai bermesyuarat bersama-sama papanya. Bila diajak untuk makan tengahari bersama, lelaki itu menolak dan katanya ada temu janji dengan seseorang. Memang tidak sangka, lelaki keparat itu ada temu janji dengan isterinya. Hati lelaki Fazri sudah panas lagi mendidih. Gigi diketap rapat, penumbuk pula digenggam seeratnya. Rasa amarah selepas bergaduh dengan Erin pagi tadi masih bersisa. Sekali lagi, langkahnya dihayun laju. Namun, langkahnya terhenti selepas menangkap beberapa butir bicara yang dibualkan oleh mereka berdua.
“Jadi..., khabar angin tu betullah..?” Shahrul bersuara. Fazira memandang Shahrul terkejut kemudian tertunduk. Nasi yang dikunyah, ditelan kasar malah terasa seperti menelan ketulan batu.
“Saya tak suka cakap pasal perkara tu.” Jawab Fazira tenang walhal hatinya sudah mula bergelora. Shahrul diam namun matanya langsung tidak dialih dari memerhati reaksi Fazira.
“Saya minta maaf kalau-kalau saya sakiti hati awak cuma... kalau awak rasa ingin luahkan rasa marah yang masih bersisa tu, saya tak kisah. Sebab..., saya sanggup.” Kali ini, pandangan mereka bersatu namun tidak lama.
“Itu masalah peribadi saya dengan suami saya. Hal rumah tangga kami. Tak elok dibincangkan dengan orang lain walaupun dengan ibu bapa sendiri.” Fazira menegas lagi.
“Bukan niat saya untuk memaksa tapi... manalah tahu, saya mungkin ada nasihat yang boleh membantu.” Tambah Shahrul tidak mahu mengalah. Fazira mula ketawa halus.
“Awak nak beri nasihat pada pasangan yang berkahwin sedangkan awak sendiri tak pernah berkahwin.” Balas Fazira dengan tawa yang masih bersisa. Shahrul tersenyum tampan.
“Sebab saya tahu, bagi awak... berkahwin umpama satu permulaan bagi awak dan suami awak bercinta, betul kan? Jadi, bagi saya pengalaman bercinta dan berkahwin sama saja.” Terang Shahrul ringkas. Fazira diam. Bukan mengalah cuma malas untuk meneruskan perbualannya dengan Shahrul kerana sudah jelas dia akan terus diasak dengan soalan yang sama. Dia tertunduk dan mengeluh kecil.
“Fazira.., saya bukan mendesak cuma saya nak awak tahu yang...”
“Assalamua’laikum..”
“Waa’laikum salam..” Jawab Fazira lancar seraya menoleh ke arah empunya pemberi salam. Serentak, dia bangun menegak. “Abang...!”

Tangan Fazira ditarik membuatkan badannya turut terheret keluar dari restoran tersebut oleh Fazri. Shahrul ditinggalkan begitu saja.
Panas hatinya mendengar pujuk rayu si jantan keparat itu, panas lagi telinganya tatkala mendengar suara lembut si Shahrul yang tidak putus-putus cuba menarik minat isterinya untuk menceritakan hal sebenar. Marah pada isterinya juga satu hal, ingin saja disembur tetapi hati lelakinya berjaya disejukkan oleh belaian lembut Fazira sebentar tadi.
“Abang, sakitlah tangan Zira.” Rintih Fazira yang masih diheret Fazri. Fazri pula baru saja tersedar segera mematikan langkah. Serta-merta, Fazira berlanggar dengan dada bidang itu manakala dahi licinnya sudah terlanggar dagu Fazri. Pantas saja, Fazri memeluk erat tubuh langsing itu.
“Kenapa sayang makan dengan dia..?” Tanya Fazri lembut walaupun hatinya masih panas. Fazira tidak menjawab kerana sibuk melepaskan diri dari pelukan Fazri. Rasa rimas kerana mereka berpelukan berhampiran pintu dan bertambah rimas dan lemas dengan mata-mata yang menjeling.
“Abang tengah marah sekarang ni.., baik sayang cakap sebelum Abang cium sayang kat sini.” Bisik Fazri dengan suara yang agak keras dan kasar. Fazira sudah terkedu. Dia terbatu seketika. Kaget. Fazri tidak pernah mengasarkan nada suaranya sepanjang mereka bersama.
“Zira... belanja dia makan sebab nak minta maaf. Masa Zira bad mood hari tu, Zira tak sengaja tinggikan suara padanya depan orang ramai. Tu saja. Lepaslah.” Jelas Fazira lembut sambil meronta. Pelukan Fazri masih begitu.
“Sayang ada temu janji dengan dia ke?”
“Taklah.”
“Habis tu.., sayang buat apa kat sini?”
“Papa call, suruh Zira datang temankan dia lunch. Tapi dia batalkan pula, katanya dia terpaksa temankan kawannya makan. Zira dah jelaskan semuanya, sekarang lepaslah..!” Terpaksalah Fazri melepaskan pelukannya selepas terkena ketam batu berbisa isterinya. Fazira pula sibuk menggosok dahinya yang sudah merah.
“Lain kali tak payah belanja. Kalau terpaksa juga, ajak Abang sekali.” Tegas Fazri serius kemudian mencium dahi merah itu. Kening Fazira terjungkit sebelah.
“Jangan cakap yang Abang cemburu.” Kata Fazira dengan tawa kecil. Fazri geram, dia bergerak pantas mendekati isterinya membuatkan Fazira berundur pantas kerana terkejut hingga dia dihenyak rapat pada dinding restoran tadi. Tangan Fazri sudah melekat pada dinding dan wajahnya sengaja dirapatkan dengan wajah Fazira.
“Suami mana yang tak cemburu kalau nampak isterinya bermesraan dengan lelaki lain.” Kata Fazri dengan renungan yang agak tajam. Terkebil-kebil mata Fazira di saat cuba membalas renungan Fazri. Anak mata Fazri bergerak-gerak, meratah lumat wajah isterinya. Ingin saja diratah bibir mungil Fazira.
“Sekarang Abang tahu apa yang Zira rasa.” Fazira bersuara lembut disertakan dengan pandangan yang sayu. Di saat itu, Fazri hanya mampu mengeluh kecil. Sedar hati wanita isterinya sedikit sebanyak terguris. Dia segera menarik tangan Fazira dan berjalan menuju ke bangunan syarikat.
“Nak ke mana ni..?” Tanya Fazira kalut.
“Temankan Abang makan.”
“Dekat mana?” Mereka sudah melangkah masuk ke dalam lif.
“Dalam pejabat Abang.”
Fazri mengenyit mata sambil tersenyum penuh makna. Fazira sudah menelan liur. Dia kenal benar dengan senyuman itu. Kali pertama dia makan di pejabat Fazri, mereka nyaris-nyaris membuat setiausaha Fazri menjerit kerana terkejut malu. Mana tidaknya, si Kristina membuka pintu di saat mereka sedang sibuk berasmara di atas sofa. Entah kenapa, bulu tengkuk Fazira tiba-tiba meremang.

Fazri duduk bersantai di laman rumah sambil membelek surat khabar. Fikri pula begitu asyik bermain dengan permainannya di atas rumput. Fazira muncul sambil menatang dulang berisi teh dan pisang goreng. Fazri memandang wajah ceria isterinya sambil tersenyum.
Selepas beberapa bulan berlalu, Fazri dapat melihat sedikit perubahan pada isterinya. Fazira seolah-olah sudah melupakan kehadiran Erin dan juga kisah hitam yang hampir meragut kebahagiaan rumah tangganya. Fazira nampak makin ceria dengan kehadiran Fikri sebagai pelengkap keluarga mereka. Fazri sememangnya bersyukur dengan perubahan itu namun dia masih menanggung satu lagi masalah iaitu kandungan Erin.
Fikri berhenti bermain sebaik saja melihat kelibat mamanya. Fazira mengambil tempat di sebelah Fazri manakala Fikri pula diangkat ke atas riba Fazri.
“Hari ni papa cuti, Fikri nak pergi jalan-jalan tak?” Tanya Fazri mesra.
“Nak... nak. Fikri nak pergi tengok ikan dalam balang kaca yang besar tu. Macam dalam tv.” Terang Fikri penuh teruja. Fazri dan Fazira sudah ketawa.
“Kalau macam tu, lepas makan tengahari dan solat Zohor kita pergi ke sana.”
“Betul ke, papa?!” Fikri menjerit teruja.
“Betullah. Kenapa pula papa nak tipu?” Jelas Fazri lagi. Serentak, Fikri bersorak girang. Tanpa membuang masa, dia melompat turun dari ribaan Fazri lalu berlari masuk ke dalam rumah. Pelik Fazri dengan perangai anaknya.
“Dia nak mandi. Lepas tu bersiap. Kan Abang kata nak bawa dia jalan-jalan.” Jelas Fazira selepas melihat kerutan di dahi Fazri.
“Tapi, sekarang baru pukul 10 pagi.”
“Fikri memang macam tu. Terlebih excited.” Tambah Fazira membuatkan Fazri ketawa kecil. Melihat hanya mereka berdua di laman, Fazri mula mengesot rapat dengan isterinya. Tangannya sudah melilit pinggang ramping Fazira.
“Abang..., Fikri nampak nanti.” Larang Fazira bila bibir Fazri mula melata di pipinya tapi langsung tidak diendahkan Fazri. Badan Fazira pula dipaksa mengadapnya.
“Dia kan ada di dalam. Cuma kita berdua saja di sini.” Tambah Fazri lagi dengan suara manjanya. Belum sempat dia menjamah bibir mungil isterinya, deringan telefon bimbit mematikan niatnya. Dia mendengus marah dalam diam. Telefon diambil dan skrin dilihat. Serentak, dahinya berkerut.
“Siapa?” Tanya Fazira selepas melihat riak wajah Fazri.
“Ermm..., kawan. Abang jawab panggilan dia kejap.” Jelas Fazri seraya bangun dan berjalan menjauhi isterinya. Fazira hanya tersenyum tanpa mengesyaki perkara yang bukan-bukan tentang perilaku Fazri.
“Hello, kenapa kau call waktu ni?” Tanya Fazri dengan suara yang keras dan dalam. Seakan-akan berbisik.
“Assalamua’laikum.” Sapa pemanggil lembut. Fazri terkedu sendiri.
“Waa’laikum salam.” Salam tadi dijawab malu-malu.
“Abang, Erin bukan suka-suka nak telefon Abang cuma... Erin nak minta izin keluar rumah.” Pinta Erin dengan suara yang lembut.
“Kau nak ke mana?”
“Abang dah lupa..? Hari ni, Erin ada appointment dengan Doktor Sarah. Maaf kalau mengganggu.” Jelas Erin dengan suara yang kedengaran sayu. Fazri diam seketika. Dia sendiri sudah terlupa tentang hal itu. Erin pernah beritahunya cuma dia saja yang buat tak endah.
“Pukul berapa?” Tanya Fazri masih kasar.
“Sebelas setengah nanti. Erin dah call teksi. Erin janji akan balik terus lepas...”
“Tak payah.” Fazri memotong pantas. “Tunggu di rumah, nanti aku datang.” Talian diputuskan pantas. Fazri mengeluh berat. Waktu begini juga si Erin menelefonnya. Makin resah apabila memikirkan janjinya dengan Fazira dan Fikri.
“Abang... Ada masalah ke?”
Tersentak Fazri dengan teguran isterinya dari belakang. Fazri berpusing sepenuhnya mengadap isterinya.
 “Tak.., cuma Abang terpaksa keluar kejap. Tapi, Abang janji akan balik secepat mungkin.” Fazri bersuara pantas dan tenang.
 “Hal kerja?”
“Lebih kurang. Abang minta maaf sebab tak boleh nak bawa Fikri jalan-jalan seperti yang kita rancang tadi.” Fazri masih tenang.
“Tak apa. Pasal si Fikri, Abang tak perlu risau. Nanti pandai-pandailah Zira pujuk dia. Kalau dia teringin sangat nak pergi, Zira boleh bawa dia pergi sendiri. Itu pun kalau Abang izinkan.”
“Abang izinkan. Asalkan Liam ada bersama. Boleh?” Fazri menarik lembut tubuh langsing isterinya lalu mencuit manja hidung mancung Fazira. Fazira mengangguk dengan tawa manja.
“Abang minta maaf sekali lagi dengan sayang. Lepas ni, Abang janji...” Kata-kata Fazri mati selepas jari telunjuk Fazira melekat di bibirnya.
“Jangan. Zira takut... kita berdua kecewa sebab tak mampu penuhi janji yang dibuat.” Fazira bersuara lembut. Fazri tersenyum seraya melilit kemas pinggang isterinya.
“Abang minta maaf sekali lagi.”
Kata-kata Fazri diakhiri dengan kucupan lembut di bibir mungil isterinya. Fazira hanya membiarkan bibirnya dielus Fazri walaupun dia sedar yang Fikri mungkin akan muncul bila-bila masa sahaja.
“Abang pergi dulu.”
“Hati-hati memandu.”
“Ya. Assalamua’laikum.”
“Waa’laikum salam.”
Fazri masuk ke dalam keretanya. Selepas menghidupkan enjin, kereta mewah hitam milik Fazri berundur dan meluncur pergi. Fazira yang dari tadi melambai, segera berlari masuk. Ada tugas penting yang menantinya di dalam rumah yang mungkin akan memerlukan sepenuh tenaganya.

1 comment:

  1. erin dah mulai nak sadar, kesian pulak tengok kan, tak dihirau suami sendiri, sayu bace cerita ni, dua2 ada kelebihan dan kekurangan masing2, fazri tersepit di tengah. tahniah cik RK, ^_^

    ReplyDelete