Saturday, 8 September 2012

Bersatu Selamanya - 58


------------BAB 58------------
“Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Anak kembar Puan sihat.” Doktor Sarah bersuara ceria. “Cuma... pastikan Puan tidak banyak bergerak dan banyakkan berehat. Jaga pemakanan dan cuba kurangkan tekanan.” Tambahnya lagi.
Erin tersenyum lega manakala tiada reaksi di wajah Fazri. Lelaki itu hanya mendengar apa yang dikatakan oleh Doktor Sarah. Bagi bakal bapa yang bakal menyambut ahli baru dalam keluarga, pasti akan gembira tidak terkata tetapi bukan dia. Dia tidak mampu untuk melahirkan perasaan itu.
Setiap kali dia ingin rasa seronok kerana bakal bergelar bapa, pasti wajah Fazira muncul di ruang matanya. Hatinya mula serba-salah. Rasa bersalah kerana merahsiakan kehamilan Erin dari pengetahuan Fazira. Bukan niatnya untuk berbuat demikian cuma dia tidak sanggup untuk memberitahu. Lebih tepat, tidak sampai hati. Tidak bermaksud dia bersimpati atau kasihan dengan keadaan isterinya tetapi dia tidak sanggup melihat senyuman di bibir Fazira hilang selepas mengetahui perkara sebenar.
Sungguh.., dia dan Fazira sedang bahagia seperti saat-saat mereka berkahwin dahulu dan kalau diberi pilihan, dia tidak mahu Fazira sedih kerana terpaksa lalui semula kejadian hitam itu. Dia tidak sanggup dan mungkin tidak cukup kuat untuk menerima layanan dingin Fazira lagi. Cukuplah yang dahulu. Dia serik.
“Abang..”
Panggilan lembut Erin dan goyangan di tangannya mengejutkan Fazri dari monolognya. Erin baru selesai mengambil ubat tambahan di kaunter.
“Kenapa?” Tanya Fazri ringkas. Suaranya masih setia dingin. Erin sedikit tertunduk.
“Abang tak nak balik?” Balas Erin lembut. Tanpa membalas, Fazri bangun dan berjalan pergi. Erin yang sudah lali dengan layanan dingin Fazri, hanya mengikut dari belakang. Dari jauh, sepasang mata sedang memerhati dengan pandangan yang tajam.
“Abang..?” Erin bersuara lembut, seperti biasa. Fazri yang memandu, hanya memandang sekilas. “Erin nak cari baju baru, boleh tak?
Fazri hanya diam tidak membalas. Dahinya pula mula berkerut.
“Baju dalam almari tu tak cukup lagi ke?”
“Baju lain semuanya dah tak muat.”
Fazri mengeluh berat namun tidak kedengaran di telinga Erin. Malas betul rasanya untuk keluar bersiar dengan si Erin. Takut kalau gosip dahulu kembali berkumandang, itu satu masalah. Lagi padah kalau hal kehamilan Erin sampai ke telinga Fazira. Bakal berlaku gempa lagi dalam rumah tangganya nanti.
“Kita keluar malamlah. Sekarang ni aku letih.” Jelas Fazri selepas teruk berperang dengan buah fikirannya. Erin tersenyum menang dalam diam.

Pujukan Fazira tidak termakan oleh Fikri. Terpaksalah dia membawa juga Fikri ke tempat yang dijanjikan oleh Fazri pagi tadi. Di situ, memang jelas terpancar senyuman puas di wajah Fikri. Fazira sendiri terasa kelakar melihat kelincahan dan aksi ingin tahu anaknya yang begitu asyik meneliti setiap hidupan air yang tersimpan di dalam aquarium di situ. Liam sentiasa ada beberapa tapak di belakang Fazira.
Dari satu tempat mereka bergerak ke tempat lain, Fikri masih dengan aksi terujanya. Tengahari, mereka makan di luar tidak jauh dari situ. Entah kebetulan apa, lelaki itu muncul ketika Fazira dan Fikri sedang menjamah.
“Memang satu kebetulan atau pun mungkin kita memang ditakdirkan untuk bertemu selalu.” Ringkas saja Shahrul berbahasa. Walaupun ringkas tetapi cukup mendalam maksudnya hingga membuat Fazira kembali gerun dengan lelaki itu.
“Teman wanita awak tak marah ke kalau dia tengok awak keluar dengan wanita lain?” Selamba Fazira bertanya, langsung tidak melihat Shahrul yang setia merenung nakal rautnya.
Fikri pula langsung tidak berminat dengan perbualan mama dan lelaki asing itu. Baginya, paha ayam goreng lebih menarik dan mengenyangkan.
“Macam mana nak marah sedangkan orang tu memang tak wujud.” Balas Shahrul dengan pandangan yang sama malah sengaja ditambah sengihan nakal lagi. Fazira mengetap bibir. Soalannya tadi seolah-olah memakan dirinya. Matanya segera mencari kelibat Liam. Sebaik saja pandangan mereka berlaga, Fazira segera menyampaikan isyaratnya.
“Fikri.., kita makan di rumah saja. Mama ingat nak makan sama-sama dengan papa, boleh kan?” Fazira bersuara lembut sambil mengelap bibir Fikri yang agak comot dengan minyak dan sos. Fikri mengangguk mudah. Lega hati Fazira. Liam sudah bergerak mendekati mereka lalu dibawa Fikri pergi bersama bungkusan makanan tadi.
Shahrul pula nampak terkejut dengan kelakuan Fazira. Terkebil-kebil matanya melihat Fazira bangun dengan air muka yang serius.
“Ingin saya ingatkan pada awak yang saya mempunyai seorang suami dan sebuah keluarga. Saya harap awak boleh hormati saya sebagai seorang wanita dan juga isteri kepada seseorang. Saya juga harap ini adalah pertemuan terakhir kita. Jika kita terserempak di mana-mana secara kebetulan, saya tak akan tegur awak dan saya harap awak akan buat perkara yang sama. Saya tak mahu suami saya naik angin semata-mata cemburu. Harap... Encik Shahrul faham.”
Selesai berkata-kata, Fazira melangkah keluar dari restoran makanan segera itu tanpa menoleh belakang. Shahrul ditinggalkan begitu saja, dalam keadaan bingung dan terpinga-pinga. Tidak lama kemudian, senyuman sinis lagi licik terukir di bibir lelaki itu.
“Saya jamin... awak bukan lagi isteri dia lepas awak tahu kebenarannya nanti.” Shahrul bersuara sinis.

Seperti yang telah dijanjikan dalam keadaan terpaksa, Fazri membawa Erin ke sebuah butik yang khusus untuk ibu mengandung. Sengaja sebenarnya dia membawa Erin di saat butik itu ingin menutup masa operasi. Kuranglah masa untuk Erin berlengah dan cepat jugalah untuk dia beredar. Bukannya dia tidak perasan dengan renungan dan gaya pekerja butik itu berbisik.
Yang membuatkan dia bertambah rimas ialah kelakuan si Erin seperti ingin bermanja dan bermesra dengannya. Sentiasa meminta pendapatnya setiap kali mencuba satu demi satu pakaian tersebut. Memang boleh lemas.
Selepas sejam membeli-belah, mereka pulang semula ke kondo Erin. Fazri mengerjakan solat Isyak dahulu sebelum pulang ke rumahnya. Dia keluar dari biliknya dan terasa pelik apabila Erin masih belum keluar dari bilik. Dia tidak terasa untuk memanggil tetapi bergerak ke bilik tidur wanita itu.
Pintu diketuk tetapi tiada jawapan. Perlahan-lahan tombol pintu dipulas. Dia mengeluh kecil apabila melihat Erin sudah terlena nyenyak di atas katil. Dia segera mendekati birai katil lalu ditarik selimut di hujung katil. Tubuh Erin diselimut kemas. Dia duduk perlahan di birai katil. Wajah bujur sihir itu direnung seketika. Keluhan kecil terhambur keluar.
Pandanglah selama mana pun, hatinya tidak mampu mencipta ruang sayang untuk wanita itu. Bukan dia melarang dirinya dari melahirkan perasaan sayang malah pernah cuba untuk menanam perasaan tersebut tetapi setiap kali dia ingin berbuat begitu, hatinya akan terasa sakit. Esakan Fazira akan kedengaran bergema di ruang mindanya. Wajah sugul Fazira pasti akan muncul di ruang matanya.
Fazri meraup wajahnya kemudian termenung. Adakah dia sedang meletakkan kesalahan itu ke atas Fazira? Salah Fazirakah hingga dia membekukan hatinya dari membuka ruang kasih untuk Erin? Apa yang dia merepek nih? Dia bukannya sayang atau cintakan perempuan ni jadi kenapa perlu membuka ruang kasih yang sudah menjadi milik Fazira sepenuhnya..!
“Abang..?” Erin terjaga dari tidurnya. Fazri yang terjaga dari monolog dirinya, terkejut dan ingin bangun tetapi tangannya sempat dipegang Erin. Tubuhnya kembali duduk dan kaku di situ. Matanya bukan lagi pada raut Erin tetapi pada lantai. Erin terkedu melihat kelakuan Fazri.
“Erin tahu Abang terseksa dan Erin minta maaf. Erin tak kisah kalau tak diberi peluang untuk merasa kasih sayang Abang tapi...” Erin mula teresak. Fazri pula terkedu. Lagaknya agak kelibut.
“...berilah peluang untuk anak-anak Abang. Mereka tak berdosa. Mereka perlukan Abang, lebih daripada Erin. Mereka lebih berhak untuk kasih sayang dan cinta Abang. Berilah mereka peluang..” Air hangat mula mengalir turun membasahi pipi Erin. Fazri terbisu seketika apabila Erin menarik tangannya lalu diletakkan ke atas perut yang sedang membesar itu.
ALLAHUAKBAR..!
Hati Fazri menjerit kuat tatkala tangannya terasa gerakan pada perut Erin. Mulutnya terketar seperti ingin mengungkap kata tetapi tiada sepatah kata yang kedengaran. Seluruh badannya mula menggeletar. Bukan takut tetapi perasan yang agak asing dan tidak pernah muncul dan sekarang ianya datang dan cuba menghuni dalam benaknya.
Anaknya sedang bergerak. Zuriatnya sedang membesar dan tidak lama lagi akan lahir ke dunia ini. Dia tersenyum dan dalam masa yang sama dia terasa seperti ingin menangis. Akalnya kini dikelirukan dengan perasaan sendiri. Malah, otaknya sama sekali terlupa tentang diri seseorang. Seseorang yang sedang menanti kepulangannya. Segala janji dan ikrar yang pernah terlafaz untuk seseorang itu.
“Anak-anak Abang memang nakal. Setiap malam mereka banyak bergerak sampai susah Erin nak tidur.” Kata Erin dengan tawa kecil. Dia segera menyeka matanya yang basah lencun dengan hujung lengan baju.
Fazri yang terjaga dari lamunannya masih membisu. Tangan dan matanya masih di perut Erin. Dia menelan liur yang payau dan berpasir. Dia terus terbeku apabila Erin mula memeluknya.
“Buatlah demi anak-anak Abang, ya.” Kata Erin lagi. Fazri hanya membisu. Dalam tidak sedar, tangannya mula menggosok lembut belakang Erin.
“Abang akan cuba.” Jawab Fazri lembut. Seolah-olah terpukau dengan pelukan Erin, selamba saja dia mengucup ubun-ubun Erin.
Di sebalik kekeliruan Fazri, muncul senyuman yang lebar, penuh kepuasan malah terselit dengan ukiran sinis. Senyuman itu terukir rapi pada bibir nipis Erin. Dia puas. Malah, dia sudah merasa aura kemenangan semakin menghampirinya. Cuma menunggu masa sahaja sebelum dia menjulang trofi juara.
Malam itu, Fazri menghabiskan masanya di rumah Erin tanpa memberitahu Fazira. Di rumah pula, Fazira seperti orang gila menanti kepulangan Fazri. Sudah dihubungi beberapa kali tetapi tetap sama. Fazri mematikan telefon bimbitnya. Damian dan Liam pula langsung tidak tahu ke mana Fazri menghilang.
Dalam keadaan resah dan gelisahnya, Fazira akhirnya terlena di ruang tamu di atas sofa hingga ke pagi.

1 comment:

  1. Haishhh, erin nie mengada je lebihh!!! MINAH PLASTIC betul!!!! Kesian Fazira :(

    ReplyDelete