Saturday, 8 September 2012

Bersatu Selamanya - 59


------------BAB 59------------
Fazri masuk ke dalam rumah dengan langkah yang longlai. Dari jauh sudah kedengaran jeritan manja Fikri, menyambutnya pulang. Kemudiannya Fazira muncul.
“Abang baru balik?” Sapa Fazira seraya mencium tangan kanan Fazri.
“Ya.” Balas Fazri lemah tersenyum tawar.
Fazira membalas namun dia pelik. Fazri tidak mencium pipinya seperti biasa. Fazri menapak naik ke tingkat atas tanpa menghiraukan mereka berdua. Fazira ingin membuka mulut yang sudah tersimpan seribu satu soalan tetapi disimpan saja selepas melihat keadaan Fazri. Dalam diam, ada sedikit rasa terkilan.
“Mama, kenapa dengan papa?” Fikri menarik-narik hujung baju mamanya.
“Mama tak pasti, sayang. Fikri pergi makan dulu. Mama nak pergi tengok papa kejap. Lepas makan, suruh Liam hantar Fikri ke tadika, ya.” Fazira berkata penuh kelembutan. Fikri mengangguk manja lalu beredar ke ruang dapur. Fazira pula bergerak ke bilik tidur di tingkat atas.
Pintu bilik dikuak perlahan. Tersenyum tawar Fazira tatkala menangkap Fazri yang sudah terbaring di atas katil, masih memakai pakaian yang sama. Fazira berjalan mendekati birai katil lalu duduk di sisi Fazri.
“Abang..., Abang okey ke?” Tanya Fazira lembut. Belakang tangannya sudah melekat di dahi Fazri. Fazri terjaga dari tidur singkatnya.
“Abang dah sarapan? Kalau belum, Zira bawakan untuk Abang, ya?” Tambahnya lagi. Pelik Fazira dengan kelakuan Fazri. Pertanyaannya langsung tidak dijawab sebaliknya Fazri hanya merenung wajahnya tanpa berkelip.
“Sayang...” Panggil Fazri dengan suara yang lemah. Dia bangun dalam paksa.
“Abang..., kalau Abang letih Abang berehatlah. Zira turun dulu, tak nak ganggu Abang. Abang rehatlah, ya.” Fazira bangun tetapi tangannya dipegang kemas. Fazri menghalangnya bangun. Dia kembali duduk.
“Temankan Abang tidur.” Pinta Fazri, lembut dan manja. Fazira tersenyum senang seraya mengangguk. Dengan manja, Fazri mendaratkan kepalanya di atas paha lembut isterinya. Fazira pula menyadar selesa di kepala katil berlapikkan bantal di belakang. Tangannya sudah mengusap lembut rambut Fazri.
Selang beberapa minit, kedengaran bunyi tangisan. Fazira agak gelabah tatkala melihat air mata Fazri mengalir turun membasahi kain kurungnya. Bahu Fazri juga terhinjut-hinjut menahan sendu.
“Abang..., kenapa Abang menangis? Zira ada buat salah ke?” Tanya Fazira kalut. Nada suaranya masih setia lembut dan merdu.
“Tak...” Suara Fazri kedengaran serak. “Bukan sayang... tapi Abang. Abang yang bersalah. Abang bersalah pada sayang. Abang dah banyak susahkan sayang. Abang selalu buat sayang sakit hati. Semuanya salah Abang..., tolong maafkan Abang. Maafkan segala kesalahan abang...” Fazri meraung lemah. Fazira sudah terkedu. Tidak menyangka Fazri akan berucap begitu.
“Abang..., sudahlah. Zira tak salahkan Abang. Ini takdir kita. Kita hadapinya bersama. Zira janji takkan biarkan Abang lalui semua ni seorang diri. Zira janji.” Fazira memujuk lembut. “Sudahlah, jangan menangis lagi. Air mata lelaki mahal harganya.” Tambah Fazira sambil menggosok lembut bahu dan belakang Fazri.
Sendu Fazri makin berkurang. Tangan kanan Fazira ditarik lalu dikucup beberapa kali. Tangan tadi juga dipegang erat sehinggalah matanya tertutup dan terlena. Sebelah tangan Fazira masih lembut mengelus rambut Fazri. Sekali-sekala, dia mengucup lembut rambut Fazri. Kemudian, dia tersenyum senang walaupun hatinya agak runsing dengan racauan Fazri sebentar tadi.
Lebih merunsingkan, Fazri hilang tanpa jejak dan kemudian tiba-tiba saja muncul pagi ini. Segala perkara yang boleh menggugat jiwa wanitanya sudah dibuang jauh. Dia tidak mahu berfikir mengenai perkara itu. Perkara yang akan membuatkan naluri wanitanya sebal.
Tak mungkin Fazri akan ke rumah Erin tanpa memberitahunya sedangkan giliran Erin masih tinggal sehari lagi. Fazira menggeleng laju seolah-olah mengibas semua andaian buruk tentang Fazri.

Fazri terjaga dari tidurnya selepas terdengar azan Zohor berkumandang. Dia menggosok matanya beberapa kali sebelum menyedari kondisi ‘bantal empuknya’. Dia bangun dan duduk. Di saat itu barulah dia sedar akan Fazira yang sudah lena terlentok di kepala katil. Fazri tersenyum senang. Kasihan isterinya, sanggup berkebas kaki semata-mata untuknya.
Dia mengesot ke sisi Fazira. Perlahan-lahan, dia menarik bantal di belakang isterinya kemudian membiarkan Fazira bersandar pada ke dada bidangnya. Serentak itu juga Fazira mengerekot selesa. Tangan Fazira melilit kemas pinggangnya. Fazri tersenyum bahagia. Jemari kasarnya mula mengelus pipi gebu isterinya. Tak cukup pipi, merayap pula ke bibir Fazira. Matanya terpaku di situ. Betapa dia menyukai belaian dari bibir tebal itu.
Dalam diam, dia bergerak merapati wajah Fazira. Bibirnya mendarat kemas di bibir mungil itu. Agak lama hingga Fazira terjaga dari lenanya.
“Abang dah bangun..?” Fazira menggosok mata.
“Emm.., maaf sebab buat kaki sayang lenguh.” Fazri menggosok lembut peha isterinya. Fazira tersenyum senang.
“Zira sanggup buat apa saja untuk suami kesayangan Zira.” Balas Fazira manja sambil mencuit hidung Fazri. Fazri ketawa nakal. Suasana terasa sunyi sebaik saja mata mereka saling merenung, kemudian terus hanyut dalam cumbuan panas.
“Ya ALLAH..!!” Bibir mereka terpisah. “Zira belum masak tengahari. Nanti Fikri balik, dia mesti lapar.” Fazira bersuara laju. Dia bangun dan berjalan mendekati meja solek.
“Abang nak makan apa? Zira tak ada idea nak masak apa.” Tanya Fazira sambil menyisir lembut rambut panjangnya. Fazri bangun dan mendekati isterinya. Dengan manja, pinggang Fazira dipeluk kemas. Dagunya sentiasa di bahu Fazira.
“Abang mandi dulu lepas tu solat. Zira nak turun, lepas siap masak dan solat kita makan sama-sama.” Fazira mula merancang.
“Apa kata kita solat dan masak sama-sama, boleh?” Fazri menamatkan cadangannya dengan kucupan hangat di pipi kiri Fazira.
“Bunyi macam menarik... tapi Abang kena mandi dulu. Busuklah.” Fazira ketawa kecil sambil menolak tubuh sasa itu. Fazri turut ketawa. Terlupa sudah tentang ‘kecurangannya’ terhadap Fazira.
“Kalau macam tu, kita mandi sekali barulah adil. Sama-sama busuk, sama-sama wangi.” Balas Fazri laju seraya mengheret Fazira ke dalam bilik mandi. Jeritan Fazira hilang selepas pintu bilik tertutup rapat.

Liam tiba di depan rumah bersama Fikri. Ketika itu, Fazri dan Fazira sedang makan tengahari. Fikri berlari masuk untuk makan bersama papanya, tinggallah Fazira dan Liam di pintu masuk.
“Terima kasih sebab sudi ambilkan Fikri di sekolah.” Ucap Fazira dengan senyuman yang manis.
“Tak perlu berterima kasih Puan. Itu memang dah jadi sebahagian dari tugas saya.” Liam merendah diri.
“Kamu dah makan? Kalau belum, jomlah makan sekali.”
“Tak apa, Puan. Saya dah makan.”
“Damian mana?”
“Dia masih di pejabat. Erm... Puan, macam mana dengan Tuan Fazri?” Tanya Liam tanpa berlengah. Fazira tersenyum. Dia kagum dengan Liam dan Damian. Mereka sememangnya pembantu yang setia.
“Dia tak apa-apa. Cuma letih.” Jawab Fazira tenang dengan senyuman yang tidak lekang.
“Tuan... ada beritahu ke mana dia pergi semalam?” Tanya Liam lagi, takut-takut. Sungguh, dia dan Damian juga tidak tahu ke mana Tuan mereka menghilang selepas mereka dilarang mengikutnya semalam. Langsung tidak terfikir Fazri akan ke rumah Erin kerana mereka sendiri tahu betapa Fazri membenci wanita itu.
Senyuman Fazira bertukar hambar.
“Saya tak mahu memaksa dia bercerita kalau perkara itu memberi tekanan padanya. Biarlah dia sendiri yang cerita bila dia betul-betul bersedia nanti.” Kata Fazira ringkas. Liam mengangguk lemah. Dia beredar pergi.
“Liam dah balik?” Tanya Fazri sebaik saja Fazira masuk ke ruang makan. Fazira mengangguk. “Kenapa tak ajak dia makan sekali?”
“Dah ajak tapi dia tolak. Dah makan katanya.” Fazira mengambil tempat di sebelah Fikri yang sudah enak bersantap. Fazira kembali makan.
Dalam diam, Fazri mencuri lihat reaksi wajah isterinya. Dalam dirinya juga sudah bertanya, mengapa isterinya tidak menyoal langsung tentang semalam, kenapa dia tidak pulang selepas keluar dari rumah dan kenapa dia langsung tidak menelefon untuk memberitahu yang dia tidak akan pulang ke rumah?
“Kenapa Abang tenung Zira macam tu?” Pertanyaan Fazira mengejutkannya dari lamunan pendek.
“Tak... tak ada apa.” Fazri kembali menyambung suapannya.

No comments:

Post a Comment