PROLOG
Awan berarak
perlahan seperti mengusung berjuta-juta gelen air yang menunggu masa untuk
jatuh ke muka bumi. Angin bertiup tenang, tidak segila warna awan yang semakin
bertukar kelabu kehitaman. Gelap. Sepasang mata yang bulat dan agak bundar
memerhati pergerakkan awan yang lambat bergerak mengalahkan kura-kura. Anak
mata perang keemasannya melilau melihat kepulan-kepulan awan. Tangan milik mata
tadi diangkat kemudian jari telunjuk runcingnya bergerak seolah-olah
menghasilkan garisan halimunan di ruang angkasa. Lantas dalam beberapa saat,
muncul segaris halilitar yang putih dan hilang dalam sekelip mata. Dua saat
kemudian, guruh ikut berirama.
Setiap telinga
yang mendengar pasti menekup. Takut dengan detuman bunyi guruh yang mampu
menggegarkan seluruh makhluk dan benda yang menghuni kawasan itu, inikan pula
gegendang manusia. Pemilik mata tadi tersenyum sinis. Tidak disangka, air mata
mengalir turun dari takungan matanya. Serentak dengan itu, air hujan juga turut
tumpang sekaki, turun menghempas ke tanah gersang di bumi yang kering kontang.
Kali ini, pemilik mata perang keemasan tadi ketawa kecil.
“Kenapa...?
Kenapa kau selalu turun setiap kali aku menangis..? Takkanlah kau pun faham apa
yang aku rasa sekarang..? Kau juga faham kesengsaraan yang aku alami setiap
kali aku bernafas, setiap kali aku...”
Pemilik mata perang
keemasan tadi menekup matanya dengan tangan kanan yang cerah gebu. Kepalanya
sudah terlentok ke belakang. Senyumannya makin melebar. Masih jelas ketawa
seakan jahat bercampur kesal.
Lain pula di
sebuah bilik yang luas dan dingin. Bilik itu lengkap dengan perabot yang biasa
ada dalam sebuah pejabat. Mewah dan berkelas tinggi. Pemiliknya sememangnya
seorang yang kaya raya. Seorang pemuda sedang berdiri di hadapan jendela sambil
melemparkan pandangan yang kosong ke arah awan yang merembeskan cecairnya jatuh
ke muka bumi. Beberapa kali pancaran kilat menjalar di langit, langsung tidak
mengejutkannya. Lamunan pemuda itu sudah jauh, jauh dari planet Bumi. Mungkin sudah
sampai ke planet Pluto.
“Adakah kau
benar-benar wujud? Atau kau sekadar mainan tidur? Kalau kau benar-benar wujud
di dunia nyata, apa yang perlu aku buat?”
Pemuda itu
memejam mata rapat. Dalam kegelapan, muncul satu kelibat. Seperti seorang gadis
yang berbaju kurung, bertudung litup dan berselendang labuh serba putih.
Wajahnya tidak kelihatan kerana dia tidak memalingkan sepenuh pandangan ke
arahnya. Mata tadi dibuka perlahan dan bayangan gadis itu hilang. Pemuda itu
mengeluh berat seraya meraup wajah kuning langsatnya. Kedua tangan dimasukkan
ke dalam poket seluar. Pandangannya nampak sayu dan tidak bermaya.
------------BAB
1------------
Seseorang berpakaian
serba putih melangkah perlahan menyusuri air cetek separas buku lali. Kanan dan
kirinya dihalang seperti benteng berhutan. Walaupun laluannya berair namun
kakinya tidak basah malah tidak tenggelam ke dalam air. Kakinya seakan terapung
di atas air. Selepas lama berjalan, dia mula menghampiri sebuah air terjun yang
tinggi, setinggi bangunan enam tingkat. Di sebalik air yang begitu rakus
menghempas kelihatan cahaya putih yang agak samar. Tidak lama kemudian, keluar
dua ekor harimau putih dengan mata putih keemasan berjalan mendekatinya.
Dia ingin bergerak
namun kakinya terlalu berat untuk melangkah. Kedua harimau tadi makin
menghampirinya. Dia panik. Disebabkan terlalu takut, dia menjerit sekuat
hatinya.
“AARRGHH...!!!”
Syah terjaga dari tidurnya. Dia duduk dengan nafas yang termegah-megah. Peluh
dingin sudah melata di seluruh wajahnya. Rambut hitam dan panjang menutup
sebahagian wajahnya. Muka diraup lama. Bibirnya bergetar membaca doa penenang.
Matanya beralih ke arah tingkap yang sedikit terbuka. Bulan sedang mengambang
penuh. Syah mengeluh. Setiap kali bulan penuh, mimpi yang sama akan datang
mengganggu tidurnya. Tidak pasti sama ada satu petunjuk atau sekadar permainan
syaitan.
Suasana di
angkasa luas masih gelap. Mana tidaknya, waktu masih subuh. Motosikal berwarna
putih biru meluncur laju sehinggalah si penunggang berhenti di hadapan sebuah
Restoran Mahligai Kayangan. Si penunggang berjalan melalui pintu belakang yang
menghubung terus ke bahagian dapur.
“Assalamualaikum?”
sapa si penunggang. Suaranya lembut dan halus. Helmet dengan visor full face
ditolak naik. Wajah seorang gadis muda terpampang jelas. Matanya bulat dengan
iris yang menawan, kulitnya cerah gebu tanpa sebarang cela. Hidungnya, jangan cakap...
mancung macam minah Arab. Matanya pula perang persis hazel. Bibirnya pula agak
tebal dan merah bak delima. Si gadis berjalan mendekati seorang wanita separuh
abad sedang sibuk membersih sayur-sayuran. Salamnya sudah dijawab ditambah pula
dengan senyuman yang manis.
“Awal Syah ari
ni.” tambah wanita itu.
“Awal apanya.
Syah memang datang macam biasa.” Syah menanggalkan helmetnya. Beg sandangnya
juga sudah diletakkan di atas meja. “Mana yang lain?” tanya si gadis sambil
meliar melihat sekeliling.
“Macamlah Syah
tak tahu. Diorang kan memang suka datang lambat. Kan semalam hari Ahad.” Terang
Hafisah atau lebih suka dipanggil Mak teh. Syah mengangguk faham. Dia pun
keluar jugak semalam, tapi boleh pulak datang awal.
“Mak teh nak
masak berapa jenis lauk hari ni?” tanya Syah sambil melipat lengan bajunya. Dia
sudah berdiri di sebelah wanita tadi.
“Sebab hari ni
hari Isnin, Mak teh rasa nak masak lebih sikit. Dalam... sebelas jenis.”
“Mak ai..!
Banyak tu..kalau tak luak macam mana?”
“Apa susah... kalau
tak habis, Syah kan ada. Mak teh gerenti Syah boleh habiskan semua lauk dalam
satu hari.” Hafisah sudah mengekek ketawa. Syah sekadar menjeling dengan kening
terangkat sebelah. Dia mendengus marah. Wanita tua itu memang kenal sangat
dengan Syah yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Syah memang kuat makan.
Bagilah seperiuk nasi, mesti habis kalau dihidangkan dengan lauk kegemarannya,
masak lemak ikan patin tambah dengan air asam. Peh..!! Sedap hingga menjilat
ibu kaki. Harapkan badan saja kurus macam lidi tapi makan mengalahkan orang
yang berbadan dua. Dia ketawa lagi melihat jelingan Syah yang ala-ala Ziana
Zian gitu. Pinggang rampingnya sudah dicekak tanda marah.
------------BAB
2------------
Restoran
Mahligai Kayangan dibuka dari pukul lapan pagi hingga lapan malam. Dua belas
jam tuh..! Restoran yang boleh dikatakan agak mewah seperti restoran di hotel tiga
bintang kerana semua pekerjanya memakai seragam, dari tukang masak hinggalah ke
pelayan. Wajib. Siap ada name tag lagi. Kebersihan sememangnya nombor satu.
Yang membuatkan Restoran Mahligai Kayangan mendapat sambutan kerana kebanyakkan
pelayannya terdiri daripada anak-anak gadis yang comel-comel belaka. Tapi, Syah
tidak bekerja di bahagian depan. Tempatnya di belakang, bahagian dapur. Dia
lebih suka terperuk di dapur dari menjaja muka melayan kerenah pelanggan.
Pada hari
pertama dia bekerja dengan Mak teh, dia memang ditempatkan sebagai pelayan.
Tapi selepas beberapa kali mendengar aduan yang si gadis sunti itu selalu diganggu,
Hafisah membenarkan dia bekerja di bahagian dapur. Dia tidak menyesal
memandangkan Syah memang cekap bila beraksi di dalam dapur. Malah, selepas
setahun bekerja dengannya Hafisah sudah memberi sepenuh kepercayaan kepada si
gadis untuk memasak semua hidangan di restorannya. Mana tidaknya, ramai
pelanggannya yang memuji masakan yang dimasak sedap-sedap belaka.
Bila ditanya
resepi rahsia, Syah hanya cakap dia pakai bulat-bulat resepi yang diberi
Hapisah. Tok aji...? Setahunya, dia jarang gunakan penambah perasa kerana dia
ada perasa rahsia yang diperturun dari neneknya. Dia juga hairan dan waktu dia
mengintai Syah memasak, tidak pula dia nampak gadis itu masukkan benda yang
pelik. Cuma satu pantang yang Syah kenakan ketika dia memasak, jangan sesekali
membuka penutup periuk sehinggalah gulai itu masak. Kalau tidak, rasa aslinya
akan hilang. Hapisah ketawa setiap kali teringatkan pantang yang telah
diperketatkan oleh Syah hingga ke hari ini.
Sebenarnya dia
kagum dengan gadis itu. Dia mengambil gadis itu bekerja ketika umurnya 17
tahun. Baru lepas SPM. Keputusannya cemerlang, straight A’s. Tapi tidak pula
dia dengar gadis itu memasang tekad untuk sambung pengajian. Pendek kata, Syah
masih seorang yang misteri walaupun gadis itu sudah lima tahun bekerja
dengannya. Syah pun jarang bercakap pasal latar belakangnya. Bila ditanya, dia
hanya jawab yang dia datang dari keluarga yang miskin dan perlu bekerja keras
untuk teruskan hidup.
Tiba waktu
tenghari, Restoran Mahligai Kayangan akan sesak dengan pelanggan yang
rata-ratanya staf pejabat memandangkan restoran itu sendiri berada dalam sebuah
pusat bandar yang sedang pesat membangun. Memang tidak cukup tangan. Restoran
yang sudah beroperasi sejak sepuluh tahun yang lalu kini mempunyai tingkat atas
atau tingkat kedua. Pelanggan yang datang menjamu ada yang melayan diri dan ada
yang mahu dilayan. Pelanggan... pendek kata, customer are always right.
Dalam kesibukan
mereka menjamu selera, sebuah motosikal berkuasa tinggi berhenti di hadapan
restoran. Si penunggang menongkat motornya dan berjalan pantas menuju ke
kaunter. Helmet ditanggalkan. Jelas kelihatan wajah seorang pemuda yang
berkulit sawo matang dengan rambut tercacak. Kemas dan bergaya. Kelibatnya
sudah mendapat perhatian dari mata-mata gadis yang sibuk melayan pelanggan.
“Syah ada?”
tanya pemuda itu ringkas dengan senyuman yang boleh membuatkan mana-mana gadis
cair bila melihatnya. Faizah yang sibuk menjaga kaunter sudah mencebik.
Menyampah agaknya.
“Manalah aku
tahu! Aku bukan mak dia. Kalau nak tahu, pergilah cari sendiri.” Balas Faizah
agak meninggi.
“Mak ai..!
Garang macam singa betina. Padanlah kau dapat pakwe macam si Dahlan tu. Sekor
keras kepala, sekor lagi kepala batu.” Balas pemuda itu seraya membuka langkah
seribu. Faizah sudah maki bertanak dan menjegil hingga nak tersembul keluar biji
matanya.
Di belakang
restoran, terbina sebuah tempat bersantai yang berlantaikan papan. Meja dan
kerusi batu juga tersedia di bawah wakaf yang dibina sendiri oleh arwah suami
Hafisah. Di situ, Syah duduk sambil melayan lagu di pemain MP3nya. Kepalanya sudah
terlentok ke belakang manakala kakinya di letak di atas meja dengan kerusi yang
sengaja dijarakkan dari meja. Lenguh. Dari pagi hingga tengahari dia berdiri di
dapur. Maklumlah, ketua tukang masak. Ingat boleh goyang kaki..? Kerja tetap
berlambak walaupun ada lima pembantu warga Indonesia.
Seseorang
berjalan mendekati Syah dari belakang. Langkahnya perlahan mengalahkan pencuri
nak merompak. Niatnya memang jelas, nak sergah gadis yang sedang sedap berehat
lepas teruk bekerja.
“Kalau kau nak
sergah aku dari belakang, kirim salam sajalah. Aku takkan terkejut dengan trick
lapuk kau tu.” Syah bersuara walaupun dengan mata yang tertutup rapat dan
telinga yang tersumbat dengan earphone. Si pemuda mengeluh berat. Gagal lagi.
Dia berjalan dekat lalu naik ke atas kerusi dan duduk di atas meja. Matanya
tajam merenung wajah putih gebu dengan senyuman yang manis tetapi lebih kepada
kategori menggoda. Si gadis nampak rimas lalu menurunkan kakinya.
“Kau ni
mengganggulah. Aku baru nak berehat.” Syah menarik keluar earphone dari dalam
tudungnya. Ya.., Syah seorang yang bertudung. Senyuman si pemuda makin melebar.
Syah naik pelik melihat kelebaran senyuman pemuda itu.
Untuk
pengetahuan semua, pemuda itu namanya Danny, Daniel Danish. Anak orang kaya.
Ulang perkataan, anak kepada ORANG KAYA. Bermakna..., mak bapak dia yang kaya
bukannya dia. Entah apa yang ada pada dia, Syah sendiri tidak tahu. Kalau nak
bermodalkan rupa paras dia memang laku, tapi semua tu tidak pernah berjaya
menarik perhatian Syah. Ramai gadis sepertinya selalu memuja ketampanan dan
kekacakkan Danny tapi di mata Syah, Danny hanyalah budak hingusan yang baru sudah
berkhatan.
“Kau habis
kerja pukul berapa?” tanya Danny dengan anak mata yang masih melekat di wajah
Syah. Mendengar soalan Danny, Syah mula menggaru dagunya. Itu tanda dia sedang
berfikir mancari alasan. “Jomlah... kita keluar date. Dekat mall saja, bukannya
jauh pun.” Pujuk Danny dengan gaya selamba. Kedua sikunya diletakkan di atas
lutut membuatkan dia membongkok dekat dengan wajah Syah.
“Aku... kena
balik awal.” Syah memberi alasan yang mudah. Dia mengalihkan pandangannya ke
arah lain.
“Alah..,
janganlah macam ni! Aku belanja kau. Kau cakap saja apa yang kau nak, nanti aku
belikan. Please..” rintih Danny penuh manja. Rintihan Danny bukannya dapat
mencairkan hati Syah tapi menambahkan lagi level meluatnya. Syah bangun dan
berjalan pergi.
“Maaf, Danny.
Aku tak senang malam ni.”
Danny
mendengus. Ini bukan kali pertama dia mengajak Syah keluar tapi dah
berjuta-juta kali, sampai dia sendiri terlupa ini masuk kali ke berapa. Dia
segera mengejar langkah Syah dari belakang.
“Come on, Syah.
Sekali pun jadilah. Lepas ni, aku takkan ajak kau lagi.” Danny sudah mengangkat
tangan tanda sumpah. Syah berhenti berjalan, Danny turut berhenti. Syah menoleh
perlahan dengan muka selambanya.
“Kalau aku
setuju keluar dengan kau malam ni, kau mesti patuh pada satu syarat.” Danny
sudah tersenyum lebar bila mendengar persetujuan Syah. Cuma syarat yang
dikatakan tadi membuatkan hatinya sedikit lemah.
“Apa saja.”
Balas Danny sudah bersedia. Syah tersenyum penuh makna.
“Syaratnya... selepas
aku keluar dengan kau hari ni, kau... dilarang jumpa dengan aku selama sebulan,
boleh?” kata Syah penuh suspen. Muka Danny sudah berkerut. Marah atau geram,
susah nak ditafsir melainkan tuan punya badan saja yang tahu.
“Gila..!! Mana
boleh macam tu.” Bentak Danny. Dia marah. Memang dia marah. Sebulan...?! Sehari
tak jumpa pun dia dah mula menggila, inikan pula sebulan. Gigi diketap rapat
menahan geram. Wajah cerah mulus itu ditenung lama. Makin ditenung, makin kuat
pula getaran jantungnya. Cantik siot..!!
“Seminggu...?”
Danny cuba memulakan upacara tawar-menawar.
“Sebulan!” Syah
tetap dengan keputusannya.
“Dua minggu..?”
Danny tak mahu mengalah.
“Sebulan!!”
“Tiga minggu..?”
Kali ini disertakan dengan muka seposen.
“Sebulan.
MUKTAMAD!!” Syah mengeraskan suaranya. Danny mendesah. Dia kalah. Dalam setiap
pertengkaran, dia tidak pernah menang. Siapa yang boleh melawan gadis cantik
lagi ayu seperti Syah. Tenung matanya pun boleh menghentikan degupan
jantungnya, inikan pula diterajang dengan jelingan maut dari mata perang
keemasan itu. Danny mengeluh berat. Dia kalah lagi. Sambil berlalu, Syah sempat
tersenyum puas tanpa rasa bersalah langsung.
------------BAB 3------------
“Kau rasa... mimpi
boleh jadi realiti ke?” tanya Zulhazmi bersandar di kerusi empuk di bilik
mesyuarat sambil kedua tangan di belakang kepalanya. Badrul yang sibuk mengemas
kertas-kertas laporan di atas meja mengerut dahi mendengar soalan temannya.
“Apa yang kau
merepek ni Zul?” tanya Badrul dengan renungan pelik.
“Aku sekadar
bertanya. Kau rasa kita boleh meramal masa depan melalui mimpi..?” tanya
Zulhazmi lagi. Badrul diam sejenak.
“Setahu aku,
mimpi tu cuma mainan tidur. Kalau pecaya mimpi boleh ramal masa depan..., itu
dah kategori tahyul. Atau mungkin juga syirik. Yang kau tetiba tanya pasal
mimpi ni kenapa?” Badrul mencekak pinggang sambil merenung temannya. Lama.
Zulhazmi sekadar menjungkit bahu dan mengeluh lemah.
“Kau masih
alami mimpi yang sama?” tanya Badrul seraya menarik kerusi lalu duduk di
sebelah Zulhazmi yang masih termangu. “Dah nampak wajahnya?” Zulhazmi tidak
menjawab tapi sekadar menggeleng lemah. Badrul pula mengeluh. Dia nampak penat
melihat kelakuan temannya. Lebih kurang sebulan yang lalu, Zulhazmi selalu
bersungut mengalami mimpi yang sama hinggakan tidur temannya tidak nyenyak
seperti dahulu.
Mana tidaknya,
Zulhazmi selalu terjaga tepat jam tiga pagi. Dengar cerita, makhluk jahat
selalu berlegar di waktu seperti itu. Tapi itu cuma kepercayaan untuk orang
yang beragama Kristian tetapi bagi temannya yang beragama Islam, dia tak pasti
benda apa yang menyampuk temannya..
“Aku rasa ada
baiknya kau pergi jumpa tok bomoh atau tok imam yang tinggi tenaga dalaman
untuk melawan benda-benda halus ni.”
“Woi.., aku
cuma bermimpilah bukannya kena rasuk atau santau!” Marah Zulhazmi agak
meninggi. Tersentak Badrul dengan sergahan Zulhazmi.
“Aku cuma beri
cadangan. Yang kau menyinga sangat ni kenapa?!” Badrul bersaing sengit.
“Aku cakap
semua ni sebab kau satu-satunya sahabat baik yang aku ada. Siapa lagi yang aku
nak kongsikan masalah yang bersarang dalam kepala ni selain kau.” Jeling
Zulhazmi. Badrul tersengih dan adalah sedikit rasa terharu.
“Alah.., janganlah
marah! Aku tahu yang aku ni kawan kau dunia akhirat. Dan..., sebagai kawan
itulah nasihat aku paling ikhlas dan logik. Sampai bila kau nak biarkan mimpi
tu mengacau tidur kau. Aku tengok mata panda kau ni pun dah macam mata pekerja lombong
arang yang baru terselamat dari letupan lombong.” Pantas, Zulhazmi memegang
kelopak matanya. Dia menarik muka masam.
“Mana ada..,
aku dah minta adik aku letakkan bedak sikit. Dia sendiri cakap dah tak berapa
jelas.”
“Kau percaya
sangatlah dengan cakap adik kau tu. Aku rasa kalau dia letak gincu hitam pun
kau kata merah.”
“Mulut cover
sikit, bro. Yang kau kutuk tu adik aku, mata air kau jugak. Nanti silap hari
bulan abang ipar hilang, si Rina terlepas.” Zulhazmi memberi amaran keras.
Badrul tersengih gaya budak terencat akal.
“Dahlah. Makin
banyak cakap, makin lantang pula perut aku buat konsert.” Badrul bangun menuju
ke pintu tetapi Zulhazmi masih membatu di kerusinya. Masih sempat mengelamun.
“Wahai Tengku
Zulhazmi Aminuddin Shah, sudah tiba masanya untuk bersantap. Kalau Tuanku masih
ingin terus mengelamun di situ macam orang putus cinta, maka silakanlah. Patik
yang hina nyaris mati kebulur ni dah lapar. Patik minta diri dulu.” Badrul
melangkah menuju ke pintu.
“Woi..,
tunggulah! Sampai hati tuan hamba yang terhina tinggalkan beta yang termulia
demi perut boroimu.” Zulhazmi tak mahu mengalah diselangi dengan tawa jahat.
Badrul sudah mengangkat penumbuk manjanya. Marah bila perutnya yang berpetak
enam dipanggil boroi.
Selepas
beberapa lama memandu, Badrul menghentikan keretanya di tempat letak kereta
berhadapan dengan Restoran Mahligai Kayangan. Zulhazmi sudah tercongok-congok
di hadapan dengan dahi berkerut.
“Tempat apa
yang kau bawa aku ni..?”
“Tempat inilah
yang dipanggil santapan di syurga.” Kata Badrul dengan kening terangkat galak. Kerutan
di dahi Zulhazmi makin bertambah. “Jangan nak buat muka cemberut macam tu. Jom
ikut aku.” Badrul keluar dari keretanya diikuti Zulhazmi. Mereka berjalan masuk
ke pintu restoran tersebut yang sudah penuh dengan pelanggan.
“Maaf, Encik.
Meja dah penuh. Em..., Encik ada buat tempahan?” Salah seorang pelayan yang
menjaga kaunter hadapan menyambut mereka penuh sopan. Orangnya kecil-kecil,
manis dan comel. Badrul turut tersenyum. Si gadis nampak tersipu-sipu malu
melihat senyuman Badrul yang sudah sedia manis dan kacak tanpa perlu tersenyum.
Mata si gadis juga sudah terpaut pada Zulhazmi yang meliar melihat sekeliling
restoran tersebut. Wajah Zulhazmi dipandang lama hingga terlupa untuk mengerdip
mata. Hero idaman malayalah katakan.
“Meja untuk dua
orang, nombor sepuluh atas nama Badrul Hisyam.” Jelas Badrul lancar. Si gadis terjaga
dari lamunannya seraya membelek beberapa helai kertas A4 di tangannya.
“Sila ikut
saya.” Pinta pelayan tadi yang sememangnya murah dengan senyuman. Dia jalan
menyusuri meja-meja yang penuh sudah duduki pelanggan lain yang sedang enak
menjamu selera. Badrul dan Zulhazmi mengikut rapat dari belakang. Beberapa
pasang mata sudah merenung setiap langkah mereka.
“Ini meja
Encik. Pesanan Encik?” tanya Suraya, si pelayan comel tadi sebaik saja Badrul
dan Zulhazmi menarik kerusi.
“Bagi dua set
tengahari, tiga jenis gulai dan dua jenis ulam plus air asam. Air... sirap
bandung. Zul..?” tanya Badrul tiba-tiba. Zulhazmi yang masih sibuk melihat
sekeliling sedikit tersentak.
“Bagi... air
sirap limau saja.” Jawab Zulhazmi sambil tersenyum. Suraya menulis pantas.
“Nasi
tambah..?” tanya Suraya lagi.
“Mungkin tak untuk
hari ni tapi nasi tu kasi extra.” jawab Badrul sambil merenung lembut wajah
comel Suraya. Tersipu-sipu Suraya menahan malu. Kening Zulhazmi sudah terangkat
melihat perangai ulat bulu temannya.
“Pesanan Encik
akan sampai dalam masa beberapa minit.” kata Suraya kemudian menapak pantas
menuju ke kaunter. Badrul ketawa kecil melihat gelagat Suraya.
“Kau ni... mengayat
sikit-sikit sudah la. Aku kesian kat budak tu, merah muka dia melayan perangai
ulat belucas kau tu.” Tawa Badrul makin meledak.
“So.., nampak
kelainan restoran ni?” tanya Badrul tersenyum dengan siku di meja. Zulhazmi
mengambil posisi yang sama. Sekali lagi, mata Zulhazmi meliar melihat
sekeliling. Dia tersenyum nipis.
“Aku kagum.
Pelanggannya ramai dan padat. Kebanyakkannya terdiri dari lelaki. Memang hebat
sebab walaupun tak termasuk dalam katergori restoran bertaraf tiga atau dua
bintang, nak makan pun perlu reserve meja dulu.”
“Dah perasan
keisimewaannya..?”
“Kau ingat aku
ni lembap sangat! Dari pengamatan aku.., restoran ni jadi tumpuan utama sebab pelayannya
terdiri daripada gadis yang comel-comel macam tadi. Betul tak..?” Badrul
mengangguk pantas tanda jawapan yang diberikan Zulhazmi betul.
“Bijak juga
anak Tengku Bakri Amirul Syah.”
“Hei.., tengok
muka la!”
“Perasan.”
Badrul mencebik. Zulhazmi ketawa besar.
Selepas
beberapa minit, makanan tengahari mereka sampai ke meja. Melihat saja lauk-pauk
sudah kecur liur, menghidu lagilah. Itu belum merasa lagi. Selesai membaca doa
makan, mereka mula bersantap. Memang sedap malah sesedap air tangan ibu
sendiri. Tidak lama, sesi bersantap mereka selesai.
“Mak ai.., rasa
macam nak tambah lagi tiga pinggan!” kata Zulhazmi bersandar santai sambil
tersengih. Badrul sudah menggeleng. “Kenapa kau tak pernah ajak aku datang
tempat ni sebelum ni?”
“Sebab... kau
selalu terperuk 24 jam dalam ofis. Setiap kali aku ajak kau makan, kau mesti
cakap nak makan kat dalam ofislah.., dah kenyanglah.., macam-macam alasan kau
sampai aku sendiri naik muak nak ajak.” Badrul meluahkan segala jenis anai-anai
yang membusut dalam otaknya. Zulhazmi masih tersengih.
“Sedaplah
masakan kat sini. Kau pernah jumpa tukang masaknya?”
“Tak siapa yang
tahu. Ada orang cakap tukang masak dia pemilik restoran ni sendiri, ada juga
yang kata tukang masak dia budak muda macam si Suraya tu. Aku pernah tanya
Suraya tapi dia langsung tak berani cakap sebab takut kena buang kerja.”
“Sampai macam
tu.”
Badrul
mengangguk.
Sebelum
bertolak pulang ke pejabat mereka, Zulhazmi menghilang ke tandas. Selepas
ditanya pelayan di kaunter dia berjalan masuk ke lorong menuju ke tandas.
“Shanti, jangan
lupa tengokkan api. Jangan sampai hangit pula.”
Satu suara yang
agak lunak memukul kuat gegendang telinga Zulhazmi. Entah kenapa, ada tarikan
magnet berkuasa tinggi yang memaksa dia untuk menoleh. Sebaik saja dia menoleh,
mata bundarnya menangkap kelibat seorang gadis muda sedang berjalan
menjauhinya. Yang mampu diamati matanya hanyalah belakang gadis tersebut. Dia
terpaku seketika. Belakang gadis itu hampir menyerupai seseorang. Seseorang
yang sering mengganggu tidur malamnya. Tiba-tiba lututnya terketar semacam,
bagai nak luruh pun ada. Nafasnya turun naik tidak menentu. Jantungnya pula
berdegup kencang. Gawat.
Tanpa dipinta,
kakinya masuk gear automatik, berjalan dan mengejar langkah gadis tadi.
Perasaan yang dirasainya tidak mampu ditafsir oleh akal. Teruja bercampur
seronok dan gembira. Dia sendiri keliru mengapa hatinya dibelenggu dengan
perasaan sebegitu. Kakinya melangkah pantas bila kelibat gadis tadi sudah
menghilang. Tiba-tiba muncul pula seorang wanita yang agak berumur. Langkah
Zulhazmi terhenti serta-merta sebelum dia melanggar insan yang tidak berdosa di
hadapannya yang sudah melatah gaya merapu tahap merepek kerana terkejut tahap
kepalang.
“Eh.., Encik!
Ni kawasan larangan untuk pelanggan. Encik dilarang masuk ke sini tanpa
kebenaran atau sebarang urusan.” Wanita itu bersuara tegas. Zulhazmi sedikit
terkilan bila terasa dirinya seperti dihalau.
“Maaf. Bukan
niat saya tapi... saya perlu berjumpa dengan...”
“Maafkan saya,
Encik. Bukan niat saya nak menghalau tapi Encik dah masuk kawasan larangan.
Saya minta Encik berundur sekarang.” Wanita itu masih menegas tanpa kompromi.
Zulhazmi mengeluh berat. Dia berundur kerana tak mahu menimbulkan sebarang
masalah atau kekecohan. Berundur bukan bermakna dia berputus asa. Dia pasti
akan kembali. Dia akan kembali untuk bertemu bayangan pengganggu tidurnya.
------------BAB
4------------
Ramai
pengunjung berjalan santai sambil menjamu mata melihat barangan yang dijaja di
tingkap setiap kedai sepanjang koridor tingkat dua. Ada yang berkeluarga, ada
yang berteman dan ada yang berseorangan. Keadaan kurang sesak berbanding hari
minggu biasa. Mungkin sebab bukan hujung bulan. Seseorang berjalan santai
dengan sweater besar dan gelebeh, berseluar jeans. Si sweater kuning berjalan
santai dengan penutup mulut dan hidung dengan lambang Autobots. Maklumlah, ombak
kedua influenza H1N1. Malah, dia juga memakai kaca mata berkanta dengan kuasa
sederhana dan agak gelap warna kantanya dan hud sweaternya sudah menutup
kepalanya membuatkan dia seperti pelarian yang dikehendaki.
Dia berjalan
sambil mencuci mata melihat apa yang mampu dijamu matanya. Sesekali dia
berhenti berjalan dan berdiri terpaku melihat sesuatu dia rasa pelik bagi
otaknya untuk menafsir. Inilah yang dilakukannya setiap hari Sabtu dan Ahad.
Dia akan keluar merayau tanpa arah tuju di pusat membeli-belah. Bukan ingin shopping
tetapi sekadar melepak dan membuang masa. Dia ada pilihan untuk berehat di
rumah tapi bila mengingat kembali ibu dan abang angkatnya, dia rasa lebih baik
dia keluar dari terperuk di rumah.
Kenapa ibu
angkat..? Sebabnya, dia bukan anak kandung. Dia sebenarnya diambil dari rumah
kebajikan oleh sepasang suami isteri ketika berusia lima tahun. Sebelum itu,
dia pernah tinggal dengan sepasang warga emas jauh di dalam kampung yang
terpencil. Lebih tepat dalam hutan dan keluarga angkat pertamanya merupakan
pasangan orang asli. Kata Tok Merah, dia jumpa Syah menangis dalam hutan ketika
dia keluar mencari akar dan daun herba hutan. Katanya, keadaan Syah seperti
baru lepas bersalin. Ditinggalkan dalam hutan sambil berbalut dengan kain sutera
berwarna putih dan kuning. Seram sejuk bila teringat kembali cerita Tok Merah.
Dari situ, Tok
Merah mula syak yang bukan-bukan pasal asal-usul Syah. Dia kata Syah anak
penunggu dan lebih menggerunkannya bila Tok Merah kata dia anak bunian.
Gila..!! Si sweater kuning yang masih berjalan sudah menggeleng. Walaupun
perangai Tok Merah begitu, dia tetap sayang Syah macam cucunya sendiri. Selepas
keluarga angkatnya sudah tiada, dia dihantar ke rumah kebajikan pada usia empat
tahun. Sepasang suami isteri yang tak dikurniakan anak mengambilnya sebagai
anak angkat. Lima tahun kemudian, ibu angkatnya meninggal. Tidak lama selepas
tu, bapa angkatnya berkahwin lain, dengan janda anak dua. Genap usianya 17
tahun, bapa angkatnya pula yang meninggal. Tinggallah dia dengan ibu... angkat
tirinya.
Si sweater
kuning mengeluh berat. Mungkin dah lumrah ibu tiri memang jahat. Macam cerita
atau drama dalam tv. Memang tidak semua ibu tiri macam tu cuma nasibnya saja
yang tidak berapa baik. Dapat mak tiri yang garang nak mampus! Dia masuk ke
dalam sebuah kafe lalu duduk di sebuah meja dengan dua kerusi bersebelahan
dengan dinding kaca. Senang dia nampak manusia lalu-lalang. Dia hanya memesan
jus oren. Jam G-Shock ungu ditenung lama. Baru pukul sebelas pagi. Lepas Zohor,
dia merancang untuk membuat lawatan tak rasmi ke sudio jamming Danny yang tidak
jauh dari sini. Jus orennya sampai. Air disedut hingga tinggal separuh, tanda
dia dahaga.
Dia menyandar
santai dengan tangan dan kaki bersilang. Matanya masih meliar melihat
orang-ramai yang lalu-lalang. Dalam tidak sedar, dia sudah termenung jauh.
Kringg... kringg...!!
Bunyi telefon
dengan deringan ala klasik rancak bergetar dalam poketnya membuatkan lamunannya
hilang. Skrin telefon ditenung lama. Ada rasa meluat di raut wajahnya. Dia
hanya membiarkan deringan itu melalak walaupun beberapa pasang mata sudah
menjeling tajam, termasuklah dua orang lelaki yang duduk berhadapan dengannya.
Pandangan mereka mencerun tanda marah. Si sweater kuning menjeling atas tanda
meluat. Dia segera menghabiskan jusnya dan berjalan keluar dari kafe tersebut.
Salah seorang dari lelaki tadi merenungnya agak lama. Malah, keningnya juga
berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kau kenapa ,
Zul? Dari tadi aku tengok kau diam saja. Apa yang mengganggu kepala kau?” tanya
Badrul. Zulhazmi diam sambil memandang temannya yang masih menunggu jawapan.
“Tak... tak ada
apa cuma...”
“Cuma apa?”
tanya Badrul pantas.
“Tak apalah.
Mungkin cuma kebetulan.” Zulhazmi cuba menepis andaian yang bermain dalam
kepalanya. Aku tak mampu melihat dengan jelas wajah si gadis berbaju putih
tetapi... bentuk fizikal dia hampir sama dengan budak tadi. Itu kata-kata hati
Zulhazmi.
Buk..!!
Bahunya
dilanggar kasar. Seorang budak lelaki dengan cap dalam lingkungan 16 tahun
meminta maaf kerana tidak sengaja melanggar. Zulhazmi hanya tersenyum dan
memaafkannya dengan mudah. Budak itu berlalu pergi dalam sekelip mata. Selepas
beberapa minit, terdetik di hatinya untuk memegang poket belakang seluarnya.
Kosong. Poketnya kosong..?! Bermakna, dompetnya dah hilang. Zulhazmi kalut.
Badrul yang sedar temannya baru diseluk dengan penyeluk saku, mengesyaki budak
yang melanggarnya tadi. Mereka berpecah untuk mencari budak tadi. Memang kerja
bodoh tapi kalau tidak jumpa jugak, balai polislah jawabnya.
Zulhazmi dan
Badrul berpecah. Seorang ke selatan dan seorang ke utara. Selepas lama berjalan
lebih kepada merayau tak tentu arah, Zulhazmi terserempak dengan seseorang yang
dia pernah nampak sebentar tadi.
“Budak tu...?!”
Zulhazmi hampir-hampir menjerit. Dia segera menyorok. Apa yang membuatkan dia
menyorok dari menyerbu terus ialah dia pelik melihat budak itu ketakutan kerana
diugut seseorang yang lebih tinggi darinya.
“Tu... budak di
kafe tadi.” Kata Zulhazmi selepas lama mengamati tubuh budak yang memakai
sweater labuh berwarna kuning. Budak bersweater kuning menumbuk perut si
penyeluk saku sambil menghulurkan tangan meminta sesuatu. “Tak sangka.., dia
arah budak-budak jadi penyeluk saku.” Tuduh Zulhazmi selepas melihat si
penyeluk saku mengeluarkan dompet miliknya. Tanpa berfikir panjang, dia terus
meluru ke arah mereka.
“Woi..!! Budak
tak guna, tergamak kau paksa budak jadi penyeluk saku.” Jerkah Zulhazmi sambil
berlari anak ke arah mereka. Dua insan yang tidak tahu-menahu nampak tergamam
kerana terkejut. Kedua-dua mereka sudah menoleh ke arah Zulhazmi. Dalam
terpinga-pinga, si penyeluk saku menolak si sweater kuning hingga jatuh ke
belakang kemudian berlari ke arah Zulhazmi malah sempat menolak tubuh sasa itu
ke tepi. Si sweater kuning bingkas bangun dengan niat untuk mengejar tetapi
lengannya diragut kemas oleh tangan sasa lelaki asing tadi.
“Kau nak mana?”
tengking Zulhazmi lantang.
“Bodoh..!! Kau
biarkan dia lari.” Balas si sweater kuning, menyamai nada suaranya. Lengannya
ditepis kasar dan terus berlari untuk mengejar budak penyeluk saku tadi. Dalam
kebingungan, Zulhazmi turut mengejar si sweater kuning. Maka, berlangsung acara
kejar mengejar antara mereka. Para pengunjung yang melihat acara segera memberi
laluan. Takut dilanggar. Si sweater kuning tidak pula terasa nak meraung
meminta tolong. Dia hanya terus mengejar sehinggalah si penyeluk saku berjaya
menuruni tangga bergerak.
------------BAB
5------------
Si sweater
kuning tahu dia dah jauh ketinggalan. Orang yang melihat aksinya dinasihatkan
supaya jangan meniru aksi ini. Si sweater kuning melompat ke palang yang
memisahkan ruang koridor tingkat satu dan ruang legar yang luas dan turun
perlahan-lahan melalui tiang besar setinggi sepuluh meter. Macam monyet pun
ada. Dia mendarat dengan selamat. Nasib baiklah tadi dia berada di tingkat
satu, dibuatnya tingkat dua boleh patah tulang betisnya. Dahsyat..? Memang
dahsyat. Mengalahkan aksi Jackie Chan. Yang bermata sudah terbeliak dan
bermulut pula sudah melopong luas. Macam aksi drama dalam tv. Si sweater kuning
berjaya memintas si penyeluk saku yang baru saja turun dari tangga bergerak.
Suasana sunyi
kerana semua mata tertumpu pada mereka berdua. Yang kedengaran hanyalah bunyi
muzik yang kuat dan mereka berdua yang tercungap-cungap penat. Si sweater
kuning mencekak pinggang tanda penat kemudian berjalan mendekati si penyeluk
saku. Orang ramai sudah menjadi penonton tidak diundang. Mereka berdua berdiri
terpacak dan saling memandang. Si penyeluk saku kaget. Dia tahu yang dia sudah
terperangkap.
“Aku tak ada
niat nak cederakan kau tapi kalau kau beritahu di mana kau buang barang aku,
aku janji aku akan lepaskan kau... hidup-hidup!” kata si sweater kuning agak
meninggi untuk melawan bunyi muzik yang sedang rancak menggila.
“Aku tak tahu!
Aku tak ingat!” balas si penyeluk saku yang makin gelabah. Tahap gelabahnya
makin meningkat bila melihat tiga pengawal sekuiriti datang dengan cota besi
mereka. Entah dari mana, muncul seorang budak lelaki lebih kurang lima tahun
dari sebelah si penyeluk saku. Disebabkan terdesak yang amat sangat, si
penyeluk saku meragut budak tadi rapat dengannya dan leher si budak sudah diacu
dengan pisau lipat. Dipendekkan cerita, budak itu sekarang menjadi tebusan.
Meraung-raunglah si ibu bila melihat anaknya menjadi tebusan, yang si bapa
sibuk menelefon polis.
Penonton tidak
diundang sudah melarikan diri tapi ada pula yang seronok menonton. Siap merakam
dengan telefon canggih mereka lagi. Manusia...
Si penyeluk
saku nampak terdesak malah siap ugut nak kelar leher si budak yang sudah
terkencing dalam seluarnya. Si sweater kuning diam dengan kedua tangan di dalam
poket sweaternya. Dia masih berdiri terpacak dengan kepala yang senget.
“Parah..!!
Bukan ni yang aku rancang dari mula. Lagi parah kalau identiti aku terbongkar.”
Bisik si sweater kuning. Sekarang tahu kenapa si sweater kuning berpakaian mengalahkan
budak tak betul. Hud sweater ditarik ke depan hingga menutup matanya. Dia tunduk
dan duduk sambil menongkat sebelah lutut, seperti seorang penari menunggu
giliran untuk menari. Si penyeluk saku sudah pelik. Dia mengugut lagi dengan
penuh lantang. Si sweater kuning langsung tak mengendah. Si pengawal pula sibuk
cuba memujuk. Selalunya dalam situasi begini, hal pujuk-memujuk memang tak
jalan. Jadi, jalan yang terbaik untuk sedarkan kewarasan si penyeluk saku ialah
dengan...
“Polis
datang..!” Tempik satu suara yang bersembunyi di sebalik kumpulan manusia. Si
penyeluk saku menoleh pantas untuk melihat dan pada masa yang sama, si sweater
kuning bertindak. Dia berlari pantas lalu melompat dan berpusing lantas kakinya
menendang tangan yang memegang pisau yang masih diacu ke arahnya. Pisau tadi
terpelanting jauh. Sepantas kilat, tangan si penyeluk saku direntap hingga
terkehel lalu dikilas ke belakang.
“Lari..!!”
jerkah si sweater kuning kepada si budak. Sebaik saja si budak hilang, si
penyeluk saku dihumban ke lantai. Jeritan dan laungan kesakitan si penyeluk
saku langsung tidak diendahkan. Lututnya menekan belakang si penyeluk saku yang
masih meraung dan merintih simpati.
“Aku tanya
sekali lagi... mana kau campak dompet aku?!!” tengking si sweater kuning sambil
menarik rambut si penyeluk saku.
Zulhazmi
berdiri terpaku seperti patung bila melihat si penyeluk saku mengeluarkan pisau
lipat sambil ditekan pada leher si budak. Dia ingin hulurkan bantuan
memandangkan dia juga mempunyai tali pinggang hitam dalam tae kwon do, tapi itu
lima tahun yang lalu. Dah berkarat pun. Kalau dia mampu menolong sekalipun,
nyawa si budak masih menjadi taruhan. Tiba-tiba, dia melihat si sweater kuning
duduk dengan lutut sebelah.
“Dia nak
serang..?” bisik Zulhazmi perlahan. Dia masih bersesak dengan penonton-penonton
tidak diundang. Lantas, idea yang agak bernas muncul dalam otaknya.
“Polis
datang..!” Zulhazmi menempik lantang. Semua yang mendengar segera mencari
kelibat suara tadi. Pada waktu itulah, si sweater kuning bertindak pantas dan
berjaya mematahkan niat si penyeluk saku yang sudah hilang kewarasan diri.
Selepas beberapa minit, dia dapat lihat si sweater kuning menjerit di telinga
si penyeluk saku. Kemudian, si penyeluk saku membisikkan sesuatu pada si
sweater kuning yang sudah merapatkan telinganya. Tak lama kemudian, si penyeluk
saku dibawa pergi dan keadaan kembali tenang. Kejayaan si sweater kuning
menyelamatkan si budak mendapat tepukan gemuruh dari penonton tidak diundang.
Zulhazmi segera
mendekati si sweater kuning yang sudah mengutip dompetnya.
“Boleh saya
ambil dompet saya balik?” pinta Zulhazmi sopan. Memang patut pun. Pada awalnya
dia dah salah sangka dengan si sweater kuning. Dia sangka mereka satu kepala,
rupanya tidak. Dia naik takut bila ditenung lama si sweater kuning. Walaupun
terlindung dengan cermin mata yang agak gelap, dia boleh rasakan renungan yang
tajam di sebalik kaca mata itu.
“Ini... awak
punya?” Si sweater kuning bersuara dengan suara yang kedengaran seperti sengaja
digaraukan. Kening Zulhazmi terangkat.
“Ya. Dompet tu
kepunyaan saya.” Zulhazmi ingin mengambil tetapi si sweater kuning lebih pantas
menarik dan disorokkan ke belakangnya.
“Tadi... awak
panggil saya apa ya...?” Si sweater kuning sekadar menduga. Zulhazmi nampak
terkedu. “Tak reti-reti nak minta maaf ke?” tambahnya lagi. Zulhazmi tersengih
sambil menggaru belakang kepalannya yang tidak gatal.
“Saya minta
maaf pasal tadi. Saya ingat awak bersekongkol dengan budak tu.” Balas Zulhazmi
masih tersengih. “Macam mana awak tahu budak tu...” Si sweater kuning cuma
diam. Dia menoleh ke arah pintu utama di mana si penyeluk saku dibawa keluar.
“Dia pernah
seluk dompet saya. Sebab tulah...” Dia membiarkan ayatnya tergantung.
“Dah jumpa
balik?”
“Dah..”
“Kalau dah
jumpa, kenapa awak sergah budak tu lagi?” Zulhazmi buat muka bingung.
“Saja-saja..,
nak lepas geram.” Selamba saja si sweater kuning a.k.a Syah berkata. Matanya
tertumpu pada beberapa orang pegawai polis berpangkat rendah sedang berjalan
pantas ke arahnya.
“Kamu... budak
bersweater kuning! Sila ikut kami ke balai.” Laung salah seorang polis tadi.
Mendengar saja kata-kata itu, si sweater kuning melempar dompet Zulhazmi
kembali pada tuannya. Langkah seribu sudah dibuka. Gila...!! Siapa yang nak
ikut bagi keterangan. Dapat tangkap seekor pun dah kira beruntung. Kalau nak
diharapkan diorang, haram...
Zulhazmi hanya
mampu melihat si sweater kuning melarikan diri sambil dikejar beberapa polis
berpangkat korperal.
“Dahsyat betul
budak-budak zaman sekarang.” Zulhazmi menggeleng kepala sambil tersenyum nipis.
Kelibat si sweater kuning sudah hilang dari pandangan.
------------BAB
6------------
Perjalanan dari
restoran Mak teh ke rumah hanya mengambil masa 15 minit. Kadang-kadang tu tidak
sampai pun sepuluh minit. Suasana kawasan rumah taman kos rendah nampak sunyi
sepi. Memanglah sunyi, waktu pun dah nak masuk tengah malam. Setiba di depan
sebuah rumah, kelihatan beberapa orang pemuda, lebih tepat lima orang semuanya,
sedang rancak bersembang. Sebaik saja motor Syah memasuki perkarangan rumah
tersebut, semua mata tertumpu padanya.
Syah turun dari
motornya dan dengan selamba tanpa menjeling ke arah mereka berlima, dia
mendekati pintu masuk. Namun, seperti biasa langkahnya pasti dihalang.
“Baru balik,
Syah..?” Nabil tersengih depan pintu dengan kedua tangan melekat pada daun
pintu. Langkah Syah sudah terhenti. Semua mata yang melihat sudah tersengih
mengalahkan siput kena rebus.
“Jomlah join
kitorang berborak. Sunyilah kalau Syah tak ada.” Tambah Nabil agak ghairah dan cuba
mengangkat visor helmet Syah. Syah pula pantas berundur. Wajah geram dan
menyampahnya masih tersembunyi di belakang visor gelapnya.
“Oou... ada
tindakan reflekslah..!!” jerit mereka tanpa segan atau takut. Senyuman Nabil
makin melebar. Dia mengorak langkah mendekati Syah.
“Sudahlah, Bil.
Kang nangis pulak budak tu.” Larang Halim yang masih sibuk menyedut rokok yang
tersangkut pada jarinya. Matanya tajam memandang Syah. Halim adalah abang
angkat tirinya. Anak jantan paling pemalas Syah pernah jumpa sepanjang
hidupnya. Lelaki itulah biawak hidup yang masih bernafas dengan duit mak
sendiri dalam erti kata lain, duit Syah.
“Kau ni kacau
daunlah, Lim. Budak ni tak merengek pun, tapi kau pulak yang melebih.” Nabil
sudah melenting. Syah masih diam membisu.
“Kalau kau nak
tahu macam mana rasa sakit bila tulang rusuk kau patah, bukak la satu langkah
lagi.” Syah bersuara tiba-tiba. Nabil dan mereka yang bertelinga terkejut
dengan amaran Syah. Nabil ketawa sinis. Halim pula naik darah. Dia melontar
puntung rokok tadi dan berjalan pantas mendekati Syah yang tak jauh dari
tempatnya bertenggek. Bahu Nabil sudah ditarik tanda dia perlu berundur.
“Baik kau masuk
rumah sekarang..!” Halim memberi amaran keras sebaik saja berdiri setapak di
hadapan Syah. Syah membuka helmatnya dan serentak semua mata menikam raut
wajahnya. Siapa yang akan menoleh ke tempat lain kalau gadis cantik dan ayu bak
bidadari berdiri terpacak depan mata.
“Aku memang nak
masuk tapi... kawan kau tak cukup akal ni yang halang aku dulu.” Balas Syah
selamba sambil merenung lembut ke arah Nabil yang seperti biasa pasti akan
terkebil-kebil setiap kali terkena panahan lembut si mata perang keemasan. Syah
berjalan selamba masuk ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat dan kelibat Syah
lesap dari pandangan.
“Aarghh...!
Perempuan tu betul-betul buat aku hilang sabar. Kalau dia adik aku, dah lama
aku merasa dan ratah tubuh dia. Dah duduk serumah, bilik pulak bersebelah... Lim..,
takkanlah kau nak biarkan dia macam tu saja.” Nabil melempiaskan amarahnya.
Dari dulu lagi,
dia memang berdendam dengan Syah. Bukan nak berlagak tapi di antara kawan
Halim, dialah yang boleh dikatakan paling kacak dan bergaya. Anak Datuk lagi.
Sebelum ni, tidak pernah ada seorang perempuan pun yang pernah tolak ajakannya.
Tidak perlu ajak, ada yang datang dengan rela hati semata-mata nak serahkan
mahkota kegadisan mereka untuknya.
Cuma lepas kali
pertama dia berjumpa dengan Syah, selera dia untuk gadis lain terus terbantut.
Dah bermacam cara dia cuba menghayat Syah tapi satu pun tidak lekat. Siapa yang
tak geram. Syah jual mahal sampai harta mak bapaknya pun tak mampu membeli hati
Syah.
“Kau diamlah..!!”
tengking Halim lantang. Dia memang dah meluat dengan rungutan Nabil. Setiap
hari asyik benda yang sama saja yang diungkit. Dia merengus kasar. Macam yang
Nabil cakap, bukan dia tak pernah cuba tapi alih-alih dia yang teruk. Pernah
satu hari, waktu malam, dia menerjah masuk bilik Syah sebaik saja adik
angkatnya selesai mandi. Waktu itu, dia memang dah bertekad untuk menjadi orang
pertama yang merasa kegadisan Syah. Malangnya, dia tidak tahu Syah tahu
berlawan.
Malam itu juga untuk
kali pertama dalam hidupnya tiga tulang rusuknya patah. Pertama kali dalam
sejarah hidupnya dia kalah dek penangan seorang gadis. Seminggu dia terperuk dalam
biliknya. Bila ditanya mak, dengan selamba dia menjawab dia kemalangan.
Takkanlah nak cakap si Syah belasah dia. Buat malu kaum sejenis saja.
“Kalau nak
serang dia, tak boleh buat sorang-sorang. Kena ramai-ramai.” Tambah Halim
sambil mencekak pinggang.
“Maksud kau nak
buat kenduri..? Bagus Lim.., kau memang tak lupa kawan. Nasib baiklah kau tak
kedekut macam si Nabil. Kalau dapat sorang, suka ratah senyap-senyap.” Sampuk
Saiful sambil tersengih.
“Hei..! Dia
yang datang dekat aku maknanya dia aku punya.” Nabil mengherdik Saiful yang
masih tersengih. Joe dan Paien juga tak ketinggalan. “Apa rancangan kau,
Lim..?”
“Aku ada plan
aku sendiri. Korang cuma perlu ikut saja. Yang penting, aku orang pertama.
Lepas tu, korang buatlah giliran sendiri.” Balas Halim dengan senyuman sinis
penuh sifat nafsu syaitan.
------------BAB
7------------
“Syah..!! Bukak
pintu ni. Aku nak cakap sikit dengan kau.” Jerkah satu suara diikuti dengan
paluan kuat pada pintu bilik. Syah yang baru pulang kerja dan ingin melelapkan
mata tersentak, nyaris-nyaris maut. Dia memaksa dirinya untuk bangun walaupun
badannya letih yang teramat sangat. Pintu dibuka perlahan tapi ditolak kasar
dari luar supaya terbuka luas. Seorang wanita agak berusia sedang berdiri
dengan muka yang berang.
“Mak nak apa?”
tanya Syah sambil menggosok sebelah mata.
“Aku nak duit.”
Pinta Zaiton ringkas.
“Duit..?! Bukan
ke Syah dah bagi duit untuk bulan ni?” balas Syah sambil menggaru kepalanya
yang masih bertudung. Zaiton mendengus.
“Bagi jelah
bila aku minta! Kenapa susah sangat..?!” tengking Zaiton lagi. Gegendang Syah
terasa seperti nak meletup.
“Syah tak ada
duitlah mak. Lagipun, hari ni baru tengah bulan, Syah mana dapat gaji lagi.”
terang Syah lagi.
“Aku tak
kira..! Kalau kau tak bagi, baik kau kemas semua kain baju kau dan berambus
keluar dari rumah ni.” Tambah Zaiton lagi. Syah sudah tercengang bila mendengar
ugutan ibu tirinya. Liur yang ditelan terasa pahit. Ugutan Zaiton jangan
dipandang rendah. Syah pernah dihalau keluar rumah dulu gara-gara tidak membayar
sewa bilik. Dengan anak sendiri pun nak minta sewa. Manusia...
“Haa...!
Tercegat apa lagi? Cepat bagi aku duit..!!” tengking Zaiton lagi. Syah mengeluh
perlahan. Nak tak nak, terpaksalah dia korek tabung buruknya.
“Nah..!” Syah
menghulurkan empat keping not lima puluh yang diambil dari seluar jeansnya yang
sentiasa tergantung di belakang pintu. Zaiton merampas kasar sambil mengira
duit tadi. “Syah cuma ada dua ratus saja.” kata Syah lemah.
“Lain kali
kalau aku minta terus bagi, jangan nak banyak soal!” Zaiton berjalan pergi
dengan muka yang masih menyinga. Syah menutup pintu biliknya. Dia menghempaskan
badannya di atas tilam bujang yang tidak berkatil. Dia mengeluh berat.
Tangannya sudah menekup matanya.
“Ikat perut
lagilah aku bulan ni.” Rungut Syah sendirian. Duit tadi sepatutnya dibuat
belanja sampai hujung bulan. Walaupun gajinya lebih kurang sembilan ratus
sebulan, jumlah itu masih belum cukup untuk menjelaskan duit ansuran motornya
ditambah pula dengan duit sewa bilik dan bil eletrik dan air rumah. Penat kalau
difikirkan balik. Dua orang anak lelaki Zaiton langsung tidak hulurkan duit.
Boleh dikatakan hanya dia saja yang mengeluarkan duit untuk menjelaskan
sebarang bil atau hutang. Syah mengeluh lagi.
Mieow....
Syah tersentak
seraya menoleh ke arah tingkap biliknya. Bibirnya merekah mengukir senyuman. Dia
menggagahkan badan yang lemah ke arah tingkap lalu dibuka. Seekor kucing
berbulu lebat dan lembut, berwarna putih bertompok emas menyelit masuk melalui
tingkap tadi. Belum sempat si kucing melompat turun, tubuh gebunya diangkat
oleh Syah. Si kucing selamat dalam pelukan Syah.
“Cik Timah ke
mana pagi tadi? Penat Syah cari tapi tak jumpa. Cik Timah pergi jumpa jantan
sebelah rumah tu lagi, betul kan..?” Cik Timah mengiau manja seperti memahami
kata-kata tuannya. Syah tertawa kecil. Badan Cik Timah diusap manja. Getaran
nafas Cik Timah memang menenangkan mindanya. Kemudian, dia mengeluh berat.
“Cik Timah...,
Syah penatlah.” Bisik Syah perlahan. Nasibnya tidak seteruk ini ketika ayahnya
masih hidup. Dulu, nak mendengar ayahnya meninggi suara memang susah. Waktu itu
juga, dia merupakan anak emas ayah. Boleh dikatakan dulu adalah zaman
kegemilangannya. Dia dilayan dengan baik. Tapi sekarang, hampir setiap minit
telinganya asyik ditikam dengan jeritan dan makian ibu tirinya. Mungkin inilah
ujian dari ALLAH. Mana boleh seronok memanjang, sekali-sekala perlulah rasa
susah sikit. Baru seimbang.
Syah yakin ini
ujian dari-Nya. Ayah selalu kata, ALLAH beri dugaan yang berat kerana DIA yakin
hamba-Nya mampu menanggungnya. Sebab itulah Syah yakin, dia mampu jalani ujian
yang diberi dengan baik. Insya’allah...
------------BAB
8------------
Langkahnya yang
diatur semakin perlahan. Jalan yang dilalui juga agak licin dan basah serta dipenuhi
dengan dedaun kering. Kiri dan kanan semestinya hutan yang tebal. Matanya
menangkap cahaya samar-samar di hadapan. Dia melangkah lagi sehingga terasa
nafasnya sedikit pendek. Sampai di satu tempat, kelihatan seseorang gadis
lengkap berbaju putih sedang berdiri mengadap ke arah air terjun. Saat ini,
jantung mula berdegup kencang. Langkahnya sudah terhenti. Dia takut untuk
meneruskan langkah kerana setiap kali dia cuba mendekati gadis misteri itu,
pasti dia akan kembali ke dunia realitinya.
Dia takut.
Namun, kakinya terasa untuk terus melangkah. Setapak demi setapak dan akhirnya
dia sudah berada dekat dengan belakang gadis. Sejurus itu, hidungnya menghidu
bau bunga kemoja. Harum dan menenangkan. Entah kenapa, tangannya mula bergerak
lalu memegang bahu kiri gadis misteri itu. Jantungnya berdegup kencang di saat
gadis itu menoleh ke arahnya dengan mata tertutup rapat. Dan setelah sekian
lama menunggu, akhirnya matanya berjaya melihat wajah si gadis misteri. Dia
terpaku dan mengeras seperti patung.
Matanya kini sedang
memandang raut wajah milik seorang gadis. Mulutnya sedikit terlopong. Dia
terkedu. Wajah gadis itu terlalu cantik untuk digambarkan dengan kata-kata.
Dari kening hingga ke bibir, semuanya sempurna. Terlalu sempurna di matanya.
Sejurus itu, mata gadis itu pula yang terbuka. Zulhazmi terasa seluruh tubuhnya
sudah disimen. Keras dan pejal. Matanya membesar sebaik saja terpandang anak
mata si gadis. Langsung tidak berkedip.
Perang dan
menawan. Tidak mampu dialih sebaik saja terpandang. Dia sudah berjaya melihat
wajah gadis misteri yang selalu mengganggu mimpinya. Tapi.., apa maknanya?
Adakah ini bermakna mimpi untuk bertemu dengan gadis misteri tamat di sini
saja? Zulhazmi mula dirudung rasa takut dan resah. Mata si gadis berjaya
membuat jantungnya berdegup kencang. Adakah ini perasaan cinta? Tak mungkin.
Kenapa dia harus jatuh cinta dengan gadis yang tidak wujud di dunia nyata?
“Siapa awak?
Kenapa awak selalu muncul dalam mimpi saya..?” Zulhazmi akhirnya bersuara.
Matanya masih belum dialih dari wajah gadis misteri itu.
“Awak akan
tahu.” Jawab gadis misteri itu lembut dan perlahan. Zulhazmi terpanar. Suaranya
seakan mirip seseorang. Lama-kelamaan, gadis misteri itu mula menjauhi tubuh
Zulhazmi yang masih mengeras. Tangannya sudah menggapai namun badannya tidak
mampu bergerak walau seinci.
“Tunggu...!!”
Zulhazmi menjerit kuat hingga mampu membuatkan badannya bergerak semula. Namun,
kelibat gadis misteri itu sudah pun hilang dari pandangannya.
BUK...!!
Serentak
kedengaranlah seseorang mengerang sakit di bawah selimut yang menutup kepala
dan separuh badannya. Selimut ditarik kasar. Zulhazmi menggosok-gosok kepalanya
yang sudah terasa sakit tak terkata. Dia jatuh katil rupanya. Habis mengerang,
dia terdiam.
“Mimpi tadi...,
aku dah nampak wajahnya. Aku betul-betul dah nampak wajahnya.” Zulhazmi
membebel sendiri sambil tersenyum puas. Kemudian, kedengaran tawa kecil keluar
dari bibir Zulhazmi. Dia puas. Selepas begitu lama dia bersabar, akhirnya
berjaya juga dia melihat raut wajah gadis misteri itu.
“Tapi..., apa
maknanya..?” Zulhazmi duduk tersandar di tepi katilnya dengan dahi berkerut.
Keluhan berat terlepas keluar dari bibir nipisnya. Wajahnya nampak sayu dan
muram. “Tolong jangan tinggalkan saya.” Pinta Zulhazmi perlahan.
Di hujung
minggu, Syah keluar bersama-sama Danny, Emir, Melinda dan Dahlan. Pada awalnya
perlawaan Danny memang ditolak mentah-mentah tetapi memandangkan tinggal di
rumah bagaikan tinggal dalam neraka, ada baiknya dia mengikut saja si Danny dan
temannya yang lain keluar melepak di pusat beli-belah di bandar. Seluruh
pelusuk pusat beli-belah itu mereka terokai dengan jayanya.
Pawagam memang
tersenarai dalam sesi riadah mereka. Yang paling seronok ketika ini semestinya
Danny kerana memang jarang dan sememangnya sukar untuknya keluar jalan-jalan
dengan Syah. Senyuman lebar hingga ke telinga buat Syah naik meluat dan
menyampah. Tapi dia memang tidak kisah sebab perangai Danny memang begini. Dia
sendiri pula tidak pernah ambil serius. Penat berjalan, mereka berehat-rehat di
sebuah kafe.
Emir duduk
berkepit dengan aweknya, Melinda. Dahlan masih sibuk mencuci mata sambil
memandang ke luar dinding kaca. Danny sentiasa setia di sisi Syah.
“Korang ada
dengar berita gempak yang berlaku dekat mall ni seminggu yang lepas?” tanya
Emir tiba-tiba. Tangannya sudah berlingkar di pinggang Melinda yang begitu
manja melentok lembut di bahunya. Danny dan Dahlan sudah memasang telinga. Syah
buat pandai dengan gayanya.
“Berita apa..?”
tanya Dahlan tanpa mengalihkan pandangannya. Macam acuh tidak acuh.
“Ada budak buat
stunt gaya Jackie Chan gara-gara nak selamatkan budak kecik. Ramai yang tengok.
Dalam internet pulak... jangan cakap, padat dengan aksi dia.” Cerita Emir
sedikit teruja.
“Dan tujuan kau
cerita semua sebab....” Syah bertanya.
“Pihak polis
letak harga pada budak tu sebab timbulkan kekecohan, hampir cederakan orang
awam dan... enggan memberi kerjasama semasa diminta beri keterangan.” Terang
Emir lancar. Syah ketawa tiba-tiba sambil menggeleng kepala. Danny sudah
menjeling pelik. Ketawa sinis Syah terhenti bila matanya bertembung dengan
jelingan Danny.
“Ada wanted
poster ke?” tanya Danny pula.
“Dekat information
board. Siap ada nama panggilan lagi..., ‘Si Sweater Kuning’. Aku boleh bet yang
budak tu perempuan sebab lelaki mana yang sanggup pakai sweater kuning kalau
nak buat stunts.” Emir berkata yakin.
“Mana kau tahu
dia perempuan. Mustahillah. Takkan perempuan berani buat stunts macam tu.”
Dahlan menepis. Melinda tiba-tiba menjeling marah.
“Kenapa pula
tak boleh? Zaman sekarang dah berubah la...! Perempuan boleh buat apa saja yang
lelaki boleh buat, kan sayang?” Rengek Melinda manja dengan jemarinya meliar
dan melata di dada Emir. Emir ketawa geli sambil mencuit hidung Melinda. Gelak
tawa mereka sudah menjadi tumpuan. Syah bangun dan keluar dari kafe tersebut
kerana dia sendiri berasa geli dan janggal dengan perbuatan mereka. Danny
mengekor rapat.
“Syah...!”
Panggil Danny dari belakang tapi langkah Syah masih dihayun. Tiba-tiba,
lengannya ditarik.
“Woi..! Apa
ni..?!” Syah menarik semula tangannya. Kasar.
“Aku nak tahu
perkara yang sebenar. Budak tu kau kan..?”
“Apa yang kau
merepek ni..?!”
“Jangan buat
bodoh, Syah. Aku kenal kau dan aku yakin budak tu kau.”
“Kalau dah
tahu, buat apa nak tanya lagi..?”
Danny
tercengang dengan pengakuan selamba Syah. Marah.., memang dia marah. Syah
sekali lagi membuat kerja gila. Geram.., jangan cakap. Sudah berkali dilarang,
tapi Syah tetap mengulangi perbuatan yang sama.
“Kau tahu tak
apa yang kau buat tu merbahaya.” Danny mencekak pinggang tanda marah.
“Aku tahulah.
Kau jangan nak nasihatkan aku. Aku dah besar dan aku tak perlukan khidmat
nasihat kau macam dulu.” Syah tak mahu mengalah. Tangan bersilang tanda protes.
“Kalau dah
tahu, kenapa kau masih buat perkara yang sama...?”
“Okey... okey..,
aku tak nak dengar ceramah free kau kat sini. Aku letih dan aku nak balik
tidur. Aku keluar dengan kau pun sebab aku tak berani nak tidur di rumah.”
“Habis tu, kau
nak tidur di mana..?”
“Surau ada,
masjid pun boleh apa.” Syah mula membuka langkahnya. Danny menyeluk poket
seluarnya.
“Ambil ni.”
Danny menyerahkan segugus kunci ke tangan Syah. Syah merenung Danny dengan air
muka pelik. “Aku tahu kau takut nak tidur kat rumah sebab abang kau. Kau tidur
je kat kondo aku sebab aku tak balik situ malam ni. Aku tidur kat rumah parent
aku.”
Syah diam
seribu bahasa sambil merenung lama kunci di tangannya. Danny tersenyum nipis.
“Janganlah buat muka terharu kat
sini. Pergilah cepat. Macam tak biasa pulak aku tengok gaya kau. Kalau ada
problem, call aku.” Danny menolak membuatkan Syah membuka langkahnya semula.
Dia melambai selamba tanpa menoleh. Danny hanya mampu melihat sambil tersenyum
dari jauh.
permulaan yg menarik. . .^_^
ReplyDeleteSaya dah lama cari blog ni tq.
ReplyDelete