------------BAB 21------------
Keesokkan harinya, selepas
bersarapan Fazira dipanggil Ghazali ke ruang tamu. Alif dan dua adiknya disuruh
bermain di luar rumah sementara Ghazali dan Fazira berbincang di ruang tamu.
“Perkara apa yang ayah nak
bincangkan dengan Zira?” tanya Fazira sambil menuang teh panas ke dalam cawan
lalu diletakkan di hadapan Ghazali. Si bapa merenung wajah anak gadisnya dalam
diam. Fazira pula pelik melihat kelakuan bapanya.
“Kenapa ayah tengok Zira macam tu?”
Ghazali tersenyum sendiri.
“Tak ada apa... cuma ayah tak
sangka.., cepat betul anak ayah yang sorang ni membesar. Dulu masa mula-mula
ayah dukung, Zira nampak kecik sangat. Sekarang..., dah besar. Sama tinggi
dengan ayah pulak tu..” Fazira sekadar tersenyum malu beserta tawa kecil.
“Mari dekat ayah.”
Fazira pantas bangun dan duduk
bersimpuh di lantai bersebelahan bapanya. Kedua tangannya sudah dipegang erat
oleh Ghazali. Senyuman masih terukir mekar dibibir tuanya.
“Zira..., ayah sebenarnya nak
beritahu yang kedatangan Pak cik Faizzul dan Mak cik Jannah bukan sekadar
datang untuk berjumpa ayah tapi..., mereka juga datang untuk merisik Fazira.”
Tercengang Fazira mendengar
penjelasan bapanya. Dia tertunduk kerana tak mampu menatap wajah bapanya.
Perasaan takut mula membaluti jiwanya.
“Zira...” Panggil Ghazali lembut.
Perlahan-lahan, Fazira mendongak dan memandang wajah Ghazali dengan mata yang
mula bergenang. Ghazali pula dilanda resah. “Zira..., ayah takkan paksa Zira
terima. Ayah faham kalau Zira masih belum bersedia. Ayah sekadar...”
“Ayah...” Fazira bersuara lembut
dan mendayu sambil menggenggam erat jemari ayahnya. Ghazali memandang anak
gadisnya yang sudah tersenyum manis. “Ayah tahu keputusan Zira, kan..? Zira
akur dengan keputusan ayah. Tak kiralah sesiapa pun yang ayah pilih, Zira...
terima.” Fazira menamatkan ayatnya sejurus itu tangan bapanya dikucup lembut.
Dalam tidak sedar, air mata Ghazali
mengalir. Ubun-ubun anaknya dikucup. Masing-masing tersenyum. Ghazali
mengeluarkan sesuatu dari poketnya. Sebuah kotak kecil berwarna biru baldu.
Kotak kecil itu dibuka oleh Ghazali sendiri dan di dalamnya tersimpan sebentuk
cincin putih bertakhtakan tiga butir berlian. Cincin tadi diambil lalu
disarungkan ke jari manis kiri anak gadisnya. Fazira tersenyum dalam terpaksa
lantas pinggang Ghazali dipeluk erat. Menangislah Fazira kerana terharu dan
juga gembira kerana dirinya kini, dengan rasminya bakal menjadi tunangan orang.
Kenduri kesyukuran diadakan sempena
hari pertunangan Fazri dan Fazira namun tidak dihebohkan perihal mereka sudah
bertunang. Mereka akan diijab kabulkan sebulan selepas majlis persandingan Kamarul
dan Fazilah. Berita tentang penerimaan pinangan dari pihak lelaki selamat
sampai ke telinga dua sahabat baik Fazira dan juga Maimun.
“Nanti baju pengantin Zira biar Kak
Mun yang jahitkan. Zira siapkanlah baju kawan Zira tu dulu. Barang-barang
hantaran Zira pulak, Kak Sal yang akan uruskan. Zira cuma tunggu sambil goyang
kaki.”
“Zira bukan nak menolak atau
membantah.., cuma... ayah tak setuju pasal bab persandingan. Dia kata dia tak
mahu langsungkan sesi persandingan.”
“Laa..., kenapa pulak..?” tanya Maimun
sambil mencekak pinggang. Fazira mengerut dahi.
“Ayah cakap..., dia tak suka tengok
anaknya jadi bahan pameran. Sebab tulah...”
“Okeylah.., Kak Mun tak kisah. Yang
penting, Zira pakai baju yang Akak jahit. Jangan risau. Tak seksi mana pun.
Akak buat macam yang Zira suka.., gaya muslimah sejati.” Maimun tersenyum
lebar. Fazira mengangguk lembut tanda setuju.
Maimun memang gembira kerana Fazira
sudah dianggap seperti adik sendiri. Malah dari awal lagi dia sudah mengagak
Fazri pasti berjaya menambat hati si gadis ala-ala Arab itu. Sejak perkenalan
Fazri dengan Fazira, si jejaka tidak putus berhubung dengannya dan bertanyakan
tentang latar belakang si gadis. Dia tidak pelik ataupun mengesyak sebarang
niat yang jahat kerana dia sudah kenal hati budi Fazri melalui suaminya yang
turut bekerja di dalam satu bangunan malah satu pejabat bersama Fazri.
Kegembiraan Maimun turut dirasai
oleh Fazilah dan Kamarul, memang bukan kepalang kerana akhirnya mereka akan
bersatu selepas lima tahun menunggu. Janji antara mereka akhirnya tertunai.
“Ya... ALLAH.., Zira! Aku ucapkan
tahniah...!” Ucap Fazilah sambil memeluk erat temannya. Matanya juga hampir
bergenang. Fazira sekadar tersenyum pelik.
“Sudah-sudahlah tu. Kang mati
tercekik pulak budak tu.” Sakat Kamarul beserta sengihan sumbing. Fazilah
membalas dengan jelingan tajam.
“Kiranya jadilah majlis akad nikah
kita..?” Pertanyaan Fazilah membuatkan Fazira tercengang.
“Tak naklah buat sekali. Ayah kata
dia nak buat asing-asing. Lebih kurang sebulan lepas majlis korang. Seganlah
kalau buat serentak.”
“Laa... kan dah janji nak buat
sekali! Lagipun, apa yang kau nak segan?”
“Adik beradik dan saudara mara
korang kan ramai, nanti sesak pulak. Korang pun tau yang aku tak suka tempat
yang sesak.” Fazilah diam seketika.
“Takkanlah sampai sebulan. Dua
minggu cukuplah.” Sambungnya lagi.
“Ni keputusan ayah. Takkanlah
korang nak aku cepatkan tarikh. Nanti dia fikir aku yang tak sabar pulak.
Lagipun, kad jemputan pun dah tertulis tarikhnya.” Mereka diam mendengar
penjelasan Fazira.
“Macam mana dengan pihak lelaki?”
tanya Kamarul. Fazira jongket bahu.
“Aku sendiri tak tahu. Selama ni
ayah yang uruskan. Aku jarang berjumpa dengan mereka.” Jawab Fazira sambil
tertunduk. Mereka diam lagi.
“Lantaklah sebulan ke.., dua bulan
ke.., yang penting kau dah jumpa jodoh kau. Itu yang penting.” Tambah Fazilah
dengan nada teruja.
“Kau nih..! Gembira terlebih.
Macamlah si Zira tu takkan berkahwin seumur hidup.” Kamarul mengomel sinis.
“Kau jangan nak menyibuklah. Yang
gembiranya aku.., bukannya kau.” Fazilah menjeling garang.
“Tak kisahlah berapa lama pun...
yang penting, dua minggu dari sekarang dapatlah aku peluk minah kering
nih...puas-puas..!” Kamarul merenung Fazilah sambil tersenyum jahat. Mata
Fazilah sudah terbuntang. Mukanya merah menahan malu. Fazira hanya mampu
menutup mulut bila kedua temannya memulakan perang mulut mereka.
------------BAB 22------------
Pintu kaca Butik Impian Maimun
berbunyi menandakan seseorang menapak masuk namun kedatangannya langsung tidak
disambut oleh sesiapa. Suasana di dalam butik itu agak sunyi. Tak hairanlah
kalau sunyi memandangkan waktu sudah tengahari.
“Assalamua’laikum..” Sapa Maimun
dari belakang.
“Waa’laikum salam.” Jawab Fazri
serentak menoleh kerana terkejut. Pantas, matanya menangkap wajah Maimun yang sudah
tersenyum lebar. “Kenapa butik Akak sunyi semacam saja..? Mana yang lain?”
tanya Fazri sambil meliar melihat sekeliling.
“Memanglah sunyi. Sekarang kan
waktu tengahari. Semuanya dah keluar lunch. Tinggal Akak dengan sorang lagi
tu..., entah kenapalah sejak akhir-akhir ni selalu sangat sibukkan diri.”
Maimun mula merungut. Fazri sekadar tersenyum nipis.
“Mana dia sekarang?” tanya Fazri.
Maimun kembali tersenyum lebar.
“Dia ada di tingkat atas bahagian
baju pengantin. Dia tahu ke Fazri nak datang..?” tanya Maimun pula. Fazri
sekadar menggeleng sambil tersenyum manis. Langkah diatur pantas menaiki tangga
yang dibalut kemas dengan karpet merah. Maimun membalas sambil menggeleng
ringkas. Dia menghela nafas lega melihat kebahagiaan yang bakal ditempuhi oleh
Fazira.
Di sebuah ruang santai, seseorang
melangkah penuh berhati-hati. Langsung tidak mengeluarkan bunyi. Aksi dan
lagaknya mengalahkan seorang polis sedang menjalankan operasi rahsia. Dari jauh
matanya sudah menangkap kelibat seorang gadis sedang tekun melakukan kerjanya.
Si pengendap berdiri sambil menyilang tangan di belakang patung sambil
memerhati setiap gerak-geri si gadis. Bibirnya merekah mengukir senyuman yang
manis dan lembut.
Fazira masih sibuk menjahit manik
pada lengan sepasang baju pengantin berwarna ungu lembut. Gadis itu nampak
begitu tekun dengan kerjanya hingga tidak sedar seseorang sedang memerhati dan
menapak mendekatinya.
“Aahh..!!” Fazira menjerit sakit
dek tercucuk jarum. Kain dan jarum sudah terlepas dari tangannya. Entah dari
mana tiba-tiba muncul sepasang tangan merampas jari Fazira yang sudah merah
berdarah.
“Awak okey..?!” Fazri menarik jari
yang berdarah tadi lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
Fazira yang terkejut dan
hampir-hampir menjerit, hanya melihat dengan mata yang membesar. Terkejut satu
hal kemudian ditambah dengan kemunculan Fazri yang datang entah dari mana dan
bila... hingga dia sendiri terpinga-pinga dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Perbuatan Fazri dibiarkan begitu saja. Wajah Fazri ditenung dengan mata yang
langsung tidak berkelip. Lidahnya terlalu kaku untuk menegah, tidak pula terasa
untuk menarik tangannya.
Si gadis mematung seketika.
Sentuhan lembut si jejaka betul-betul membuatkan tubuhnya kaku. Perasaan kasih
dan sayang yang sedia ada pada si jejaka mula menjalar ke seluruh tubuhnya.
Untuk pertama kali, jantung berdegup tenang. Tiada deruman kencang cuma
ketenangan seperti aliran air di sungai. Raut wajah si jejaka ditatap lama
tanpa dia sedar.
“Saya tahulah saya ni kacak.., tapi
janganlah awak renung saya lama sangat. Boleh meletup jantung saya.”
Mendengar kata-kata si jejaka,
Fazira pantas menarik tangannya rapat ke dadanya. Jantungnya kembali berdegup
kencang. Mukanya pula sudah terasa panas semacam. Fazri tersenyum melihat
kelakuan tunangnya. Dia bangun lalu duduk di atas sofa selepas begitu lama
melutut di hadapan bakal permaisurinya. Jarak kedudukan antara mereka sentiasa
dijaga. Fazira segera menurunkan kakinya kerana dari tadi dia masih selesa
duduk bersimpuh di atas sofa. Suasana sunyi seketika.
“Awak tak nak balut dulu luka
tu..?” Tanya Fazri cuba mengembalikan suasana ceria. Matanya sentiasa tertarah
pada wajah mulus tunangnya.
“Tak apa. Cuma luka kecil. Dah
biasa.” Jelas Fazira pula. Dia langsung tidak mendongak untuk membalas renungan
Fazri. “Kenapa awak datang sini..?” tanya Fazira seraya menyambung semula
jahitannya.
“Salahkah kalau saya datang untuk
jenguk tunang sendiri..?” Balas Fazri lembut dengan renungan manja. Fazira
kembali membisu. “Sebenarnya..., saya datang nak ajak awak makan tengahari. Sudi
tak awak keluar dengan saya..?” Fazri bersuara dengan intonasi suara yang
berhati-hati. Fazira terkaku. Tangannya yang dari tadi begitu galak bergerak
sudah terhenti. Dia diam.
“Maaf...Bukan niat saya ingin
menolak.., tapi saya perlu jaga kedai sementara Kak Mun dan pekerja lain keluar
makan.” Jelas Fazira tenang. Fazri diam kemudian mengeluh perlahan.
“Dalam erti kata lain, awak memang
tak sudi keluar makan dengan saya, kan..?” Kata-kata Fazri seolah-olah ingin
menduga tunangnya. Fazira diam seribu bahasa bila matanya bertembung dengan
renungan si jejaka yang begitu lembut dan sedikit sayu. Dia kembali menunduk.
Reaksi serba-salahnya sudah mula terserlah. Fazri sekadar tersenyum.
“Tak mengapalah kalau awak tak
sudi. Saya pun tak suka nak memaksa. Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri
dulu.” Fazri bangun dan berjalan pergi menuju ke tangga. Fazira yang mendengar
sedikit terkesima. Tidak sangka tunangnya seorang yang cepat dan senang
merajuk. Dia menoleh pantas dan belum sempat dia memanggil, kelibat tunangnya
sudah hilang dari tingkat atas. Dia hampa dan terkilan. Bukan niatnya ingin
menolak tapi dia lebih pentingkan pandangan orang. Cukuplah dengan kejadian di
air terjun hari itu, dia tak mahu perkara yang sama berulang lagi.
Fazri melangkah lemah menuruni anak
tangga. Wajahnya sedikit suram. Dari awal lagi, dia sudah mengagak reaksi
sebegitu dari tunangnya.
“Laa..., mana Fazira?” tanya Maimun
pelik sebaik saja melihat Fazri turun tanpa teman.
“Tak apalah, Kak. Orang dah tak
sudi, tak elok dipaksa.” Jelas Fazri dengan senyuman plastik.
“Tak sudi..?! Bertuah punya budak.”
Maimun mula memancarkan amarahnya. “Kamu tunggu sini.., nanti Akak bawa dia
turun.” Maimun membuka langkah menaiki anak tangga sambil melipat lengan
bajunya tanda marah. Fazri yang melihat sudah tercengang. Kemudian, senyuman
senget terukir perlahan.
Selepas beberapa minit, kedengaran
bebelan Maimun sambil menarik tangan seseorang supaya menuruni tangga
bersamanya. Fazri sudah tersenyum lebar bila melihat kelibat tunangnya di
belakang Maimun.
“Akak nak Zira keluar dengan Fazri,
sekarang jugak.” Maimun menegas keras. Genggaman pada tangan si gadis akhirnya
dilepaskan. Fazira masih nampak tercengang. Maimun berjalan ke meja Fazira lalu
mengambil tas tangan milik si gadis.
“Tapi.., Akak...”
“Akak tak mahu dengar apa-apa
alasan lagi dari Zira.” Tas tangan diserah agak kasar. Lantas, dia memutarkan
badan Fazira mengadap pintu keluar. Tanpa membuang masa, dia menolak belakang
Fazira dan memaksa si gadis berjalan menuju ke pintu. Fazira cuba bersuara
namun tenggelam begitu saja.
Fazri hanya melihat sambil
menggeleng dan tersenyum lebar. Dia mengekor langkah mereka berdua dengan tawa
kecil. Sampai di luar, Maimun menutup pintu kaca butik tersebut. Dia sempat
menjeling tajam ke arah Fazira sebelum melangkah pergi. Fazira sekadar mengeluh
kecil.
“Maaflah. Bukan saya yang memaksa
tapi Kak Mun yang beria sangat nak awak ikut saya.” Fazri cuba memujuk Fazira
yang sudah mengerut muka.
“Tak apa. Saya faham sangat dengan
perangai Kak Mun tu...” Fazira membalas pantas. Si jejaka tersenyum senang.
“Kalau macam tu.., jomlah pergi.
Saya pun dah lapar.” Fazri berjalan mendekati pintu kereta hitam lalu membuka
pintu penumpang. Fazira yang melihat sudah mematung. “Kenapa..?” tanya Fazri
pelik.
“Jauh ke tempat yang kita nak pergi
ni..?” balas Fazira pula. Fazri tersenyum manis.
“Erm... taklah jauh sangat, cuma
lima belas minit perjalanan.” Jelas Fazri masih lagi setia terpacak di belakang
pintu penumpang. Fazira masih dengan serba-salahnya. Tas tangannya digenggam
erat. “Janganlah risau. Saya takkan culik awak..., lagipun saya dah minta izin
dengan Pak long untuk bawa awak keluar makan.” Tambah Fazri lagi. Air muka
tunangnya berubah perlahan. Dengan langkah yang lemah, Fazira berjalan dan
masuk ke dalam perut kereta.
Fazri masuk dan segera menarik tali
pinggang keledarnya. Fazira pula masih cuba menarik tali pinggang keledarnya
yang seperti tersangkut pada sesuatu.
“Kenapa..?” tanya Fazri ringkas.
“Entahlah. Macam tersangkut je...”
“Biar saya tengok.”
Serentak, Fazri bergerak rapat
mendekati Fazira yang masih tidak sedar dengan gerakannya. Dalam saat Fazira
menoleh untuk menolak pertolongan Fazri, wajahnya sudah hampir bertembung
dengan wajah si jejaka. Cuma tinggal beberapa inci saja untuk bibir mereka
bersentuhan. Mata Fazira yang sedia bulat, makin besar membulat. Dia boleh
merasa nafas panas si jejaka. Terkaku dia seketika. Bukan kerana pertembungan
mereka tapi wangian yang melekat pada tubuh si jejaka yang membuatkan
jantungnya terasa seperti ingin meletup sebaik saja wangian itu memasuki rongga
hidungnya.
Sebaik saja mata mereka bertaut,
Fazira segera menolehkan pandangan ke kiri. Pada masa itu jugalah Fazri
mengambil kesempatan untuk meratah kulit wajah tunangnya yang begitu cerah,
mulus dan bersih. Anak matanya memang menawan kalbu. Bercelak nipis dan bulu
matanya juga melentik lembut. Naluri lelakinya bergetar pantas. Akhirnya, tali
pinggang keledar Fazira berjaya dipasang. Mereka diam sambil menahan degupan
masing-masing.
------------BAB 23------------
Selepas setengah jam memandu,
kereta hitam Fazri memasuki ke kawasan parkir sebuah hotel tiga bintang. Fazira
masih diam tetapi dari perilakunya, dia mula nampak tidak keruan. Brek tangan
ditarik serentak enjin dimatikan. Fazri keluar dari kereta dan membuka pintu
kereta untuk tunangnya.
“Okey.., kita dah sampai.” Kata
Fazri sambil mempersilakan tunangnya keluar. Fazira hanya memandang pelik. Dia
melangkah keluar dengan perasaan ragu-ragu. Kemudian, mereka berjalan menuju ke
bahagian lobi hotel.
Sebaik saja melangkah masuk, banyak
mata yang menerkam kelibat mereka. Itu reaksi yang biasa diterima Fazira tapi
apa yang membuatkan dia tidak selesa ialah tanggapan yang mungkin timbul dari
mata yang melihat. Langkah Fazira mula perlahan dan akhirnya ayunan kakinya
terhenti.
“Kenapa ni..?” tanya Fazri pelik
dengan kelakuan tunangnya.
“Apa yang kita buat di sini..?
Bukan ke kita nak keluar makan?” tanya Fazira dengan mata yang sudah meliar
melihat sekeliling. Air mukanya nampak takut dan berhati-hati.
“Memanglah kita datang nak makan.
Makanan kita sedang menunggu di dalam bilik.” Jelas Fazri dengan senyuman.
Fazira nampak tersentak dan terkejut. Pantas, dia membuka langkah menuju ke
pintu keluar. Terkejut si jejaka dengan tindakan tunangnya selepas mendengar
penjelasannya.
“Fazira..! Awak nak ke mana..?”
Tanya Fazri pantas sebaik saja berjaya memintas langkah Fazira.
“Saya nak balik..! Saya tak mahu
lama-lama di sini. Nanti kalau ada orang nampak, mereka akan beranggapan buruk
tentang kelakuan kita. Saya tak mahu perkara yang sama berulang lagi.” Jawab
Fazira tegas dan lancar. Anak matanya juga sudah mula bergenang.
Haru-biru Fazri bila melihat
keadaan tunangnya. Dia faham apa yang dikatakan oleh Fazira. Tunangnya tak mahu
perkara seperti di air terjun tempoh hari berulang. Gadis itu masih takut dan
trauma dipukul oleh ibu saudaranya.
“Mak ngah..!” Jerit satu suara manja
yang cukup dikenali Fazira. Serentak, dia menoleh untuk melihat dan ternyata,
telahannya betul. Dari jauh, kelihatan Atiqah dan Atif berlari anak ke arahnya
seraya memeluk pahanya.
“Mak ngah..., kenapa Mak ngah
lambat..? Lama Adik dengan Atif tunggu Mak ngah. Adik dah lapar.., cepatlah.”
Atiqah merungut panjang sambil menarik-narik tangan ibu saudaranya yang masih
terpinga-pinga cuba mengerti situasi sebenar. Matanya kini tertarah pada Fazri
seperti meminta penjelasan yang rapi.
“Ummi yang jemput mereka di rumah
tadi. Sekarang ni dia ada dalam bilik hotel.., sedang siapkan makanan tengahari
untuk kita semua. Dia yang minta saya jemput awak sekali.” Terang Fazri dengan
sengihan. Fazira menghela nafas lega namun riak kelegaan tidak diukir pada
wajahnya cuma air muka resah dan risau sudah menghilang.
Atiqah dan Atif menarik Fazira
masuk ke dalam lif yang sedang terbuka. Fazri mengikut rapat dari belakang.
Selepas beberapa ketika, mereka tiba di tingkat sembilan. Pintu lif terbuka dan
Atiqah serta Atif berlari keluar menuju ke pintu bernombor sebelas.
“Bila ummi ambil mereka di
rumah..?” tanya Fazira sambil berjalan beriringan dengan tunangnya.
“Lepas awak pergi kerja, ummi
sampai di rumah awak. Saya tahu pun lepas dapat panggilan dari ummi. Janganlah
marah.” Fazri membalas dengan renungan yang lembut. Fazira hanya diam selepas
mengalihkan pandangannya. Mereka sampai dan Atiqah masih mengetuk pintu. Tidak
lama kemudian, pintu terbuka. Kelibat Alif sudah terpacak di depan pintu.
Terkejut Fazira. Tangan Fazira diraih dan dicium. Atiqah dan Atif sudah meluru
masuk.
“Mak tok.., diorang dah sampai..!”
laung Alif sebaik melangkah masuk diikuti Fazira dan Fazri.
“Baiklah..” Balas satu suara dari
ruang dapur bilik tersebut. Mata Fazira cuba mencari kelibat empunya suara namun
tidak ditemui. Sememangnya, dia amat merindui wajah dan suara tadi walaupun
mereka hanya beberapa kali bertemu.
“Saya nak berjumpa ummi dulu.”
Pinta Fazira sopan. Fazri mengangguk lembut seraya menyambung semula
aktivitinya iaitu melayan kerenah Atiqah dan Atif. Alif nampak bersahaja sambil
menonton tv.
Fazira membuka langkah menuju ke
ruang dapur yang terpisah dengan dinding. Dia menjenguk sedikit kepalanya di
muka pintu ruang dapur. Dari situ, dia dapat melihat tubuh seorang wanita
berapron sedang sibuk memotong sayur. Fazira tersenyum lebar.
“Assalamua’laikum..” Sapa Fazira
lembut.
“Waa’alaikumsalam..” Insan tadi
nampak tersentak kemudian menoleh ke belakang. Serentak, senyuman yang manis
terukir pada wajah yang masih ayu walaupun makin berusia. Fazira membalas
dengan senyuman yang lebar. Jannah menghulurkan tangannya tetapi tubuhnya lebih
pantas dipeluk si gadis. Terpana dia seketika. Sungguh dia tak sangka si gadis
akan terus memeluknya.
Jannah tersenyum seraya membalas
pelukan Fazira. Lama keadaan mereka begitu.
“Zira rindukan ibu..” Bisik Fazira
perlahan tetapi cukup jelas bergema di telinga Jannah. Sekali lagi, Jannah
terpana. Dia hanya menggelarkan dirinya sebagai ummi tapi Ghazali pernah
memberitahu Fazira memanggil Khatijah dengan panggilan ibu. Rasa sebak mula
menyerang naluri keibuannya. Dia amat mengerti keadaan si gadis yang masih
setia dalam pelukannya. Si gadis ketandusan kasih sayang seorang ibu walaupun
pernah mempunyai seorang ibu. Belakang Fazira diurut lembut.
“Ibu pun rindukan Zira.”
Mendengar bisikan lembut Jannah,
Fazira segera melonggarkan pelukannya dan badan mereka terpisah. Dia sudah
tersedar dari mimpi siangnya dan segera mengesat matanya yang sudah berair
tanpa disedari. Terkedu Jannah melihat keadaan Fazira.
‘Ya ALLAH.., tak sangka dia
menangis dalam diam. Khatijah..., kalaulah kau melihat keadaan anak mu
sekarang... pasti kau juga turut menitiskan air mata. Tapi... jangan kau risau,
teman... kerana anakmu sememangnya seorang gadis yang kuat dan tabah.
Berbanggalah kau dengannya.’ Hati Jannah bermonolog sambil memerhati kelakuan
Fazira.
“Zira..., Zira menangis ke
sayang..?” Soal Jannah sekadar menduga.
“Taklah. Mata nih... tiba-tiba saja
masuk benda...” Fazira cuba menutup malu. “Ummi nak buat apa lagi..? Ada
apa-apa yang Zira boleh tolong..?” Fazira segera menawarkan khidmatnya dalam
erti kata lain cuba mengalih tajuk.
“Tak perlu. Semuanya ummi dah
siapkan. Zira cuma datang untuk makan. Kalau Zira tak kisah, Zira boleh tolong
siapkan meja untuk kita makan.”
“Baik, ummi.” Fazira bergerak ke
meja makan selepas mengambil beberapa pinggan kemudian disusun rapi di atas
meja.Gelas diletak sama rapi dengan pinggan. Satu persatu mangkuk berisi lauk
pauk diletak ditengah meja. Jannah tersenyum sendiri melihat kecekapan Fazira
menyiapkan meja makan untuk mereka.
“Ish... ish... ish..., bertuah
badan sebab dapat menantu rajin macam Zira. Kan ummi?” Sakat Fazri yang
tiba-tiba muncul di ruang makan. Jannah sudah menjeling tajam. Fazira langsung
tidak memandang kerana dia tahu wajahnya sering menjadi perhatian tunangnya.
“Ummi memang bertuah.., kalau nak
harapkan kamu... mungkin lepas Asar baru kita boleh makan..” Balas Jannah
dengan jelingan yang sama. Dengan selamba, Fazri memeluk Jannah dari belakang
sambil merengek manja. Fazira hanya melihat tanpa kata.
“Alah..., ummi nih! Azri pun tolong
jugak...tolong tengok.” Jawab Fazri dengan tawa.
“Bertuah betul budak nih..!” Jannah
merungkai pelukan Fazri kemudian menampar-nampar lengan sasa si jejaka. Fazri
merengek manja mengalahkan Atiqah. Fazira mula tersenyum beserta tawa kecil.
“Sampai hati ummi pukul Azri..!
Mentang-mentanglah dah dapat anak baru, Azri pulak ummi anak tirikan.” Fazri
buat muka kasihan.
“Dah..! Jangan nak mengarut lagi.
Pergi panggil budak-budak tu..., kita dah boleh makan.”
“Baik, ummi...” Fazri sempat
mencuit dagu Jannah sebelum berlalu pergi. Malah, sempat juga dia melirik ke
arah Fazira yang dari tadi malu-malu memandang kemesraan mereka.
Selepas siap menyusun, mereka duduk
di meja sambil menadah tangan membaca doa. Makan tengahari mereka disertai
dengan bicara ringkas dan tawa kecil dek keletah si Atiqah yang sentiasa
mencuit hati. Selesai makan, mereka solat Zohor berjemaah yang diimamkan oleh
Fazri. Ini kali pertama dalam hidup Fazira di mana solatnya diimamkan oleh orang
lain selain ahli keluarga sendiri. Atiqah dan Atif juga turut serta kerana di
rumah memang sudah diajar oleh Fazira untuk menghormati dan menyertai solat
berjemaah.
Doa yang dibaca Fazri masuk
mendayu-dayu ke dalam lohong telinga si gadis. Sungguh lancar dan tertib.
Degupan jantung Fazira tidak serancak seperti degupan ketika mata mereka
bertaut. Debaran itu sudah tiada... buat masa ini. Solatnya terasa begitu
khusyuk dari biasa. Selesai solat, doa yang panjang dipanjatkan dengan penuh
penghayatan.
Selesai solat, Jannah dan Fazira
bergerak semula ke dapur untuk menyiapkan puding jagung sebagai pencuci mulut.
Dari dalam dapur sudah kedengaran hilai tawa manja si adik. Entah apa yang
membuatkan dia begitu seronok ketawa.
“Abang Fazri... memang suka dengan
budak-budak kan, ummi?” kata Fazira lembut dan perlahan. Jannah sudah tersenyum
mendengar soalan Fazira. Apa yang membuatkan dia lebih gembira ialah panggilan
‘abang’. Kedengaran mesra dan manja.
“Dia memang suka dengan
budak-budak. Maklumlah.., dia anak tunggal. Tak ada adik-beradik untuk dibuat
teman.” Jelas Jannah tenang. Fazira tersenyum. “Ummi nak tahu.., apa pendapat
Zira tentang Fazri..?”
“Hah..?!” Fazira terkejut dengan
mata yang sudah membesar. Tangannya yang sibuk bergerak sudah terkaku. Wajah
Jannah dipandang sekilas. Sudah terpancar senyuman yang lebar di wajah wanita
sanjungannya itu. Fazira diam... agak lama. Jannah bergerak mendekati Fazira
seraya meraih kedua tangan si gadis lalu digenggam erat.
“Zira tak perlu rasa malu. Dia
bakal suami Zira. Ummi sekadar ingin tahu apa perasaan sebenar Zira pada Fazri.
Manalah tahu.., ada sikap Fazri yang Zira tak suka tapi Zira diamkan saja.
Kalau ada sikap Fazri yang Zira rasa sumbang.., beritahulah ummi... nanti ummi
minta Fazri ubah..”
“Tak..., tak ada yang sumbang
tentang Abang Fazri. Dia baik sangat.” Jannah tersenyum lega mendengar
pengakuan Fazira. Si gadis tertunduk malu. “Abang Fazri baik sangat sampai
kadang-kadang tu.., Zira rasa yang Zira... tak layak untuknya.”
Tersentak Jannah mendengar kata-kata
ringkas yang keluar dari bibir tebal si gadis.
“Kenapa Zira cakap macam tu..?
Kalau Zira nak tahu, Ziralah gadis yang paling sesuai dan secocok bila
bergandingan dengan Fazri. Mungkin telah ditakdir oleh ALLAH... yang Zira
adalah jodoh Fazri dan begitu jugalah sebaliknya.” Jannah mula memberi
kata-kata perangsang. Fazira diam dan masih setia tertunduk.
“Zira takut, ummi. Zira takut
kalau-kalau Zira gagal bahagiakan Abang Fazri. Zira takut Zira tak mampu jadi
seorang isteri yang baik dan sempurna. Zira takut Zira...”
Belum sempat Fazira menghabiskan
ayatnya, Jannah menarik tubuh Fazira ke dalam pelukannya. Tubuh langsing Fazira
dipeluk seerat mungkin. Fazira membalas pantas seperti diduga. Dia sudah
tersedu-sedan menahan sebak. Air mata mengalir turun tanpa rasa segan. Dia
menangis semahunya dalam pelukan Jannah.
“Jangan cakap macam tu.., sayang.
Zira gadis yang sempurna di mata ummi, apatah lagi Fazri. Mungkin cuma Zira
saja yang tak perasan dengan kelebihan yang ada pada diri Zira.” Jannah masih
setia memujuk. Fazira menolak tubuh Jannah perlahan.
“Tak.., ummi. Zira tak macam yang ummi
sangka... Zira tak sempurna. Zira selalu susahkan hidup orang yang Zira sayang.
Macam masa kemalangan dulu, Zira banyak susahkan ayah. Zira selalu buat ayah
susah hati. Mak selalu kata Zira anak yang tak guna...”
“Sudah.., Zira!” Jannah sedikit
menjerit serentak menarik Zira ke dalam pelukannya semula. Pelukannya kali ini
lebih erat dan kejap. Fazira masih teresak. Jannah menahan amarahnya. Bukan
pada Fazira, tapi pada wanita bernama Mariam, ibu saudara Fazira. Rasa benci
yang meluap-luap sudah terpancar pada wajahnya. Dia kenal siapa Mariam.
Wanita itu banyak menyeksa hidup si
gadis piatu sepanjang dia tinggal di rumah itu. Semua cerita dia dengar sendiri
dari mulut jiran-jiran yang bertandang semasa kenduri kecil-kecilan diadakan
untuk meraikan hari pertunangan Fazri dan Fazira. Walaupun perbuatan membenci
itu dicela, namun dia tidak berdaya untuk mengelaknya. Banyak cerita buruk yang
dia dengar tentang wanita itu hingga telinganya sendiri terasa bernanah bila
mendengar nama tersebut.
Namun, hatinya menghela rasa lega
bila mendapat tahu yang Mariam bukan lagi ahli keluarga si gadis piatu.
Penceraian Ghazali dan Mariam sudah diketahuinya dan dia bersyukur yang teramat
sangat kerana si gadis yatim piatu tidak perlu berasa takut kerana satu-satunya
ancaman yang mengganggu hidupnya sudah tiada. Tetapi, apa yang menyedihkan
ialah kesan perilaku sumbang ibu saudara telah meninggalkan kesan negatif yang
agak ketara. Si gadis nampak ceria dan gembira diluar namun di dalam, prinsip
yakin dengan diri sendiri kian lusuh selepas ditoreh dengan hamburan makian dan
sumpah seranah.
“Tak baik Zira cakap macam tu. Tak
ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. ALLAH ciptakan hamba-NYA dengan kelebihan
dan kekurangan tersendiri. Bergantunglah pada hamba itu untuk mengakui
kelebihan dan kekurangannya. Kurang sesuatu pada diri... tak bermakna seseorang
itu lemah dan lebih sesuatu... tak bermakna seseorang itu kuat. Zira mungkin
rasa diri Zira lemah dan tak sempurna.., tapi pada mata hati ummi... Ziralah
gadis paling kuat dan sempurna. Tahu tak kenapa..?” Jannah melepaskan
pelukannya kemudian mengangkat dagu Fazira supaya bertentang mata dengannya.
“Kerana Zira mempunyai hati yang
luhur dan suci. Zira tak pernah benci atau berdendam dengan perbuatan mak Zira.
Ayah Zira kata Zira selalu menangkan mak Mariam setiap kali ayah Zira marah
sebab mak Zira pukul Zira tanpa sebab. Sekarang Zira tahu kelebihan Zira..,
kan? Zira seorang yang pemaaf. Itulah kelebihan yang paling agung, sayang...”
Jannah mengakhirkan kata-katanya sambil menyeka air mata di kedua pipi gebu
Fazira.
Si gadis meraih kedua tangan Jannah
yang masih setia melekat dipipinya lalu ditarik rapat pada bibirnya. Kedua
tangan wanita itu dikucup lama.., tanda semua kata-katanya amat dihargai.
“Terima kasih.., ummi.” Ucap Fazira
lembut kemudian kembali melekat dalam pelukan Jannah. Wanita itu membalas
pelukan si gadis sambil tersenyum lega. Matanya dipejam rapat tanda dia
menghayati pelukan si gadis yang penuh dengan kemanjaan.
Sebaik saja membuka mata, Jannah
sedikit terkejut tatkala matanya menangkap kelibat Fazri sedang termenungdan
tertunduk sambil bersandar sebelah bahu pada dinding dapur yang memisahkan
ruang dapur dan makan.
Fazri tersenyum manis sebaik saja
matanya bertembung dengan mata Jannah.Ummi membalas tenang. Sebelum bergerak
meninggalkan mereka berdua, Fazri sempat mengenyit mata pada Jannah tanda dia
berterima kasih.
------------BAB 24------------
Dua minggu berlalu dengan pantas. Seperti
yang telah dirancang, majlis akad nikah serta persandingan Kamarul dan Fazilah
diadakan terlebih dahulu manakala majlis Fazri dan Fazira diadakan sebulan dari
sekarang. Ruang tamu rumah pengantin perempuan memang agak sesak. Mana
tidaknya, ayah Fazilah mempunyai sembilan beradik dan ibunya pula mempunyai
tujuh beradik. Itu belum lagi ditambah dengan saudara sebelah pengantin lelaki
yang juga mempunyai bilangan ahli keluarga yang melebihi lima orang.
Dengan sekali lafaz, Fazilah sah
menjadi milik Kamarul. Fazira sekadar melihat dari luar bilik pengantin semasa
majlis pembatalan air sembahyang. Ruang bilik pengantin terlalu sesak dengan
sepupu perempuan sebelah keluarga Fazilah. Terharu hatinya bila melihat
pasangan dua sejoli saling tersenyum malu bila disakat saudara mara. Semasa
bergambar juga sama, Fazira lebih suka melihat dari jauh. Gambar yang ditangkap
bersama Fazilah cuma sekeping dua saja. Fazira tak betah duduk lama bila sanak
saudara pengantin mula menyerbu ruang persandingan.
Si gadis langsung tidak menyedari
setiap perilakunya sedang dalam pemerhatian sepasang mata. Fazira mengeluh
kecil. Cincin emas putih bertahktakan berlian yang tersarung erat di jari
manisnya diperhati dengan pandangan yang sayu.
“Sabarlah. Lagi sebulan, sampailah
giliran kita.” Sapaan Fazri hampir-hampir buat Fazira menjerit dek terkejut.
Wajah tunangnya dipandang dan ketika itu juga, anak mata mereka beradu. Jantung
Fazira bergetar laju. Nafasnya pula sesak semacam. Dia mengetap bibir menahan
debaran yang entah bila akan hilang.
“Tak lari gunung dikejar.” Fazri
menambah lagi sambil tersenyum senget. Fazira menjeling geram.
“Aduh...! Janganlah jeling saya
macam tu. Boleh meletup jantung saya...” Fazri berseloroh sambil melekap tangan
di dadanya. Fazira segera mengalihkan pandangannya. Bibirnya langsung tidak
bergerak walaupun sekadar mengukir senyuman yang nipis. Fazri mengeluh
perlahan. Gadis ceria dan riang bersamanya dulu sudah hilang.
Sudah hampir dua minggu mereka
bertunang dan sepanjang tempoh itu juga Fazri perasan akan perubahan Fazira.
Gadis itu banyak mendiamkan diri. Sepuluh ditanya, sepatah yang dijawab.
Kadang-kala terasa juga hatinya dengan kelakuan Fazira. Atas nama cinta dan
sayang, dia tepis segala perasaan atau prasangka sumbang yang cuba bercambah
dalam hatinya. Mungkin tunangnya segan dengan dia. Tapi.., kenapa? Mereka sudah
rasmi bertunang. Rasa segan atau malu sepatutnya tak lagi wujud antara mereka.
Fazri mengeluh perlahan sambil
merenung wajah Fazira sedalam-dalamnya, seperti ingin menyelami isi hati
tunangnya.
“Pak ngah...!” Jeritan manja si
adik mengejutkan dia dari pengamatannya. Dari jauh, kelihatan si adik berlari
anak mendekati mereka.
“Ya.., sayang..” Fazri mendukung
Atiqah kemas. Si adik ketawa terkekeh-kekeh bila pinggangnya dikeletek Fazri.
“Pak ngah... bila Pak ngah nak
kawin..?” tanya Atiqah manja. Kedua tangannya erat memaut bahu Fazri.
“Hem.., entahlah! Apa kata Adik
tanya Mak ngah?” Fazri membalas dengan nada yang sama. Matanya sudah tertarah
pada wajah tunangnya. Atiqah turut memandang Fazira.
“Adik tengok... Mak ngah macam tak
suka kahwin dengan Pak ngah.” Kedua insan agak tersentakbila mendengar
kata-kata si adik. Mereka saling memandang namun tidak bertaut lama. Fazira
mula tidak keruan.
“Mungkin Mak ngah risau... sebab
zaman bujangnya bakal berakhir.” Fazri cuba berseloroh namun jenaka Fazri masih
belum dapat menjangkau tahap pemikiran si adik. Atiqah garu kepala. Fazira
masih dengan air muka yang sama, seolah-olah memekakkan telinganya dari
mendengar suara Fazri.
“Kalau Pak ngah kawin dengan Mak
ngah, maknanya... Adik akan dapat sepupu, betul tak?”
Fazira pantas memandangkan si adik
yang masih setia di dukungan tunangnya. Riak terkejut sudah terukir di
wajahnya. Fazri tersenyum.
“Betul tu, sayang.” Fazri memicit
hidung Atiqah. Si adik ketawa manja. “Adik nak berapa orang sepupu?” Fazri
menambah sambil tersenyum. Matanya masih melekat pada wajah Fazira, seolah-olah
menanti reaksi yang akan terukir. Namun, hampa. Fazira langsung tidak memberi
sebarang respon.
“Emm.., Adik tak nak banyak-banyak.
Sorang dah cukup.”
“Laa.., sorang saja..? Mana
cukup.., Pak ngah nak lima orang.”
“Senang cakap.., ingat perempuan
kilang buat anak.” Fazira tiba-tiba bersuara perlahan tetapi cukup jelas
bergetar pada gegendang telinga Fazri. Mulutnya sedikit terlopong. Langsung
tidak dijangka reaksi sebegitu datang dari tunangnya. Dia sedikit terkesima.
“Adik.., pergi cari Atuk. Pak ngah
nak cakap sikit dengan Mak ngah.” Fazri bersuara serius seraya menurunkan
Atiqah. Sebaik saja Atiqah hilang, Fazri menapak mendekati tunangnya.
“Awak cakap apa tadi..?” tanya
Fazri dengan nada yang tenang. Fazira diam seraya menyilangkan tangannya.
Wajahnya nampak sedikit masam.
“Perlu ke saya ulang..?” Balas
Fazira sinis. Hati Fazri terasa seolah-olah diguris berkali-kali sebaik saja
terpandang jelingan Fazira. Jelingan yang penuh dengan rasa benci dan meluat.
“Kenapa dengan awak ni? Saya tengok
awak banyak berubah sejak kita bertunang. Kalau saya ada buat
salah, tolong
beritahu saya. Cuma... jangan layan saya macam ni.” Pinta Fazri lembut dengan
pandangan yang sayu.
“Awak tak salah.., awak tak pernah
buat salah dengan saya...”
“Habis tu.., kalau bukan salah saya
kenapa awak layan saya macam ni..? Dingin semacam.”
“Saya tak suka...” Fazira bersuara
perlahan. Kening Fazri berkerut.
“Tak suka..?! Tak suka apa? Tolong
beritahu saya.”
“Saya tak suka awak..!” Jawab
Fazira pantas tanpa was-was. Fazri tersentak, terasa seolah-olah dipukul dengan
kayu berpaku. Pedih dan berdarah. Hatinya sakit.
Melihatkan keadaan riak wajah Fazri
dan beberapa pasang mata yang melihat drama yang disiarkan secara langsung oleh
mereka, Fazira melangkah pergi meninggalkan Fazri terpinga-pinga sendirian.
Langkah dibuka luas seperti
berlari-lari anak. Fazira dengar namanya dilaung beberapa kali namun kakinya
terus melangkah. Dia takut..., takut untuk berhadapan dan bertentang mata
dengan tunangnya. Dia takut rahsia hitam yang disimpan rapi selama lima tahun
terbongkar.
“Fazira..!” Lengan Fazira digenggam
erat oleh satu tangan yang sasa. Langkah Fazira terhenti serta-merta malah
posisi badannya juga sudah mengadap sepenuhnya ke arah Fazri. Ruang antara
mereka cuma tinggal beberapa inci.
“Apa awak buat ni..?! Lepaslah..,
tak malu ke orang tengok..!” Fazira meronta.
“Lantaklah kalau orang nak jeling
pun, saya peduli apa..! Yang penting sekarang ni ialah saya nak penjelasan dari
mulut awak. Kenapa awak cakap macam tu..?! Apa yang awak tak suka tentang
saya?” Fazri menarik tubuh Fazira rapat dengannya. Fazira sudah menolak dada
sasa Fazri dari rapat dengannya.
“Saya takkan cakap selagi awak tak
lepaskan saya.” Fazira memberi amaran keras. Fazri terdiam. Matanya yang dari
tajam merenung Fazira kembali lembut. Perlahan-lahan, genggaman tangannya
dilepaskan. Fazira segera menjarakkan diri sambil mengurut kedua lengannya.
Fazri sedikit kesal dengan tindakannya tadi tapi apa yang dia buat adalah atas
dasar sayang.
“Sekarang..., tolong beritahu saya
kenapa awak tak suka saya?” soal Fazri tenang dengan nada yang lembut.
Renungannya juga mendayu dan selembut suaranya. Dia tak mahu kehilangan gadis
di depannya. Kasih dan sayangnya pada si gadis melebihi segalanya.
“Saya...” Fazira nampak serba
salah. “Saya... tak suka bila awak sebut... pasal anak.” Nada suara Fazira
semakin lama semakin perlahan. Fazri pula sedikit tersentak kerana agak
terkejut mendengar penjelasan tunangnya. Tiba-tiba, dia ketawa kecil. “Kenapa
awak ketawa?” Fazira marah. Fazri segera mengawal tawanya.
“Saya ingat pasal apalah tadi. Itu
je yang awak tak suka pasal saya..? Anak...” Fazri menghela nafas panjang.
“Kenapa dengan anak..?” sambung Fazri. Renungannya nampak seperti ingin menduga
kesabaran Fazira.
“Saya cuma nak beritahu yang...
saya tak mahu... lahirkan anak selepas kahwin.”
Fazri tercengang. Lebih kepada
tersentak kerana terkejut. Riak wajahnya berkerut seribu. Emosi terkejut,
marah, keliru dan bengang bercampur baur. Dia memegang sisi kepala tanda
dirinya tidak mampu menerima alasan Fazira.
“Apa yang awak merepek ni..?!
Kenapa pula awak tak mahu anak lepas kahwin..? Seingat saya.., awak sukakan budak-budak.
Dan.., saya tengok awak layan anak-anak saudara awak macam anak kandung awak
sendiri.”
“Tapi, mereka bukan anak saya.
Bukan saya yang lahirkan mereka.” Fazira pantas menyampuk. Fazri diam. Ada
dengusan kasar terbit di rongganya. Fazira juga diam. Dia menyilang tangan
tanda protes dan matanya langsung tidak memandang wajah Fazri.
“Okey... okey..., macam nilah. Saya
takkan paksa awak. Saya sanggup beri awak tempoh hinggalah awak bersedia...”
“Awak tak faham ke apa yang saya
cakap tadi..?!” Fazira mula meninggikan suara disertakan dengan renungan yang
tajam. Nasib baiklah tiada manusia yang lalu lalang kerana semuanya sibuk di
rumah kenduri. “Saya cakap saya takkan lahirkan anak, faham tak..?!” Kali ini,
Fazira menekan hujung ayatnya. Fazri diam dengan mata tepat memandang si mata
perang. Si gadis sudah merasa tidak selesa.
“Zira..., tak baik awak cakap macam
tu. Ramai pasangan suami isteri yang mahukan anak selepas berkahwin. Anak tu
sendiri adalah satu anugerah dari-NYA. Kenapa awak tak mahu..? Anak adalah
sebahagian dari kebahagiaan dalam sesebuah keluarga. Tanpa anak..., kasih
sayang dalam keluarga takkan lengkap.” Fazira hanya diam membisu selepas
mendengar ucapan Fazri. Jelas dari mata Fazri, Fazira menahan marah sambil
mengepal penumbuknya.
“Awak tak faham apa yang saya
rasa...” Fazira masih enggan mengalah.
“Kalau macam tu..., tolong beri
alasan yang kukuh kenapa awak cakap macam tu...” Pinta Fazri dengan suara yang
lembut dan tenang walhal kemarahan dalam hatinya sedang galak membara. Dia masih
mampu mengawal emosinya.
“Awak tahu kan..., yang ibu saya
meninggal selepas melahirkan saya...” Fazri mengangguk lembut. “Itu alasan
saya. Saya tak nak terima nasib yang sama seperti ibu saya.” Jelas Fazira
ringkas.
“Ya ALLAH.., Zira..!” Fazri meraup
wajahnya. “Sampai ke situ awak berfikir. Kenapa awak perlu takut pada sesuatu
yang tak pasti? Ibu awak meninggal kerana ALLAH lebih sayangkan dia. Tolonglah
jangan jadikan itu sebagai alasan.”
“Bagi awak memanglah senang. Awak
hanya melihat.., tapi bila tiba masa mengandung dan melahirkan anak... saya
yang bakal menanggung semua kesakitan tu. “
“Jadi.., awak sebenarnya takut
sakit...” Fazri cuba mencari kepastian.
“Bunyi bodoh, kan? Memang betul
tekaan awak, saya memang takut pada kesakitan. Tahu kenapa..?! Sebab sepanjang
hidup saya.., hanya itu yang menemani saya. Sakit dipukul, sakit ditendang,
sakit dimaki, sakit di...”
Suara Fazira terhenti kerana tidak
mampu menahan sebak. Mulutnya sudah dipekup. Dia segera mengalihkan
pandangannya ke arah lain. Fazri terdiam tatkala melihat dan mendengar luahan
hati Fazira. Dia tahu apa yang dilalui Fazira. Cerita mengenai dia dipukul oleh
ibu saudaranya masih terngiang di kepalanya.
“Zira..., saya..”
“Jangan datang...” Langkah Fazri
terkaku seketika bila dilarang keras. “Jangan dekat dengan saya. Saya tak mahu
dan saya tak suka awak tengok keadaan saya sekarang ni. Saya tak perlukan
simpati dari sesiapa terutama sekali dari awak.” Walaupun wajah Fazira
terlindung, dia dapat membaca Fazira sedang mengesat air matanya.
“Zira..., saya tak kisah kalau tak
punya anak dalam masa yang singkat cuma tolonglah.., jangan awak hukum diri
sendiri begini. Tolong..., beri saya peluang untuk kongsi masalah...”
“Itu kata putus saya...” Fazira
memotong pantas. “Kalau awak tak mampu terima keputusan saya.., anggap saja
antara kita... memang tak ada jodoh.”
Selesai berkata, Fazira melangkah
pergi meninggalkan Fazri yang terkedu sendirian. Wajah si jejaka nampak
terkejut sangat hingga bertukar pucat. Kepala lututnya pula terasa seperti hilang
dari tempatnya. Hatinya sakit dan pedih. Bertambah pedih rasanya bila melihat
gadis yang amat dicintainya pergi tanpa menoleh walau untuk sesaat. Fazri
mengetap gigi menahan marah. Begitu mudah dan lancar tunangnya berkata-kata.
Pertalian yang menghubungkan mereka seolah-olah tidak memberi makna kepada si
gadis.
Apa salah saya..?!, soal hati kecil
Fazri.
Semasa makan malam, mereka langsung
tidak bertegur sapa. Kelakuan mereka sudah menarik perhatian tiga insan yang
bersetuju untuk menyatukan mereka berdua. Mereka perasan akan kelakuan pasangan
tunangan itu sejak di rumah kenduri tadi tapi tidak berani bersuara bila merasa
kedinginan antara mereka. Antara yang paling risau ialah Jannah. Dia lebih
risaukan keadaan emosi Fazira berbanding anak saudara kesayangannya.
Siapa yang tidak risau selepas
mendengar cerita perit dan duka yang dilalui oleh si gadis sepanjang dia
tinggal di rumah ini bersama ibu saudaranya. Fazira memang gadis yang malang.
Tidak pernah bersua dengan ibu bapa sendiri malah, kehadirannya dianggap
sebagai sial. Pengakuan Fazira semasa makan tengahari bersama minggu lepas
betul-betul mengundang resah di hatinya. Dia risau si gadis hilang keyakinan
terhadap anak saudara kesayangannya.
Selepas Isyak, Faizzul dan yang
lain meminta diri untuk pulang. Jannah sempat memberi beberapa kata semangat
kepada bakal menantunya.
“Kalau Fazri ada buat salah dengan
Zira, maafkanlah dia. Ummi tahu dia tak sengaja. Fazri tu memang tak pandai
menjaga hati perempuan.., maklumlah Fazira orang pertama yang berjaya mendapat
tempat di hatinya.”
Terkedu Fazira mendengar kata-kata
Jannah. Tidak sangka drama mereka siang tadi juga ditonton oleh Jannah. Dia
tertunduk tanpa kata. Sebaik saja dia mengangkat wajah, matanya dijerat dengan
panahan mata tunangnya yang sibuk bersembang dengan Ghazali dan Faizzul. Fazira
memang sedar dari awal dia sentiasa dalam perhatian Fazri. Tidak tahan
direnung, Fazira segera melarikan anak matanya. Jannah sekadar tersenyum simpul
melihat kelakuan mereka.
“Selain ummi, dia tak pernah rapat
dengan perempuan lain. Yang ada pun sekadar kawan biasa. Ummi tak bermaksud nak
memaksa cuma..., berilah dia peluang. Ya..?” pinta Jannah lembut. Fazira
sekadar membalas dengan anggukan yang lemah.
Sebelum berpisah, Jannah dan Fazira
berpeluk lama. Fazira tidak kekok malah dia lebih suka begitu. Pelukan Jannah
memang selesa dan mendamaikan. Keselesaan dan kedamaian yang tidak pernah hadir
dalam ruang hatinya. Kasih sayang yang ikhlas datang dari hati nurani seorang
wanita yang sangat layak digelar sebagai ibu. Fazira menikmati setiap saat
dalam pelukan Jannah. Untuk seketika, masalah yang membelengu jiwanya hilang.
------------BAB 25------------
Kedengaran bunyi derapan tumbukan
yang bertubi-tubi. Seseorang sedang menumbuk sebuah beg pasir yang tergantung
di ruang kosong dalam sebuah bilik yang dikeliling dengan dinding telus.
Tumbukan yang dilepaskan memang kuat kerana bercampur dengan perasaan marah
yang memuncak. Beg pasir tadi bergoyang laju setiap kali terkena tumbukan padu
si jejaka. Peluh meleleh turun membasahi tubuhnya seperti baru disimbah sebaldi
air. Nafasnya juga pendek.
Pergerakannya terhenti seketika dan
cuba mencuri nafas. Baju biru tanpa lengan sudah basah dengan peluhnya. Dia
berjalan mendekati bangku panjang yang terletak jauh dari situ. Dia duduk
seraya menanggalkan sarung tangan hitam yang membaluti tangannya. Dia tertunduk
dengan siku di lutut. Suasana gim itu begitu sunyi dan yang kedengaran hanyalah
hembusan nafas si jejaka. Dia mengambil beg di sebelahnya dan serta-merta
sekeping kad nama melayang jatuh ke lantai.
“Saya dah cakap yang saya tak mahu
ada anak..., kenapa susah sangat awak nak faham..?!” Suara Fazira mula
meninggi. Jelingannya juga nampak tajam dan bengis. Fazri terkesima dengan
sikap tunangnya.
“Zira.., takkanlah awak nak hidup
menyendiri tanpa cahaya mata sebagai peneman. Hidup awak akan sunyi. Pasangan
yang tak mampu melahirkan anak pun sanggup mengambil anak angkat untuk merasa
memiliki anak..”
“Kalau macam tu.., awak ambil saja
seorang anak angkat lepas kahwin. Habis cerita..!”
“Tak sama Zira. Anak angkat tak
sama macam anak sendiri.”
“Tak kisahlah sama atau tak. Yang
penting, anak tu tak datang dari rahim saya.” Fazira tetap dengan pendiriannya.
Fazri mendengus marah kerana ketandusan idea untuk memujuk tunangnya. Perbualan
yang dicuri dengar semasa makan tengahari di bilik hotel Jannah beberapa minggu
yang lalu mula terngiang-ngiang di kepalanya. Baru sekarang dia faham kenapa
tunangnya tidak yakin dengan diri sendiri.
“Kenapa awak layan saya macam ni..?
Tak cintakah awak pada saya..?”
“Cinta...?! Apa kaitan cinta dengan
anak..?!” Fazira membalas penuh sinis. Hati Fazri terasa seperti dihiris dengan
pisau yang sumbing dan berkarat. Pedih lagi luluh. Wajah tunangnya dipandang
lama seolah-olah seperti ingin meraih simpati. Dia perasan Fazira nampak resah
dengan pandangannya.
“Macam ni sajalah, apa kata awak
pergi jumpa perempuan ni... sebab saya pun dah malas nak jelaskan pada awak.
Letih..!” Fazira menyerahkan sekeping kad nama kepada Fazri. Tunangnya
mengambil dengan air muka yang pelik. Belum sempat dia bertanya, Fazira lebih
pantas memotong. “Dia akan beritahu alasan paling kukuh kenapa saya tak mahukan
anak.”
Fazira melangkah pergi selepas
mengakhiri kata-katanya tanpa sebarang penjelasan yang lengkap. Fazri ditinggalkan
seorang diri dalam keadaan terpinga-pinga.
Botol air dibuka dan diteguk rakus.
Nafasnya masih kencang. Pertemuannya dengan Fazira semalam masih terngiang di
dalam kepalanya. Hatinya bertambah ngilu setiap kali mengimbas kembali setiap
bait-bait kata yang keluar dari bibir tebal tunangnya. Dia mula mengenali
tunangnya iaitu sikapnya yang begitu keras kepala. Entah penyakit apalah yang
menyerang otak tunangnya kala ini. Dia faham keadaan fizikal dan emosi Fazira
atau mungkin dia tidak tahu apa yang terpendam dalam hati tunangnya.
Kad nama tadi sudah berada di
tangannya. Nama pada kad itu ditatap lama manakala keningnya sudah bersambung.
Gelaran ‘Doktor’ pada nama di kad tersebut membuatkan kepalanya makin ligat
berfikir. Pada awalnya dia ingin terus berjumpa dengan empunya kad nama
tersebut tapi kata-kata Fazira yang lebih mengilukan perlu dilepaskan terlebih
dahulu. Dia perlu bertenang sebelum mendengar sebarang alasan lain atau membuat
keputusan.
Kereta hitam berhenti di tempat
parkir di Hospital Pekan Berjuntai. Fazri keluar dan berjalan ke kaunter
pertanyaan sambil bertanyakan sesuatu pada jururawat yang bertugas. Selepas
seketika, dia diminta mengikut jururawat tadi ke pejabat seorang doktor. Nama
Nuraliza Adnan terlekat pada pintu yang dikuak oleh jururawat tadi.
“Encik tunggulah dulu. Doktor Nura
keluar sekejap. Nanti dia datang semula.” Kata jururawat sambil tersenyum
manis. Fazri mengangguk faham dan berjalan masuk ke ruang bilik Doktor
Nuraliza. Pintu tertutup dan matanya mula meliar melihat sekeliling. Kelihatan
beberapa bingkai gambar bayi comel dan montel tergantung di dinding. Fazri
melihat sambil tersenyum. Tidak lama kemudian, pintu bilik dikuak.
“Encik ni pasti Encik Fazri
Alias.., betul tak?” tegur seorang wanita lingkungan lewat 30-an, bertudung
litup dan bercermin mata, berbaju kurung dan berjubah putih sebaik saja
melangkah masuk. Fazri yang agak terkejut segera mengukir senyuman ringkas.
“Ya.., saya.”
“Silakan duduk. Fazira ada beritahu
tentang kedatangan Encik.” Kata Nurazila sambil mengambil beberapa keping fail
dari dalam laci mejanya. Fazri yang sudah duduk di sofa mula menunjukkan riak
terkejut. Nuraliza tersenyum.
“Boleh saya tahu apa hubungan
Doktor dengan Fazira..?” tanya Fazri sopan. Nuraliza duduk bertentangan dengan
Fazri.
“Biar saya perkenalkan diri saya
dahulu. Nama saya Nuraliza Adnan. Saya pernah merawat Fazira lebih kurang lima
tahun yang lalu. Hubungan Encik dan Fazira..?” balas Nuraliza selamba. Kaca
matanya ditolak lembut.
“Saya tunangnya.” Beritahu Fazri
tenang. Kening Nuraliza terjungkit. Nampak seperti terkejut.
“Jadi..., Encik dah tahu keadaan
sebenar Fazira..?” tanya Nuraliza samar-samar. Mendengar kata-kata Nuraliza,
hati Fazri berkocak laju. Dia takut kalau-kalau tunangnya menghidap penyakit
yang tenat. Dalam diam, doa sudah dipanjatkan supaya tiada berita yang boleh
meragut kebahagiaan yang bakal dibina mereka berdua.
“Apa maksud Doktor..?” tanya Fazri
selepas berjaya menenangkan keresahan di hatinya. Nuraliza menarik nafas dalam
dan dilepaskan perlahan. Kelakuan Nuraliza mula mengembalikan keresahan yang
semakin menghilang.
“Apa yang bakal saya ceritakan pada
Encik mungkin akan mempengaruhi hubungan antara Encik dan Fazira. Saya harap
Encik boleh berfikir dengan tenang sebelum membuat keputusan.”
Jantung Fazri kembali berdegup
kencang. Tangannya mula terasa lembap. Liur yang ditelan terasa tersangkut.
Tali leher yang dipakai terasa seperti menjerut lehernya. Dia masih menunggu
dengan sabar.
“Encik tahu Fazira pernah lumpuh
lima tahun yang lalu..?” tanya Nuraliza terang-terangan. Fazri mengangguk
pantas. “Jadi.., Encik tahulah yang Fazira pernah kemalangan..?” tanya Nuraliza
lagi.
“Ya.., saya tahu. Doktor tolonglah
berterus-terang dengan saya. Apa keadaan sebenar Fazira..?”
“Tolong bertenang, Encik Fazri.
Bukan niat saya untuk berlengah.., cuma saya nak terangkan dari awal supaya
Encik tak keliru nanti.” Balas Nuraliza dengan wajah dan suara yang tenang. Dia
menarik nafas dalam.
“Encik sedia maklum yang Fazira
putus tunang selepas dia jatuh lumpuh. Dia juga telah difitnah yang dia
dikatakan curang dan juga mengandungkan anak luar nikah dengan kawan baiknya.”
Nuraliza menarik nafas lagi. Wajahnya sudah bertukar serius.
“Nasib memang tak menyebelahi
Fazira pada masa tu, mak Fazira percaya bulat-bulat bila fitnah tu tersebar.
Untuk menutup malu, dia mengambil langkah yang... boleh dikatakan amat kejam
bagi seorang manusia yang bergelar ibu. Dia memaksa Fazira minum air rebusan
dari akar kayu yang saya sendiri tak pasti apa kandungannya dengan satu
tujuan.., iaitu untuk membunuh anak haram yang bersarang dalam rahim Fazira.”
Fazri sudah menekup mulut. Jelas
matanya sedikit bergenang. Cerita yang didengar oleh gegendang telinganya
ketika ini betul-betul menyentap pembuluh jantungnya.
“Tak cukup dengan dipaksa minum
racun, perut Fazira juga ditendang beberapa kali. Dia tak mampu bergerak untuk
melawan memandangkan keadaannya yang tak mengizinkan. Pada malam itu, dia
dibawa ke sini oleh junior saya. Dia merupakan doktor fisioterapi Fazira.
Ketika Fazira dibawa ke sini, keadaannya sudah tenat. Saya cuba sedaya-upaya
untuk selamatkan maruah Fazira sebagai seorang wanita namun..., ALLAH lebih
berkuasa dan menyayanginya. Kelebihan dia sebagai seorang wanita telah ditarik
oleh-NYA.”
Kata-kata Nuraliza tamat di situ.
Fazri nampak terpinga-pinga dan sedikit bingung. Dia cuba mencari penjelasan
sendiri.
“Maksud doktor.., Fazira...”
“Dia mandul, Encik Fazri. Pada usia
18 tahun.”
YA ALLAH...! Fazri terasa seluruh
batu-bata bangunan hospital terhempap di atasnya. Dia tidak sangka.., sungguh
dia tidak sangka selama ini tunangnya menyimpan rahsia yang begitu perit malah,
menanggung derita itu seorang diri. Badannya tiba-tiba menggeletar. Dia tunduk
mengadap lantai dengan kedua tangan memegang sisi kepalanya. Sakit...,
kepalanya terasa seperti ingin meletup. Tapi.., kesakitan yang ditanggung
tunang lebih perit dan ngilu.
X silap akak......kisah ni dh bab 62 kn.
ReplyDeleteYg dipaparkan sekarang edit baru atau macam mana dik? Kompius akak ni
bukan ke cerita ni dh abis last year?
ReplyDelete