Tuesday, 6 May 2014

Rafflesia - Bab 1 & Bab 2

------------BAB 1------------
Kaki panjangnya melangkah luas walaupun berkasut tumit tiga inci. Peha putih gebu itu hanya tertutup dengan skirt sendat dan singkat. Rambut panjang keperangan mencecah pinggang beralun mengikut gerak tubuh lampainya. Lengan lelaki yang dikejarnya tadi segera dicapai, ditarik kuat supaya mengadapnya. Lelaki itu jelas sekali terkejut.
“Han?! What the...”
“How could you Am?! You memang sengaja mengelak dari I, kan?!” Marah Hana dengan rasa geram yang tidak terkira. Suara yang serak basah itu bergema di ruang parkir bawah tanah. Ammar gelabah. Matanya melingas ke merata tempat. Risau kalau ada mata asing yang menonton drama sebabak mereka.
“I dah cakap dengan you Han..., I tak mahu teruskan lagi. I dah tak mahu! You tak faham bahasa ke..?!” Ammar merentap kembali tangannya. Dia juga menjarakkan kedudukan antara mereka.
Hana menangis tidak keruan. Tidak kisah lagi di mana mereka berada. “But we love each other..! You sendiri cakap macam tu dulu dengan I...”
“Dulu, Han! Dulu tapi sekarang tak lagi. I dah bosan! Bukan saja bosan tapi I dah serik. I nak bertaubat...”
“You nak tinggalkan I macam tu saja lepas apa yang I dah buat untuk you..!”
“I tak pernah mintak pun you buat semua ni! You sendiri yang rela, I tak pernah paksa. Jadi.., jangan salahkan I!” Jelas sekali Hana tertampar dengan kata-kata Ammar. Dia hampir-hampir jatuh terduduk. “I tak pernah paksa you Han.” Suara Ammar sedikit mengendur.
“Tapi, I buat semua ni untuk you tanda cinta I pada you” Hana kembali teresak. Mekap pada wajahnya mulai luntur dan sememeh.
“You terlalu ikutkan nafsu, Han...”
Hana ketawa sinis. Cukup jengkel dengan kata-kata itu. “Macamlah you tak..?!!” Dia menengking geram. Suaranya bertukar nada.
“I mengaku. Dulu, I memang hanyut tapi sekarang I dah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Dan I harap you pun akan kembali ke...”
“Go to hell dengan pangkal jalan you tu..!! I dah banyak berkorban demi you tapi ini yang you balas. Sampai hati you, Am..!!” Hana membentak marah. Wajah cerah yang bersolek tipis bertukar warna. Merah tanda dia menahan geram yang tidak terkira. Namun, rasa marah itu hilang sedikit demi sedikit apabila terlihat riak serba-salah teman lelakinya. “Kenapa you berubah Am..? Apa yang kurangnya pada I?”
Ammar merengus lemas. “You sendiri tahu apa yang kurang tentang diri you, kan?”
Hana tersentak. Tangannya menggigil mengepal penumbuk. “I akan sempurnakan kekurangan tu. You janji akan teman I ke Thailand untuk buat surgery tu. You sendiri janji..!”
“I tahu, Han! I ingat! Tapi, itu sebelum I sedar akan sesuatu. Perubahan tu takkan ubah siapa diri you yang sebenar, Han. You and I sendiri tahu kekurangan tu takkan hilang walau apa pun cara yang kita cuba. Jadi.., ada baiknya kita lupakan saja sebelum semuanya betul-betul terlambat.”
Hana menggeleng-geleng, tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu. Air matanya terus menerus mengalir turun tanpa henti. Tanda hatinya terluka teruk.
“Kenapa?! Tolong beritahu I, Am..! Kenapa you berubah sampai macam nih..?!!” Rintih Hana dalam sendu.
Ammar bernafas lembut. “I... I dah jatuh cinta. I jatuh cinta dengan seorang gadis yang cukup sempurna sifatnya, Han. Lebih sempurna dari apa yang I pernah lihat pada diri you. Dia buat I sedar tentang perbuatan kita selama ni. Dia yang buat I insaf.”
Hana tidak mampu menampung tubuhnya lagi. Dia jatuh terjelupuk jua. Perkara yang cukup ditakutinya telah pun berlaku. Dia cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang wanita yang sempurna. Beribu ringgit dia habiskan pada pakaian dan mekap termasuklah barang perhiasan wanita semata-mata ingin kelihatan seperti wanita. Malah, dia sanggup menelan segala jenis cercaan, kutukan dan kejian dari rakan sebaya termasuklah ahli keluarga sendiri. Malang sekali, segala usahanya ternyata gagal dan tetap tidak mampu mengikat perasaan Ammar dari jatuh cinta pada perempuan lain.
“I boleh hilangkan kekurangan tu, Am. Percayalah! Beri I masa dan I janji you sendiri akan terkejut dengan perubahan terbaru I nanti.” Hana masih tidak berhenti memujuk. Kali ini, dia mencengkam seluar jean Ammar.
“I takut you sendiri yang terkejut dengan perubahan yang berlaku pada diri you..!” Ammar menengking. Dia hilang sabar untuk menyedarkan Han. Walaupun dia hampir terpujuk sebentar tadi. Tetapi mengingatkan kembali gadis yang telah mencuri hati lelakinya, dia kembali tegas dan keras. Dia tidak mahu mengotorkan hidup barunya dengan dosa silam. Dan kalau boleh, dia mahu Han mengikut jejak langkahnya.
“Bertaubatlah Han. Masih ada peluang untuk you pulang ke pangkal jalan...”
“I dah tak ada sesiapa lagi selain you. I cuma ada you, Am.” Hana semakin hilang arah apabila Ammar seakan tidak termakan pujukannya.
“You masih ada keluarga, Han. Baliklah kepada mereka. I jamin mereka akan terima you kembali. You anak lelaki kesayangan mereka. Mereka pasti akan bantu you untuk kembali kepada Farhan yang dulu.”
Habis berkata-kata, Ammar mengorak langkah meninggalkan Hana yang sudah meraung bagaikan diserang histeria. Langsung tidak memandang ke belakang tanda dia sudah bertekad untuk berubah sepenuhnya.

“Bangsat!!! Jantan tak guna..!!!” Hana menjerit geram. Derap kasutnya bergema kuat dan lantang. Tanda rasa geram masih menggunung. Hatinya masih sakit selepas ditinggalkan kekasih hati yang dicintainya sejak zaman sekolah lagi. Sampai hati Ammar..! Hana merintih lagi. Air matanya mengalir tanpa sedar.
Dalam Hana ralit melayan perasaan sendiri, seseorang mengekori langkahnya. Sekelip mata, tubuh lampai Hana disambar dan dipeluk dari belakang. Hana menjerit kerana terlalu terkejut. Lebih terkejut melihat sebilah pisau terhunus di lehernya.
“Diam..!!” sergah suara kasar milik si penyamun. Tubuh Hana ditolak rapat ke dinding. Tidak mampu melawan kerana skirt sendatnya. Hana menggigil ketakutan. Kelu lidahnya untuk terus menjerit.
“You nak apa..? Tolonglah.., jangan apa-apakan I..!” Hana merayu dengan suara tergagap dan terketar.
“Diamlah..!!” Si penyamun menolak Hana sekali lagi hingga terjelopok ke lantai. Hana menangis kesakitan. Beg tangan milik Hana dirampas dan diselongkar. Dia tersenyum puas selepas menjumpai dompet dan telefon bimbit milik mangsanya.
“Kaya aku kali ni..!!” Si penyamun bersorak riang selepas terlihat sejumlah wang di dalam dompet milik Hana. Beg tangan dicampak ke tepi. Kali ini, matanya tertacap pada Hana pula. Lirik mata si penyamun bersinar dengan renungan berahi. Hana makin kalut.
“You dah dapat apa yang nak! Tolong.., jangan apa-apakan I..!!” Hana merayu lagi. Air matanya tidak berhenti mengalir. Dia takut untuk melawan memandangkan pisau tajam masih dipegang kejap si penyamun.
“Rugilah kalau aku lepaskan ‘pencuci mulut’ macam kau..! Alang-alang dah dapat...” Si penyamun menerkam tubuh Hana yang masih terduduk di lantai. Blaus Hana ditarik dan dikoyak rakus. Hana menjerit dan mengelupur tanpa sedar. Terkejut si penyamun apabila terkena penampar dan tumbukan yang datang secara membabi buta. Tidak sangka mangsanya kuat seperti lelaki!
Dalam keghairahan, kepala si penyamun tiba-tiba dihentak sesuatu yang keras. Hana yang terkejut segera menolak kuat tubuh si penyamun. Si penyamun tergolek ke tepi.
 “Abang.., cepat tangkap penyangak tak guna nih..!!” Jerit satu suara halus dalam kekalutan. Sesaat kemudian, muncul dua pengawal bercota memegang kejap si penyamun yang cuba melarikan diri. Si penyamun dibawa pergi. Sempat pulak salah seorang pengawal itu mengucapkan tahniah. Si gadis tersengih lalu mengucap syukur. Tidak sangka dia seberani itu berlawan dengan seorang penyamun. Rasa gembira dan leganya hilang apabila terdengar bunyi esakan seseorang.
“Akak, akak okey..?” Tanya Assyifa kalut sambil membuka jaketnya. Kasihan betul melihat keadaan wanita itu. Pakaiannya koyak-rabak malah, kulit mulus itu luka berdarah. Jaketnya disarungkan ke tubuh Hana, menutup kulit yang terdedah. Mata si gadis tercuri pandang sesuatu yang membuatkan akalnya berpusing. Takkanlah...
“Terima kasih, dik.” Hana bersuara dalam kepayahan. Dia tidak mendongak untuk melihat wajah gadis itu kerana terlalu malu dengan apa yang terjadi. Malu dengan gadis di hadapannya dan dua pengawal tadi.
“Akak boleh bangun..?” Tanya Assyifa lagi. Rasa cuak dan sangsi tadi hilang apabila terdengar suara lembut tetapi sedikit serak, milik wanita itu. Dalam segan, dia sempat memeriksa tubuh Hana. Takut-takut ada luka yang lebih parah mengenangkan pisau yang dihunus si penyamun keparat sebentar tadi.
“Aduh..! Kaki ni, dah terkehel.” Hana mengerang sambil memicit pergelangan kakinya. Kasut tumit tingginya hilang entah ke mana.
“Lengan akak pun luka. Tak apa. Biar saya tolong. Saya bawa akak ke klinik, ya?” Assyifa segera meletakkan lengan Hana merintangi bahunya. Tubuh Hana pula dipeluk kejap. Mujurlah saiz tubuhnya hampir sama dengan Hana. Cuma tubuh wanita itu lebih tinggi dan lampai.
Hana mengikut tanpa bantahan. Dia berjalan terjungkit-jungkit sambil menahan sakit. Lengannya memeluk kejap bahu gadis manis itu. Memang manis dan lembut! Sempat Hana mengintai dalam diam. Matanya melirik pada hidung dan bibir si gadis. Walaupun bahagian mata terlindung dengan tudung, tetapi cukup untuk menggambarkan rupa gadis itu.
Bunyi penggera kereta mematikan intipan Hana. Assyifa segera membuka pintu keretanya dan dengan penuh berhati-hati mendudukkan Hana di tempat duduk sebelah pemandu. Saat itu juga, terasa pipinya bergesel dengan pipi Hana. Entah kenapa, darah Assyifa berderau semacam. Saat itu juga, matanya bertembung dengan mata Hana. Kali ini, jantungnya pula meragam. Pelik sungguh! Agak lama pandangannya tertaut sebelum terlerai dengan dehaman lembut datang dari Hana.
Assyifa jadi malu tidak menentu. Gila betul! Tanpa berlengah, dia masuk ke dalam kereta dan memandu pergi.
“You nak bawa I ke mana..?” Lembut Hana bertanya.
“Erm, ke klinik. Sebaiknya kita rawat dulu luka akak tu. Takut terjangkit kuman. Luka kat lengan akak tu nampak teruk. Lepas ni, akak pergilah ke balai polis buat report, ya..?” Panjang lebar penerangan Assyifa. Hana hanya diam tidak terkutik. Assyifa sekali-sekala mencuri lihat reaksi Hana. “Nama saya Assyifa.” Ringan mulutnya memperkenalkan diri.
“Hana.” Ringkas saja jawapan Hana. Assyifa mengangguk faham. Mereka diam sejenak. “Thanks, sebab tolong I tadi.”
Assyifa tersenyum senang. “Tak ada hal. Tak salah rasanya membantu sesama kaum.”
Mendengar kata-kata itu, Hana mencebik meluat tanpa sedar. Aku bukan kaum kaulah, bodoh!! Jerit hati Hana. Seketika kemudian, dia tertawa sinis. Memang bodoh perempuan nih, langsung tak boleh nampak perbezaan pada diri aku. Tapi, kenapa Am tak macam dia..? Aku memang dah cukup sempurna sampai perempuan ni pun tak sedar yang aku ni lelaki. Kenapa Am, kenapa..?!
Dalam tidak sedar, Hana kembali teresak. Assyifa yang sekali-sekala memerhati kelakuan Hana kalut. Takut Hana menahan sakit akibat luka tadi. Segera dia menekan pedal minyak. Kereta Honda Civicnya meluncur laju.

“Ayah chu! Ayah chu!!” Assyifa menjerit-jerit di hadapan kaunter klinik milik bapa saudaranya apabila Kak Ja tidak berada di tempatnya.
“Ya.., ya..! Ayah chu datang ni..!” Muncul seorang lelaki bercermin mata di pintu. Kalut dia memakai jubah putihnya. “Kenapa Syifa..?” Wajahnya bertukar riak apabila melihat anak buahnya memimpin seorang wanita.
“Tolong Syifa, ayah chu. Kawan Syifa cedera kena rompak. Lengan dia terluka.” Terang Assyifa lancar.
Tanpa berlengah, Hanafi masuk ke dalam semula dan membuka pintu bilik rawatan. Assyifa yang setia memapah Hana segera memimpin Hana ke katil. Hana hanya mengikut dan setia diam membisu. Hanafi memakai sarung tangan getah. Lengan jaket yang bertompok dengan darah, diselak lembut. Luka itu dirawat dengan cermat. Selepas beberapa minit, tugas merawat selesai. Tersenyum Assyifa melihat cara pak sunya menjalankan tugas. Cepat dan cermat.
“Erm, cik rehat dulu. Kejap lagi saya datang.” Kata Hanafi sambil menanggalkan sarung tangannya. Wajahnya bertukar keruh semacam.
“Thanks, doktor.” Ucap Hana dengan senyuman manis. Malangnya, langsung tidak dibalas doktor kacak itu. Sombongnya! Hana mencebik dalam hati.
“Syifa.., ikut ayah chu kejap.”
“Okey!” Ceria saja suara gadis itu. Mereka berjalan keluar. Hana memandang tajam kelakuan Assyifa. Masih dengan pandangan jengkel dan menyampahnya.

------------BAB 2------------
“Macam mana Syifa boleh kenal dia tu..?” Agak keras nada Hanafi bertanya. Kening Assyifa terjungkit.
“Kan Syifa cakap tadi. Akak tu kena samun, lepas tu penyamun tak guna tu cuba nak perkosa dia. Mujurlah Syifa dengar dia menjerit dan sempat panggil pengawal yang kebetulan bertugas dekat situ. Kesian dia, ayah chu. Kalau Syifa tak lalu kat situ, entah apalah yang jadi. Kalau orang lain, tak tahulah nak ditolong ke tidak.”
Hanafi melepaskan nafas yang berat. “Kalau Syifa tak tolong dia pun tak apa, Syifa.”
“Ayah chu..! Tak baik cakap macam tu!” Suara Assyifa melantun tinggi. Secara spontan sebenarnya. Wajah comelnya bertukar geram dan marah. Pinggangnya dicekak. “Tergamak ayah chu cakap macam tu! Kalau benda yang sama jadi pada Syifa, baru ayah chu tau!”
Hanafi menggaru kepala. Tersilap cakap pulak dia! “Ayah chu bukan maksud macam tu.., cuma Syifa tak perasan ke..?”
“Perasan apa..?!” Suara Assyifa masih menegang. Hanafi mengeluh.
“Perempuan tu, sebenarnya lelaki!” Hanafi berbisik di hujung ayatnya.
“Hah..?!!” Serentak Assyifa menekup mulut. Matanya terbeliak. “Tapi, takkanlah! Tak mungkin! Rupa dia, suara dia, memang perempuanlah.”
“Ayah chu pun tertipu jugak pada awalnya tapi.., lepas ayah chu rawat dia tadi baru ayah chu perasan.”
“Perasan apa..?!” Tanya Assyifa laju.
“Ayah chu baru perasan kewujudan biji halkum dekat kerongkong dia tu. Memang tak jelas sebab tertutup dengan kolar jaket Syifa.”
Mendengar pengakuan mengejut itu, Assyifa jatuh terduduk di atas sofa. Terlalu terkejut tidak terkata. Tidak sangka dia telah menolong seorang lelaki yang hampir dirogol lelaki lain. Malah, dia juga memeluk seorang lelaki dan membenarkan lelaki itu memeluk tubuhnya sebentar tadi. Ya ALLAH!!
Hanafi segera menghampiri anak buahnya. Pelik dan takut melihat wajah kuning langsat Assyifa bertukar pucat. “Syifa.., kenapa ni..?!”
“Ayah chu, tadi... masa tu Syifa dah perasan tapi Syifa tak ambik serius sebab suara dia lembut macam perempuan. Syifa pun pegang dia.. tak berlapik. Syifa jugak biar dia peluk Syifa. Syifa tak tahu...” Suara Assyifa terketar-ketar. Malah, tangannya juga menggigil. Ternyata telahannya di awal pertemuan dengan Hana sememangnya tepat dan betul. Hana memang seorang lelaki!
“Tenang, Syifa. Syifa tak bersalah. Syifa tak berdosa sebab keadaan yang mendesak.”
“Syifa tak sengaja...” Syifa teresak tanpa sedar. Hanafi tersenyum sembunyi. Anak buahnya yang seorang ini memang sensitif dan agak bendul dalam bab-bab dosa dan pahala. Tidak hairanlah kalau reaksinya nampak sedikit 'over'.
“Syifa sendiri cakap Syifa tak sengaja, kan? Rasanya ALLAH takkan ambil kira perbuatan Syifa sebagai satu dosa. Jadi, jangan risau. Situasi Syifa berbeza dari perbuatan yang disengajakan. Kalau Syifa tak puas hati jugak, balik nanti Syifa sembahyang taubat. Minta diampunkan.”
Assyifa berhenti menangis. Dia mengangguk sambil mengesat kedua belah pipi. Hanafi tersenyum lega. Ada sinar ceria di wajah itu.

Suasana di dalam kereta sunyi sepi. Radio yang terpasang seakan tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Hana mengeluh kasar. Bosan. Mereka terperangkap dalam trafik memandangkan waktu puncak orang ramai pulang dari tempat kerja. Dia memandang ke sebelah. Bibirnya mencebik meluat. Gadis itu nampak tenang dan begitu fokus dengan pemanduannya.
Pelik! Itulah yang dia rasa dengan sikap Assyifa. Pada awal pertemuan, gadis itu nampak ceria dan ramah. Tetapi sekarang, Assyifa berubah kepada pendiam dan mudah menggelabah apabila bertentang mata dengannya. Malahan, gadis itu langsung tidak memimpinnya untuk naik ke kereta. Doktor tadi juga sama. Bapa saudara Assyifa seakan tidak membenarkan gadis itu menghantarnya pulang malah doktor itu sendiri menawarkan diri. Malangnya, terpaksa dibatalkan niat tersebut kerana ada pesakit. Dari situ, dia mula syak ada sesuatu yang tidak kena.
Hana tersenyum jahat apabila otaknya merangka satu niat. Dia berdeham sambil membetulkan duduknya. Sesaat kemudian, matanya tertarah pada wajah comel Assyifa.
“Cantik betul kulit you. You pakai produk apa ya..?” Serentak, Hana mengusap pipi kiri Assyifa. Spontan juga, gadis itu menjerit terkejut. “Kenapa..?!” Hana pura-pura terkejut walhal hatinya ketawa lucu. Memang tepat jangkaannya, gadis itu tahu identiti sebenarnya.
“Tak.. tak ada apa-apa.” Jawab Assyifa gugup. Pipinya digosok kasar. Wajah cerah itu bertukar warna. Hana masih menahan tawa. Kali ini, matanya melekat pula pada tangan Assyifa yang sentiasa menggenggam kepala gear.
“I ucapkan terima kasih sangat-sangat sebab you tolong I tadi.” Hana menggenggam erat tangan Assyifa sedangkan gadis itu cuba sedaya-upaya menarik. “I akan ingat jasa you sampai mati!” Hana mengelus-elus tangan Assyifa sambil menahan gelak yang cukup hebat ledakannya. Rasakan perempuan!!
Hana hanya melepaskan tangan Assyifa apabila perasan mata gadis itu merah dan berair. Hilang sekejap perangai nakalnya tadi. Ada juga rasa kasihan dalam dirinya.
“You tak nak tolong hantarkan I ke..?” Tanya Hana sebaik saja kereta berhenti di hadapan lif. Soalan Hana hanya dijawab dengan gelengan. Hana mendengus geram. Dia kembali terkilan dan geram dengan sikap Assyifa. “Takkanlah you nak biar I jalan sorang-sorang dengan kaki berbalut macam nih! Nanti tak pasal-pasal dari terkehel saja terus patah. You nak bertanggungjawab..?!”
Assyifa terpinga-pinga dihentam suara nyaring Hana. Dia betul-betul gelabah. Dalam serba-salah dan takut, dia keluar dan memimpin Hana naik ke kondo milik Hana yang berada di tingkat 9. Sepanjang perjalanan, Hana tidak sudah-sudah mengenakan Assyifa. Tangannya tidak berhenti menyentuh dan meraba tubuh kurus Assyifa. Hatinya ketawa berdekah-dekah setiap kali melihat tindakbalas Assyifa. Geli sangatlah..!! Kau tunggu nasib kau nanti! Hatinya mengejek.
Sampai di hadapan rumah, Assyifa segera melepaskan tubuh Hana. Dia ingin segera beredar dan menangis semahunya. Dia berasa dirinya dicabul berkali-kali. Hatinya merintih malu. Malu dengan Tuhannya.
“Masuklah dulu. I buatkan you minuman tanda terima kasih I untuk you.” Hana tersenyum manis. Assyifa menggeleng laju. Dia membuka langkah untuk pergi. Entah kenapa, Hana naik berang. Geram dengan penolakan Assyifa. Dia berpura-pura jatuh kemudian menjerit kesakitan.
Assyifa yang berada tidak jauh dari situ segera berhenti dan menoleh. Terkejut melihat Hana terduduk di hadapan pintu pagar sambil mengerang kesakitan. Hati berbolak-balik untuk menolong. Disebabkan rasa simpati, dia berpatah balik. Dia segera membuka pintu pagar dan memapah Hana masuk ke dalam rumah. Hana yang cukup gembira tidak terkata segera meminta Assyifa membawanya ke dapur. Ada rancangan lagi yang belum terlaksana. Jika apa-apa berlaku nanti, tidaklah mengganggu teman serumahnya.
“You duduklah. I buatkan air untuk you.” Hana tersenyum suka lalu menuang air panas yang baru dimasak menggunakan jug elektrik ke dalam mug. Assyifa panas punggung. Tidak betah lagi untuk dia terus menunggu. Dia mahu segera pulang. Apabila dia ingin bersuara meminta diri, tangannya digenggam kejap dan tubuhnya dipeluk erat. Assyifa menjerit nyaring.
“I ucapkan terima kasih sebab tolong I tadi.” Hana mengeratkan pelukannya apabila Assyifa meronta. Malah, sengaja dielus-elus belakang tubuh Assyifa.
Air mata yang ditahan sejak dari awal lagi turun tanpa henti. Assyifa meronta dan menolak tubuh Hana sekuat hatinya namun tidak berdaya. Lengan yang melilit tubuhnya dirasakan terlalu kuat.
“I gembira dapat berjumpa dengan you. Betul cakap you, tak salah kita tolong kaum sendiri.”
“Tak!! Tak!! Awak bukan perempuan. Bukan perempuan tapi lelaki. Lepaskan saya..!!” Assyifa menjerit sekuat hatinya. Tanpa sedar, tubuhnya dilepaskan dan serentak penampar jantan melekat di pipi gebunya. Assyifa jatuh terjelupuk ke lantai. Pandangannya berpinar. Pipinya pedih. Belum pernah sesiapa menampar wajahnya sebelum ini.
“Perempuan bangsat..! Berani kau panggil aku macam tu..! Kau ingat kau bagus sangat ke, hah..?!!” Hana meludah wajah Assyifa malah tubuh kurus itu dipukul dan ditendang beberapa kali. Tudung Assyifa diragut dan dikoyak. Akal Hana dirasuk syaitan apabila terkenangkan Ammar yang sanggup berpaling kasih demi seorang perempuan.
“Mentang-mentanglah kau dilahirkan perempuan, bolehlah kau berlagak! Hei.., aku tak heranlah..!! Aku lebih cantik dari kau, aku lebih hebat dari kaum yang kau banggakan tu..!”
Hana menerpa ke arah Assyifa. Ingin ditarik rambut panjang itu tetapi Assyifa lebih pantas bertindak. Kelangkang Hana ditendang kuat. Hana terjerit kesakitan. Bahagian sulitnya terasa sakit yang amat sangat. Dalam kesakitan itu juga, tangannya tersentuh mug tadi. Dengan akal yang menggila, mug diambil lalu disimbah ke arah Assyifa yang kebetulan cuba bangun. tidak cukup itu, Hana turut menyambar jug elektrik tadi lalu disimbah lagi.
Assyifa menjerit sekali lagi dan mengelupur sakan apabila air panas menyentuh kulit wajahnya. Dia meraung dengan tapak tangan menekup kulit yang bertukar merah seperti udang yang dipanggang. Dengan kekuatan yang masih bersisa, Assyifa bangun dan berlari keluar.
“Padan muka kau!! Biar muka kau cacat. Tak ada lelaki yang akan kahwin dengan perempuan hodoh macam kau..!!” Jerit Hana lantang. Dalam terbongkok-bongkok menahan sakit dia masih mampu ketawa puas. Puas sungguh hatinya melihat kesakitan yang dirasai gadis itu. Puas..!!!!

Assyifa tercungap-cungap menahan sakit. Tangan kanan setia menekup mata kanan. Pedih. Matanya pedih dan sakit. Begitu juga kulit dan tubuhnya. Hanya itu yang dirasainya saat ini. Konsentrasi pemanduannya sekali-sekala terganggu apabila rasa pedih menyengat. Bibir yang lebam pula tidak putus-putus berdoa supaya dia cepat sampai ke hospital berdekatan. Dalam sekelip mata saja, pandangannya bertukar gelap. Keretanya meluncur laju lalu melanggar sebatang pokok. Kepala Assyifa terhentak kuat pada stereng kereta. 

Rafflesia - Bab 3 ~ Bab 4

------------BAB 3------------
Sembilan tahun kemudian...
Suasana tempat letak kereta sunyi sepi. Saerah mengerling jam di tangan. Masih awal. Dia melangkah memasuki lif. Pintu lif terbuka apabila tiba di tingkat tiga. Saerah berjalan santai sambil mata melilau memerhati sekeliling. Kedai-kedai di tingkat itu masih belum dibuka. Ruang legar juga sedikit malap kerana masih banyak lampu yang tidak terpasang. Dia memperlahankan langkahnya apabila mendekati sebuah kedai pakaian.
Saerah tersengih apabila terpandang kelibat Adilla sedang sibuk memakaikan pakaian pada sebuah patung wanita. Dia menjengket perlahan lalu menyergah teman baiknya itu. Adilla yang cukup khusyuk dengan kerjanya melatah panjang. Siap terpeluk patung tadi lagi. Saerah ketawa bagai tidak ingat dunia.
“Nak mampus betul makcik sekor nih..!!” Adilla menjerit geram. Tangan patung tadi dijulang tinggi. Geram betul apabila disergah begitu. Saerah berlari anak masuk ke dalam tanpa mempedulikan leteran mak nenek temannya.
“Kau nih, kang mati terkujat anak dara Sufian tu, siapa nak jawab..?” tegur Hanis yang turut sama merasa tahap kejutan dek pekikan dan latahan Adilla.
“Alah.., sekali-sekala mengusik! Bukan selalu pun.” Saerah masih tersengih suka. Hanis hanya mampu menggeleng mengenangkan perangai makcik yang seorang ini. “Aik.., dia tak sampai lagi ke?” Saerah memandang sekeliling mencari seseorang.
Mendengar pertanyaan itu, Hanis mengerling jam tangannya. Dia sendiri berasa pelik. “Tersangkut dalam trafik kot.” Hanis membuat telahan sendiri.
“Hish..! Merepeklah kalau tersangkut. Lainlah kalau dia drive macam kita. Dia tu naik skuter. Sepatutnya dia sampai awal dari kita.” Saerah membebel risau. Tidak pernah temannya yang seorang itu lewat begini.
“Dia ada hal sikit. Pagi tadi dia call. Dia kena hantar sepupu dia ke kolej sebelum datang sini.” Suara Adilla muncul di belakang Saerah membuatkan gadis itu berpusing sambil tersenyum comel. Wajah cemberut Adilla memang comel! Tidak semena-mena, penyangkut pakaian di tangan Adilla hinggap di lengannya. Menyeringai sakit dia dibuatnya.
“Alah bucuk cayang intan payung..! Janganlah marah, anje gurau aje.” Usik Saerah suka sambil mencuit dagu berisi Adilla. Makin seronok melihat mimik muka ala-ala asam kecut Adilla. Hanis ketawa halus melihat dua temannya itu. Tidak ubah seperti Fizi dan Ehsan dalam cerita animasi Upin & Ipin.
“Safe!!!” Jeritan halus di muka pintu membuatkan tiga dara pingitan tadi menoleh laju. Mereka tersenyum panjang. Hati masing-masing mengucap rasa syukur apabila melihat wajah ceria yang menjadi bualan mereka sebentar tadi telah tiba dengan selamat. Cukup lega!
“Banyaklah kau punya safe! Dah pukul berapa sekarang..?” Saerah bersuara tegas sambil mencekak pinggang. Wajahnya sengaja dibuat garang. Gadis tadi melangkah masuk sambil tersengih-sengih. Nafasnya sedikit turun naik akibat larian maratonnya sebentar tadi.
“Tepat pukul sembilan. Tak lambat tak cepat. Thank you very much!” Ceria sahaja gadis itu bersuara sambil tersenyum-senyum. Saerah tarik muka manakala Adilla dan Hanis tersenyum lucu. “Dah breakfast? Aku ada beli roti canai. Untuk Dilla macam biasa. Anis pun sama.”
“Untuk aku..?!” Tanya Saerah laju sambil membelek bungkusan plastik yang dibawa gadis manis itu.
“Lah.., kau tak makan lagi ke? Aku ingat kau dah makan kat rumah tadi.”
“Assyifa..!!!” Saerah menjerit geram. Marah. Makin geram apabila gadis itu ketawa suka. Hanis dan Adilla juga begitu. Seronok mengetawakannya.
“Alah bucuk cayang intan payung..!” Intro Saerah diguna pakai tanda menyakat. Bahu temannya dipeluk mesra. “Tak payah buat muka cemberut asam kecut tu. Takkanlah aku lupakan kau wahai si mulut kecoh, kaki mengusik lagi apa eh..?”
“Perut tong drum, mulut longkang.” Sampuk Adilla geram.
“Kurang lemak punya mulut. Meh sini kau, aku nak sira dengan kuah roti canai nih!” Saerah mengejar Adilla yang sudah membuka langkah ke pantri bersama bungkusan makanan tadi. Tergelak Hanis dan Assyifa melihat gelagat mereka.
“Jomlah kita makan dulu. Hari ni buka lambat sikit. Syifa nak check stok yang baru sampai semalam lepas makan nanti.” Assyifa bergerak ke pejabatnya. Hanis tersenyum seraya mengangguk tanda faham dengan arahan bosnya.

Hampir jam sebelas pagi, Ody Style mula dikunjungi pelanggan. Ody Style ataupun nama panjangnya, Out-Do-Yourself adalah hasil inspirasi dari Assyifa sendiri. Kedai pakaian yang dibuka bersama tiga teman baiknya mula beroperasi sejak tiga tahun yang lalu. Ody Style bukan sahaja menyediakan pakaian yang bermutu tinggi malah turut menawarkan khidmat perunding imej dan juga mekap. Ody Style amat mengutamakan gaya pemakaiannya pada pemakainya. Menutup aurat dan sopan tetapi berketrampilan moden serta berstail. Cukup kena dengan cita rasa remaja zaman sekarang yang inginkan gaya urban. Pelanggan tetap Ody Style terdiri daripada remaja yang masih tercari-cari penampilan yang bersesuaian terutama sekali bagi gadis yang bertudung.
“Akak rasa dress kembang ni sesuai dengan adik yang bertubuh kurus. Adik rasa macam mana..?” Tanya Assyifa mesra pada seorang pelanggannya. Gadis itu mengia setuju. Nampak terpegun dengan dress kapas paras bawah pinggul itu. “Adik boleh pakai dengan seluar jeans, slack ataupun slack-jean. Ikut keselesaan adik. Pakai skrit labuh pun okey.”
“Kalau pakai inner putih.., akak rasa okey tak..?” Tanya gadis itu sambil membelek blaus rona merah ala jaket yang tersarung di tubuhnya.
“Pakai inner memang tak salah tapi pakaian tu selalunya ketat dan mengikut badan. Tak manislah pulak. Dress tanpa lengan ni memang elok ditutup dengan blaus ni. Ataupun adik ada pilihan lain. Gantikan inner tadi dengan plain t-shirt lembut dan longgar lepas tu tutup dengan tudung atau selendang labuh.” Serentak, Assyifa mengambil pakaian yang disebutnya sebentar tadi lalu diacukan kepada gadis itu. Gadis itu masuk kembali ke bilik persalinan.
“Hem.., okey jugak macam tu!” Gadis itu berpusing di hadapan cermin selepas Assyifa menolongnya mengenakan sehelai selendang dengan gaya ringkas. Seronok Assyifa melihat seorang lagi pelanggannya yang nampak teruja dengan gaya terbarunya. “Tapi akak.., rasanya dah terlebih budgetlah. Saya datang cuma nak cari baju saja.”
Assyifa tersenyum senang. Itulah rungutan yang selalu keluar dari mulutnya dahulu. “Berapa budget adik?” Assyifa tersenyum manis.
“Em, dalam RM150 saja sebab terfikir nak ambil dua tiga helai baju macam nih.”
“Itu dah lebih dari cukup, dik. Selendang, dress dan seluar yang adik pakai tu tak sampai seratus pun. Oleh sebab adik pelanggan pertama akak pagi ni.., akak hadiahkan sehelai lagi dress. Adik pilih saja yang mana adik suka.”
Gadis itu nampak tersentak dan teruja. “Biar betul kak..?!”
“Betullah. Tapi, kalau adik tambah lagi tiga puluh ringgit, akak boleh padankan dengan kasut dan aksesori yang bersesuaian.”
“Rasanya ni pun dah terlebih cukup. Kalau boros sangat nanti tak ada tambang nak balik pulak.” Gadis itu tersengih malu. Assyifa turut sama ketawa. “Kalau macam tu, saya terus pakailah. Malas nak salin lain.”
“Set! Adik tunggu kat kerusi depan cermin tu. Kami sediakan solekan percuma untuk pelanggan yang first time datang ke sini.”
“Wow! Bestlah kedai akak nih. Esok-esok, saya nak ajak kawan-kawan saya datang pulak.” Gadis itu membelek dress yang dia berkenan. Jumpa yang sesuai terus diambil lalu diserahkan kepada Assyifa. “Tapi.., akak tak rugi ke buat sale macam ni. Siap mekap serba-serbi lagi.”
Assyifa tersenyum lagi. Itulah yang soalan yang selalu dilontarkan kepadanya. “Kalau nak buat benda baik ni dik, memang tak menguntungkan. Tapi yang paling penting niat akak sampai pada semua gadis macam adik kat luar sana.”
“Niat..? Maksud akak..?”
“Akak teringin nak tengok gadis-gadis suci macam adik pelihara aurat mereka. Adik sendiri boleh tengok kan macam mana pemakaian gadis remaja zaman sekarang. Yang bertudung macam tak bertudung. Yang tak bertudung pulak.., lagilah. Remaja Islam sekarang makin terpesong. Bertudung tetapi mendedahkan aurat. Tudung cantik tetapi pendek dan singkat hingga menampakkan bahagian dada. Dah cantik bertudung tapi pakai pulak baby shirt dengan skinny jean. Tak pelik ke macam tu..?” Panjang hujah Assyifa. Gadis itu pula terangguk-angguk setuju dengan kata-kata Assyifa.
“Adik tengok akak ni dah macam pendakwah pulak. Tapi versi moden dan urban. Nak kata macam ustazah memang tak ada ciri langsung sebab adik tengok pakaian akak memang bergaya dan ranggi habis.” Jujur gadis itu berkata. Assyifa ketawa sendiri. Memang benar kata gadis itu, dia memang tak ada langsung ciri-ciri seorang ustazah. Hari ini, dia mengenakan selendang labuh yang dililit hingga ke paras pinggang, bersingsing di bahu dan dipadankan dengan dress paras paha bersama jeans straight cut.
“Ini dah macam pakaian rasmi akak. Takkanlah akak nak berjubah dengan jilbab tapi jual pakaian macam ni.”
“Betul jugak kan..?” Gadis itu tersengih. Dia duduk di kerusi berhadapan cermin solek.
“Adik duduk ya, akak panggilkan kawan akak untuk mekapkan adik sementara akak siapkan resit. Dilla.., make-up please!” Assyifa melaung lembut sambil bergerak ke kaunter pembayaran. Adilla datang untuk melaksanakan tugasnya.

------------BAB 4------------
Medan selera tingkat bawah mula dikerumuni pengunjung dan pelancong asing. Selain pemilik kedai dan pekerja dalam Bentara Megamall, segelintirnya adalah pekerja-pekerja ofis dari bangunan berdekatan. Medan Selera Bahtera memang akan sesak setiap kali masuk waktu tengahari dan petang. Tarikan utama tentulah masakannya yang pelbagai. Cukup sedap dan berpatutan. Segala macam masakan ada tersedia selain masakan dari tiga kaum utama di Malaysia. Masakan dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia termasuklah masakan Eropah, Timur Tengah dan Asia Barat juga turut dihidang. Itulah yang menjadi tarikan utama di Medan Selera Bahtera.
Di satu sudut, kelihatan empat orang gadis sedang enak menjamu selera. Hingar-bingar di sekeliling mereka langsung tidak mengganggu acara bersembang mereka.
“Amacam dengan stok tadi?” Tanya Saerah dengan mulut separuh penuh. Adilla di sebelah menjeling jengkel. Tak senonoh betul makcik sorang nih!
“Okey-okey je. Tak ada yang kurang, tak ada yang reject. Lepas ni boleh tempah dengan supplier tu lagi.” Jawab Assyifa tersenyum. Kelakar dengan mimik muka meluat Adilla.
“Kasut-kasut yang kau minta aku pesan hari tu mereka cakap akan sampai dalam empat lima hari lagi. Kalau sampai awal, pihak mereka akan call.” Sampuk Hanis. Assyifa terangguk faham. “Kalau aku free, aku pergi ambil. Kalau tak...”
“Meh aku ambil!” Jawab Saerah bersemangat. Tangan kanannya diangkat tinggi. Temannya yang lain tergelak.
“Okeylah. Nanti kau pergi ambil. Tapi ingat, jangan kau buat aksi drift macam hari tu pulak. Bukan aku tak tahu perangai gila-gila kau tu.” Assyifa menasihat dengan suara yang lembut. Temannya yang seorang ini bukan tidak pernah kemalangan tapi sudah beberapa kali cuma tidak pernah serik.
Saerah tersengih. “Janganlah risaulah intan payung. Aku drive sehemah mungkin. Okey?”
“Okey!” Ceria Assyifa menjawab.
Selesai makan, mereka ke surau di tingkat dua manakala Assyifa kembali ke kedainya yang dijaga seorang pembantu Filipina sementara mereka keluar makan. Ketika hampir memasuki kedainya, Assyifa perasan sesuatu. Premis niaga bertentangan dengan kedainya nampaknya telah disewa. Beberapa pekerja pengangkut barang sedang menyorong kotak-kotak besar masuk ke dalam premis tersebut. Malas membuang masa, Assyifa meneruskan langkah masuk ke dalam kedainya.

“Syifa..!” Suara Saerah bergema nyaring. Dari tadi mulutnya gatal ingin menberitahu Assyifa mengenai pendatang baru di seberang sana. Disebabkan ramai pelanggan yang berkunjung, terpaksalah dia menahan dahulu. Kakinya bergerak laju melangkah ke kaunter bayaran.
“Ada apa..?” Tanya Assyifa tanpa memandang. Tangannya lincah menulis sesuatu di atas kertas. Saerah yang bertenggek di hadapannya, tersengih sendiri.
“Kau tahu tak...”
“Tak tahu..!” Pantas Assyifa menjawab. Tergelak melihat muka kelat temannya.
“Hish minah ni! Aku cium kang. Aku nak beritahu berita sensasi ni. Kau tahu tak..?! Kedai depan kita seberang sana nuh.., dah bukak. Kejap tadi aku pergi merisik khabar. Dengar cerita penyewa tu nak buka butik baju. Habislah kita, Syifa!” Lagak Saerah menyampaikan berita hampir seiras dengan lagak seorang mami jarum.
Assyifa memandang pelik. Dia bangun dan bergerak ke susunan seluar berlipat di atas rak. “Kenapa pulak nak habis? Biarlah mereka nak bukak gedung baju sekali pun. Itu hak mereka.”
“Ish..! Bendul betullah kawan aku nih!” Saerah merungut sambil menggaru laju kepala yang dilitupi tudung. Assyifa menjeling geram. “Kau sedar tak kita dah ada pesaing.”
“Okeylah tu. Sekurang-kurangnya taklah kita sunyi kat sini. Ada pesaing macam tu boleh tingkatkan semangat kita untuk terus berusaha dan bekerja keras. Makin kita berusaha, makin banyaklah untung yang kita dapat.”
“Ke situ pulak! Kau tak takut ke pelanggan kita lari ke sana? Tak pasal-pasal sale kita merudum jatuh. Ngeri pulak bila ingat masa kita mula-mula buka kedai ni dulu.” Saerah termangu penuh perasaan apabila mengingati kembali zaman awal penubuhan kedai mereka.
“Macam yang aku cakap tadi, jangan takut. Persaingan antara kita adalah persaingan sihat. Kalau dia untung, tu rezeki dia. Kita untung, rezeki kita. Lagipun, kita belum tahu butik tu jual pakaian yang macam mana. Tauke pun kita belum tahu. Entahkan cina, entahkan melayu. Janganlah risau sangat. Tu ha.., customer dah masuk. Pergi layan cepat.” Assyifa memberi arah ringkas dengan senyuman manis. Tidak mahu temannya terasa hati.
Saerah berlalu pergi dengan cebikan. Geram dengan ketenangan Assyifa. Memang susah nak lihat gadis itu gelabah. Tetapi dalam hati dia tahu, Assyifa pasti tidak tenteram walaupun luarannya nampak tenang.

Assyifa menongkat skuter Icon birunya sebaik saja memasuki ruang laman rumah teres tiga tingkat milik Hanafi. Mujur dia sempat sampai awal sebelum hujan turun. Salam dilaung apabila pintu pagar dibuka. Salamnya dijawab seorang wanita berbaju kelawar.
“Sampai pun Syifa! Mak chu risau sangat bila dengar bunyi guruh tadi. Kat sana dah hujan ke?” Kalut Linda bertanya. Nadanya seperti biasa. Kalut dan risau.
“Belum, mak chu. Syifa kena paksa balik awal kalau tak, mereka tiga orang tu nak kurung Syifa dalam kedai. Tak bagi balik.” Assyifa ketawa sendiri sambil duduk di sofa melepaskan lelah. Linda menghilang ke dapur dan kembali dengan segelas jus oren.
“Kalau mak chu jadi mereka pun mak chu akan buat benda yang sama. Bahaya menunggang dalam hujan. Malam pulak tu. Senang-senang kamu naik keretalah.”
Hampir tersedak Assyifa dibuatnya. Gelas kosong diletak di atas meja kopi sambil tangan mengurut dada. Linda duduk di sebelah anak saudaranya sambil menolong menggosok belakang. Tahu benar gadis itu masih trauma.
“Bukan Syifa tak nak memandu mak chu tapi mak chu sendiri faham kan?” Assyifa tertunduk sayu.
“Maaflah. Bukan mak chu marah tapi mak chu risau sangat. Syifa tu anak dara. Keluar pagi balik malam. Tak elok!” nasihat Linda lagi. Assyifa hanya membisu.
“Ayah chu mana mak chu?” Assyifa segera menukar topik. Melihat jelingan tajam dan dengusan geram Linda, dia tersengih.
“Ada kat atas. Tengah solat Isyak. Syifa dah makan?”
“Dah mak chu. Syifa naik atas dulu. Melekit betul badan ni.” Assyifa meminta diri dan berlalu ke tingkat atas. Linda memerhati dengan pandangan yang sayu. Dia bersyukur kecelakaan masa lalu tidak mengubah personaliti Assyifa walaupun parut kesan lecuran kekal terukir di wajah ayu itu.
Assyifa selesai mengambil wuduk. Anak rambut yang basah ditolak ke belakang lalu dipakaikan cekak. Dia bergerak ke arah cermin. Lama dia berdiri di situ. Mata tunak memandang imbasan wajahnya pada permukaan cermin. Tangan kanan mula bergerak lalu dilekapkan pada cermin. Kemudian, dia tergelak sendiri. Lucu dengan kebodohan akalnya.
“Apalah yang kau buat ni, Syifa? Macamlah parut tu boleh hilang kalau kau tutup macam tu.” Assyifa mengeluh sendiri. Beberapa ketika kemudian, matanya merah. Tubir matanya mulai panas dan memberat. Entah kenapa setiap kali melihat wajah sendiri, hatiya tersayat sayu. Dia simpati dengan diriya sendiri. Parut di sebelah kanan wajah membuatkan jiwanya rawan. Pedih!.
Memori silam yang mengerikan sentiasa terbias di ruang minda dan matanya. Paksalah sehebat mana pun, kotak ingatannya tidak mungkin dapat melupakan kecelakaan yang berlaku pada dirinya hampir sembilan tahun yang lalu. Tidak mungkin! Dia cuba berjasa kepada seseorang tetapi padah yang dia terima. Parut kekar di wajah mulusnya adalah buktinya. Kesan lecur itu tidak pernah hilang walaupun sudah sembilan tahun peristiwa itu berlaku. Pelbagai produk yang disapu tetapi langsung tidak menunjukkan kesan. Mungkin tidak mendapat keizinan dari-Nya. Air mata Assyifa mengalir jua.
Wajahnya hodoh. Cacat! Kesan dari air panas yang disimbah ke wajahnya dahulu telah membuatkan kulit di wajahnya melecur. Kelopak mata dan juga anak matanya turut terjejas. Mata kanannya kabur. Tetapi dia tetap bersyukur. Selepas dua kali pembedahan, dia mampu melihat walaupun terpaksa mengenakan kanta lekap. Dia juga bersyukur hanya air panas menyentuh kulit wajahnya. Keadaannya mungkin lebih parah jika asid yang diguna mak nyah itu.
Mengingatkan perkataan mak nyah, dia jadi benci dan menyampah. Dalam masa yang sama juga, dia rasa takut dan fobia. Laju otak Assyifa mengingati lelaki berpakaian wanita yang pernah diselamatkannya dahulu. Selepas dia sembuh sepenuhnya, pak chu banyak kali bertanya punca sebenar wajahnya melecur teruk namun dia tidak pernah bersuara. Dan sehingga ke hari ini Assyifa setia mendiamkan diri. Ketika itu, dia terlalu takut dan di dalam trauma. Dan perasaan itu masih setia merantai benaknya hingga ke saat ini. Kesan sakit akibat lecuran dan kemalangan berjaya melumpuhkan semangatnya untuk bersuara.
Bukan sahaja semangatnya tetapi juga masa depannya. Assyifa koma selama enam bulan akibat hentakan di kepala dalam kemalangan tersebut. Dia gagal hadir untuk menduduki peperiksaan SPMnya malah dia juga dilanda kemurungan selama tiga tahun sebelum semangatnya kembali pulih. Cukup hebat rentetan peristiwa hidupnya.
Assyifa mengesat air matanya. Dia melangkah keluar lalu bergerak ke permaidani yang menempatkan sejadah. Selepas rasa pedih dan sedihnya hilang dan jiwanya kembali tenang, dia segera menunaikan solat Isyak dengan penuh khusyuk. Akhir solat, doanya sentiasa sama. Semoga semangatnya terus hidup demi masa depannya.