Thursday, 10 October 2013

Bersatu Selamanya Bab 16 ~ 20

------------BAB 16------------
Sebuah kereta Toyota Alphard dipandu perlahan menyusuri jalan kampung yang agak sempit. Kelebarannya hanya cukup untuk sebuah kereta dan motosikal berselisih. Jika bertembung sesama kereta, salah sebuah perlu berhenti untuk memberi laluan. Pemandu kereta tersebut memandu dengan berhati-hati memandangkan waktu petang, ramai budak kampung yang berbasikal di jalan.

“Rumah siapa yang kita nak pergi ni, Papa..?” tanya Fazri yang tanpa menoleh ke arah Faizzul yang duduk di sebelahnya. Matanya masih tertumpu di jalan.

“Nanti kamu tahulah. Dah sampai ke belum..?” balas Faizzul semula. Fazri diam seketika sambil mengamati kawasan sekeliling.

“Rasanya dah sampai.” Fazri memberi kepastian apabila matanya menangkap sebuah rumah kampung tradisional yang tersergam indah. Laman rumah tersebut juga luas dan bersih. Kereta itu menyusur masuk dan berhenti di bawah pohon rambutan yang sudah lebat berbunga.

“Rasanya nilah rumahnya.” Fazri memberi kepastian.

Lantas, Faizzul membuka pintu dan keluar. Pelik Fazri melihat kelakuan papanya. Dia menoleh pula ke belakang. Dilihatnya Jannah nampak resah semacam. Reaksi takut dan bimbang bercampur-baur.

“Ummi...? Ummi tak nak keluar..?” Pertanyaan Fazri mengejutkan Jannah dari lamunannya.

“Ya... ya..., ummi nak keluarlah ni.” Jannah membalas dengan suara yang agak gagap. Perasaan pelik Fazri makin berganda. Kening yang sudah bertaut ditambah pula dengan dahi yang berlapis. Fazri dan Jannah keluar serentak dari perut. Ketika itu, Faizzul masih sibuk memberi salam untuk kali yang kedua.

“Assalamua’laikum..” Salam Faizzul masuk kali yang ketiga.

“Waa’laikumsalam..” Jawab satu suara dari dalam rumah. Kedengaran juga derapan kaki memijak lantai papan yang masih utuh. “Maaflah.., Pak long kat dapur tadi. Tak dengar orang beri salam.”

Pada saat itu juga, seorang lelaki berumur keluar dari pintu ruang tamu. Langkah lelaki itu terhenti apabila matanya menangkap wajah Faizzul yang sudah tersenyum melihat kelibatnya. Kesemua pasang mata kini tertacap pada lelaki berumur yang masih terkaku di tangga yang dihiasi dengan jubin yang berwarna-warni. Masing-masing sudah terlopong.

“Abang Zali...” Panggil Faizzul ringkas dengan senyuman yang lebar. Fazri memandang papanya dengan riak wajah yang terkejut.

“Takkanlah... kamu..., Faiz..?” Lelaki berumur itu juga nampak terkejut. Mata yang mengecil kembali membesar.

“Ya.., Bang. Ni saya..., Faiz.” Faizzul menekan suaranya. Senyuman dibibirnya masih setia terukir.

“Ya ALLAH..., Faiz..!” Ghazali hampir-hampir menjerit. Langkah pantas diatur berhati-hati menuruni anak-anak tangga. Sampai saja di tanah, kedua insan tadi berpeluk erat. Keduanya turut mengalirkan air mata rindu. Jannah yang melihat juga tidak mampu menahan sebak. Fazri pula..., dia nampak keliru, bingung, pening dan terkejut. Semua perasaan menyerang benaknya dalam masa yang sama.

“Abang.., abang apa khabar?!” Tanya Faizzul sebaik saja pelukan mereka terlerai. Tangan mereka pula bersatu.

“Alhamdulillah.., abang sihat.” Jawab Ghazalimenjawab seraya menyeka pipinya.

“Tak sangka akhirnya.., ALLAH makbulkan juga doa saya selama ni, bang.” Kata Faizzul masih teruja. Ghazali sudah ketawa kecil melihat kelakuan Faizzul yang seakan kanak-kanak.

“Kamu ni.., masih seperti dulu. Excited terlebih.” Faizzul ketawa besar mendengar kata-kata Ghazali. Mata Ghazali beralih ke arah seorang wanita yang dari tadi hanya diam membisu.

“Jannah...?!” panggil Ghazali lembut. Bahu Jannah terjungkit sedikit tanda dia terkejut. Perlahan-lahan dia mendongak untuk melihat wajah insan yang sangat dia rindui. Ghazali tersenyum manis. Jantung Jannah sudah bergetar laju. Senyuman itulah yang pernah membuat dia tidur tak lena, makan tak kenyang.

“Apa khabar, bang..?” Ucap Jannah lembut. Senyuman manis mula terukir di wajahnya.

“Alhamdulillah, abang sihat.” Balas Ghazali lembut. “Jannah pun tak berubah. Masih seperti dulu.”

“Malah, makin cantik kan, bang?” sakat Faizzul.

“Abang nih..!” rengek Jannah manja. Mereka ketawa. Tawa Ghazali hilang serta-merta bila terlihat kelibat Fazri.

“Fazri..?!” Ghazali terkejut seraya memandang Faizzul dan Jannah.

“Abang kenal Fazri?!” soal Faizzul juga terkejut.

“Ya.., abang kenal sangat. Kami selalu berjumpa di masjid besar. Dia...”

“Anak saya, bang. Satu-satunya anak saya. Muhammad Fazri Alias.” Fazri tersenyum melihat kedua insan itu.

“ALLAHHUAKBAR..!” Ghazali mengucap lembut. “Sungguh hebat kurniaan yang DIA turunkan pada kita. DIA pertemukan kita semula walaupun hampir 30 tahun terpisah. Nampaknya jodoh kita masih kuat.” Tambah Ghazali seraya memegang dadanya. Mereka yang lain sudah tersenyum. Rasa syukur juga terbit di hati masing-masing.

“Buat apa tercegat di sini lagi, jomlah masuk.” Ajak Ghazali sambil menarik tangan Faizzul yang dua tahun lebih muda darinya. Lelaki itu sudah dianggap seperti adik sendiri.

Dari papanya, barulah Fazri tahu dan segala persoalan yang membuatkan kepalanya bingung, terjawab. Pak long Ghazali adalah rakan lama yang dicari papanya hingga ke Indonesia kerana disangka lelaki itu masih menetap di sana. Pak long Ghazali jugalah lelaki yang banyak membantu papanya menjadi seorang lelaki yang sekarang ini. Faizzul sendiri bukan calang-calang orangnya. Papa dan umminya berasal dari keluarga yang berada dan sangat berpengaruh. Papa pula agak liar semasa zaman mudanya. Selepas bertemu dengan Pak long Ghazali, barulah Faizzul berjaya mencari kedamaian sebagai seorang hamba ALLAH.


Mereka tiga beranak duduk menunggu di ruang tamu manakala Ghazali pula di dapur. Selepas beberapa ketika, Ghazali muncul sambil membawa minuman untuk tetamunya.

“Maaflah lama menunggu.” Ghazali meletakkan dulang di atas meja kopi seraya melabuhkan punggungnya.

“Sunyi saja rumah. Abang tinggal sorang saja ke?” soal Faizzul selepas puas melihat keliling ruang tersebut. Ghazali tersenyum.

“Anak keluar, pergi mengambil cucu di sekolah. Kejap lagi baliklah. Abang tak tinggal sorang. Anak lelaki kedua tinggal di sini tapi disebabkan isterinya bakal melahirkan anak sulung, dibawanya pulang ke rumah besan. Senang sikit nak jaga.” Jawab Ghazali lengkap dan mutakhir. Fazri agak gugup bila matanya sekali-sekala bertembung dengan Ghazali. Pandangan lelaki itu seperti menyimpan sesuatu.

“Yang cucu pulak?”

“Tiga orang semuanya. Anak kepada anak sulung abang. Suami isteri bekerja di negeri lain. Balik pun sebulan sekali. Anak-anak ditinggalkan di sini memandangkan abang dan si Fazira yang minta. Anak bongsu yang sama umur dengan Fazira sekarang di Mesir. Lepas tiga tahun, baliklah.” Jelas Ghazali lagi. Faizzul mengangguk faham.

“Macam mana kamu boleh jumpa abang?” Ghazali pula bertanya. Jannah pula sibuk menghidang air kopi tadi.

“Bukan saya tapi Jannah. Dia yang perasan gadis yang seiras dengan wajah Khatijah. Saya pun macam tak percaya masa Jannah tunjukkan gambar tu.” Terang Faizzul dengan nada teruja. Ghazali tersenyum. Kelakuan Jannah diperhati dengan pandangan yang lembut. Fazri hanya menunggu dan mendengar.

“Kebetulan saja waktu tu.” Jannah menambah. Dia nampak takut untuk merenung wajah lelaki yang duduk di hadapannya. Fazri berasa pelik melihat kelakuan umminya.

“Tak ada yang kebetulan dalam dunia ni, Jannah. Semuanya telah ditakdirkan, begitu juga dengan pertemuan kita.” Ghazali menegas lembut. Untuk beberapa saat, pandangan mereka bertembung. Mereka saling berbalas senyuman.

Kening Fazri terangkat. Kelakuan dua insan tadi tidak ubah seperti dua kekasih yang sudah lama terpisah. Matanya dialih ke arah Faizzul pula. Papanya nampak senang melihat mereka berdua. Perasaan bingung dan ingin tahu makin bertimbun menimpa benaknya.

“Betul ke gadis tu anak abang?” Jannah memberanikan diri membuka soalan. Ghazali tersenyum ringkas.

“Dia bukan anak abang, Jannah. Tapi, dia anak kepada arwah Ghani dan Khatijah.” Mereka tersentak mendengar jawapan Ghazali kemudian saling memandang.

“Macam mana boleh...? Bukan ke abang...?” Faizzul sudah melopong.

“Abang pun terkejut juga waktu tu. Bila tahu cerita sebenar, rupanya... Ghani dan Khatijah dah lama kenal. Lebih awal dari kita semua.” Terang Ghazali tenang. Semua mata tertumpu padanya.

“Mana mereka sekarang?” Faizzul masih bertanya. Di hatinya hanya ingin mengetahui keadaan Khatijah. Ghazali mengeluh perlahan.

“Tiga bulan lepas mereka berkahwin, Ghani meninggal dalam runtuhan bangunan selepas gempa bumi dan Khatijah pula...., dia meninggal selepas melahirkan Fazira.” Ghazali masih bercerita dengan tenang walaupun suaranya sudah bertukar serak.

“Maknanya..., Fazira tak pernah berjumpa dengan orang tuanya..?” Jannah pula bersuara dengan air muka terkejut. Ghazali mengangguk lemah. Fazri hanya tertunduk dan membisu. Mengenangkan nasib Fazira, dia patut rasa bertuah. Walaupun tidak mendapat kasih sayang dari ibu sendiri, dia masih ada Papa dan ummi sebagai tempat untuk dia bermanja.

“Abang dapat berita pasal mereka sebulan lepas Khatijah meninggal. Masa tu, Fazira ditempatkan di sebuah panti asuhan. Seminggu lepas tu, abang bawa dia pulang ke Malaysia dan asuh dia macam anak sendiri.” Mereka diam selepas Ghazali habis bercakap.

“Apa yang terjadi sebenarnya? Saya ingat abang dah berkahwin dengan Khatijah lepas kita tamat belajar.” Soal Faizzul lagi.

“Lepas tahu hal sebenar, abang undur diri. Hati abang langsung tak rasa sedih, mungkin sebab sayang abang pada Khatijah tak sedalam yang abang sangka. Tapi.., waktu tu abang baru sedar yang abang dah terlambat. Insan yang sepatutnya abang sayang dari awal lagi dah pergi tinggalkan abang.”

Kali ini, mata Ghazali merenung tepat ke arah Jannah. Terkedu Jannah melihat renungan yang menikam matanya. Lantas, dia menundukkan wajahnya. Tangannya sudah digenggem erat dalam masa yang sama menahan air jernih yang sudah bertakung.

“Lepas tamat belajar, abang balik ke Malaysia dan berkahwin dengan gadis pilihan keluarga abang.” Tambah Ghazali pendek.

“Abang bahagia?” tanya Jannah dengan suara yang sedikit serak.

“Alhandulillah.., abang dikurniakan dengan tiga cahaya mata. Semuanya lelaki.” Balas Ghazali tersenyum. Wajahnya masih nampak tenang. “Macam mana dengan Jannah?”

Tanpa membalas pertanyaan Ghazali, Jannah bingkas bangun dan berjalan pantas menuju ke dapur. Ghazali nampak terkejut dan sedikit terkesima dengan kelakuan Jannah. Dari situ juga, hatinya sedikit pilu. Dia sedar yang wanita itu terluka dan lukanya masih berdarah.

“Azri...” tegur Faizzul seperti mengarah anaknya untuk mengikut langkah ibu saudaranya. Fazri mengangguk seraya beredar meninggalkan dua sahabat itu. Faizzul mengeluh lemah. Ghazali mula diselubungi rasa bersalah.

“Semuanya telah ditakdirkan, bang.” Kata Faizzul lemah. “Jannah pulang ke sini dan sebulan selepas saya berkahwin, dia pula berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga. Malangnya..., rumah tangganya tak pernah bahagia. Semasa mengandung dua bulan, dia teruk dipukul dengan suaminya yang mabuk. Kandungannya gugur dan dia mengalami pendarahan yang teruk. Sebulan lepas tu, doktor sahkan dia mandul kerana organ peranakan dia cedera teruk. Umur dia ketika tu baru 27, bang.”

“Ya ALLAH....! Begitu berat ujian yang menimpamu, Jannah.” Jerit hati Ghazali. Dia tunduk seraya menekup matanya. Air mata lelakinya akhirnya mengalir turun untuk kali yang kedua di hadapan sahabat lamanya. Kali pertama air matanya jatuh selepas kehilangan insan yang sepatutnya dia sayang dan kasihi iaitu Jannah. Sayu Faizzul melihat keadaan Ghazali yang sudah dianggap seperti abang sendiri.


------------BAB 17------------
Di dapur, Jannah mengalirkan air mata sepuas hatinya di hadapan singki. Fazri hanya melihat. Tidak tergamak rasanya ingin menegur atau bertanya. Hatinya serba sedikit sakit melihat keadaan ibu saudara kesayangannya. Jannah dibiarkan melayan perasaan sendiri. Seketika kemudian, esakkan makin berkurang. Fazri mengumpul seluruh kekuatan untuk menegur ibu saudaranya.

“Ummi...”

Serentak dengan itu, Jannah menoleh pantas dan terkejut melihat Fazri terpacak dengan senyuman yang manis. Fazri mendekati Jannah seraya menyeka lembut kedua pipi yang masih gebu walaupun dijamah usia. Tubuh umminya dipeluk erat. Sekali lagi, Jannah menahan sebak yang kembali menggunung.

“Baru sekarang Azri sedar..., ummi seorang wanita yang kuat semangat. Azri kagum dan bangga kerana ummi adalah ummi Azri.” Kata Fazri perlahan. Jannah membalas pelukan anak saudaranya. Esakkan yang ditahan tadi kembali berlagu. Fazri mengusap lembut belakang umminya, memujuk hatinya yang sudah lama terluka.

Selepas beberapa minit berendam dengan air mata, Jannah kembali tenang. Matanya merah dan sedikit bengkak.

“Ummi...” Fazri bersuara lembut. “Azri teringin sangat nak tahu. Apa sebenarnya yang berlaku antara Papa, ummi dan Pak long Zali?” tanyanya tenang. Jannah diam seraya menarik nafas yang dalam.

“Sebenarnya..., semasa bergelar mahasiswa..., Papa dan Pak long Zali menyintai gadis yang sama. Namanya Khatijah. Dialah ibu Fazira. Gadis yang cantik, sopan, lemah lembut... dalam erti kata lain seorang gadis yang sempurna di mata setiap lelaki. Kelakar bila ingat kembali saat Papa dan Pak long selalu bermasam muka kerana Khatijah. ummilah orang tengah antara mereka.” Terang Jannah dengan sedikit tawa di hujung ayatnya. Lega hati Fazri melihat senyuman umminya.

“Ummi pernah beritahu perasaan ummi pada Pak long?” tanya Fazri lagi. Jannah diam seketika kemudian menjawab dengan gelengan yang lemah.

“Ummi takut. Sebab waktu tu ummi dah sedar yang ummi sekadar bertepuk sebelah tangan.”

“Ummi bencikan ibu Fazira..?”

“Tak, Azri. Ummi tak pernah membenci dia. Sebab dia tak layak untuk dibenci. Khatijah sendiri tak tahu dirinya dipuja dua orang jejaka yang ummi sayang. Khatijah seorang gadis yang baik. Dialah kawan paling baik yang pernah ummi jumpa. Hatinya luhur, tulus dan ikhlas. Sejak kali pertama ummi berjumpa dengannya, ummi dah tahu yang dia sememangnya layak untuk Pak long Zali.”

“Kenapa ummi dan Papa terkejut masa Pak long Zali kata Fazira bukan anaknya?”

“Sebab masa tu, kami sendiri tak tahu adik Pak long Zali, Abdul Ghani sudah memiliki hati Khatijah. Papa undur diri lepas tahu yang Pak long Zali juga menaruh perasaan yang sama terhadap Khatijah. Ummi pula bawa diri pulang ke Malaysia selepas tahu yang ummi tak lagi berpeluang untuk memiliki cinta Pak long Zali.” Terang Jannah panjang lebar. Fazri yang mendengar sudah merasa kagum. Kisah percintaan entah berapa segi yang melibatkan kasih sayang antara sahabat dan saudara. Nasib baiklah kisah mereka berakhir tanpa ada yang menyimpan dendam.

Hampir jam 7 malam, sebuah kereta Estima hitam memasuki perkarangan rumah Ghazali. Kereta tadi terus dimasukkan ke dalam bangsal kereta. Pintu terbuka dan Atiqah serta Atif melompat keluar. Kemudian, disusuli Alif dan Fazira. Langkah mereka berdua terhenti selepas apabila mata masing-masing terkejut melihat kehadiran sebuah kereta mewah di halaman rumah mereka.

“Kereta siapa tu, Mak ngah?” tanya Alif tanpa mengalihkan pandangannya.

“Entahlah. Kawan atuk kot.” Jawab Fazira sekadar meneka. “Jomlah naik. Mak ngah masak special hari ni.” Ajak Fazira seraya memaut bahu Alif. Alif tersenyum manis. Mereka berjalan beriringan menaiki anak tangga.

“Pak ngah..?!” Jeritan manja Atiqah mematikan langkah Fazira serta-merta. Matanya yang membesar sudah tertacap pada wajah Alif yang juga terpaku di sebelahnya. Mereka berdua saling memandang. Riak wajah resah terbit di wajah Fazira. Lantas, Alif menggenggam erat tangan kanan ibu saudaranya. Dia melangkah perlahan diikuti Fazira.

Tiba di pintu yang menampakkan ruang tamu, Fazira dapat merasa beberapa pasang mata sudah merenung wajahnya. Fazira memberanikan diri untuk mendongak seraya tadi dia asyik memandang ke bawah melihat anak tangga. Di saat itu, dia melihat dua insan yang asing baginya dan seorang lelaki yang amat dia kenali.

Fazri...?! Apa yang dia buat kat sini...? Takkanlah dia datang sebab kejadian tu..? Fazira terpaku seketika di depan pintu. Pelbagai persoalan dan perasaan yang menyerang benaknya. Rasa takut lebih menonjol berbanding perasaan lain. Jantung mula berdegup kencang.

“Zira...?” Fazira tersentak dan tersedar dari lamunan singkatnya bila dipanggil Ghazali. Dicari Alif yang entah bila dia menghilangkan diri. “Kenapa tercegat kat situ? Masuk, nak. Mari.., ayah nak kenalkan Zira dengan kawan lama ayah masa belajar di Indonesia dulu.”

Ghazali melambai memanggil Fazira. Langkah Fazira perlahan dan sopan mendekati seorang wanita yang hampir seusia dengan ibunya. Apa yang membuatkan dia sedikit resah ialah renungan wanita itu dan lelaki di sebelahnya yang hampir seusia dengan ayahnya. Mata mereka langsung tidak berkelip memandang wajah Fazira.

“Ini Makcik Jannah. Dia junior ayah masa di Universiti dulu.” Perkenal Ghazali. Fazira duduk dan bersalaman dengan Jannah. Tangan wanita itu dicium lembut. Terkejut dia bila tubuhnya dipeluk erat dan kedua pipinya dikucup lembut. Sentuhan dan senyuman wanita itu betul-betul mengocak perasaan Fazira. Degupan jantung yang menggila tidak menentu kembali tenang. Terasa sedikit lega. Pandangan mereka bertaut lama.

“Panggil saja ummi.” Pinta Jannah dengan suara yang lembut. Fazira terpegun seketika. Suara Jannah terasa mendayu-dayu masuk ke lohong telinganya. Senyuman manis dibalas sebagai ganti tanpa teragak-agakwalaupun hatinya sedang menafsir perasaan yang begitu asing dalam dirinya.

“Yang sebelah pula abang kepada Mak cik Jannah, Pak cik Faizzul. Dia sama tahun dengan ayah semasa belajar dulu, cuma usianya dua tahun lebih muda dari ayah.” Tambah Ghazali lagi.

“Zira apa khabar?” tegur Faizzul sambil tersenyum.

“Alhamdulillah, pak cik. Saya sihat.” Balas Fazira mesra.

“Dan... yang sorang lagi ni..., rasanya tak payahlah ayah kenalkan sebab Zira sendiri pun dah kenal dengan tuan punya badan.” Ghazali tersenyum memandang Fazri yang nampak seronok melayan keletah Atiqah dan Atif.

Fazri tersenyum lebar sambil mengalihkan anak matanya ke arah Fazira. Pandangan mereka bertaut lantas Fazira melarikan pandangannya. Faizzul sudah memandang Fazri dengan air muka pelik dan hairan. Jannah pula ketawa kecil melihat reaksi abangnya. Tidak hairanlah kerana dia sudah tahu siapa gadis istimewa yang berjaya mencuri hati anak saudaranya.

“Ayah.., Zira ke dapur dulu.” Fazira segera meminta diri.

“Zira tanak nasi lebih sikit, bolehlah kita makan malam beramai-ramai.”

“Eh.., tak payahlah bang! Kami tak nak mengganggu abang.” Faizzul pantas mencelah.

“Apa pulak mengganggu? Kamu datang dari jauh kenalah jamah sikit. Kalau nak bermalam kat sini pun abang tak kisah.” Perlawa Ghazali lagi. Mereka yang mendengar sudah tersenyum puas terutamanya Fazri. Matanya kembali memandang Fazira yang masih berdiri di sebelah bapanya. Ada riak resah yang terukir di wajah gadis idamannya.

“Bolehlah, bang. Lagipun, teringin jugak saya nak merasa masakan anak dara Khatijah.”

Tersentak Fazira selepas terdengar kata-kata Jannah. Wajah wanita itu direnung lembut. Pelbagai persoalan sekali lagi bermain di fikiran. “Azri kata masakan Zira sedap sangat.” Dia kembali mengalihkan pandangan ke arah Fazira yang dari tadi asyik merenungnya.

“Mana ada Azri cakap macam tu?” Fazri menjeling manja ibu saudaranya. Jannah dan Faizzul ketawa melihat reaksinya.

“Zira minta diri dulu. Adik.., Atif. Mari sini.., jangan ganggu orang dewasa bersembang.” Panggil Fazira lembut. Atiqah sudah mencebik.

“Pak ngah jangan balik lagi, ya..? Adik ada banyak benda nak cerita dekat Pak ngah.” Atiqah merengek manja. Tangannya dari tadi masih setia memaut bahu Fazri. Entah kenapa, kata-kata si adik makin menambah keresahan dalam jiwa Fazira.

“Yelah, sayang. Pak ngah takkan balik. Lepas Adik mandi, kita sambung lagi.” Balas Fazri sambil mencium dahi kedua si kecil tadi. Atiqah dan Atif turun dari riba Fazri seraya berjalan pergi bersama ibu saudara mereka.

“Amboi.., pandai betul anak Papa ambil hati budak-budak tu!” sakat Faizzul sambil menjeling lembut. Fazri sekadar tersengih bahagia. Anak matanya mengekor langkah Fazira hinggalah kelibat gadis itu hilang dari pandangan. Dalam diam juga, Ghazali mencuri lihat perbuatan teruna Faizzul yang dari tadi sentiasa merenung anak gadisnya. Hatinya bagaikan senang dan lega memandangkan dia sendiri sudah terpikat dengan keperibadian si teruna yang sememangnya layak untuk anak gadisnya.


------------BAB 18------------
Selesai solat berjemaah di surau, mereka berjalan pulang. Tiba saja di rumah, makan malam sudah terhidang di atas meja. Tiga jenis lauk beserta dua jenis ulaman segar. Ringkas dan menyelerakan.

“Eem..., wanginya..!” Tegur Faizzul sebaik melangkah masuk ke ruang dapur. “Dari ruang tamu dah bau sedap, itu belum merasa lagi.” Tambah Faizzul dengan senyuman yang tak lekang.

“Makan malam ni Zira dah siapkan awal-awal lagi, Jannah cuma tolong siapkan meja saja.” Kata Jannah bila disoal abangnya. Wajah gadis itu ditenung lembut.

Fazira memang perasan sejak petang tadi, tetamu bapanya sering sangat merenungnya. Itu belum dikira dengan renungan dari Fazri, boleh meletup jantungnya setiap kali beradu pandang dengan jejaka itu. Mana tidaknya, kenangan dia dipeluk menerjah masuk ke ruang mindanya setiap kali pandangan mereka bertaut.

“Duduklah, Fazri. Takkan nak tengok saja.” tegur Ghazali.

Fazri sedikit tersentak. Dia sendiri tidak sedar dengan perbuatannya sedang dalam perhatian Ghazali. Terlalu asyik merenung gadis idamannya hingga terlupa akan kehadiran bapa si gadis. Dia membalas dengan sengihan kantoi seraya menarik kerusi di sebelah Ghazali. Faizzul dan Ghazali masing-masing duduk di hujung meja.

“Adik nak duduk sebelah Pak ngah.” Atiqah menjerit manja seraya menarik kerusi di sebelah kiri Fazri.

“Adik...” Panggil Fazira lembut tapi dengan nada yang agak keras.

“Tak apa. Biarkanlah. Saya pun tak kisah.” Balas Fazri pantas. Fazira hanya mampu mengeluh lembut. Dia langsung tidak membalas renungan si jejaka. Yang lain hanya melihat sambil tersenyum. Jannah duduk di sebelah Atiqah bertentangan dengan Alif. Manakala Fazira bertentangan dengan Atiqah dan Atif sedia menanti di sebelah kiri ibu saudaranya.

Mereka mula makan malam selepas selesai membaca doa makan yang dibaca oleh Alif.

“Adik nak ayam?” tanya Fazri. Atiqah mengangguk manja. Fazri mencubit sedikit isi ayam di pinggannya lalu diletakkan ke dalam pinggan si adik. Atiqah bersorak gembira. Jannah dan Faizzul melihat sambil tersenyum lebar. Fazira hanya melihat sekilas memandangkan dia nampak sibuk melayan kerenah Atif yang sentiasa mahu disuap.

“Adik umur berapa?” tanya Faizzul lembut.

“Umur Adik sembilan tahun.”

“Oh.., dah Darjah Tiga. Besar nanti nak jadi apa?” tanya Jannah pula.

“Besar nanti.., Adik nak jadi macam Mak ngah.” Jawab Atiqah yakin. Fazira dan Alif sudah menggeleng. Fazri, Jannah dan Faizzul sudah merenung Fazira dengan air mukaterkejut. Ghazali pula menahan tawa melihat telatah cucu perempuannya.

“Adik.., nenek tanya pasal cita-cita Adik?” Fazira cuba membetulkan fahaman Atiqah.

“Memang tulah cita-cita Adik. Adik nak jadi macam Mak ngah..., sebab Mak ngah cantik..., baik dan... Mak ngah pandai masak. Atuk kata perempuan yang pandai masak boleh kawin dengan lelaki hensem macam Pak ngah. Mak ngah pandai masak.., mesti dapat kawin dengan Pak ngah.”

Maka, terburailah tawa di antara mereka. Fazira lain pula ceritanya, rasa kesal timbul membuak-buak dalam hatinya kerana ringan mulut sangat ingin membetulkan soalan Jannah. Itu belum dikira dengan rasa malu yang memuncak. Mukanya terasa panas seperti ingin meletup. Bertambah lebar senyuman Fazri bila disakat si adik. Hatinya pula berkembang mekar mengalahkan taman bunga.

“Zira sekolah sampai peringkat mana?” Jannah memulakan perbualan antara mereka pula. Fazira terkaku seketika. Wajah bapanya direnung lembut. Ghazali sekadar tersenyum manis.

“Sampai... SPM saja.” Jawab Fazira ringkas. Satu suapan masuk ke dalam mulut Atif yang setia menunggu di sebelahnya.

“Kenapa tak sambung belajar?” tanya Faizzul pula. Fazira diam lagi. Wajah bapanya dipandang lagi. Kali ini, riak wajah resah agak ketara. Fazri sudah mengesan perubahan wajah Fazira.

“Bukan rezeki dia, Faiz. Dia kemalangan masa pulang dari sekolah lepas ambil result.”

Serentak, kesemua memandang wajah mulus Fazira. Terkejut dengan cerita Ghazali. Fazri sahaja yang nampak tenang memandangkan dia sudah sedia maklum dengan cerita itu dari awal lagi.

“Serius ke?” tanya Jannah dengan nada risau.

“Alhamdulillah, tak serius mana. ALLAH pelihara dia dari sebarang luka yang teruk, cuma lebam-lebam saja.” Terang Ghazali tenang. Jannah menghembus nafas lega.

Wajah Fazira ditatap lama. Wajah gadis itu betul-betul menggoncang kotak ingatannya. Rasa rindu dan sayang mula berbunga kembali. Perasaan yang hampir hilang selepas berpuluh tahun berlalu. Raut wajah Fazira seolah-olah menyegarkan kembali ingatannya terhadap Khatijah.

Perasaan itu turut dirasai Faizzul. Sekali-sekala, dia mencuri lihat wajah putih gebu Fazira. Hatinya sedikit sayu dan sebak mengenangkan kembali gadis seberang yang berjaya mencuri hatinya suatu masa dahulu sudah pulang menghadap ILLAHI. Dia tersenyum hampa dalam diam.

“Kenapa tak sambung belajar lepas sembuh?” tanya Jannah pula. Seperti biasa, soalan untuk Fazira dijawab oleh Ghazali tanpa dipinta.

“Abang yang tak benarkan dia sambung belajar. Risau juga nak lepaskan dia pergi lepas kejadian malang tu. Kalaulah dia sambung belajar, mungkin dia dah jadi guru sekolah rendah. Sama seperti kawannya. Bukan apa.., Abang takut dia dihantar ke Sabah atau Sarawak...”

“Kalau Mak ngah jadi cikgu..., maknanya Mak ngah takkan jumpa dengan Pak ngahlah. Kesian Pak ngah.” Atiqah tiba-tiba menyampuk. Fazira dan Alif sudah menjeling manakala yang lain saling berpandangan. Kemudian, terburailah tawa antara mereka. Celoteh si Atiqah betul-betul menggamatkan lagi suasana ruang dapur dan makan malam mereka.


Hampir jam sepuluh malam, Faizzul mula meminta diri. Ajakan Ghazali untuk tinggal semalam dua ditolak dengan baik. Sebelum beredar, sempat pula Ghazali, Faizzul dan Jannah bersembang berdekatan dengan kereta manakala Fazri masih belum puas melayan kerenah anak-anak saudara Fazira.

“Awak nampak pucat. Tak sihat ke?” tanya Fazri lembut. Matanya sentiasa tertacap pada wajah gadis di hadapannya.

“Saya... sihat.” Jawab Fazira sedikit terketar. Pandangannya langsung tidak bergerak ke arah Fazri.

Makin seronoklah Fazri merenungnya. Dalam keadaan seronok, hatinya masih gundah. Terasa ringan saja mulutnya ingin bertanya penyebab luka yang kian hilang tetapi masih jelas terpalit di bibir tebal si gadis. Pandangannya beralih pula ke arah Alif. Si abang nampak senyap dari biasa. Wajahnya pula nampak muram dan tidak bermaya. Apa yang membuatkan dia tertanya-tanya ialah kata-kata si adik.

“Pak ngah tahu tak...? Mak ngah kena pukul teruk dengan nenek sebab ada orang kata Mak ngah buat benda tak senonoh masa kita pergi berkelah hari tu.”

Bisikan si adik petang tadi masih terngiang di telinganya. Wajah Fazira ditenung lembut. Gadis idamannya dipukul gara-gara tindakan beraninya. Rasa geram dan menyesal terbit dalam masa yang sama. Yang pasti, rasa marah lebih menguasai dirinya.

“Alif.., boleh abang cakap sikit.” Panggil Fazri lembut. Alif yang dari tadi diam sedikit terkejut bila mendengar namanya dipanggil. Lantas, wajah ibu saudaranya dipandang. Fazira membalas dengan senyuman yang ringkas tanda dia memberi keizinan. Fazri sempat mengukir senyuman yang manis dan tenang sebelum berjalan pergi bersama Alif ke tempat yang agak jauh dari situ. Nasib baiklah si Atiqah tidak mengekor sekali.

“Abang nak tahu perkara sebenar?” Fazri terus menyerang di saat mereka sudah berduaan. Tergamam Alif seketika.

“Perkara apa yang abang maksudkan?” tanya Alif kurang pasti.

“Abang tak mahu Alif tipu abang. Petang tadi Atiqah beritahu abang yang... nenek Alif pukul Mak ngah sebab kejadian yang berlaku masa kita berkelah hari tu.” Terpinga-pinga Alif mendengar terjahan dari Fazri. “Alif tak boleh tipu abang sebab abang perasan dengan keadaan Mak ngah. Abang nampak luka di bibir Mak ngah.” Alif bertambah tersentak. Bibirnya terketar-ketar seperti ingin mengungkap ayat tetapi tak mampu dipacul keluar. Dalam kekalutan ingin menjawab, lengannya tiba-tiba dipegang lembut.

“Tolong, Alif. Berterus-terang dengan abang..., betul ke nenek Alif pukul Mak ngah?”

Alif tunduk menatap tanah yang tertutup dengan rerumput yang tebal. Reaksi Alif mendiamkan diri menambahkan lagi rasa tak selesa di hati Fazri. Lagak heronya telah mengundang padah pada si gadis idaman.

“Alif...”

“Alif tak boleh beritahu abang sebabnya... Alif dah janji dengan Mak ngah yang Alif takkan beritahu perkara tu pada sesiapa..., terutama sekali pada abang.” Alif mencelah pantas seraya menatap wajah Fazri. Terkebil-kebil Fazri berbalas pandang dengan si abang. Tidak lama, kedengaranlah keluhan berat keluar dari rongga Fazri. Alif hanya mampu mendengar.

“Kalau abang nak tahu perkara yang sebenar, baik abang pergi jumpa Pak cik Kamarul. Dia lebih tahu dari Alif.” Jelas Alif tenang. Fazri tersentak seperti teringatkan sesuatu.


“Fazri dan Fazira... dah lama kenal ke?” tanya Faizzul sambil memandang ke arah mereka berdua yang seronok melayan kerenah Atiqah dan Atif. “Saya tengok.., cucu perempuan abang yang sorang tu nampak rapat sangat dengan si Fazri. Macam dah lama kenal.”

“Entahlah, Faiz. Abang sendiri tak tahu macam mana mereka boleh kenal.” Jawab Ghazali ringkas.

“Mereka berdua nampak sepadan, kan?” Jannah mula memancing. Ghazali sudah tersenyum simpul.

“Kalau dah sepadan, elok sangatlah kalau disatukan saja.” Tambah Faizzul seraya mengenyit mata pada Jannah. Ghazali sudah terkejut.

“Eeh.., kamu ni bergurau ke.., Faiz?” tanya Ghazali untuk kepastian.

“Kenapa pula perkara penting macam ni nak dibuat main..? Saya seriuslah, bang. Jannah pun setuju, kan..?”

“Yelah, bang. Jannah tengok mereka macam suka sama suka.., cuma malu nak tunjuk depan kita.” Jannah menambah dengan senyuman. Ghazali diam seketika.

“Abang bukan nak membantah cuma... si Fazira tu bekas tunangan orang. Kamu dengan Fazri tak kisah ke?” tanya Ghazali dengan nada serba salah.

“Kalau dah bekas..., maknanya dia tak terikat dengan sesiapa, betul tak? Elok sangatlah kalau kami yang ikat Fazira untuk Fazri sebelum orang lain datang.” Cadang Faizzul dengan tawa kecil. Ada nada teruja di hujung ayatnya.

“Betul tu. Maklumlah, anak dara Ghani dan Khatijah tu cantik macam anak Arab. Kalau tak ikat awal-awal, nanti terlepas pula. Kempunanlah si Fazri.” Jannah menokok dengan tawa kecil. Faizzul dan Ghazali turut sama ketawa.

“Kalau kamu dah cakap begitu, abang tak kisah tapi bertambah suka. Sebabnya..., dari awal lagi abang dah bercadang nak satukan mereka. Alhamdulillah, ALLAH dah tunjukkan jawapannya pada abang. Tapi..., abang kena tanya Fazira dulu sebabnya... dia sendiri pernah kecewa dulu. Takut dia masih menyimpan luka lama.” Faizzul dan Jannah mengangguk tanda faham. Mereka kembali melihatgelagat mereka yang masih malu-malu kucing.

“Maksud abang...?” tanya Faizzul ingin tahu.

“Fazira... pernah bertunang lebih kurang lima tahun yang lalu tapi tiba-tiba saja si lelaki minta putus. Abang sendiri tak tahu kenapa.” Jelas Ghazali ringkas. Dia masih belum bersedia untuk menceritakan hal Fazira yang pernah lumpuh.

“Kasihan anak Khatijah. Pelbagai ujian yang melanda dirinya.” Ungkap Jannah perlahan dengan rasa simpati.

“Itulah yang membuatkan dia seorang gadis yang kuat dan tabah. Dia agak lemah semangat tapi dia jenis yang tak mudah putus asa. Sama seperti Ghani. Sifat penyabarnya tak ubah seperti Khatijah.” Jelas Ghazali tenang.

Ketiga-tiga pasang mata kembali melihat Fazira yang masih melayan Atiqah dan Atif. Fazri pula sedang bersembang serius dengan Alif tak jauh dari situ. Pelik juga melihat gelagat mereka berdua.


------------BAB 19------------
 Seperti yang telah disarankan oleh Alif, Fazri pergi berjumpa dengan Kamarul di rumahnya pada waktu pagi memandangkan Kamarul mengajar di sesi petang.

“Saya tak berniat nak mengumpat tapi saya kenal sangat dengan perangai ibu saudara.” Kamarul memulakan ceritanya selepas menerima kedatangan mengejut dari Fazri ke rumahnya. Nasib baiklah tunangnya tiada di rumah kerana mengikuti kursus. Kalau tak lebamlah kulit dan isinya dek cubitan berbisa Fazilah kerana menceritakan hal peribadi teman baiknya.

“Panas barannya memang tak bertempat. Sejak kecil hingga ke besar, Fazira tu dah dianggap seperti beg pasir untuk dia lepaskan geram. Kali pertama saya dengar dia pukul Fazira masa umurnya 12 tahun. Dia naik berang bila orang lain dapat tahu latar belakang Fazira. Khabar angin pertama yang tersebar mengatakan Fazira anak luar nikah Pak long Zali dengan perempuan Indon masa dia belajar di negara seberang. Keadaan Fazira masa tu tak teruk. Cuma calar sebab kena rotan. Dia selamat waktu tu pun sebab dia larikan diri ke rumah Fazilah.”

“Pak long tak tahu ke?”

“Masa tu Pak long bertugas mengajar di UIA. Adik-beradik yang lain pula tinggal di asrama. Seminggu lepas tu, baru Pak long tahu. Kecoh jugaklah keluarga Fazira masa tu.” Kamarul menarik nafas dalam. “Kali kedua pulak masa Fazira lumpuh. Orang tua tu memang suka sangat dengar cakap mulut-mulut jahat dalam kampung ni. Masa tu.., Fazira dah sebulan bertunang dengan si Saiful. Lepas Fazira lumpuh, keluarga Saiful datang rumah Fazira marah-marah sebab anak mereka tiba-tiba minta putus tunang dengan Fazira. Mereka dengar cerita ntah dari siapa..., cakap si Fazira curang dan mengandungkan anak luar nikah. Masa tu, ibu Faziralah yang paling angin sebab namanya disangkutkan sekali.

Keadaan Fazira masa tu memang agak teruk. Macam biasa, Pak long tak tahu. Fazira tu... jenis yang pandai simpan rahsia. Perkara tu terbongkar pun lepas Pak long hairan tengok si Alif selalu menangis bila masuk bilik dia. Sekali lagi rumah Pak long gamat macam dulu.”

“Pasal si Saiful tu..., dia tinggalkan Fazira hanya sebab Fazira lumpuh ke?” tanya Fazri dengan pandangan yang serius.

“Itu cuma alasan sampingannya saja.”

“Maksud awak..?”

“Untuk pengetahuan awak, kemalangan yang menimpa Fazira bukan satu kemalangan tapi satu perbuatan khianat.” Terlopong Fazri mendengar pengakuan Kamarul yang tika itu juga memancarkan air muka yang serius.”Si Saiful tu dah lama tergilakan Fazira..., sejak dari Tingkatan satu lagi. Fazira pulak memang tak layan laki macam tu. Masa SPM, saya dan Fazira memang rapat sebab kami selalu buat study group. Masa tulah si Saiful mula buat tanggapan yang saya sukakan Fazira.” Kamarul menarik nafas yang dalam.

“Memang tak dinafikan yang saya memang suka Fazira tapi Fazira lebih suka kalau kami sekadar berkawan. Waktu pulang dari sekolah lepas ambil result, kami berhenti di tepi jalan. Masa tu..., kami nak melintas ke seberang jalan untuk menunggu di bus stop. Entah dari mana datang sebuah motosikal menghala tepat ke arah saya. Fazira lebih cepat mengesan. Dia yang selamatkan saya dan sebagai galang gantinya, dia dirempuh motosikal tu.” Kamarul nampak semakin berat untuk menceritakan kenangan pahit yang menimpa temannya.

“Lebih kurang seminggu lepas kejadian, saya terserempak dengan motosikal yang sama. Bila dah confirm betul-betul, saya pun heret budak yang menunggang motor tu dan paksa dia beritahu hal sebenar. Saya macam tak percaya si Saiful tergamak upah mat rempit tu untuk langgar saya sebab dia tak suka saya rapat dengan Fazira. Belum sempat saya berjumpa dengan Pak long untuk ceritakan hal sebenar, dia dah tunangkan Fazira dengan jantan keparat tu.”

“Seminggu lepas tu, saya berdepan dengan dia. Saya tanya dia hal sebenar tapi dia mengelat. Teruk juga dia kena belasah dan akhirnya dia mengaku. Dia kata kalau dia tak dapat Fazira, orang lain pun tak boleh dapat. Aduh..., bengang betul kepala saya masa tu! Rasa macam nak hentak kepala keparat tu dengan lesung batu.”

“Fazira tahu..?!”

“Fazira tahu..., tapi dia tak mahu saya libatkan hal ni dengan pihak polis sebab dia kesian dengan keluarga Saiful. Dia takut ibu bapa si Saiful terpaksa tanggung malu di masa depan. Saiful tinggalkan Fazira sebab dia takut Pak long dapat hidu hal sebenar. Saiful terlepas macam tu saja dan tak sangka hati dia memang busuk dan berulat. Dia sempat buat khabar angin mengatakan Fazira curang belakangnya dan ada hubungan sulit dengan saya. Siap kata Fazira mengandungkan anak saya lagi. Masa tu, jangan kata marah..., hati ni... sakit rasa macam kena barah. Pasal mulut jantan tak guna tu jugak..., saya nyaris-nyaris putus tunang dengan Fazilah. Nasib baiklah tunang saya tu orangnya sporting habis.”

Kamarul sedikit penat menceritakan al-kisah teman baiknya. Teh panas dihirup perlahan. Lega rasanya lepas membasahkan tekak yang mula kering. Fazri masih diam dan terkaku seperti patung. Dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu yang berat dan rumit.

“Pasal kejadian berkelah hari tu, saya dah tanya dengan pemilik kereta tu sendiri. Dia cakap dia dah tarik hand breknya, siap letak gear satu lagi. Entah macam manalah, hand brek dan gear boleh terlepas. Kalau nak kata kereta tu rosak.., mustahil sebab kereta tu kereta baru. Saya dapat agak tu kerja khianat seseorang.”

“Maksud awak..., orang yang sama yang cederakan Fazira?” soal Kamarul pantas. Fazri mengangguk yakin.

“Tapi tanpa bukti yang kukuh, kita tak boleh tuduh dia.” Fazri mengeluh lemah.

“Rasanya..., tak perlu bukti.” Fazri merenung Kamarul dengan tanda tanya. “Sebabnya ada orang terserempak dengan dia masa kita berkelah hari tu. Bukti tu dah cukup dan ditambah pula dengan ugutannya. Kalau tak macam mana khabar angin awak dan Fazira boleh tersebar.”

“Maksud awak..., si Saiful tu ada bersama kita masa tu...?” Fazri nampak terkejut. Kamarul mengangguk. Mereka diam seketika. “Saya nak minta tolong sesuatu dari awak. Tapi, awak kena rahsiakan hal ni dari sesiapa terutamanya dengan Fazira dan Pak long. Saya tak nak dia fikir yang bukan-bukan pula pasal saya.”

“Saya sanggup buat apa saja asalkan Fazira bahagia.” Kamarul setuju seratus peratus. Fazri tersenyum lebar tapi ada secalit sinis di hujung senyumannya. Otak dan akalnya sudah memproses satu rencana yang bakal menamatkan segala penderitaan gadis idamannya.

Satu tamparan yang lembut hinggap di bahu kanan Fazri. Lamunan dan imbasan pertemuannya dengan Kamarul pagi tadi hilang berterabur dan berterbangan. Dia melihat gerangan yang menamparnya tadi.

“Ummi rupanya. Terkejut Azri.” Fazri sudah tersengih kantoi. Jannah menjeling manja seraya menghenyakkan punggungnya di sebelah Fazri. Mereka duduk di ruang tamu bilik hotel yang sudah dua minggu diduduki Jannah dan Faizzul.

“Amboi.., jauhnya anak ummi mengelamun! Ummi panggil pun tak dengar.”

“Ye ke ummi panggil? Maaflah, ummi. Fazri tengah fikirkan kerja yang masih bertimbun di pejabat.”

“Fikir pasal pejabat atau pun si gadis pujaan...” Jannah menguntum senyuman yang lebar.

“Ish..., ummi nih! Ke situ pulak..., betul la Azri fikir pasal kerja.” Fazri menegas dengan suara manjanya. Jannah sudah ketawa kecil.

“Ummi ada berita untuk Azri.”

“Berita gembira ke...?! Tentang apa?” Fazri mengadap sepenuhnya ke arah Jannah. Si ibu saudara tersenyum manis seraya menggenggam erat tangan Fazri.

“Ummi dan Papa dah bincang perkara tu... dengan Pak long.”

Secara automatik, mata Fazri membesar manakala bibir nipisnya mula mengukir senyuman yang amat....lebar. Geli hati Jannah bila melihat reaksi Fazri.

“Betul ke, ummi...?! Habis tu, Pak long kata apa? Dia setuju ke tak?” Fazri menyerang Jannah dengan soalan ditambah pula dengan aksi budaknya.

Jannah sudah mengerut dahi seraya menggeleng. Kelakuan Fazri mengalahkan budak umur enam tahun. “Ya ALLAH.., Azri nih! Bawa-bawa la bersabar. Biar ummi habis cakap dulu.”

“Sorry... sorry..., okey ummi teruskan.” Fazri tersengih mengalahkan kerang busuk. Jannah ketawa kemudian menarik nafas yang dalam. Riak wajah teruja dan tak sabar masih terpancar di wajahnya.

“Pak long setuju...!”

“YES...!!”

Fazri menjerit lantang seraya melonjakkan kedua lengan ke atas sambil melompat gembira. Dia menjerit sakan mengalahkan suami dapat anak. Jannah yang melihat makin terburailah tawanya. Memang Fazri tidak sangka, ummi dan Papa ke sana bukan saja ingin berjumpa dengan kawan lama tapi siap merisik Fazira untuknya. Inilah yang dipanggil menyelam sambil tertelan air. Fazri ketawa kegembiraan. Ruang tamu terasa bergegar dengan hilai tawa si Fazri. Pelukan erat tiba-tiba melekat pada tubuh Jannah.

“Terima kasih.., ummi. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Fazri terharu seraya menghadiahkan satu ciuman yang lembut di pipi Jannah.

“Sama-sama, sayang. Ummi sanggup buat apa saja untuk anak kesayangan ummi.” Balas Jannah seraya mencuit hidung Fazri. Mereka sama-sama ketawa.


------------BAB 20------------
Dalam malam yang gelap lagi pekat, sebuah kereta Toyota Harrier dipandu sederhana laju menyusuri jalan raya yang agak lengang. Lampu jalan sentiasa setia memancarkan cahayanya melawan kepekatan malam.Si pemandu dan penumpang di sebelahnya diam membisu, sebisu suasana di dalam kereta tersebut. Wajah mereka terlindung dengan cap hitam serba biru. Mereka berdua nampak kemas berjaket kulit dengan seluar jeans biru gelap.

“Bila kita akan sampai?” Muncul satu suara dari belakang penumpang sebelah. Ianya milik seorang lelaki yang juga memakai cap biru laut, membuatkan wajahnya terlindung. Dia berjaket denim lengkap dengan seluar jeans. Pandangannya dilempar ke luar tingkap. Dari gaya lelaki itu duduk memang jelas menunjukkan dia adalah orang atasan atau mungkin juga bos besar kepada dua orang tadi.

Dari ayatnya pula sudah menjelaskan dia sudah lama menunggu atau mungkin juga dia ingin cepat sampai ke destinasinya.

“Kita akan sampai dalam masa sepuluh minit, Tuan.” Jawab si penumpang tenang dan sopan. Dia memandang ke arah si pemandu pula. Si pemandu menarik nafas dalam lalu mengangguk lembut.

“Tuan..., maaf saya bertanya. Kenapa Tuan tak suruh Frank saja yang berjumpa dengan lelaki tu?” Tanya si penumpang, takut-takut.

“Sebab saya nak berdepan sendiri dengan lelaki bangsat tu.” Jawab si bos keras. Si penumpang tertunduk bisu.

“Tuan pasti ini jalan terbaik..?” Tanya si pemandu pula, penuh berhati-hati.

“Awak ada jalan lain lebih sesuai untuk binatang bertopengkan manusia seperti dia?” tanya si bos pula dengan suara yang lembut tapi kedengaran tajam dan sinis di telinga mereka. Si pemandu dan si penumpang saling berpandang.

“Tuan sedia maklum yang dia mempunyai keluarga, anak-anaknya masih perlukan dia.”

“Adakah awak sedang nasihatkan saya..?!” Si bos bersuara tegas dengan nada yang dingin. Anak matanya sudah menikam mata si pemandu melalui cermin hadapan. Si pemandu terkedu. Si penumpang pula nampak gelabah semacam.

“Tak.., Tuan. Bukan itu maksud saya...”

“Saya tahu apa yang saya buat. Tugas kamu berdua hanya dengar dan ikut arahan saya..., faham?!” Si bos menegas dengan nada yang keras.

“Faham.., Tuan!!” Mereka menjawab serentak. Kereta tadi terus memecut laju tanpa membelok sehinggalah tiba di sebuah simpang yang menuju ke kawasan kelapa sawit. Kereta itu membelok masuk kemudian hilang ditelan oleh kegelapan malam. Yang kelihatan hanyalah lampu merah kereta tersebut.


Di dalam hutan yang gelap, kedengaran beberapa suara sedang bersorak gembira sambil mengeluarkan suara bermelodi mengalahkan katak seangkatan kodok memanggil hujan di musim kemarau. Unggun api yang galak membakar menerangi suasana malam. Enam orang pemuda sedang berseronok sambil memetik gitar kapuk. Di mana ada jantan, pasti ada betinanya. Tiga orang gadis berpakaian tak cukup kain nampak seronok berpeluk dengan tiga orang pemuda.

Sekali-sekala, mereka melagakan tin minuman berisi air haram. Lantas, air diteguk rakus. Mereka ketawa seperti manusia tak ingat Tuhan.

“Woi, Pol! Kau ada dengar tak berita pasal bekas tunang kau tu..?” kata Kudat yang sibuk berkepit dengan seorang perempuan. Saiful yang sibuk memetik gitar kapuk tadi menjeling tajam.

“Berita apa..?!” tanya Saiful tegas. Petikannya sudah beku.

“Laa...Kau tak tahu ke?! Bekas tunang kesayangan kau tu nak bertunang. Aku dengar budak tu orang kaya siot.” Tambah Kudat bersemangat. Gitar yang dipegang erat diletakkan ke tepi.

“Mana kau dengar cerita mengarut ni..?!” Saiful menjeling makin tajam.

“Dari mana lagi kalau bukan dari mulut mak sedara kau, si Mami Jarum tu...”

“Betul.., Pol. Mak Bedah jiran sebelah rumah Pak long pun nampak. Dia kata budak yang datang tu siap berteman dengan mak bapak dia lagi. Nampak sangat diorang datang merisik bekas tunang kau.” Syam menyampuk panjang sambil tersengih memandang Saiful. Temannya yang lain sudah mula ketawa kecil bila mendengar dengusan Saiful.

“Melepaslah kau, Pol. Kenapalah kau lari masa dah terikat dengan budak Zira tu? Kalau tak, sekarang ni kau dah merasa kekenyalan daging dari negara seberang.” Tambah Syam penuh lucah.

“Korang tahu apa..?! Korang ingat aku nak putus dengan Zira. Kalau tak pasal si budak Kamarul tu nak buat laporan polis, dah lama si Zira tu aku ratah lumat-lumat.” Saiful membalas penuh bangga.

“Habis.., kalau kau dah kemaruk dengan si Zira, kenapa kau pergi kahwin dengan si Laila pulak..?” tanya Hizam yang sudah nampak sedikit terhoyong-hayang.

“Dia yang nak kahwin sangat dengan aku. Bukannya aku nak pun. Mak aku pulak asyik memekak suruh kahwin dengan dia. Maklumlah, anak Penghulu siapa yang tak teringin. Lagipun.., perempuan macam dia dah banyak kali aku ratah! Tak luak mana pun.” Balas Saiful penuh ego. Mereka yang lain sudah ketawa sinis.

“Pasal si Zira tu... kau berangan jelah, Pol. Dia tu memang tak pandang laki macam kau, dari dulu aku tengok kau yang terhegeh-hegeh nak kat dia. Baik kau lupa jelah niat kau nak berbaik dengan dia.”

“Woi..!! Mulut kau tu jaga sikit..! Sekali aku hentak kepala kau dengan gitar buruk ni, tak ingat jalan balik 
kot..!” Saiful mengugut sambil menjulang tinggi gitar tadi. Kudat sudah menyorok di belakang gadis yang dari tadi asyik berkepit dengannya. “Ini Saiful la...! Jaguh kebanggaan Kampung Lata. Korang dah lupa sumpah aku dulu. Kalau aku tak dapat Zira, jangan harap orang lain boleh dapat.” Saiful menepuk dada lagi.

Entah dari mana muncul satu tepukan yang cukup kuat hingga mampu mengunci mulut manusia yang ada di 
dalam hutan tadi. Saiful dan gengnya sudah bersedia membuka langkah seribu kerana takut diserbu Tuk Penghulu atau lebih tepat bapak mertuanya. Kesemua yang ada di situ sudah berdiri terpacak. Ada riak takut di wajah masing-masing.

Selepas beberapa saat, muncul seorang lelaki bercap dengan jaket denim. Dia masih menepuk tangannya seperti baru selesai menonton sebuah persembahan yang menarik.

“Hebat... hebat..! Memang hebat...!” Lelaki tadi adalah si bos. Dua orang pula muncul dia belakangnya. Si pemandu mencekak pinggang manakala si penumpang menyilang tangan. Enam orang pemuda hanya memerhati dengan penuh tanda tanya. Tiga orang gadis tadi sudah lesap entah ke mana.

“Kau ni siapa..?!” Jerkah Saiful lantang ditambah dengan jelingan maut. Dia berlagak seolah-olah dia ketua kepada mereka berenam. Saiful merenung lama si bos dan dua konconya. Nampak kelakar dan konon-konon misteri kerana mereka bertiga bertopi dan bersarung tangan. Tak ubah seperti ejen perisik tidak bertauliah.

“Berani kau ceroboh port kami..!” Tambah Kudat juga lantang. Matanya tajam dan sengaja disembul. Si bos sekadar tersenyum sinis. Tiada sekelumat reaksi takut terbit di wajahnya yang terlindung di sebalik kaca mata hitam berkontra kuning.

“Bertenang, kawan. Sebenarnya.., saya datang dengan niat yang baik.” Si bos mengangkat kedua tangan cuba menenangkan keadaan.

“Niat baik kepala hotak..!! Belasah diorang..!” Jerit Saiful lantang tanpa berfikir panjang. Dia memang terkejut dengan kemunculan tiga orang asing itu. Kalau dibiarkan mereka pergi, port mereka pasti diketahui orang kampung. Mereka tidak takut memandangkan mereka berenam manakala lawan mereka hanya bertiga. Peluang untuk mereka menang memang tinggi. Kerana itulah dia tidak teragak-agak untuk mengarah temannya.

Kesemua enam pemuda tadi bergerak serentak mengikut arahan yang telah dilaungkan. Melihat keadaan yang sudah bertukar ganas, si pemandu dan si penumpang berjalan ke depan dahulu meninggalkan bos mereka yang masih terpacak di belakang. Dengan mudah, dua sahabat Saiful tumbang selepas menerima penangan dari si pemandu dan si penumpang. Empat yang memandang termasuk Saiful sendiri terpaku dan tergamam. Tiba-tiba, Hizam angkat kaki. Tinggallah Saiful, Kudat dan Syam terpinga-pinga macam orang buta hilang tongkat.

“Tak guna...!!”

Saiful menerjah membuta-tuli ke arah si bos yang dari tadi hanya memandang dengan senyuman yang teramat sinis. Si bos angkat tangan kepada si pemandu dan si penumpang, tanda tindakan mereka dilarang untuk masuk campur bila Saiful menerpa laju.

Saiful menghadiahkan penumbuk sulungnya. Namun, dengan mudah si bos mengelak lalu dibalas dengan tumbukan padu ke perut Saiful. Si jaguh menjerit kesakitan namun dia tidak mengalah malah meneruskan langkahnya yang makin sumbang. Satu lagi penumbuk melayang ke muka si bos tapi kali ini, si bos menangkap pergelangan tangan si jaguh lalu dikilas kuat. Si jaguh meraung sakit. Dia jatuh melutut dan masih menahan sakit.

Kudat dan Syam yang melihat keadaan Saiful mula menggeletar. Bila si pemandu dan si penumpang mengalihkan pandangan ke arah mereka, terus dibuka langkah seribu meninggalkan Saiful seorang diri.

“Kalau kau dengar dulu cakap aku kan senang. Tak perlu rasa sakit macam ni.” Si bos melepaskan cengkamannya kasar lalu menendang dada si jaguh. Saiful jatuh terbaring di atas tanah yang berdebu.

Suasana kembali sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi angin malam serta unggas hutan dan tidak dilupa si jaguh yang masih mengerang kesakitan. Saiful cuba bangun tapi ditahan oleh dua konco si bos. Badannya sekali lagi ditendang kasar menyebabkan dia kembali terbaring di atas tanah. Kiri dan kanan pergelangan tangannya pula dipijak kuat oleh si pemandu dan si penumpang. Saiful cuba meronta tapi kesakitan dek pijakan di tangan mematikan niatnya.

Si bos mendekati Saiful lalu duduk melutut di sebelah kiri Saiful. Kedengaran tawa sinis yang sama.

“Saiful... Saiful..., berani kau gelar diri kau sebagai jaguh.” Kata si bos penuh sinis. Dua konconya juga ketawa cuma perlahan. Saiful sudah terpaku dan bisu seketika. Wajah si bos ditenung dengan air muka terkejut.

“Macam mana kau..”

“Tahu nama kau..?!” Si bos mencelah pantas kemudian ketawa kecil. “Pasal tu kau tak perlu tahu. Baiklah.., biar aku berterus terang sebabnya aku bukan jenis yang suka berlengah. Tujuan aku ke mari cuma satu iaitu untuk... bunuh kau.”

Mata Saiful hampir-hampir tersembul keluar selepas mendengar kata-kata si bos. Liur yang cuba ditelan masih tersangkut. Malah, seperti tersekat dan membuat dia berasa sesak nafas. Peluh dingin mula terbit di dahinya.

Tiba-tiba saja, Saiful ketawa besar. Entah dari mana muncul kekuatan untuk berbuat begitu. Si bos pula merenung pelik. Ancamannya tadi dianggap satu gurauan.

“Kau fikir aku main-main.” Si bos geram. Lantas, dia mengeluarkan sesuatu yang tersembunyi di kaki kanannya. Pergerakan si bos nampak pantas dan kemas hinggakan ekor mata Saiful tidak mampu mengejar. Tiba-tiba, si bos menikam sesuatu di atas tanah, sebelah telinga kiri Saiful. Sekali lagi, si jaguh menelan liur yang masih tersangkut. Darahnya sudah berderau tidak menentu. Mukanya pula pucat seperti mayat hidup.

Sebilah pisau yang berkilat tercacak megah di tepi pelipis Saiful. Pisau itu memang nampak mahal kalau diikutkan dari rupa dan bentuknya. Dia dapat melihat biasan anak matanya yang jelas sudah ketakutan. Rasa ingin terkucil segera ditahan. Si bos yang dari tadi memerhati gelagat Saiful mula ketawa.

“Kau masih fikir aku bergurau..?!” Si bos bersuara tegas. Saiful mengumpul sepenuh kekuatan untuk membalas renungan si bos.

“Siapa yang hantar kau..?! Kenapa pulak kau nak bunuh aku..?!”

“Kau tak perlu tahu semua tu. Cuma satu saja aku nak tanya..., kau nak aku bunuh kau dengan cara yang mudah atau susah...?” Si bos tersenyum sinis hingga menampakkan gigi putih yang tersusun kemas.

“Cara mudah.., aku cuma perlu kelar leher kau.” Pisau diambil dan dilurut pada leher Saiful. “Dan... cara susah pula..., aku akan tusuk dada kiri kau perlahan-lahan hinggalah mengenai jantung kau. Dalam saat tu, kau nak mengucap pun tak mampu. Itu pun kalau kau tahu mengucap.” Kata si bos lagi dengan pisau yang tercacak lembut di dada kiri Saiful. Dua konconya sudah ketawa penuh sinis.

Saiful menggeletar tahap menggila hingga tidak sedar seluarnya sudah basah. Mata makin terbeliak manakala mukanya basah seperti dicurah sebaldi air.

“Bang.., tolong jangan bang..! Saya rayu dengan abang.., tolong jangan bunuh saya. Saya ada anak bini kat rumah..!” Saiful mula merayu dan menangis semahu-mahunya. Si bos sekadar merenung pelik.

“Alah..! Aku rasa... anak bini kau tak kisah sangat kalau kau mati. Mungkin diorang akan rasa lebih bersyukur.” Jawab si bos tanpa belas kasihan.

“Tolong bang..., saya merayu. Saya masih ada mak dan ayah. Sapa nak jaga diorang kalau saya mati..?” Saiful menangis tak berhenti. Dua konco tadi hanya melihat sambil menggeleng. Bibir mereka masih terukir senyuman sinis.

“Kau fikir aku kisah..!!!” Tengking si bos lantang. Terpinga-pinga Saiful dipukul suara bengis si bos. “Disebabkan kau merayu macam ni.., aku akan guna cara mudah. Kau boleh mula mengucap sekarang.” Dalam masa yang sama, si bos menekan mata pisau pada leher Saiful. Apa lagi, mengelupur sakanlah si jaguh seperti ayam yang dilepas selepas disembelih.

“Bang..!! Tolong jangan, bang..!” Saiful menjerit. “Saya merayu... saya sanggup buat apa saja untuk abang... cuma tolong jangan bunuh saya.., bang...!!”

“Hish.., susah betullah budak ni!” Si bos sudah berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Pisau tadi masih di tangannya. Leher Saiful pula sudah terluka ketika dia mengelupur tadi. Si bos diam seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Baiklah. Oleh kerana mood aku baik hari ni..., aku akan lepaskan kau... tapi dengan syarat.” Saiful sudah tersenyum lega. Dia mengucap terima kasih berulang kali. Hentakan kaki oleh si bos di dada si jaguh menyebabkan ucapannya terhenti. Dia terbatuk sambil menahan sakit.

Si bos tersenyum senget. Dia membongkokkan badannya supaya rapat dengan Saiful. Sikunya disangkut pada lututnya. Kakinya pula masih di dada Saiful.

“Jangan sesekali tunjukkan muka kau depan Cik Fazira lagi. Ini amaran pertama dan terakhir.” Di saat itu, Saiful terkedu tak terkata.

“Sekarang kau tahu siapa yang hantar aku, kan? Tuan aku... adalah bakal suami Cik Nurliana Fazira. Dia tahu kau bekas tunang Cik Fazira dan dia juga tahu kau penyebab bakal isterinya lumpuh suatu masa dulu. Dia lepaskan kau kali ni pun sebab kau dah berkeluarga. Kau memang bertuahkerana... kau mangsa pertama yang Tuan aku lepas hidup-hidup.” Si bos kembali menegak. Saiful pula masih terkebil-kebil.


“Jangan kau berani tunjuk muka kau dengan dia lagi. Faham...?!!” Saiful terus mengangguk pantas mengalahkan burung belatuk. Dalam beberapa minit, si bos dan dua konconya hilang dari pandangan Saiful. Yang menemaninya ketika itu, hanyalah bunyian unggas dan tawanya kadang-kala diselangi bunyi tangisan.