------------BAB 16------------
Sebuah kereta Toyota Alphard
dipandu perlahan menyusuri jalan kampung yang agak sempit. Kelebarannya hanya
cukup untuk sebuah kereta dan motosikal berselisih. Jika bertembung sesama
kereta, salah sebuah perlu berhenti untuk memberi laluan. Pemandu kereta
tersebut memandu dengan berhati-hati memandangkan waktu petang, ramai budak
kampung yang berbasikal di jalan.
“Rumah siapa yang kita nak pergi
ni, Papa..?” tanya Fazri yang tanpa menoleh ke arah Faizzul yang duduk di
sebelahnya. Matanya masih tertumpu di jalan.
“Nanti kamu tahulah. Dah sampai ke
belum..?” balas Faizzul semula. Fazri diam seketika sambil mengamati kawasan
sekeliling.
“Rasanya dah sampai.” Fazri memberi
kepastian apabila matanya menangkap sebuah rumah kampung tradisional yang
tersergam indah. Laman rumah tersebut juga luas dan bersih. Kereta itu menyusur
masuk dan berhenti di bawah pohon rambutan yang sudah lebat berbunga.
“Rasanya nilah rumahnya.” Fazri
memberi kepastian.
Lantas, Faizzul membuka pintu dan
keluar. Pelik Fazri melihat kelakuan papanya. Dia menoleh pula ke belakang.
Dilihatnya Jannah nampak resah semacam. Reaksi takut dan bimbang
bercampur-baur.
“Ummi...? Ummi tak nak keluar..?”
Pertanyaan Fazri mengejutkan Jannah dari lamunannya.
“Ya... ya..., ummi nak keluarlah
ni.” Jannah membalas dengan suara yang agak gagap. Perasaan pelik Fazri makin
berganda. Kening yang sudah bertaut ditambah pula dengan dahi yang berlapis.
Fazri dan Jannah keluar serentak dari perut. Ketika itu, Faizzul masih sibuk
memberi salam untuk kali yang kedua.
“Assalamua’laikum..” Salam Faizzul
masuk kali yang ketiga.
“Waa’laikumsalam..” Jawab satu
suara dari dalam rumah. Kedengaran juga derapan kaki memijak lantai papan yang
masih utuh. “Maaflah.., Pak long kat dapur tadi. Tak dengar orang beri salam.”
Pada saat itu juga, seorang lelaki
berumur keluar dari pintu ruang tamu. Langkah lelaki itu terhenti apabila
matanya menangkap wajah Faizzul yang sudah tersenyum melihat kelibatnya.
Kesemua pasang mata kini tertacap pada lelaki berumur yang masih terkaku di
tangga yang dihiasi dengan jubin yang berwarna-warni. Masing-masing sudah
terlopong.
“Abang Zali...” Panggil Faizzul
ringkas dengan senyuman yang lebar. Fazri memandang papanya dengan riak wajah
yang terkejut.
“Takkanlah... kamu..., Faiz..?”
Lelaki berumur itu juga nampak terkejut. Mata yang mengecil kembali membesar.
“Ya.., Bang. Ni saya..., Faiz.”
Faizzul menekan suaranya. Senyuman dibibirnya masih setia terukir.
“Ya ALLAH..., Faiz..!” Ghazali
hampir-hampir menjerit. Langkah pantas diatur berhati-hati menuruni anak-anak
tangga. Sampai saja di tanah, kedua insan tadi berpeluk erat. Keduanya turut
mengalirkan air mata rindu. Jannah yang melihat juga tidak mampu menahan sebak.
Fazri pula..., dia nampak keliru, bingung, pening dan terkejut. Semua perasaan
menyerang benaknya dalam masa yang sama.
“Abang.., abang apa khabar?!” Tanya
Faizzul sebaik saja pelukan mereka terlerai. Tangan mereka pula bersatu.
“Alhamdulillah.., abang sihat.”
Jawab Ghazalimenjawab seraya menyeka pipinya.
“Tak sangka akhirnya.., ALLAH
makbulkan juga doa saya selama ni, bang.” Kata Faizzul masih teruja. Ghazali
sudah ketawa kecil melihat kelakuan Faizzul yang seakan kanak-kanak.
“Kamu ni.., masih seperti dulu.
Excited terlebih.” Faizzul ketawa besar mendengar kata-kata Ghazali. Mata
Ghazali beralih ke arah seorang wanita yang dari tadi hanya diam membisu.
“Jannah...?!” panggil Ghazali
lembut. Bahu Jannah terjungkit sedikit tanda dia terkejut. Perlahan-lahan dia
mendongak untuk melihat wajah insan yang sangat dia rindui. Ghazali tersenyum
manis. Jantung Jannah sudah bergetar laju. Senyuman itulah yang pernah membuat
dia tidur tak lena, makan tak kenyang.
“Apa khabar, bang..?” Ucap Jannah
lembut. Senyuman manis mula terukir di wajahnya.
“Alhamdulillah, abang sihat.” Balas
Ghazali lembut. “Jannah pun tak berubah. Masih seperti dulu.”
“Malah, makin cantik kan, bang?”
sakat Faizzul.
“Abang nih..!” rengek Jannah manja.
Mereka ketawa. Tawa Ghazali hilang serta-merta bila terlihat kelibat Fazri.
“Fazri..?!” Ghazali terkejut seraya
memandang Faizzul dan Jannah.
“Abang kenal Fazri?!” soal Faizzul
juga terkejut.
“Ya.., abang kenal sangat. Kami
selalu berjumpa di masjid besar. Dia...”
“Anak saya, bang. Satu-satunya anak
saya. Muhammad Fazri Alias.” Fazri tersenyum melihat kedua insan itu.
“ALLAHHUAKBAR..!” Ghazali mengucap
lembut. “Sungguh hebat kurniaan yang DIA turunkan pada kita. DIA pertemukan
kita semula walaupun hampir 30 tahun terpisah. Nampaknya jodoh kita masih
kuat.” Tambah Ghazali seraya memegang dadanya. Mereka yang lain sudah
tersenyum. Rasa syukur juga terbit di hati masing-masing.
“Buat apa tercegat di sini lagi,
jomlah masuk.” Ajak Ghazali sambil menarik tangan Faizzul yang dua tahun lebih
muda darinya. Lelaki itu sudah dianggap seperti adik sendiri.
Dari papanya, barulah Fazri tahu
dan segala persoalan yang membuatkan kepalanya bingung, terjawab. Pak long
Ghazali adalah rakan lama yang dicari papanya hingga ke Indonesia kerana
disangka lelaki itu masih menetap di sana. Pak long Ghazali jugalah lelaki yang
banyak membantu papanya menjadi seorang lelaki yang sekarang ini. Faizzul
sendiri bukan calang-calang orangnya. Papa dan umminya berasal dari keluarga
yang berada dan sangat berpengaruh. Papa pula agak liar semasa zaman mudanya.
Selepas bertemu dengan Pak long Ghazali, barulah Faizzul berjaya mencari
kedamaian sebagai seorang hamba ALLAH.
Mereka tiga beranak duduk menunggu
di ruang tamu manakala Ghazali pula di dapur. Selepas beberapa ketika, Ghazali
muncul sambil membawa minuman untuk tetamunya.
“Maaflah lama menunggu.” Ghazali
meletakkan dulang di atas meja kopi seraya melabuhkan punggungnya.
“Sunyi saja rumah. Abang tinggal
sorang saja ke?” soal Faizzul selepas puas melihat keliling ruang tersebut.
Ghazali tersenyum.
“Anak keluar, pergi mengambil cucu
di sekolah. Kejap lagi baliklah. Abang tak tinggal sorang. Anak lelaki kedua
tinggal di sini tapi disebabkan isterinya bakal melahirkan anak sulung,
dibawanya pulang ke rumah besan. Senang sikit nak jaga.” Jawab Ghazali lengkap
dan mutakhir. Fazri agak gugup bila matanya sekali-sekala bertembung dengan
Ghazali. Pandangan lelaki itu seperti menyimpan sesuatu.
“Yang cucu pulak?”
“Tiga orang semuanya. Anak kepada
anak sulung abang. Suami isteri bekerja di negeri lain. Balik pun sebulan sekali.
Anak-anak ditinggalkan di sini memandangkan abang dan si Fazira yang minta.
Anak bongsu yang sama umur dengan Fazira sekarang di Mesir. Lepas tiga tahun,
baliklah.” Jelas Ghazali lagi. Faizzul mengangguk faham.
“Macam mana kamu boleh jumpa
abang?” Ghazali pula bertanya. Jannah pula sibuk menghidang air kopi tadi.
“Bukan saya tapi Jannah. Dia yang
perasan gadis yang seiras dengan wajah Khatijah. Saya pun macam tak percaya
masa Jannah tunjukkan gambar tu.” Terang Faizzul dengan nada teruja. Ghazali
tersenyum. Kelakuan Jannah diperhati dengan pandangan yang lembut. Fazri hanya
menunggu dan mendengar.
“Kebetulan saja waktu tu.” Jannah
menambah. Dia nampak takut untuk merenung wajah lelaki yang duduk di
hadapannya. Fazri berasa pelik melihat kelakuan umminya.
“Tak ada yang kebetulan dalam dunia
ni, Jannah. Semuanya telah ditakdirkan, begitu juga dengan pertemuan kita.”
Ghazali menegas lembut. Untuk beberapa saat, pandangan mereka bertembung.
Mereka saling berbalas senyuman.
Kening Fazri terangkat. Kelakuan
dua insan tadi tidak ubah seperti dua kekasih yang sudah lama terpisah. Matanya
dialih ke arah Faizzul pula. Papanya nampak senang melihat mereka berdua.
Perasaan bingung dan ingin tahu makin bertimbun menimpa benaknya.
“Betul ke gadis tu anak abang?”
Jannah memberanikan diri membuka soalan. Ghazali tersenyum ringkas.
“Dia bukan anak abang, Jannah.
Tapi, dia anak kepada arwah Ghani dan Khatijah.” Mereka tersentak mendengar
jawapan Ghazali kemudian saling memandang.
“Macam mana boleh...? Bukan ke
abang...?” Faizzul sudah melopong.
“Abang pun terkejut juga waktu tu.
Bila tahu cerita sebenar, rupanya... Ghani dan Khatijah dah lama kenal. Lebih
awal dari kita semua.” Terang Ghazali tenang. Semua mata tertumpu padanya.
“Mana mereka sekarang?” Faizzul
masih bertanya. Di hatinya hanya ingin mengetahui keadaan Khatijah. Ghazali
mengeluh perlahan.
“Tiga bulan lepas mereka berkahwin,
Ghani meninggal dalam runtuhan bangunan selepas gempa bumi dan Khatijah
pula...., dia meninggal selepas melahirkan Fazira.” Ghazali masih bercerita
dengan tenang walaupun suaranya sudah bertukar serak.
“Maknanya..., Fazira tak pernah
berjumpa dengan orang tuanya..?” Jannah pula bersuara dengan air muka terkejut.
Ghazali mengangguk lemah. Fazri hanya tertunduk dan membisu. Mengenangkan nasib
Fazira, dia patut rasa bertuah. Walaupun tidak mendapat kasih sayang dari ibu
sendiri, dia masih ada Papa dan ummi sebagai tempat untuk dia bermanja.
“Abang dapat berita pasal mereka
sebulan lepas Khatijah meninggal. Masa tu, Fazira ditempatkan di sebuah panti
asuhan. Seminggu lepas tu, abang bawa dia pulang ke Malaysia dan asuh dia macam
anak sendiri.” Mereka diam selepas Ghazali habis bercakap.
“Apa yang terjadi sebenarnya? Saya
ingat abang dah berkahwin dengan Khatijah lepas kita tamat belajar.” Soal
Faizzul lagi.
“Lepas tahu hal sebenar, abang
undur diri. Hati abang langsung tak rasa sedih, mungkin sebab sayang abang pada
Khatijah tak sedalam yang abang sangka. Tapi.., waktu tu abang baru sedar yang
abang dah terlambat. Insan yang sepatutnya abang sayang dari awal lagi dah
pergi tinggalkan abang.”
Kali ini, mata Ghazali merenung
tepat ke arah Jannah. Terkedu Jannah melihat renungan yang menikam matanya.
Lantas, dia menundukkan wajahnya. Tangannya sudah digenggem erat dalam masa
yang sama menahan air jernih yang sudah bertakung.
“Lepas tamat belajar, abang balik
ke Malaysia dan berkahwin dengan gadis pilihan keluarga abang.” Tambah Ghazali
pendek.
“Abang bahagia?” tanya Jannah
dengan suara yang sedikit serak.
“Alhandulillah.., abang dikurniakan
dengan tiga cahaya mata. Semuanya lelaki.” Balas Ghazali tersenyum. Wajahnya
masih nampak tenang. “Macam mana dengan Jannah?”
Tanpa membalas pertanyaan Ghazali,
Jannah bingkas bangun dan berjalan pantas menuju ke dapur. Ghazali nampak
terkejut dan sedikit terkesima dengan kelakuan Jannah. Dari situ juga, hatinya
sedikit pilu. Dia sedar yang wanita itu terluka dan lukanya masih berdarah.
“Azri...” tegur Faizzul seperti
mengarah anaknya untuk mengikut langkah ibu saudaranya. Fazri mengangguk seraya
beredar meninggalkan dua sahabat itu. Faizzul mengeluh lemah. Ghazali mula
diselubungi rasa bersalah.
“Semuanya telah ditakdirkan, bang.”
Kata Faizzul lemah. “Jannah pulang ke sini dan sebulan selepas saya berkahwin,
dia pula berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga. Malangnya..., rumah
tangganya tak pernah bahagia. Semasa mengandung dua bulan, dia teruk dipukul
dengan suaminya yang mabuk. Kandungannya gugur dan dia mengalami pendarahan
yang teruk. Sebulan lepas tu, doktor sahkan dia mandul kerana organ peranakan dia
cedera teruk. Umur dia ketika tu baru 27, bang.”
“Ya ALLAH....! Begitu berat ujian
yang menimpamu, Jannah.” Jerit hati Ghazali. Dia tunduk seraya menekup matanya.
Air mata lelakinya akhirnya mengalir turun untuk kali yang kedua di hadapan
sahabat lamanya. Kali pertama air matanya jatuh selepas kehilangan insan yang
sepatutnya dia sayang dan kasihi iaitu Jannah. Sayu Faizzul melihat keadaan
Ghazali yang sudah dianggap seperti abang sendiri.
------------BAB 17------------
Di dapur, Jannah mengalirkan air mata
sepuas hatinya di hadapan singki. Fazri hanya melihat. Tidak tergamak rasanya
ingin menegur atau bertanya. Hatinya serba sedikit sakit melihat keadaan ibu
saudara kesayangannya. Jannah dibiarkan melayan perasaan sendiri. Seketika
kemudian, esakkan makin berkurang. Fazri mengumpul seluruh kekuatan untuk
menegur ibu saudaranya.
“Ummi...”
Serentak dengan itu, Jannah menoleh
pantas dan terkejut melihat Fazri terpacak dengan senyuman yang manis. Fazri
mendekati Jannah seraya menyeka lembut kedua pipi yang masih gebu walaupun
dijamah usia. Tubuh umminya dipeluk erat. Sekali lagi, Jannah menahan sebak
yang kembali menggunung.
“Baru sekarang Azri sedar..., ummi
seorang wanita yang kuat semangat. Azri kagum dan bangga kerana ummi adalah
ummi Azri.” Kata Fazri perlahan. Jannah membalas pelukan anak saudaranya.
Esakkan yang ditahan tadi kembali berlagu. Fazri mengusap lembut belakang
umminya, memujuk hatinya yang sudah lama terluka.
Selepas beberapa minit berendam
dengan air mata, Jannah kembali tenang. Matanya merah dan sedikit bengkak.
“Ummi...” Fazri bersuara lembut.
“Azri teringin sangat nak tahu. Apa sebenarnya yang berlaku antara Papa, ummi
dan Pak long Zali?” tanyanya tenang. Jannah diam seraya menarik nafas yang
dalam.
“Sebenarnya..., semasa bergelar
mahasiswa..., Papa dan Pak long Zali menyintai gadis yang sama. Namanya
Khatijah. Dialah ibu Fazira. Gadis yang cantik, sopan, lemah lembut... dalam
erti kata lain seorang gadis yang sempurna di mata setiap lelaki. Kelakar bila
ingat kembali saat Papa dan Pak long selalu bermasam muka kerana Khatijah. ummilah
orang tengah antara mereka.” Terang Jannah dengan sedikit tawa di hujung
ayatnya. Lega hati Fazri melihat senyuman umminya.
“Ummi pernah beritahu perasaan ummi
pada Pak long?” tanya Fazri lagi. Jannah diam seketika kemudian menjawab dengan
gelengan yang lemah.
“Ummi takut. Sebab waktu tu ummi
dah sedar yang ummi sekadar bertepuk sebelah tangan.”
“Ummi bencikan ibu Fazira..?”
“Tak, Azri. Ummi tak pernah
membenci dia. Sebab dia tak layak untuk dibenci. Khatijah sendiri tak tahu
dirinya dipuja dua orang jejaka yang ummi sayang. Khatijah seorang gadis yang
baik. Dialah kawan paling baik yang pernah ummi jumpa. Hatinya luhur, tulus dan
ikhlas. Sejak kali pertama ummi berjumpa dengannya, ummi dah tahu yang dia
sememangnya layak untuk Pak long Zali.”
“Kenapa ummi dan Papa terkejut masa
Pak long Zali kata Fazira bukan anaknya?”
“Sebab masa tu, kami sendiri tak
tahu adik Pak long Zali, Abdul Ghani sudah memiliki hati Khatijah. Papa undur
diri lepas tahu yang Pak long Zali juga menaruh perasaan yang sama terhadap
Khatijah. Ummi pula bawa diri pulang ke Malaysia selepas tahu yang ummi tak
lagi berpeluang untuk memiliki cinta Pak long Zali.” Terang Jannah panjang
lebar. Fazri yang mendengar sudah merasa kagum. Kisah percintaan entah berapa
segi yang melibatkan kasih sayang antara sahabat dan saudara. Nasib baiklah
kisah mereka berakhir tanpa ada yang menyimpan dendam.
Hampir jam 7 malam, sebuah kereta
Estima hitam memasuki perkarangan rumah Ghazali. Kereta tadi terus dimasukkan
ke dalam bangsal kereta. Pintu terbuka dan Atiqah serta Atif melompat keluar.
Kemudian, disusuli Alif dan Fazira. Langkah mereka berdua terhenti selepas
apabila mata masing-masing terkejut melihat kehadiran sebuah kereta mewah di
halaman rumah mereka.
“Kereta siapa tu, Mak ngah?” tanya
Alif tanpa mengalihkan pandangannya.
“Entahlah. Kawan atuk kot.” Jawab
Fazira sekadar meneka. “Jomlah naik. Mak ngah masak special hari ni.” Ajak
Fazira seraya memaut bahu Alif. Alif tersenyum manis. Mereka berjalan beriringan
menaiki anak tangga.
“Pak ngah..?!” Jeritan manja Atiqah
mematikan langkah Fazira serta-merta. Matanya yang membesar sudah tertacap pada
wajah Alif yang juga terpaku di sebelahnya. Mereka berdua saling memandang.
Riak wajah resah terbit di wajah Fazira. Lantas, Alif menggenggam erat tangan
kanan ibu saudaranya. Dia melangkah perlahan diikuti Fazira.
Tiba di pintu yang menampakkan
ruang tamu, Fazira dapat merasa beberapa pasang mata sudah merenung wajahnya.
Fazira memberanikan diri untuk mendongak seraya tadi dia asyik memandang ke
bawah melihat anak tangga. Di saat itu, dia melihat dua insan yang asing
baginya dan seorang lelaki yang amat dia kenali.
Fazri...?! Apa yang dia buat kat
sini...? Takkanlah dia datang sebab kejadian tu..? Fazira terpaku seketika di
depan pintu. Pelbagai persoalan dan perasaan yang menyerang benaknya. Rasa
takut lebih menonjol berbanding perasaan lain. Jantung mula berdegup kencang.
“Zira...?” Fazira tersentak dan
tersedar dari lamunan singkatnya bila dipanggil Ghazali. Dicari Alif yang entah
bila dia menghilangkan diri. “Kenapa tercegat kat situ? Masuk, nak. Mari..,
ayah nak kenalkan Zira dengan kawan lama ayah masa belajar di Indonesia dulu.”
Ghazali melambai memanggil Fazira.
Langkah Fazira perlahan dan sopan mendekati seorang wanita yang hampir seusia
dengan ibunya. Apa yang membuatkan dia sedikit resah ialah renungan wanita itu
dan lelaki di sebelahnya yang hampir seusia dengan ayahnya. Mata mereka
langsung tidak berkelip memandang wajah Fazira.
“Ini Makcik Jannah. Dia junior ayah
masa di Universiti dulu.” Perkenal Ghazali. Fazira duduk dan bersalaman dengan
Jannah. Tangan wanita itu dicium lembut. Terkejut dia bila tubuhnya dipeluk
erat dan kedua pipinya dikucup lembut. Sentuhan dan senyuman wanita itu
betul-betul mengocak perasaan Fazira. Degupan jantung yang menggila tidak
menentu kembali tenang. Terasa sedikit lega. Pandangan mereka bertaut lama.
“Panggil saja ummi.” Pinta Jannah
dengan suara yang lembut. Fazira terpegun seketika. Suara Jannah terasa
mendayu-dayu masuk ke lohong telinganya. Senyuman manis dibalas sebagai ganti
tanpa teragak-agakwalaupun hatinya sedang menafsir perasaan yang begitu asing
dalam dirinya.
“Yang sebelah pula abang kepada Mak
cik Jannah, Pak cik Faizzul. Dia sama tahun dengan ayah semasa belajar dulu,
cuma usianya dua tahun lebih muda dari ayah.” Tambah Ghazali lagi.
“Zira apa khabar?” tegur Faizzul
sambil tersenyum.
“Alhamdulillah, pak cik. Saya
sihat.” Balas Fazira mesra.
“Dan... yang sorang lagi ni...,
rasanya tak payahlah ayah kenalkan sebab Zira sendiri pun dah kenal dengan tuan
punya badan.” Ghazali tersenyum memandang Fazri yang nampak seronok melayan
keletah Atiqah dan Atif.
Fazri tersenyum lebar sambil mengalihkan
anak matanya ke arah Fazira. Pandangan mereka bertaut lantas Fazira melarikan
pandangannya. Faizzul sudah memandang Fazri dengan air muka pelik dan hairan.
Jannah pula ketawa kecil melihat reaksi abangnya. Tidak hairanlah kerana dia
sudah tahu siapa gadis istimewa yang berjaya mencuri hati anak saudaranya.
“Ayah.., Zira ke dapur dulu.”
Fazira segera meminta diri.
“Zira tanak nasi lebih sikit,
bolehlah kita makan malam beramai-ramai.”
“Eh.., tak payahlah bang! Kami tak
nak mengganggu abang.” Faizzul pantas mencelah.
“Apa pulak mengganggu? Kamu datang
dari jauh kenalah jamah sikit. Kalau nak bermalam kat sini pun abang tak
kisah.” Perlawa Ghazali lagi. Mereka yang mendengar sudah tersenyum puas
terutamanya Fazri. Matanya kembali memandang Fazira yang masih berdiri di
sebelah bapanya. Ada riak resah yang terukir di wajah gadis idamannya.
“Bolehlah, bang. Lagipun, teringin
jugak saya nak merasa masakan anak dara Khatijah.”
Tersentak Fazira selepas terdengar
kata-kata Jannah. Wajah wanita itu direnung lembut. Pelbagai persoalan sekali
lagi bermain di fikiran. “Azri kata masakan Zira sedap sangat.” Dia kembali
mengalihkan pandangan ke arah Fazira yang dari tadi asyik merenungnya.
“Mana ada Azri cakap macam tu?”
Fazri menjeling manja ibu saudaranya. Jannah dan Faizzul ketawa melihat
reaksinya.
“Zira minta diri dulu. Adik..,
Atif. Mari sini.., jangan ganggu orang dewasa bersembang.” Panggil Fazira
lembut. Atiqah sudah mencebik.
“Pak ngah jangan balik lagi, ya..?
Adik ada banyak benda nak cerita dekat Pak ngah.” Atiqah merengek manja.
Tangannya dari tadi masih setia memaut bahu Fazri. Entah kenapa, kata-kata si
adik makin menambah keresahan dalam jiwa Fazira.
“Yelah, sayang. Pak ngah takkan
balik. Lepas Adik mandi, kita sambung lagi.” Balas Fazri sambil mencium dahi
kedua si kecil tadi. Atiqah dan Atif turun dari riba Fazri seraya berjalan
pergi bersama ibu saudara mereka.
“Amboi.., pandai betul anak Papa
ambil hati budak-budak tu!” sakat Faizzul sambil menjeling lembut. Fazri
sekadar tersengih bahagia. Anak matanya mengekor langkah Fazira hinggalah
kelibat gadis itu hilang dari pandangan. Dalam diam juga, Ghazali mencuri lihat
perbuatan teruna Faizzul yang dari tadi sentiasa merenung anak gadisnya.
Hatinya bagaikan senang dan lega memandangkan dia sendiri sudah terpikat dengan
keperibadian si teruna yang sememangnya layak untuk anak gadisnya.
------------BAB 18------------
Selesai solat berjemaah di surau,
mereka berjalan pulang. Tiba saja di rumah, makan malam sudah terhidang di atas
meja. Tiga jenis lauk beserta dua jenis ulaman segar. Ringkas dan menyelerakan.
“Eem..., wanginya..!” Tegur Faizzul
sebaik melangkah masuk ke ruang dapur. “Dari ruang tamu dah bau sedap, itu
belum merasa lagi.” Tambah Faizzul dengan senyuman yang tak lekang.
“Makan malam ni Zira dah siapkan
awal-awal lagi, Jannah cuma tolong siapkan meja saja.” Kata Jannah bila disoal
abangnya. Wajah gadis itu ditenung lembut.
Fazira memang perasan sejak petang
tadi, tetamu bapanya sering sangat merenungnya. Itu belum dikira dengan
renungan dari Fazri, boleh meletup jantungnya setiap kali beradu pandang dengan
jejaka itu. Mana tidaknya, kenangan dia dipeluk menerjah masuk ke ruang
mindanya setiap kali pandangan mereka bertaut.
“Duduklah, Fazri. Takkan nak tengok
saja.” tegur Ghazali.
Fazri sedikit tersentak. Dia
sendiri tidak sedar dengan perbuatannya sedang dalam perhatian Ghazali. Terlalu
asyik merenung gadis idamannya hingga terlupa akan kehadiran bapa si gadis. Dia
membalas dengan sengihan kantoi seraya menarik kerusi di sebelah Ghazali. Faizzul
dan Ghazali masing-masing duduk di hujung meja.
“Adik nak duduk sebelah Pak ngah.”
Atiqah menjerit manja seraya menarik kerusi di sebelah kiri Fazri.
“Adik...” Panggil Fazira lembut
tapi dengan nada yang agak keras.
“Tak apa. Biarkanlah. Saya pun tak kisah.”
Balas Fazri pantas. Fazira hanya mampu mengeluh lembut. Dia langsung tidak
membalas renungan si jejaka. Yang lain hanya melihat sambil tersenyum. Jannah
duduk di sebelah Atiqah bertentangan dengan Alif. Manakala Fazira bertentangan
dengan Atiqah dan Atif sedia menanti di sebelah kiri ibu saudaranya.
Mereka mula makan malam selepas
selesai membaca doa makan yang dibaca oleh Alif.
“Adik nak ayam?” tanya Fazri.
Atiqah mengangguk manja. Fazri mencubit sedikit isi ayam di pinggannya lalu
diletakkan ke dalam pinggan si adik. Atiqah bersorak gembira. Jannah dan
Faizzul melihat sambil tersenyum lebar. Fazira hanya melihat sekilas
memandangkan dia nampak sibuk melayan kerenah Atif yang sentiasa mahu disuap.
“Adik umur berapa?” tanya Faizzul
lembut.
“Umur Adik sembilan tahun.”
“Oh.., dah Darjah Tiga. Besar nanti
nak jadi apa?” tanya Jannah pula.
“Besar nanti.., Adik nak jadi macam
Mak ngah.” Jawab Atiqah yakin. Fazira dan Alif sudah menggeleng. Fazri, Jannah
dan Faizzul sudah merenung Fazira dengan air mukaterkejut. Ghazali pula menahan
tawa melihat telatah cucu perempuannya.
“Adik.., nenek tanya pasal
cita-cita Adik?” Fazira cuba membetulkan fahaman Atiqah.
“Memang tulah cita-cita Adik. Adik
nak jadi macam Mak ngah..., sebab Mak ngah cantik..., baik dan... Mak ngah
pandai masak. Atuk kata perempuan yang pandai masak boleh kawin dengan lelaki
hensem macam Pak ngah. Mak ngah pandai masak.., mesti dapat kawin dengan Pak
ngah.”
Maka, terburailah tawa di antara
mereka. Fazira lain pula ceritanya, rasa kesal timbul membuak-buak dalam
hatinya kerana ringan mulut sangat ingin membetulkan soalan Jannah. Itu belum
dikira dengan rasa malu yang memuncak. Mukanya terasa panas seperti ingin
meletup. Bertambah lebar senyuman Fazri bila disakat si adik. Hatinya pula
berkembang mekar mengalahkan taman bunga.
“Zira sekolah sampai peringkat
mana?” Jannah memulakan perbualan antara mereka pula. Fazira terkaku seketika.
Wajah bapanya direnung lembut. Ghazali sekadar tersenyum manis.
“Sampai... SPM saja.” Jawab Fazira
ringkas. Satu suapan masuk ke dalam mulut Atif yang setia menunggu di
sebelahnya.
“Kenapa tak sambung belajar?” tanya
Faizzul pula. Fazira diam lagi. Wajah bapanya dipandang lagi. Kali ini, riak
wajah resah agak ketara. Fazri sudah mengesan perubahan wajah Fazira.
“Bukan rezeki dia, Faiz. Dia
kemalangan masa pulang dari sekolah lepas ambil result.”
Serentak, kesemua memandang wajah
mulus Fazira. Terkejut dengan cerita Ghazali. Fazri sahaja yang nampak tenang
memandangkan dia sudah sedia maklum dengan cerita itu dari awal lagi.
“Serius ke?” tanya Jannah dengan
nada risau.
“Alhamdulillah, tak serius mana.
ALLAH pelihara dia dari sebarang luka yang teruk, cuma lebam-lebam saja.”
Terang Ghazali tenang. Jannah menghembus nafas lega.
Wajah Fazira ditatap lama. Wajah
gadis itu betul-betul menggoncang kotak ingatannya. Rasa rindu dan sayang mula
berbunga kembali. Perasaan yang hampir hilang selepas berpuluh tahun berlalu.
Raut wajah Fazira seolah-olah menyegarkan kembali ingatannya terhadap Khatijah.
Perasaan itu turut dirasai Faizzul.
Sekali-sekala, dia mencuri lihat wajah putih gebu Fazira. Hatinya sedikit sayu
dan sebak mengenangkan kembali gadis seberang yang berjaya mencuri hatinya
suatu masa dahulu sudah pulang menghadap ILLAHI. Dia tersenyum hampa dalam
diam.
“Kenapa tak sambung belajar lepas
sembuh?” tanya Jannah pula. Seperti biasa, soalan untuk Fazira dijawab oleh
Ghazali tanpa dipinta.
“Abang yang tak benarkan dia
sambung belajar. Risau juga nak lepaskan dia pergi lepas kejadian malang tu.
Kalaulah dia sambung belajar, mungkin dia dah jadi guru sekolah rendah. Sama
seperti kawannya. Bukan apa.., Abang takut dia dihantar ke Sabah atau
Sarawak...”
“Kalau Mak ngah jadi cikgu...,
maknanya Mak ngah takkan jumpa dengan Pak ngahlah. Kesian Pak ngah.” Atiqah
tiba-tiba menyampuk. Fazira dan Alif sudah menjeling manakala yang lain saling
berpandangan. Kemudian, terburailah tawa antara mereka. Celoteh si Atiqah
betul-betul menggamatkan lagi suasana ruang dapur dan makan malam mereka.
Hampir jam sepuluh malam, Faizzul
mula meminta diri. Ajakan Ghazali untuk tinggal semalam dua ditolak dengan
baik. Sebelum beredar, sempat pula Ghazali, Faizzul dan Jannah bersembang
berdekatan dengan kereta manakala Fazri masih belum puas melayan kerenah
anak-anak saudara Fazira.
“Awak nampak pucat. Tak sihat ke?”
tanya Fazri lembut. Matanya sentiasa tertacap pada wajah gadis di hadapannya.
“Saya... sihat.” Jawab Fazira
sedikit terketar. Pandangannya langsung tidak bergerak ke arah Fazri.
Makin seronoklah Fazri merenungnya.
Dalam keadaan seronok, hatinya masih gundah. Terasa ringan saja mulutnya ingin
bertanya penyebab luka yang kian hilang tetapi masih jelas terpalit di bibir
tebal si gadis. Pandangannya beralih pula ke arah Alif. Si abang nampak senyap
dari biasa. Wajahnya pula nampak muram dan tidak bermaya. Apa yang membuatkan
dia tertanya-tanya ialah kata-kata si adik.
“Pak ngah tahu tak...? Mak ngah
kena pukul teruk dengan nenek sebab ada orang kata Mak ngah buat benda tak
senonoh masa kita pergi berkelah hari tu.”
Bisikan si adik petang tadi masih terngiang
di telinganya. Wajah Fazira ditenung lembut. Gadis idamannya dipukul gara-gara
tindakan beraninya. Rasa geram dan menyesal terbit dalam masa yang sama. Yang
pasti, rasa marah lebih menguasai dirinya.
“Alif.., boleh abang cakap sikit.”
Panggil Fazri lembut. Alif yang dari tadi diam sedikit terkejut bila mendengar
namanya dipanggil. Lantas, wajah ibu saudaranya dipandang. Fazira membalas
dengan senyuman yang ringkas tanda dia memberi keizinan. Fazri sempat mengukir
senyuman yang manis dan tenang sebelum berjalan pergi bersama Alif ke tempat
yang agak jauh dari situ. Nasib baiklah si Atiqah tidak mengekor sekali.
“Abang nak tahu perkara sebenar?”
Fazri terus menyerang di saat mereka sudah berduaan. Tergamam Alif seketika.
“Perkara apa yang abang maksudkan?”
tanya Alif kurang pasti.
“Abang tak mahu Alif tipu abang.
Petang tadi Atiqah beritahu abang yang... nenek Alif pukul Mak ngah sebab
kejadian yang berlaku masa kita berkelah hari tu.” Terpinga-pinga Alif
mendengar terjahan dari Fazri. “Alif tak boleh tipu abang sebab abang perasan
dengan keadaan Mak ngah. Abang nampak luka di bibir Mak ngah.” Alif bertambah
tersentak. Bibirnya terketar-ketar seperti ingin mengungkap ayat tetapi tak
mampu dipacul keluar. Dalam kekalutan ingin menjawab, lengannya tiba-tiba
dipegang lembut.
“Tolong, Alif. Berterus-terang
dengan abang..., betul ke nenek Alif pukul Mak ngah?”
Alif tunduk menatap tanah yang
tertutup dengan rerumput yang tebal. Reaksi Alif mendiamkan diri menambahkan
lagi rasa tak selesa di hati Fazri. Lagak heronya telah mengundang padah pada
si gadis idaman.
“Alif...”
“Alif tak boleh beritahu abang
sebabnya... Alif dah janji dengan Mak ngah yang Alif takkan beritahu perkara tu
pada sesiapa..., terutama sekali pada abang.” Alif mencelah pantas seraya
menatap wajah Fazri. Terkebil-kebil Fazri berbalas pandang dengan si abang.
Tidak lama, kedengaranlah keluhan berat keluar dari rongga Fazri. Alif hanya
mampu mendengar.
“Kalau abang nak tahu perkara yang
sebenar, baik abang pergi jumpa Pak cik Kamarul. Dia lebih tahu dari Alif.”
Jelas Alif tenang. Fazri tersentak seperti teringatkan sesuatu.
“Fazri dan Fazira... dah lama kenal
ke?” tanya Faizzul sambil memandang ke arah mereka berdua yang seronok melayan
kerenah Atiqah dan Atif. “Saya tengok.., cucu perempuan abang yang sorang tu
nampak rapat sangat dengan si Fazri. Macam dah lama kenal.”
“Entahlah, Faiz. Abang sendiri tak
tahu macam mana mereka boleh kenal.” Jawab Ghazali ringkas.
“Mereka berdua nampak sepadan,
kan?” Jannah mula memancing. Ghazali sudah tersenyum simpul.
“Kalau dah sepadan, elok sangatlah
kalau disatukan saja.” Tambah Faizzul seraya mengenyit mata pada Jannah.
Ghazali sudah terkejut.
“Eeh.., kamu ni bergurau ke..,
Faiz?” tanya Ghazali untuk kepastian.
“Kenapa pula perkara penting macam
ni nak dibuat main..? Saya seriuslah, bang. Jannah pun setuju, kan..?”
“Yelah, bang. Jannah tengok mereka
macam suka sama suka.., cuma malu nak tunjuk depan kita.” Jannah menambah
dengan senyuman. Ghazali diam seketika.
“Abang bukan nak membantah cuma...
si Fazira tu bekas tunangan orang. Kamu dengan Fazri tak kisah ke?” tanya
Ghazali dengan nada serba salah.
“Kalau dah bekas..., maknanya dia
tak terikat dengan sesiapa, betul tak? Elok sangatlah kalau kami yang ikat
Fazira untuk Fazri sebelum orang lain datang.” Cadang Faizzul dengan tawa
kecil. Ada nada teruja di hujung ayatnya.
“Betul tu. Maklumlah, anak dara
Ghani dan Khatijah tu cantik macam anak Arab. Kalau tak ikat awal-awal, nanti
terlepas pula. Kempunanlah si Fazri.” Jannah menokok dengan tawa kecil. Faizzul
dan Ghazali turut sama ketawa.
“Kalau kamu dah cakap begitu, abang
tak kisah tapi bertambah suka. Sebabnya..., dari awal lagi abang dah bercadang
nak satukan mereka. Alhamdulillah, ALLAH dah tunjukkan jawapannya pada abang.
Tapi..., abang kena tanya Fazira dulu sebabnya... dia sendiri pernah kecewa
dulu. Takut dia masih menyimpan luka lama.” Faizzul dan Jannah mengangguk tanda
faham. Mereka kembali melihatgelagat mereka yang masih malu-malu kucing.
“Maksud abang...?” tanya Faizzul
ingin tahu.
“Fazira... pernah bertunang lebih
kurang lima tahun yang lalu tapi tiba-tiba saja si lelaki minta putus. Abang
sendiri tak tahu kenapa.” Jelas Ghazali ringkas. Dia masih belum bersedia untuk
menceritakan hal Fazira yang pernah lumpuh.
“Kasihan anak Khatijah. Pelbagai
ujian yang melanda dirinya.” Ungkap Jannah perlahan dengan rasa simpati.
“Itulah yang membuatkan dia seorang
gadis yang kuat dan tabah. Dia agak lemah semangat tapi dia jenis yang tak
mudah putus asa. Sama seperti Ghani. Sifat penyabarnya tak ubah seperti Khatijah.”
Jelas Ghazali tenang.
Ketiga-tiga pasang mata kembali
melihat Fazira yang masih melayan Atiqah dan Atif. Fazri pula sedang bersembang
serius dengan Alif tak jauh dari situ. Pelik juga melihat gelagat mereka
berdua.
------------BAB 19------------
Seperti yang telah disarankan oleh Alif, Fazri
pergi berjumpa dengan Kamarul di rumahnya pada waktu pagi memandangkan Kamarul
mengajar di sesi petang.
“Saya tak berniat nak mengumpat
tapi saya kenal sangat dengan perangai ibu saudara.” Kamarul memulakan ceritanya
selepas menerima kedatangan mengejut dari Fazri ke rumahnya. Nasib baiklah
tunangnya tiada di rumah kerana mengikuti kursus. Kalau tak lebamlah kulit dan
isinya dek cubitan berbisa Fazilah kerana menceritakan hal peribadi teman
baiknya.
“Panas barannya memang tak
bertempat. Sejak kecil hingga ke besar, Fazira tu dah dianggap seperti beg
pasir untuk dia lepaskan geram. Kali pertama saya dengar dia pukul Fazira masa
umurnya 12 tahun. Dia naik berang bila orang lain dapat tahu latar belakang
Fazira. Khabar angin pertama yang tersebar mengatakan Fazira anak luar nikah
Pak long Zali dengan perempuan Indon masa dia belajar di negara seberang.
Keadaan Fazira masa tu tak teruk. Cuma calar sebab kena rotan. Dia selamat
waktu tu pun sebab dia larikan diri ke rumah Fazilah.”
“Pak long tak tahu ke?”
“Masa tu Pak long bertugas mengajar
di UIA. Adik-beradik yang lain pula tinggal di asrama. Seminggu lepas tu, baru
Pak long tahu. Kecoh jugaklah keluarga Fazira masa tu.” Kamarul menarik nafas
dalam. “Kali kedua pulak masa Fazira lumpuh. Orang tua tu memang suka sangat
dengar cakap mulut-mulut jahat dalam kampung ni. Masa tu.., Fazira dah sebulan
bertunang dengan si Saiful. Lepas Fazira lumpuh, keluarga Saiful datang rumah
Fazira marah-marah sebab anak mereka tiba-tiba minta putus tunang dengan
Fazira. Mereka dengar cerita ntah dari siapa..., cakap si Fazira curang dan
mengandungkan anak luar nikah. Masa tu, ibu Faziralah yang paling angin sebab
namanya disangkutkan sekali.
Keadaan Fazira masa tu memang agak
teruk. Macam biasa, Pak long tak tahu. Fazira tu... jenis yang pandai simpan
rahsia. Perkara tu terbongkar pun lepas Pak long hairan tengok si Alif selalu
menangis bila masuk bilik dia. Sekali lagi rumah Pak long gamat macam dulu.”
“Pasal si Saiful tu..., dia tinggalkan
Fazira hanya sebab Fazira lumpuh ke?” tanya Fazri dengan pandangan yang serius.
“Itu cuma alasan sampingannya
saja.”
“Maksud awak..?”
“Untuk pengetahuan awak, kemalangan
yang menimpa Fazira bukan satu kemalangan tapi satu perbuatan khianat.”
Terlopong Fazri mendengar pengakuan Kamarul yang tika itu juga memancarkan air
muka yang serius.”Si Saiful tu dah lama tergilakan Fazira..., sejak dari
Tingkatan satu lagi. Fazira pulak memang tak layan laki macam tu. Masa SPM,
saya dan Fazira memang rapat sebab kami selalu buat study group. Masa tulah si
Saiful mula buat tanggapan yang saya sukakan Fazira.” Kamarul menarik nafas
yang dalam.
“Memang tak dinafikan yang saya
memang suka Fazira tapi Fazira lebih suka kalau kami sekadar berkawan. Waktu
pulang dari sekolah lepas ambil result, kami berhenti di tepi jalan. Masa
tu..., kami nak melintas ke seberang jalan untuk menunggu di bus stop. Entah
dari mana datang sebuah motosikal menghala tepat ke arah saya. Fazira lebih
cepat mengesan. Dia yang selamatkan saya dan sebagai galang gantinya, dia
dirempuh motosikal tu.” Kamarul nampak semakin berat untuk menceritakan
kenangan pahit yang menimpa temannya.
“Lebih kurang seminggu lepas
kejadian, saya terserempak dengan motosikal yang sama. Bila dah confirm
betul-betul, saya pun heret budak yang menunggang motor tu dan paksa dia
beritahu hal sebenar. Saya macam tak percaya si Saiful tergamak upah mat rempit
tu untuk langgar saya sebab dia tak suka saya rapat dengan Fazira. Belum sempat
saya berjumpa dengan Pak long untuk ceritakan hal sebenar, dia dah tunangkan
Fazira dengan jantan keparat tu.”
“Seminggu lepas tu, saya berdepan
dengan dia. Saya tanya dia hal sebenar tapi dia mengelat. Teruk juga dia kena
belasah dan akhirnya dia mengaku. Dia kata kalau dia tak dapat Fazira, orang
lain pun tak boleh dapat. Aduh..., bengang betul kepala saya masa tu! Rasa
macam nak hentak kepala keparat tu dengan lesung batu.”
“Fazira tahu..?!”
“Fazira tahu..., tapi dia tak mahu
saya libatkan hal ni dengan pihak polis sebab dia kesian dengan keluarga
Saiful. Dia takut ibu bapa si Saiful terpaksa tanggung malu di masa depan.
Saiful tinggalkan Fazira sebab dia takut Pak long dapat hidu hal sebenar.
Saiful terlepas macam tu saja dan tak sangka hati dia memang busuk dan berulat.
Dia sempat buat khabar angin mengatakan Fazira curang belakangnya dan ada
hubungan sulit dengan saya. Siap kata Fazira mengandungkan anak saya lagi. Masa
tu, jangan kata marah..., hati ni... sakit rasa macam kena barah. Pasal mulut
jantan tak guna tu jugak..., saya nyaris-nyaris putus tunang dengan Fazilah.
Nasib baiklah tunang saya tu orangnya sporting habis.”
Kamarul sedikit penat menceritakan
al-kisah teman baiknya. Teh panas dihirup perlahan. Lega rasanya lepas
membasahkan tekak yang mula kering. Fazri masih diam dan terkaku seperti
patung. Dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu yang berat dan rumit.
“Pasal kejadian berkelah hari tu,
saya dah tanya dengan pemilik kereta tu sendiri. Dia cakap dia dah tarik hand
breknya, siap letak gear satu lagi. Entah macam manalah, hand brek dan gear
boleh terlepas. Kalau nak kata kereta tu rosak.., mustahil sebab kereta tu
kereta baru. Saya dapat agak tu kerja khianat seseorang.”
“Maksud awak..., orang yang sama
yang cederakan Fazira?” soal Kamarul pantas. Fazri mengangguk yakin.
“Tapi tanpa bukti yang kukuh, kita
tak boleh tuduh dia.” Fazri mengeluh lemah.
“Rasanya..., tak perlu bukti.”
Fazri merenung Kamarul dengan tanda tanya. “Sebabnya ada orang terserempak
dengan dia masa kita berkelah hari tu. Bukti tu dah cukup dan ditambah pula dengan
ugutannya. Kalau tak macam mana khabar angin awak dan Fazira boleh tersebar.”
“Maksud awak..., si Saiful tu ada
bersama kita masa tu...?” Fazri nampak terkejut. Kamarul mengangguk. Mereka
diam seketika. “Saya nak minta tolong sesuatu dari awak. Tapi, awak kena
rahsiakan hal ni dari sesiapa terutamanya dengan Fazira dan Pak long. Saya tak
nak dia fikir yang bukan-bukan pula pasal saya.”
“Saya sanggup buat apa saja asalkan
Fazira bahagia.” Kamarul setuju seratus peratus. Fazri tersenyum lebar tapi ada
secalit sinis di hujung senyumannya. Otak dan akalnya sudah memproses satu
rencana yang bakal menamatkan segala penderitaan gadis idamannya.
Satu tamparan yang lembut hinggap
di bahu kanan Fazri. Lamunan dan imbasan pertemuannya dengan Kamarul pagi tadi
hilang berterabur dan berterbangan. Dia melihat gerangan yang menamparnya tadi.
“Ummi rupanya. Terkejut Azri.”
Fazri sudah tersengih kantoi. Jannah menjeling manja seraya menghenyakkan
punggungnya di sebelah Fazri. Mereka duduk di ruang tamu bilik hotel yang sudah
dua minggu diduduki Jannah dan Faizzul.
“Amboi.., jauhnya anak ummi
mengelamun! Ummi panggil pun tak dengar.”
“Ye ke ummi panggil? Maaflah, ummi.
Fazri tengah fikirkan kerja yang masih bertimbun di pejabat.”
“Fikir pasal pejabat atau pun si
gadis pujaan...” Jannah menguntum senyuman yang lebar.
“Ish..., ummi nih! Ke situ
pulak..., betul la Azri fikir pasal kerja.” Fazri menegas dengan suara
manjanya. Jannah sudah ketawa kecil.
“Ummi ada berita untuk Azri.”
“Berita gembira ke...?! Tentang
apa?” Fazri mengadap sepenuhnya ke arah Jannah. Si ibu saudara tersenyum manis
seraya menggenggam erat tangan Fazri.
“Ummi dan Papa dah bincang perkara
tu... dengan Pak long.”
Secara automatik, mata Fazri
membesar manakala bibir nipisnya mula mengukir senyuman yang amat....lebar.
Geli hati Jannah bila melihat reaksi Fazri.
“Betul ke, ummi...?! Habis tu, Pak
long kata apa? Dia setuju ke tak?” Fazri menyerang Jannah dengan soalan
ditambah pula dengan aksi budaknya.
Jannah sudah mengerut dahi seraya
menggeleng. Kelakuan Fazri mengalahkan budak umur enam tahun. “Ya ALLAH.., Azri
nih! Bawa-bawa la bersabar. Biar ummi habis cakap dulu.”
“Sorry... sorry..., okey ummi
teruskan.” Fazri tersengih mengalahkan kerang busuk. Jannah ketawa kemudian
menarik nafas yang dalam. Riak wajah teruja dan tak sabar masih terpancar di
wajahnya.
“Pak long setuju...!”
“YES...!!”
Fazri menjerit lantang seraya
melonjakkan kedua lengan ke atas sambil melompat gembira. Dia menjerit sakan
mengalahkan suami dapat anak. Jannah yang melihat makin terburailah tawanya.
Memang Fazri tidak sangka, ummi dan Papa ke sana bukan saja ingin berjumpa
dengan kawan lama tapi siap merisik Fazira untuknya. Inilah yang dipanggil
menyelam sambil tertelan air. Fazri ketawa kegembiraan. Ruang tamu terasa
bergegar dengan hilai tawa si Fazri. Pelukan erat tiba-tiba melekat pada tubuh
Jannah.
“Terima kasih.., ummi. Terima kasih
banyak-banyak.” Ucap Fazri terharu seraya menghadiahkan satu ciuman yang lembut
di pipi Jannah.
“Sama-sama, sayang. Ummi sanggup
buat apa saja untuk anak kesayangan ummi.” Balas Jannah seraya mencuit hidung
Fazri. Mereka sama-sama ketawa.
------------BAB 20------------
Dalam malam yang gelap lagi pekat,
sebuah kereta Toyota Harrier dipandu sederhana laju menyusuri jalan raya yang
agak lengang. Lampu jalan sentiasa setia memancarkan cahayanya melawan
kepekatan malam.Si pemandu dan penumpang di sebelahnya diam membisu, sebisu
suasana di dalam kereta tersebut. Wajah mereka terlindung dengan cap hitam
serba biru. Mereka berdua nampak kemas berjaket kulit dengan seluar jeans biru
gelap.
“Bila kita akan sampai?” Muncul
satu suara dari belakang penumpang sebelah. Ianya milik seorang lelaki yang
juga memakai cap biru laut, membuatkan wajahnya terlindung. Dia berjaket denim
lengkap dengan seluar jeans. Pandangannya dilempar ke luar tingkap. Dari gaya
lelaki itu duduk memang jelas menunjukkan dia adalah orang atasan atau mungkin
juga bos besar kepada dua orang tadi.
Dari ayatnya pula sudah menjelaskan
dia sudah lama menunggu atau mungkin juga dia ingin cepat sampai ke
destinasinya.
“Kita akan sampai dalam masa
sepuluh minit, Tuan.” Jawab si penumpang tenang dan sopan. Dia memandang ke
arah si pemandu pula. Si pemandu menarik nafas dalam lalu mengangguk lembut.
“Tuan..., maaf saya bertanya.
Kenapa Tuan tak suruh Frank saja yang berjumpa dengan lelaki tu?” Tanya si
penumpang, takut-takut.
“Sebab saya nak berdepan sendiri
dengan lelaki bangsat tu.” Jawab si bos keras. Si penumpang tertunduk bisu.
“Tuan pasti ini jalan terbaik..?”
Tanya si pemandu pula, penuh berhati-hati.
“Awak ada jalan lain lebih sesuai
untuk binatang bertopengkan manusia seperti dia?” tanya si bos pula dengan
suara yang lembut tapi kedengaran tajam dan sinis di telinga mereka. Si pemandu
dan si penumpang saling berpandang.
“Tuan sedia maklum yang dia
mempunyai keluarga, anak-anaknya masih perlukan dia.”
“Adakah awak sedang nasihatkan
saya..?!” Si bos bersuara tegas dengan nada yang dingin. Anak matanya sudah
menikam mata si pemandu melalui cermin hadapan. Si pemandu terkedu. Si
penumpang pula nampak gelabah semacam.
“Tak.., Tuan. Bukan itu maksud
saya...”
“Saya tahu apa yang saya buat.
Tugas kamu berdua hanya dengar dan ikut arahan saya..., faham?!” Si bos menegas
dengan nada yang keras.
“Faham.., Tuan!!” Mereka menjawab
serentak. Kereta tadi terus memecut laju tanpa membelok sehinggalah tiba di
sebuah simpang yang menuju ke kawasan kelapa sawit. Kereta itu membelok masuk
kemudian hilang ditelan oleh kegelapan malam. Yang kelihatan hanyalah lampu
merah kereta tersebut.
Di dalam hutan yang gelap, kedengaran
beberapa suara sedang bersorak gembira sambil mengeluarkan suara bermelodi
mengalahkan katak seangkatan kodok memanggil hujan di musim kemarau. Unggun api
yang galak membakar menerangi suasana malam. Enam orang pemuda sedang
berseronok sambil memetik gitar kapuk. Di mana ada jantan, pasti ada betinanya.
Tiga orang gadis berpakaian tak cukup kain nampak seronok berpeluk dengan tiga
orang pemuda.
Sekali-sekala, mereka melagakan tin
minuman berisi air haram. Lantas, air diteguk rakus. Mereka ketawa seperti
manusia tak ingat Tuhan.
“Woi, Pol! Kau ada dengar tak
berita pasal bekas tunang kau tu..?” kata Kudat yang sibuk berkepit dengan
seorang perempuan. Saiful yang sibuk memetik gitar kapuk tadi menjeling tajam.
“Berita apa..?!” tanya Saiful
tegas. Petikannya sudah beku.
“Laa...Kau tak tahu ke?! Bekas
tunang kesayangan kau tu nak bertunang. Aku dengar budak tu orang kaya siot.”
Tambah Kudat bersemangat. Gitar yang dipegang erat diletakkan ke tepi.
“Mana kau dengar cerita mengarut
ni..?!” Saiful menjeling makin tajam.
“Dari mana lagi kalau bukan dari
mulut mak sedara kau, si Mami Jarum tu...”
“Betul.., Pol. Mak Bedah jiran
sebelah rumah Pak long pun nampak. Dia kata budak yang datang tu siap berteman
dengan mak bapak dia lagi. Nampak sangat diorang datang merisik bekas tunang
kau.” Syam menyampuk panjang sambil tersengih memandang Saiful. Temannya yang
lain sudah mula ketawa kecil bila mendengar dengusan Saiful.
“Melepaslah kau, Pol. Kenapalah kau
lari masa dah terikat dengan budak Zira tu? Kalau tak, sekarang ni kau dah
merasa kekenyalan daging dari negara seberang.” Tambah Syam penuh lucah.
“Korang tahu apa..?! Korang ingat
aku nak putus dengan Zira. Kalau tak pasal si budak Kamarul tu nak buat laporan
polis, dah lama si Zira tu aku ratah lumat-lumat.” Saiful membalas penuh
bangga.
“Habis.., kalau kau dah kemaruk
dengan si Zira, kenapa kau pergi kahwin dengan si Laila pulak..?” tanya Hizam
yang sudah nampak sedikit terhoyong-hayang.
“Dia yang nak kahwin sangat dengan
aku. Bukannya aku nak pun. Mak aku pulak asyik memekak suruh kahwin dengan dia.
Maklumlah, anak Penghulu siapa yang tak teringin. Lagipun.., perempuan macam
dia dah banyak kali aku ratah! Tak luak mana pun.” Balas Saiful penuh ego.
Mereka yang lain sudah ketawa sinis.
“Pasal si Zira tu... kau berangan
jelah, Pol. Dia tu memang tak pandang laki macam kau, dari dulu aku tengok kau
yang terhegeh-hegeh nak kat dia. Baik kau lupa jelah niat kau nak berbaik
dengan dia.”
“Woi..!! Mulut kau tu jaga sikit..!
Sekali aku hentak kepala kau dengan gitar buruk ni, tak ingat jalan balik
kot..!” Saiful mengugut sambil menjulang tinggi gitar tadi. Kudat sudah
menyorok di belakang gadis yang dari tadi asyik berkepit dengannya. “Ini Saiful
la...! Jaguh kebanggaan Kampung Lata. Korang dah lupa sumpah aku dulu. Kalau
aku tak dapat Zira, jangan harap orang lain boleh dapat.” Saiful menepuk dada
lagi.
Entah dari mana muncul satu tepukan
yang cukup kuat hingga mampu mengunci mulut manusia yang ada di
dalam hutan
tadi. Saiful dan gengnya sudah bersedia membuka langkah seribu kerana takut
diserbu Tuk Penghulu atau lebih tepat bapak mertuanya. Kesemua yang ada di situ
sudah berdiri terpacak. Ada riak takut di wajah masing-masing.
Selepas beberapa saat, muncul
seorang lelaki bercap dengan jaket denim. Dia masih menepuk tangannya seperti
baru selesai menonton sebuah persembahan yang menarik.
“Hebat... hebat..! Memang
hebat...!” Lelaki tadi adalah si bos. Dua orang pula muncul dia belakangnya. Si
pemandu mencekak pinggang manakala si penumpang menyilang tangan. Enam orang pemuda
hanya memerhati dengan penuh tanda tanya. Tiga orang gadis tadi sudah lesap
entah ke mana.
“Kau ni siapa..?!” Jerkah Saiful
lantang ditambah dengan jelingan maut. Dia berlagak seolah-olah dia ketua
kepada mereka berenam. Saiful merenung lama si bos dan dua konconya. Nampak
kelakar dan konon-konon misteri kerana mereka bertiga bertopi dan bersarung
tangan. Tak ubah seperti ejen perisik tidak bertauliah.
“Berani kau ceroboh port kami..!”
Tambah Kudat juga lantang. Matanya tajam dan sengaja disembul. Si bos sekadar
tersenyum sinis. Tiada sekelumat reaksi takut terbit di wajahnya yang
terlindung di sebalik kaca mata hitam berkontra kuning.
“Bertenang, kawan. Sebenarnya..,
saya datang dengan niat yang baik.” Si bos mengangkat kedua tangan cuba
menenangkan keadaan.
“Niat baik kepala hotak..!! Belasah
diorang..!” Jerit Saiful lantang tanpa berfikir panjang. Dia memang terkejut
dengan kemunculan tiga orang asing itu. Kalau dibiarkan mereka pergi, port
mereka pasti diketahui orang kampung. Mereka tidak takut memandangkan mereka
berenam manakala lawan mereka hanya bertiga. Peluang untuk mereka menang memang
tinggi. Kerana itulah dia tidak teragak-agak untuk mengarah temannya.
Kesemua enam pemuda tadi bergerak
serentak mengikut arahan yang telah dilaungkan. Melihat keadaan yang sudah
bertukar ganas, si pemandu dan si penumpang berjalan ke depan dahulu
meninggalkan bos mereka yang masih terpacak di belakang. Dengan mudah, dua
sahabat Saiful tumbang selepas menerima penangan dari si pemandu dan si
penumpang. Empat yang memandang termasuk Saiful sendiri terpaku dan tergamam.
Tiba-tiba, Hizam angkat kaki. Tinggallah Saiful, Kudat dan Syam terpinga-pinga
macam orang buta hilang tongkat.
“Tak guna...!!”
Saiful menerjah membuta-tuli ke
arah si bos yang dari tadi hanya memandang dengan senyuman yang teramat sinis.
Si bos angkat tangan kepada si pemandu dan si penumpang, tanda tindakan mereka
dilarang untuk masuk campur bila Saiful menerpa laju.
Saiful menghadiahkan penumbuk
sulungnya. Namun, dengan mudah si bos mengelak lalu dibalas dengan tumbukan
padu ke perut Saiful. Si jaguh menjerit kesakitan namun dia tidak mengalah
malah meneruskan langkahnya yang makin sumbang. Satu lagi penumbuk melayang ke
muka si bos tapi kali ini, si bos menangkap pergelangan tangan si jaguh lalu dikilas
kuat. Si jaguh meraung sakit. Dia jatuh melutut dan masih menahan sakit.
Kudat dan Syam yang melihat keadaan
Saiful mula menggeletar. Bila si pemandu dan si penumpang mengalihkan pandangan
ke arah mereka, terus dibuka langkah seribu meninggalkan Saiful seorang diri.
“Kalau kau dengar dulu cakap aku
kan senang. Tak perlu rasa sakit macam ni.” Si bos melepaskan cengkamannya
kasar lalu menendang dada si jaguh. Saiful jatuh terbaring di atas tanah yang
berdebu.
Suasana kembali sunyi. Yang
kedengaran hanyalah bunyi angin malam serta unggas hutan dan tidak dilupa si
jaguh yang masih mengerang kesakitan. Saiful cuba bangun tapi ditahan oleh dua
konco si bos. Badannya sekali lagi ditendang kasar menyebabkan dia kembali
terbaring di atas tanah. Kiri dan kanan pergelangan tangannya pula dipijak kuat
oleh si pemandu dan si penumpang. Saiful cuba meronta tapi kesakitan dek
pijakan di tangan mematikan niatnya.
Si bos mendekati Saiful lalu duduk
melutut di sebelah kiri Saiful. Kedengaran tawa sinis yang sama.
“Saiful... Saiful..., berani kau
gelar diri kau sebagai jaguh.” Kata si bos penuh sinis. Dua konconya juga
ketawa cuma perlahan. Saiful sudah terpaku dan bisu seketika. Wajah si bos
ditenung dengan air muka terkejut.
“Macam mana kau..”
“Tahu nama kau..?!” Si bos mencelah
pantas kemudian ketawa kecil. “Pasal tu kau tak perlu tahu. Baiklah.., biar aku
berterus terang sebabnya aku bukan jenis yang suka berlengah. Tujuan aku ke
mari cuma satu iaitu untuk... bunuh kau.”
Mata Saiful hampir-hampir tersembul
keluar selepas mendengar kata-kata si bos. Liur yang cuba ditelan masih
tersangkut. Malah, seperti tersekat dan membuat dia berasa sesak nafas. Peluh
dingin mula terbit di dahinya.
Tiba-tiba saja, Saiful ketawa
besar. Entah dari mana muncul kekuatan untuk berbuat begitu. Si bos pula
merenung pelik. Ancamannya tadi dianggap satu gurauan.
“Kau fikir aku main-main.” Si bos
geram. Lantas, dia mengeluarkan sesuatu yang tersembunyi di kaki kanannya.
Pergerakan si bos nampak pantas dan kemas hinggakan ekor mata Saiful tidak
mampu mengejar. Tiba-tiba, si bos menikam sesuatu di atas tanah, sebelah
telinga kiri Saiful. Sekali lagi, si jaguh menelan liur yang masih tersangkut.
Darahnya sudah berderau tidak menentu. Mukanya pula pucat seperti mayat hidup.
Sebilah pisau yang berkilat
tercacak megah di tepi pelipis Saiful. Pisau itu memang nampak mahal kalau
diikutkan dari rupa dan bentuknya. Dia dapat melihat biasan anak matanya yang
jelas sudah ketakutan. Rasa ingin terkucil segera ditahan. Si bos yang dari
tadi memerhati gelagat Saiful mula ketawa.
“Kau masih fikir aku bergurau..?!”
Si bos bersuara tegas. Saiful mengumpul sepenuh kekuatan untuk membalas
renungan si bos.
“Siapa yang hantar kau..?! Kenapa
pulak kau nak bunuh aku..?!”
“Kau tak perlu tahu semua tu. Cuma
satu saja aku nak tanya..., kau nak aku bunuh kau dengan cara yang mudah atau
susah...?” Si bos tersenyum sinis hingga menampakkan gigi putih yang tersusun
kemas.
“Cara mudah.., aku cuma perlu kelar
leher kau.” Pisau diambil dan dilurut pada leher Saiful. “Dan... cara susah
pula..., aku akan tusuk dada kiri kau perlahan-lahan hinggalah mengenai jantung
kau. Dalam saat tu, kau nak mengucap pun tak mampu. Itu pun kalau kau tahu
mengucap.” Kata si bos lagi dengan pisau yang tercacak lembut di dada kiri
Saiful. Dua konconya sudah ketawa penuh sinis.
Saiful menggeletar tahap menggila
hingga tidak sedar seluarnya sudah basah. Mata makin terbeliak manakala mukanya
basah seperti dicurah sebaldi air.
“Bang.., tolong jangan bang..! Saya
rayu dengan abang.., tolong jangan bunuh saya. Saya ada anak bini kat rumah..!”
Saiful mula merayu dan menangis semahu-mahunya. Si bos sekadar merenung pelik.
“Alah..! Aku rasa... anak bini kau
tak kisah sangat kalau kau mati. Mungkin diorang akan rasa lebih bersyukur.”
Jawab si bos tanpa belas kasihan.
“Tolong bang..., saya merayu. Saya
masih ada mak dan ayah. Sapa nak jaga diorang kalau saya mati..?” Saiful
menangis tak berhenti. Dua konco tadi hanya melihat sambil menggeleng. Bibir
mereka masih terukir senyuman sinis.
“Kau fikir aku kisah..!!!” Tengking
si bos lantang. Terpinga-pinga Saiful dipukul suara bengis si bos. “Disebabkan
kau merayu macam ni.., aku akan guna cara mudah. Kau boleh mula mengucap
sekarang.” Dalam masa yang sama, si bos menekan mata pisau pada leher Saiful.
Apa lagi, mengelupur sakanlah si jaguh seperti ayam yang dilepas selepas
disembelih.
“Bang..!! Tolong jangan, bang..!”
Saiful menjerit. “Saya merayu... saya sanggup buat apa saja untuk abang... cuma
tolong jangan bunuh saya.., bang...!!”
“Hish.., susah betullah budak ni!”
Si bos sudah berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Pisau tadi masih di
tangannya. Leher Saiful pula sudah terluka ketika dia mengelupur tadi. Si bos
diam seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Baiklah. Oleh kerana mood aku baik
hari ni..., aku akan lepaskan kau... tapi dengan syarat.” Saiful sudah
tersenyum lega. Dia mengucap terima kasih berulang kali. Hentakan kaki oleh si
bos di dada si jaguh menyebabkan ucapannya terhenti. Dia terbatuk sambil
menahan sakit.
Si bos tersenyum senget. Dia
membongkokkan badannya supaya rapat dengan Saiful. Sikunya disangkut pada
lututnya. Kakinya pula masih di dada Saiful.
“Jangan sesekali tunjukkan muka kau
depan Cik Fazira lagi. Ini amaran pertama dan terakhir.” Di saat itu, Saiful
terkedu tak terkata.
“Sekarang kau tahu siapa yang
hantar aku, kan? Tuan aku... adalah bakal suami Cik Nurliana Fazira. Dia tahu
kau bekas tunang Cik Fazira dan dia juga tahu kau penyebab bakal isterinya
lumpuh suatu masa dulu. Dia lepaskan kau kali ni pun sebab kau dah berkeluarga.
Kau memang bertuahkerana... kau mangsa pertama yang Tuan aku lepas
hidup-hidup.” Si bos kembali menegak. Saiful pula masih terkebil-kebil.
“Jangan kau berani tunjuk muka kau
dengan dia lagi. Faham...?!!” Saiful terus mengangguk pantas mengalahkan burung
belatuk. Dalam beberapa minit, si bos dan dua konconya hilang dari pandangan
Saiful. Yang menemaninya ketika itu, hanyalah bunyian unggas dan tawanya
kadang-kala diselangi bunyi tangisan.
No comments:
Post a Comment