Tuesday, 6 May 2014

Rafflesia - Bab 3 ~ Bab 4

------------BAB 3------------
Sembilan tahun kemudian...
Suasana tempat letak kereta sunyi sepi. Saerah mengerling jam di tangan. Masih awal. Dia melangkah memasuki lif. Pintu lif terbuka apabila tiba di tingkat tiga. Saerah berjalan santai sambil mata melilau memerhati sekeliling. Kedai-kedai di tingkat itu masih belum dibuka. Ruang legar juga sedikit malap kerana masih banyak lampu yang tidak terpasang. Dia memperlahankan langkahnya apabila mendekati sebuah kedai pakaian.
Saerah tersengih apabila terpandang kelibat Adilla sedang sibuk memakaikan pakaian pada sebuah patung wanita. Dia menjengket perlahan lalu menyergah teman baiknya itu. Adilla yang cukup khusyuk dengan kerjanya melatah panjang. Siap terpeluk patung tadi lagi. Saerah ketawa bagai tidak ingat dunia.
“Nak mampus betul makcik sekor nih..!!” Adilla menjerit geram. Tangan patung tadi dijulang tinggi. Geram betul apabila disergah begitu. Saerah berlari anak masuk ke dalam tanpa mempedulikan leteran mak nenek temannya.
“Kau nih, kang mati terkujat anak dara Sufian tu, siapa nak jawab..?” tegur Hanis yang turut sama merasa tahap kejutan dek pekikan dan latahan Adilla.
“Alah.., sekali-sekala mengusik! Bukan selalu pun.” Saerah masih tersengih suka. Hanis hanya mampu menggeleng mengenangkan perangai makcik yang seorang ini. “Aik.., dia tak sampai lagi ke?” Saerah memandang sekeliling mencari seseorang.
Mendengar pertanyaan itu, Hanis mengerling jam tangannya. Dia sendiri berasa pelik. “Tersangkut dalam trafik kot.” Hanis membuat telahan sendiri.
“Hish..! Merepeklah kalau tersangkut. Lainlah kalau dia drive macam kita. Dia tu naik skuter. Sepatutnya dia sampai awal dari kita.” Saerah membebel risau. Tidak pernah temannya yang seorang itu lewat begini.
“Dia ada hal sikit. Pagi tadi dia call. Dia kena hantar sepupu dia ke kolej sebelum datang sini.” Suara Adilla muncul di belakang Saerah membuatkan gadis itu berpusing sambil tersenyum comel. Wajah cemberut Adilla memang comel! Tidak semena-mena, penyangkut pakaian di tangan Adilla hinggap di lengannya. Menyeringai sakit dia dibuatnya.
“Alah bucuk cayang intan payung..! Janganlah marah, anje gurau aje.” Usik Saerah suka sambil mencuit dagu berisi Adilla. Makin seronok melihat mimik muka ala-ala asam kecut Adilla. Hanis ketawa halus melihat dua temannya itu. Tidak ubah seperti Fizi dan Ehsan dalam cerita animasi Upin & Ipin.
“Safe!!!” Jeritan halus di muka pintu membuatkan tiga dara pingitan tadi menoleh laju. Mereka tersenyum panjang. Hati masing-masing mengucap rasa syukur apabila melihat wajah ceria yang menjadi bualan mereka sebentar tadi telah tiba dengan selamat. Cukup lega!
“Banyaklah kau punya safe! Dah pukul berapa sekarang..?” Saerah bersuara tegas sambil mencekak pinggang. Wajahnya sengaja dibuat garang. Gadis tadi melangkah masuk sambil tersengih-sengih. Nafasnya sedikit turun naik akibat larian maratonnya sebentar tadi.
“Tepat pukul sembilan. Tak lambat tak cepat. Thank you very much!” Ceria sahaja gadis itu bersuara sambil tersenyum-senyum. Saerah tarik muka manakala Adilla dan Hanis tersenyum lucu. “Dah breakfast? Aku ada beli roti canai. Untuk Dilla macam biasa. Anis pun sama.”
“Untuk aku..?!” Tanya Saerah laju sambil membelek bungkusan plastik yang dibawa gadis manis itu.
“Lah.., kau tak makan lagi ke? Aku ingat kau dah makan kat rumah tadi.”
“Assyifa..!!!” Saerah menjerit geram. Marah. Makin geram apabila gadis itu ketawa suka. Hanis dan Adilla juga begitu. Seronok mengetawakannya.
“Alah bucuk cayang intan payung..!” Intro Saerah diguna pakai tanda menyakat. Bahu temannya dipeluk mesra. “Tak payah buat muka cemberut asam kecut tu. Takkanlah aku lupakan kau wahai si mulut kecoh, kaki mengusik lagi apa eh..?”
“Perut tong drum, mulut longkang.” Sampuk Adilla geram.
“Kurang lemak punya mulut. Meh sini kau, aku nak sira dengan kuah roti canai nih!” Saerah mengejar Adilla yang sudah membuka langkah ke pantri bersama bungkusan makanan tadi. Tergelak Hanis dan Assyifa melihat gelagat mereka.
“Jomlah kita makan dulu. Hari ni buka lambat sikit. Syifa nak check stok yang baru sampai semalam lepas makan nanti.” Assyifa bergerak ke pejabatnya. Hanis tersenyum seraya mengangguk tanda faham dengan arahan bosnya.

Hampir jam sebelas pagi, Ody Style mula dikunjungi pelanggan. Ody Style ataupun nama panjangnya, Out-Do-Yourself adalah hasil inspirasi dari Assyifa sendiri. Kedai pakaian yang dibuka bersama tiga teman baiknya mula beroperasi sejak tiga tahun yang lalu. Ody Style bukan sahaja menyediakan pakaian yang bermutu tinggi malah turut menawarkan khidmat perunding imej dan juga mekap. Ody Style amat mengutamakan gaya pemakaiannya pada pemakainya. Menutup aurat dan sopan tetapi berketrampilan moden serta berstail. Cukup kena dengan cita rasa remaja zaman sekarang yang inginkan gaya urban. Pelanggan tetap Ody Style terdiri daripada remaja yang masih tercari-cari penampilan yang bersesuaian terutama sekali bagi gadis yang bertudung.
“Akak rasa dress kembang ni sesuai dengan adik yang bertubuh kurus. Adik rasa macam mana..?” Tanya Assyifa mesra pada seorang pelanggannya. Gadis itu mengia setuju. Nampak terpegun dengan dress kapas paras bawah pinggul itu. “Adik boleh pakai dengan seluar jeans, slack ataupun slack-jean. Ikut keselesaan adik. Pakai skrit labuh pun okey.”
“Kalau pakai inner putih.., akak rasa okey tak..?” Tanya gadis itu sambil membelek blaus rona merah ala jaket yang tersarung di tubuhnya.
“Pakai inner memang tak salah tapi pakaian tu selalunya ketat dan mengikut badan. Tak manislah pulak. Dress tanpa lengan ni memang elok ditutup dengan blaus ni. Ataupun adik ada pilihan lain. Gantikan inner tadi dengan plain t-shirt lembut dan longgar lepas tu tutup dengan tudung atau selendang labuh.” Serentak, Assyifa mengambil pakaian yang disebutnya sebentar tadi lalu diacukan kepada gadis itu. Gadis itu masuk kembali ke bilik persalinan.
“Hem.., okey jugak macam tu!” Gadis itu berpusing di hadapan cermin selepas Assyifa menolongnya mengenakan sehelai selendang dengan gaya ringkas. Seronok Assyifa melihat seorang lagi pelanggannya yang nampak teruja dengan gaya terbarunya. “Tapi akak.., rasanya dah terlebih budgetlah. Saya datang cuma nak cari baju saja.”
Assyifa tersenyum senang. Itulah rungutan yang selalu keluar dari mulutnya dahulu. “Berapa budget adik?” Assyifa tersenyum manis.
“Em, dalam RM150 saja sebab terfikir nak ambil dua tiga helai baju macam nih.”
“Itu dah lebih dari cukup, dik. Selendang, dress dan seluar yang adik pakai tu tak sampai seratus pun. Oleh sebab adik pelanggan pertama akak pagi ni.., akak hadiahkan sehelai lagi dress. Adik pilih saja yang mana adik suka.”
Gadis itu nampak tersentak dan teruja. “Biar betul kak..?!”
“Betullah. Tapi, kalau adik tambah lagi tiga puluh ringgit, akak boleh padankan dengan kasut dan aksesori yang bersesuaian.”
“Rasanya ni pun dah terlebih cukup. Kalau boros sangat nanti tak ada tambang nak balik pulak.” Gadis itu tersengih malu. Assyifa turut sama ketawa. “Kalau macam tu, saya terus pakailah. Malas nak salin lain.”
“Set! Adik tunggu kat kerusi depan cermin tu. Kami sediakan solekan percuma untuk pelanggan yang first time datang ke sini.”
“Wow! Bestlah kedai akak nih. Esok-esok, saya nak ajak kawan-kawan saya datang pulak.” Gadis itu membelek dress yang dia berkenan. Jumpa yang sesuai terus diambil lalu diserahkan kepada Assyifa. “Tapi.., akak tak rugi ke buat sale macam ni. Siap mekap serba-serbi lagi.”
Assyifa tersenyum lagi. Itulah yang soalan yang selalu dilontarkan kepadanya. “Kalau nak buat benda baik ni dik, memang tak menguntungkan. Tapi yang paling penting niat akak sampai pada semua gadis macam adik kat luar sana.”
“Niat..? Maksud akak..?”
“Akak teringin nak tengok gadis-gadis suci macam adik pelihara aurat mereka. Adik sendiri boleh tengok kan macam mana pemakaian gadis remaja zaman sekarang. Yang bertudung macam tak bertudung. Yang tak bertudung pulak.., lagilah. Remaja Islam sekarang makin terpesong. Bertudung tetapi mendedahkan aurat. Tudung cantik tetapi pendek dan singkat hingga menampakkan bahagian dada. Dah cantik bertudung tapi pakai pulak baby shirt dengan skinny jean. Tak pelik ke macam tu..?” Panjang hujah Assyifa. Gadis itu pula terangguk-angguk setuju dengan kata-kata Assyifa.
“Adik tengok akak ni dah macam pendakwah pulak. Tapi versi moden dan urban. Nak kata macam ustazah memang tak ada ciri langsung sebab adik tengok pakaian akak memang bergaya dan ranggi habis.” Jujur gadis itu berkata. Assyifa ketawa sendiri. Memang benar kata gadis itu, dia memang tak ada langsung ciri-ciri seorang ustazah. Hari ini, dia mengenakan selendang labuh yang dililit hingga ke paras pinggang, bersingsing di bahu dan dipadankan dengan dress paras paha bersama jeans straight cut.
“Ini dah macam pakaian rasmi akak. Takkanlah akak nak berjubah dengan jilbab tapi jual pakaian macam ni.”
“Betul jugak kan..?” Gadis itu tersengih. Dia duduk di kerusi berhadapan cermin solek.
“Adik duduk ya, akak panggilkan kawan akak untuk mekapkan adik sementara akak siapkan resit. Dilla.., make-up please!” Assyifa melaung lembut sambil bergerak ke kaunter pembayaran. Adilla datang untuk melaksanakan tugasnya.

------------BAB 4------------
Medan selera tingkat bawah mula dikerumuni pengunjung dan pelancong asing. Selain pemilik kedai dan pekerja dalam Bentara Megamall, segelintirnya adalah pekerja-pekerja ofis dari bangunan berdekatan. Medan Selera Bahtera memang akan sesak setiap kali masuk waktu tengahari dan petang. Tarikan utama tentulah masakannya yang pelbagai. Cukup sedap dan berpatutan. Segala macam masakan ada tersedia selain masakan dari tiga kaum utama di Malaysia. Masakan dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia termasuklah masakan Eropah, Timur Tengah dan Asia Barat juga turut dihidang. Itulah yang menjadi tarikan utama di Medan Selera Bahtera.
Di satu sudut, kelihatan empat orang gadis sedang enak menjamu selera. Hingar-bingar di sekeliling mereka langsung tidak mengganggu acara bersembang mereka.
“Amacam dengan stok tadi?” Tanya Saerah dengan mulut separuh penuh. Adilla di sebelah menjeling jengkel. Tak senonoh betul makcik sorang nih!
“Okey-okey je. Tak ada yang kurang, tak ada yang reject. Lepas ni boleh tempah dengan supplier tu lagi.” Jawab Assyifa tersenyum. Kelakar dengan mimik muka meluat Adilla.
“Kasut-kasut yang kau minta aku pesan hari tu mereka cakap akan sampai dalam empat lima hari lagi. Kalau sampai awal, pihak mereka akan call.” Sampuk Hanis. Assyifa terangguk faham. “Kalau aku free, aku pergi ambil. Kalau tak...”
“Meh aku ambil!” Jawab Saerah bersemangat. Tangan kanannya diangkat tinggi. Temannya yang lain tergelak.
“Okeylah. Nanti kau pergi ambil. Tapi ingat, jangan kau buat aksi drift macam hari tu pulak. Bukan aku tak tahu perangai gila-gila kau tu.” Assyifa menasihat dengan suara yang lembut. Temannya yang seorang ini bukan tidak pernah kemalangan tapi sudah beberapa kali cuma tidak pernah serik.
Saerah tersengih. “Janganlah risaulah intan payung. Aku drive sehemah mungkin. Okey?”
“Okey!” Ceria Assyifa menjawab.
Selesai makan, mereka ke surau di tingkat dua manakala Assyifa kembali ke kedainya yang dijaga seorang pembantu Filipina sementara mereka keluar makan. Ketika hampir memasuki kedainya, Assyifa perasan sesuatu. Premis niaga bertentangan dengan kedainya nampaknya telah disewa. Beberapa pekerja pengangkut barang sedang menyorong kotak-kotak besar masuk ke dalam premis tersebut. Malas membuang masa, Assyifa meneruskan langkah masuk ke dalam kedainya.

“Syifa..!” Suara Saerah bergema nyaring. Dari tadi mulutnya gatal ingin menberitahu Assyifa mengenai pendatang baru di seberang sana. Disebabkan ramai pelanggan yang berkunjung, terpaksalah dia menahan dahulu. Kakinya bergerak laju melangkah ke kaunter bayaran.
“Ada apa..?” Tanya Assyifa tanpa memandang. Tangannya lincah menulis sesuatu di atas kertas. Saerah yang bertenggek di hadapannya, tersengih sendiri.
“Kau tahu tak...”
“Tak tahu..!” Pantas Assyifa menjawab. Tergelak melihat muka kelat temannya.
“Hish minah ni! Aku cium kang. Aku nak beritahu berita sensasi ni. Kau tahu tak..?! Kedai depan kita seberang sana nuh.., dah bukak. Kejap tadi aku pergi merisik khabar. Dengar cerita penyewa tu nak buka butik baju. Habislah kita, Syifa!” Lagak Saerah menyampaikan berita hampir seiras dengan lagak seorang mami jarum.
Assyifa memandang pelik. Dia bangun dan bergerak ke susunan seluar berlipat di atas rak. “Kenapa pulak nak habis? Biarlah mereka nak bukak gedung baju sekali pun. Itu hak mereka.”
“Ish..! Bendul betullah kawan aku nih!” Saerah merungut sambil menggaru laju kepala yang dilitupi tudung. Assyifa menjeling geram. “Kau sedar tak kita dah ada pesaing.”
“Okeylah tu. Sekurang-kurangnya taklah kita sunyi kat sini. Ada pesaing macam tu boleh tingkatkan semangat kita untuk terus berusaha dan bekerja keras. Makin kita berusaha, makin banyaklah untung yang kita dapat.”
“Ke situ pulak! Kau tak takut ke pelanggan kita lari ke sana? Tak pasal-pasal sale kita merudum jatuh. Ngeri pulak bila ingat masa kita mula-mula buka kedai ni dulu.” Saerah termangu penuh perasaan apabila mengingati kembali zaman awal penubuhan kedai mereka.
“Macam yang aku cakap tadi, jangan takut. Persaingan antara kita adalah persaingan sihat. Kalau dia untung, tu rezeki dia. Kita untung, rezeki kita. Lagipun, kita belum tahu butik tu jual pakaian yang macam mana. Tauke pun kita belum tahu. Entahkan cina, entahkan melayu. Janganlah risau sangat. Tu ha.., customer dah masuk. Pergi layan cepat.” Assyifa memberi arah ringkas dengan senyuman manis. Tidak mahu temannya terasa hati.
Saerah berlalu pergi dengan cebikan. Geram dengan ketenangan Assyifa. Memang susah nak lihat gadis itu gelabah. Tetapi dalam hati dia tahu, Assyifa pasti tidak tenteram walaupun luarannya nampak tenang.

Assyifa menongkat skuter Icon birunya sebaik saja memasuki ruang laman rumah teres tiga tingkat milik Hanafi. Mujur dia sempat sampai awal sebelum hujan turun. Salam dilaung apabila pintu pagar dibuka. Salamnya dijawab seorang wanita berbaju kelawar.
“Sampai pun Syifa! Mak chu risau sangat bila dengar bunyi guruh tadi. Kat sana dah hujan ke?” Kalut Linda bertanya. Nadanya seperti biasa. Kalut dan risau.
“Belum, mak chu. Syifa kena paksa balik awal kalau tak, mereka tiga orang tu nak kurung Syifa dalam kedai. Tak bagi balik.” Assyifa ketawa sendiri sambil duduk di sofa melepaskan lelah. Linda menghilang ke dapur dan kembali dengan segelas jus oren.
“Kalau mak chu jadi mereka pun mak chu akan buat benda yang sama. Bahaya menunggang dalam hujan. Malam pulak tu. Senang-senang kamu naik keretalah.”
Hampir tersedak Assyifa dibuatnya. Gelas kosong diletak di atas meja kopi sambil tangan mengurut dada. Linda duduk di sebelah anak saudaranya sambil menolong menggosok belakang. Tahu benar gadis itu masih trauma.
“Bukan Syifa tak nak memandu mak chu tapi mak chu sendiri faham kan?” Assyifa tertunduk sayu.
“Maaflah. Bukan mak chu marah tapi mak chu risau sangat. Syifa tu anak dara. Keluar pagi balik malam. Tak elok!” nasihat Linda lagi. Assyifa hanya membisu.
“Ayah chu mana mak chu?” Assyifa segera menukar topik. Melihat jelingan tajam dan dengusan geram Linda, dia tersengih.
“Ada kat atas. Tengah solat Isyak. Syifa dah makan?”
“Dah mak chu. Syifa naik atas dulu. Melekit betul badan ni.” Assyifa meminta diri dan berlalu ke tingkat atas. Linda memerhati dengan pandangan yang sayu. Dia bersyukur kecelakaan masa lalu tidak mengubah personaliti Assyifa walaupun parut kesan lecuran kekal terukir di wajah ayu itu.
Assyifa selesai mengambil wuduk. Anak rambut yang basah ditolak ke belakang lalu dipakaikan cekak. Dia bergerak ke arah cermin. Lama dia berdiri di situ. Mata tunak memandang imbasan wajahnya pada permukaan cermin. Tangan kanan mula bergerak lalu dilekapkan pada cermin. Kemudian, dia tergelak sendiri. Lucu dengan kebodohan akalnya.
“Apalah yang kau buat ni, Syifa? Macamlah parut tu boleh hilang kalau kau tutup macam tu.” Assyifa mengeluh sendiri. Beberapa ketika kemudian, matanya merah. Tubir matanya mulai panas dan memberat. Entah kenapa setiap kali melihat wajah sendiri, hatiya tersayat sayu. Dia simpati dengan diriya sendiri. Parut di sebelah kanan wajah membuatkan jiwanya rawan. Pedih!.
Memori silam yang mengerikan sentiasa terbias di ruang minda dan matanya. Paksalah sehebat mana pun, kotak ingatannya tidak mungkin dapat melupakan kecelakaan yang berlaku pada dirinya hampir sembilan tahun yang lalu. Tidak mungkin! Dia cuba berjasa kepada seseorang tetapi padah yang dia terima. Parut kekar di wajah mulusnya adalah buktinya. Kesan lecur itu tidak pernah hilang walaupun sudah sembilan tahun peristiwa itu berlaku. Pelbagai produk yang disapu tetapi langsung tidak menunjukkan kesan. Mungkin tidak mendapat keizinan dari-Nya. Air mata Assyifa mengalir jua.
Wajahnya hodoh. Cacat! Kesan dari air panas yang disimbah ke wajahnya dahulu telah membuatkan kulit di wajahnya melecur. Kelopak mata dan juga anak matanya turut terjejas. Mata kanannya kabur. Tetapi dia tetap bersyukur. Selepas dua kali pembedahan, dia mampu melihat walaupun terpaksa mengenakan kanta lekap. Dia juga bersyukur hanya air panas menyentuh kulit wajahnya. Keadaannya mungkin lebih parah jika asid yang diguna mak nyah itu.
Mengingatkan perkataan mak nyah, dia jadi benci dan menyampah. Dalam masa yang sama juga, dia rasa takut dan fobia. Laju otak Assyifa mengingati lelaki berpakaian wanita yang pernah diselamatkannya dahulu. Selepas dia sembuh sepenuhnya, pak chu banyak kali bertanya punca sebenar wajahnya melecur teruk namun dia tidak pernah bersuara. Dan sehingga ke hari ini Assyifa setia mendiamkan diri. Ketika itu, dia terlalu takut dan di dalam trauma. Dan perasaan itu masih setia merantai benaknya hingga ke saat ini. Kesan sakit akibat lecuran dan kemalangan berjaya melumpuhkan semangatnya untuk bersuara.
Bukan sahaja semangatnya tetapi juga masa depannya. Assyifa koma selama enam bulan akibat hentakan di kepala dalam kemalangan tersebut. Dia gagal hadir untuk menduduki peperiksaan SPMnya malah dia juga dilanda kemurungan selama tiga tahun sebelum semangatnya kembali pulih. Cukup hebat rentetan peristiwa hidupnya.
Assyifa mengesat air matanya. Dia melangkah keluar lalu bergerak ke permaidani yang menempatkan sejadah. Selepas rasa pedih dan sedihnya hilang dan jiwanya kembali tenang, dia segera menunaikan solat Isyak dengan penuh khusyuk. Akhir solat, doanya sentiasa sama. Semoga semangatnya terus hidup demi masa depannya.

5 comments:

  1. kak mus~~ update next chpter asap ok~ hahaha daebak.. mastira excited nk thu ap jdi lpas ni!

    ReplyDelete
  2. Well done cik adik oiiiii, cerita baru!!! never ever expected case mak nyah pulak, kira2 the main charater ini bi-sex?

    ReplyDelete
  3. menarik...... apa akan jadi seterusnya...

    ReplyDelete
  4. kenapa tak sambung cerita ni... nampaknya ade potensi kerana pemilihan watak yg agak menarik... belum lagi saya baca sejauh ini. Harap teruskan usaha ni. Btw, saya amat suka dengan "Bersatu Selamanya" - very honest dan romantis sekali.
    Semoga terus berusaha and maju jaya

    ReplyDelete
  5. tak da sambungan best seperti sebelum ni juga.... boleh sambung lagi?

    ReplyDelete