Monday, 6 August 2012

Isteriku Bunian- Prolog - Bab 8


PROLOG
Awan berarak perlahan seperti mengusung berjuta-juta gelen air yang menunggu masa untuk jatuh ke muka bumi. Angin bertiup tenang, tidak segila warna awan yang semakin bertukar kelabu kehitaman. Gelap. Sepasang mata yang bulat dan agak bundar memerhati pergerakkan awan yang lambat bergerak mengalahkan kura-kura. Anak mata perang keemasannya melilau melihat kepulan-kepulan awan. Tangan milik mata tadi diangkat kemudian jari telunjuk runcingnya bergerak seolah-olah menghasilkan garisan halimunan di ruang angkasa. Lantas dalam beberapa saat, muncul segaris halilitar yang putih dan hilang dalam sekelip mata. Dua saat kemudian, guruh ikut berirama.
Setiap telinga yang mendengar pasti menekup. Takut dengan detuman bunyi guruh yang mampu menggegarkan seluruh makhluk dan benda yang menghuni kawasan itu, inikan pula gegendang manusia. Pemilik mata tadi tersenyum sinis. Tidak disangka, air mata mengalir turun dari takungan matanya. Serentak dengan itu, air hujan juga turut tumpang sekaki, turun menghempas ke tanah gersang di bumi yang kering kontang. Kali ini, pemilik mata perang keemasan tadi ketawa kecil.
“Kenapa...? Kenapa kau selalu turun setiap kali aku menangis..? Takkanlah kau pun faham apa yang aku rasa sekarang..? Kau juga faham kesengsaraan yang aku alami setiap kali aku bernafas, setiap kali aku...”
Pemilik mata perang keemasan tadi menekup matanya dengan tangan kanan yang cerah gebu. Kepalanya sudah terlentok ke belakang. Senyumannya makin melebar. Masih jelas ketawa seakan jahat bercampur kesal.

Lain pula di sebuah bilik yang luas dan dingin. Bilik itu lengkap dengan perabot yang biasa ada dalam sebuah pejabat. Mewah dan berkelas tinggi. Pemiliknya sememangnya seorang yang kaya raya. Seorang pemuda sedang berdiri di hadapan jendela sambil melemparkan pandangan yang kosong ke arah awan yang merembeskan cecairnya jatuh ke muka bumi. Beberapa kali pancaran kilat menjalar di langit, langsung tidak mengejutkannya. Lamunan pemuda itu sudah jauh, jauh dari planet Bumi. Mungkin sudah sampai ke planet Pluto.
“Adakah kau benar-benar wujud? Atau kau sekadar mainan tidur? Kalau kau benar-benar wujud di dunia nyata, apa yang perlu aku buat?”
Pemuda itu memejam mata rapat. Dalam kegelapan, muncul satu kelibat. Seperti seorang gadis yang berbaju kurung, bertudung litup dan berselendang labuh serba putih. Wajahnya tidak kelihatan kerana dia tidak memalingkan sepenuh pandangan ke arahnya. Mata tadi dibuka perlahan dan bayangan gadis itu hilang. Pemuda itu mengeluh berat seraya meraup wajah kuning langsatnya. Kedua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Pandangannya nampak sayu dan tidak bermaya.

------------BAB 1------------
Seseorang berpakaian serba putih melangkah perlahan menyusuri air cetek separas buku lali. Kanan dan kirinya dihalang seperti benteng berhutan. Walaupun laluannya berair namun kakinya tidak basah malah tidak tenggelam ke dalam air. Kakinya seakan terapung di atas air. Selepas lama berjalan, dia mula menghampiri sebuah air terjun yang tinggi, setinggi bangunan enam tingkat. Di sebalik air yang begitu rakus menghempas kelihatan cahaya putih yang agak samar. Tidak lama kemudian, keluar dua ekor harimau putih dengan mata putih keemasan berjalan mendekatinya.
Dia ingin bergerak namun kakinya terlalu berat untuk melangkah. Kedua harimau tadi makin menghampirinya. Dia panik. Disebabkan terlalu takut, dia menjerit sekuat hatinya.
“AARRGHH...!!!” Syah terjaga dari tidurnya. Dia duduk dengan nafas yang termegah-megah. Peluh dingin sudah melata di seluruh wajahnya. Rambut hitam dan panjang menutup sebahagian wajahnya. Muka diraup lama. Bibirnya bergetar membaca doa penenang. Matanya beralih ke arah tingkap yang sedikit terbuka. Bulan sedang mengambang penuh. Syah mengeluh. Setiap kali bulan penuh, mimpi yang sama akan datang mengganggu tidurnya. Tidak pasti sama ada satu petunjuk atau sekadar permainan syaitan.

Suasana di angkasa luas masih gelap. Mana tidaknya, waktu masih subuh. Motosikal berwarna putih biru meluncur laju sehinggalah si penunggang berhenti di hadapan sebuah Restoran Mahligai Kayangan. Si penunggang berjalan melalui pintu belakang yang menghubung terus ke bahagian dapur.
“Assalamualaikum?” sapa si penunggang. Suaranya lembut dan halus. Helmet dengan visor full face ditolak naik. Wajah seorang gadis muda terpampang jelas. Matanya bulat dengan iris yang menawan, kulitnya cerah gebu tanpa sebarang cela. Hidungnya, jangan cakap... mancung macam minah Arab. Matanya pula perang persis hazel. Bibirnya pula agak tebal dan merah bak delima. Si gadis berjalan mendekati seorang wanita separuh abad sedang sibuk membersih sayur-sayuran. Salamnya sudah dijawab ditambah pula dengan senyuman yang manis.
“Awal Syah ari ni.” tambah wanita itu.
“Awal apanya. Syah memang datang macam biasa.” Syah menanggalkan helmetnya. Beg sandangnya juga sudah diletakkan di atas meja. “Mana yang lain?” tanya si gadis sambil meliar melihat sekeliling.
“Macamlah Syah tak tahu. Diorang kan memang suka datang lambat. Kan semalam hari Ahad.” Terang Hafisah atau lebih suka dipanggil Mak teh. Syah mengangguk faham. Dia pun keluar jugak semalam, tapi boleh pulak datang awal.
“Mak teh nak masak berapa jenis lauk hari ni?” tanya Syah sambil melipat lengan bajunya. Dia sudah berdiri di sebelah wanita tadi.
“Sebab hari ni hari Isnin, Mak teh rasa nak masak lebih sikit. Dalam... sebelas jenis.”
“Mak ai..! Banyak tu..kalau tak luak macam mana?”
“Apa susah... kalau tak habis, Syah kan ada. Mak teh gerenti Syah boleh habiskan semua lauk dalam satu hari.” Hafisah sudah mengekek ketawa. Syah sekadar menjeling dengan kening terangkat sebelah. Dia mendengus marah. Wanita tua itu memang kenal sangat dengan Syah yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Syah memang kuat makan. Bagilah seperiuk nasi, mesti habis kalau dihidangkan dengan lauk kegemarannya, masak lemak ikan patin tambah dengan air asam. Peh..!! Sedap hingga menjilat ibu kaki. Harapkan badan saja kurus macam lidi tapi makan mengalahkan orang yang berbadan dua. Dia ketawa lagi melihat jelingan Syah yang ala-ala Ziana Zian gitu. Pinggang rampingnya sudah dicekak tanda marah.

------------BAB 2------------
Restoran Mahligai Kayangan dibuka dari pukul lapan pagi hingga lapan malam. Dua belas jam tuh..! Restoran yang boleh dikatakan agak mewah seperti restoran di hotel tiga bintang kerana semua pekerjanya memakai seragam, dari tukang masak hinggalah ke pelayan. Wajib. Siap ada name tag lagi. Kebersihan sememangnya nombor satu. Yang membuatkan Restoran Mahligai Kayangan mendapat sambutan kerana kebanyakkan pelayannya terdiri daripada anak-anak gadis yang comel-comel belaka. Tapi, Syah tidak bekerja di bahagian depan. Tempatnya di belakang, bahagian dapur. Dia lebih suka terperuk di dapur dari menjaja muka melayan kerenah pelanggan.
Pada hari pertama dia bekerja dengan Mak teh, dia memang ditempatkan sebagai pelayan. Tapi selepas beberapa kali mendengar aduan yang si gadis sunti itu selalu diganggu, Hafisah membenarkan dia bekerja di bahagian dapur. Dia tidak menyesal memandangkan Syah memang cekap bila beraksi di dalam dapur. Malah, selepas setahun bekerja dengannya Hafisah sudah memberi sepenuh kepercayaan kepada si gadis untuk memasak semua hidangan di restorannya. Mana tidaknya, ramai pelanggannya yang memuji masakan yang dimasak sedap-sedap belaka.
Bila ditanya resepi rahsia, Syah hanya cakap dia pakai bulat-bulat resepi yang diberi Hapisah. Tok aji...? Setahunya, dia jarang gunakan penambah perasa kerana dia ada perasa rahsia yang diperturun dari neneknya. Dia juga hairan dan waktu dia mengintai Syah memasak, tidak pula dia nampak gadis itu masukkan benda yang pelik. Cuma satu pantang yang Syah kenakan ketika dia memasak, jangan sesekali membuka penutup periuk sehinggalah gulai itu masak. Kalau tidak, rasa aslinya akan hilang. Hapisah ketawa setiap kali teringatkan pantang yang telah diperketatkan oleh Syah hingga ke hari ini.
Sebenarnya dia kagum dengan gadis itu. Dia mengambil gadis itu bekerja ketika umurnya 17 tahun. Baru lepas SPM. Keputusannya cemerlang, straight A’s. Tapi tidak pula dia dengar gadis itu memasang tekad untuk sambung pengajian. Pendek kata, Syah masih seorang yang misteri walaupun gadis itu sudah lima tahun bekerja dengannya. Syah pun jarang bercakap pasal latar belakangnya. Bila ditanya, dia hanya jawab yang dia datang dari keluarga yang miskin dan perlu bekerja keras untuk teruskan hidup.
Tiba waktu tenghari, Restoran Mahligai Kayangan akan sesak dengan pelanggan yang rata-ratanya staf pejabat memandangkan restoran itu sendiri berada dalam sebuah pusat bandar yang sedang pesat membangun. Memang tidak cukup tangan. Restoran yang sudah beroperasi sejak sepuluh tahun yang lalu kini mempunyai tingkat atas atau tingkat kedua. Pelanggan yang datang menjamu ada yang melayan diri dan ada yang mahu dilayan. Pelanggan... pendek kata, customer are always right.
Dalam kesibukan mereka menjamu selera, sebuah motosikal berkuasa tinggi berhenti di hadapan restoran. Si penunggang menongkat motornya dan berjalan pantas menuju ke kaunter. Helmet ditanggalkan. Jelas kelihatan wajah seorang pemuda yang berkulit sawo matang dengan rambut tercacak. Kemas dan bergaya. Kelibatnya sudah mendapat perhatian dari mata-mata gadis yang sibuk melayan pelanggan.
“Syah ada?” tanya pemuda itu ringkas dengan senyuman yang boleh membuatkan mana-mana gadis cair bila melihatnya. Faizah yang sibuk menjaga kaunter sudah mencebik. Menyampah agaknya.
“Manalah aku tahu! Aku bukan mak dia. Kalau nak tahu, pergilah cari sendiri.” Balas Faizah agak meninggi.
“Mak ai..! Garang macam singa betina. Padanlah kau dapat pakwe macam si Dahlan tu. Sekor keras kepala, sekor lagi kepala batu.” Balas pemuda itu seraya membuka langkah seribu. Faizah sudah maki bertanak dan menjegil hingga nak tersembul keluar biji matanya.
Di belakang restoran, terbina sebuah tempat bersantai yang berlantaikan papan. Meja dan kerusi batu juga tersedia di bawah wakaf yang dibina sendiri oleh arwah suami Hafisah. Di situ, Syah duduk sambil melayan lagu di pemain MP3nya. Kepalanya sudah terlentok ke belakang manakala kakinya di letak di atas meja dengan kerusi yang sengaja dijarakkan dari meja. Lenguh. Dari pagi hingga tengahari dia berdiri di dapur. Maklumlah, ketua tukang masak. Ingat boleh goyang kaki..? Kerja tetap berlambak walaupun ada lima pembantu warga Indonesia.
Seseorang berjalan mendekati Syah dari belakang. Langkahnya perlahan mengalahkan pencuri nak merompak. Niatnya memang jelas, nak sergah gadis yang sedang sedap berehat lepas teruk bekerja.
“Kalau kau nak sergah aku dari belakang, kirim salam sajalah. Aku takkan terkejut dengan trick lapuk kau tu.” Syah bersuara walaupun dengan mata yang tertutup rapat dan telinga yang tersumbat dengan earphone. Si pemuda mengeluh berat. Gagal lagi. Dia berjalan dekat lalu naik ke atas kerusi dan duduk di atas meja. Matanya tajam merenung wajah putih gebu dengan senyuman yang manis tetapi lebih kepada kategori menggoda. Si gadis nampak rimas lalu menurunkan kakinya.
“Kau ni mengganggulah. Aku baru nak berehat.” Syah menarik keluar earphone dari dalam tudungnya. Ya.., Syah seorang yang bertudung. Senyuman si pemuda makin melebar. Syah naik pelik melihat kelebaran senyuman pemuda itu.
Untuk pengetahuan semua, pemuda itu namanya Danny, Daniel Danish. Anak orang kaya. Ulang perkataan, anak kepada ORANG KAYA. Bermakna..., mak bapak dia yang kaya bukannya dia. Entah apa yang ada pada dia, Syah sendiri tidak tahu. Kalau nak bermodalkan rupa paras dia memang laku, tapi semua tu tidak pernah berjaya menarik perhatian Syah. Ramai gadis sepertinya selalu memuja ketampanan dan kekacakkan Danny tapi di mata Syah, Danny hanyalah budak hingusan yang baru sudah berkhatan.
“Kau habis kerja pukul berapa?” tanya Danny dengan anak mata yang masih melekat di wajah Syah. Mendengar soalan Danny, Syah mula menggaru dagunya. Itu tanda dia sedang berfikir mancari alasan. “Jomlah... kita keluar date. Dekat mall saja, bukannya jauh pun.” Pujuk Danny dengan gaya selamba. Kedua sikunya diletakkan di atas lutut membuatkan dia membongkok dekat dengan wajah Syah.
“Aku... kena balik awal.” Syah memberi alasan yang mudah. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.
“Alah.., janganlah macam ni! Aku belanja kau. Kau cakap saja apa yang kau nak, nanti aku belikan. Please..” rintih Danny penuh manja. Rintihan Danny bukannya dapat mencairkan hati Syah tapi menambahkan lagi level meluatnya. Syah bangun dan berjalan pergi.
“Maaf, Danny. Aku tak senang malam ni.”
Danny mendengus. Ini bukan kali pertama dia mengajak Syah keluar tapi dah berjuta-juta kali, sampai dia sendiri terlupa ini masuk kali ke berapa. Dia segera mengejar langkah Syah dari belakang.
“Come on, Syah. Sekali pun jadilah. Lepas ni, aku takkan ajak kau lagi.” Danny sudah mengangkat tangan tanda sumpah. Syah berhenti berjalan, Danny turut berhenti. Syah menoleh perlahan dengan muka selambanya.
“Kalau aku setuju keluar dengan kau malam ni, kau mesti patuh pada satu syarat.” Danny sudah tersenyum lebar bila mendengar persetujuan Syah. Cuma syarat yang dikatakan tadi membuatkan hatinya sedikit lemah.
“Apa saja.” Balas Danny sudah bersedia. Syah tersenyum penuh makna.
“Syaratnya... selepas aku keluar dengan kau hari ni, kau... dilarang jumpa dengan aku selama sebulan, boleh?” kata Syah penuh suspen. Muka Danny sudah berkerut. Marah atau geram, susah nak ditafsir melainkan tuan punya badan saja yang tahu.
“Gila..!! Mana boleh macam tu.” Bentak Danny. Dia marah. Memang dia marah. Sebulan...?! Sehari tak jumpa pun dia dah mula menggila, inikan pula sebulan. Gigi diketap rapat menahan geram. Wajah cerah mulus itu ditenung lama. Makin ditenung, makin kuat pula getaran jantungnya. Cantik siot..!!
“Seminggu...?” Danny cuba memulakan upacara tawar-menawar.
“Sebulan!” Syah tetap dengan keputusannya.
“Dua minggu..?” Danny tak mahu mengalah.
“Sebulan!!”
“Tiga minggu..?” Kali ini disertakan dengan muka seposen.
“Sebulan. MUKTAMAD!!” Syah mengeraskan suaranya. Danny mendesah. Dia kalah. Dalam setiap pertengkaran, dia tidak pernah menang. Siapa yang boleh melawan gadis cantik lagi ayu seperti Syah. Tenung matanya pun boleh menghentikan degupan jantungnya, inikan pula diterajang dengan jelingan maut dari mata perang keemasan itu. Danny mengeluh berat. Dia kalah lagi. Sambil berlalu, Syah sempat tersenyum puas tanpa rasa bersalah langsung.

------------BAB 3------------
“Kau rasa... mimpi boleh jadi realiti ke?” tanya Zulhazmi bersandar di kerusi empuk di bilik mesyuarat sambil kedua tangan di belakang kepalanya. Badrul yang sibuk mengemas kertas-kertas laporan di atas meja mengerut dahi mendengar soalan temannya.
“Apa yang kau merepek ni Zul?” tanya Badrul dengan renungan pelik.
“Aku sekadar bertanya. Kau rasa kita boleh meramal masa depan melalui mimpi..?” tanya Zulhazmi lagi. Badrul diam sejenak.
“Setahu aku, mimpi tu cuma mainan tidur. Kalau pecaya mimpi boleh ramal masa depan..., itu dah kategori tahyul. Atau mungkin juga syirik. Yang kau tetiba tanya pasal mimpi ni kenapa?” Badrul mencekak pinggang sambil merenung temannya. Lama. Zulhazmi sekadar menjungkit bahu dan mengeluh lemah.
“Kau masih alami mimpi yang sama?” tanya Badrul seraya menarik kerusi lalu duduk di sebelah Zulhazmi yang masih termangu. “Dah nampak wajahnya?” Zulhazmi tidak menjawab tapi sekadar menggeleng lemah. Badrul pula mengeluh. Dia nampak penat melihat kelakuan temannya. Lebih kurang sebulan yang lalu, Zulhazmi selalu bersungut mengalami mimpi yang sama hinggakan tidur temannya tidak nyenyak seperti dahulu.
Mana tidaknya, Zulhazmi selalu terjaga tepat jam tiga pagi. Dengar cerita, makhluk jahat selalu berlegar di waktu seperti itu. Tapi itu cuma kepercayaan untuk orang yang beragama Kristian tetapi bagi temannya yang beragama Islam, dia tak pasti benda apa yang menyampuk temannya..
“Aku rasa ada baiknya kau pergi jumpa tok bomoh atau tok imam yang tinggi tenaga dalaman untuk melawan benda-benda halus ni.”
“Woi.., aku cuma bermimpilah bukannya kena rasuk atau santau!” Marah Zulhazmi agak meninggi. Tersentak Badrul dengan sergahan Zulhazmi.
“Aku cuma beri cadangan. Yang kau menyinga sangat ni kenapa?!” Badrul bersaing sengit.
“Aku cakap semua ni sebab kau satu-satunya sahabat baik yang aku ada. Siapa lagi yang aku nak kongsikan masalah yang bersarang dalam kepala ni selain kau.” Jeling Zulhazmi. Badrul tersengih dan adalah sedikit rasa terharu.
“Alah.., janganlah marah! Aku tahu yang aku ni kawan kau dunia akhirat. Dan..., sebagai kawan itulah nasihat aku paling ikhlas dan logik. Sampai bila kau nak biarkan mimpi tu mengacau tidur kau. Aku tengok mata panda kau ni pun dah macam mata pekerja lombong arang yang baru terselamat dari letupan lombong.” Pantas, Zulhazmi memegang kelopak matanya. Dia menarik muka masam.
“Mana ada.., aku dah minta adik aku letakkan bedak sikit. Dia sendiri cakap dah tak berapa jelas.”
“Kau percaya sangatlah dengan cakap adik kau tu. Aku rasa kalau dia letak gincu hitam pun kau kata merah.”
“Mulut cover sikit, bro. Yang kau kutuk tu adik aku, mata air kau jugak. Nanti silap hari bulan abang ipar hilang, si Rina terlepas.” Zulhazmi memberi amaran keras. Badrul tersengih gaya budak terencat akal.
“Dahlah. Makin banyak cakap, makin lantang pula perut aku buat konsert.” Badrul bangun menuju ke pintu tetapi Zulhazmi masih membatu di kerusinya. Masih sempat mengelamun.
“Wahai Tengku Zulhazmi Aminuddin Shah, sudah tiba masanya untuk bersantap. Kalau Tuanku masih ingin terus mengelamun di situ macam orang putus cinta, maka silakanlah. Patik yang hina nyaris mati kebulur ni dah lapar. Patik minta diri dulu.” Badrul melangkah menuju ke pintu.
“Woi.., tunggulah! Sampai hati tuan hamba yang terhina tinggalkan beta yang termulia demi perut boroimu.” Zulhazmi tak mahu mengalah diselangi dengan tawa jahat. Badrul sudah mengangkat penumbuk manjanya. Marah bila perutnya yang berpetak enam dipanggil boroi.

Selepas beberapa lama memandu, Badrul menghentikan keretanya di tempat letak kereta berhadapan dengan Restoran Mahligai Kayangan. Zulhazmi sudah tercongok-congok di hadapan dengan dahi berkerut.
“Tempat apa yang kau bawa aku ni..?”
“Tempat inilah yang dipanggil santapan di syurga.” Kata Badrul dengan kening terangkat galak. Kerutan di dahi Zulhazmi makin bertambah. “Jangan nak buat muka cemberut macam tu. Jom ikut aku.” Badrul keluar dari keretanya diikuti Zulhazmi. Mereka berjalan masuk ke pintu restoran tersebut yang sudah penuh dengan pelanggan.
“Maaf, Encik. Meja dah penuh. Em..., Encik ada buat tempahan?” Salah seorang pelayan yang menjaga kaunter hadapan menyambut mereka penuh sopan. Orangnya kecil-kecil, manis dan comel. Badrul turut tersenyum. Si gadis nampak tersipu-sipu malu melihat senyuman Badrul yang sudah sedia manis dan kacak tanpa perlu tersenyum. Mata si gadis juga sudah terpaut pada Zulhazmi yang meliar melihat sekeliling restoran tersebut. Wajah Zulhazmi dipandang lama hingga terlupa untuk mengerdip mata. Hero idaman malayalah katakan.
“Meja untuk dua orang, nombor sepuluh atas nama Badrul Hisyam.” Jelas Badrul lancar. Si gadis terjaga dari lamunannya seraya membelek beberapa helai kertas A4 di tangannya.
“Sila ikut saya.” Pinta pelayan tadi yang sememangnya murah dengan senyuman. Dia jalan menyusuri meja-meja yang penuh sudah duduki pelanggan lain yang sedang enak menjamu selera. Badrul dan Zulhazmi mengikut rapat dari belakang. Beberapa pasang mata sudah merenung setiap langkah mereka.
“Ini meja Encik. Pesanan Encik?” tanya Suraya, si pelayan comel tadi sebaik saja Badrul dan Zulhazmi menarik kerusi.
“Bagi dua set tengahari, tiga jenis gulai dan dua jenis ulam plus air asam. Air... sirap bandung. Zul..?” tanya Badrul tiba-tiba. Zulhazmi yang masih sibuk melihat sekeliling sedikit tersentak.
“Bagi... air sirap limau saja.” Jawab Zulhazmi sambil tersenyum. Suraya menulis pantas.
“Nasi tambah..?” tanya Suraya lagi.
“Mungkin tak untuk hari ni tapi nasi tu kasi extra.” jawab Badrul sambil merenung lembut wajah comel Suraya. Tersipu-sipu Suraya menahan malu. Kening Zulhazmi sudah terangkat melihat perangai ulat bulu temannya.
“Pesanan Encik akan sampai dalam masa beberapa minit.” kata Suraya kemudian menapak pantas menuju ke kaunter. Badrul ketawa kecil melihat gelagat Suraya.
“Kau ni... mengayat sikit-sikit sudah la. Aku kesian kat budak tu, merah muka dia melayan perangai ulat belucas kau tu.” Tawa Badrul makin meledak.
“So.., nampak kelainan restoran ni?” tanya Badrul tersenyum dengan siku di meja. Zulhazmi mengambil posisi yang sama. Sekali lagi, mata Zulhazmi meliar melihat sekeliling. Dia tersenyum nipis.
“Aku kagum. Pelanggannya ramai dan padat. Kebanyakkannya terdiri dari lelaki. Memang hebat sebab walaupun tak termasuk dalam katergori restoran bertaraf tiga atau dua bintang, nak makan pun perlu reserve meja dulu.”
“Dah perasan keisimewaannya..?”
“Kau ingat aku ni lembap sangat! Dari pengamatan aku.., restoran ni jadi tumpuan utama sebab pelayannya terdiri daripada gadis yang comel-comel macam tadi. Betul tak..?” Badrul mengangguk pantas tanda jawapan yang diberikan Zulhazmi betul.
“Bijak juga anak Tengku Bakri Amirul Syah.”
“Hei.., tengok muka la!”
“Perasan.” Badrul mencebik. Zulhazmi ketawa besar.
Selepas beberapa minit, makanan tengahari mereka sampai ke meja. Melihat saja lauk-pauk sudah kecur liur, menghidu lagilah. Itu belum merasa lagi. Selesai membaca doa makan, mereka mula bersantap. Memang sedap malah sesedap air tangan ibu sendiri. Tidak lama, sesi bersantap mereka selesai.
“Mak ai.., rasa macam nak tambah lagi tiga pinggan!” kata Zulhazmi bersandar santai sambil tersengih. Badrul sudah menggeleng. “Kenapa kau tak pernah ajak aku datang tempat ni sebelum ni?”
“Sebab... kau selalu terperuk 24 jam dalam ofis. Setiap kali aku ajak kau makan, kau mesti cakap nak makan kat dalam ofislah.., dah kenyanglah.., macam-macam alasan kau sampai aku sendiri naik muak nak ajak.” Badrul meluahkan segala jenis anai-anai yang membusut dalam otaknya. Zulhazmi masih tersengih.
“Sedaplah masakan kat sini. Kau pernah jumpa tukang masaknya?”
“Tak siapa yang tahu. Ada orang cakap tukang masak dia pemilik restoran ni sendiri, ada juga yang kata tukang masak dia budak muda macam si Suraya tu. Aku pernah tanya Suraya tapi dia langsung tak berani cakap sebab takut kena buang kerja.”
“Sampai macam tu.”
Badrul mengangguk.
Sebelum bertolak pulang ke pejabat mereka, Zulhazmi menghilang ke tandas. Selepas ditanya pelayan di kaunter dia berjalan masuk ke lorong menuju ke tandas.
“Shanti, jangan lupa tengokkan api. Jangan sampai hangit pula.”
Satu suara yang agak lunak memukul kuat gegendang telinga Zulhazmi. Entah kenapa, ada tarikan magnet berkuasa tinggi yang memaksa dia untuk menoleh. Sebaik saja dia menoleh, mata bundarnya menangkap kelibat seorang gadis muda sedang berjalan menjauhinya. Yang mampu diamati matanya hanyalah belakang gadis tersebut. Dia terpaku seketika. Belakang gadis itu hampir menyerupai seseorang. Seseorang yang sering mengganggu tidur malamnya. Tiba-tiba lututnya terketar semacam, bagai nak luruh pun ada. Nafasnya turun naik tidak menentu. Jantungnya pula berdegup kencang. Gawat.
Tanpa dipinta, kakinya masuk gear automatik, berjalan dan mengejar langkah gadis tadi. Perasaan yang dirasainya tidak mampu ditafsir oleh akal. Teruja bercampur seronok dan gembira. Dia sendiri keliru mengapa hatinya dibelenggu dengan perasaan sebegitu. Kakinya melangkah pantas bila kelibat gadis tadi sudah menghilang. Tiba-tiba muncul pula seorang wanita yang agak berumur. Langkah Zulhazmi terhenti serta-merta sebelum dia melanggar insan yang tidak berdosa di hadapannya yang sudah melatah gaya merapu tahap merepek kerana terkejut tahap kepalang.
“Eh.., Encik! Ni kawasan larangan untuk pelanggan. Encik dilarang masuk ke sini tanpa kebenaran atau sebarang urusan.” Wanita itu bersuara tegas. Zulhazmi sedikit terkilan bila terasa dirinya seperti dihalau.
“Maaf. Bukan niat saya tapi... saya perlu berjumpa dengan...”
“Maafkan saya, Encik. Bukan niat saya nak menghalau tapi Encik dah masuk kawasan larangan. Saya minta Encik berundur sekarang.” Wanita itu masih menegas tanpa kompromi. Zulhazmi mengeluh berat. Dia berundur kerana tak mahu menimbulkan sebarang masalah atau kekecohan. Berundur bukan bermakna dia berputus asa. Dia pasti akan kembali. Dia akan kembali untuk bertemu bayangan pengganggu tidurnya.

------------BAB 4------------
Ramai pengunjung berjalan santai sambil menjamu mata melihat barangan yang dijaja di tingkap setiap kedai sepanjang koridor tingkat dua. Ada yang berkeluarga, ada yang berteman dan ada yang berseorangan. Keadaan kurang sesak berbanding hari minggu biasa. Mungkin sebab bukan hujung bulan. Seseorang berjalan santai dengan sweater besar dan gelebeh, berseluar jeans. Si sweater kuning berjalan santai dengan penutup mulut dan hidung dengan lambang Autobots. Maklumlah, ombak kedua influenza H1N1. Malah, dia juga memakai kaca mata berkanta dengan kuasa sederhana dan agak gelap warna kantanya dan hud sweaternya sudah menutup kepalanya membuatkan dia seperti pelarian yang dikehendaki.
Dia berjalan sambil mencuci mata melihat apa yang mampu dijamu matanya. Sesekali dia berhenti berjalan dan berdiri terpaku melihat sesuatu dia rasa pelik bagi otaknya untuk menafsir. Inilah yang dilakukannya setiap hari Sabtu dan Ahad. Dia akan keluar merayau tanpa arah tuju di pusat membeli-belah. Bukan ingin shopping tetapi sekadar melepak dan membuang masa. Dia ada pilihan untuk berehat di rumah tapi bila mengingat kembali ibu dan abang angkatnya, dia rasa lebih baik dia keluar dari terperuk di rumah.
Kenapa ibu angkat..? Sebabnya, dia bukan anak kandung. Dia sebenarnya diambil dari rumah kebajikan oleh sepasang suami isteri ketika berusia lima tahun. Sebelum itu, dia pernah tinggal dengan sepasang warga emas jauh di dalam kampung yang terpencil. Lebih tepat dalam hutan dan keluarga angkat pertamanya merupakan pasangan orang asli. Kata Tok Merah, dia jumpa Syah menangis dalam hutan ketika dia keluar mencari akar dan daun herba hutan. Katanya, keadaan Syah seperti baru lepas bersalin. Ditinggalkan dalam hutan sambil berbalut dengan kain sutera berwarna putih dan kuning. Seram sejuk bila teringat kembali cerita Tok Merah.
Dari situ, Tok Merah mula syak yang bukan-bukan pasal asal-usul Syah. Dia kata Syah anak penunggu dan lebih menggerunkannya bila Tok Merah kata dia anak bunian. Gila..!! Si sweater kuning yang masih berjalan sudah menggeleng. Walaupun perangai Tok Merah begitu, dia tetap sayang Syah macam cucunya sendiri. Selepas keluarga angkatnya sudah tiada, dia dihantar ke rumah kebajikan pada usia empat tahun. Sepasang suami isteri yang tak dikurniakan anak mengambilnya sebagai anak angkat. Lima tahun kemudian, ibu angkatnya meninggal. Tidak lama selepas tu, bapa angkatnya berkahwin lain, dengan janda anak dua. Genap usianya 17 tahun, bapa angkatnya pula yang meninggal. Tinggallah dia dengan ibu... angkat tirinya.
Si sweater kuning mengeluh berat. Mungkin dah lumrah ibu tiri memang jahat. Macam cerita atau drama dalam tv. Memang tidak semua ibu tiri macam tu cuma nasibnya saja yang tidak berapa baik. Dapat mak tiri yang garang nak mampus! Dia masuk ke dalam sebuah kafe lalu duduk di sebuah meja dengan dua kerusi bersebelahan dengan dinding kaca. Senang dia nampak manusia lalu-lalang. Dia hanya memesan jus oren. Jam G-Shock ungu ditenung lama. Baru pukul sebelas pagi. Lepas Zohor, dia merancang untuk membuat lawatan tak rasmi ke sudio jamming Danny yang tidak jauh dari sini. Jus orennya sampai. Air disedut hingga tinggal separuh, tanda dia dahaga.
Dia menyandar santai dengan tangan dan kaki bersilang. Matanya masih meliar melihat orang-ramai yang lalu-lalang. Dalam tidak sedar, dia sudah termenung jauh.
Kringg... kringg...!!
Bunyi telefon dengan deringan ala klasik rancak bergetar dalam poketnya membuatkan lamunannya hilang. Skrin telefon ditenung lama. Ada rasa meluat di raut wajahnya. Dia hanya membiarkan deringan itu melalak walaupun beberapa pasang mata sudah menjeling tajam, termasuklah dua orang lelaki yang duduk berhadapan dengannya. Pandangan mereka mencerun tanda marah. Si sweater kuning menjeling atas tanda meluat. Dia segera menghabiskan jusnya dan berjalan keluar dari kafe tersebut. Salah seorang dari lelaki tadi merenungnya agak lama. Malah, keningnya juga berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Kau kenapa , Zul? Dari tadi aku tengok kau diam saja. Apa yang mengganggu kepala kau?” tanya Badrul. Zulhazmi diam sambil memandang temannya yang masih menunggu jawapan.
“Tak... tak ada apa cuma...”
“Cuma apa?” tanya Badrul pantas.
“Tak apalah. Mungkin cuma kebetulan.” Zulhazmi cuba menepis andaian yang bermain dalam kepalanya. Aku tak mampu melihat dengan jelas wajah si gadis berbaju putih tetapi... bentuk fizikal dia hampir sama dengan budak tadi. Itu kata-kata hati Zulhazmi.
Buk..!!
Bahunya dilanggar kasar. Seorang budak lelaki dengan cap dalam lingkungan 16 tahun meminta maaf kerana tidak sengaja melanggar. Zulhazmi hanya tersenyum dan memaafkannya dengan mudah. Budak itu berlalu pergi dalam sekelip mata. Selepas beberapa minit, terdetik di hatinya untuk memegang poket belakang seluarnya. Kosong. Poketnya kosong..?! Bermakna, dompetnya dah hilang. Zulhazmi kalut. Badrul yang sedar temannya baru diseluk dengan penyeluk saku, mengesyaki budak yang melanggarnya tadi. Mereka berpecah untuk mencari budak tadi. Memang kerja bodoh tapi kalau tidak jumpa jugak, balai polislah jawabnya.
Zulhazmi dan Badrul berpecah. Seorang ke selatan dan seorang ke utara. Selepas lama berjalan lebih kepada merayau tak tentu arah, Zulhazmi terserempak dengan seseorang yang dia pernah nampak sebentar tadi.
“Budak tu...?!” Zulhazmi hampir-hampir menjerit. Dia segera menyorok. Apa yang membuatkan dia menyorok dari menyerbu terus ialah dia pelik melihat budak itu ketakutan kerana diugut seseorang yang lebih tinggi darinya.
“Tu... budak di kafe tadi.” Kata Zulhazmi selepas lama mengamati tubuh budak yang memakai sweater labuh berwarna kuning. Budak bersweater kuning menumbuk perut si penyeluk saku sambil menghulurkan tangan meminta sesuatu. “Tak sangka.., dia arah budak-budak jadi penyeluk saku.” Tuduh Zulhazmi selepas melihat si penyeluk saku mengeluarkan dompet miliknya. Tanpa berfikir panjang, dia terus meluru ke arah mereka.
“Woi..!! Budak tak guna, tergamak kau paksa budak jadi penyeluk saku.” Jerkah Zulhazmi sambil berlari anak ke arah mereka. Dua insan yang tidak tahu-menahu nampak tergamam kerana terkejut. Kedua-dua mereka sudah menoleh ke arah Zulhazmi. Dalam terpinga-pinga, si penyeluk saku menolak si sweater kuning hingga jatuh ke belakang kemudian berlari ke arah Zulhazmi malah sempat menolak tubuh sasa itu ke tepi. Si sweater kuning bingkas bangun dengan niat untuk mengejar tetapi lengannya diragut kemas oleh tangan sasa lelaki asing tadi.
“Kau nak mana?” tengking Zulhazmi lantang.
“Bodoh..!! Kau biarkan dia lari.” Balas si sweater kuning, menyamai nada suaranya. Lengannya ditepis kasar dan terus berlari untuk mengejar budak penyeluk saku tadi. Dalam kebingungan, Zulhazmi turut mengejar si sweater kuning. Maka, berlangsung acara kejar mengejar antara mereka. Para pengunjung yang melihat acara segera memberi laluan. Takut dilanggar. Si sweater kuning tidak pula terasa nak meraung meminta tolong. Dia hanya terus mengejar sehinggalah si penyeluk saku berjaya menuruni tangga bergerak.

------------BAB 5------------
Si sweater kuning tahu dia dah jauh ketinggalan. Orang yang melihat aksinya dinasihatkan supaya jangan meniru aksi ini. Si sweater kuning melompat ke palang yang memisahkan ruang koridor tingkat satu dan ruang legar yang luas dan turun perlahan-lahan melalui tiang besar setinggi sepuluh meter. Macam monyet pun ada. Dia mendarat dengan selamat. Nasib baiklah tadi dia berada di tingkat satu, dibuatnya tingkat dua boleh patah tulang betisnya. Dahsyat..? Memang dahsyat. Mengalahkan aksi Jackie Chan. Yang bermata sudah terbeliak dan bermulut pula sudah melopong luas. Macam aksi drama dalam tv. Si sweater kuning berjaya memintas si penyeluk saku yang baru saja turun dari tangga bergerak.
Suasana sunyi kerana semua mata tertumpu pada mereka berdua. Yang kedengaran hanyalah bunyi muzik yang kuat dan mereka berdua yang tercungap-cungap penat. Si sweater kuning mencekak pinggang tanda penat kemudian berjalan mendekati si penyeluk saku. Orang ramai sudah menjadi penonton tidak diundang. Mereka berdua berdiri terpacak dan saling memandang. Si penyeluk saku kaget. Dia tahu yang dia sudah terperangkap.
“Aku tak ada niat nak cederakan kau tapi kalau kau beritahu di mana kau buang barang aku, aku janji aku akan lepaskan kau... hidup-hidup!” kata si sweater kuning agak meninggi untuk melawan bunyi muzik yang sedang rancak menggila.
“Aku tak tahu! Aku tak ingat!” balas si penyeluk saku yang makin gelabah. Tahap gelabahnya makin meningkat bila melihat tiga pengawal sekuiriti datang dengan cota besi mereka. Entah dari mana, muncul seorang budak lelaki lebih kurang lima tahun dari sebelah si penyeluk saku. Disebabkan terdesak yang amat sangat, si penyeluk saku meragut budak tadi rapat dengannya dan leher si budak sudah diacu dengan pisau lipat. Dipendekkan cerita, budak itu sekarang menjadi tebusan. Meraung-raunglah si ibu bila melihat anaknya menjadi tebusan, yang si bapa sibuk menelefon polis.
Penonton tidak diundang sudah melarikan diri tapi ada pula yang seronok menonton. Siap merakam dengan telefon canggih mereka lagi. Manusia...
Si penyeluk saku nampak terdesak malah siap ugut nak kelar leher si budak yang sudah terkencing dalam seluarnya. Si sweater kuning diam dengan kedua tangan di dalam poket sweaternya. Dia masih berdiri terpacak dengan kepala yang senget.
“Parah..!! Bukan ni yang aku rancang dari mula. Lagi parah kalau identiti aku terbongkar.” Bisik si sweater kuning. Sekarang tahu kenapa si sweater kuning berpakaian mengalahkan budak tak betul. Hud sweater ditarik ke depan hingga menutup matanya. Dia tunduk dan duduk sambil menongkat sebelah lutut, seperti seorang penari menunggu giliran untuk menari. Si penyeluk saku sudah pelik. Dia mengugut lagi dengan penuh lantang. Si sweater kuning langsung tak mengendah. Si pengawal pula sibuk cuba memujuk. Selalunya dalam situasi begini, hal pujuk-memujuk memang tak jalan. Jadi, jalan yang terbaik untuk sedarkan kewarasan si penyeluk saku ialah dengan...
“Polis datang..!” Tempik satu suara yang bersembunyi di sebalik kumpulan manusia. Si penyeluk saku menoleh pantas untuk melihat dan pada masa yang sama, si sweater kuning bertindak. Dia berlari pantas lalu melompat dan berpusing lantas kakinya menendang tangan yang memegang pisau yang masih diacu ke arahnya. Pisau tadi terpelanting jauh. Sepantas kilat, tangan si penyeluk saku direntap hingga terkehel lalu dikilas ke belakang.
“Lari..!!” jerkah si sweater kuning kepada si budak. Sebaik saja si budak hilang, si penyeluk saku dihumban ke lantai. Jeritan dan laungan kesakitan si penyeluk saku langsung tidak diendahkan. Lututnya menekan belakang si penyeluk saku yang masih meraung dan merintih simpati.
“Aku tanya sekali lagi... mana kau campak dompet aku?!!” tengking si sweater kuning sambil menarik rambut si penyeluk saku.

Zulhazmi berdiri terpaku seperti patung bila melihat si penyeluk saku mengeluarkan pisau lipat sambil ditekan pada leher si budak. Dia ingin hulurkan bantuan memandangkan dia juga mempunyai tali pinggang hitam dalam tae kwon do, tapi itu lima tahun yang lalu. Dah berkarat pun. Kalau dia mampu menolong sekalipun, nyawa si budak masih menjadi taruhan. Tiba-tiba, dia melihat si sweater kuning duduk dengan lutut sebelah.
“Dia nak serang..?” bisik Zulhazmi perlahan. Dia masih bersesak dengan penonton-penonton tidak diundang. Lantas, idea yang agak bernas muncul dalam otaknya.
“Polis datang..!” Zulhazmi menempik lantang. Semua yang mendengar segera mencari kelibat suara tadi. Pada waktu itulah, si sweater kuning bertindak pantas dan berjaya mematahkan niat si penyeluk saku yang sudah hilang kewarasan diri. Selepas beberapa minit, dia dapat lihat si sweater kuning menjerit di telinga si penyeluk saku. Kemudian, si penyeluk saku membisikkan sesuatu pada si sweater kuning yang sudah merapatkan telinganya. Tak lama kemudian, si penyeluk saku dibawa pergi dan keadaan kembali tenang. Kejayaan si sweater kuning menyelamatkan si budak mendapat tepukan gemuruh dari penonton tidak diundang.
Zulhazmi segera mendekati si sweater kuning yang sudah mengutip dompetnya.
“Boleh saya ambil dompet saya balik?” pinta Zulhazmi sopan. Memang patut pun. Pada awalnya dia dah salah sangka dengan si sweater kuning. Dia sangka mereka satu kepala, rupanya tidak. Dia naik takut bila ditenung lama si sweater kuning. Walaupun terlindung dengan cermin mata yang agak gelap, dia boleh rasakan renungan yang tajam di sebalik kaca mata itu.
“Ini... awak punya?” Si sweater kuning bersuara dengan suara yang kedengaran seperti sengaja digaraukan. Kening Zulhazmi terangkat.
“Ya. Dompet tu kepunyaan saya.” Zulhazmi ingin mengambil tetapi si sweater kuning lebih pantas menarik dan disorokkan ke belakangnya.
“Tadi... awak panggil saya apa ya...?” Si sweater kuning sekadar menduga. Zulhazmi nampak terkedu. “Tak reti-reti nak minta maaf ke?” tambahnya lagi. Zulhazmi tersengih sambil menggaru belakang kepalannya yang tidak gatal.
“Saya minta maaf pasal tadi. Saya ingat awak bersekongkol dengan budak tu.” Balas Zulhazmi masih tersengih. “Macam mana awak tahu budak tu...” Si sweater kuning cuma diam. Dia menoleh ke arah pintu utama di mana si penyeluk saku dibawa keluar.
“Dia pernah seluk dompet saya. Sebab tulah...” Dia membiarkan ayatnya tergantung.
“Dah jumpa balik?”
“Dah..”
“Kalau dah jumpa, kenapa awak sergah budak tu lagi?” Zulhazmi buat muka bingung.
“Saja-saja.., nak lepas geram.” Selamba saja si sweater kuning a.k.a Syah berkata. Matanya tertumpu pada beberapa orang pegawai polis berpangkat rendah sedang berjalan pantas ke arahnya.
“Kamu... budak bersweater kuning! Sila ikut kami ke balai.” Laung salah seorang polis tadi. Mendengar saja kata-kata itu, si sweater kuning melempar dompet Zulhazmi kembali pada tuannya. Langkah seribu sudah dibuka. Gila...!! Siapa yang nak ikut bagi keterangan. Dapat tangkap seekor pun dah kira beruntung. Kalau nak diharapkan diorang, haram...
Zulhazmi hanya mampu melihat si sweater kuning melarikan diri sambil dikejar beberapa polis berpangkat korperal.
“Dahsyat betul budak-budak zaman sekarang.” Zulhazmi menggeleng kepala sambil tersenyum nipis. Kelibat si sweater kuning sudah hilang dari pandangan.

------------BAB 6------------
Perjalanan dari restoran Mak teh ke rumah hanya mengambil masa 15 minit. Kadang-kadang tu tidak sampai pun sepuluh minit. Suasana kawasan rumah taman kos rendah nampak sunyi sepi. Memanglah sunyi, waktu pun dah nak masuk tengah malam. Setiba di depan sebuah rumah, kelihatan beberapa orang pemuda, lebih tepat lima orang semuanya, sedang rancak bersembang. Sebaik saja motor Syah memasuki perkarangan rumah tersebut, semua mata tertumpu padanya.
Syah turun dari motornya dan dengan selamba tanpa menjeling ke arah mereka berlima, dia mendekati pintu masuk. Namun, seperti biasa langkahnya pasti dihalang.
“Baru balik, Syah..?” Nabil tersengih depan pintu dengan kedua tangan melekat pada daun pintu. Langkah Syah sudah terhenti. Semua mata yang melihat sudah tersengih mengalahkan siput kena rebus.
“Jomlah join kitorang berborak. Sunyilah kalau Syah tak ada.” Tambah Nabil agak ghairah dan cuba mengangkat visor helmet Syah. Syah pula pantas berundur. Wajah geram dan menyampahnya masih tersembunyi di belakang visor gelapnya.
“Oou... ada tindakan reflekslah..!!” jerit mereka tanpa segan atau takut. Senyuman Nabil makin melebar. Dia mengorak langkah mendekati Syah.
“Sudahlah, Bil. Kang nangis pulak budak tu.” Larang Halim yang masih sibuk menyedut rokok yang tersangkut pada jarinya. Matanya tajam memandang Syah. Halim adalah abang angkat tirinya. Anak jantan paling pemalas Syah pernah jumpa sepanjang hidupnya. Lelaki itulah biawak hidup yang masih bernafas dengan duit mak sendiri dalam erti kata lain, duit Syah.
“Kau ni kacau daunlah, Lim. Budak ni tak merengek pun, tapi kau pulak yang melebih.” Nabil sudah melenting. Syah masih diam membisu.
“Kalau kau nak tahu macam mana rasa sakit bila tulang rusuk kau patah, bukak la satu langkah lagi.” Syah bersuara tiba-tiba. Nabil dan mereka yang bertelinga terkejut dengan amaran Syah. Nabil ketawa sinis. Halim pula naik darah. Dia melontar puntung rokok tadi dan berjalan pantas mendekati Syah yang tak jauh dari tempatnya bertenggek. Bahu Nabil sudah ditarik tanda dia perlu berundur.
“Baik kau masuk rumah sekarang..!” Halim memberi amaran keras sebaik saja berdiri setapak di hadapan Syah. Syah membuka helmatnya dan serentak semua mata menikam raut wajahnya. Siapa yang akan menoleh ke tempat lain kalau gadis cantik dan ayu bak bidadari berdiri terpacak depan mata.
“Aku memang nak masuk tapi... kawan kau tak cukup akal ni yang halang aku dulu.” Balas Syah selamba sambil merenung lembut ke arah Nabil yang seperti biasa pasti akan terkebil-kebil setiap kali terkena panahan lembut si mata perang keemasan. Syah berjalan selamba masuk ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat dan kelibat Syah lesap dari pandangan.
“Aarghh...! Perempuan tu betul-betul buat aku hilang sabar. Kalau dia adik aku, dah lama aku merasa dan ratah tubuh dia. Dah duduk serumah, bilik pulak bersebelah... Lim.., takkanlah kau nak biarkan dia macam tu saja.” Nabil melempiaskan amarahnya.
Dari dulu lagi, dia memang berdendam dengan Syah. Bukan nak berlagak tapi di antara kawan Halim, dialah yang boleh dikatakan paling kacak dan bergaya. Anak Datuk lagi. Sebelum ni, tidak pernah ada seorang perempuan pun yang pernah tolak ajakannya. Tidak perlu ajak, ada yang datang dengan rela hati semata-mata nak serahkan mahkota kegadisan mereka untuknya.
Cuma lepas kali pertama dia berjumpa dengan Syah, selera dia untuk gadis lain terus terbantut. Dah bermacam cara dia cuba menghayat Syah tapi satu pun tidak lekat. Siapa yang tak geram. Syah jual mahal sampai harta mak bapaknya pun tak mampu membeli hati Syah.
“Kau diamlah..!!” tengking Halim lantang. Dia memang dah meluat dengan rungutan Nabil. Setiap hari asyik benda yang sama saja yang diungkit. Dia merengus kasar. Macam yang Nabil cakap, bukan dia tak pernah cuba tapi alih-alih dia yang teruk. Pernah satu hari, waktu malam, dia menerjah masuk bilik Syah sebaik saja adik angkatnya selesai mandi. Waktu itu, dia memang dah bertekad untuk menjadi orang pertama yang merasa kegadisan Syah. Malangnya, dia tidak tahu Syah tahu berlawan.
Malam itu juga untuk kali pertama dalam hidupnya tiga tulang rusuknya patah. Pertama kali dalam sejarah hidupnya dia kalah dek penangan seorang gadis. Seminggu dia terperuk dalam biliknya. Bila ditanya mak, dengan selamba dia menjawab dia kemalangan. Takkanlah nak cakap si Syah belasah dia. Buat malu kaum sejenis saja.
“Kalau nak serang dia, tak boleh buat sorang-sorang. Kena ramai-ramai.” Tambah Halim sambil mencekak pinggang.
“Maksud kau nak buat kenduri..? Bagus Lim.., kau memang tak lupa kawan. Nasib baiklah kau tak kedekut macam si Nabil. Kalau dapat sorang, suka ratah senyap-senyap.” Sampuk Saiful sambil tersengih.
“Hei..! Dia yang datang dekat aku maknanya dia aku punya.” Nabil mengherdik Saiful yang masih tersengih. Joe dan Paien juga tak ketinggalan. “Apa rancangan kau, Lim..?”
“Aku ada plan aku sendiri. Korang cuma perlu ikut saja. Yang penting, aku orang pertama. Lepas tu, korang buatlah giliran sendiri.” Balas Halim dengan senyuman sinis penuh sifat nafsu syaitan.

------------BAB 7------------
“Syah..!! Bukak pintu ni. Aku nak cakap sikit dengan kau.” Jerkah satu suara diikuti dengan paluan kuat pada pintu bilik. Syah yang baru pulang kerja dan ingin melelapkan mata tersentak, nyaris-nyaris maut. Dia memaksa dirinya untuk bangun walaupun badannya letih yang teramat sangat. Pintu dibuka perlahan tapi ditolak kasar dari luar supaya terbuka luas. Seorang wanita agak berusia sedang berdiri dengan muka yang berang.
“Mak nak apa?” tanya Syah sambil menggosok sebelah mata.
“Aku nak duit.” Pinta Zaiton ringkas.
“Duit..?! Bukan ke Syah dah bagi duit untuk bulan ni?” balas Syah sambil menggaru kepalanya yang masih bertudung. Zaiton mendengus.
“Bagi jelah bila aku minta! Kenapa susah sangat..?!” tengking Zaiton lagi. Gegendang Syah terasa seperti nak meletup.
“Syah tak ada duitlah mak. Lagipun, hari ni baru tengah bulan, Syah mana dapat gaji lagi.” terang Syah lagi.
“Aku tak kira..! Kalau kau tak bagi, baik kau kemas semua kain baju kau dan berambus keluar dari rumah ni.” Tambah Zaiton lagi. Syah sudah tercengang bila mendengar ugutan ibu tirinya. Liur yang ditelan terasa pahit. Ugutan Zaiton jangan dipandang rendah. Syah pernah dihalau keluar rumah dulu gara-gara tidak membayar sewa bilik. Dengan anak sendiri pun nak minta sewa. Manusia...
“Haa...! Tercegat apa lagi? Cepat bagi aku duit..!!” tengking Zaiton lagi. Syah mengeluh perlahan. Nak tak nak, terpaksalah dia korek tabung buruknya.
“Nah..!” Syah menghulurkan empat keping not lima puluh yang diambil dari seluar jeansnya yang sentiasa tergantung di belakang pintu. Zaiton merampas kasar sambil mengira duit tadi. “Syah cuma ada dua ratus saja.” kata Syah lemah.
“Lain kali kalau aku minta terus bagi, jangan nak banyak soal!” Zaiton berjalan pergi dengan muka yang masih menyinga. Syah menutup pintu biliknya. Dia menghempaskan badannya di atas tilam bujang yang tidak berkatil. Dia mengeluh berat. Tangannya sudah menekup matanya.
“Ikat perut lagilah aku bulan ni.” Rungut Syah sendirian. Duit tadi sepatutnya dibuat belanja sampai hujung bulan. Walaupun gajinya lebih kurang sembilan ratus sebulan, jumlah itu masih belum cukup untuk menjelaskan duit ansuran motornya ditambah pula dengan duit sewa bilik dan bil eletrik dan air rumah. Penat kalau difikirkan balik. Dua orang anak lelaki Zaiton langsung tidak hulurkan duit. Boleh dikatakan hanya dia saja yang mengeluarkan duit untuk menjelaskan sebarang bil atau hutang. Syah mengeluh lagi.
Mieow....
Syah tersentak seraya menoleh ke arah tingkap biliknya. Bibirnya merekah mengukir senyuman. Dia menggagahkan badan yang lemah ke arah tingkap lalu dibuka. Seekor kucing berbulu lebat dan lembut, berwarna putih bertompok emas menyelit masuk melalui tingkap tadi. Belum sempat si kucing melompat turun, tubuh gebunya diangkat oleh Syah. Si kucing selamat dalam pelukan Syah.
“Cik Timah ke mana pagi tadi? Penat Syah cari tapi tak jumpa. Cik Timah pergi jumpa jantan sebelah rumah tu lagi, betul kan..?” Cik Timah mengiau manja seperti memahami kata-kata tuannya. Syah tertawa kecil. Badan Cik Timah diusap manja. Getaran nafas Cik Timah memang menenangkan mindanya. Kemudian, dia mengeluh berat.
“Cik Timah..., Syah penatlah.” Bisik Syah perlahan. Nasibnya tidak seteruk ini ketika ayahnya masih hidup. Dulu, nak mendengar ayahnya meninggi suara memang susah. Waktu itu juga, dia merupakan anak emas ayah. Boleh dikatakan dulu adalah zaman kegemilangannya. Dia dilayan dengan baik. Tapi sekarang, hampir setiap minit telinganya asyik ditikam dengan jeritan dan makian ibu tirinya. Mungkin inilah ujian dari ALLAH. Mana boleh seronok memanjang, sekali-sekala perlulah rasa susah sikit. Baru seimbang.
Syah yakin ini ujian dari-Nya. Ayah selalu kata, ALLAH beri dugaan yang berat kerana DIA yakin hamba-Nya mampu menanggungnya. Sebab itulah Syah yakin, dia mampu jalani ujian yang diberi dengan baik. Insya’allah...

------------BAB 8------------
Langkahnya yang diatur semakin perlahan. Jalan yang dilalui juga agak licin dan basah serta dipenuhi dengan dedaun kering. Kiri dan kanan semestinya hutan yang tebal. Matanya menangkap cahaya samar-samar di hadapan. Dia melangkah lagi sehingga terasa nafasnya sedikit pendek. Sampai di satu tempat, kelihatan seseorang gadis lengkap berbaju putih sedang berdiri mengadap ke arah air terjun. Saat ini, jantung mula berdegup kencang. Langkahnya sudah terhenti. Dia takut untuk meneruskan langkah kerana setiap kali dia cuba mendekati gadis misteri itu, pasti dia akan kembali ke dunia realitinya.
Dia takut. Namun, kakinya terasa untuk terus melangkah. Setapak demi setapak dan akhirnya dia sudah berada dekat dengan belakang gadis. Sejurus itu, hidungnya menghidu bau bunga kemoja. Harum dan menenangkan. Entah kenapa, tangannya mula bergerak lalu memegang bahu kiri gadis misteri itu. Jantungnya berdegup kencang di saat gadis itu menoleh ke arahnya dengan mata tertutup rapat. Dan setelah sekian lama menunggu, akhirnya matanya berjaya melihat wajah si gadis misteri. Dia terpaku dan mengeras seperti patung.
Matanya kini sedang memandang raut wajah milik seorang gadis. Mulutnya sedikit terlopong. Dia terkedu. Wajah gadis itu terlalu cantik untuk digambarkan dengan kata-kata. Dari kening hingga ke bibir, semuanya sempurna. Terlalu sempurna di matanya. Sejurus itu, mata gadis itu pula yang terbuka. Zulhazmi terasa seluruh tubuhnya sudah disimen. Keras dan pejal. Matanya membesar sebaik saja terpandang anak mata si gadis. Langsung tidak berkedip.
Perang dan menawan. Tidak mampu dialih sebaik saja terpandang. Dia sudah berjaya melihat wajah gadis misteri yang selalu mengganggu mimpinya. Tapi.., apa maknanya? Adakah ini bermakna mimpi untuk bertemu dengan gadis misteri tamat di sini saja? Zulhazmi mula dirudung rasa takut dan resah. Mata si gadis berjaya membuat jantungnya berdegup kencang. Adakah ini perasaan cinta? Tak mungkin. Kenapa dia harus jatuh cinta dengan gadis yang tidak wujud di dunia nyata?
“Siapa awak? Kenapa awak selalu muncul dalam mimpi saya..?” Zulhazmi akhirnya bersuara. Matanya masih belum dialih dari wajah gadis misteri itu.
“Awak akan tahu.” Jawab gadis misteri itu lembut dan perlahan. Zulhazmi terpanar. Suaranya seakan mirip seseorang. Lama-kelamaan, gadis misteri itu mula menjauhi tubuh Zulhazmi yang masih mengeras. Tangannya sudah menggapai namun badannya tidak mampu bergerak walau seinci.
“Tunggu...!!” Zulhazmi menjerit kuat hingga mampu membuatkan badannya bergerak semula. Namun, kelibat gadis misteri itu sudah pun hilang dari pandangannya.
BUK...!!
Serentak kedengaranlah seseorang mengerang sakit di bawah selimut yang menutup kepala dan separuh badannya. Selimut ditarik kasar. Zulhazmi menggosok-gosok kepalanya yang sudah terasa sakit tak terkata. Dia jatuh katil rupanya. Habis mengerang, dia terdiam.
“Mimpi tadi..., aku dah nampak wajahnya. Aku betul-betul dah nampak wajahnya.” Zulhazmi membebel sendiri sambil tersenyum puas. Kemudian, kedengaran tawa kecil keluar dari bibir Zulhazmi. Dia puas. Selepas begitu lama dia bersabar, akhirnya berjaya juga dia melihat raut wajah gadis misteri itu.
“Tapi..., apa maknanya..?” Zulhazmi duduk tersandar di tepi katilnya dengan dahi berkerut. Keluhan berat terlepas keluar dari bibir nipisnya. Wajahnya nampak sayu dan muram. “Tolong jangan tinggalkan saya.” Pinta Zulhazmi perlahan.

Di hujung minggu, Syah keluar bersama-sama Danny, Emir, Melinda dan Dahlan. Pada awalnya perlawaan Danny memang ditolak mentah-mentah tetapi memandangkan tinggal di rumah bagaikan tinggal dalam neraka, ada baiknya dia mengikut saja si Danny dan temannya yang lain keluar melepak di pusat beli-belah di bandar. Seluruh pelusuk pusat beli-belah itu mereka terokai dengan jayanya.
Pawagam memang tersenarai dalam sesi riadah mereka. Yang paling seronok ketika ini semestinya Danny kerana memang jarang dan sememangnya sukar untuknya keluar jalan-jalan dengan Syah. Senyuman lebar hingga ke telinga buat Syah naik meluat dan menyampah. Tapi dia memang tidak kisah sebab perangai Danny memang begini. Dia sendiri pula tidak pernah ambil serius. Penat berjalan, mereka berehat-rehat di sebuah kafe.
Emir duduk berkepit dengan aweknya, Melinda. Dahlan masih sibuk mencuci mata sambil memandang ke luar dinding kaca. Danny sentiasa setia di sisi Syah.
“Korang ada dengar berita gempak yang berlaku dekat mall ni seminggu yang lepas?” tanya Emir tiba-tiba. Tangannya sudah berlingkar di pinggang Melinda yang begitu manja melentok lembut di bahunya. Danny dan Dahlan sudah memasang telinga. Syah buat pandai dengan gayanya.
“Berita apa..?” tanya Dahlan tanpa mengalihkan pandangannya. Macam acuh tidak acuh.
“Ada budak buat stunt gaya Jackie Chan gara-gara nak selamatkan budak kecik. Ramai yang tengok. Dalam internet pulak... jangan cakap, padat dengan aksi dia.” Cerita Emir sedikit teruja.
“Dan tujuan kau cerita semua sebab....” Syah bertanya.
“Pihak polis letak harga pada budak tu sebab timbulkan kekecohan, hampir cederakan orang awam dan... enggan memberi kerjasama semasa diminta beri keterangan.” Terang Emir lancar. Syah ketawa tiba-tiba sambil menggeleng kepala. Danny sudah menjeling pelik. Ketawa sinis Syah terhenti bila matanya bertembung dengan jelingan Danny.
“Ada wanted poster ke?” tanya Danny pula.
“Dekat information board. Siap ada nama panggilan lagi..., ‘Si Sweater Kuning’. Aku boleh bet yang budak tu perempuan sebab lelaki mana yang sanggup pakai sweater kuning kalau nak buat stunts.” Emir berkata yakin.
“Mana kau tahu dia perempuan. Mustahillah. Takkan perempuan berani buat stunts macam tu.” Dahlan menepis. Melinda tiba-tiba menjeling marah.
“Kenapa pula tak boleh? Zaman sekarang dah berubah la...! Perempuan boleh buat apa saja yang lelaki boleh buat, kan sayang?” Rengek Melinda manja dengan jemarinya meliar dan melata di dada Emir. Emir ketawa geli sambil mencuit hidung Melinda. Gelak tawa mereka sudah menjadi tumpuan. Syah bangun dan keluar dari kafe tersebut kerana dia sendiri berasa geli dan janggal dengan perbuatan mereka. Danny mengekor rapat.
“Syah...!” Panggil Danny dari belakang tapi langkah Syah masih dihayun. Tiba-tiba, lengannya ditarik.
“Woi..! Apa ni..?!” Syah menarik semula tangannya. Kasar.
“Aku nak tahu perkara yang sebenar. Budak tu kau kan..?”
“Apa yang kau merepek ni..?!”
“Jangan buat bodoh, Syah. Aku kenal kau dan aku yakin budak tu kau.”
“Kalau dah tahu, buat apa nak tanya lagi..?”
Danny tercengang dengan pengakuan selamba Syah. Marah.., memang dia marah. Syah sekali lagi membuat kerja gila. Geram.., jangan cakap. Sudah berkali dilarang, tapi Syah tetap mengulangi perbuatan yang sama.
“Kau tahu tak apa yang kau buat tu merbahaya.” Danny mencekak pinggang tanda marah.
“Aku tahulah. Kau jangan nak nasihatkan aku. Aku dah besar dan aku tak perlukan khidmat nasihat kau macam dulu.” Syah tak mahu mengalah. Tangan bersilang tanda protes.
“Kalau dah tahu, kenapa kau masih buat perkara yang sama...?”
“Okey... okey.., aku tak nak dengar ceramah free kau kat sini. Aku letih dan aku nak balik tidur. Aku keluar dengan kau pun sebab aku tak berani nak tidur di rumah.”
“Habis tu, kau nak tidur di mana..?”
“Surau ada, masjid pun boleh apa.” Syah mula membuka langkahnya. Danny menyeluk poket seluarnya.
“Ambil ni.” Danny menyerahkan segugus kunci ke tangan Syah. Syah merenung Danny dengan air muka pelik. “Aku tahu kau takut nak tidur kat rumah sebab abang kau. Kau tidur je kat kondo aku sebab aku tak balik situ malam ni. Aku tidur kat rumah parent aku.”
Syah diam seribu bahasa sambil merenung lama kunci di tangannya. Danny tersenyum nipis.
“Janganlah buat muka terharu kat sini. Pergilah cepat. Macam tak biasa pulak aku tengok gaya kau. Kalau ada problem, call aku.” Danny menolak membuatkan Syah membuka langkahnya semula. Dia melambai selamba tanpa menoleh. Danny hanya mampu melihat sambil tersenyum dari jauh.