------------BAB 11------------
Fazri dan Alif duduk bersembang di
tangga tadi dengan kaki terendam di dalam air. Sesi meminta maaf sudah selesai,
namun keadaan masih terasa agak tegang.
“Mak ngah ke yang jemput abang?”
tanya Alif dengan nada yang agak keras. Fazri terkejut namun tidak ditunjukkan
reaksi itu. Dia tersenyum ringkas.
“Ya. Dia yang jemput abang. Dia
buat semua ni pun sebab Alif juga. Dia sayangkan Alif.”
“Itu Alif tahu. Satu perkara yang
buat Alif was-was sekarang ni... ialah niat abang. Abang betul-betul ikhlas
berkawan dengan Mak ngah?” tanya Alif keras. Fazri terkedu kerana diserang
soalan yang sama namun dia tetap berlagak tenang.
“Secara jujurnya, abang memang
ikhlas berkawan dengan Mak ngah. Tak terdetik langsung di hati abang untuk
mengambil kesempatan pada Mak ngah.” Terang Fazri panjang. Dia merenung wajah
si abang dengan pandangan yang dalam. Alif diam.
“Alif mahukan jawapan yang jujur
dari abang, abang suka Mak ngah kerana Mak ngah cantik, kan..? Bukan sebab
lain.” Tambah Alif lagi malah makin berbisa. ‘Aduh.., tadi dah minta maaf!
Tapi, sekarang masih nak bersoal jawab. Bertenang, Azri. Jawab saja soalan dia
dengan tenang. Jangan gelabah, nanti Fazira terlepas.’ Omel hati Fazri. Dia
menarik nafas.
“Abang tak pandang luaran, Alif.
Untuk pengetahuan Alif, abang dah jumpa ramai perempuan yang cantik dan
secantik Mak ngah. Malah, lebih cantik dari Mak ngah pun ada. Tapi.., tak ada
seorang pun yang berjaya buat abang terpikat.” Fazri merenung wajah si abang.
“Alif tahu kenapa..? Sebab hati
mereka semua tu.., tak secantik rupa paras mereka. Mereka terlalu bangga dan
bongkak dengan kecantikan mereka hingga membuatkan hati mereka nampak hodoh dan
buruk. Tapi.., bukan Mak ngah Alif. Dia sentiasa menutup kecantikan dirinya dan
itu yang membuatkan abang... tertarik padanya.” Terang Fazri bertambah panjang
lebar. Alif diam lagi. Dia memandang Fazri.
“Jadi.., abang tetap akan sukakan
Mak ngah walaupun Mak ngah tak cantik?”
“Kalau dah jodoh kami, abang tak
kisah.”
Alif jadi bingung mendengar
kata-kata Fazri.
“Kenapa abang macam tak komited
dengan perasaan sendiri saja..?” balas Alif. Fazri mengangkat kening sambil
ketawa. Tidak sangka, budak seperti Alif pun pandai menggunakan ayat skema
seperti itu.
“Abang yakin dengan perasaan
sendiri, kalau tak abang takkan datang sini semata-mata nak berjumpa Alif.”
“Jumpa Alif atau jumpa Mak ngah..?”
Alif sengaja menduga. Fazri tersengih kantoi.
“Jumpa Mak ngah memang sudah
semestinya.” Fazri ketawa kecil. Alif mula mengukir senyuman. Sejuk hati Fazri
selepas melihat senyuman Alif. Terasa kurang pula beban yang bertenggek di
bahunya.
“Memandangkan abang dah mengaku
secara jujur, Alif tak berhak nak menghalang.” Alif berdiri. Fazri sudah
mendongak pelik. “Tapi.., Alif bagi amaran kalau abang sakiti Mak ngah.., Alif
bersumpah akan cari abang sampai lubang cacing. Alif serius.” Tekan Alif. Fazri
tersenyum menahan tawa.
Fazri menghulurkan tangan untuk
berjabat. Alif menggenggam erat tangan Fazri. Mereka saling tersenyum dengan
tangan masih berjabat erat.
“Sebelum tu, Alif ada hadiah untuk
abang.”
“Hadiah..? Hadiah apa?” tanya Fazri
pelik. Alif tersenyum lebar. Lebih kepada nakal dan jahat.
“INI..!!” jerit Alif seraya
menjatuhkan badannya ke dalam air. Fazri tidak mampu berbuat apa-apa untuk
mengelak. Dia turut sama terjatuh memandangkan tangannya masih melekat dengan
tangan Alif. Mereka berdua terjunam ke dalam air. Selepas seketika, mereka
timbul semula. Air tidaklah dalam mana pun, setakat paras pinggang Fazri saja.
“Sampai hati Alif..!!” jerit Fazri
yang sudah basah lecun. Mukanya segera diraup seraya menolak rambutnya ke
belakang. Alif pula ketawa besar melihat keadaan Fazri. Air sejuk yang sudah
menggigit tulang-belulang dalam badan mereka langsung tidak dipedulikan lagi.
Mereka terus ketawa sambil menyimbah air sesama sendiri.
“Ya ALLAH..!! Apa dah jadi?” Suara
Fazira tiba-tiba muncul dari arah anak tangga dengan muka yang terkejut. Mereka
berdua berhenti bergerak sambil memandang sesama sendiri. Kemudian, ketawa
terburai antara mereka lagi. Fazira pula dibiarkan kebingungan.
“Apa yang jadi?” tanya Fazira lagi
masih risau. Dia masih di tempat yang sama.
“Awak tengok... siapa yang buli
siapa sekarang?!” balas Fazri dengan muka yang sengaja dibuat serius.
“Along..?!” panggil Fazira dengan
suara yang dalam ditambah pula dengan jelingan yang tajam. Pinggangnya sudah
bercekak tanda marah. Fazri sudah mendaki anak tangga tadi.
“Alah..! Dah alang-alang datang,
kenalah mandi sekali.” Balas Alif selamba. Dia masih berani tersenyum walaupun
ibu saudaranya sedang menjeling marah.
“Awak ada bawa baju untuk salin?”
tanya Fazira risau.
“Jangan risau. Saya dah bawa.
Lagipun, memang niat saya nak bermain dengan mereka bertiga.” Jawab Fazri
senang. Fazira tersenyum lega. Mereka berjalan menuju ke pondok tadi.
“Zira..?!” panggil satu suara dari
arah sebuah kereta pacuan empat roda berwarna kelabu. Fazri sudah tercengang
sambil merenung kelibat milik suara tadi. Seseorang sedang memasukkan separuh
badannya ke dalam perut kereta tadi.
“Mana kau letak tikar ni?” suara
itu bertanya lagi. Kedengaran kasar dan keras.
“Ada kat situ. Carilah
betul-betul.” Balas Fazira selamba. Fazri memandang Fazira pelik kemudian
kembali melihat kelibat empunya suara kasar tadi. Seorang lelaki sedang
berjalan ke arah pondok sambil memegang segulung tikar. Pada satu saat, mata
mereka bertembung. Lelaki itu segak, berkulit sawo matang malah, sama tinggi
dengannya. Lelaki itu tersenyum. Fazri yang tersedar kelakuannya sumbangnya
turut sama tersenyum.
“Zira..,” panggilnya tetapi kali
ini lebih lembut. “...ini ke kawan yang kau nak kenalkan pada aku?” tanya
lelaki itu.
“Ya.., kenalkan. Ini kawan baik
saya, Kamarul.” Jelas Fazira. Mereka bersalaman.
“Muhammad Fazri.” Balas Fazri
ringkas dengan senyuman yang manis. Tangan mereka berpisah.
“Mana Fazilah?” tanya Fazira sambil
melihat sekeliling. Pintu bonet kereta pacuan empat roda tadi dibuka. Alif
menolong memunggah keluar bekalan yang dibawa dari rumah. Fazri menolong tanpa
diminta.
“Dia pergi tandas dengan Atiqah dan
Atif. Kejap lagi datanglah tu. Haa.., panjang umur!” Kamarul memandang ke arah
seorang gadis sedang berjalan sambil berpimpin tangan dengan Atiqah dan Atif.
Fazri turut sama memandang gadis itu.
“Yea.., dah sampai.” Kata Fazilah
seraya melepaskan tangan dua beradik tadi. Atiqah dan Atif berlari riang dan
naik ke atas pondok tadi. Kali ini, Fazilah dan Fazri pula berpandangan. Mereka
tersenyum.
“Awak pasti Fazri, kan?” teka
Fazilah sambil tersenyum.
“Ya, saya.” Balas Fazri ringkas.
“Saya Fazilah, kawan Fazira.” Balas
si gadis bertudung litup. Fazri tersenyum.
Dalam hati, dia sebenarnya agak
terkejut. Fazira kata dia hanya datang dengan anak-anak saudaranya. Tidak pula
diberitahu kawan-kawannya juga datang bersama. Mungkin Fazira takut dia tidak
akan datang jika tahu kawannya juga diajak bersama.
Selepas siap memunggah bekalan,
mereka kembali bermain air. Fazira dengan Fazilah hanya melihat manakala Fazri
dengan Kamarul, seronok bermain dengan tiga beradik tadi. Fazira dan temannya
duduk bersantai di atas sebuah batu besar dan leper terletak di sebelah kiri
anak tangga.
“Ya ALLAH! Hensemnya mamat tu.
Boleh runtuh iman aku kalau pandang lama-lama. Macam muka Cina pun ada.”
Fazilah menjerit kecil dengan nada yang dalam. Paha Fazira ditampar lembut.
“Kau ni..., Kamarul dengar nanti
kau jugak yang kena.”
“Biarlah. Dia ingat dia sorang saja
mamat hensem dalam kampung kita.” Balas Fazilah dengan muncung yang panjang.
“Oh.., kiranya kau mengaku jugaklah
yang dia tu mamat hensem!” balas Fazira. Muncung temannya makin memanjang. Fazira
yang sudah tidak tertahan, terburailah tawanya.
“Orangnya macam mana?” tanya
Fazilah. Fazira jarang bercerita mengenai Fazri. Terkejut juga dia bila Fazira
tiba-tiba telefon dan mengajak dia dan tunangnya untuk berkelah malah dalam
masa yang sama ingin kenalkan Fazri pada mereka berdua.
“Entahlah. Aku pun tak berapa kenal
dia sangat. Yang aku tahu nama dia, tempat kerja dia dan... pekerjaannya. Tu
saja.” Jelas Fazira sambil memandang mereka yang begitu asyik berseronok.
“Kau terlupa satu benda..,” Fazira
memandang Fazilah dengan air muka yang hairan. “...dia baik. Kan kau cerita
yang dia pernah tolong kau tukarkan tayar pancit untuk kau.”
“Kalau setakat tukar tayar, orang
lain pun boleh tolong.” Fazira tunduk memandang buah epal yang sedang
dikupasnya.
“Tapi dia yang datang, bukan orang
lain.” Fazilah memotong pantas. “Entah-entah, dia jodoh kau. Siapalah tahu,
dialah calon yang sesuai untuk kau.”
Fazira diam. Dia kembali memandang
ke arah mereka berlima. Anak matanya sudah melekat pada wajah Fazri yang begitu
seronok melayan karenah anak-anak saudaranya. Sekelip mata, pandangan mereka
bertembung. Fazira yang sudah panik segera mengukir senyuman yang manis. Air
mukanya pula dikawal dengan baik.
Fazri pula terasa seperti ingin
menjerit sekuat hatinya sebaik saja melihat senyuman yang dilemparkan ke
arahnya. Berkembang mekar hatinya selepas sedar yang dia berada dalam perhatian
gadis idamannya. Dia kembali melayan si Atiqah yang dari tadi asyik berkepit
dengannya.
“Kau tak nak beri dia peluang?”
tanya Fazilah lagi selepas lama membisu. “Aku tengok Atiqah bukan main manja
dengan dia. Siap berpak ngah-pak ngah lagi. Alif dengan Atif pun nampak mesra
dengan dia. Elok sangatlah kalau korang berdua betul-betul jadi pak ngah dengan
mak ngah.”
“Hish.., kau ni. Suka sangat
merepek.”
“Merepek apanya cik kak oi...?! Kau
tak perasan cara dia pandang kau. Cara dia senyum pun boleh tahu yang dia
memang ada hati dengan kau.” Balas Fazilah tegas. Fazira diam sambil memandang
sekilas wajah Fazri yang masih tersenyum. Dia mengeluh lemah.
“Aku bukan tak nak beri peluang.
Tapi, hati aku ni... takut nak beri ruang pada perasaan tu lagi. Aku takut...
dia macam...”
“Rambut sama hitam, tapi hati
lain-lain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” Fazilah berkias.
Mentang-mentanglah dia guru Bahasa melayu.
“Kenapa nak salahkan nila kalau
susu tu memang dah rosak dari awal lagi.” Fazira membalas selamba. Fazilah
mengeluh seraya menggeleng. Fazira nampak saja seperti gadis yang lemah lembut
tapi kepala batu mengalahkan batu konkrit.
------------BAB 12------------
Hampir pukul sebelas setengah,
mereka berhenti bermain dan naik ke pondok untuk mengisi perut yang kosong. Di
tengah hamparan tikar sudah terhidang makanan untuk dijamah.
“Kau masak apa hari ni?” tanya
Kamarul sambil mengering rambutnya dengan tuala.
“Hari ni special..., nasi beriani
dengan kari ayam dan gulai daging.” Fazilah mambalas pantas sambil menyenduk
nasi beriani ke dalam pinggan plastik. “Siap ada air asam dengan kacang botol
lagi.”
“Haa.., kau tu tau makan saja!
Bukan nak tolong dia masak.” Balas Kamarul keras.
“Eh.., biarlah! Yang kau sibuk
apasal?” Fazilah membalas agak meninggi. Fazri yang melihat sudah mengerut
dahi. Pelik. Macam tidak percaya mereka berdua sudah menjadi tunangan selama
lima tahun.
“Sudah-sudahlah tu. Tak malu ke
bergaduh depan orang.” Fazira segera menjadi orang tengah. Kalau dibiarkan
mereka berdua bertambah melarat nanti. Fazilah menjelir seraya bersimpuh di
sebelah kanan Fazira manakala Atif sudah setia di sebelah kiri, menunggu untuk
disuapkan.
“Em.., bertuahlah awak Fazri sebab
awak lelaki kedua yang berjaya merasa masakan Fazira.”
“Siapa lelaki pertama?” Selamba
Fazri bertanya.
“Sayalah!” Kamarul ketawa besar.
Fazilah sudah menjeling tajam melihat perangai tunangnya yang nakal mengalahkan
budak kecil.
“Jangan nak perasanlah. Siapa kata
kau lelaki pertama?” balas Fazilah seperti menyimbah minyak petrol ke dalam
api. Kamarul membalas dengan jelingan tajam.
“Eh.., betullah aku lelaki
pertama!”
“Habis, Pak long Zali tu bukan
lelaki.” Balas Fazilah lagi.
Serentak dengan itu, Fazri tersedak
hingga terbatuk-batuk. Kamarul segera menyuakan segelas air seraya
menepuk-nepuk belakang jejaka itu. Fazilah dan Fazira sudah memandang dengan
hairan. Malu betul dia tapi kepalanya sudah memikirkan perkara lain. Punya
seronok bersama Fazira hingga terlupa tentang Ghazali. Dibuatnya Pak long Zali
datang waktu ni, terkantoi semua rancangannya untuk memikat si gadis idaman.
“Awak okey?” tanya Fazira lembut.
“Saya okey. Entah macam mana boleh
tersedak.” Balas Fazri sambil mengurut-ngurut dadanya yang masih terasa sedikit
perit.
“Hem.., sah! Awak dah tersampuk
dengan masakan Fazira.” Kamarul sudah mula menyakat. Fazira hanya mampu
menjeling tajam. Mulut Kamarul bila dah terbuka memang susah nak tutup. “Tak
hairanlah kalau awak tersampuk sebabnya saya pun macam awak jugak. Nasib
baiklah saya ada tunang garang yang pandai memasak, kalau tak kempunanlah saya
sebab nak merasa masakan dia setiap hari.”
“Amboi.., lancarnya mulut!” Fazilah
marah sambil melempar tulang paha ayam ke arah Kamarul. Mereka yang lain
sekadar ketawa melihat gelagat mereka bergaduh mengalahkan budak kecil.
Hampir jam satu tengahari, mereka
mula mengemas untuk pulang. Atiqah mula merengek ingin pulang bersama Fazri
walaupun Fazira melarang tegas. Penat juga Fazri memujuk si adik yang sudah
mula manja dengannya. Dia sendiri berat hati untuk berpisah dengan adik-beradik
itu tetapi apakan daya, dia masih seorang lelaki yang asing di sisi Fazira. Dia
tidak mahu tersalah langkah dalam memikat hati gadis idamannya.
Kamarul menurunkan Fazri di tempat
dia meletakkan keretanya. Di situ juga mereka berkumpul sebelum berpisah. Alif
dan adiknya yang lain sudah terlelap di dalam kereta. Letih selepas bermain
air. Bertambah pula keseronokkan mereka dengan kehadiran Fazri.
“Bila awak sampai di simpang yang
ketiga baru awak belok ke kiri, pandu terus dan awak akan jumpa jalan kecil
yang menghala terus ke Pekan Juntai.” Kamarul menerangkan jalan pintas pada
Fazri. “Kalau awak belok ke kanan, alamatnya berjumpa dengan jerat cinalah.”
Kamarul sempat berseloroh. Mereka yang mendengar sudah ketawa.
“Terima kasih kerana sudi jemput
saya.” Ucap Fazri sambil tersenyum memandang Fazira. Dia memang tidak jemu
memandang gadis itu.
“Sama-sama.” Balas Fazira dengan senyuman
yang manis. Ketika itu, Kamarul dan Fazilah sudah beredar menuju entah ke mana.
“Maaf sebab... tak beritahu awak yang saya jemput kawan saya sekali.”
“Tak apa. Saya tak kisah langsung.
Lagi ramai, lagi meriah. Kalau tak keberatan.., saya memang teringin nak datang
lagi ke sini terutama sekali dengan mereka semua. Rasa macam tak puas pulak.”
“InsyaALLAH. Kalau dipanjangkan
umur, saya takkan lupa untuk ajak awak sekali.”
“Kalau macam tu, baguslah. Tercapai
juga impian saya nak merasa masakan awak.” Fazira ketawa kecil mendengar
kata-kata Fazri. “Sekurang-kurangnya, kurang sikit tahap kempunan saya kalau
dapat berkelah lagi macam hari ni.” tambah Fazri dengan senyuman yang tidak
pernah lekang. Fazira sekadar menggeleng.
“Saya memang tak sangka mereka berdua
dah lima tahun bertunang.” Tambah Fazri sambil memandang dua teman Fazira yang masih bertekak.
Entah bila pula mereka kembali semula ke kereta mereka. Fazira sudah tersenyum.
“Memang pelik. Dalam sehari, kalau
mereka tak bertekak pasti ada yang tak kena. Saya tak berapa risau sangat sebab
bila mereka bergaduh, itu tanda mereka saling sayang antara satu sama lain.”
Jelas Fazira panjang lebar. Fazri turut tersenyum.
“Hah..?! Yang tersenyum-senyum ni...
mesti Fazira cakap yang bukan-bukan pasal kami.” Kamarul tiba-tiba datang
menyergah mereka berdua.
“Mana ada. Kami cuma berborak
kosong jelah...”
“Alah.., kau jangan nak berdalih
lagi!” Fazilah muncul di sebelah Fazira. “Aku tahu nasib aku memang malang
sebab dapat tunang macam mamat selenge ni.”
“Apa..?! Selenge..?!” Telinga
Kamarul sudah berasap. “Eei... kalau diikutkan hati dah lama aku...”
“Apa... kau nak buat apa?” Fazilah
makin mengasak. Kamarul menjeling tajam. Fazri dan Fazira pula sudah menjadi
penonton tanpa dipinta.
“Fazira..! Bila kau nak kahwin?!”
Tersentak Fazira mendengar kata-kata spontan yang terpacul keluar dari mulut
Kamarul. “Cepat kau kahwin, cepat sikit aku dapat minah kering ni.” tambah
Kamarul sambil menjeling galak ke arah tunangnya.
“Mulut tu jaga sikit boleh tak?!”
Marah Fazilah selepas melihat keadaan temannya yang sudah merah muka menahan
rasa segan.
“Eh..., betul apa aku cakap?! Kalau
kau tak ada calon, aku cadangkan Fazri.” Serentak, Kamarul memaut bahu Fazri
seraya mengenyit matanya. Fazri pula sudah tersenyum lebar. “Padan sangat. Sama
cantik, sama kacak. Nama pun nak dekat sama. Kira jodohlah tu.” Tambah Kamarul
dengan tawa besar. Fazira sudah menjeling tajam. Hatinya sudah panas membara.
Makin panas dibuatnya bila melihat senyuman Fazri yang makin melebar.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta
diri dulu. Assalamua’laikum.” Balas Fazira selamba seraya membuka langkah
pergi. Tercengang Fazri melihat Fazira yang sudah melangkah pergi. Memang patut
pun. Gadis mana tak marah bila digandingkan sebegitu.
“Jangan risau. Rajuknya tak lama.”
Kamarul cuba menenangkan Fazri yang nampak sedikit gelabah.
“Betul tu. Fazira bukan jenis yang
suka merajuk.” Tambah Fazilah tersenyum.
Fazira membuka langkah meninggalkan
dua penyakat dan Fazri yang setia berdiri memandang setiap langkah yang diatur
oleh gadis idamannya.
Dalam masa yang sama, entah bala
apa yang mendatang, sebuah kereta jenis pacuan empat roda sedang berundur
dengan laju di atas jalan bertar yang landai. Fazira pula sedang melintas jalan
tersebut menuju ke keretanya. Mata Fazri yang menangkap pergerakan kereta
tersebut secara automatik menjerit nama...
“FAZIRA...?!”
Dalam waktu itu juga, langkah
Fazira terhenti lantas dia menoleh untuk melihat Fazri yang tiba-tiba saja
menjerit memanggil namanya. Dalam sekelip mata, tubuh langsing Fazira disambar.
Kereta tadi terus meluncur pergi hinggalah ia bertembung dengan sebatang pokok.
Semua yang berada di situ terkejut melihat kejadian malang itu. Apa yang lebih
menarik perhatian mereka ialah aksi berani Fazri menyelamatkan Fazira yang
nyaris dilanggar oleh kereta tadi.
Fazira selamat dalam pelukan kemas
Fazri. Nafas masing-masing kencang dari biasa. Fazira masih melekap di dada
Fazri, langsung tidak bergerak. Begitu juga Fazri. Tubuh hangat Fazira
membuatkan pelukannya semakin erat. Malah, wangian yang tersemat pada tubuh
gadis itu membuatkan dia bagaikan terawang-awang di udara. Di luar
kesedarannya, wajahnya sudah dibenamkan ke leher gadis sunti itu.
Sedar dengan keadaan sumbang lagi
tidak senonoh Fazri, Fazira segera meloloskan diri dari pelukan Fazri. Mukanya
yang sedia cerah lagi putih, sudah bertukar merah padam. Dia sendiri nyaris
hanyut dalam pelukan jejaka itu. Rangkulan erat si jejaka membuatkan tubuhnya
beku.
Kamarul dan Fazilah yang juga saksi
kejadian yang mampu melihat. Perasaan resah dan bimbang sudah menyerang benak
masing-masing.
Kejadian dua hari yang lalu
dibiarkan berlalu begitu saja. Tiada berita sumbang yang kedengaran. Tetapi,
itu tak bermakna Fazira boleh menghela nafas lega. Dia masih perlu
berhati-hati. Walaupun Kamarul dan Fazilah adalah saksi kejadian, nasibnya
masih lagi terumbang-ambing. Inilah masalah yang bersarang dalam kepala Fazira.
Lain pula dengan cerita dengan si
Fazri. Dia bagaikan lelaki yang hampir-hampir hilang akal atau pun orang
tersilap makan ubat. Sentiasa tersenyum dan tertawa seorang diri. Rakan
sekerjanya naik hairan dengan kelakuannya. Selalu termenung. Kadang-kala
gembira mengalahkan bapa dapat anak. Memang lain dari biasa. Nombor telefon si
gadis langsung tak terusik dari telefonnya. Dia dapat rasa tindakan menelefon
gadis itu hanya akan mengundang rasa tidak selesa pada si gadis. Kelakuannya
tempoh hari mungkin dianggap seperti cuba mengambil kesempatan terhadap si
gadis walaupun tindakannya boleh dianggap wajar.
Namun..., siapa yang tidak gembira
apabila berpeluang memeluk gadis idaman sepuas hatinya. Dia berjaya menyentuh
bunga terlarang yang dijaga rapi dalam taman larangan. Dia masih ingat akan bau
wangian yang tersemat pada tubuh gadis idamannya. Masih dia ingat akan
kehangatan tubuh gadis itu ketika dia...
“Astahgfirullah hala’zim...!” Fazri
bingkas bangun dari baringan. Dia nyaris-nyaris melayan nafsu sendiri. Dia
beristighfar lama seraya menggosok-gosok dadanya. Masih ada debaran yang sama
seperti hari itu. Nafas yang pendek kembali tenang. Suasana bilik tidur terasa
sunyi seketika.
Deringan telefon bimbitnya memecah
kesunyian. Dia segera mencapai telefon yang berada di sebelah bantalnya. Skrin
ditatap lama. Kedua keningnya terangkat.
“Ummi..?!”
------------BAB 13------------
Kereta Honda Accord hitam meluncur
dengan kelajuan sederhana di lebuh raya yang agak lengang. Fazri memandu dengan
penuh berhati-hati. Seorang wanita bertudung litup sedang bercakap dengan
telefon. Wanita itu nampak muda walaupun sudah berusia lebih kurang 50 tahun.
Telefonnya diturunkan dari telinganya tanda perbualannya dengan seseorang sudah
tamat.
“Papa kirim salam.” Kata Jannah
sambil memasukkan telefonnya ke dalam beg tangan.
“Waa’laikum salam.” Jawab Fazri
lancar. Matanya langsung tidak dialih dari jalan raya di hadapan. Selepas
menerima panggilan telefon dari ummi yang akan tiba tengahari nanti, dia segera
membeli sebuah kereta baru. Tunai lagi. Dia juga sudah menempah sebuah bilik
untuk ummi di sebuah hotel 3 bintang yang terletak tidak jauh dari tempatnya
bekerja. Tak sanggup pula membiarkan ibu saudaranya tinggal di rumah teres yang
disewanya kerana agak sempit dan usang. Semuanya diselesaikan dalam masa
sehari. Dia mahu ummi berasa selesa tinggal di pekan kecil ini.
Baginya, duit bukan satu masalah.
Kalau tak bekerja setahun pun, duit dalam simpanan masih cukup dibelanjakan
untuk beberapa tahun akan datang. Inilah identiti sebenar Muhammad Fazri Alias
bin Tan Sri Dr. Faizzul, anak kepada jutawan ternama yang amat disegani.
Kehidupannya sejak kecil sentiasa dilimpahi dengan kekayaan dunia, tidak kurang
juga dengan harta akhirat. Buktinya, Fazri adalah anak yang soleh. Tak pernah
meninggalkan solat dan sentiasa patuh pada ayah dan ummi.
Ayah Fazri merupakan usahawan dan
ahli korporat terkenal dalam bidang pengangkutan seperti kapal laut dan kapal
terbang. Dia juga berjaya membuka cawangan yang kelima di luar negara.
Pentadbiran syarikatnya di Malaysia telah diamanahkan kepada anak tunggalnya.
Berkat doa dan kesungguhannya, dia berjaya menempah nama sebagai ahli korporat
yang tersohor di Malaysia dan bakal di luar negara.
“Macam mana dengan tempat baru Azri
bekerja sekarang... okey?” Pertanyaan Jannah memecahkan suasan sunyi di dalam
kereta. Radio sengaja tidak dihidupkan.
“Alhamdulliah, semuanya baik. Lain
kali Ummi beritahulah awal-awal kalau nak datang. Ni tak, dah nak turun plane
baru nak call.” Marah Fazri manja. Kelam-kabut dia meninggalkan rumahnya
selepas menerima telefon dari Ummi. Cara pemanduannya pula mengalahkan pemandu
F1. Jannah ketawa lucu.
“Maaflah. Bukan selalu Ummi boleh
mengacau Azri. Sekurang-kurangnya, terubat juga rindu Ummi pada Azri. Lima
bulan Ummi tak berjumpa Azri, tahu tak?” Jannah menekan di hujung ayatnya.
Tangannya pula sudah mengelus manja sisi rambut satu-satunya anak saudaranya.
Fazri sudah tersenyum dan membiarkan dirinya dibelai oleh tangan Jannah yang
sudah dianggap seperti ibu sendiri. Mana ibu kandungnya? Entahlah. Dia sendiri
tak pasti. Tiga bulan yang lalu, dia ada menerima mesej dari ibunya yang ketika
itu berada di Milan untuk menghadiri fasion show. Maklumlah, ibunya seorang
pereka fesyen yang terkenal malahan bekas model paling meletup ketika zaman
kemahsyurannya.
“Azri nampak lain dari biasa?” kata
Jannah selepas begitu lama mengamati wajah anak saudaranya yang dari kecil dipanggil
Azri.
“Lain? Lain macam mana?” Fazri
hairan ditambah dengan dahi yang berkerut. Jannah tersenyum manis.
“Azri nampak lebih... berseri. Ada
apa-apa yang berlaku waktu ketiadaan Ummi?” tanya Jannah sekadar
menduga. Fazri
sudah tersenyum simpul.
“Mana ada. Azri rasa biasa saja.”
Fazri berlagak selamba. Air mukanya segera dikawal. Takut tembelangnya pecah.
Jannah bukan calang-calang orangnya. Wanita itulah yang menjaganya sejak dia
dilahirkan ke dunia ini. Malah, susu badan wanita itu jugalah yang diminumnya
setiap kali dia menangis kehausan.
“Azri tak boleh tipu. Ummi perasan
dengan perubahan yang berlaku pada anak Ummi. Wajah Azri nampak berseri
sangat... seperti orang yang sedang... dilamun cinta.”
Kantoi! Jerit hati Fazri lantang.
Mukanya sudah berkerut. Kalut.
“Jadi betullah?!” Jannah nampak
teruja.
“Mana ada.” Fazri cuba menenangkan
dirinya. Pernafasannya juga dikawal dalam diam. “Ummi nih... suka sangat
merepek. Azri mana ada masa nak buat... perkara macam tu. Apa tu... bercinta?
Azri sibuklah, Ummi.” Tambah Fazri tenang. Dia memandang sekilas ke arah
ibunya. Jannah pula sudah merenung Fazri dengan mengecilkan matanya yang sudah
bulat dan bundar. Tanda dia sedang mendesak Fazri untuk bercakap benar. Fazri
yang sedang tekun memandu mula gelabah. Butang baju T-shirtnya dilonggarkan
kerana terasa seperti menjerut lehernya.
“Azri...” Jannah menekan suaranya
agak dalam. Renungannya masih sama. Fazri menelan liurnya yang sudah terasa
pahit lagi payau. Dia mengeluh berat. Kenapalah dia selalu tertewas dengan
pujuk rayu ummi?
“Yelah... yelah. Ummi menang.”
Fazri bermuka masam kerana tewas. Jannah sudah bertepuk tangan gaya budak
kecil.
“Siapa... beritahulah ummi?! Macam
mana orangnya? Tinggi atau rendah, kurus atau tembam, bertudung atau tak....”
Jannah menyerang bertalu. Mengalahkan machine gun. Fazri sudah menggeleng
melihat gelagat ummi.
“Ummi...!” Fazri menjeling manja.
Jannah menutup mulutnya. Sedar dirinya sudah sampai tahap teruja melebih. “Yang
pasti dia bertudung dan...” Fazri menunjukkan air muka yang resah dan suram.
“Kenapa Azri?” panggil Jannah
manja.
“Susah sikit, ummi.” Balas anak
saudaranya ringkas. Jannah pelik.
“Dia jual mahal?” Jannah meneka.
Fazri ketawa kecil.
“Bukan jual mahal. Tapi, dia dah
sememangnya mahal. Maklumlah, anak gadis bekas Imam masjid besar di pekan ni.”
Fazri membalas seraya memandang sekilas wajah ummi.
“Oouw... gaya tu punya mahal. Ummi
faham.” Jannah mengangguk. Dia memang faham maksud Fazri. Gadis itu semestinya
jenis yang menjaga adat dan adab seorang Muslimah. Gadis begini selalu perlu
dirisik terus melalui orang tuanya.
“Apa yang Azri tahu pasal dia?”
“Buat masa ni..., Azri dah kenal
ayah dia.” Jannah mengangkat kening tanda kagum. “Itu saja. Kalau tanya
lebih-lebih takut dia tak berani jumpa Azri pulak.” Terang Fazri terperinci.
Jannah mengangguk lagi. Kenal sangat dia dengan gadis idaman Fazri. Jenis yang
muncul ala-ala sekali dalam seribu kelahiran. Sikapnya pula seperti jinak-jinak
merpati, tersilap langkah, terbang dan menghilang.
“Azri... cuma nak minta ummi jumpa
orang tuanya bagi pihak Azri, tu saja.” Jelas Fazri malu-malu. Jannah sudah
tersenyum lebar. Dalam hati, dia tahu kesusahan yang dialami anak saudaranya.
Gadis idamannya itu ibarat bunga yang mekar yang dipagari dengan ribuan pepohon
berduri. Pantas, dia setuju tanpa berfikir panjang. Dia mahu Fazri hidup
bahagia kerana kebahagiaan Fazri adalah kebahagiaannya juga. Kereta Honda hitam
tadi terus bergerak laju menuju ke destinasinya.
------------BAB 14------------
“Fazira...!” Satu suara menyergah
lohong telinga. Jantung Fazira terasa seperti disentap kerana terlalu terkejut.
Itu suara Mariam. Dia dapat mengagak sesuatu yang tidak kena hanya dari
mendengar bunyi derapan kaki ibunya.
“Ya, mak.” Fazira menoleh dan tidak
semena-mena...
Paap...!!
Satu tamparan yang kuat lagi padu
hinggap di pipi kiri Fazira. Tubuh Fazira terasa seperti dihumban ke lantai.
Dia jatuh terjelupuk dengan tangan memegang pipi gebunya yang sudah merah dek
tamparan kuat Mariam.
“Perempuan tak sedar diri..!” Satu
lagi tamparan melayang ke arah muka Fazira dan kali ini mengenai pelipisnya.
Sekali lagi, Fazira tersungkur. Terasa kepalanya bergegar. Kepalanya berpijar
dan pandangannya pula bertukar kabur. Tiba-tiba, Mariam menarik tudung Fazira
dan dilempar jauh.
“Kau ni memang perempuan tak tahu
malu..!” Mariam merentap rambut Fazira yang sudah semulajadi perang. “Aku tak
nak tengok muka kau dalam rumah ni lagi..!! Aku dah naik muak tengok muka anak
haram macam kau..!”
Cacian demi cacian keluar dari
mulut lancang Mariam. Lagaknya seperti orang hilang akal. Memang Mariam sudah
hilang akal. Api kemarahannya sudah memuncak hingga menenggelamkan kewarasan
akalnya, apatah lagi imannya. Tangannya masih riak menampar dan memukul tubuh
Fazira. Rambut Fazira masih dalam cengkamannya. Beberapa kali kepala Fazira
digoncang kuat.
“Mak..., tolong jangan mak..!
Maafkan Zira, mak. Kalau Zira ada buat silap tolong ampunkan Zira..!” Fazira
merayu-rayu sambil memegang tangan Mariam yang masih rakus menarik rambutnya.
Fazira diheret hingga ke pintu dapur. Mariam tetap dengan amarahnya. Telinganya
seperti sudah pekak kerana langsung tidak menghiraukan rayuan Fazira.
“Keluar dari rumah ni..!!” Mariam
sudah mengheret Fazira hampir ke tengah laman. “Aku tak nak tengok muka kau
lagi..!!” tengking Mariam kuat. Rambut gadis itu dilepas kasar. Fazira
tersungkur ke tanah pula. Baju kurungnya sedikit koyak dek dicarik Mariam. Dia
mengumpul segala tenaga yang ada untuk bangun. Dia gelabah semacam memandangkan
auratnya yang sudah terdedah.
“Mak ngah..?!” Alif menjerit
terkejut selepas melihat keadaan ibu saudaranya. Dia berlari pantas tanpa
memakai kasut. Tanpa berfikir panjang, dia menolak tubuh Mariam ke tepi.
Giliran Mariam pula yang jatuh tersungkur. Fazira terlopong melihat tindakan
berani anak saudara sulungnya.
“Cucu kurang ajar..!!” jerkah
Mariam dengan mata yang merah menyala menahan marah. Dia bangun seraya mencapai
sebatang kayu. Fazira sudah gelabah melihat tindakan Mariam.
“Nenek yang kurang ajar..! Nenek
selalu pukul Mak ngah tak tentu pasal, macamlah Mak ngah ada buat dosa
besar..!” Balas Alif lantang dengan tangannya sudah didepa luas dihadapan
Fazira. Lagaknya cuba melindungi Fazira. Tidak ada sekelumat rasa takut dalam
dirinya ketika itu. Rasa hormat pada wanita bergelar nenek sudah lama hilang.
“Budak macam kau tahu apa..?! Baik
kau ke tepi.., kalau tak dengan kau-kau aku pukul..!”
“Pukullah kalau nenek berani. Alif
tak takut..! Kalau nenek kata Mak ngah perempuan tak tahu malu, nenek patut
cermin diri nenek dulu..!” Balas Alif pedas lagi berbisa. Terbeliak mata Mariam
mendengar kata-kata cucunya. Kesabarannya kian hilang. Yang bermain di mindanya
hanyalah bisikan syaitan.
“Cucu tak guna..!!” Mariam
menengking dalam masa yang sama tangannya yang masih erat memegang kayu tadi
dihayun ke arah kepala Alif.
Dengan pantas, Fazira bangun dan
menarik Alif ke dalam pelukannya. Alif dipeluk erat manakala dia mengucap
kalimah syahadah dalam masa yang sama seperti menunggu kayu tadi hinggap di
belakang kepalanya. Lama. Tiada apa yang berlaku.
Paap..!!
Kedengaran satu tamparan yang kuat
melekat pada pipi siapa, Fazira sendiri tak pasti. Alif masih dalam pelukannya.
Dia membuka matanya yang dari tadi dipejam rapat lalu mendongak.
“A... ayah...”
Ghazali sedang berdiri di sebelah
kirinya dengan air muka yang sudah lama tidak muncul di wajah tua bapanya.
Bengis dan garang. Mariam pula sudah tersungkur ke tanah sambil memegang pipi
kirinya. Ayah tampar mak...?! Ya ALLAH..., Fazira menjerit dalam hati.
“Bukankah aku dah beri amaran pada
kau..?! Jangan sentuh anak aku..!!” Ghazali menengking kuat. Bergema gegendang
sesiapa yang mendengar. Matanya pula membesar seperti harimau ingin menerkam
mangsanya. Mariam mula teresak.
“Sampai hati Abang... tampar
Yam...? Abang... sanggup tampar Yam... demi perempuan tak guna ni..?!” Mariam
sudah mengalirkan air mata. Fazira terduduk melihat keadaan Mariam. Dia sendiri
tidak menjangka ayahnya sanggup menampar isteri sendiri. Ghazali hanya diam
melihat dan mendengar luahan perit Mariam.
“Mak ngah.., kenapa ni Mak
ngah..?!” Alif sudah resah melihat keadaan Fazira yang nampak terpinga-pinga.
Dia makin risau melihat luka yang sudah berdarah di sisi bibir tebal ibu
saudaranya. Alif segera menanggalkan baju sekolahnya lalu diselubung tubuh
Fazira yang sudah terdedah. Kemudian, terasa kepalanya pula ditutup dengan
jaket nipis. Fazira menoleh pantas.
“Abang Zul..?” Fazira nampak
terkejut melihat sepupu keduanya, Zulkifli.
“Jom masuk.” Kata Zulkifli ringkas
seraya memapah Fazira yang nampak lemah dan lesu. Alif turut membantu. Ketika
itu, Liyana dan dua anak saudaranya cuma mampu melihat dari jauh. Atiqah, Atif
dan tidak terkecuali Liyana sudah menangis teresak-esak melihat keadaan Fazira.
“Kalau Abang dah tak sayangkan saya
lagi, lebih baik... Abang ceraikan saya..!!” Mariam menghambur kata-kata itu
tanpa berfikir panjang. Fazira yang gagah melangkah terus terpaku. Dia
memandang wajah bapanya.
“Kalau itu yang kau nak.., itulah
yang kau akan dapat. Mulai hari ni.., kau... Siti Mariam Binti Abdul Hasani,
aku...”
“AYAH..!!” Fazira menjerit seraya
memeluk kaki Ghazali. Zulkifli dan Alif sudah terlopong mendengar ucapan
Ghazali dan tindakbalas Fazira.
“Jangan ayah..! Bawa mengucap.
Jangan terlalu ikutkan perasaan. Mak tak bersalah.., Zira yang berdosa. Jangan
ucap perkataan tu, ayah. “ Tambah Fazira terketar-ketar. Air mata yang dari
tadi ditahan dari mengalir turun, mencurah keluar dari takungannya. Dia masih
memeluk erat kaki Ghazali.
Tiba-tiba, Mariam ketawa hebat.
Mereka yang mendengar sudah memandang pelik.
“Jangan nak berlagak baik la! Aku
tahu.., ini yang kau nak tengok kan. Drama di mana ayah kau ceraikan aku.” Kata
Mariam seperti orang yang makin hilang kewarasannya. Dia sudah berdiri dengan
linangan air mata. Ghazali masih merenungnya dengan pandangan yang tajam,
setajam mata keris pahlawan Melayu. Mariam berjalan longlai menuju ke arah
keretanya.
“Sekali kau keluar dari perkarangan
rumah ni, maka jatuhlah talak satu ke atas kau.., Mariam.” Kata Ghazali tegas
dan lantang tanpa menoleh ke arah isterinya. Mariam diam dan sudah berdiri dia
hadapan pintu keretanya. Tanpa menoleh atau mengungkap sepatah kata, dia terus
membuka pintu kereta. Enjin dihidupkan dan kereta Perdana hitam meluncur keluar
dari perkarangan rumah Haji Abdul Ghazali Bin Haji Hamzah.
Saat itu juga, pandangan Fazira
mulai kabur. Dia dapat rasa sesuatu mengalir keluar turun perlahan-lahan
mengenai bibir tebalnya. Terketar-ketar tangannya memegang bawah hidungnya.
Bila dilihat pada jarinya, matanya sedikit membesar. Cecair merah yang likat
tercalit pada jemarinya. Lama-kelamaan, kepalanya terasa ringan dan dia jatuh
terjelupuk di tanah dan pengsan.
Suasana rumah kembali tenang bila
malam menjelma. Kejadian tengahari tadi sudah menjadi bualan orang kampung.
Gosip panas seperti ini sememangnya cepat laku, macam pisang goreng. Semua
mulut sudah bercakap dan tak lupa juga dengan telinga yang sentiasa terpasang
untuk mendengar berita mahupun cerita yang tak bertauliah seperti ini.
Di dalam sebuah bilik yang
diterangi lampu, kelihatan sekujur tubuh sedang berbaring. Lena si gadis nampak
nyenyak. Tak lama kemudian, kelopak matanya bergerak dan terbuka
perlahan-lahan. Fazira berpisat-pisat bangun dari tidurnya. Dia cuba untuk
duduk tetapi seluruh badannya sakit, terasa seperti disiat-siat. Sendinya
terasa sengal dan kepalanya pula masih berdengung. Meneguk liur pun sudah
terasa peritnya. Tekaknya kering. Dengan segala kekuatan yang ada, dia terus
memaksa dirinya bangun dan akhirnya dia duduk. Tangannya pantas memegang sisi
kepala yang terasa sakit.
Tiba-tiba, dia tersentak. Dia
terkejut. Dia bermimpi buruk sebentar tadi. Mimpi ngeri yang seakan-akan betul.
“Zira dah bangun..?” tegur satu
suara selepas menguak pintu biliknya. Fazira menoleh perlahan. Dilihat Ghazali
sedang menatang dulang berisi semangkuk bubur, segelas air dan sebesen air
panas.
“Zira lapar tak..? Ayah ada
masakkan bubur ayam kesukaan Zira.” Tambah Ghazali seraya meletakkan dulang
tadi di atas meja solek kemudian duduk di birai katil, rapat di sisi anaknya.
Sejak bapanya melangkah masuk, Fazira hanya melihat senyuman yang terukir di
wajah bapanya.
“Ayah...” Fazira memanggil lembut
dengan suara yang terketar-ketar.
“Ya.., sayang?” sahut Ghazali.
Wajah bapanya nampak begitu tenang dan damai.
“Tadi.., Zira bermimpi. Mimpi buruk
ayah...” Fazira nampak keliru. Dia masih belum sedar dengan luka dan lebam di
wajah dan di sisi bibirnya.
Belum sempat dia habis berucap,
Ghazali sudah menarik Fazira rapat ke dalam pelukannya. Fazira yang pada
mulanya nampak tenang, mulai berteka-teki. Selepas beberapa ketika, kedengaran
tangisan sayu di dada Ghazali.
“Lupakan apa yang berlaku. Apa yang
terjadi hari ni..., adalah ketentuan ILLAHI.” Pujuk Ghazali sambil membelai
lembut rambut anaknya. Bahu Fazira terhinjut-hinjut cuba melawan perasaan
sebaknya.
“Semua ni... salah Zira...”
“Zira..., kan ayah dah cakap tadi.
Sudahlah, ayah tak suka Zira salahkan diri sendiri lagi.” Ghazali menegas.
Tangannya masih setia mengelus rambut ikal milik anak gadisnya. Fazira yang
tidak mampu menahan rasa sebak yang kian membungkam, terus memeluk Ghazali. Dia
membiarkan anaknya menangis sepuasnya.
Beberapa ketika kemudian, suasana
yang kembali tenang. Tiada lagi bunyi esakkan ataupun sendu. Mangkuk berisi
bubur ayam tadi sudah kosong, begitu juga segelas air tadi.
Kedua beranak tadi diam membisu
seribu bahasa. Ghazali ingin memulakan perbualan tetapi risau tersilap kata
memandangkan emosi anaknya masih belum tenteram. Dia beristighfar lama sebelum
memulakan bicara. Nafas ditarik dalam dan dilepaskan perlahan.
“Zira.., ayah nak tanya sesuatu...
Zira tahu kenapa mak marah dengan Zira..?” tanya Ghazali perlahan dengan nada
suara yang lembut. Fazira yang dari tadi asyik tertunduk sudah mendongak
memandang wajah bapanya. Matanya masih merah dan makin membengkak. Soalan
Ghazali dijawab dengan gelengan yang lemah. Sekali lagi, Ghazali menarik nafas.
Fazira sudah tidak menentu riak wajahnya bila melihat kelakuan bapanya.
“Ada orang kampung nampak Zira...
berpelukan dengan seorang lelaki masa...”
Di saat itu juga, Fazira tersentak.
Serta-merta kotak ingatannya memutar kembali aksi Fazri menyelamatkan dia dari
dilanggar kereta. Walaupun perkara yang terjadi dalam sekelip mata, dia masih
mampu mendengar degupan jantung lelaki itu. Tangannya mula menggeletar. Melihat
keadaan Fazira, Ghazali menggenggam erat kedua tangan anaknya.
“Tak ada apa yang perlu Zira
takutkan. Ayah dah selidik perkara sebenar dan ternyata..., Zira tak bersalah.”
Kepala Fazira pula diusap lembut. “Kamarul dan Fazilah dah terangkan segalanya
pada ayah. Mereka kata lelaki itu dah selamatkan anak kesayangan ayah dari
dilanggar kereta. Ayah tak marah, sayang. Sebaliknya.., ayah bersyukur
sangat-sangat kerana ALLAH hantar seseorang untuk selamatkan anak ayah.” Ucap
Ghazali panjang lebar. Fazira memandang bapanya dengan anak mata yang kembali
berkaca. Kemudian, dia kembali tertunduk.
“Macam mana Zira boleh berkenalan
dengan lelaki tu..?” tanya Ghazali lembut. Nada suara dan tutur katanya
sentiasa dijaga kerana tak mahu Fazira terasa hati. Fazira diam seketika.
“Zira... kenal dia... lepas dia
langgar kereta Kak Maimun.” Terang Fazira takut-takut. “Zira tak rapat dengan
dia, ayah. Zira berani sumpah. Zira tak pernah...”
“Ayah faham, sayang. Dan jangan
bermain dengan sumpah, nanti memakan diri.” Ghazali cuba menenangkan anaknya.
Diam sektika.
“Zira... suka dengan lelaki tu?”
Fazira sedikit tersentak mendengar
soalan bapanya. Wajah bapanya ditenung dengan mata separuh membesar. Mulutnya
pun sudah separuh terbuka. Jantungnya pula sudah tidak menentu degupannya bila
mengenangkan kembali perasaannya ketika dipeluk jejaka itu.
“Ke... kenapa ayah... tanya soalan
macam tu?” Tanya Fazira malu-malu. Ghazali ketawa kecil melihat wajah anak
gadisnya yang sudah bertukar kemerahan.
“Kalau Fazira suka.., ayah pun
suka.” Sekali lagi, pengakuan Ghazali membuatkan jantungnya makin berdegup
kencang. Liur yang ditelan terasa kasar dan keras. “Kalau Zira nak tahu.., ayah
kenal rapat dengan lelaki tu.”
“Maksud ayah.., dia...”
“Ya, sayang. Dialah calon yang ayah
nak kenalkan pada Zira.” Ghazali tersenyum lebar.
Ya... ALLAH..., Fazira terasa dunia
seperti berpusing. Kepala yang sudah sedia sakit, makin bertambah pula
kesakitannya. Jantungnya pula terasa seperti terjatuh dari tempat asalnya.
Fazira memegang dadanya. Rasa risau yang memuncak sudah menyerbu benaknya.
“Ayah..., macam mana dengan mak?”
Fazira segera mengubah tajuk perbualan mereka. Ghazali diam seraya
menghembuskan nafas yang dalam dan berat. Senyuman tadi hilang serta-merta.
Fazira pula menggigit lidah.
“Ayah tak boleh nak buat apa. Dia
dah pilih jalannya sendiri. Ayah lepaskan dia pergi kerana itu adalah pilihan
dia.”
“Ayah akan pujuk mak semula..,
kan?” Fazira menggenggam erat tangan Ghazali. Bapanya mengeluh lemah. Genggaman
tadi terlepas. Fazira tertunduk seraya menekup muka. Esakan sayu kembali
beralun.
“Kenapa perlu jadi macam ni? Zira
tak pernah minta semua ni berlaku. Zira...”
“Zira... tak baik Zira cakap macam
tu. Ini semua ujian dari ALLAH. Kita sebagai hamba-NYA yang lemah perlu
berserah dan berusaha, banyakkan berdoa dan bertawakal... semoga diringankan
semua dugaan tu. Ingat Zira..., selagi kita ingat pada-NYA, nescaya DIA takkan
sesekali lupa pada kita.” Nasihat Ghazali panjang lebar. Esakkan tadi kembali
tenang dan makin berkurang.
Belaian tangan Ghazali betul-betul
lembut dan syahdu. Belaian seorang bapa yang sentiasa melimpah dengan perasaan
sayang terhadap seorang anak walaupun dia hanya anak saudara bapanya. Dalam tak
sedar, Fazira kembali terlena dalam pelukan bapanya.
------------BAB 15------------
Seorang wanita sedang berjalan
sambil melihat deretan kedai sederhana besar di Pekan Juntai. Dia berbaju
kurung Riau dan bertudung labuh. Tangannya setia menjinjit beg tangan yang
kelihatan agak lusuh dan kurang menarik. Mungkin ingin mengelak dari menjadi
mangsa ragut. Kakinya masih cergas melangkah sehinggalah dia sampai di sebuah
kedai dua tingkat. Perhiasan luarannya tampak ceria dan menarik. Malah, nampak
elegan dan eksklusif. Senyuman manis terukir di bibirnya.
Pintu ditolak perlahan. Angin sejuk
dari penghawa dingin menghembus perlahan mengenai wajahnya yang membahang.
Kedengaran bunyi lagu pendek seolah-olah menyambut kedatangannya. Dia melangkah
masuk sambil memerhati sekeliling. Lirikan matanya lebih kepada mencari
seseorang.
“Boleh saya bantu Puan?” tegur satu
suara dari belakang Jannah. Dia pantas menoleh. Wajah milik suara tadi dibelek
lama.
‘Bukan... ini bukan dia. Fazri kata
wajahnya cerah dan putih seperti perempuan Arab.’ Bisik hati Jannah. Si penegur
naik hairan melihat Jannah begitu taksub merenung wajahnya.
“Kenapa Puan..? Ada yang tak kena
ke?” tanya Salmah pantas. Dia sudah terasa. Maklumlah, wajahnya yang agak
tembam dan montok memang tak cantik tapi lebih kepada comel. Jannah tersenyum.
“Tak... tak ada apa. Cuma... bila
tengok kamu, teringat pula kawan saya yang ada di seberang. Wajahnya hampir
seiras dengan kamu.” Balas Jannah selamba sambil tersenyum. Tak sedar pula dia
sedang merenung wajah gadis berusia lingkungan lewat 20-an. Salmah tersenyum
malu.
“Puan nak tengok langsir atau baju?
Butik kami juga ada menyediakan perkhidmatanuntuk sebarang tempahan langsir
atau baju.” Terang Salmah lagi.
“Tak apa. Biar saya tengok dulu
katalognya.” Balas Jannah sopan.
Selepas beberapa lama membelek, dia
mula resah bila orang yang ingin dia temui masih belum muncul. Dia kembali
memanggil Salmah.
“Maaf saya bertanya, tapi ada tak
seorang pekerja bernama Fazira bekerja di sini?” Salmah sudah menunjukkan riak
muka yang pelik.
“Ada.., tapi dia cuti.”
“Berapa lama dia cuti?”
“Mungkin sepanjang minggu ni. Ada
apa Puan ingin berjumpa dengannya?” tanya Salmah ingin tahu. Jannah diam
sejenak, cuba mencari alasan yang rasional.
“Ooh.., bukan apa! Cuma ingin
berjumpa dengannya atas sebab peribadi.” Jannah tersengih ayu. Dia memang tak
pandai dalam bab berbohong. Salmah sekadar tersenyum.
“Memandangkan dia tak bekerja hari
ni, saya minta diri dulu.”
Jannah bangun dan melangkah tetapi
kakinya terkaku seketika tatkala matanya menangkap gambar di dalam bingkai kaca
yang cantik. Jannah terus mengambil tanpa meminta terlebih dahulu. Sesuatu atau
seseorang yang berada di dalam gambar tersebut membuatkan dia seperti berada di
dalam dunia sendiri.
Bingkai gambar tadi sudah berada
dekat dengan wajahnya. Tiba-tiba, matanya sedikit terbeliak. Tangan Jannah mula
menggigil sebaik saja menatap gambar milik seorang gadis.
“Khatijah...” Terpacul satu nama
dari bibir Jannah. Matanya yang sudah membesar mulai berkaca. Lututnya terasa
lemah menyebabkan dia jatuh terduduk. Nasib baiklah dibelakangnya ada sofa yang
empuk.
“Puan...! Puan tak apa-apa..?!”
Salmah resah melihat keadaan Jannah. Wajah yang dari tadi sentiasa berseri
bertukar pucat lesu. Anak mata Jannah masih melekat pada gambar di tangannya.
“Ini...” Jari telujuk Jannah
terketar-ketar menunjukkan kelibat seorang gadis di dalam gambar tadi. “Siapa
gadis ni..?!” Suaranya turut terketar seketar jarinya.
“Takkanlah Puan tak kenal.., gadis
tulah Fazira.”
Di saat itu, jantung Jannah terasa
seperti berhenti berdegup. Kepalanya pula terasa ringan semacam. Lantas,
lidahnya beristighfar panjang. ‘Tak mungkin...., Khatijah datang ke Malaysia.
Maknanya... Abang Zali pun ada di sini. Ya ALLAH.., rasa syukur ku panjatkan
pada-MU kerana mempertemukan semula aku dengan dia.’ Doa Jannah di dalam hati.
Dalam tak sedar, air matanya mengalir turun. Terkedu Salmah melihat keadaan
pelanggannya.
Di dalam sebuah jet persendirian,
seorang lelaki separuh abad segak berkot, sedang duduk termenung sambil
memandang ke luar tingkap. Kepulan-kepulan awan putih mengganggu pemandangannya
untuk melihat keindahan alam ciptaan Yang ESA. Wajahnya nampak resah semacam.
Kadang-kala, dahinya berkerut. Dia mengeluh kecil.
Pagi tadi, dia menerima panggilan
cemas dari adiknya, Jannah.
“Saya dah jumpa dengan dia, Bang.”
Kata Jannah dari corong telefon. Suaranya kedengaran gembira, ceria dan agak
kalut.
“Ya ALLAH, Jannah. Cuba bawa
bertenang. Siapa yang kamu jumpa?”
“Khatijah.., Bang. Dia ada di
Malaysia.” Faizzul yang dari tadi bersandar santai, terus menegakkan badannya.
Matanya pula membesar tanda terkejut.
“Kamu biar betul, Jannah..?! Jangan
mainkan Abang.”
“Ya ALLAH, Bang..., saya serius.
Nanti saya hantarkan gambarnya. Abang tengok betul-betul.” Tanpa perlu menunggu
lama, komputer riba Faizzul berbunyi menandakan ada e-mail. Tangan Faizzul
pantas menggerakan tetikus. Dalam beberapa saat, terpampang gambar pada skrin
komputernya.
Pada masa yang sama, matanya
membesar sama besar dengan mulutnya. Pandangannya didekatkan lagi pada skrin
komputernya.
“Ya ALLAH..., rupanya seperti
Khatijah.” Faizzul bersuara perlahan.
“Kan saya dah cakap. Baik Abang
balik hari ni juga. Jannah dah ada alamat rumahnya dan bercadang nak pergi...”
“Eeh..., tunggu Jannah! Kalau ye
pun, tunggulah Abang sampai sana dulu. Abang pun pergi sama. Jangan lupa
beritahu Azri sekali.”
“Yelah. Hati-hati ya, Bang. Jangan
lupa baca doa. Semoga ALLAH lancarkan dan permudahkan perjalanan kita nanti.”
“Amin...” Faizzul mengaminkan doa
adiknya.
“Tuan... Tuan...”
Panggilan Johari menyedarkan
Faizzul dari lamunannya.
“Ya..” Jawab Faizzul seraya
memandang lelaki bercermin mata di hadapannya.
“Tuan... sihat?” tanya Johari,
risau selepas melihat linangan air mata di pipi Faizzul.
“Saya... saya tak apa.” Faizzul
segera mengesat pipinya. “Tiba-tiba saja teringat tentang kisah lama. Entah
kenapa boleh rasa sebak semacam.” Jelas Faizzul sedikit ketawa. Johari tersenyum
manis. “Ada apa-apa?”
“Oh.., kita akan mendarat dalam
masa 10 minit lagi!” balas Johari sopan. Faizzul mengangguk tanda faham seraya
memakai tali pinggang keledarnya. Dalam hatinya sudah berdoa supaya
perjalanannya untuk bertemu orang yang telah lama menghilang, dipermudahkan.