Thursday 10 October 2013

Bersatu Selamanya Bab 11 ~ Bab 15

------------BAB 11------------
Fazri dan Alif duduk bersembang di tangga tadi dengan kaki terendam di dalam air. Sesi meminta maaf sudah selesai, namun keadaan masih terasa agak tegang.

“Mak ngah ke yang jemput abang?” tanya Alif dengan nada yang agak keras. Fazri terkejut namun tidak ditunjukkan reaksi itu. Dia tersenyum ringkas.

“Ya. Dia yang jemput abang. Dia buat semua ni pun sebab Alif juga. Dia sayangkan Alif.”

“Itu Alif tahu. Satu perkara yang buat Alif was-was sekarang ni... ialah niat abang. Abang betul-betul ikhlas berkawan dengan Mak ngah?” tanya Alif keras. Fazri terkedu kerana diserang soalan yang sama namun dia tetap berlagak tenang.

“Secara jujurnya, abang memang ikhlas berkawan dengan Mak ngah. Tak terdetik langsung di hati abang untuk mengambil kesempatan pada Mak ngah.” Terang Fazri panjang. Dia merenung wajah si abang dengan pandangan yang dalam. Alif diam.

“Alif mahukan jawapan yang jujur dari abang, abang suka Mak ngah kerana Mak ngah cantik, kan..? Bukan sebab lain.” Tambah Alif lagi malah makin berbisa. ‘Aduh.., tadi dah minta maaf! Tapi, sekarang masih nak bersoal jawab. Bertenang, Azri. Jawab saja soalan dia dengan tenang. Jangan gelabah, nanti Fazira terlepas.’ Omel hati Fazri. Dia menarik nafas.

“Abang tak pandang luaran, Alif. Untuk pengetahuan Alif, abang dah jumpa ramai perempuan yang cantik dan secantik Mak ngah. Malah, lebih cantik dari Mak ngah pun ada. Tapi.., tak ada seorang pun yang berjaya buat abang terpikat.” Fazri merenung wajah si abang.

“Alif tahu kenapa..? Sebab hati mereka semua tu.., tak secantik rupa paras mereka. Mereka terlalu bangga dan bongkak dengan kecantikan mereka hingga membuatkan hati mereka nampak hodoh dan buruk. Tapi.., bukan Mak ngah Alif. Dia sentiasa menutup kecantikan dirinya dan itu yang membuatkan abang... tertarik padanya.” Terang Fazri bertambah panjang lebar. Alif diam lagi. Dia memandang Fazri.

“Jadi.., abang tetap akan sukakan Mak ngah walaupun Mak ngah tak cantik?”

“Kalau dah jodoh kami, abang tak kisah.”

Alif jadi bingung mendengar kata-kata Fazri.

“Kenapa abang macam tak komited dengan perasaan sendiri saja..?” balas Alif. Fazri mengangkat kening sambil ketawa. Tidak sangka, budak seperti Alif pun pandai menggunakan ayat skema seperti itu.

“Abang yakin dengan perasaan sendiri, kalau tak abang takkan datang sini semata-mata nak berjumpa Alif.”

“Jumpa Alif atau jumpa Mak ngah..?” Alif sengaja menduga. Fazri tersengih kantoi.

“Jumpa Mak ngah memang sudah semestinya.” Fazri ketawa kecil. Alif mula mengukir senyuman. Sejuk hati Fazri selepas melihat senyuman Alif. Terasa kurang pula beban yang bertenggek di bahunya.

“Memandangkan abang dah mengaku secara jujur, Alif tak berhak nak menghalang.” Alif berdiri. Fazri sudah mendongak pelik. “Tapi.., Alif bagi amaran kalau abang sakiti Mak ngah.., Alif bersumpah akan cari abang sampai lubang cacing. Alif serius.” Tekan Alif. Fazri tersenyum menahan tawa.

Fazri menghulurkan tangan untuk berjabat. Alif menggenggam erat tangan Fazri. Mereka saling tersenyum dengan tangan masih berjabat erat.

“Sebelum tu, Alif ada hadiah untuk abang.”

“Hadiah..? Hadiah apa?” tanya Fazri pelik. Alif tersenyum lebar. Lebih kepada nakal dan jahat.

“INI..!!” jerit Alif seraya menjatuhkan badannya ke dalam air. Fazri tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengelak. Dia turut sama terjatuh memandangkan tangannya masih melekat dengan tangan Alif. Mereka berdua terjunam ke dalam air. Selepas seketika, mereka timbul semula. Air tidaklah dalam mana pun, setakat paras pinggang Fazri saja.

“Sampai hati Alif..!!” jerit Fazri yang sudah basah lecun. Mukanya segera diraup seraya menolak rambutnya ke belakang. Alif pula ketawa besar melihat keadaan Fazri. Air sejuk yang sudah menggigit tulang-belulang dalam badan mereka langsung tidak dipedulikan lagi. Mereka terus ketawa sambil menyimbah air sesama sendiri.

“Ya ALLAH..!! Apa dah jadi?” Suara Fazira tiba-tiba muncul dari arah anak tangga dengan muka yang terkejut. Mereka berdua berhenti bergerak sambil memandang sesama sendiri. Kemudian, ketawa terburai antara mereka lagi. Fazira pula dibiarkan kebingungan.

“Apa yang jadi?” tanya Fazira lagi masih risau. Dia masih di tempat yang sama.

“Awak tengok... siapa yang buli siapa sekarang?!” balas Fazri dengan muka yang sengaja dibuat serius.

“Along..?!” panggil Fazira dengan suara yang dalam ditambah pula dengan jelingan yang tajam. Pinggangnya sudah bercekak tanda marah. Fazri sudah mendaki anak tangga tadi.

“Alah..! Dah alang-alang datang, kenalah mandi sekali.” Balas Alif selamba. Dia masih berani tersenyum walaupun ibu saudaranya sedang menjeling marah.

“Awak ada bawa baju untuk salin?” tanya Fazira risau.

“Jangan risau. Saya dah bawa. Lagipun, memang niat saya nak bermain dengan mereka bertiga.” Jawab Fazri senang. Fazira tersenyum lega. Mereka berjalan menuju ke pondok tadi.

“Zira..?!” panggil satu suara dari arah sebuah kereta pacuan empat roda berwarna kelabu. Fazri sudah tercengang sambil merenung kelibat milik suara tadi. Seseorang sedang memasukkan separuh badannya ke dalam perut kereta tadi.

“Mana kau letak tikar ni?” suara itu bertanya lagi. Kedengaran kasar dan keras.

“Ada kat situ. Carilah betul-betul.” Balas Fazira selamba. Fazri memandang Fazira pelik kemudian kembali melihat kelibat empunya suara kasar tadi. Seorang lelaki sedang berjalan ke arah pondok sambil memegang segulung tikar. Pada satu saat, mata mereka bertembung. Lelaki itu segak, berkulit sawo matang malah, sama tinggi dengannya. Lelaki itu tersenyum. Fazri yang tersedar kelakuannya sumbangnya turut sama tersenyum.

“Zira..,” panggilnya tetapi kali ini lebih lembut. “...ini ke kawan yang kau nak kenalkan pada aku?” tanya lelaki itu.

“Ya.., kenalkan. Ini kawan baik saya, Kamarul.” Jelas Fazira. Mereka bersalaman.

“Muhammad Fazri.” Balas Fazri ringkas dengan senyuman yang manis. Tangan mereka berpisah.

“Mana Fazilah?” tanya Fazira sambil melihat sekeliling. Pintu bonet kereta pacuan empat roda tadi dibuka. Alif menolong memunggah keluar bekalan yang dibawa dari rumah. Fazri menolong tanpa diminta.

“Dia pergi tandas dengan Atiqah dan Atif. Kejap lagi datanglah tu. Haa.., panjang umur!” Kamarul memandang ke arah seorang gadis sedang berjalan sambil berpimpin tangan dengan Atiqah dan Atif. Fazri turut sama memandang gadis itu.

“Yea.., dah sampai.” Kata Fazilah seraya melepaskan tangan dua beradik tadi. Atiqah dan Atif berlari riang dan naik ke atas pondok tadi. Kali ini, Fazilah dan Fazri pula berpandangan. Mereka tersenyum.

“Awak pasti Fazri, kan?” teka Fazilah sambil tersenyum.

“Ya, saya.” Balas Fazri ringkas.

“Saya Fazilah, kawan Fazira.” Balas si gadis bertudung litup. Fazri tersenyum.

Dalam hati, dia sebenarnya agak terkejut. Fazira kata dia hanya datang dengan anak-anak saudaranya. Tidak pula diberitahu kawan-kawannya juga datang bersama. Mungkin Fazira takut dia tidak akan datang jika tahu kawannya juga diajak bersama.

Selepas siap memunggah bekalan, mereka kembali bermain air. Fazira dengan Fazilah hanya melihat manakala Fazri dengan Kamarul, seronok bermain dengan tiga beradik tadi. Fazira dan temannya duduk bersantai di atas sebuah batu besar dan leper terletak di sebelah kiri anak tangga.

“Ya ALLAH! Hensemnya mamat tu. Boleh runtuh iman aku kalau pandang lama-lama. Macam muka Cina pun ada.” Fazilah menjerit kecil dengan nada yang dalam. Paha Fazira ditampar lembut.

“Kau ni..., Kamarul dengar nanti kau jugak yang kena.”

“Biarlah. Dia ingat dia sorang saja mamat hensem dalam kampung kita.” Balas Fazilah dengan muncung yang panjang.

“Oh.., kiranya kau mengaku jugaklah yang dia tu mamat hensem!” balas Fazira. Muncung temannya makin memanjang. Fazira yang sudah tidak tertahan, terburailah tawanya.

“Orangnya macam mana?” tanya Fazilah. Fazira jarang bercerita mengenai Fazri. Terkejut juga dia bila Fazira tiba-tiba telefon dan mengajak dia dan tunangnya untuk berkelah malah dalam masa yang sama ingin kenalkan Fazri pada mereka berdua.

“Entahlah. Aku pun tak berapa kenal dia sangat. Yang aku tahu nama dia, tempat kerja dia dan... pekerjaannya. Tu saja.” Jelas Fazira sambil memandang mereka yang begitu asyik berseronok.

“Kau terlupa satu benda..,” Fazira memandang Fazilah dengan air muka yang hairan. “...dia baik. Kan kau cerita yang dia pernah tolong kau tukarkan tayar pancit untuk kau.”

“Kalau setakat tukar tayar, orang lain pun boleh tolong.” Fazira tunduk memandang buah epal yang sedang dikupasnya.

“Tapi dia yang datang, bukan orang lain.” Fazilah memotong pantas. “Entah-entah, dia jodoh kau. Siapalah tahu, dialah calon yang sesuai untuk kau.”

Fazira diam. Dia kembali memandang ke arah mereka berlima. Anak matanya sudah melekat pada wajah Fazri yang begitu seronok melayan karenah anak-anak saudaranya. Sekelip mata, pandangan mereka bertembung. Fazira yang sudah panik segera mengukir senyuman yang manis. Air mukanya pula dikawal dengan baik.

Fazri pula terasa seperti ingin menjerit sekuat hatinya sebaik saja melihat senyuman yang dilemparkan ke arahnya. Berkembang mekar hatinya selepas sedar yang dia berada dalam perhatian gadis idamannya. Dia kembali melayan si Atiqah yang dari tadi asyik berkepit dengannya.

“Kau tak nak beri dia peluang?” tanya Fazilah lagi selepas lama membisu. “Aku tengok Atiqah bukan main manja dengan dia. Siap berpak ngah-pak ngah lagi. Alif dengan Atif pun nampak mesra dengan dia. Elok sangatlah kalau korang berdua betul-betul jadi pak ngah dengan mak ngah.”

“Hish.., kau ni. Suka sangat merepek.”

“Merepek apanya cik kak oi...?! Kau tak perasan cara dia pandang kau. Cara dia senyum pun boleh tahu yang dia memang ada hati dengan kau.” Balas Fazilah tegas. Fazira diam sambil memandang sekilas wajah Fazri yang masih tersenyum. Dia mengeluh lemah.

“Aku bukan tak nak beri peluang. Tapi, hati aku ni... takut nak beri ruang pada perasaan tu lagi. Aku takut... dia macam...”

“Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” Fazilah berkias. Mentang-mentanglah dia guru Bahasa melayu.

“Kenapa nak salahkan nila kalau susu tu memang dah rosak dari awal lagi.” Fazira membalas selamba. Fazilah mengeluh seraya menggeleng. Fazira nampak saja seperti gadis yang lemah lembut tapi kepala batu mengalahkan batu konkrit.

------------BAB 12------------
Hampir pukul sebelas setengah, mereka berhenti bermain dan naik ke pondok untuk mengisi perut yang kosong. Di tengah hamparan tikar sudah terhidang makanan untuk dijamah.

“Kau masak apa hari ni?” tanya Kamarul sambil mengering rambutnya dengan tuala.

“Hari ni special..., nasi beriani dengan kari ayam dan gulai daging.” Fazilah mambalas pantas sambil menyenduk nasi beriani ke dalam pinggan plastik. “Siap ada air asam dengan kacang botol lagi.”

“Haa.., kau tu tau makan saja! Bukan nak tolong dia masak.” Balas Kamarul keras.

“Eh.., biarlah! Yang kau sibuk apasal?” Fazilah membalas agak meninggi. Fazri yang melihat sudah mengerut dahi. Pelik. Macam tidak percaya mereka berdua sudah menjadi tunangan selama lima tahun.

“Sudah-sudahlah tu. Tak malu ke bergaduh depan orang.” Fazira segera menjadi orang tengah. Kalau dibiarkan mereka berdua bertambah melarat nanti. Fazilah menjelir seraya bersimpuh di sebelah kanan Fazira manakala Atif sudah setia di sebelah kiri, menunggu untuk disuapkan.

“Em.., bertuahlah awak Fazri sebab awak lelaki kedua yang berjaya merasa masakan Fazira.”

“Siapa lelaki pertama?” Selamba Fazri bertanya.

“Sayalah!” Kamarul ketawa besar. Fazilah sudah menjeling tajam melihat perangai tunangnya yang nakal mengalahkan budak kecil.

“Jangan nak perasanlah. Siapa kata kau lelaki pertama?” balas Fazilah seperti menyimbah minyak petrol ke dalam api. Kamarul membalas dengan jelingan tajam.

“Eh.., betullah aku lelaki pertama!”

“Habis, Pak long Zali tu bukan lelaki.” Balas Fazilah lagi.

Serentak dengan itu, Fazri tersedak hingga terbatuk-batuk. Kamarul segera menyuakan segelas air seraya menepuk-nepuk belakang jejaka itu. Fazilah dan Fazira sudah memandang dengan hairan. Malu betul dia tapi kepalanya sudah memikirkan perkara lain. Punya seronok bersama Fazira hingga terlupa tentang Ghazali. Dibuatnya Pak long Zali datang waktu ni, terkantoi semua rancangannya untuk memikat si gadis idaman.

“Awak okey?” tanya Fazira lembut.

“Saya okey. Entah macam mana boleh tersedak.” Balas Fazri sambil mengurut-ngurut dadanya yang masih terasa sedikit perit.

“Hem.., sah! Awak dah tersampuk dengan masakan Fazira.” Kamarul sudah mula menyakat. Fazira hanya mampu menjeling tajam. Mulut Kamarul bila dah terbuka memang susah nak tutup. “Tak hairanlah kalau awak tersampuk sebabnya saya pun macam awak jugak. Nasib baiklah saya ada tunang garang yang pandai memasak, kalau tak kempunanlah saya sebab nak merasa masakan dia setiap hari.”

“Amboi.., lancarnya mulut!” Fazilah marah sambil melempar tulang paha ayam ke arah Kamarul. Mereka yang lain sekadar ketawa melihat gelagat mereka bergaduh mengalahkan budak kecil.


Hampir jam satu tengahari, mereka mula mengemas untuk pulang. Atiqah mula merengek ingin pulang bersama Fazri walaupun Fazira melarang tegas. Penat juga Fazri memujuk si adik yang sudah mula manja dengannya. Dia sendiri berat hati untuk berpisah dengan adik-beradik itu tetapi apakan daya, dia masih seorang lelaki yang asing di sisi Fazira. Dia tidak mahu tersalah langkah dalam memikat hati gadis idamannya.

Kamarul menurunkan Fazri di tempat dia meletakkan keretanya. Di situ juga mereka berkumpul sebelum berpisah. Alif dan adiknya yang lain sudah terlelap di dalam kereta. Letih selepas bermain air. Bertambah pula keseronokkan mereka dengan kehadiran Fazri.

“Bila awak sampai di simpang yang ketiga baru awak belok ke kiri, pandu terus dan awak akan jumpa jalan kecil yang menghala terus ke Pekan Juntai.” Kamarul menerangkan jalan pintas pada Fazri. “Kalau awak belok ke kanan, alamatnya berjumpa dengan jerat cinalah.” Kamarul sempat berseloroh. Mereka yang mendengar sudah ketawa.

“Terima kasih kerana sudi jemput saya.” Ucap Fazri sambil tersenyum memandang Fazira. Dia memang tidak jemu memandang gadis itu.

“Sama-sama.” Balas Fazira dengan senyuman yang manis. Ketika itu, Kamarul dan Fazilah sudah beredar menuju entah ke mana. “Maaf sebab... tak beritahu awak yang saya jemput kawan saya sekali.”

“Tak apa. Saya tak kisah langsung. Lagi ramai, lagi meriah. Kalau tak keberatan.., saya memang teringin nak datang lagi ke sini terutama sekali dengan mereka semua. Rasa macam tak puas pulak.”

“InsyaALLAH. Kalau dipanjangkan umur, saya takkan lupa untuk ajak awak sekali.”

“Kalau macam tu, baguslah. Tercapai juga impian saya nak merasa masakan awak.” Fazira ketawa kecil mendengar kata-kata Fazri. “Sekurang-kurangnya, kurang sikit tahap kempunan saya kalau dapat berkelah lagi macam hari ni.” tambah Fazri dengan senyuman yang tidak pernah lekang. Fazira sekadar menggeleng.

“Saya memang tak sangka mereka berdua dah lima tahun bertunang.” Tambah Fazri sambil memandang dua teman Fazira yang masih bertekak. Entah bila pula mereka kembali semula ke kereta mereka. Fazira sudah tersenyum.

“Memang pelik. Dalam sehari, kalau mereka tak bertekak pasti ada yang tak kena. Saya tak berapa risau sangat sebab bila mereka bergaduh, itu tanda mereka saling sayang antara satu sama lain.” Jelas Fazira panjang lebar. Fazri turut tersenyum.

“Hah..?! Yang tersenyum-senyum ni... mesti Fazira cakap yang bukan-bukan pasal kami.” Kamarul tiba-tiba datang menyergah mereka berdua.

“Mana ada. Kami cuma berborak kosong jelah...”

“Alah.., kau jangan nak berdalih lagi!” Fazilah muncul di sebelah Fazira. “Aku tahu nasib aku memang malang sebab dapat tunang macam mamat selenge ni.”

“Apa..?! Selenge..?!” Telinga Kamarul sudah berasap. “Eei... kalau diikutkan hati dah lama aku...”

“Apa... kau nak buat apa?” Fazilah makin mengasak. Kamarul menjeling tajam. Fazri dan Fazira pula sudah menjadi penonton tanpa dipinta.

“Fazira..! Bila kau nak kahwin?!” Tersentak Fazira mendengar kata-kata spontan yang terpacul keluar dari mulut Kamarul. “Cepat kau kahwin, cepat sikit aku dapat minah kering ni.” tambah Kamarul sambil menjeling galak ke arah tunangnya.

“Mulut tu jaga sikit boleh tak?!” Marah Fazilah selepas melihat keadaan temannya yang sudah merah muka menahan rasa segan.

“Eh..., betul apa aku cakap?! Kalau kau tak ada calon, aku cadangkan Fazri.” Serentak, Kamarul memaut bahu Fazri seraya mengenyit matanya. Fazri pula sudah tersenyum lebar. “Padan sangat. Sama cantik, sama kacak. Nama pun nak dekat sama. Kira jodohlah tu.” Tambah Kamarul dengan tawa besar. Fazira sudah menjeling tajam. Hatinya sudah panas membara. Makin panas dibuatnya bila melihat senyuman Fazri yang makin melebar.

“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu. Assalamua’laikum.” Balas Fazira selamba seraya membuka langkah pergi. Tercengang Fazri melihat Fazira yang sudah melangkah pergi. Memang patut pun. Gadis mana tak marah bila digandingkan sebegitu.

“Jangan risau. Rajuknya tak lama.” Kamarul cuba menenangkan Fazri yang nampak sedikit gelabah.

“Betul tu. Fazira bukan jenis yang suka merajuk.” Tambah Fazilah tersenyum.

Fazira membuka langkah meninggalkan dua penyakat dan Fazri yang setia berdiri memandang setiap langkah yang diatur oleh gadis idamannya.

Dalam masa yang sama, entah bala apa yang mendatang, sebuah kereta jenis pacuan empat roda sedang berundur dengan laju di atas jalan bertar yang landai. Fazira pula sedang melintas jalan tersebut menuju ke keretanya. Mata Fazri yang menangkap pergerakan kereta tersebut secara automatik menjerit nama...

“FAZIRA...?!”

Dalam waktu itu juga, langkah Fazira terhenti lantas dia menoleh untuk melihat Fazri yang tiba-tiba saja menjerit memanggil namanya. Dalam sekelip mata, tubuh langsing Fazira disambar. Kereta tadi terus meluncur pergi hinggalah ia bertembung dengan sebatang pokok. Semua yang berada di situ terkejut melihat kejadian malang itu. Apa yang lebih menarik perhatian mereka ialah aksi berani Fazri menyelamatkan Fazira yang nyaris dilanggar oleh kereta tadi.

Fazira selamat dalam pelukan kemas Fazri. Nafas masing-masing kencang dari biasa. Fazira masih melekap di dada Fazri, langsung tidak bergerak. Begitu juga Fazri. Tubuh hangat Fazira membuatkan pelukannya semakin erat. Malah, wangian yang tersemat pada tubuh gadis itu membuatkan dia bagaikan terawang-awang di udara. Di luar kesedarannya, wajahnya sudah dibenamkan ke leher gadis sunti itu.

Sedar dengan keadaan sumbang lagi tidak senonoh Fazri, Fazira segera meloloskan diri dari pelukan Fazri. Mukanya yang sedia cerah lagi putih, sudah bertukar merah padam. Dia sendiri nyaris hanyut dalam pelukan jejaka itu. Rangkulan erat si jejaka membuatkan tubuhnya beku.

Kamarul dan Fazilah yang juga saksi kejadian yang mampu melihat. Perasaan resah dan bimbang sudah menyerang benak masing-masing.


Kejadian dua hari yang lalu dibiarkan berlalu begitu saja. Tiada berita sumbang yang kedengaran. Tetapi, itu tak bermakna Fazira boleh menghela nafas lega. Dia masih perlu berhati-hati. Walaupun Kamarul dan Fazilah adalah saksi kejadian, nasibnya masih lagi terumbang-ambing. Inilah masalah yang bersarang dalam kepala Fazira.

Lain pula dengan cerita dengan si Fazri. Dia bagaikan lelaki yang hampir-hampir hilang akal atau pun orang tersilap makan ubat. Sentiasa tersenyum dan tertawa seorang diri. Rakan sekerjanya naik hairan dengan kelakuannya. Selalu termenung. Kadang-kala gembira mengalahkan bapa dapat anak. Memang lain dari biasa. Nombor telefon si gadis langsung tak terusik dari telefonnya. Dia dapat rasa tindakan menelefon gadis itu hanya akan mengundang rasa tidak selesa pada si gadis. Kelakuannya tempoh hari mungkin dianggap seperti cuba mengambil kesempatan terhadap si gadis walaupun tindakannya boleh dianggap wajar.

Namun..., siapa yang tidak gembira apabila berpeluang memeluk gadis idaman sepuas hatinya. Dia berjaya menyentuh bunga terlarang yang dijaga rapi dalam taman larangan. Dia masih ingat akan bau wangian yang tersemat pada tubuh gadis idamannya. Masih dia ingat akan kehangatan tubuh gadis itu ketika dia...

“Astahgfirullah hala’zim...!” Fazri bingkas bangun dari baringan. Dia nyaris-nyaris melayan nafsu sendiri. Dia beristighfar lama seraya menggosok-gosok dadanya. Masih ada debaran yang sama seperti hari itu. Nafas yang pendek kembali tenang. Suasana bilik tidur terasa sunyi seketika.

Deringan telefon bimbitnya memecah kesunyian. Dia segera mencapai telefon yang berada di sebelah bantalnya. Skrin ditatap lama. Kedua keningnya terangkat.

“Ummi..?!”


------------BAB 13------------
Kereta Honda Accord hitam meluncur dengan kelajuan sederhana di lebuh raya yang agak lengang. Fazri memandu dengan penuh berhati-hati. Seorang wanita bertudung litup sedang bercakap dengan telefon. Wanita itu nampak muda walaupun sudah berusia lebih kurang 50 tahun. Telefonnya diturunkan dari telinganya tanda perbualannya dengan seseorang sudah tamat.

“Papa kirim salam.” Kata Jannah sambil memasukkan telefonnya ke dalam beg tangan.

“Waa’laikum salam.” Jawab Fazri lancar. Matanya langsung tidak dialih dari jalan raya di hadapan. Selepas menerima panggilan telefon dari ummi yang akan tiba tengahari nanti, dia segera membeli sebuah kereta baru. Tunai lagi. Dia juga sudah menempah sebuah bilik untuk ummi di sebuah hotel 3 bintang yang terletak tidak jauh dari tempatnya bekerja. Tak sanggup pula membiarkan ibu saudaranya tinggal di rumah teres yang disewanya kerana agak sempit dan usang. Semuanya diselesaikan dalam masa sehari. Dia mahu ummi berasa selesa tinggal di pekan kecil ini.

Baginya, duit bukan satu masalah. Kalau tak bekerja setahun pun, duit dalam simpanan masih cukup dibelanjakan untuk beberapa tahun akan datang. Inilah identiti sebenar Muhammad Fazri Alias bin Tan Sri Dr. Faizzul, anak kepada jutawan ternama yang amat disegani. Kehidupannya sejak kecil sentiasa dilimpahi dengan kekayaan dunia, tidak kurang juga dengan harta akhirat. Buktinya, Fazri adalah anak yang soleh. Tak pernah meninggalkan solat dan sentiasa patuh pada ayah dan ummi.

Ayah Fazri merupakan usahawan dan ahli korporat terkenal dalam bidang pengangkutan seperti kapal laut dan kapal terbang. Dia juga berjaya membuka cawangan yang kelima di luar negara. Pentadbiran syarikatnya di Malaysia telah diamanahkan kepada anak tunggalnya. Berkat doa dan kesungguhannya, dia berjaya menempah nama sebagai ahli korporat yang tersohor di Malaysia dan bakal di luar negara.

“Macam mana dengan tempat baru Azri bekerja sekarang... okey?” Pertanyaan Jannah memecahkan suasan sunyi di dalam kereta. Radio sengaja tidak dihidupkan.

“Alhamdulliah, semuanya baik. Lain kali Ummi beritahulah awal-awal kalau nak datang. Ni tak, dah nak turun plane baru nak call.” Marah Fazri manja. Kelam-kabut dia meninggalkan rumahnya selepas menerima telefon dari Ummi. Cara pemanduannya pula mengalahkan pemandu F1. Jannah ketawa lucu.

“Maaflah. Bukan selalu Ummi boleh mengacau Azri. Sekurang-kurangnya, terubat juga rindu Ummi pada Azri. Lima bulan Ummi tak berjumpa Azri, tahu tak?” Jannah menekan di hujung ayatnya. Tangannya pula sudah mengelus manja sisi rambut satu-satunya anak saudaranya. Fazri sudah tersenyum dan membiarkan dirinya dibelai oleh tangan Jannah yang sudah dianggap seperti ibu sendiri. Mana ibu kandungnya? Entahlah. Dia sendiri tak pasti. Tiga bulan yang lalu, dia ada menerima mesej dari ibunya yang ketika itu berada di Milan untuk menghadiri fasion show. Maklumlah, ibunya seorang pereka fesyen yang terkenal malahan bekas model paling meletup ketika zaman kemahsyurannya.

“Azri nampak lain dari biasa?” kata Jannah selepas begitu lama mengamati wajah anak saudaranya yang dari kecil dipanggil Azri.

“Lain? Lain macam mana?” Fazri hairan ditambah dengan dahi yang berkerut. Jannah tersenyum manis.

“Azri nampak lebih... berseri. Ada apa-apa yang berlaku waktu ketiadaan Ummi?” tanya Jannah sekadar 
menduga. Fazri sudah tersenyum simpul.

“Mana ada. Azri rasa biasa saja.” Fazri berlagak selamba. Air mukanya segera dikawal. Takut tembelangnya pecah. Jannah bukan calang-calang orangnya. Wanita itulah yang menjaganya sejak dia dilahirkan ke dunia ini. Malah, susu badan wanita itu jugalah yang diminumnya setiap kali dia menangis kehausan.

“Azri tak boleh tipu. Ummi perasan dengan perubahan yang berlaku pada anak Ummi. Wajah Azri nampak berseri sangat... seperti orang yang sedang... dilamun cinta.”

Kantoi! Jerit hati Fazri lantang. Mukanya sudah berkerut. Kalut.

“Jadi betullah?!” Jannah nampak teruja.

“Mana ada.” Fazri cuba menenangkan dirinya. Pernafasannya juga dikawal dalam diam. “Ummi nih... suka sangat merepek. Azri mana ada masa nak buat... perkara macam tu. Apa tu... bercinta? Azri sibuklah, Ummi.” Tambah Fazri tenang. Dia memandang sekilas ke arah ibunya. Jannah pula sudah merenung Fazri dengan mengecilkan matanya yang sudah bulat dan bundar. Tanda dia sedang mendesak Fazri untuk bercakap benar. Fazri yang sedang tekun memandu mula gelabah. Butang baju T-shirtnya dilonggarkan kerana terasa seperti menjerut lehernya.

“Azri...” Jannah menekan suaranya agak dalam. Renungannya masih sama. Fazri menelan liurnya yang sudah terasa pahit lagi payau. Dia mengeluh berat. Kenapalah dia selalu tertewas dengan pujuk rayu ummi?

“Yelah... yelah. Ummi menang.” Fazri bermuka masam kerana tewas. Jannah sudah bertepuk tangan gaya budak kecil.

“Siapa... beritahulah ummi?! Macam mana orangnya? Tinggi atau rendah, kurus atau tembam, bertudung atau tak....” Jannah menyerang bertalu. Mengalahkan machine gun. Fazri sudah menggeleng melihat gelagat ummi.

“Ummi...!” Fazri menjeling manja. Jannah menutup mulutnya. Sedar dirinya sudah sampai tahap teruja melebih. “Yang pasti dia bertudung dan...” Fazri menunjukkan air muka yang resah dan suram.

“Kenapa Azri?” panggil Jannah manja.

“Susah sikit, ummi.” Balas anak saudaranya ringkas. Jannah pelik.

“Dia jual mahal?” Jannah meneka. Fazri ketawa kecil.

“Bukan jual mahal. Tapi, dia dah sememangnya mahal. Maklumlah, anak gadis bekas Imam masjid besar di pekan ni.” Fazri membalas seraya memandang sekilas wajah ummi.

“Oouw... gaya tu punya mahal. Ummi faham.” Jannah mengangguk. Dia memang faham maksud Fazri. Gadis itu semestinya jenis yang menjaga adat dan adab seorang Muslimah. Gadis begini selalu perlu dirisik terus melalui orang tuanya.

“Apa yang Azri tahu pasal dia?”

“Buat masa ni..., Azri dah kenal ayah dia.” Jannah mengangkat kening tanda kagum. “Itu saja. Kalau tanya lebih-lebih takut dia tak berani jumpa Azri pulak.” Terang Fazri terperinci. Jannah mengangguk lagi. Kenal sangat dia dengan gadis idaman Fazri. Jenis yang muncul ala-ala sekali dalam seribu kelahiran. Sikapnya pula seperti jinak-jinak merpati, tersilap langkah, terbang dan menghilang.

“Azri... cuma nak minta ummi jumpa orang tuanya bagi pihak Azri, tu saja.” Jelas Fazri malu-malu. Jannah sudah tersenyum lebar. Dalam hati, dia tahu kesusahan yang dialami anak saudaranya. Gadis idamannya itu ibarat bunga yang mekar yang dipagari dengan ribuan pepohon berduri. Pantas, dia setuju tanpa berfikir panjang. Dia mahu Fazri hidup bahagia kerana kebahagiaan Fazri adalah kebahagiaannya juga. Kereta Honda hitam tadi terus bergerak laju menuju ke destinasinya.


------------BAB 14------------
“Fazira...!” Satu suara menyergah lohong telinga. Jantung Fazira terasa seperti disentap kerana terlalu terkejut. Itu suara Mariam. Dia dapat mengagak sesuatu yang tidak kena hanya dari mendengar bunyi derapan kaki ibunya.

“Ya, mak.” Fazira menoleh dan tidak semena-mena...

Paap...!!

Satu tamparan yang kuat lagi padu hinggap di pipi kiri Fazira. Tubuh Fazira terasa seperti dihumban ke lantai. Dia jatuh terjelupuk dengan tangan memegang pipi gebunya yang sudah merah dek tamparan kuat Mariam.

“Perempuan tak sedar diri..!” Satu lagi tamparan melayang ke arah muka Fazira dan kali ini mengenai pelipisnya. Sekali lagi, Fazira tersungkur. Terasa kepalanya bergegar. Kepalanya berpijar dan pandangannya pula bertukar kabur. Tiba-tiba, Mariam menarik tudung Fazira dan dilempar jauh.

“Kau ni memang perempuan tak tahu malu..!” Mariam merentap rambut Fazira yang sudah semulajadi perang. “Aku tak nak tengok muka kau dalam rumah ni lagi..!! Aku dah naik muak tengok muka anak haram macam kau..!”

Cacian demi cacian keluar dari mulut lancang Mariam. Lagaknya seperti orang hilang akal. Memang Mariam sudah hilang akal. Api kemarahannya sudah memuncak hingga menenggelamkan kewarasan akalnya, apatah lagi imannya. Tangannya masih riak menampar dan memukul tubuh Fazira. Rambut Fazira masih dalam cengkamannya. Beberapa kali kepala Fazira digoncang kuat.

“Mak..., tolong jangan mak..! Maafkan Zira, mak. Kalau Zira ada buat silap tolong ampunkan Zira..!” Fazira merayu-rayu sambil memegang tangan Mariam yang masih rakus menarik rambutnya. Fazira diheret hingga ke pintu dapur. Mariam tetap dengan amarahnya. Telinganya seperti sudah pekak kerana langsung tidak menghiraukan rayuan Fazira.

“Keluar dari rumah ni..!!” Mariam sudah mengheret Fazira hampir ke tengah laman. “Aku tak nak tengok muka kau lagi..!!” tengking Mariam kuat. Rambut gadis itu dilepas kasar. Fazira tersungkur ke tanah pula. Baju kurungnya sedikit koyak dek dicarik Mariam. Dia mengumpul segala tenaga yang ada untuk bangun. Dia gelabah semacam memandangkan auratnya yang sudah terdedah.

“Mak ngah..?!” Alif menjerit terkejut selepas melihat keadaan ibu saudaranya. Dia berlari pantas tanpa memakai kasut. Tanpa berfikir panjang, dia menolak tubuh Mariam ke tepi. Giliran Mariam pula yang jatuh tersungkur. Fazira terlopong melihat tindakan berani anak saudara sulungnya.

“Cucu kurang ajar..!!” jerkah Mariam dengan mata yang merah menyala menahan marah. Dia bangun seraya mencapai sebatang kayu. Fazira sudah gelabah melihat tindakan Mariam.

“Nenek yang kurang ajar..! Nenek selalu pukul Mak ngah tak tentu pasal, macamlah Mak ngah ada buat dosa besar..!” Balas Alif lantang dengan tangannya sudah didepa luas dihadapan Fazira. Lagaknya cuba melindungi Fazira. Tidak ada sekelumat rasa takut dalam dirinya ketika itu. Rasa hormat pada wanita bergelar nenek sudah lama hilang.

“Budak macam kau tahu apa..?! Baik kau ke tepi.., kalau tak dengan kau-kau aku pukul..!”

“Pukullah kalau nenek berani. Alif tak takut..! Kalau nenek kata Mak ngah perempuan tak tahu malu, nenek patut cermin diri nenek dulu..!” Balas Alif pedas lagi berbisa. Terbeliak mata Mariam mendengar kata-kata cucunya. Kesabarannya kian hilang. Yang bermain di mindanya hanyalah bisikan syaitan.

“Cucu tak guna..!!” Mariam menengking dalam masa yang sama tangannya yang masih erat memegang kayu tadi dihayun ke arah kepala Alif.

Dengan pantas, Fazira bangun dan menarik Alif ke dalam pelukannya. Alif dipeluk erat manakala dia mengucap kalimah syahadah dalam masa yang sama seperti menunggu kayu tadi hinggap di belakang kepalanya. Lama. Tiada apa yang berlaku.

Paap..!!

Kedengaran satu tamparan yang kuat melekat pada pipi siapa, Fazira sendiri tak pasti. Alif masih dalam pelukannya. Dia membuka matanya yang dari tadi dipejam rapat lalu mendongak.

“A... ayah...”

Ghazali sedang berdiri di sebelah kirinya dengan air muka yang sudah lama tidak muncul di wajah tua bapanya. Bengis dan garang. Mariam pula sudah tersungkur ke tanah sambil memegang pipi kirinya. Ayah tampar mak...?! Ya ALLAH..., Fazira menjerit dalam hati.

“Bukankah aku dah beri amaran pada kau..?! Jangan sentuh anak aku..!!” Ghazali menengking kuat. Bergema gegendang sesiapa yang mendengar. Matanya pula membesar seperti harimau ingin menerkam mangsanya. Mariam mula teresak.

“Sampai hati Abang... tampar Yam...? Abang... sanggup tampar Yam... demi perempuan tak guna ni..?!” Mariam sudah mengalirkan air mata. Fazira terduduk melihat keadaan Mariam. Dia sendiri tidak menjangka ayahnya sanggup menampar isteri sendiri. Ghazali hanya diam melihat dan mendengar luahan perit Mariam.

“Mak ngah.., kenapa ni Mak ngah..?!” Alif sudah resah melihat keadaan Fazira yang nampak terpinga-pinga. Dia makin risau melihat luka yang sudah berdarah di sisi bibir tebal ibu saudaranya. Alif segera menanggalkan baju sekolahnya lalu diselubung tubuh Fazira yang sudah terdedah. Kemudian, terasa kepalanya pula ditutup dengan jaket nipis. Fazira menoleh pantas.

“Abang Zul..?” Fazira nampak terkejut melihat sepupu keduanya, Zulkifli.

“Jom masuk.” Kata Zulkifli ringkas seraya memapah Fazira yang nampak lemah dan lesu. Alif turut membantu. Ketika itu, Liyana dan dua anak saudaranya cuma mampu melihat dari jauh. Atiqah, Atif dan tidak terkecuali Liyana sudah menangis teresak-esak melihat keadaan Fazira.

“Kalau Abang dah tak sayangkan saya lagi, lebih baik... Abang ceraikan saya..!!” Mariam menghambur kata-kata itu tanpa berfikir panjang. Fazira yang gagah melangkah terus terpaku. Dia memandang wajah bapanya.

“Kalau itu yang kau nak.., itulah yang kau akan dapat. Mulai hari ni.., kau... Siti Mariam Binti Abdul Hasani, aku...”

“AYAH..!!” Fazira menjerit seraya memeluk kaki Ghazali. Zulkifli dan Alif sudah terlopong mendengar ucapan Ghazali dan tindakbalas Fazira.

“Jangan ayah..! Bawa mengucap. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Mak tak bersalah.., Zira yang berdosa. Jangan ucap perkataan tu, ayah. “ Tambah Fazira terketar-ketar. Air mata yang dari tadi ditahan dari mengalir turun, mencurah keluar dari takungannya. Dia masih memeluk erat kaki Ghazali.

Tiba-tiba, Mariam ketawa hebat. Mereka yang mendengar sudah memandang pelik.

“Jangan nak berlagak baik la! Aku tahu.., ini yang kau nak tengok kan. Drama di mana ayah kau ceraikan aku.” Kata Mariam seperti orang yang makin hilang kewarasannya. Dia sudah berdiri dengan linangan air mata. Ghazali masih merenungnya dengan pandangan yang tajam, setajam mata keris pahlawan Melayu. Mariam berjalan longlai menuju ke arah keretanya.

“Sekali kau keluar dari perkarangan rumah ni, maka jatuhlah talak satu ke atas kau.., Mariam.” Kata Ghazali tegas dan lantang tanpa menoleh ke arah isterinya. Mariam diam dan sudah berdiri dia hadapan pintu keretanya. Tanpa menoleh atau mengungkap sepatah kata, dia terus membuka pintu kereta. Enjin dihidupkan dan kereta Perdana hitam meluncur keluar dari perkarangan rumah Haji Abdul Ghazali Bin Haji Hamzah.

Saat itu juga, pandangan Fazira mulai kabur. Dia dapat rasa sesuatu mengalir keluar turun perlahan-lahan mengenai bibir tebalnya. Terketar-ketar tangannya memegang bawah hidungnya. Bila dilihat pada jarinya, matanya sedikit membesar. Cecair merah yang likat tercalit pada jemarinya. Lama-kelamaan, kepalanya terasa ringan dan dia jatuh terjelupuk di tanah dan pengsan.


Suasana rumah kembali tenang bila malam menjelma. Kejadian tengahari tadi sudah menjadi bualan orang kampung. Gosip panas seperti ini sememangnya cepat laku, macam pisang goreng. Semua mulut sudah bercakap dan tak lupa juga dengan telinga yang sentiasa terpasang untuk mendengar berita mahupun cerita yang tak bertauliah seperti ini.

Di dalam sebuah bilik yang diterangi lampu, kelihatan sekujur tubuh sedang berbaring. Lena si gadis nampak nyenyak. Tak lama kemudian, kelopak matanya bergerak dan terbuka perlahan-lahan. Fazira berpisat-pisat bangun dari tidurnya. Dia cuba untuk duduk tetapi seluruh badannya sakit, terasa seperti disiat-siat. Sendinya terasa sengal dan kepalanya pula masih berdengung. Meneguk liur pun sudah terasa peritnya. Tekaknya kering. Dengan segala kekuatan yang ada, dia terus memaksa dirinya bangun dan akhirnya dia duduk. Tangannya pantas memegang sisi kepala yang terasa sakit.

Tiba-tiba, dia tersentak. Dia terkejut. Dia bermimpi buruk sebentar tadi. Mimpi ngeri yang seakan-akan betul.

“Zira dah bangun..?” tegur satu suara selepas menguak pintu biliknya. Fazira menoleh perlahan. Dilihat Ghazali sedang menatang dulang berisi semangkuk bubur, segelas air dan sebesen air panas.

“Zira lapar tak..? Ayah ada masakkan bubur ayam kesukaan Zira.” Tambah Ghazali seraya meletakkan dulang tadi di atas meja solek kemudian duduk di birai katil, rapat di sisi anaknya. Sejak bapanya melangkah masuk, Fazira hanya melihat senyuman yang terukir di wajah bapanya.

“Ayah...” Fazira memanggil lembut dengan suara yang terketar-ketar.

“Ya.., sayang?” sahut Ghazali. Wajah bapanya nampak begitu tenang dan damai.

“Tadi.., Zira bermimpi. Mimpi buruk ayah...” Fazira nampak keliru. Dia masih belum sedar dengan luka dan lebam di wajah dan di sisi bibirnya.

Belum sempat dia habis berucap, Ghazali sudah menarik Fazira rapat ke dalam pelukannya. Fazira yang pada mulanya nampak tenang, mulai berteka-teki. Selepas beberapa ketika, kedengaran tangisan sayu di dada Ghazali.

“Lupakan apa yang berlaku. Apa yang terjadi hari ni..., adalah ketentuan ILLAHI.” Pujuk Ghazali sambil membelai lembut rambut anaknya. Bahu Fazira terhinjut-hinjut cuba melawan perasaan sebaknya.

“Semua ni... salah Zira...”

“Zira..., kan ayah dah cakap tadi. Sudahlah, ayah tak suka Zira salahkan diri sendiri lagi.” Ghazali menegas. Tangannya masih setia mengelus rambut ikal milik anak gadisnya. Fazira yang tidak mampu menahan rasa sebak yang kian membungkam, terus memeluk Ghazali. Dia membiarkan anaknya menangis sepuasnya.

Beberapa ketika kemudian, suasana yang kembali tenang. Tiada lagi bunyi esakkan ataupun sendu. Mangkuk berisi bubur ayam tadi sudah kosong, begitu juga segelas air tadi.

Kedua beranak tadi diam membisu seribu bahasa. Ghazali ingin memulakan perbualan tetapi risau tersilap kata memandangkan emosi anaknya masih belum tenteram. Dia beristighfar lama sebelum memulakan bicara. Nafas ditarik dalam dan dilepaskan perlahan.

“Zira.., ayah nak tanya sesuatu... Zira tahu kenapa mak marah dengan Zira..?” tanya Ghazali perlahan dengan nada suara yang lembut. Fazira yang dari tadi asyik tertunduk sudah mendongak memandang wajah bapanya. Matanya masih merah dan makin membengkak. Soalan Ghazali dijawab dengan gelengan yang lemah. Sekali lagi, Ghazali menarik nafas. Fazira sudah tidak menentu riak wajahnya bila melihat kelakuan bapanya.

“Ada orang kampung nampak Zira... berpelukan dengan seorang lelaki masa...”

Di saat itu juga, Fazira tersentak. Serta-merta kotak ingatannya memutar kembali aksi Fazri menyelamatkan dia dari dilanggar kereta. Walaupun perkara yang terjadi dalam sekelip mata, dia masih mampu mendengar degupan jantung lelaki itu. Tangannya mula menggeletar. Melihat keadaan Fazira, Ghazali menggenggam erat kedua tangan anaknya.

“Tak ada apa yang perlu Zira takutkan. Ayah dah selidik perkara sebenar dan ternyata..., Zira tak bersalah.” Kepala Fazira pula diusap lembut. “Kamarul dan Fazilah dah terangkan segalanya pada ayah. Mereka kata lelaki itu dah selamatkan anak kesayangan ayah dari dilanggar kereta. Ayah tak marah, sayang. Sebaliknya.., ayah bersyukur sangat-sangat kerana ALLAH hantar seseorang untuk selamatkan anak ayah.” Ucap Ghazali panjang lebar. Fazira memandang bapanya dengan anak mata yang kembali berkaca. Kemudian, dia kembali tertunduk.

“Macam mana Zira boleh berkenalan dengan lelaki tu..?” tanya Ghazali lembut. Nada suara dan tutur katanya sentiasa dijaga kerana tak mahu Fazira terasa hati. Fazira diam seketika.

“Zira... kenal dia... lepas dia langgar kereta Kak Maimun.” Terang Fazira takut-takut. “Zira tak rapat dengan dia, ayah. Zira berani sumpah. Zira tak pernah...”

“Ayah faham, sayang. Dan jangan bermain dengan sumpah, nanti memakan diri.” Ghazali cuba menenangkan anaknya. Diam sektika.

“Zira... suka dengan lelaki tu?”

Fazira sedikit tersentak mendengar soalan bapanya. Wajah bapanya ditenung dengan mata separuh membesar. Mulutnya pun sudah separuh terbuka. Jantungnya pula sudah tidak menentu degupannya bila mengenangkan kembali perasaannya ketika dipeluk jejaka itu.

“Ke... kenapa ayah... tanya soalan macam tu?” Tanya Fazira malu-malu. Ghazali ketawa kecil melihat wajah anak gadisnya yang sudah bertukar kemerahan.

“Kalau Fazira suka.., ayah pun suka.” Sekali lagi, pengakuan Ghazali membuatkan jantungnya makin berdegup kencang. Liur yang ditelan terasa kasar dan keras. “Kalau Zira nak tahu.., ayah kenal rapat dengan lelaki tu.”

“Maksud ayah.., dia...”

“Ya, sayang. Dialah calon yang ayah nak kenalkan pada Zira.” Ghazali tersenyum lebar.

Ya... ALLAH..., Fazira terasa dunia seperti berpusing. Kepala yang sudah sedia sakit, makin bertambah pula kesakitannya. Jantungnya pula terasa seperti terjatuh dari tempat asalnya. Fazira memegang dadanya. Rasa risau yang memuncak sudah menyerbu benaknya.

“Ayah..., macam mana dengan mak?” Fazira segera mengubah tajuk perbualan mereka. Ghazali diam seraya menghembuskan nafas yang dalam dan berat. Senyuman tadi hilang serta-merta. Fazira pula menggigit lidah.

“Ayah tak boleh nak buat apa. Dia dah pilih jalannya sendiri. Ayah lepaskan dia pergi kerana itu adalah pilihan dia.”

“Ayah akan pujuk mak semula.., kan?” Fazira menggenggam erat tangan Ghazali. Bapanya mengeluh lemah. Genggaman tadi terlepas. Fazira tertunduk seraya menekup muka. Esakan sayu kembali beralun.

“Kenapa perlu jadi macam ni? Zira tak pernah minta semua ni berlaku. Zira...”

“Zira... tak baik Zira cakap macam tu. Ini semua ujian dari ALLAH. Kita sebagai hamba-NYA yang lemah perlu berserah dan berusaha, banyakkan berdoa dan bertawakal... semoga diringankan semua dugaan tu. Ingat Zira..., selagi kita ingat pada-NYA, nescaya DIA takkan sesekali lupa pada kita.” Nasihat Ghazali panjang lebar. Esakkan tadi kembali tenang dan makin berkurang.

Belaian tangan Ghazali betul-betul lembut dan syahdu. Belaian seorang bapa yang sentiasa melimpah dengan perasaan sayang terhadap seorang anak walaupun dia hanya anak saudara bapanya. Dalam tak sedar, Fazira kembali terlena dalam pelukan bapanya.


------------BAB 15------------
Seorang wanita sedang berjalan sambil melihat deretan kedai sederhana besar di Pekan Juntai. Dia berbaju kurung Riau dan bertudung labuh. Tangannya setia menjinjit beg tangan yang kelihatan agak lusuh dan kurang menarik. Mungkin ingin mengelak dari menjadi mangsa ragut. Kakinya masih cergas melangkah sehinggalah dia sampai di sebuah kedai dua tingkat. Perhiasan luarannya tampak ceria dan menarik. Malah, nampak elegan dan eksklusif. Senyuman manis terukir di bibirnya.

Pintu ditolak perlahan. Angin sejuk dari penghawa dingin menghembus perlahan mengenai wajahnya yang membahang. Kedengaran bunyi lagu pendek seolah-olah menyambut kedatangannya. Dia melangkah masuk sambil memerhati sekeliling. Lirikan matanya lebih kepada mencari seseorang.

“Boleh saya bantu Puan?” tegur satu suara dari belakang Jannah. Dia pantas menoleh. Wajah milik suara tadi dibelek lama.

‘Bukan... ini bukan dia. Fazri kata wajahnya cerah dan putih seperti perempuan Arab.’ Bisik hati Jannah. Si penegur naik hairan melihat Jannah begitu taksub merenung wajahnya.

“Kenapa Puan..? Ada yang tak kena ke?” tanya Salmah pantas. Dia sudah terasa. Maklumlah, wajahnya yang agak tembam dan montok memang tak cantik tapi lebih kepada comel. Jannah tersenyum.

“Tak... tak ada apa. Cuma... bila tengok kamu, teringat pula kawan saya yang ada di seberang. Wajahnya hampir seiras dengan kamu.” Balas Jannah selamba sambil tersenyum. Tak sedar pula dia sedang merenung wajah gadis berusia lingkungan lewat 20-an. Salmah tersenyum malu.

“Puan nak tengok langsir atau baju? Butik kami juga ada menyediakan perkhidmatanuntuk sebarang tempahan langsir atau baju.” Terang Salmah lagi.

“Tak apa. Biar saya tengok dulu katalognya.” Balas Jannah sopan.

Selepas beberapa lama membelek, dia mula resah bila orang yang ingin dia temui masih belum muncul. Dia kembali memanggil Salmah.

“Maaf saya bertanya, tapi ada tak seorang pekerja bernama Fazira bekerja di sini?” Salmah sudah menunjukkan riak muka yang pelik.

“Ada.., tapi dia cuti.”

“Berapa lama dia cuti?”

“Mungkin sepanjang minggu ni. Ada apa Puan ingin berjumpa dengannya?” tanya Salmah ingin tahu. Jannah diam sejenak, cuba mencari alasan yang rasional.

“Ooh.., bukan apa! Cuma ingin berjumpa dengannya atas sebab peribadi.” Jannah tersengih ayu. Dia memang tak pandai dalam bab berbohong. Salmah sekadar tersenyum.

“Memandangkan dia tak bekerja hari ni, saya minta diri dulu.”

Jannah bangun dan melangkah tetapi kakinya terkaku seketika tatkala matanya menangkap gambar di dalam bingkai kaca yang cantik. Jannah terus mengambil tanpa meminta terlebih dahulu. Sesuatu atau seseorang yang berada di dalam gambar tersebut membuatkan dia seperti berada di dalam dunia sendiri.

Bingkai gambar tadi sudah berada dekat dengan wajahnya. Tiba-tiba, matanya sedikit terbeliak. Tangan Jannah mula menggigil sebaik saja menatap gambar milik seorang gadis.

“Khatijah...” Terpacul satu nama dari bibir Jannah. Matanya yang sudah membesar mulai berkaca. Lututnya terasa lemah menyebabkan dia jatuh terduduk. Nasib baiklah dibelakangnya ada sofa yang empuk.

“Puan...! Puan tak apa-apa..?!” Salmah resah melihat keadaan Jannah. Wajah yang dari tadi sentiasa berseri bertukar pucat lesu. Anak mata Jannah masih melekat pada gambar di tangannya.

“Ini...” Jari telujuk Jannah terketar-ketar menunjukkan kelibat seorang gadis di dalam gambar tadi. “Siapa gadis ni..?!” Suaranya turut terketar seketar jarinya.

“Takkanlah Puan tak kenal.., gadis tulah Fazira.”

Di saat itu, jantung Jannah terasa seperti berhenti berdegup. Kepalanya pula terasa ringan semacam. Lantas, lidahnya beristighfar panjang. ‘Tak mungkin...., Khatijah datang ke Malaysia. Maknanya... Abang Zali pun ada di sini. Ya ALLAH.., rasa syukur ku panjatkan pada-MU kerana mempertemukan semula aku dengan dia.’ Doa Jannah di dalam hati. Dalam tak sedar, air matanya mengalir turun. Terkedu Salmah melihat keadaan pelanggannya.


Di dalam sebuah jet persendirian, seorang lelaki separuh abad segak berkot, sedang duduk termenung sambil memandang ke luar tingkap. Kepulan-kepulan awan putih mengganggu pemandangannya untuk melihat keindahan alam ciptaan Yang ESA. Wajahnya nampak resah semacam. Kadang-kala, dahinya berkerut. Dia mengeluh kecil.

Pagi tadi, dia menerima panggilan cemas dari adiknya, Jannah.

“Saya dah jumpa dengan dia, Bang.” Kata Jannah dari corong telefon. Suaranya kedengaran gembira, ceria dan agak kalut.

“Ya ALLAH, Jannah. Cuba bawa bertenang. Siapa yang kamu jumpa?”

“Khatijah.., Bang. Dia ada di Malaysia.” Faizzul yang dari tadi bersandar santai, terus menegakkan badannya. Matanya pula membesar tanda terkejut.

“Kamu biar betul, Jannah..?! Jangan mainkan Abang.”

“Ya ALLAH, Bang..., saya serius. Nanti saya hantarkan gambarnya. Abang tengok betul-betul.” Tanpa perlu menunggu lama, komputer riba Faizzul berbunyi menandakan ada e-mail. Tangan Faizzul pantas menggerakan tetikus. Dalam beberapa saat, terpampang gambar pada skrin komputernya.

Pada masa yang sama, matanya membesar sama besar dengan mulutnya. Pandangannya didekatkan lagi pada skrin komputernya.

“Ya ALLAH..., rupanya seperti Khatijah.” Faizzul bersuara perlahan.

“Kan saya dah cakap. Baik Abang balik hari ni juga. Jannah dah ada alamat rumahnya dan bercadang nak pergi...”

“Eeh..., tunggu Jannah! Kalau ye pun, tunggulah Abang sampai sana dulu. Abang pun pergi sama. Jangan lupa beritahu Azri sekali.”

“Yelah. Hati-hati ya, Bang. Jangan lupa baca doa. Semoga ALLAH lancarkan dan permudahkan perjalanan kita nanti.”

“Amin...” Faizzul mengaminkan doa adiknya.

“Tuan... Tuan...”

Panggilan Johari menyedarkan Faizzul dari lamunannya.

“Ya..” Jawab Faizzul seraya memandang lelaki bercermin mata di hadapannya.

“Tuan... sihat?” tanya Johari, risau selepas melihat linangan air mata di pipi Faizzul.

“Saya... saya tak apa.” Faizzul segera mengesat pipinya. “Tiba-tiba saja teringat tentang kisah lama. Entah kenapa boleh rasa sebak semacam.” Jelas Faizzul sedikit ketawa. Johari tersenyum manis. “Ada apa-apa?”


“Oh.., kita akan mendarat dalam masa 10 minit lagi!” balas Johari sopan. Faizzul mengangguk tanda faham seraya memakai tali pinggang keledarnya. Dalam hatinya sudah berdoa supaya perjalanannya untuk bertemu orang yang telah lama menghilang, dipermudahkan.

No comments:

Post a Comment