------------BAB 59------------
Fazri masuk ke dalam rumah dengan
langkah yang longlai. Dari jauh sudah kedengaran jeritan manja Fikri,
menyambutnya pulang. Kemudiannya Fazira muncul.
“Abang baru balik?” Sapa Fazira
seraya mencium tangan kanan Fazri.
“Ya.” Balas Fazri lemah tersenyum
tawar.
Fazira membalas namun dia pelik.
Fazri tidak mencium pipinya seperti biasa. Fazri menapak naik ke tingkat atas
tanpa menghiraukan mereka berdua. Fazira ingin membuka mulut yang sudah
tersimpan seribu satu soalan tetapi disimpan saja selepas melihat keadaan
Fazri. Dalam diam, ada sedikit rasa terkilan.
“Mama, kenapa dengan papa?” Fikri menarik-narik
hujung baju mamanya.
“Mama tak pasti, sayang. Fikri
pergi makan dulu. Mama nak pergi tengok papa kejap. Lepas makan, suruh Liam
hantar Fikri ke tadika, ya.” Fazira berkata penuh kelembutan. Fikri mengangguk
manja lalu beredar ke ruang dapur. Fazira pula bergerak ke bilik tidur di
tingkat atas.
Pintu bilik dikuak perlahan.
Tersenyum tawar Fazira tatkala menangkap Fazri yang sudah terbaring di atas
katil, masih memakai pakaian yang sama. Fazira berjalan mendekati birai katil
lalu duduk di sisi Fazri.
“Abang..., Abang okey ke?” Tanya
Fazira lembut. Belakang tangannya sudah melekat di dahi Fazri. Fazri terjaga
dari tidur singkatnya.
“Abang dah sarapan? Kalau belum,
Zira bawakan untuk Abang, ya?” Tambahnya lagi. Pelik Fazira dengan kelakuan
Fazri. Pertanyaannya langsung tidak dijawab sebaliknya Fazri hanya merenung
wajahnya tanpa berkelip.
“Sayang...” Panggil Fazri dengan
suara yang lemah. Dia bangun dalam paksa.
“Abang..., kalau Abang letih Abang
berehatlah. Zira turun dulu, tak nak ganggu Abang. Abang rehatlah, ya.” Fazira
bangun tetapi tangannya dipegang kemas. Fazri menghalangnya bangun. Dia kembali
duduk.
“Temankan Abang tidur.” Pinta
Fazri, lembut dan manja. Fazira tersenyum senang seraya mengangguk. Dengan
manja, Fazri mendaratkan kepalanya di atas paha lembut isterinya. Fazira pula
menyadar selesa di kepala katil berlapikkan bantal di belakang. Tangannya sudah
mengusap lembut rambut Fazri.
Selang beberapa minit, kedengaran
bunyi tangisan. Fazira agak gelabah tatkala melihat air mata Fazri mengalir
turun membasahi kain kurungnya. Bahu Fazri juga terhinjut-hinjut menahan sendu.
“Abang..., kenapa Abang menangis?
Zira ada buat salah ke?” Tanya Fazira kalut. Nada suaranya masih setia lembut
dan merdu.
“Tak...” Suara Fazri kedengaran
serak. “Bukan sayang... tapi Abang. Abang yang bersalah. Abang bersalah pada
sayang. Abang dah banyak susahkan sayang. Abang selalu buat sayang sakit hati.
Semuanya salah Abang..., tolong maafkan Abang. Maafkan segala kesalahan
abang...” Fazri meraung lemah. Fazira sudah terkedu. Tidak menyangka Fazri akan
berucap begitu.
“Abang..., sudahlah. Zira tak
salahkan Abang. Ini takdir kita. Kita hadapinya bersama. Zira janji takkan
biarkan Abang lalui semua ni seorang diri. Zira janji.” Fazira memujuk lembut.
“Sudahlah, jangan menangis lagi. Air mata lelaki mahal harganya.” Tambah Fazira
sambil menggosok lembut bahu dan belakang Fazri.
Sendu Fazri makin berkurang. Tangan
kanan Fazira ditarik lalu dikucup beberapa kali. Tangan tadi juga dipegang erat
sehinggalah matanya tertutup dan terlena. Sebelah tangan Fazira masih lembut
mengelus rambut Fazri. Sekali-sekala, dia mengucup lembut rambut Fazri.
Kemudian, dia tersenyum senang walaupun hatinya agak runsing dengan racauan
Fazri sebentar tadi.
Lebih merunsingkan, Fazri hilang
tanpa jejak dan kemudian tiba-tiba saja muncul pagi ini. Segala perkara yang
boleh menggugat jiwa wanitanya sudah dibuang jauh. Dia tidak mahu berfikir
mengenai perkara itu. Perkara yang akan membuatkan naluri wanitanya sebal.
Tak mungkin Fazri akan ke rumah Erin
tanpa memberitahunya sedangkan giliran Erin masih tinggal sehari lagi. Fazira
menggeleng laju seolah-olah mengibas semua andaian buruk tentang Fazri.
Fazri terjaga dari tidurnya selepas
terdengar azan Zohor berkumandang. Dia menggosok matanya beberapa kali sebelum
menyedari kondisi ‘bantal empuknya’. Dia bangun dan duduk. Di saat itu barulah
dia sedar akan Fazira yang sudah lena terlentok di kepala katil. Fazri
tersenyum senang. Kasihan isterinya, sanggup berkebas kaki semata-mata
untuknya.
Dia mengesot ke sisi Fazira.
Perlahan-lahan, dia menarik bantal di belakang isterinya kemudian membiarkan
Fazira bersandar pada ke dada bidangnya. Serentak itu juga Fazira mengerekot
selesa. Tangan Fazira melilit kemas pinggangnya. Fazri tersenyum bahagia.
Jemari kasarnya mula mengelus pipi gebu isterinya. Tak cukup pipi, merayap pula
ke bibir Fazira. Matanya terpaku di situ. Betapa dia menyukai belaian dari
bibir tebal itu.
Dalam diam, dia bergerak merapati
wajah Fazira. Bibirnya mendarat kemas di bibir mungil itu. Agak lama hingga
Fazira terjaga dari lenanya.
“Abang dah bangun..?” Fazira
menggosok mata.
“Emm.., maaf sebab buat kaki sayang
lenguh.” Fazri menggosok lembut peha isterinya. Fazira tersenyum senang.
“Zira sanggup buat apa saja untuk
suami kesayangan Zira.” Balas Fazira manja sambil mencuit hidung Fazri. Fazri
ketawa nakal. Suasana terasa sunyi sebaik saja mata mereka saling merenung,
kemudian terus hanyut dalam cumbuan panas.
“Ya ALLAH..!!” Bibir mereka
terpisah. “Zira belum masak tengahari. Nanti Fikri balik, dia mesti lapar.”
Fazira bersuara laju. Dia bangun dan berjalan mendekati meja solek.
“Abang nak makan apa? Zira tak ada
idea nak masak apa.” Tanya Fazira sambil menyisir lembut rambut panjangnya.
Fazri bangun dan mendekati isterinya. Dengan manja, pinggang Fazira dipeluk
kemas. Dagunya sentiasa di bahu Fazira.
“Abang mandi dulu lepas tu solat.
Zira nak turun, lepas siap masak dan solat kita makan sama-sama.” Fazira mula
merancang.
“Apa kata kita solat dan masak
sama-sama, boleh?” Fazri menamatkan cadangannya dengan kucupan hangat di pipi
kiri Fazira.
“Bunyi macam menarik... tapi Abang
kena mandi dulu. Busuklah.” Fazira ketawa kecil sambil menolak tubuh sasa itu.
Fazri turut ketawa. Terlupa sudah tentang ‘kecurangannya’ terhadap Fazira.
“Kalau macam tu, kita mandi sekali
barulah adil. Sama-sama busuk, sama-sama wangi.” Balas Fazri laju seraya
mengheret Fazira ke dalam bilik mandi. Jeritan Fazira hilang selepas pintu
bilik tertutup rapat.
Liam tiba di depan rumah bersama
Fikri. Ketika itu, Fazri dan Fazira sedang makan tengahari. Fikri berlari masuk
untuk makan bersama papanya, tinggallah Fazira dan Liam di pintu masuk.
“Terima kasih sebab sudi ambilkan
Fikri di sekolah.” Ucap Fazira dengan senyuman yang manis.
“Tak perlu berterima kasih Puan.
Itu memang dah jadi sebahagian dari tugas saya.” Liam merendah diri.
“Kamu dah makan? Kalau belum,
jomlah makan sekali.”
“Tak apa, Puan. Saya dah makan.”
“Damian mana?”
“Dia masih di pejabat. Erm... Puan,
macam mana dengan Tuan Fazri?” Tanya Liam tanpa berlengah. Fazira tersenyum.
Dia kagum dengan Liam dan Damian. Mereka sememangnya pembantu yang setia.
“Dia tak apa-apa. Cuma letih.”
Jawab Fazira tenang dengan senyuman yang tidak lekang.
“Tuan... ada beritahu ke mana dia
pergi semalam?” Tanya Liam lagi, takut-takut. Sungguh, dia dan Damian juga
tidak tahu ke mana Tuan mereka menghilang selepas mereka dilarang mengikutnya
semalam. Langsung tidak terfikir Fazri akan ke rumah Erin kerana mereka sendiri
tahu betapa Fazri membenci wanita itu.
Senyuman Fazira bertukar hambar.
“Saya tak mahu memaksa dia
bercerita kalau perkara itu memberi tekanan padanya. Biarlah dia sendiri yang
cerita bila dia betul-betul bersedia nanti.” Kata Fazira ringkas. Liam
mengangguk lemah. Dia beredar pergi.
“Liam dah balik?” Tanya Fazri
sebaik saja Fazira masuk ke ruang makan. Fazira mengangguk. “Kenapa tak ajak
dia makan sekali?”
“Dah ajak tapi dia tolak. Dah makan
katanya.” Fazira mengambil tempat di sebelah Fikri yang sudah enak bersantap.
Fazira kembali makan.
Dalam diam, Fazri mencuri lihat
reaksi wajah isterinya. Dalam dirinya juga sudah bertanya, mengapa isterinya
tidak menyoal langsung tentang semalam, kenapa dia tidak pulang selepas keluar
dari rumah dan kenapa dia langsung tidak menelefon untuk memberitahu yang dia
tidak akan pulang ke rumah?
“Kenapa Abang tenung Zira macam
tu?” Pertanyaan Fazira mengejutkannya dari lamunan pendek.
“Tak... tak ada apa.” Fazri kembali
menyambung suapannya.