Thursday, 10 October 2013

Bersatu Selamanya Bab 21 ~ 25

------------BAB 21------------
Keesokkan harinya, selepas bersarapan Fazira dipanggil Ghazali ke ruang tamu. Alif dan dua adiknya disuruh bermain di luar rumah sementara Ghazali dan Fazira berbincang di ruang tamu.

“Perkara apa yang ayah nak bincangkan dengan Zira?” tanya Fazira sambil menuang teh panas ke dalam cawan lalu diletakkan di hadapan Ghazali. Si bapa merenung wajah anak gadisnya dalam diam. Fazira pula pelik melihat kelakuan bapanya.

“Kenapa ayah tengok Zira macam tu?” Ghazali tersenyum sendiri.

“Tak ada apa... cuma ayah tak sangka.., cepat betul anak ayah yang sorang ni membesar. Dulu masa mula-mula ayah dukung, Zira nampak kecik sangat. Sekarang..., dah besar. Sama tinggi dengan ayah pulak tu..” Fazira sekadar tersenyum malu beserta tawa kecil.

“Mari dekat ayah.”

Fazira pantas bangun dan duduk bersimpuh di lantai bersebelahan bapanya. Kedua tangannya sudah dipegang erat oleh Ghazali. Senyuman masih terukir mekar dibibir tuanya.

“Zira..., ayah sebenarnya nak beritahu yang kedatangan Pak cik Faizzul dan Mak cik Jannah bukan sekadar datang untuk berjumpa ayah tapi..., mereka juga datang untuk merisik Fazira.”

Tercengang Fazira mendengar penjelasan bapanya. Dia tertunduk kerana tak mampu menatap wajah bapanya. Perasaan takut mula membaluti jiwanya.

“Zira...” Panggil Ghazali lembut. Perlahan-lahan, Fazira mendongak dan memandang wajah Ghazali dengan mata yang mula bergenang. Ghazali pula dilanda resah. “Zira..., ayah takkan paksa Zira terima. Ayah faham kalau Zira masih belum bersedia. Ayah sekadar...”

“Ayah...” Fazira bersuara lembut dan mendayu sambil menggenggam erat jemari ayahnya. Ghazali memandang anak gadisnya yang sudah tersenyum manis. “Ayah tahu keputusan Zira, kan..? Zira akur dengan keputusan ayah. Tak kiralah sesiapa pun yang ayah pilih, Zira... terima.” Fazira menamatkan ayatnya sejurus itu tangan bapanya dikucup lembut.

Dalam tidak sedar, air mata Ghazali mengalir. Ubun-ubun anaknya dikucup. Masing-masing tersenyum. Ghazali mengeluarkan sesuatu dari poketnya. Sebuah kotak kecil berwarna biru baldu. Kotak kecil itu dibuka oleh Ghazali sendiri dan di dalamnya tersimpan sebentuk cincin putih bertakhtakan tiga butir berlian. Cincin tadi diambil lalu disarungkan ke jari manis kiri anak gadisnya. Fazira tersenyum dalam terpaksa lantas pinggang Ghazali dipeluk erat. Menangislah Fazira kerana terharu dan juga gembira kerana dirinya kini, dengan rasminya bakal menjadi tunangan orang.


Kenduri kesyukuran diadakan sempena hari pertunangan Fazri dan Fazira namun tidak dihebohkan perihal mereka sudah bertunang. Mereka akan diijab kabulkan sebulan selepas majlis persandingan Kamarul dan Fazilah. Berita tentang penerimaan pinangan dari pihak lelaki selamat sampai ke telinga dua sahabat baik Fazira dan juga Maimun.

“Nanti baju pengantin Zira biar Kak Mun yang jahitkan. Zira siapkanlah baju kawan Zira tu dulu. Barang-barang hantaran Zira pulak, Kak Sal yang akan uruskan. Zira cuma tunggu sambil goyang kaki.”

“Zira bukan nak menolak atau membantah.., cuma... ayah tak setuju pasal bab persandingan. Dia kata dia tak mahu langsungkan sesi persandingan.”

“Laa..., kenapa pulak..?” tanya Maimun sambil mencekak pinggang. Fazira mengerut dahi.

“Ayah cakap..., dia tak suka tengok anaknya jadi bahan pameran. Sebab tulah...”

“Okeylah.., Kak Mun tak kisah. Yang penting, Zira pakai baju yang Akak jahit. Jangan risau. Tak seksi mana pun. Akak buat macam yang Zira suka.., gaya muslimah sejati.” Maimun tersenyum lebar. Fazira mengangguk lembut tanda setuju.

Maimun memang gembira kerana Fazira sudah dianggap seperti adik sendiri. Malah dari awal lagi dia sudah mengagak Fazri pasti berjaya menambat hati si gadis ala-ala Arab itu. Sejak perkenalan Fazri dengan Fazira, si jejaka tidak putus berhubung dengannya dan bertanyakan tentang latar belakang si gadis. Dia tidak pelik ataupun mengesyak sebarang niat yang jahat kerana dia sudah kenal hati budi Fazri melalui suaminya yang turut bekerja di dalam satu bangunan malah satu pejabat bersama Fazri.

Kegembiraan Maimun turut dirasai oleh Fazilah dan Kamarul, memang bukan kepalang kerana akhirnya mereka akan bersatu selepas lima tahun menunggu. Janji antara mereka akhirnya tertunai.

“Ya... ALLAH.., Zira! Aku ucapkan tahniah...!” Ucap Fazilah sambil memeluk erat temannya. Matanya juga hampir bergenang. Fazira sekadar tersenyum pelik.

“Sudah-sudahlah tu. Kang mati tercekik pulak budak tu.” Sakat Kamarul beserta sengihan sumbing. Fazilah membalas dengan jelingan tajam.

“Kiranya jadilah majlis akad nikah kita..?” Pertanyaan Fazilah membuatkan Fazira tercengang.

“Tak naklah buat sekali. Ayah kata dia nak buat asing-asing. Lebih kurang sebulan lepas majlis korang. Seganlah kalau buat serentak.”

“Laa... kan dah janji nak buat sekali! Lagipun, apa yang kau nak segan?”

“Adik beradik dan saudara mara korang kan ramai, nanti sesak pulak. Korang pun tau yang aku tak suka tempat yang sesak.” Fazilah diam seketika.

“Takkanlah sampai sebulan. Dua minggu cukuplah.” Sambungnya lagi.

“Ni keputusan ayah. Takkanlah korang nak aku cepatkan tarikh. Nanti dia fikir aku yang tak sabar pulak. Lagipun, kad jemputan pun dah tertulis tarikhnya.” Mereka diam mendengar penjelasan Fazira.

“Macam mana dengan pihak lelaki?” tanya Kamarul. Fazira jongket bahu.

“Aku sendiri tak tahu. Selama ni ayah yang uruskan. Aku jarang berjumpa dengan mereka.” Jawab Fazira sambil tertunduk. Mereka diam lagi.

“Lantaklah sebulan ke.., dua bulan ke.., yang penting kau dah jumpa jodoh kau. Itu yang penting.” Tambah Fazilah dengan nada teruja.

“Kau nih..! Gembira terlebih. Macamlah si Zira tu takkan berkahwin seumur hidup.” Kamarul mengomel sinis.

“Kau jangan nak menyibuklah. Yang gembiranya aku.., bukannya kau.” Fazilah menjeling garang.

“Tak kisahlah berapa lama pun... yang penting, dua minggu dari sekarang dapatlah aku peluk minah kering nih...puas-puas..!” Kamarul merenung Fazilah sambil tersenyum jahat. Mata Fazilah sudah terbuntang. Mukanya merah menahan malu. Fazira hanya mampu menutup mulut bila kedua temannya memulakan perang mulut mereka.


------------BAB 22------------
Pintu kaca Butik Impian Maimun berbunyi menandakan seseorang menapak masuk namun kedatangannya langsung tidak disambut oleh sesiapa. Suasana di dalam butik itu agak sunyi. Tak hairanlah kalau sunyi memandangkan waktu sudah tengahari.

“Assalamua’laikum..” Sapa Maimun dari belakang.

“Waa’laikum salam.” Jawab Fazri serentak menoleh kerana terkejut. Pantas, matanya menangkap wajah Maimun yang sudah tersenyum lebar. “Kenapa butik Akak sunyi semacam saja..? Mana yang lain?” tanya Fazri sambil meliar melihat sekeliling.

“Memanglah sunyi. Sekarang kan waktu tengahari. Semuanya dah keluar lunch. Tinggal Akak dengan sorang lagi tu..., entah kenapalah sejak akhir-akhir ni selalu sangat sibukkan diri.” Maimun mula merungut. Fazri sekadar tersenyum nipis.

“Mana dia sekarang?” tanya Fazri. Maimun kembali tersenyum lebar.

“Dia ada di tingkat atas bahagian baju pengantin. Dia tahu ke Fazri nak datang..?” tanya Maimun pula. Fazri sekadar menggeleng sambil tersenyum manis. Langkah diatur pantas menaiki tangga yang dibalut kemas dengan karpet merah. Maimun membalas sambil menggeleng ringkas. Dia menghela nafas lega melihat kebahagiaan yang bakal ditempuhi oleh Fazira.

Di sebuah ruang santai, seseorang melangkah penuh berhati-hati. Langsung tidak mengeluarkan bunyi. Aksi dan lagaknya mengalahkan seorang polis sedang menjalankan operasi rahsia. Dari jauh matanya sudah menangkap kelibat seorang gadis sedang tekun melakukan kerjanya. Si pengendap berdiri sambil menyilang tangan di belakang patung sambil memerhati setiap gerak-geri si gadis. Bibirnya merekah mengukir senyuman yang manis dan lembut.

Fazira masih sibuk menjahit manik pada lengan sepasang baju pengantin berwarna ungu lembut. Gadis itu nampak begitu tekun dengan kerjanya hingga tidak sedar seseorang sedang memerhati dan menapak mendekatinya.

“Aahh..!!” Fazira menjerit sakit dek tercucuk jarum. Kain dan jarum sudah terlepas dari tangannya. Entah dari mana tiba-tiba muncul sepasang tangan merampas jari Fazira yang sudah merah berdarah.

“Awak okey..?!” Fazri menarik jari yang berdarah tadi lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.

Fazira yang terkejut dan hampir-hampir menjerit, hanya melihat dengan mata yang membesar. Terkejut satu hal kemudian ditambah dengan kemunculan Fazri yang datang entah dari mana dan bila... hingga dia sendiri terpinga-pinga dan tidak mampu berbuat apa-apa. Perbuatan Fazri dibiarkan begitu saja. Wajah Fazri ditenung dengan mata yang langsung tidak berkelip. Lidahnya terlalu kaku untuk menegah, tidak pula terasa untuk menarik tangannya.

Si gadis mematung seketika. Sentuhan lembut si jejaka betul-betul membuatkan tubuhnya kaku. Perasaan kasih dan sayang yang sedia ada pada si jejaka mula menjalar ke seluruh tubuhnya. Untuk pertama kali, jantung berdegup tenang. Tiada deruman kencang cuma ketenangan seperti aliran air di sungai. Raut wajah si jejaka ditatap lama tanpa dia sedar.

“Saya tahulah saya ni kacak.., tapi janganlah awak renung saya lama sangat. Boleh meletup jantung saya.”

Mendengar kata-kata si jejaka, Fazira pantas menarik tangannya rapat ke dadanya. Jantungnya kembali berdegup kencang. Mukanya pula sudah terasa panas semacam. Fazri tersenyum melihat kelakuan tunangnya. Dia bangun lalu duduk di atas sofa selepas begitu lama melutut di hadapan bakal permaisurinya. Jarak kedudukan antara mereka sentiasa dijaga. Fazira segera menurunkan kakinya kerana dari tadi dia masih selesa duduk bersimpuh di atas sofa. Suasana sunyi seketika.

“Awak tak nak balut dulu luka tu..?” Tanya Fazri cuba mengembalikan suasana ceria. Matanya sentiasa tertarah pada wajah mulus tunangnya.

“Tak apa. Cuma luka kecil. Dah biasa.” Jelas Fazira pula. Dia langsung tidak mendongak untuk membalas renungan Fazri. “Kenapa awak datang sini..?” tanya Fazira seraya menyambung semula jahitannya.

“Salahkah kalau saya datang untuk jenguk tunang sendiri..?” Balas Fazri lembut dengan renungan manja. Fazira kembali membisu. “Sebenarnya..., saya datang nak ajak awak makan tengahari. Sudi tak awak keluar dengan saya..?” Fazri bersuara dengan intonasi suara yang berhati-hati. Fazira terkaku. Tangannya yang dari tadi begitu galak bergerak sudah terhenti. Dia diam.

“Maaf...Bukan niat saya ingin menolak.., tapi saya perlu jaga kedai sementara Kak Mun dan pekerja lain keluar makan.” Jelas Fazira tenang. Fazri diam kemudian mengeluh perlahan.

“Dalam erti kata lain, awak memang tak sudi keluar makan dengan saya, kan..?” Kata-kata Fazri seolah-olah ingin menduga tunangnya. Fazira diam seribu bahasa bila matanya bertembung dengan renungan si jejaka yang begitu lembut dan sedikit sayu. Dia kembali menunduk. Reaksi serba-salahnya sudah mula terserlah. Fazri sekadar tersenyum.

“Tak mengapalah kalau awak tak sudi. Saya pun tak suka nak memaksa. Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu.” Fazri bangun dan berjalan pergi menuju ke tangga. Fazira yang mendengar sedikit terkesima. Tidak sangka tunangnya seorang yang cepat dan senang merajuk. Dia menoleh pantas dan belum sempat dia memanggil, kelibat tunangnya sudah hilang dari tingkat atas. Dia hampa dan terkilan. Bukan niatnya ingin menolak tapi dia lebih pentingkan pandangan orang. Cukuplah dengan kejadian di air terjun hari itu, dia tak mahu perkara yang sama berulang lagi.

Fazri melangkah lemah menuruni anak tangga. Wajahnya sedikit suram. Dari awal lagi, dia sudah mengagak reaksi sebegitu dari tunangnya.

“Laa..., mana Fazira?” tanya Maimun pelik sebaik saja melihat Fazri turun tanpa teman.

“Tak apalah, Kak. Orang dah tak sudi, tak elok dipaksa.” Jelas Fazri dengan senyuman plastik.

“Tak sudi..?! Bertuah punya budak.” Maimun mula memancarkan amarahnya. “Kamu tunggu sini.., nanti Akak bawa dia turun.” Maimun membuka langkah menaiki anak tangga sambil melipat lengan bajunya tanda marah. Fazri yang melihat sudah tercengang. Kemudian, senyuman senget terukir perlahan.

Selepas beberapa minit, kedengaran bebelan Maimun sambil menarik tangan seseorang supaya menuruni tangga bersamanya. Fazri sudah tersenyum lebar bila melihat kelibat tunangnya di belakang Maimun.

“Akak nak Zira keluar dengan Fazri, sekarang jugak.” Maimun menegas keras. Genggaman pada tangan si gadis akhirnya dilepaskan. Fazira masih nampak tercengang. Maimun berjalan ke meja Fazira lalu mengambil tas tangan milik si gadis.

“Tapi.., Akak...”

“Akak tak mahu dengar apa-apa alasan lagi dari Zira.” Tas tangan diserah agak kasar. Lantas, dia memutarkan badan Fazira mengadap pintu keluar. Tanpa membuang masa, dia menolak belakang Fazira dan memaksa si gadis berjalan menuju ke pintu. Fazira cuba bersuara namun tenggelam begitu saja.

Fazri hanya melihat sambil menggeleng dan tersenyum lebar. Dia mengekor langkah mereka berdua dengan tawa kecil. Sampai di luar, Maimun menutup pintu kaca butik tersebut. Dia sempat menjeling tajam ke arah Fazira sebelum melangkah pergi. Fazira sekadar mengeluh kecil.

“Maaflah. Bukan saya yang memaksa tapi Kak Mun yang beria sangat nak awak ikut saya.” Fazri cuba memujuk Fazira yang sudah mengerut muka.

“Tak apa. Saya faham sangat dengan perangai Kak Mun tu...” Fazira membalas pantas. Si jejaka tersenyum senang.

“Kalau macam tu.., jomlah pergi. Saya pun dah lapar.” Fazri berjalan mendekati pintu kereta hitam lalu membuka pintu penumpang. Fazira yang melihat sudah mematung. “Kenapa..?” tanya Fazri pelik.

“Jauh ke tempat yang kita nak pergi ni..?” balas Fazira pula. Fazri tersenyum manis.

“Erm... taklah jauh sangat, cuma lima belas minit perjalanan.” Jelas Fazri masih lagi setia terpacak di belakang pintu penumpang. Fazira masih dengan serba-salahnya. Tas tangannya digenggam erat. “Janganlah risau. Saya takkan culik awak..., lagipun saya dah minta izin dengan Pak long untuk bawa awak keluar makan.” Tambah Fazri lagi. Air muka tunangnya berubah perlahan. Dengan langkah yang lemah, Fazira berjalan dan masuk ke dalam perut kereta.

Fazri masuk dan segera menarik tali pinggang keledarnya. Fazira pula masih cuba menarik tali pinggang keledarnya yang seperti tersangkut pada sesuatu.

“Kenapa..?” tanya Fazri ringkas.

“Entahlah. Macam tersangkut je...”

“Biar saya tengok.”

Serentak, Fazri bergerak rapat mendekati Fazira yang masih tidak sedar dengan gerakannya. Dalam saat Fazira menoleh untuk menolak pertolongan Fazri, wajahnya sudah hampir bertembung dengan wajah si jejaka. Cuma tinggal beberapa inci saja untuk bibir mereka bersentuhan. Mata Fazira yang sedia bulat, makin besar membulat. Dia boleh merasa nafas panas si jejaka. Terkaku dia seketika. Bukan kerana pertembungan mereka tapi wangian yang melekat pada tubuh si jejaka yang membuatkan jantungnya terasa seperti ingin meletup sebaik saja wangian itu memasuki rongga hidungnya.

Sebaik saja mata mereka bertaut, Fazira segera menolehkan pandangan ke kiri. Pada masa itu jugalah Fazri mengambil kesempatan untuk meratah kulit wajah tunangnya yang begitu cerah, mulus dan bersih. Anak matanya memang menawan kalbu. Bercelak nipis dan bulu matanya juga melentik lembut. Naluri lelakinya bergetar pantas. Akhirnya, tali pinggang keledar Fazira berjaya dipasang. Mereka diam sambil menahan degupan masing-masing.


------------BAB 23------------
Selepas setengah jam memandu, kereta hitam Fazri memasuki ke kawasan parkir sebuah hotel tiga bintang. Fazira masih diam tetapi dari perilakunya, dia mula nampak tidak keruan. Brek tangan ditarik serentak enjin dimatikan. Fazri keluar dari kereta dan membuka pintu kereta untuk tunangnya.

“Okey.., kita dah sampai.” Kata Fazri sambil mempersilakan tunangnya keluar. Fazira hanya memandang pelik. Dia melangkah keluar dengan perasaan ragu-ragu. Kemudian, mereka berjalan menuju ke bahagian lobi hotel.

Sebaik saja melangkah masuk, banyak mata yang menerkam kelibat mereka. Itu reaksi yang biasa diterima Fazira tapi apa yang membuatkan dia tidak selesa ialah tanggapan yang mungkin timbul dari mata yang melihat. Langkah Fazira mula perlahan dan akhirnya ayunan kakinya terhenti.

“Kenapa ni..?” tanya Fazri pelik dengan kelakuan tunangnya.

“Apa yang kita buat di sini..? Bukan ke kita nak keluar makan?” tanya Fazira dengan mata yang sudah meliar melihat sekeliling. Air mukanya nampak takut dan berhati-hati.

“Memanglah kita datang nak makan. Makanan kita sedang menunggu di dalam bilik.” Jelas Fazri dengan senyuman. Fazira nampak tersentak dan terkejut. Pantas, dia membuka langkah menuju ke pintu keluar. Terkejut si jejaka dengan tindakan tunangnya selepas mendengar penjelasannya.

“Fazira..! Awak nak ke mana..?” Tanya Fazri pantas sebaik saja berjaya memintas langkah Fazira.

“Saya nak balik..! Saya tak mahu lama-lama di sini. Nanti kalau ada orang nampak, mereka akan beranggapan buruk tentang kelakuan kita. Saya tak mahu perkara yang sama berulang lagi.” Jawab Fazira tegas dan lancar. Anak matanya juga sudah mula bergenang.

Haru-biru Fazri bila melihat keadaan tunangnya. Dia faham apa yang dikatakan oleh Fazira. Tunangnya tak mahu perkara seperti di air terjun tempoh hari berulang. Gadis itu masih takut dan trauma dipukul oleh ibu saudaranya.

“Mak ngah..!” Jerit satu suara manja yang cukup dikenali Fazira. Serentak, dia menoleh untuk melihat dan ternyata, telahannya betul. Dari jauh, kelihatan Atiqah dan Atif berlari anak ke arahnya seraya memeluk pahanya.

“Mak ngah..., kenapa Mak ngah lambat..? Lama Adik dengan Atif tunggu Mak ngah. Adik dah lapar.., cepatlah.” Atiqah merungut panjang sambil menarik-narik tangan ibu saudaranya yang masih terpinga-pinga cuba mengerti situasi sebenar. Matanya kini tertarah pada Fazri seperti meminta penjelasan yang rapi.

“Ummi yang jemput mereka di rumah tadi. Sekarang ni dia ada dalam bilik hotel.., sedang siapkan makanan tengahari untuk kita semua. Dia yang minta saya jemput awak sekali.” Terang Fazri dengan sengihan. Fazira menghela nafas lega namun riak kelegaan tidak diukir pada wajahnya cuma air muka resah dan risau sudah menghilang.

Atiqah dan Atif menarik Fazira masuk ke dalam lif yang sedang terbuka. Fazri mengikut rapat dari belakang. Selepas beberapa ketika, mereka tiba di tingkat sembilan. Pintu lif terbuka dan Atiqah serta Atif berlari keluar menuju ke pintu bernombor sebelas.

“Bila ummi ambil mereka di rumah..?” tanya Fazira sambil berjalan beriringan dengan tunangnya.

“Lepas awak pergi kerja, ummi sampai di rumah awak. Saya tahu pun lepas dapat panggilan dari ummi. Janganlah marah.” Fazri membalas dengan renungan yang lembut. Fazira hanya diam selepas mengalihkan pandangannya. Mereka sampai dan Atiqah masih mengetuk pintu. Tidak lama kemudian, pintu terbuka. Kelibat Alif sudah terpacak di depan pintu. Terkejut Fazira. Tangan Fazira diraih dan dicium. Atiqah dan Atif sudah meluru masuk.

“Mak tok.., diorang dah sampai..!” laung Alif sebaik melangkah masuk diikuti Fazira dan Fazri.

“Baiklah..” Balas satu suara dari ruang dapur bilik tersebut. Mata Fazira cuba mencari kelibat empunya suara namun tidak ditemui. Sememangnya, dia amat merindui wajah dan suara tadi walaupun mereka hanya beberapa kali bertemu.

“Saya nak berjumpa ummi dulu.” Pinta Fazira sopan. Fazri mengangguk lembut seraya menyambung semula aktivitinya iaitu melayan kerenah Atiqah dan Atif. Alif nampak bersahaja sambil menonton tv.

Fazira membuka langkah menuju ke ruang dapur yang terpisah dengan dinding. Dia menjenguk sedikit kepalanya di muka pintu ruang dapur. Dari situ, dia dapat melihat tubuh seorang wanita berapron sedang sibuk memotong sayur. Fazira tersenyum lebar.

“Assalamua’laikum..” Sapa Fazira lembut.

“Waa’alaikumsalam..” Insan tadi nampak tersentak kemudian menoleh ke belakang. Serentak, senyuman yang manis terukir pada wajah yang masih ayu walaupun makin berusia. Fazira membalas dengan senyuman yang lebar. Jannah menghulurkan tangannya tetapi tubuhnya lebih pantas dipeluk si gadis. Terpana dia seketika. Sungguh dia tak sangka si gadis akan terus memeluknya.

Jannah tersenyum seraya membalas pelukan Fazira. Lama keadaan mereka begitu.

“Zira rindukan ibu..” Bisik Fazira perlahan tetapi cukup jelas bergema di telinga Jannah. Sekali lagi, Jannah terpana. Dia hanya menggelarkan dirinya sebagai ummi tapi Ghazali pernah memberitahu Fazira memanggil Khatijah dengan panggilan ibu. Rasa sebak mula menyerang naluri keibuannya. Dia amat mengerti keadaan si gadis yang masih setia dalam pelukannya. Si gadis ketandusan kasih sayang seorang ibu walaupun pernah mempunyai seorang ibu. Belakang Fazira diurut lembut.

“Ibu pun rindukan Zira.”

Mendengar bisikan lembut Jannah, Fazira segera melonggarkan pelukannya dan badan mereka terpisah. Dia sudah tersedar dari mimpi siangnya dan segera mengesat matanya yang sudah berair tanpa disedari. Terkedu Jannah melihat keadaan Fazira.

‘Ya ALLAH.., tak sangka dia menangis dalam diam. Khatijah..., kalaulah kau melihat keadaan anak mu sekarang... pasti kau juga turut menitiskan air mata. Tapi... jangan kau risau, teman... kerana anakmu sememangnya seorang gadis yang kuat dan tabah. Berbanggalah kau dengannya.’ Hati Jannah bermonolog sambil memerhati kelakuan Fazira.

“Zira..., Zira menangis ke sayang..?” Soal Jannah sekadar menduga.

“Taklah. Mata nih... tiba-tiba saja masuk benda...” Fazira cuba menutup malu. “Ummi nak buat apa lagi..? Ada apa-apa yang Zira boleh tolong..?” Fazira segera menawarkan khidmatnya dalam erti kata lain cuba mengalih tajuk.

“Tak perlu. Semuanya ummi dah siapkan. Zira cuma datang untuk makan. Kalau Zira tak kisah, Zira boleh tolong siapkan meja untuk kita makan.”

“Baik, ummi.” Fazira bergerak ke meja makan selepas mengambil beberapa pinggan kemudian disusun rapi di atas meja.Gelas diletak sama rapi dengan pinggan. Satu persatu mangkuk berisi lauk pauk diletak ditengah meja. Jannah tersenyum sendiri melihat kecekapan Fazira menyiapkan meja makan untuk mereka.

“Ish... ish... ish..., bertuah badan sebab dapat menantu rajin macam Zira. Kan ummi?” Sakat Fazri yang tiba-tiba muncul di ruang makan. Jannah sudah menjeling tajam. Fazira langsung tidak memandang kerana dia tahu wajahnya sering menjadi perhatian tunangnya.

“Ummi memang bertuah.., kalau nak harapkan kamu... mungkin lepas Asar baru kita boleh makan..” Balas Jannah dengan jelingan yang sama. Dengan selamba, Fazri memeluk Jannah dari belakang sambil merengek manja. Fazira hanya melihat tanpa kata.

“Alah..., ummi nih! Azri pun tolong jugak...tolong tengok.” Jawab Fazri dengan tawa.

“Bertuah betul budak nih..!” Jannah merungkai pelukan Fazri kemudian menampar-nampar lengan sasa si jejaka. Fazri merengek manja mengalahkan Atiqah. Fazira mula tersenyum beserta tawa kecil.

“Sampai hati ummi pukul Azri..! Mentang-mentanglah dah dapat anak baru, Azri pulak ummi anak tirikan.” Fazri buat muka kasihan.

“Dah..! Jangan nak mengarut lagi. Pergi panggil budak-budak tu..., kita dah boleh makan.”

“Baik, ummi...” Fazri sempat mencuit dagu Jannah sebelum berlalu pergi. Malah, sempat juga dia melirik ke arah Fazira yang dari tadi malu-malu memandang kemesraan mereka.

Selepas siap menyusun, mereka duduk di meja sambil menadah tangan membaca doa. Makan tengahari mereka disertai dengan bicara ringkas dan tawa kecil dek keletah si Atiqah yang sentiasa mencuit hati. Selesai makan, mereka solat Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Fazri. Ini kali pertama dalam hidup Fazira di mana solatnya diimamkan oleh orang lain selain ahli keluarga sendiri. Atiqah dan Atif juga turut serta kerana di rumah memang sudah diajar oleh Fazira untuk menghormati dan menyertai solat berjemaah.

Doa yang dibaca Fazri masuk mendayu-dayu ke dalam lohong telinga si gadis. Sungguh lancar dan tertib. Degupan jantung Fazira tidak serancak seperti degupan ketika mata mereka bertaut. Debaran itu sudah tiada... buat masa ini. Solatnya terasa begitu khusyuk dari biasa. Selesai solat, doa yang panjang dipanjatkan dengan penuh penghayatan.

Selesai solat, Jannah dan Fazira bergerak semula ke dapur untuk menyiapkan puding jagung sebagai pencuci mulut. Dari dalam dapur sudah kedengaran hilai tawa manja si adik. Entah apa yang membuatkan dia begitu seronok ketawa.

“Abang Fazri... memang suka dengan budak-budak kan, ummi?” kata Fazira lembut dan perlahan. Jannah sudah tersenyum mendengar soalan Fazira. Apa yang membuatkan dia lebih gembira ialah panggilan ‘abang’. Kedengaran mesra dan manja.

“Dia memang suka dengan budak-budak. Maklumlah.., dia anak tunggal. Tak ada adik-beradik untuk dibuat teman.” Jelas Jannah tenang. Fazira tersenyum. “Ummi nak tahu.., apa pendapat Zira tentang Fazri..?”

“Hah..?!” Fazira terkejut dengan mata yang sudah membesar. Tangannya yang sibuk bergerak sudah terkaku. Wajah Jannah dipandang sekilas. Sudah terpancar senyuman yang lebar di wajah wanita sanjungannya itu. Fazira diam... agak lama. Jannah bergerak mendekati Fazira seraya meraih kedua tangan si gadis lalu digenggam erat.

“Zira tak perlu rasa malu. Dia bakal suami Zira. Ummi sekadar ingin tahu apa perasaan sebenar Zira pada Fazri. Manalah tahu.., ada sikap Fazri yang Zira tak suka tapi Zira diamkan saja. Kalau ada sikap Fazri yang Zira rasa sumbang.., beritahulah ummi... nanti ummi minta Fazri ubah..”

“Tak..., tak ada yang sumbang tentang Abang Fazri. Dia baik sangat.” Jannah tersenyum lega mendengar pengakuan Fazira. Si gadis tertunduk malu. “Abang Fazri baik sangat sampai kadang-kadang tu.., Zira rasa yang Zira... tak layak untuknya.”

Tersentak Jannah mendengar kata-kata ringkas yang keluar dari bibir tebal si gadis.

“Kenapa Zira cakap macam tu..? Kalau Zira nak tahu, Ziralah gadis yang paling sesuai dan secocok bila bergandingan dengan Fazri. Mungkin telah ditakdir oleh ALLAH... yang Zira adalah jodoh Fazri dan begitu jugalah sebaliknya.” Jannah mula memberi kata-kata perangsang. Fazira diam dan masih setia tertunduk.

“Zira takut, ummi. Zira takut kalau-kalau Zira gagal bahagiakan Abang Fazri. Zira takut Zira tak mampu jadi seorang isteri yang baik dan sempurna. Zira takut Zira...”

Belum sempat Fazira menghabiskan ayatnya, Jannah menarik tubuh Fazira ke dalam pelukannya. Tubuh langsing Fazira dipeluk seerat mungkin. Fazira membalas pantas seperti diduga. Dia sudah tersedu-sedan menahan sebak. Air mata mengalir turun tanpa rasa segan. Dia menangis semahunya dalam pelukan Jannah.

“Jangan cakap macam tu.., sayang. Zira gadis yang sempurna di mata ummi, apatah lagi Fazri. Mungkin cuma Zira saja yang tak perasan dengan kelebihan yang ada pada diri Zira.” Jannah masih setia memujuk. Fazira menolak tubuh Jannah perlahan.

“Tak.., ummi. Zira tak macam yang ummi sangka... Zira tak sempurna. Zira selalu susahkan hidup orang yang Zira sayang. Macam masa kemalangan dulu, Zira banyak susahkan ayah. Zira selalu buat ayah susah hati. Mak selalu kata Zira anak yang tak guna...”

“Sudah.., Zira!” Jannah sedikit menjerit serentak menarik Zira ke dalam pelukannya semula. Pelukannya kali ini lebih erat dan kejap. Fazira masih teresak. Jannah menahan amarahnya. Bukan pada Fazira, tapi pada wanita bernama Mariam, ibu saudara Fazira. Rasa benci yang meluap-luap sudah terpancar pada wajahnya. Dia kenal siapa Mariam.

Wanita itu banyak menyeksa hidup si gadis piatu sepanjang dia tinggal di rumah itu. Semua cerita dia dengar sendiri dari mulut jiran-jiran yang bertandang semasa kenduri kecil-kecilan diadakan untuk meraikan hari pertunangan Fazri dan Fazira. Walaupun perbuatan membenci itu dicela, namun dia tidak berdaya untuk mengelaknya. Banyak cerita buruk yang dia dengar tentang wanita itu hingga telinganya sendiri terasa bernanah bila mendengar nama tersebut.

Namun, hatinya menghela rasa lega bila mendapat tahu yang Mariam bukan lagi ahli keluarga si gadis piatu. Penceraian Ghazali dan Mariam sudah diketahuinya dan dia bersyukur yang teramat sangat kerana si gadis yatim piatu tidak perlu berasa takut kerana satu-satunya ancaman yang mengganggu hidupnya sudah tiada. Tetapi, apa yang menyedihkan ialah kesan perilaku sumbang ibu saudara telah meninggalkan kesan negatif yang agak ketara. Si gadis nampak ceria dan gembira diluar namun di dalam, prinsip yakin dengan diri sendiri kian lusuh selepas ditoreh dengan hamburan makian dan sumpah seranah.

“Tak baik Zira cakap macam tu. Tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ni. ALLAH ciptakan hamba-NYA dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Bergantunglah pada hamba itu untuk mengakui kelebihan dan kekurangannya. Kurang sesuatu pada diri... tak bermakna seseorang itu lemah dan lebih sesuatu... tak bermakna seseorang itu kuat. Zira mungkin rasa diri Zira lemah dan tak sempurna.., tapi pada mata hati ummi... Ziralah gadis paling kuat dan sempurna. Tahu tak kenapa..?” Jannah melepaskan pelukannya kemudian mengangkat dagu Fazira supaya bertentang mata dengannya.

“Kerana Zira mempunyai hati yang luhur dan suci. Zira tak pernah benci atau berdendam dengan perbuatan mak Zira. Ayah Zira kata Zira selalu menangkan mak Mariam setiap kali ayah Zira marah sebab mak Zira pukul Zira tanpa sebab. Sekarang Zira tahu kelebihan Zira.., kan? Zira seorang yang pemaaf. Itulah kelebihan yang paling agung, sayang...” Jannah mengakhirkan kata-katanya sambil menyeka air mata di kedua pipi gebu Fazira.

Si gadis meraih kedua tangan Jannah yang masih setia melekat dipipinya lalu ditarik rapat pada bibirnya. Kedua tangan wanita itu dikucup lama.., tanda semua kata-katanya amat dihargai.

“Terima kasih.., ummi.” Ucap Fazira lembut kemudian kembali melekat dalam pelukan Jannah. Wanita itu membalas pelukan si gadis sambil tersenyum lega. Matanya dipejam rapat tanda dia menghayati pelukan si gadis yang penuh dengan kemanjaan.

Sebaik saja membuka mata, Jannah sedikit terkejut tatkala matanya menangkap kelibat Fazri sedang termenungdan tertunduk sambil bersandar sebelah bahu pada dinding dapur yang memisahkan ruang dapur dan makan.

Fazri tersenyum manis sebaik saja matanya bertembung dengan mata Jannah.Ummi membalas tenang. Sebelum bergerak meninggalkan mereka berdua, Fazri sempat mengenyit mata pada Jannah tanda dia berterima kasih.


------------BAB 24------------
Dua minggu berlalu dengan pantas. Seperti yang telah dirancang, majlis akad nikah serta persandingan Kamarul dan Fazilah diadakan terlebih dahulu manakala majlis Fazri dan Fazira diadakan sebulan dari sekarang. Ruang tamu rumah pengantin perempuan memang agak sesak. Mana tidaknya, ayah Fazilah mempunyai sembilan beradik dan ibunya pula mempunyai tujuh beradik. Itu belum lagi ditambah dengan saudara sebelah pengantin lelaki yang juga mempunyai bilangan ahli keluarga yang melebihi lima orang.

Dengan sekali lafaz, Fazilah sah menjadi milik Kamarul. Fazira sekadar melihat dari luar bilik pengantin semasa majlis pembatalan air sembahyang. Ruang bilik pengantin terlalu sesak dengan sepupu perempuan sebelah keluarga Fazilah. Terharu hatinya bila melihat pasangan dua sejoli saling tersenyum malu bila disakat saudara mara. Semasa bergambar juga sama, Fazira lebih suka melihat dari jauh. Gambar yang ditangkap bersama Fazilah cuma sekeping dua saja. Fazira tak betah duduk lama bila sanak saudara pengantin mula menyerbu ruang persandingan.

Si gadis langsung tidak menyedari setiap perilakunya sedang dalam pemerhatian sepasang mata. Fazira mengeluh kecil. Cincin emas putih bertahktakan berlian yang tersarung erat di jari manisnya diperhati dengan pandangan yang sayu.

“Sabarlah. Lagi sebulan, sampailah giliran kita.” Sapaan Fazri hampir-hampir buat Fazira menjerit dek terkejut. Wajah tunangnya dipandang dan ketika itu juga, anak mata mereka beradu. Jantung Fazira bergetar laju. Nafasnya pula sesak semacam. Dia mengetap bibir menahan debaran yang entah bila akan hilang.

“Tak lari gunung dikejar.” Fazri menambah lagi sambil tersenyum senget. Fazira menjeling geram.

“Aduh...! Janganlah jeling saya macam tu. Boleh meletup jantung saya...” Fazri berseloroh sambil melekap tangan di dadanya. Fazira segera mengalihkan pandangannya. Bibirnya langsung tidak bergerak walaupun sekadar mengukir senyuman yang nipis. Fazri mengeluh perlahan. Gadis ceria dan riang bersamanya dulu sudah hilang.

Sudah hampir dua minggu mereka bertunang dan sepanjang tempoh itu juga Fazri perasan akan perubahan Fazira. Gadis itu banyak mendiamkan diri. Sepuluh ditanya, sepatah yang dijawab. Kadang-kala terasa juga hatinya dengan kelakuan Fazira. Atas nama cinta dan sayang, dia tepis segala perasaan atau prasangka sumbang yang cuba bercambah dalam hatinya. Mungkin tunangnya segan dengan dia. Tapi.., kenapa? Mereka sudah rasmi bertunang. Rasa segan atau malu sepatutnya tak lagi wujud antara mereka.

Fazri mengeluh perlahan sambil merenung wajah Fazira sedalam-dalamnya, seperti ingin menyelami isi hati tunangnya.

“Pak ngah...!” Jeritan manja si adik mengejutkan dia dari pengamatannya. Dari jauh, kelihatan si adik berlari anak mendekati mereka.

“Ya.., sayang..” Fazri mendukung Atiqah kemas. Si adik ketawa terkekeh-kekeh bila pinggangnya dikeletek Fazri.

“Pak ngah... bila Pak ngah nak kawin..?” tanya Atiqah manja. Kedua tangannya erat memaut bahu Fazri.

“Hem.., entahlah! Apa kata Adik tanya Mak ngah?” Fazri membalas dengan nada yang sama. Matanya sudah tertarah pada wajah tunangnya. Atiqah turut memandang Fazira.

“Adik tengok... Mak ngah macam tak suka kahwin dengan Pak ngah.” Kedua insan agak tersentakbila mendengar kata-kata si adik. Mereka saling memandang namun tidak bertaut lama. Fazira mula tidak keruan.

“Mungkin Mak ngah risau... sebab zaman bujangnya bakal berakhir.” Fazri cuba berseloroh namun jenaka Fazri masih belum dapat menjangkau tahap pemikiran si adik. Atiqah garu kepala. Fazira masih dengan air muka yang sama, seolah-olah memekakkan telinganya dari mendengar suara Fazri.

“Kalau Pak ngah kawin dengan Mak ngah, maknanya... Adik akan dapat sepupu, betul tak?”

Fazira pantas memandangkan si adik yang masih setia di dukungan tunangnya. Riak terkejut sudah terukir di wajahnya. Fazri tersenyum.

“Betul tu, sayang.” Fazri memicit hidung Atiqah. Si adik ketawa manja. “Adik nak berapa orang sepupu?” Fazri menambah sambil tersenyum. Matanya masih melekat pada wajah Fazira, seolah-olah menanti reaksi yang akan terukir. Namun, hampa. Fazira langsung tidak memberi sebarang respon.

“Emm.., Adik tak nak banyak-banyak. Sorang dah cukup.”

“Laa.., sorang saja..? Mana cukup.., Pak ngah nak lima orang.”

“Senang cakap.., ingat perempuan kilang buat anak.” Fazira tiba-tiba bersuara perlahan tetapi cukup jelas bergetar pada gegendang telinga Fazri. Mulutnya sedikit terlopong. Langsung tidak dijangka reaksi sebegitu datang dari tunangnya. Dia sedikit terkesima.

“Adik.., pergi cari Atuk. Pak ngah nak cakap sikit dengan Mak ngah.” Fazri bersuara serius seraya menurunkan Atiqah. Sebaik saja Atiqah hilang, Fazri menapak mendekati tunangnya.

“Awak cakap apa tadi..?” tanya Fazri dengan nada yang tenang. Fazira diam seraya menyilangkan tangannya. Wajahnya nampak sedikit masam.

“Perlu ke saya ulang..?” Balas Fazira sinis. Hati Fazri terasa seolah-olah diguris berkali-kali sebaik saja terpandang jelingan Fazira. Jelingan yang penuh dengan rasa benci dan meluat.

“Kenapa dengan awak ni? Saya tengok awak banyak berubah sejak kita bertunang. Kalau saya ada buat 
salah, tolong beritahu saya. Cuma... jangan layan saya macam ni.” Pinta Fazri lembut dengan pandangan yang sayu.

“Awak tak salah.., awak tak pernah buat salah dengan saya...”

“Habis tu.., kalau bukan salah saya kenapa awak layan saya macam ni..? Dingin semacam.”

“Saya tak suka...” Fazira bersuara perlahan. Kening Fazri berkerut.

“Tak suka..?! Tak suka apa? Tolong beritahu saya.”

“Saya tak suka awak..!” Jawab Fazira pantas tanpa was-was. Fazri tersentak, terasa seolah-olah dipukul dengan kayu berpaku. Pedih dan berdarah. Hatinya sakit.

Melihatkan keadaan riak wajah Fazri dan beberapa pasang mata yang melihat drama yang disiarkan secara langsung oleh mereka, Fazira melangkah pergi meninggalkan Fazri terpinga-pinga sendirian.

Langkah dibuka luas seperti berlari-lari anak. Fazira dengar namanya dilaung beberapa kali namun kakinya terus melangkah. Dia takut..., takut untuk berhadapan dan bertentang mata dengan tunangnya. Dia takut rahsia hitam yang disimpan rapi selama lima tahun terbongkar.

“Fazira..!” Lengan Fazira digenggam erat oleh satu tangan yang sasa. Langkah Fazira terhenti serta-merta malah posisi badannya juga sudah mengadap sepenuhnya ke arah Fazri. Ruang antara mereka cuma tinggal beberapa inci.

“Apa awak buat ni..?! Lepaslah.., tak malu ke orang tengok..!” Fazira meronta.

“Lantaklah kalau orang nak jeling pun, saya peduli apa..! Yang penting sekarang ni ialah saya nak penjelasan dari mulut awak. Kenapa awak cakap macam tu..?! Apa yang awak tak suka tentang saya?” Fazri menarik tubuh Fazira rapat dengannya. Fazira sudah menolak dada sasa Fazri dari rapat dengannya.

“Saya takkan cakap selagi awak tak lepaskan saya.” Fazira memberi amaran keras. Fazri terdiam. Matanya yang dari tajam merenung Fazira kembali lembut. Perlahan-lahan, genggaman tangannya dilepaskan. Fazira segera menjarakkan diri sambil mengurut kedua lengannya. Fazri sedikit kesal dengan tindakannya tadi tapi apa yang dia buat adalah atas dasar sayang.

“Sekarang..., tolong beritahu saya kenapa awak tak suka saya?” soal Fazri tenang dengan nada yang lembut. Renungannya juga mendayu dan selembut suaranya. Dia tak mahu kehilangan gadis di depannya. Kasih dan sayangnya pada si gadis melebihi segalanya.

“Saya...” Fazira nampak serba salah. “Saya... tak suka bila awak sebut... pasal anak.” Nada suara Fazira semakin lama semakin perlahan. Fazri pula sedikit tersentak kerana agak terkejut mendengar penjelasan tunangnya. Tiba-tiba, dia ketawa kecil. “Kenapa awak ketawa?” Fazira marah. Fazri segera mengawal tawanya.

“Saya ingat pasal apalah tadi. Itu je yang awak tak suka pasal saya..? Anak...” Fazri menghela nafas panjang. “Kenapa dengan anak..?” sambung Fazri. Renungannya nampak seperti ingin menduga kesabaran Fazira.

“Saya cuma nak beritahu yang... saya tak mahu... lahirkan anak selepas kahwin.”

Fazri tercengang. Lebih kepada tersentak kerana terkejut. Riak wajahnya berkerut seribu. Emosi terkejut, marah, keliru dan bengang bercampur baur. Dia memegang sisi kepala tanda dirinya tidak mampu menerima alasan Fazira.

“Apa yang awak merepek ni..?! Kenapa pula awak tak mahu anak lepas kahwin..? Seingat saya.., awak sukakan budak-budak. Dan.., saya tengok awak layan anak-anak saudara awak macam anak kandung awak sendiri.”

“Tapi, mereka bukan anak saya. Bukan saya yang lahirkan mereka.” Fazira pantas menyampuk. Fazri diam. Ada dengusan kasar terbit di rongganya. Fazira juga diam. Dia menyilang tangan tanda protes dan matanya langsung tidak memandang wajah Fazri.

“Okey... okey..., macam nilah. Saya takkan paksa awak. Saya sanggup beri awak tempoh hinggalah awak bersedia...”

“Awak tak faham ke apa yang saya cakap tadi..?!” Fazira mula meninggikan suara disertakan dengan renungan yang tajam. Nasib baiklah tiada manusia yang lalu lalang kerana semuanya sibuk di rumah kenduri. “Saya cakap saya takkan lahirkan anak, faham tak..?!” Kali ini, Fazira menekan hujung ayatnya. Fazri diam dengan mata tepat memandang si mata perang. Si gadis sudah merasa tidak selesa.

“Zira..., tak baik awak cakap macam tu. Ramai pasangan suami isteri yang mahukan anak selepas berkahwin. Anak tu sendiri adalah satu anugerah dari-NYA. Kenapa awak tak mahu..? Anak adalah sebahagian dari kebahagiaan dalam sesebuah keluarga. Tanpa anak..., kasih sayang dalam keluarga takkan lengkap.” Fazira hanya diam membisu selepas mendengar ucapan Fazri. Jelas dari mata Fazri, Fazira menahan marah sambil mengepal penumbuknya.

“Awak tak faham apa yang saya rasa...” Fazira masih enggan mengalah.

“Kalau macam tu..., tolong beri alasan yang kukuh kenapa awak cakap macam tu...” Pinta Fazri dengan suara yang lembut dan tenang walhal kemarahan dalam hatinya sedang galak membara. Dia masih mampu mengawal emosinya.

“Awak tahu kan..., yang ibu saya meninggal selepas melahirkan saya...” Fazri mengangguk lembut. “Itu alasan saya. Saya tak nak terima nasib yang sama seperti ibu saya.” Jelas Fazira ringkas.

“Ya ALLAH.., Zira..!” Fazri meraup wajahnya. “Sampai ke situ awak berfikir. Kenapa awak perlu takut pada sesuatu yang tak pasti? Ibu awak meninggal kerana ALLAH lebih sayangkan dia. Tolonglah jangan jadikan itu sebagai alasan.”

“Bagi awak memanglah senang. Awak hanya melihat.., tapi bila tiba masa mengandung dan melahirkan anak... saya yang bakal menanggung semua kesakitan tu. “

“Jadi.., awak sebenarnya takut sakit...” Fazri cuba mencari kepastian.

“Bunyi bodoh, kan? Memang betul tekaan awak, saya memang takut pada kesakitan. Tahu kenapa..?! Sebab sepanjang hidup saya.., hanya itu yang menemani saya. Sakit dipukul, sakit ditendang, sakit dimaki, sakit di...”

Suara Fazira terhenti kerana tidak mampu menahan sebak. Mulutnya sudah dipekup. Dia segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Fazri terdiam tatkala melihat dan mendengar luahan hati Fazira. Dia tahu apa yang dilalui Fazira. Cerita mengenai dia dipukul oleh ibu saudaranya masih terngiang di kepalanya.

“Zira..., saya..”

“Jangan datang...” Langkah Fazri terkaku seketika bila dilarang keras. “Jangan dekat dengan saya. Saya tak mahu dan saya tak suka awak tengok keadaan saya sekarang ni. Saya tak perlukan simpati dari sesiapa terutama sekali dari awak.” Walaupun wajah Fazira terlindung, dia dapat membaca Fazira sedang mengesat air matanya.

“Zira..., saya tak kisah kalau tak punya anak dalam masa yang singkat cuma tolonglah.., jangan awak hukum diri sendiri begini. Tolong..., beri saya peluang untuk kongsi masalah...”

“Itu kata putus saya...” Fazira memotong pantas. “Kalau awak tak mampu terima keputusan saya.., anggap saja antara kita... memang tak ada jodoh.”

Selesai berkata, Fazira melangkah pergi meninggalkan Fazri yang terkedu sendirian. Wajah si jejaka nampak terkejut sangat hingga bertukar pucat. Kepala lututnya pula terasa seperti hilang dari tempatnya. Hatinya sakit dan pedih. Bertambah pedih rasanya bila melihat gadis yang amat dicintainya pergi tanpa menoleh walau untuk sesaat. Fazri mengetap gigi menahan marah. Begitu mudah dan lancar tunangnya berkata-kata. Pertalian yang menghubungkan mereka seolah-olah tidak memberi makna kepada si gadis.

Apa salah saya..?!, soal hati kecil Fazri.

Semasa makan malam, mereka langsung tidak bertegur sapa. Kelakuan mereka sudah menarik perhatian tiga insan yang bersetuju untuk menyatukan mereka berdua. Mereka perasan akan kelakuan pasangan tunangan itu sejak di rumah kenduri tadi tapi tidak berani bersuara bila merasa kedinginan antara mereka. Antara yang paling risau ialah Jannah. Dia lebih risaukan keadaan emosi Fazira berbanding anak saudara kesayangannya.

Siapa yang tidak risau selepas mendengar cerita perit dan duka yang dilalui oleh si gadis sepanjang dia tinggal di rumah ini bersama ibu saudaranya. Fazira memang gadis yang malang. Tidak pernah bersua dengan ibu bapa sendiri malah, kehadirannya dianggap sebagai sial. Pengakuan Fazira semasa makan tengahari bersama minggu lepas betul-betul mengundang resah di hatinya. Dia risau si gadis hilang keyakinan terhadap anak saudara kesayangannya.

Selepas Isyak, Faizzul dan yang lain meminta diri untuk pulang. Jannah sempat memberi beberapa kata semangat kepada bakal menantunya.

“Kalau Fazri ada buat salah dengan Zira, maafkanlah dia. Ummi tahu dia tak sengaja. Fazri tu memang tak pandai menjaga hati perempuan.., maklumlah Fazira orang pertama yang berjaya mendapat tempat di hatinya.”

Terkedu Fazira mendengar kata-kata Jannah. Tidak sangka drama mereka siang tadi juga ditonton oleh Jannah. Dia tertunduk tanpa kata. Sebaik saja dia mengangkat wajah, matanya dijerat dengan panahan mata tunangnya yang sibuk bersembang dengan Ghazali dan Faizzul. Fazira memang sedar dari awal dia sentiasa dalam perhatian Fazri. Tidak tahan direnung, Fazira segera melarikan anak matanya. Jannah sekadar tersenyum simpul melihat kelakuan mereka.

“Selain ummi, dia tak pernah rapat dengan perempuan lain. Yang ada pun sekadar kawan biasa. Ummi tak bermaksud nak memaksa cuma..., berilah dia peluang. Ya..?” pinta Jannah lembut. Fazira sekadar membalas dengan anggukan yang lemah.

Sebelum berpisah, Jannah dan Fazira berpeluk lama. Fazira tidak kekok malah dia lebih suka begitu. Pelukan Jannah memang selesa dan mendamaikan. Keselesaan dan kedamaian yang tidak pernah hadir dalam ruang hatinya. Kasih sayang yang ikhlas datang dari hati nurani seorang wanita yang sangat layak digelar sebagai ibu. Fazira menikmati setiap saat dalam pelukan Jannah. Untuk seketika, masalah yang membelengu jiwanya hilang.


------------BAB 25------------
Kedengaran bunyi derapan tumbukan yang bertubi-tubi. Seseorang sedang menumbuk sebuah beg pasir yang tergantung di ruang kosong dalam sebuah bilik yang dikeliling dengan dinding telus. Tumbukan yang dilepaskan memang kuat kerana bercampur dengan perasaan marah yang memuncak. Beg pasir tadi bergoyang laju setiap kali terkena tumbukan padu si jejaka. Peluh meleleh turun membasahi tubuhnya seperti baru disimbah sebaldi air. Nafasnya juga pendek.

Pergerakannya terhenti seketika dan cuba mencuri nafas. Baju biru tanpa lengan sudah basah dengan peluhnya. Dia berjalan mendekati bangku panjang yang terletak jauh dari situ. Dia duduk seraya menanggalkan sarung tangan hitam yang membaluti tangannya. Dia tertunduk dengan siku di lutut. Suasana gim itu begitu sunyi dan yang kedengaran hanyalah hembusan nafas si jejaka. Dia mengambil beg di sebelahnya dan serta-merta sekeping kad nama melayang jatuh ke lantai.

“Saya dah cakap yang saya tak mahu ada anak..., kenapa susah sangat awak nak faham..?!” Suara Fazira mula meninggi. Jelingannya juga nampak tajam dan bengis. Fazri terkesima dengan sikap tunangnya.

“Zira.., takkanlah awak nak hidup menyendiri tanpa cahaya mata sebagai peneman. Hidup awak akan sunyi. Pasangan yang tak mampu melahirkan anak pun sanggup mengambil anak angkat untuk merasa memiliki anak..”

“Kalau macam tu.., awak ambil saja seorang anak angkat lepas kahwin. Habis cerita..!”

“Tak sama Zira. Anak angkat tak sama macam anak sendiri.”

“Tak kisahlah sama atau tak. Yang penting, anak tu tak datang dari rahim saya.” Fazira tetap dengan pendiriannya. Fazri mendengus marah kerana ketandusan idea untuk memujuk tunangnya. Perbualan yang dicuri dengar semasa makan tengahari di bilik hotel Jannah beberapa minggu yang lalu mula terngiang-ngiang di kepalanya. Baru sekarang dia faham kenapa tunangnya tidak yakin dengan diri sendiri.

“Kenapa awak layan saya macam ni..? Tak cintakah awak pada saya..?”

“Cinta...?! Apa kaitan cinta dengan anak..?!” Fazira membalas penuh sinis. Hati Fazri terasa seperti dihiris dengan pisau yang sumbing dan berkarat. Pedih lagi luluh. Wajah tunangnya dipandang lama seolah-olah seperti ingin meraih simpati. Dia perasan Fazira nampak resah dengan pandangannya.

“Macam ni sajalah, apa kata awak pergi jumpa perempuan ni... sebab saya pun dah malas nak jelaskan pada awak. Letih..!” Fazira menyerahkan sekeping kad nama kepada Fazri. Tunangnya mengambil dengan air muka yang pelik. Belum sempat dia bertanya, Fazira lebih pantas memotong. “Dia akan beritahu alasan paling kukuh kenapa saya tak mahukan anak.”

Fazira melangkah pergi selepas mengakhiri kata-katanya tanpa sebarang penjelasan yang lengkap. Fazri ditinggalkan seorang diri dalam keadaan terpinga-pinga.

Botol air dibuka dan diteguk rakus. Nafasnya masih kencang. Pertemuannya dengan Fazira semalam masih terngiang di dalam kepalanya. Hatinya bertambah ngilu setiap kali mengimbas kembali setiap bait-bait kata yang keluar dari bibir tebal tunangnya. Dia mula mengenali tunangnya iaitu sikapnya yang begitu keras kepala. Entah penyakit apalah yang menyerang otak tunangnya kala ini. Dia faham keadaan fizikal dan emosi Fazira atau mungkin dia tidak tahu apa yang terpendam dalam hati tunangnya.

Kad nama tadi sudah berada di tangannya. Nama pada kad itu ditatap lama manakala keningnya sudah bersambung. Gelaran ‘Doktor’ pada nama di kad tersebut membuatkan kepalanya makin ligat berfikir. Pada awalnya dia ingin terus berjumpa dengan empunya kad nama tersebut tapi kata-kata Fazira yang lebih mengilukan perlu dilepaskan terlebih dahulu. Dia perlu bertenang sebelum mendengar sebarang alasan lain atau membuat keputusan.


Kereta hitam berhenti di tempat parkir di Hospital Pekan Berjuntai. Fazri keluar dan berjalan ke kaunter pertanyaan sambil bertanyakan sesuatu pada jururawat yang bertugas. Selepas seketika, dia diminta mengikut jururawat tadi ke pejabat seorang doktor. Nama Nuraliza Adnan terlekat pada pintu yang dikuak oleh jururawat tadi.

“Encik tunggulah dulu. Doktor Nura keluar sekejap. Nanti dia datang semula.” Kata jururawat sambil tersenyum manis. Fazri mengangguk faham dan berjalan masuk ke ruang bilik Doktor Nuraliza. Pintu tertutup dan matanya mula meliar melihat sekeliling. Kelihatan beberapa bingkai gambar bayi comel dan montel tergantung di dinding. Fazri melihat sambil tersenyum. Tidak lama kemudian, pintu bilik dikuak.

“Encik ni pasti Encik Fazri Alias.., betul tak?” tegur seorang wanita lingkungan lewat 30-an, bertudung litup dan bercermin mata, berbaju kurung dan berjubah putih sebaik saja melangkah masuk. Fazri yang agak terkejut segera mengukir senyuman ringkas.

“Ya.., saya.”

“Silakan duduk. Fazira ada beritahu tentang kedatangan Encik.” Kata Nurazila sambil mengambil beberapa keping fail dari dalam laci mejanya. Fazri yang sudah duduk di sofa mula menunjukkan riak terkejut. Nuraliza tersenyum.

“Boleh saya tahu apa hubungan Doktor dengan Fazira..?” tanya Fazri sopan. Nuraliza duduk bertentangan dengan Fazri.

“Biar saya perkenalkan diri saya dahulu. Nama saya Nuraliza Adnan. Saya pernah merawat Fazira lebih kurang lima tahun yang lalu. Hubungan Encik dan Fazira..?” balas Nuraliza selamba. Kaca matanya ditolak lembut.

“Saya tunangnya.” Beritahu Fazri tenang. Kening Nuraliza terjungkit. Nampak seperti terkejut.

“Jadi..., Encik dah tahu keadaan sebenar Fazira..?” tanya Nuraliza samar-samar. Mendengar kata-kata Nuraliza, hati Fazri berkocak laju. Dia takut kalau-kalau tunangnya menghidap penyakit yang tenat. Dalam diam, doa sudah dipanjatkan supaya tiada berita yang boleh meragut kebahagiaan yang bakal dibina mereka berdua.

“Apa maksud Doktor..?” tanya Fazri selepas berjaya menenangkan keresahan di hatinya. Nuraliza menarik nafas dalam dan dilepaskan perlahan. Kelakuan Nuraliza mula mengembalikan keresahan yang semakin menghilang.

“Apa yang bakal saya ceritakan pada Encik mungkin akan mempengaruhi hubungan antara Encik dan Fazira. Saya harap Encik boleh berfikir dengan tenang sebelum membuat keputusan.”

Jantung Fazri kembali berdegup kencang. Tangannya mula terasa lembap. Liur yang ditelan terasa tersangkut. Tali leher yang dipakai terasa seperti menjerut lehernya. Dia masih menunggu dengan sabar.

“Encik tahu Fazira pernah lumpuh lima tahun yang lalu..?” tanya Nuraliza terang-terangan. Fazri mengangguk pantas. “Jadi.., Encik tahulah yang Fazira pernah kemalangan..?” tanya Nuraliza lagi.

“Ya.., saya tahu. Doktor tolonglah berterus-terang dengan saya. Apa keadaan sebenar Fazira..?”

“Tolong bertenang, Encik Fazri. Bukan niat saya untuk berlengah.., cuma saya nak terangkan dari awal supaya Encik tak keliru nanti.” Balas Nuraliza dengan wajah dan suara yang tenang. Dia menarik nafas dalam.

“Encik sedia maklum yang Fazira putus tunang selepas dia jatuh lumpuh. Dia juga telah difitnah yang dia dikatakan curang dan juga mengandungkan anak luar nikah dengan kawan baiknya.” Nuraliza menarik nafas lagi. Wajahnya sudah bertukar serius.

“Nasib memang tak menyebelahi Fazira pada masa tu, mak Fazira percaya bulat-bulat bila fitnah tu tersebar. Untuk menutup malu, dia mengambil langkah yang... boleh dikatakan amat kejam bagi seorang manusia yang bergelar ibu. Dia memaksa Fazira minum air rebusan dari akar kayu yang saya sendiri tak pasti apa kandungannya dengan satu tujuan.., iaitu untuk membunuh anak haram yang bersarang dalam rahim Fazira.”

Fazri sudah menekup mulut. Jelas matanya sedikit bergenang. Cerita yang didengar oleh gegendang telinganya ketika ini betul-betul menyentap pembuluh jantungnya.

“Tak cukup dengan dipaksa minum racun, perut Fazira juga ditendang beberapa kali. Dia tak mampu bergerak untuk melawan memandangkan keadaannya yang tak mengizinkan. Pada malam itu, dia dibawa ke sini oleh junior saya. Dia merupakan doktor fisioterapi Fazira. Ketika Fazira dibawa ke sini, keadaannya sudah tenat. Saya cuba sedaya-upaya untuk selamatkan maruah Fazira sebagai seorang wanita namun..., ALLAH lebih berkuasa dan menyayanginya. Kelebihan dia sebagai seorang wanita telah ditarik oleh-NYA.”

Kata-kata Nuraliza tamat di situ. Fazri nampak terpinga-pinga dan sedikit bingung. Dia cuba mencari penjelasan sendiri.

“Maksud doktor.., Fazira...”

“Dia mandul, Encik Fazri. Pada usia 18 tahun.”


YA ALLAH...! Fazri terasa seluruh batu-bata bangunan hospital terhempap di atasnya. Dia tidak sangka.., sungguh dia tidak sangka selama ini tunangnya menyimpan rahsia yang begitu perit malah, menanggung derita itu seorang diri. Badannya tiba-tiba menggeletar. Dia tunduk mengadap lantai dengan kedua tangan memegang sisi kepalanya. Sakit..., kepalanya terasa seperti ingin meletup. Tapi.., kesakitan yang ditanggung tunang lebih perit dan ngilu.