Wednesday, 12 September 2012

Bersatu Selamanya - 62


------------BAB 62------------
 “Richie..?! Apa you buat di sini?” Erin keluar dengan mata melingas kiri dan kanan. Lelaki muda berketurunan Cina yang masih setia terpacak di depan pintu pagarnya tersengih panjang. Mata nakalnya sudah melekat pada perut Erin.
“Wow, what happen to you..?” Tanya Richie dengan suara sinis. Erin menjeling geram.
“You nak apa..?!” Tanya Erin agak kasar. Cuak dia dengan kedatangan lelaki Cina itu atau lebih tepat bekas kekasihnya.
“Tak nak jemput I masuk dulu ke?” Richie tersenyum nakal. Erin mendengus tetapi tetap dibuka pintu pagar untuk lelaki itu.
“Macam mana you tahu I tinggal di sini..?” Erin duduk perlahan di sofa dengan jelingan yang sama. Richie tersenyum lebar.
“I have my sourses. I terjumpa Kelly dan dia beritahu yang you dah balik ke Malaysia. So.., I pun datang ke sini untuk cari you.” Jelas Richie sambil menyandar santai. Matanya tetap tertumpu pada raut Erin.
“Untuk apa you datang cari I?”
Kali ini, senyuman lelaki Cina itu semakin melebar. Dia bangun dan melutut di hadapan Erin. Kedua tangan Erin ditarik dan dikucup penuh kelembutan. Erin sedikit terpana. Anak mata tidak mampu bergerak, seolah-olah diikat dengan renungan menggoda Richie.
“I miss you so much, baby. Why did you leave without saying goodbye?” Richie berucap manja. Erin masih terkedu. Terkebil-kebil matanya cuba berbalas pandang dengan lelaki itu.
Richie O’Brian, lelaki Cina berdarah Belanda yang berasal dari Singapura. Erin bertemu dengan lelaki itu ketika masih belajar di luar negara. Disebabkan lelaki itulah, Erin berhabis duit semata-mata untuk kelihatan cantik dan anggun sentiasa. Memang tidak percaya kerana Richie boleh jatuh cinta padanya dengan begitu mudah.
Erin menarik kembali kedua tangannya.
“You sendiri tahu sebabnya. Keluarga you tak sukakan I. Mereka upah orang cari I dan ugut I. Nasib baiklah ada yang sanggup membantu.” Bohong Erin sedangkan dia dikejar kerana lari dari teman tidurnya. Cerita dia diugut oleh kedua orang tua Richie itu juga betul kerana mereka mengugut akan mendedahkan identitinya dan mungkin akan menamatkan riwayatnya jika dia terus mendampingi anak lelaki mereka.
“I tak tahu pun pasal tu.” Richie nampak terkejut.
“Memanglah you tak tahu sebab you tak pernah ambil tahu!” Suara Erin agak meninggi.
“I’m sorry baby. I promise, I won’t let it happen again.”
“Sudahlah. Lupakan I dan... cinta kita. I dah ada kehidupan sendiri. You pun patut mulakan hidup sendiri.”
Erin cuba bangun dalam kepayahan. Richie pula terkesima. Pantas, dia menghalang Erin dan memegang erat lengan Erin. Mukanya sedikit menyinga. Tanpa berfikir panjang, dia menolak tubuh Erin hingga terbaring dan bibir nipis itu dikulum rakus.
Erin yang terkejut terus menolak tubuh sasa Richie namun disebabkan terlalu mendambakan belaian dan sentuhan seorang lelaki, akhirnya Erin tewas. Dia membalas cumbuan Richie membuatkan Richie makin terangsang. Perut boyot Erin langsung tidak menghalangnya dari terus melempiaskan nafsunya. Aksi ranjang mereka terus berlarutan di atas sofa hinggalah loceng pintu berbunyi lagi.
Erin yang terkejut dan gelabah, segera menolak tubuh Richie dengan kasar. Kemudian, Richie ditarik masuk ke bilik tidurnya.
“Jangan berani keluar. Kalau tak, you takkan jumpa I sampai bila-bila.” Ugut Erin keras. Richie nampak terpinga-pinga. Pintu bilik tertutup rapat.
Sebelum bergerak ke pintu, dia mengamati keadaan dirinya di cermin. Segera dikesat gincu yang sudah comot akibat bibir kasar Richie. Rambutnya juga sempat disisir rapi. Dia menarik nafas panjang sebelum membuka pintu. Sebaik saja pintu dibuka, sekali lagi dia terpaku dengan mata terkebil-kebil. Rasa terkejut dan gemuruhnya sedikit sebanyak hilang.
“Boleh saya masuk?” Pinta Fazira lembut. Dia tersenyum dalam paksa. Jantungnya bagai direntap selepas melihat keadaan Erin. Sayat hatinya melihat perut Erin yang membesar. Namun dikuatkan jua jasadnya untuk terus berdiri di situ.
Erin terjaga dari lamunan singkatnya. “Maaf. Fazri tak ada di rumah.”
“Saya tahu..., saya datang untuk berjumpa awak.” Fazira menarik nafas dalam. Erin diam seketika. Pintu pagar dibuka dan Fazira dijemput masuk. Mereka bergerak ke ruang tamu. Richie sudah mencuri lihat dan menelinga dari celahan pintu yang dikuak sedikit.
“Duduklah dulu. Saya sediakan air...”
“Tak perlu. Saya tak boleh lama di sini.” Langkah Erin mati dan dia kembali duduk. Suasana sunyi seketika. Mulut masing-masing masih terkunci rapat.
“Dah berapa bulan..?” Akhirnya, Fazira bersuara juga selepas mengumpul tenaga yang tidak seberapa.
“Dah nak masuk lapan bulan.., sepasang.” Jawab Erin bangga sambil mengusap lembut perutnya.
“Kembar?!” Fazira terkejut besar. Erin mengangguk dengan senyuman sipu.
YA ALLAH..! Fazira mengucap panjang dan beristghfar. Hati dan jantungnya sama pedih, sama sakit namun ditahan jua. Fazira tertunduk lemah namun tidak begitu ketara riak kecewa yang terukir pada wajahnya.
“Macam mana awak tahu tentang kandungan dan alamat rumah saya?” Erin bertanya lembut sedangkan hatinya ketawa lantang melihar air muka madunya. Tidak sabar rasanya untuk memulakan drama sebabaknya.
Fazira menarik nafas dalam.
“Abang Fazri beritahu...” Bohong Fazira. Erin pula jungkit kening. Macam tak percaya. “Dia tak benarkan saya datang melawat sebab...”
“Dia takut awak kecil hati.” Erin memintas laju. Fazira sedikit tersentak.
“Dia cakap macam tu?” Tanya Fazira takut-takut. Sekadar ingin tahu.
Erin mengangguk lembut. Air mukanya masih beralun ayu.
“Dia takut awak kecil hati sebab... awak dan dia dah lama kahwin tapi masih tak ada berita gembira yang boleh dikhabarkan pada sesiapa.” Lancar saja Erin bertutur. Langsung tidak mempedulikan perasaan orang yang mendengar. Baginya, memang tidak penting pun kerana yang pasti dia mahu Fazira faham dengan apa yang bakal disampaikannya sebentar lagi.
Fazira terdiam seribu bahasa. Hatinya semakin sayat. Rasa perit yang tidak tertanggung lagi. Dia perlu beredar sebelum semangatnya yang makin rapuh, terus hancur dan lebur. Ketika dia ingin membuka mulut, Erin pula bersuara.
“Abang nampak gembira sangat. Saya tahu dia gembira sebab saya boleh rasakannya setiap kali dia belai mereka. Tapi..., dia tak tunjuk perasaan tu. Dia macam takut-takut. Semalam dia ada datang. Dia temankan saya tidur. Dia cakap dia rindu sangat nak rasa babies bergerak.” Tutur Erin sambil mengusap perutnya lagi. Bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman bahagia.
Jantung Fazira tersentap lagi, bagai terkena renjatan elektrik. Tangan sudah menekan dada yang sakit. Matanya pula mula bergenang. Dia takut. Sungguh dia takut. Tubuhnya juga sudah mula menggeletar. Jadi, tahulah dia ke mana dan di mana Fazri menghabiskan waktu malamnya.
“Maaf.., saya balik dulu.” Fazira bingkas bangun. Tidak sanggup lagi menadah telinga dengan kata-kata Erin yang boleh diumpamakan seperti pisau berkarat yang menghiris hatinya.
Erin agak terkejut dengan reaksi spontan Fazira, segera mencengkam tangan Fazira. Kejap dan kuat.
“Saya merayu pada awak...!” Langkah Fazira mati serta-merta. Mata perangnya bertembung dengan mata coklat yang sudah bergenang dengan air mata. “Lepaskan Fazri. Jangan menyeksa dia lagi.”
Terkesima Fazira mendengar rayuan Erin.
“Apa awak cakap ni?!” Fazira cuba melepaskan genggaman tangan Erin namun gagal apabila kedua belah tangan Erin sudah mencengkam erat pergelangan tangannya. Air mata palsu Erin mula mengalir turun.
“Fazri tak mampu beri kasih sayangnya pada anak-anak ni sebab dia risaukan awak. Dia takut awak akan terasa hati. Saya merayu pada awak... lepaskanlah Fazri. Kasihankan anak-anak ni. Mereka perlukan kasih sayang dari seorang ayah. Tak kasihankah awak dengan anak-anak ni? Mereka tak bersalah... langsung tak tahu apa-apa...” Erin meraung tanpa sedar. Fazira semakin resah. Takut lebih tepat. Kakinya kembali melangkah ke pintu walaupun Erin masih menggenggam tangannya.
“Saya tak kisah kalau tak dapat cinta dan kasih sayang Fazri..., tapi fikirkanlah tentang mereka. Mereka lebih perlukan Fazri.” Erin masih berucap dalam tangis. Tergerak hati liciknya untuk melakukan sesuatu.
Tangan Fazira ditarik dan dilekapkan ke perutnya. Terkejut dan tersentak Fazira tatkala terasa gerakan pada perut Erin. Pantas saja tangannya ditarik kembali. Seolah-olah tersentuh benda yang panas. Kakinya melangkah kembali ke pintu.
“Maaf sebab mengganggu.” Fazira berlalu pergi dengan linangan air mata yang jatuh berjurai tanpa henti.
Erin melihat kelibat Fazira hilang dengan senyuman yang lebar. Air mata palsunya dikesat penuh sinis. Puas hatinya. Biar Fazira tahu siapa yang lebih hebat dan lebih layak berada di sisi Fazri. Masuk saja ke dalam rumah, dia ketawa sepuas-puasnya. Dia menang. Dia berjaya merangkul trofi juara tanpa perlu mengerah tulang empat keratnya. Dia ketawa lagi, penuh rasa bangga dan gembira.
Richie keluar dari tempat persembunyiannya dengan air muka ingin tahu. “Who’s that?”
Tawa Erin sudah mati. “No one. You tak perlu tahu sebab tak penting bagi you pun.”
“I don’t think so. I mean... she’s quite a doll.”
Erin menjeling geram mendengar pujian miang Richie. Lelaki itu ketawa kecil.
“Setakat cantik tak ada maknanya... kalau dah ada gelaran mandul.”
“Ouch..!” Richie mengerut muka. “Seriously, who is she?”
Erin mula mendorong tubuh lampai Richie ke muka pintu. “Like I told you.., you tak perlu tahu. Sekarang I nak you keluar.”
“Please, baby. Give me one more chance.”
“Face it, Rich. Antara kita dah tak ada apa. Noktah. Titik. Jangan ganggu I lagi...”
Belum sempat Erin menghabiskan ayatnya, sekali lagi lelaki itu bertindak drastik. Bibir Erin dicumbu sepuas-puasnya. Erin yang sememangnya sedia lemah, langsung tidak melawan malah merelakan saja perlakuan sumbang Richie sehinggalah tubuhnya diangkat masuk ke dalam bilik tidur pun dia langsung tidak mengendah lagi.

Sampai di rumah, Fazira meluru ke bilik tidurnya. Badannya dihempas kasar. Raungan sayu mula kedengaran lantang. Fazira menangis semahunya. Hatinya sakit dan masih setia sakit sejak dari semalam lagi.
‘Padan dengan muka kau, Zira. Memang patut pun kau kena macam tu. Sekarang kau dah tahu kebenarannya, apa tindakan kau sekarang? Kau nak merayu, melutut depan Fazri supaya tak tinggalkan kau? Fikirlah sikit, Zira. Kau fikri dia akan terus simpan kau. Aku yakin, lepas anak-anak tu lahir... nama kau pun dia dah tak ingat...!’ Hati Fazira mengejek lantang.
Fazira segera menekup kedua telinganya.
‘Sekarang kau tahu kenapa dia menangis-nangis lepas balik dari rumah Erin... Dia menangis sebab dia geram dengan kau! Dia geram sebab kau.., dia tak boleh berikan kasih sayangnya untuk anak sendiri! Kau buat dia tersepit..., kau buat dia merana...!’
“TIDAAK...!!!!”
Fazira menjerit lantang. Kedua tangan masih melekap kemas di kedua telinga. Tidak sanggup lagi mendengar kata-kata nista yang keluar dari benaknya sendiri. Esakannya masih berlagu.
Apa yang perlu dia lakukan sekarang?! Perlukah dia berundur dan berikan peluang kepada Fazri dan Erin untuk mulakan hidup baru? Kalau begitu kesudahannya, dia sanggup. Fazri berhak untuk hidup bahagia, berhak punya zuriat sendiri.
Kata-kata Erin mula terngiang-ngiang dalam ruang mindanya. Tidak seperti Erin, dia boleh dikira bertuah kerana pernah merasai bahagia dibelai seorang insan bergelar suami. Dia sudah merasa bahagia kerana mempunyai keluarga yang lengkap walaupun tidak seperti yang diimpikan oleh sesetengah pasangan. Yang pasti, dia pernah merasa bahagia. Itu saja yang penting.
Fazira bangun dan duduk di birai katil. Dirinya sudah memasang tekad. Anggaplah dirinya bodoh atau pun gila, tapi apa yang bakal diputuskan nanti adalah untuk kebaikan semua. Dia akan pergi. Pemergian yang tidak akan kembali lagi. Dia akan memberi ruang kepada Fazri untuk mencurahkan semua kasih dan sayang yang pernah dimilikinya, kepada Erin dan bakal anak-anak mereka berdua.
Fazira menekan sesuatu di telefonnya kemudian bergerak ke almari lalu dikeluarkan bagasi besar. Kain baju miliknya diambil dan dimasukkan ke dalam bagasi termasuklah pakaian yang kemas berlipat. Sampul yang pernah disimpan di tempat itu jatuh tanpa Fazira sedar ketika dia sibuk menyumbat pakaiannya ke dalam bagasi. Sesudah selesai, matanya sempat menangkap sehelai baju melayu milik Fazri yang sentiasa dipakai setiap kali lelaki itu menunaikan solat.
Baju itu diambil dan dicium baunya. Fazira tersenyum sayu. Masih ada wanginya. Mujurlah dia tidak mencucinya pagi tadi. Selesai berkemas, dia ke bilik Fikri pula. Mustahil dia akan tinggalkan Fikri begitu saja. Fikri adalah anaknya dan dia akan bawa anak itu ke mana saja dia pergi.
Fazira segera memasukkan dua bagasi ke dalam boot kereta. Dia perlu cepat sebelum Liam muncul. Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat dilihat sekeliling rumah banglo dua tingkat itu. Di saat matanya meneroka segenap pelusuk laman, di saat itulah bayangan wajah bahagia bermain di ruang matanya. Tanpa sedar, air mata mengalir turun.
‘Maafkan Zira, Abang. Percayalah, apa yang Zira buat adalah untuk kebahagiaan Abang dan anak-anak Abang juga.’
Fazira masuk ke dalam perut kereta lalu menghidupkan enjin. Kereta mewah berwarna gangsa miliknya berlalu pergi dan menghilang.

Tuesday, 11 September 2012

Bersatu Selamanya - 61


------------BAB 61------------
Jarum jam mula menghampiri angka empat. Ketika itu jugalah Fazira terjaga dari tidurnya. Di saat dia membuka mata, dia terpaku. Wajah Fazri berada dekat dengan wajahnya. Malah, dahi mereka juga sudah bersentuhan. Fazira bangun mengejut, serentak mengejutkan Fazri dari tidur lenanya.
“Kenapa sayang? Dah masuk Subuh ke?” Tanya Fazri dengan mata berpisat. Fazira masih terpatung. Keliru sebenarnya. Seingatnya dia tertidur di bilik Fikri. Penat berendam air mata dengan layanan dingin Fazri. Dia menyelak selimut untuk bangun.
“Hei.., nak ke mana ni?” Fazri sempat menarik tangan isterinya.
“Zira... nak solat tahajjud.” Balas Fazira ringkas. Serentak, Fazri memandang jam di atas meja sebelah. Dia tersenyum pendek.
“Kita solat sama-sama, ya.” Cadang Fazri. Fazira sekadar mengangguk dan melangkah laju ke bilik air. Fazri tersenyum senget. Pasti Fazira masih terkilan dengan sikapnya semalam.
Fazri mengesot menghampiri Fazira selepas selesai membaca doa untuk solat Subuh. Tangannya diraih dan cium lembut seperti biasa. Belum sempat dia bersuara, Fazira bangun. Telekung ditanggal dan disidai di penyangkut kemudian dia melangkah ke pintu. Fazri hanya melihat sambil tersenyum sendiri. Barulah dia sedar betapa berbisanya rajuk Fazira.
“Sayang tak nak mengaji dulu?”
“Lepas solat Dhuha nanti.”
“Sayang..., boleh Abang cakap sikit?” Fazri bersuara selembut mungkin. Langkah Fazira mati di depan pintu. Dia menoleh perlahan memandang Fazri yang duduk di birai katil. Berkira-kira juga sama ada untuk mengikut kemahuan Fazri atau rajuknya.
“Sayang...” Fazri masih memanggil. Fazira mengalah. Dia melangkah lemah menghampiri katil lalu duduk di sebelah Fazri. Tangannya ditarik dan dielus lembut. Sempat juga dikucup manja beberapa kali. Fazira masih seperti tadi, diam seribu bahasa sedangkan hati sedikit sebanyak terbuai dengan sentuhan Fazri.
“Sayang masih marahkan Abang..?”
“Patut ke Zira marah?”
“Sayang berhak untuk marah.” Fazri merapatkan lagi jarak antara mereka. Dagu Fazira pula diangkat supaya bertentang mata dengannya. “Kalau Abang bersalah, Abang minta maaf. Abang tak berniat nak buat sayang...”
“Sudahlah.” Fazira menarik kembali tangannya dan menepis tangan Fazri di dagunya. Fazri sudah terkejut. ”Janganlah diungkit perkara semalam. Tak terdetik di hati Zira pun nak marahkan Abang.” Dia bangun semula.
“Sayang nak ke mana?” Tanya Fazri kalut.
“Nak ke dapur. Abang berehatlah. Abang kerja kan pagi ni, petang nanti nak kena pulang ke rumah Erin pula. Zira tak nak Abang penat bila sampai sana nanti.” Panjang lebar bicara Fazira. Fazri hanya mendengar tanpa mencelah. Tahulah dia, luka isterinya yang sudah berparut kembali terluka. Buat masa ini, biarlah rasa geram di hati isterinya hilang. Kemudian, barulah dia mulakan sesi memujuk.

Di saat Fazri turun untuk bersarapan, Fazira dan Fikri sudah sedia menunggunya di meja makan. Sesi sarapan mereka agak sunyi dari hari biasa. Fikri sendiri perasan dengan kebisuan yang sedang berlangsung. Wajah kedua ibu bapanya dipandang silih berganti. Dahinya pula berkerut.
“Papa dengan mama... bergaduh ke?”
Bendul sahaja soalan yang diutarakan. Fazri dan Fazira terkejut, kali ini mereka pula saling memandang.
“Kenapa Fikri cakap macam tu?” Tanya Fazri selamba. Matanya sudah melirik ke raut isterinya.
“Fikri pelik. Selalunya waktu sarapan, papa dan mama mesti bersembang, gelak-gelak. Tapi, hari ni senyap la pulak.” Tambah Fikri dengan mulut separuh penuh. Kali ini, Fazira pula mencuri pandang raut Fazri.
“Kami tak bergaduh, sayang. Cuma... tak ada perkara menarik yang nak disembangkan.” Jelas Fazira seraya bangun dari kerusinya dan bergerak ke sinki. Fazri menjadi tumpuan Fikri pula. Fazri menjongket bahu sebaik saja melihat anak itu mengangkat kening. Fazira berlalu ke bilik tidurnya meninggalkan mereka berdua.
Fazri dan Fikri menunggu Fazira di pintu tetapi wanita kesayangan mereka tetap tidak muncul. Mereka bergerak naik ke tingkat atas. Apabila pintu dikuak, dilihat sekujur tubuh sudah terbaring mengiring di atas katil. Fazri kalut dalam pelik. Dia segera mendekati birai katil manakala Fikri sudah melompat naik ke atas katil.
“Sayang...” Panggil Fazri lembut. Resah hatinya bila Fazira langsung tidak memberi sebarang respon. Sakitkah isterinya atau masih merajuk tentang hal semalam?
“Mama...” Kali ini, Fikri pula bersuara. Bahunya pula dihinjut lembut. Serentak, Fazira tersedar dari tidur. Terkebil-kebil dia melihat dua insan sedang menatapnya tanpa kelip.
“Sayang tak sihat ke?” Fazri bersuara sambil meletakkan belakang tangan di dahi Fazira.
“Taklah..” Fazira mengelak lembut lalu bangun dari baringannya. “Cuma... kepala ni rasa berat semacam. Mungkin tak cukup tidur.” Jelas Fazira sambil menyelak rambut yang menutup mata.
“Kita pergi klinik, ya?” Cadang Fazri. Hatinya masih dirudung rasa risau melihat alis mata Fazira yang nampak layu, tidak bermaya.
“Tak payahlah. Bukannya pening sangat. Zira cuma terlelap tadi. Letih agaknya.” Jelas Fazira lagi, kedengaran lemah. “Tolong minta Liam hantarkan Fikri ke tadika, boleh?”
“Fikri boleh cakap sendiri. Mama berehat, ya. Fikri pergi dulu.” Fikri meraih tangan mamanya lalu dicium lembut. Kedua pipinya juga turut dicium manja. Tidak dilupa pada papanya. Perkara yang sama diulang pada papanya. Fikri beredar meninggalkan mereka berdua. Anak itu juga tahu berasa risau selepas melihat keadaan mamanya.
“Abang temankan sayang di rumah hari ni, ya.” Fazri tiba-tiba bersuara. Fazira pula jadi tak keruan. Kalau Fazri ada di rumah, rancangannya akan tergendala. Rancangan yang mungkin akan membuka kembali luka yang sudah berparut.
Semalam dia sudah bertekad untuk memastikan kesahihan tentang gambar-gambar yang dikirim kepadanya tempoh hari. Dia perlu tahu kerana selagi dia tidak bertindak selagi itulah dia terasa seperti diperbodohkan oleh Fazri. Dia juga sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan yang bakal melukakan hati wanitanya.
“Kan Zira cakap tak payah. Zira cuma perlukan rehat. Lepas tidur, Zira nak ke butik sekejap. Abang pergilah kerja, jangan risaukan Zira. Pandailah Zira jaga diri.” Fazira mempertahankan pendiriannya. Rancangannya perlu dilaksanakan tidak kira apa pun yang bakal berlaku nanti.
“Suami mana yang tergamak biarkan isterinya yang tak sihat duduk seorang diri di rumah.”
“Abang..., Zira tak sakit cuma perlukan rehat. Tu saja. Zira rasa ada baiknya kalau Abang pergi pejabat. Kalau tak pergi nanti, makin bertimbun pula kertas kerja yang perlu dibuat. Lagi dua minggu dah nak masuk tahun baru. Zira tahu Abang mesti tengah sibuk, kan?” Fazira tepat meneka. Fazri terdiam. Kata-kata isterinya memang betul. Dia hanya mampu mengeluh kecil.
“Abang pergi tapi ingat... kalau ada masalah, cepat-cepat hubungi Abang. Pastikan Liam sentiasa ada bersama.” Fazri menegas dengan muka seriusnya. Fazira sekadar tersenyum nipis.
“Abang pergi dulu.” Satu ciuman melekat di dahi Fazira. Agak lama. Kemudian Fazri bangun dan bergerak ke pintu bilik.
“Abang...” Langkah Fazri terhenti. Dilihat isterinya bingkas dan menapak ke arahnya. “Tak nak special kiss ke?” Perlawaan Fazira buat matanya meluas dan keningnya terjungkit. Kemudian, dia tersenyum lebar.
“Boleh jugak.” Balas Fazri selamba dengan lirikan mata yang nakal dan senyuman menggoda. Fazira tersenyum senang.

“Kenapa dengan kamu ni? Dari tadi papa tengok, Azri asyik termenung saja. Masa dalam bilik mesyuarat pun sama. Azri bergaduh dengan si Erin ke?” Tanya Faizzul panjang. Mereka berdua saja di dalam lif menuju ke pejabat mereka berdua.
“Tak adalah. Azri tengah risaukan Zira.”
“Kenapa dengan Zira? Dia merajuk lagi?” Laju Faizzul bertanya.
“Entahlah. Perangai dia agak pelik pagi tadi.” Mereka melangkah keluar dari lif, serentak.
“Pelik macam mana?” Kali ini, Fazri terbisu seketika. Takkanlah perlu diberitahu pada papanya tentang kepelikkan sikap dan cumbuan isteri sendiri pagi tadi dan juga semalam.
“Susah Azri nak cakap. Yang pasti kelakuannya agak berbeza dengan hari-hari lain.” Jelas Fazri ringkas dan diharap sangat papanya tidak akan terus bertanya.
Duduk saja di kerusi empuknya, fikiran Fazri terus melayang. Dalam tidak sedar, jemarinya mula merayap ke bibirnya.
Masih terasa sentuhan bibir isterinya. Lembut dan mengasyikkan. Kepelikkan yang masih bermain di mindanya ialah Fazira seolah-olah tidak mahu melepaskan bibir nipisnya. Biasanya dia yang selalu berbuat begitu. Tetapi pagi tadi, mereka bercumbuan lebih lama dari biasa. Baginya, semestinya memang mustahil untuk menolak layanan terlebih istimewa isterinya.
“Zira cintakan Abang. Hanya Abang seorang di hati Zira. Hanya Abang...”
Ucapan cinta isterinya bermain-main di minda diselangi cumbuan berahi Fazira. Dia tersenyum lagi dengan mata sedia tertutup rapat seraya menghela nafas lembut. Kalau boleh, dia mahu terus terbuai dengan sentuhan itu pada setiap saat yang berlalu. Dia tersenyum sendiri, nakal.
Isterinya memang istimewa. Wanita itu punya cara tersendiri untuk buat dia angau sepanjang hari walaupun sudah memegang gelaran suami. Giankah dia dengan cumbuan isteri sendiri..? Fazri menggeleng beserta tawa kecil apabila terfikir yang dia mungkin sudah ketagih dengan cumbuan isterinya. Entah apalah yang akan terjadi dengan dirinya jika Fazira hilang dari hidupnya.

Erin bernyanyi riang di dapur. Dia sibuk menyediakan makan tengahari. Senyumannya bertambah lebar tatkala teringatkan pelukan dan kucupan lembut Fazri ketika lelaki itu datang mengejut ke kondonya semalam. Langsung tidak diduga. Dia ketawa kecil. Dia yakin madunya pasti cemburu tidak terkira jika mengetahui Fazri datang untuk berjumpanya semata-mata ingin melihat keadaan dia dan anak kembar mereka.
Erin mengusap lembut ubun-ubunnya sambil tersenyum lagi. Kali ini, dia benar-benar terasa puas. Fazri sudah mula menerima dirinya termasuklah kembar yang sedang dikandungnya. Malah, hatinya berlagu kepuasan kerana dia berkesempatan tidur bersama suaminya buat pertama kali sepanjang dia bergelar isteri Fazri. Cuma menunggu masa sahaja sebelum Fazri betul-betul jatuh ke tangannya.
Sedang dia sibuk menghidang lauk-pauk yang dimasak di meja makan, loceng rumah berbunyi.
“Abang balik? Cepatnya.” Tanpa berlengah, Erin menapak ke pintu. Dia melangkah penuh berhati-hati memandangkan perutnya makin sarat dan tidak mahu apa-apa terjadi pada kandungannya dalam masa terdekat ini. Buat masa ini, anak-anak itu adalah ‘tiket’nya untuk merampas Fazri dari madunya.
Pintu dibuka tanpa menunggu.
“Awalnya Abang sampai..” Erin bersuara ceria. Namun, rasa gembira dan terujanya hilang sebaik saja bersapa pandang dengan seseorang yang tidak pernah terfikir akan terpacul di depan muka pintu rumahnya. Matanya meluas, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Saturday, 8 September 2012

Bersatu Selamanya - 60


------------BAB 60------------
Fikri berlari mendapatkan ibunya di dapur. Sepucuk sampul surat coklat dipegang kemas.
“Mama... mama...!” Panggil Fikri teruja. Fazira yang sibuk di sinki sudah terkejut dengan laungan anaknya.
“Fikri.., kan mama pesan jangan lari.” Marah Fazira dengan nada yang lembut. Fikri tersengih comel seraya menghulurkan sampul bersaiz A4 kepada ibunya.
“Surat siapa ni?”
“Entah. Tapi, dekat situ tulis nama mama.”
Surat bertukar tangan.
“Mana Fikri tahu itu nama mama?” Fazira sengaja menduga anaknya.
“Fikri tahu eja nama mamalah.” Fikri angkat bakul sendiri. Fazira tersenyum lucu. Selepas menyerah surat tadi, Fikri kembali bermain di laman. Fazira pula kembali menyiapkan makan tengahari mereka. Sampul tadi dibiarkan saja di atas meja.
Fazira menanggalkan telekungnya lalu duduk di birai katil. Ketika dia bangun semula, matanya sudah menangkap sampul tadi. Berkira-kira untuk membuka sebenarnya. Entah kenapa hatinya terasa begitu berat untuk melihat isi kandungan surat tersebut. Bila memikirkan kemungkinan surat itu penting, tangannya segera mencapai.
“Pelik?” Itulah yang terkeluar dari mulut Fazira sebaik saja melihat kandungan sampul tersebut. Bukan terisi dengan surat tetapi beberapa keping kertas berupa gambar. Tangan diseluk lalu dikeluarkan kepingan gambar tadi.
Serentak juga, mata bulat Fazira meluas. Mulutnya dipekup. Dia terkejut. Terlalu terkejut hingga seluruh tubuhnya terkaku untuk beberapa minit kemudian dia jatuh terduduk di birai katil. Tangannya sudah menggeletar. Air hangat pula sudah berkumpul di empangan matanya, mengalir laju tanpa dipinta. Dia jadi bingung seketika. Bingung dengan apa dilihat oleh matanya.
Fazira mula tak keruan. Dia bangun dan berjalan berulang-alik di tepi katil sambil menggigit jari. Sesekali, rambutnya dikuak ke belakang. Sakit, kepalanya sakit. Hatinya pula pedih. Pedih lagi derita selepas matanya melihat imej-imej yang terpapar pada kepingan gambar-gambar tadi. Perasaannya semakin berkecamuk.
‘Apa maksud semua ni?! Kenapa Abang tak pernah beritahu Zira? Kenapa Abang sembunyikan semua ni dari Zira?! Kenapa?!!’
Terjaga dari persoalan hatinya, Fazira segera beristighfar panjang dan lama. Dia tahu, jerat dan bisikan syaitan mudah menyucuk masuk ke dalam hati yang sedang yang lemah dan keliru. Dia meraup wajahnya dan beristighfar lagi beberapa kali dan kembali duduk. Dia mematung seketika. Air mata masih bersisa di tubir mata. Telefonnya sudah berada dalam tangan. Perlukan dia menghubungi Fazri dan tanya tentang perkara itu?
“Tak... Zira percayakan Abang. Tak mungkin Abang akan buat macam ni. Abang dah janji takkan sakiti hati Zira lagi.” Fazira meyakinkan hati sendiri walaupun perasaan ragu-ragu makin menggunung.
Gambar-gambar tadi dikumpul dan dimasukkan semula ke dalam sampul. Dia agak terkejut kerana tertulis sesuatu dibelakang salah satu dari kepingan gambar itu. Gambar itu diambil dan disimpan dalam beg tangannya. Dia bergerak ke almari. Sampul tadi disimpan rapi di celah-celah baju yang berlipat. Sebelum menutup kembali pintu almari, matanya menangkap tiga buah album. Album yang menyimpan seribu satu kenangan ketika hari persandingan, hari kenduri, percutian bersama keluarga dan juga bulan madu mereka.

Hampir pukul sepuluh malam barulah Fazri sampai di rumah. Kertas-kertas kerja di pejabat disiapkan tanpa bertangguh kerana apabila sampai di rumah saja, dia ingin terus berehat tanpa perlu memikirkan kerja yang sudah sedia menunggu pada hari esok. Sebelum pulang juga, dia sempat singgah di rumah Erin. Sekadar menjenguk keadaan Erin yang kini makin sarat kerana membawa kembar.
Dia menapak laju menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya. Sebaik saja menguak pintu biliknya, dia tersenyum lebar. Fazira yang sudah lengkap bergaun tidur, duduk bersantai di atas katil dan nampak begitu asyik membelek sesuatu. Langsung tidak menyedari kepulangannya.
“Assalamua’laikum..” Sapa Fazri lembut. Fazira agak tersentak segera menoleh.
“Waa’laikum salam. Abang dah balik?” Fazira nampak teruja, mengesot laju turun dari katil dan mendekati Fazri. Terpinga-pinga Fazri apabila isterinya terus memeluknya dan bukan mencium tangan seperti biasa.
“Zira tak tahu Abang balik lambat hari ni. Maaf sebab tak tolong bukakan pintu untuk Abang.” Ucap Fazira masih erat memeluk tubuh sasa Fazri.
“Tak apa sayang. Salah Abang juga tak beritahu yang Abang balik lambat malam ni. Banyak sangat kerja tadi.” Balas Fazri seraya membalas erat pelukan isterinya. Mereka berpelukan. Lama.
“Zira rindukan Abang. Rindu sangat-sangat...” Fazira bersuara sayu sambil mengeratkan lagi pelukannya. Fazri sedikit terkedu. Bukan dengan bicara Fazira tetapi nada yang terkeluar tadi. Malah, gaya Fazira memeluknya juga agak berlainan dari sebelum ini. Seolah-olah mereka sudah lama tidak berjumpa.
“Abang pun rindukan sayang.” Fazri mengucup ubun-ubun Fazira beberapa kali. “Sekarang ni.., Abang dah ada depan mata, takkanlah rindu lagi.”
Fazira melepaskan pelukannya dan bertentang mata dengan Fazri. Sekali lagi, Fazri terkedu. Ada sesuatu yang tersirat di balik sinaran mata perang itu. Tanpa sedar, jemari halus Fazira sudah melata dan mengusap lembut wajah tampannya.
“Zira tak tahu kenapa, sejak siang tadi hati Zira asyik teringatkan Abang saja. Mata Zira pula asyik terbayangkan wajah Abang. Macam dah lama tak jumpa atau mungkin petanda... yang kita akan berpisah tak lama lagi.”
Tersentap Fazri mendengar bait-bait kata yang terkeluar dari bibir tebal itu. Pantas saja, dia mengulum rakus bibir tebal itu. Agak lama hingga isterinya tercungap.
“Jangan sesekali ungkap perkataan tu. Abang tak suka.” Fazri menegas. Fazira tertunduk malu. Dagu isterinya diangkat lembut. “Abang takkan tinggalkan Zira, takkan sesekali, faham? Abang janji.”
Fazira tersenyum segan. Fazri ditarik ke katil mereka lalu duduk di birai katil.
“Zira tengok apa?” Tanya Fazri lembut. Tangannya lincah menguraikan tali leher dan membuka setiap butang kemeja. Dia duduk di birai katil. Matanya pula sudah melekat pada album-album di atas katil.
“Album gambar masa kita kahwin.” Jelas Fazira yang masih berdiri di hadapan Fazri. Tangannya tidak terlepas dari genggaman tangan Fazri.
“Sayang tahu tak, lagi seminggu... genaplah setahun usia perkahwinan kita.” Kata-kata Fazri buat Fazira terpaku seketika. Matanya terkebil-kebil.
“Tak sangka kan.., pejam celik pejam celik dah masuk setahun. Rasa macam singkat sangat. Terlalu singkat...” Fazira membalas tenang. Kemudian, dia termangu seketika. Fazri sedar akan perubahan pada raut isterinya. Dia menarik Fazira rapat hingga terduduk isterinya di atas riba. Tangannya kemas melingkar di pinggang Fazira.
“Apa rancangan, sayang? Abang rancang nak bercuti dengan sayang. Kali ni kita pergi luar negara pulak.” Fazri mengucup manja bahu isterinya.
“Berapa lama?”
“Seminggu dua.” Fazri bersuara ceria melihat tindak balas Fazira. Fazira diam, seperti sedang berfikir.
“Macam mana dengan Erin?”
Hilang terus air muka teruja di raut Fazri. Nama yang disebut Fazira sebentar tadi seolah-olah merentap tangkai jantungnya. Fazri tertunduk manakala pelukan tadi terlerai. Fazira mula gementar dan takut. Namun, perasaan itu perlu ditahan. Kalau boleh, dia mahu semuanya terbongkar malam ini juga.
“Abang marah Zira sebut tentang Erin?” Fazira menarik wajah Fazri supaya mengadapnya. Wajah panjang Fazri jelas nampak hambar. “Abang marah ke?” Fazira masih memujuk manja. Fazri menggeleng lemah.
“Abang tak marah cuma...”
“Abang takut Zira kecil hati..?” Fazira mula berteka-teki. Fazri tertunduk manakala Fazira pula tersenyum nipis kemudian menarik nafas yang dalam. “Zira tak perlukan hadiah ulang tahun, barangan mewah dan semua tu. Yang Zira inginkan dari Abang ialah kasih sayang Abang.., keikhlasan cinta Abang... dan...” Fazira mula tersenyum nakal.
Dia mengubah posisi badannya, dari duduk ke sisi terus bertentangan dengan Fazri. Fazri pula nampak tergaman dengan aksi nakal lagi ghairah isterinya. Berderau darahnya tatkala lengan Fazira mula melilit lehernya malah dadanya juga sudah terhimpit rapat dengan tubuh langsing isterinya. Wajah mereka rapat hingga Fazri dapat merasa desahan nafas Fazira. Mata perang bertemu mata coklat. Kini, dia pula terasa gemuruh semacam. Naluri lelakinya sudah lama bergetar laju.
“...dan yang paling penting.., Zira mahukan kejujuran dari Abang. Zira tak mahu ada sebarang rahsia antara kita. Zira sanggup berkongsi rahsia Zira dengan Abang kalau itu galang gantinya.” Fazira berucap lancar tanpa tersekat. Dia sudah berterus-terang walaupun masih terselindung.
Fazri sudah menelan liur. Pahit dan payau. Anak matanya terketar-ketar di saat berbalas pandang dengan renungan tajam Fazira. Dalam diam, dia mula tak keruan. Otaknya keliru dan rasa takut mula beraja.
‘Zira dah tahu? Tak mungkin. Tapi..., tak mustahil. YA ALLAH.., takkanlah Zira dah tahu pasal Erin!’ Hati Fazri menjerit takut. Mulutnya pula seperti dijahit rapi. Jantungnya berdegup kencang.
“Zira sanggup, Bang. Sebab... Zira cintakan Abang...” Fazira bergerak perlahan menghampiri bibir nipis Fazri namun belum sempat bibirnya menyentuh bibir Fazri, lelaki itu mengelak.
Terkesima Fazira dengan tindakan Fazri namun tidak diukir perasaan itu pada wajahnya. Tidak pernah Fazri bersikap begini dengannya sebelum ini. Dia tersenyum nipis. Entah kenapa, dia malu sendiri. Dia bangun dan mengemas semula album-album gambar tadi dan disimpan semula di dalam almari.
Fazri pula masih terdiam dan memerhati kelakuan Fazira. Dia mengeluh dalam diam. Pasti isterinya terasa hati dengan tindakannya sebentar tadi.
“Abang mesti penat. Pergilah mandi lepas tu tidur, ya.” Fazira berucap ringkas kemudian bergerak ke pintu bilik.
“Sayang nak ke mana?” tanya Fazri laju. Dia sudah bangun mendekati Fazira yang terkaku di depan pintu.
“Zira tak ke mana cuma nak pergi tengok Fikri. Sejak Abang belikan dia permainan video tu, dia selalu tidur lewat. Abang pergilah bersihkan badan, nanti Zira datang balik, ya.” Fazira mengucup pipi kanan Fazri, lembut dan lama. Sempat dielus lembut pipi itu sebelum dia beredar pergi.
Fazri terkedu dengan kelakuan isterinya. Hatinya kembali resah. Persoalan yang sama kembali bertandang di benaknya. Adakah isterinya sudah mengetahui tentang hal Erin?
Selesai mandi dan solat, Fazri berbaring di atas katil. Matanya masih terbuka dalam erti kata lain, dia sedang menunggu isterinya. Sudah setengah jam berlalu namun kelibat Fazira masih belum muncul. Malas menunggu lama, dia bangun dan berjalan ke bilik tidur Fikri.
Tombol pintu dipulas kemudian dikuak perlahan. Suasana bilik bercahaya samar-samar dari lampu di sisi katil. Fazri mengeluh kecil sebaik saja melihat Fazira tertidur di sebelah Fikri. Pada mulanya dia ingin biarkan saja Fazira tidur dengan Fikri tetapi mengenangkan perbuatannya sebentar tadi, dia terus mencempung tubuh langsing isterinya lalu dibawa ke kamar mereka.
Tubuh Fazira diletakkan perlahan-lahan. Seperti biasa, lengan Fazri dijadikan bantal Fazira. Di saat itu juga, Fazira bergerak dan memeluk kemas pinggangnya. Fazri tersenyum senang. Ketika dia ingin menutup lampu, dia perasan sesuatu. Mata isterinya basah. Malah, bulu mata tebal itu juga nampak lencun.
‘Zira menangis?’ Hati Fazri berbisik. Di saat itu juga, hati Fazri sedikit terkilan. Terkilan dengan sikap dinginnya terhadap layanan Fazira. Rasa bersalah mula membuak-buak. Bersalah kerana melukakan hati isteri kesayangannya. Dahi Fazira dikucup beberapa kali. Tubuh langsing itu juga dipeluk seerat mungkin, seperti tidak mahu dilepas lagi. Diharap pelukannya dapat dirasa hingga ke alam mimpi.

Bersatu Selamanya - 59


------------BAB 59------------
Fazri masuk ke dalam rumah dengan langkah yang longlai. Dari jauh sudah kedengaran jeritan manja Fikri, menyambutnya pulang. Kemudiannya Fazira muncul.
“Abang baru balik?” Sapa Fazira seraya mencium tangan kanan Fazri.
“Ya.” Balas Fazri lemah tersenyum tawar.
Fazira membalas namun dia pelik. Fazri tidak mencium pipinya seperti biasa. Fazri menapak naik ke tingkat atas tanpa menghiraukan mereka berdua. Fazira ingin membuka mulut yang sudah tersimpan seribu satu soalan tetapi disimpan saja selepas melihat keadaan Fazri. Dalam diam, ada sedikit rasa terkilan.
“Mama, kenapa dengan papa?” Fikri menarik-narik hujung baju mamanya.
“Mama tak pasti, sayang. Fikri pergi makan dulu. Mama nak pergi tengok papa kejap. Lepas makan, suruh Liam hantar Fikri ke tadika, ya.” Fazira berkata penuh kelembutan. Fikri mengangguk manja lalu beredar ke ruang dapur. Fazira pula bergerak ke bilik tidur di tingkat atas.
Pintu bilik dikuak perlahan. Tersenyum tawar Fazira tatkala menangkap Fazri yang sudah terbaring di atas katil, masih memakai pakaian yang sama. Fazira berjalan mendekati birai katil lalu duduk di sisi Fazri.
“Abang..., Abang okey ke?” Tanya Fazira lembut. Belakang tangannya sudah melekat di dahi Fazri. Fazri terjaga dari tidur singkatnya.
“Abang dah sarapan? Kalau belum, Zira bawakan untuk Abang, ya?” Tambahnya lagi. Pelik Fazira dengan kelakuan Fazri. Pertanyaannya langsung tidak dijawab sebaliknya Fazri hanya merenung wajahnya tanpa berkelip.
“Sayang...” Panggil Fazri dengan suara yang lemah. Dia bangun dalam paksa.
“Abang..., kalau Abang letih Abang berehatlah. Zira turun dulu, tak nak ganggu Abang. Abang rehatlah, ya.” Fazira bangun tetapi tangannya dipegang kemas. Fazri menghalangnya bangun. Dia kembali duduk.
“Temankan Abang tidur.” Pinta Fazri, lembut dan manja. Fazira tersenyum senang seraya mengangguk. Dengan manja, Fazri mendaratkan kepalanya di atas paha lembut isterinya. Fazira pula menyadar selesa di kepala katil berlapikkan bantal di belakang. Tangannya sudah mengusap lembut rambut Fazri.
Selang beberapa minit, kedengaran bunyi tangisan. Fazira agak gelabah tatkala melihat air mata Fazri mengalir turun membasahi kain kurungnya. Bahu Fazri juga terhinjut-hinjut menahan sendu.
“Abang..., kenapa Abang menangis? Zira ada buat salah ke?” Tanya Fazira kalut. Nada suaranya masih setia lembut dan merdu.
“Tak...” Suara Fazri kedengaran serak. “Bukan sayang... tapi Abang. Abang yang bersalah. Abang bersalah pada sayang. Abang dah banyak susahkan sayang. Abang selalu buat sayang sakit hati. Semuanya salah Abang..., tolong maafkan Abang. Maafkan segala kesalahan abang...” Fazri meraung lemah. Fazira sudah terkedu. Tidak menyangka Fazri akan berucap begitu.
“Abang..., sudahlah. Zira tak salahkan Abang. Ini takdir kita. Kita hadapinya bersama. Zira janji takkan biarkan Abang lalui semua ni seorang diri. Zira janji.” Fazira memujuk lembut. “Sudahlah, jangan menangis lagi. Air mata lelaki mahal harganya.” Tambah Fazira sambil menggosok lembut bahu dan belakang Fazri.
Sendu Fazri makin berkurang. Tangan kanan Fazira ditarik lalu dikucup beberapa kali. Tangan tadi juga dipegang erat sehinggalah matanya tertutup dan terlena. Sebelah tangan Fazira masih lembut mengelus rambut Fazri. Sekali-sekala, dia mengucup lembut rambut Fazri. Kemudian, dia tersenyum senang walaupun hatinya agak runsing dengan racauan Fazri sebentar tadi.
Lebih merunsingkan, Fazri hilang tanpa jejak dan kemudian tiba-tiba saja muncul pagi ini. Segala perkara yang boleh menggugat jiwa wanitanya sudah dibuang jauh. Dia tidak mahu berfikir mengenai perkara itu. Perkara yang akan membuatkan naluri wanitanya sebal.
Tak mungkin Fazri akan ke rumah Erin tanpa memberitahunya sedangkan giliran Erin masih tinggal sehari lagi. Fazira menggeleng laju seolah-olah mengibas semua andaian buruk tentang Fazri.

Fazri terjaga dari tidurnya selepas terdengar azan Zohor berkumandang. Dia menggosok matanya beberapa kali sebelum menyedari kondisi ‘bantal empuknya’. Dia bangun dan duduk. Di saat itu barulah dia sedar akan Fazira yang sudah lena terlentok di kepala katil. Fazri tersenyum senang. Kasihan isterinya, sanggup berkebas kaki semata-mata untuknya.
Dia mengesot ke sisi Fazira. Perlahan-lahan, dia menarik bantal di belakang isterinya kemudian membiarkan Fazira bersandar pada ke dada bidangnya. Serentak itu juga Fazira mengerekot selesa. Tangan Fazira melilit kemas pinggangnya. Fazri tersenyum bahagia. Jemari kasarnya mula mengelus pipi gebu isterinya. Tak cukup pipi, merayap pula ke bibir Fazira. Matanya terpaku di situ. Betapa dia menyukai belaian dari bibir tebal itu.
Dalam diam, dia bergerak merapati wajah Fazira. Bibirnya mendarat kemas di bibir mungil itu. Agak lama hingga Fazira terjaga dari lenanya.
“Abang dah bangun..?” Fazira menggosok mata.
“Emm.., maaf sebab buat kaki sayang lenguh.” Fazri menggosok lembut peha isterinya. Fazira tersenyum senang.
“Zira sanggup buat apa saja untuk suami kesayangan Zira.” Balas Fazira manja sambil mencuit hidung Fazri. Fazri ketawa nakal. Suasana terasa sunyi sebaik saja mata mereka saling merenung, kemudian terus hanyut dalam cumbuan panas.
“Ya ALLAH..!!” Bibir mereka terpisah. “Zira belum masak tengahari. Nanti Fikri balik, dia mesti lapar.” Fazira bersuara laju. Dia bangun dan berjalan mendekati meja solek.
“Abang nak makan apa? Zira tak ada idea nak masak apa.” Tanya Fazira sambil menyisir lembut rambut panjangnya. Fazri bangun dan mendekati isterinya. Dengan manja, pinggang Fazira dipeluk kemas. Dagunya sentiasa di bahu Fazira.
“Abang mandi dulu lepas tu solat. Zira nak turun, lepas siap masak dan solat kita makan sama-sama.” Fazira mula merancang.
“Apa kata kita solat dan masak sama-sama, boleh?” Fazri menamatkan cadangannya dengan kucupan hangat di pipi kiri Fazira.
“Bunyi macam menarik... tapi Abang kena mandi dulu. Busuklah.” Fazira ketawa kecil sambil menolak tubuh sasa itu. Fazri turut ketawa. Terlupa sudah tentang ‘kecurangannya’ terhadap Fazira.
“Kalau macam tu, kita mandi sekali barulah adil. Sama-sama busuk, sama-sama wangi.” Balas Fazri laju seraya mengheret Fazira ke dalam bilik mandi. Jeritan Fazira hilang selepas pintu bilik tertutup rapat.

Liam tiba di depan rumah bersama Fikri. Ketika itu, Fazri dan Fazira sedang makan tengahari. Fikri berlari masuk untuk makan bersama papanya, tinggallah Fazira dan Liam di pintu masuk.
“Terima kasih sebab sudi ambilkan Fikri di sekolah.” Ucap Fazira dengan senyuman yang manis.
“Tak perlu berterima kasih Puan. Itu memang dah jadi sebahagian dari tugas saya.” Liam merendah diri.
“Kamu dah makan? Kalau belum, jomlah makan sekali.”
“Tak apa, Puan. Saya dah makan.”
“Damian mana?”
“Dia masih di pejabat. Erm... Puan, macam mana dengan Tuan Fazri?” Tanya Liam tanpa berlengah. Fazira tersenyum. Dia kagum dengan Liam dan Damian. Mereka sememangnya pembantu yang setia.
“Dia tak apa-apa. Cuma letih.” Jawab Fazira tenang dengan senyuman yang tidak lekang.
“Tuan... ada beritahu ke mana dia pergi semalam?” Tanya Liam lagi, takut-takut. Sungguh, dia dan Damian juga tidak tahu ke mana Tuan mereka menghilang selepas mereka dilarang mengikutnya semalam. Langsung tidak terfikir Fazri akan ke rumah Erin kerana mereka sendiri tahu betapa Fazri membenci wanita itu.
Senyuman Fazira bertukar hambar.
“Saya tak mahu memaksa dia bercerita kalau perkara itu memberi tekanan padanya. Biarlah dia sendiri yang cerita bila dia betul-betul bersedia nanti.” Kata Fazira ringkas. Liam mengangguk lemah. Dia beredar pergi.
“Liam dah balik?” Tanya Fazri sebaik saja Fazira masuk ke ruang makan. Fazira mengangguk. “Kenapa tak ajak dia makan sekali?”
“Dah ajak tapi dia tolak. Dah makan katanya.” Fazira mengambil tempat di sebelah Fikri yang sudah enak bersantap. Fazira kembali makan.
Dalam diam, Fazri mencuri lihat reaksi wajah isterinya. Dalam dirinya juga sudah bertanya, mengapa isterinya tidak menyoal langsung tentang semalam, kenapa dia tidak pulang selepas keluar dari rumah dan kenapa dia langsung tidak menelefon untuk memberitahu yang dia tidak akan pulang ke rumah?
“Kenapa Abang tenung Zira macam tu?” Pertanyaan Fazira mengejutkannya dari lamunan pendek.
“Tak... tak ada apa.” Fazri kembali menyambung suapannya.

Bersatu Selamanya - 58


------------BAB 58------------
“Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Anak kembar Puan sihat.” Doktor Sarah bersuara ceria. “Cuma... pastikan Puan tidak banyak bergerak dan banyakkan berehat. Jaga pemakanan dan cuba kurangkan tekanan.” Tambahnya lagi.
Erin tersenyum lega manakala tiada reaksi di wajah Fazri. Lelaki itu hanya mendengar apa yang dikatakan oleh Doktor Sarah. Bagi bakal bapa yang bakal menyambut ahli baru dalam keluarga, pasti akan gembira tidak terkata tetapi bukan dia. Dia tidak mampu untuk melahirkan perasaan itu.
Setiap kali dia ingin rasa seronok kerana bakal bergelar bapa, pasti wajah Fazira muncul di ruang matanya. Hatinya mula serba-salah. Rasa bersalah kerana merahsiakan kehamilan Erin dari pengetahuan Fazira. Bukan niatnya untuk berbuat demikian cuma dia tidak sanggup untuk memberitahu. Lebih tepat, tidak sampai hati. Tidak bermaksud dia bersimpati atau kasihan dengan keadaan isterinya tetapi dia tidak sanggup melihat senyuman di bibir Fazira hilang selepas mengetahui perkara sebenar.
Sungguh.., dia dan Fazira sedang bahagia seperti saat-saat mereka berkahwin dahulu dan kalau diberi pilihan, dia tidak mahu Fazira sedih kerana terpaksa lalui semula kejadian hitam itu. Dia tidak sanggup dan mungkin tidak cukup kuat untuk menerima layanan dingin Fazira lagi. Cukuplah yang dahulu. Dia serik.
“Abang..”
Panggilan lembut Erin dan goyangan di tangannya mengejutkan Fazri dari monolognya. Erin baru selesai mengambil ubat tambahan di kaunter.
“Kenapa?” Tanya Fazri ringkas. Suaranya masih setia dingin. Erin sedikit tertunduk.
“Abang tak nak balik?” Balas Erin lembut. Tanpa membalas, Fazri bangun dan berjalan pergi. Erin yang sudah lali dengan layanan dingin Fazri, hanya mengikut dari belakang. Dari jauh, sepasang mata sedang memerhati dengan pandangan yang tajam.
“Abang..?” Erin bersuara lembut, seperti biasa. Fazri yang memandu, hanya memandang sekilas. “Erin nak cari baju baru, boleh tak?
Fazri hanya diam tidak membalas. Dahinya pula mula berkerut.
“Baju dalam almari tu tak cukup lagi ke?”
“Baju lain semuanya dah tak muat.”
Fazri mengeluh berat namun tidak kedengaran di telinga Erin. Malas betul rasanya untuk keluar bersiar dengan si Erin. Takut kalau gosip dahulu kembali berkumandang, itu satu masalah. Lagi padah kalau hal kehamilan Erin sampai ke telinga Fazira. Bakal berlaku gempa lagi dalam rumah tangganya nanti.
“Kita keluar malamlah. Sekarang ni aku letih.” Jelas Fazri selepas teruk berperang dengan buah fikirannya. Erin tersenyum menang dalam diam.

Pujukan Fazira tidak termakan oleh Fikri. Terpaksalah dia membawa juga Fikri ke tempat yang dijanjikan oleh Fazri pagi tadi. Di situ, memang jelas terpancar senyuman puas di wajah Fikri. Fazira sendiri terasa kelakar melihat kelincahan dan aksi ingin tahu anaknya yang begitu asyik meneliti setiap hidupan air yang tersimpan di dalam aquarium di situ. Liam sentiasa ada beberapa tapak di belakang Fazira.
Dari satu tempat mereka bergerak ke tempat lain, Fikri masih dengan aksi terujanya. Tengahari, mereka makan di luar tidak jauh dari situ. Entah kebetulan apa, lelaki itu muncul ketika Fazira dan Fikri sedang menjamah.
“Memang satu kebetulan atau pun mungkin kita memang ditakdirkan untuk bertemu selalu.” Ringkas saja Shahrul berbahasa. Walaupun ringkas tetapi cukup mendalam maksudnya hingga membuat Fazira kembali gerun dengan lelaki itu.
“Teman wanita awak tak marah ke kalau dia tengok awak keluar dengan wanita lain?” Selamba Fazira bertanya, langsung tidak melihat Shahrul yang setia merenung nakal rautnya.
Fikri pula langsung tidak berminat dengan perbualan mama dan lelaki asing itu. Baginya, paha ayam goreng lebih menarik dan mengenyangkan.
“Macam mana nak marah sedangkan orang tu memang tak wujud.” Balas Shahrul dengan pandangan yang sama malah sengaja ditambah sengihan nakal lagi. Fazira mengetap bibir. Soalannya tadi seolah-olah memakan dirinya. Matanya segera mencari kelibat Liam. Sebaik saja pandangan mereka berlaga, Fazira segera menyampaikan isyaratnya.
“Fikri.., kita makan di rumah saja. Mama ingat nak makan sama-sama dengan papa, boleh kan?” Fazira bersuara lembut sambil mengelap bibir Fikri yang agak comot dengan minyak dan sos. Fikri mengangguk mudah. Lega hati Fazira. Liam sudah bergerak mendekati mereka lalu dibawa Fikri pergi bersama bungkusan makanan tadi.
Shahrul pula nampak terkejut dengan kelakuan Fazira. Terkebil-kebil matanya melihat Fazira bangun dengan air muka yang serius.
“Ingin saya ingatkan pada awak yang saya mempunyai seorang suami dan sebuah keluarga. Saya harap awak boleh hormati saya sebagai seorang wanita dan juga isteri kepada seseorang. Saya juga harap ini adalah pertemuan terakhir kita. Jika kita terserempak di mana-mana secara kebetulan, saya tak akan tegur awak dan saya harap awak akan buat perkara yang sama. Saya tak mahu suami saya naik angin semata-mata cemburu. Harap... Encik Shahrul faham.”
Selesai berkata-kata, Fazira melangkah keluar dari restoran makanan segera itu tanpa menoleh belakang. Shahrul ditinggalkan begitu saja, dalam keadaan bingung dan terpinga-pinga. Tidak lama kemudian, senyuman sinis lagi licik terukir di bibir lelaki itu.
“Saya jamin... awak bukan lagi isteri dia lepas awak tahu kebenarannya nanti.” Shahrul bersuara sinis.

Seperti yang telah dijanjikan dalam keadaan terpaksa, Fazri membawa Erin ke sebuah butik yang khusus untuk ibu mengandung. Sengaja sebenarnya dia membawa Erin di saat butik itu ingin menutup masa operasi. Kuranglah masa untuk Erin berlengah dan cepat jugalah untuk dia beredar. Bukannya dia tidak perasan dengan renungan dan gaya pekerja butik itu berbisik.
Yang membuatkan dia bertambah rimas ialah kelakuan si Erin seperti ingin bermanja dan bermesra dengannya. Sentiasa meminta pendapatnya setiap kali mencuba satu demi satu pakaian tersebut. Memang boleh lemas.
Selepas sejam membeli-belah, mereka pulang semula ke kondo Erin. Fazri mengerjakan solat Isyak dahulu sebelum pulang ke rumahnya. Dia keluar dari biliknya dan terasa pelik apabila Erin masih belum keluar dari bilik. Dia tidak terasa untuk memanggil tetapi bergerak ke bilik tidur wanita itu.
Pintu diketuk tetapi tiada jawapan. Perlahan-lahan tombol pintu dipulas. Dia mengeluh kecil apabila melihat Erin sudah terlena nyenyak di atas katil. Dia segera mendekati birai katil lalu ditarik selimut di hujung katil. Tubuh Erin diselimut kemas. Dia duduk perlahan di birai katil. Wajah bujur sihir itu direnung seketika. Keluhan kecil terhambur keluar.
Pandanglah selama mana pun, hatinya tidak mampu mencipta ruang sayang untuk wanita itu. Bukan dia melarang dirinya dari melahirkan perasaan sayang malah pernah cuba untuk menanam perasaan tersebut tetapi setiap kali dia ingin berbuat begitu, hatinya akan terasa sakit. Esakan Fazira akan kedengaran bergema di ruang mindanya. Wajah sugul Fazira pasti akan muncul di ruang matanya.
Fazri meraup wajahnya kemudian termenung. Adakah dia sedang meletakkan kesalahan itu ke atas Fazira? Salah Fazirakah hingga dia membekukan hatinya dari membuka ruang kasih untuk Erin? Apa yang dia merepek nih? Dia bukannya sayang atau cintakan perempuan ni jadi kenapa perlu membuka ruang kasih yang sudah menjadi milik Fazira sepenuhnya..!
“Abang..?” Erin terjaga dari tidurnya. Fazri yang terjaga dari monolog dirinya, terkejut dan ingin bangun tetapi tangannya sempat dipegang Erin. Tubuhnya kembali duduk dan kaku di situ. Matanya bukan lagi pada raut Erin tetapi pada lantai. Erin terkedu melihat kelakuan Fazri.
“Erin tahu Abang terseksa dan Erin minta maaf. Erin tak kisah kalau tak diberi peluang untuk merasa kasih sayang Abang tapi...” Erin mula teresak. Fazri pula terkedu. Lagaknya agak kelibut.
“...berilah peluang untuk anak-anak Abang. Mereka tak berdosa. Mereka perlukan Abang, lebih daripada Erin. Mereka lebih berhak untuk kasih sayang dan cinta Abang. Berilah mereka peluang..” Air hangat mula mengalir turun membasahi pipi Erin. Fazri terbisu seketika apabila Erin menarik tangannya lalu diletakkan ke atas perut yang sedang membesar itu.
ALLAHUAKBAR..!
Hati Fazri menjerit kuat tatkala tangannya terasa gerakan pada perut Erin. Mulutnya terketar seperti ingin mengungkap kata tetapi tiada sepatah kata yang kedengaran. Seluruh badannya mula menggeletar. Bukan takut tetapi perasan yang agak asing dan tidak pernah muncul dan sekarang ianya datang dan cuba menghuni dalam benaknya.
Anaknya sedang bergerak. Zuriatnya sedang membesar dan tidak lama lagi akan lahir ke dunia ini. Dia tersenyum dan dalam masa yang sama dia terasa seperti ingin menangis. Akalnya kini dikelirukan dengan perasaan sendiri. Malah, otaknya sama sekali terlupa tentang diri seseorang. Seseorang yang sedang menanti kepulangannya. Segala janji dan ikrar yang pernah terlafaz untuk seseorang itu.
“Anak-anak Abang memang nakal. Setiap malam mereka banyak bergerak sampai susah Erin nak tidur.” Kata Erin dengan tawa kecil. Dia segera menyeka matanya yang basah lencun dengan hujung lengan baju.
Fazri yang terjaga dari lamunannya masih membisu. Tangan dan matanya masih di perut Erin. Dia menelan liur yang payau dan berpasir. Dia terus terbeku apabila Erin mula memeluknya.
“Buatlah demi anak-anak Abang, ya.” Kata Erin lagi. Fazri hanya membisu. Dalam tidak sedar, tangannya mula menggosok lembut belakang Erin.
“Abang akan cuba.” Jawab Fazri lembut. Seolah-olah terpukau dengan pelukan Erin, selamba saja dia mengucup ubun-ubun Erin.
Di sebalik kekeliruan Fazri, muncul senyuman yang lebar, penuh kepuasan malah terselit dengan ukiran sinis. Senyuman itu terukir rapi pada bibir nipis Erin. Dia puas. Malah, dia sudah merasa aura kemenangan semakin menghampirinya. Cuma menunggu masa sahaja sebelum dia menjulang trofi juara.
Malam itu, Fazri menghabiskan masanya di rumah Erin tanpa memberitahu Fazira. Di rumah pula, Fazira seperti orang gila menanti kepulangan Fazri. Sudah dihubungi beberapa kali tetapi tetap sama. Fazri mematikan telefon bimbitnya. Damian dan Liam pula langsung tidak tahu ke mana Fazri menghilang.
Dalam keadaan resah dan gelisahnya, Fazira akhirnya terlena di ruang tamu di atas sofa hingga ke pagi.