------------BAB 1------------
Sebuah motosikal Yamaha 125 ZR berwarna merah matelik
ditunggang sederhana laju membelah jalan raya yang agak sesak dengan kenderaan
lain. Cara penunggang menunggang motosikalnya memang hebat, mengalahkan yang
pakar. Topi keledarnya berjenama Arai berwarna merah dengan visor fullface yang
gelap lagi berkilat. Kedua tangannya bersarung. Si penunggang segak berjaket
kulit hitam dan seluar jeans lusuh serta kasut sneaker, jelas sekali barang bundle.
Tidak lama kemudian, penunggang tadi berhenti di sebuah kedai
kopi yang agak sesak dengan pelanggan. Enjin dimatikan seraya menurunkan
tongkat. Dengan selamba, si penunggang tadi masuk lalu duduk di meja yang
kosong seperti sudah tersedia khas untuknya.
“Hai, Izat! Lambat kamu hari ni.” Sapa seorang lelaki India
seraya mendekati penunggang tadi yang sudah duduk.
“Lambat apanya? Betullah pukul 7.30.” Jawab si penunggang
dengan suara yang agak halus jika dibandingkan dengan suara lelaki biasa.
“Bukan apa selalunya kamu datang pukul 7.15 pagi, itu yang
Uncle kata lambat.” Lelaki India itu mengelap meja.
“Masalah sikit pagi tadi. Perut meragam.” Izat memegang
perutnya. Dia meletakkan beg sandang di kerusi.
“Kamu makan apa semalam?”
“Uncle ni banyak soal pulak. Sarapan biasa saya dah siap ke
belum?!”
“Dah siap.” Satu suara menyampuk dari belakang lelaki India
tadi. Mereka berdua menoleh. Seorang wanita Cina memakai tudung litup berjalan
ke arah mereka sambil membawa dulang.
“Teh panas kurang manis dengan roti canai telur dua keping
special punya.” Tambahnya lagi seraya meletakkan teh panas dan sepinggan roti
canai telur beserta kuahnya di atas meja.
“Fuyoo ! Ini buat saya bertambah sayang dengan Aunty Ai ni.”
Izat tersengih sambil menggosok kedua tapak tangan.
“Kalau ya pun, buanglah dulu topi tu.” Kata wanita dengan
loghat Penang bernama Ai Ling atau nama Islamnya, Aisyah. Lelaki India
disebelahnya pula adalah suaminya iaitu Ravi Ismail. Mereka berdua memeluk
Islam lebih kurang 10 tahun yang lalu.
“Hish !, Aunty tau tak betapa mahalnya harga topi ni! Mana
boleh buang macam tu saja.”
“Tak habis-habis dengan loyar buruk.” Uncle Ravi menjeling
geram sambil menggeleng-geleng kepalanya.
“Alah, takkan nak melawak pun tak boleh!” Izat menanggalkan
helmetnya.
Sejurus itu, nampaklah kain tudung bercorak ombak berwarna
coklat lembut menutup kepalanya. Kulit wajahnya kuning langsat lagi berseri
tanpa sebarang cela melainkan beberapa tompok jerawat yang semakin menghilang.
Matanya bercelak tebal ala Gothic dengan celak Mekah segera ditutup dengan cermin
mata berbingkai petak lagi tebal dengan kanta sedikit biru laut. Jaket hitam
tadi ditanggalkan menampakkan sweater tanpa zip yang agak lusuh warnanya. Tanpa
membuang masa, dia segera membaca doa dan menjamah sarapan paginya.
Inilah rutin setiap hari bagi seorang gadis bernama Nur Shahrizat
binti Abdullah. Sarapan pagi yang ringkas di kedai kopi yang dikunjunginya
sejak Tingkatan Satu lagi, sebelum memulakan kerja hariannya. Bukan sebagai
seorang pelajar tetapi seorang pengajar di sebuah pusat tuisyen di Bandar
Angsana, bandar paling sesak dan sedang membangun yang padat dengan penduduk.
Bandar yang mendapat perhatian Kerajaan selepas berjaya dimajukan oleh beberapa
pemaju bukan kerajaan.
Sebuah bilik kedengaran agak bising, begitu juga dengan bilik
bersebelahan dengannya. Meja dan kerusi panjang dibina bagi memudahkan
budak-budak tadi menulis. Lantainya pula dibina secara bertangga iaitu tinggi
di belakang kemudian rendah ke hadapan untuk memudahkan mereka melihat papan
putih tanpa perlu terhalang dengan kepala budak lain di hadapan. Kelihatan lebih
kurang 20 orang budak sebahagian berpakaian seragam sekolah dan ada yang
berpakaian biasa dan para pelajarnya memang majmuk. Tiba-tiba, seorang memukul
pembaris besar dengan kuat hingga mengejutkan budak-budak yang sedang membuat
bising tadi. Suasana bertukar sunyi.
“Aku suruh korang buat latihan bukannya melalak, faham?!”
Izat bersuara garang. Dia duduk di mejanya sambil membelek
buku rujukan Matematik Moden Tingkatan Lima. Budak-budak yang membuat bising
sebentar tadi tersengih sesama sendiri. Tiada perasaan dan emosi takut terpancar
di wajah muka mereka.
“Dah siap, senyap. Kalau tak faham, nyanyi!” marahnya lagi. Kemudian,
beberapa orang budak mula menyanyikan lagu Linkin Park bertajuk New Divide
dengan suara yang sumbang lagi nyaring.
“Okey okey. Sumbang, tak sedap langsung.”
Izat bangun dari kerusinya. Budak-budak yang lain ketawa,
begitu juga Izat. Jelas menampakkan lesung pipit yang agak dalam setiap kali
dia tersenyum. Dia berjalan ke arah budak-budak yang menyanyi sebentar tadi.
“Bahagian mana yang korang tak faham?” tanyanya lagi, kali
ini dengan suara yang agak lembut. Budak-budak tadi mula menunjukkan soalan
kepada Izat. Selepas menerangkan jalan penyelesaian untuk soalan tadi, Izat berjalan
pergi mendekati papan putih seraya mengambil pen penanda lalu mula menulis.
“Cikgu ulang balik kalau darab ia akan bertukar menjadi...” Dia
menunggu respon dari anak muridnya.
“Tambah !” jawab budak-budak tadi lancar.
“Pandai pun. Jangan keliru dan jangan takut bila soalan tu
gunakan unknown yang banyak. Jalan penyelesaiannya tetap sama walaupun dia beri
soalan yang berbelit. Faham tak?”
Budak-budak tadi pantas menjawab seraya mengangguk.
“Indeks memang pening tapi kalau faham dan buat semua latihan
yang Cikgu bagi InsyaALLAH, kamu boleh jawab tanpa sebarang masalah.”
“Terima kasih, Cikgu!” ucap budak-budak itu serentak dan lancar.
Mereka mula mengemas alat tulis yang bersepah di atas meja. Selepas beberapa
ketika, para pelajarnya mula meninggalkan tempat duduk masing-masing.
“Minggu depan Cikgu akan terangkan balik secara ringkas
sebelum masuk ke bab baru.” Terang Izat yang sudah berdiri di hadapan pintu.
Para pelajarnya pantas menyahut. Dia tersenyum senget sambil melihat pelajarnya
hilang dari pandangan. Dia masuk semula kemudian menutup kesemua lampu dan
penghawa dingin. Beg di atas meja segera dibuka.
Botol air diambil dan diminum agak rakus. Dia memang dahaga.
Sebelum kelas ini, dia sudah mengajar satu lagi kelas Biologi Tingkatan 4
selama dua jam kemudian kelas Matematik Tingkatan 3. Memang penat. Tekaknya
masih terasa sakit kerana terlalu banyak bercakap dan menjerit. Jam tangan
menunjukkan pukul 12.30 tengahari.
Dia mendekati pintu kemudian, menoleh ke belakang untuk
memastikan kesemua peralatan elektrik sudah dimatikan. Pintu ditutup. Dia
berjalan menuruni tangga dari tingkat 3 ke tingkat 1. Pintu tertulis ‘Pejabat’
dibuka. Izat berjalan masuk dengan selamba seraya mengambil sebuah buku panjang
di atas kaunter lalu menulis sesuatu.
“Dah habis, Izat?” Seorang wanita bertudung dan bercermin
mata tebal menyapa mesra dengan senyuman. Kak Tijah, seorang kerani di pusat
tuisyen tempat Izat bekerja, juga adik bongsu kepada Cikgu Fauzi.
“Iya..” Izat menjawab ringkas. Dia masih menulis dengan
tekun.
“Kesian akak tengok kamu. Selalu sangat cover period cikgu
lain.”
“Alah.., akak! Izat bukannya buat kerja percuma. Lagipun, Cikgu
Fauzi kata dia akan bayar. Akak tahu kan Izat memang perlukan duit.” Izat
menutup buku tadi kemudian diletakkan ke atas rak kecil.
“Memanglah cikgu bayar tapi kesihatan tu kena jaga juga.”
Seorang lelaki muncul di muka pintu. Lelaki itu juga bercermin mata lebar.
Cikgu Fauzi, bekas guru sekolah asrama penuh yang pernah mengajar Izat semasa
dia di Tingkatan 4 dan 5.
“Janganlah mengajar sampai lupa nak makan. Kamu tu bukannya
sihat sangat, kurus macam lidi. Kalau kamu jatuh sakit, siapa yang susah?”
“La takkanlah Cikgu tak tahu yang saya ni tulang besi, urat
dawai.” Izat mengangkat lengan gaya orang kuat.
“Eleh, tulang besi, urat dawai konon! Cubit sikit dah lebam.”
Perli Kak Tijah. Izat sudah menjeling. Manja.
“Memanglah lebam. Kulit Izat bukannya dibuat daripada
aluminium.” Balas Izat seraya berlari anak menuju ke arah pintu sambil ketawa
jahat.
“Buat lawak bodoh lagi.” Kak Tijah membuat aksi cuba melempar
buku panjang ke arah Izat yang sudah pun menutup pintu. Cikgu Fauzi hanya mampu
menggeleng sambil ketawa kecil.
------------BAB 2------------
Di sebuah restoran yang agak sesak dengan orang ramai
memandangkan waktu tengahari, sebuah motosikal merah berhenti. Izat turun dari
motosikalnya sambil berlari anak menaiki anak tangga kemudian mendekati
kaunter.
“Pak Teh !” panggil Izat agak kasar. Pelanggan lain yang
mendengar segera menoleh kerana terkejut. Bagi pelanggan tetap, mereka hanya
memandang sekilas.
“Hish kamu nih!” marah seorang lelaki separuh abad, bermisai
lebat dan berlebai berjalan mendekati kaunter. “Macam biasa ke?” tanya Pak Teh
lagi. Izat membuka visornya sambil tersengih.
“Macam biasa cuma nasi dan sayur lebih sikit. Sambal taruh
asing.”
Pak Teh mengangguk faham. Selesai membuat pesanan, dia
berjalan mendekati meja yang kosong seperti tersedia untuknya.
“Minum?!” laung Pak Teh. Izat hanya menggeleng. Helmet dan
beg diletakkan di atas meja. Selepas beberapa minit, pesanannya tiba.
“Fuyoo ! Banyaknya lauk. Izat mana ada duit nak bayar semua
ni.”
“Alah, yang lauk lebih ni Pak Teh belanja! Yang lain kamu
bayar macam biasa saja.”
“Laa kena bayar juga ke?! Ingatkan tak payah.”
“Banyak cantik muka kamu. Bulan lepas pun tak berbayar lagi
nak makan percuma pulak.”
“Alah, Pak Teh nih..! Izat lawak saja. Janganlah terasa
sangat.” Izat mula menekan-nekan nasi di dalam pinggannya.
“Pak Teh tahu. Sebab tulah, hutang bulan lepas kira settle.”
“Aik, apasal pula?!”
“Pak Teh patut berterima kasih pada kamu sebab kamulah, anak
Pak Teh berjaya dapat lima A dalam UPSR. Pak Teh betul-betul bangga dengan
dia.”
“Alhamdulillah, Pak Teh. Semua tu berkat usaha dan tawakal
dia juga. Kalau setakat ilmu dan usaha saya sorang saja memang tak jalan otak
budak tu. Dia ada potensi untuk berjaya, jadi saya tolong setakat yang termampu
saja.” Izat meneguk air kosong dari botolnya. “Dia buat apa sekarang?” tanyanya
seraya menyuap nasi kosong.
“Pak Teh hantar dia ke sekolah Maa’had dekat Kelantan.”
“Oo ni mesti nak suruh sambung belajar sampai ke al-Azhar
macam abang-abang dia, betul tak?” Izat bersuara dengan mulut yang agak penuh.
“Harapan Pak Teh macam tulah.” Balas Pak Teh. Izat tersenyum
senang. Bangga pun ada.
“Kita sembang lain kali. Orang ramai sangat waktu ni.” Pak
Teh melangkah pergi. Izat hanya mengangguk dengan mulut yang penuh. Dia makan
dengan penuh berselera.
Selepas beberapa minit, sebuah kereta Harrier berhenti di
depan restoran bersebelahan motosikal Izat. Tiga orang pemuda segak bergaya keluar
dari perut kereta tersebut kemudian berjalan masuk ke restoran seraya mendekati
Izat yang masih asyik menjamah makanan tengaharinya.
“Mak oi, kau ni makan ke melantak?!” tegur seorang pemuda
sebaik saja duduk di hadapan Izat. Dua orang kawannya lagi sudah tersengih.
Masing-masing duduk bersebelah dengan Izat. Izat yang hampir-hampir tersedak
terus menelan nasi yang belum lumat dikunyah.
“Mangkuk betul! Rasanya kau ni memang tak pernah rasa makan
nasi guna kaki, kan? Dah la salam tak bagi, alih-alih terus tegur anak orang.
Langsung tak bertamadun!”
“Padan muka. Kan dah kena.” Balas seorang pemuda lagi dengan
ketawa. Wajahnya seiras dengan wajah pemuda tadi. Memanglah sama kerana mereka
berdua adalah kembar. Si abang bernama Aidil dan adik pula bernama Adha. Pemuda
ketiga yang masih diam bertopi pula bernama Chong, pemuda Tiong Hua yang lebih
suka bergaul dengan orang melayu. Mereka semua boleh dikatakan sahabat baik
Izat sejak Tingkatan 4 lagi.
“Kau diamlah..!” Aidil geram. Kepala adiknya ditunjal. Mereka
yang melihat sudah ketawa. Pandangan Izat beralih ke arah Chong yang duduk
menyandar seperti orang mengantuk dengan topi yang sedikit ke depan. Tangan
memegang perut.
“Kau apasal Chong? Diam saja.” Izat pelik. Chong memang nampak
diam dan pemalu tetapi itu cuma luaran. Bila orang lain mula bercakap tentang
komputer dan telefon serta perkara yang sama waktu dengannya, mulutnya memang
susah ditutup. Kalau boleh, dia ingin bercakap hingga hilang suara.
“Dia sakit perut sejak pagi lagi.” Terang Adha. Chong
merengek. “Banyak kali dia keluar masuk tandas waktu kelas tadi.”
“La kau pun sama. Kesiannya.” Izat simpati.
“Kau pun sakit perut juga ke?” tanya Aidil pantas.
“Em pagi tadi. Tapi, lepas tu dah lega sikit. Kau tak makan
ubat ke?”
Chong menggeleng tanpa suara.
“Korang makan apa semalam?” tanya Adha pula. Aidil pergi
memesan makanan.
“Aku ada beli rojak pelam semalam dari sorang makcik dekat dengan
gerai burger Abang Jongang.”
“Laa rojak semalam tu ke?!” Adha ketawa kecil selepas
teringatkan perkara semalam. Chong sudah meletakkan kepala di sisi meja sambil
menekan perut. “Kau tak tengok dulu ke gerai tu bersih ke tak?”
“Gerai dia bersih cuma aku rasa dia guna kuah semalam. Itu
yang...”
“Ni kau punya pasallah!” Chong hampir menjerit tiba-tiba.
Bahasanya langsung tidak tersemat loghat Cina. Izat tercengang. “Kalau kau tak
bagi aku makan rojak semalam, perut aku takkan sakit sampai gini!”
“Kepala otak kau!” Izat membalas keras. Cermin matanya
ditolak kasar. “Kalau aku tak bagi, kau kata aku kedekut. Sekarang ni, kau
salahkan aku pulak. Ish.., aku sepak juga mamat sorang ni!” Izat mengangkat
tangan kanannya yang penuh dengan butiran nasi. “Tunggu sini!” Izat sudah
berdiri sambil menjilat jari-jemarinya yang runcing. “Nanti aku datang balik.”.
“Kau nak pergi mana?” tanya Chong pelik. Adha juga hairan.
“Tunggu sajalah.” Marah Izat lagi kemudian dia hilang di
sebalik pintu dapur.
Selepas lima belas minit, Izat muncul semula dengan segelas
air berwarna hijau cair dan semangkuk bubur. Aidil dan Adha sudah makan dan
yang tinggal hanya Chong yang masih menahan senak.
“Nah, minum ni!” Izat meletakkan segelas air dan mangkuk
berisi bubur di depan Chong.
“Air apa ni?” Chong merenung gelas tadi dengan air muka yang
geli. Matanya meliar melihat mangkuk tadi pula. “Ni pulak bubur apa?”
Aidil dan Adha yang mula menjamah turut memerhati.
“Apasal kau ni banyak tanya sangat?! Buat sajalah apa yang
aku suruh, bukannya susah sangat pun.” Izat sudah duduk di tempatnya. Mulutnya pantas
menyambung makan.
“Aku cuma tanya. Itu pun salahkah?” Chong cuba menghidu air
di dalam gelas tadi. Kemudian, dia mula minum seteguk. Keningnya pantas
berkerut. “Air apa ni? Pahit betul..!”
“Air yang dimasak dengan pucuk jambu batu. Elok untuk perut yang
sakit sebab salah makan. Bubur tu pula dimasak dengan halia, untuk buang angin
dalam badan.” Terang Izat agak sopan.
“Mana kau dapat?” tanya Aidil dengan mulut yang penuh.
“Laa kau tak tahu ke? Aku tunggu macam orang bodoh bawah
pokok jambu batu belakang kedai Pak Teh. Tetiba saja, gedebuk! Jatuh segelas
air dengan bubur halia.” Perli Izat kasar. Aidil sudah menjeling. Adha pula
tersengih. “Boleh tanya lagi. Aku minta kat Pak Tehlah!” tambahnya lagi sambil
menggeleng.
“Kau ni memang tak sayang mulutlah. Aku tanya bebaik, kau
jawab macam tu pulak!” Aidil menjeling geram. Izat hanya tersenyum senget. Dia
bangun untuk mencuci tangan selepas pinggannya licin.
“Kalau perut kau sakit juga lepas ni, aku nasihatkan pergilah
jumpa yang pakar, okey!” Chong mengangguk tanpa suara. Buburnya sudah tinggal
separuh. Kemudian, Izat terus memakai helmetnya. “Pak Teh?!” panggil Izat. Pak
Teh segera menoleh. “Duit nasi saya minta kat Chong.” Chong tersentak dan
hampir-hampir tersedak. “Dia kata dia belanja.” tambahnya sambil berlari anak
ke luar restoran.
“Woi, bila masa aku kata macam tu?!” Chong tayang penumbuk.
Geram. Izat yang sudah duduk di atas motosikal, ketawa mengejek. Enjin
dihidupkan. Bunyi deruman enjin motosikalnya kedengaran agak lembut berbanding
motosikal lain yang sejenis dengannya. Sebaik saja klac ditarik, tiba-tiba
Aidil muncul dan pantas menutup suis motornya.
“Hoi, kau ni apahal?!” Izat membuka visornya, kasar. Aidil
tersengih dengan tangan yang melekit dengan sisa nasi.
“Yang kau tergesa-gesa sangat ni apasal?!”
“Aku nak pergi solatlah. Waktu Zohor dah masuk.”
“Itu aku tahulah. Yang aku nak tahu sekarang ni, kenapa kau
dah tak melepak kat tempat Abang Fuad? Hari ni dah masuk 2 minggu kau tak pergi
sana. Kau tahu tak yang dia rindu sangat nak jumpa dengan kau.”
“Gila! Buat apa aku melepak kat sana. Bukannya duit masuk poket
pun.” Izat menghidupkan semula suisnya.
“Si Zarul pun rindukan kau!” Aidil menutup semula suis tadi.
“Ala kesiannya dia! Kalau kau jumpa dia, kau cakap yang aku
suruh dia cepat-cepat cari bini. Taklah dia merayau malam-malam buta cari
betina. Tak pasal-pasal kena cekup dengan Jabatan Agama, kau faham? Dah..! Tepi
sikit.” Izat mengundur ke belakang. Aidil hanya memerhati sambil tersenyum.
“Apasal aku dengar kau macam jealous?”
“Tolonglah! Aku takde masa nak jealous kat dia. Kalau dia nak
berkepit dengan sepuluh perempuan pun aku tak heran. Tu masalah dunia akhirat
dia. Sendiri buat, sendiri tanggung.”
“Jadi, betullah yang kau tak sukakan dia?”
“Kalau dalam dunia ni cuma tinggal dia seorang saja lelaki,
belum tentu aku akan suka dengan dia, kau faham?!” balas Izat tegas. Dia terus
memecut pergi. Mata Aidil hanya mengekor kelibat Izat hingga hilang dari
pandangan.
“Kalau kau tak suka dia, maknanya aku ada peluanglah nak tackle kau balik.” Kata Aidil sendirian sambil tersenyum sinis.