------------BAB 57------------
“Shahrul...?” Fazira agak terkejut
kerana terserempak dengan Shahrul di hadapan pintu syarikat papanya. Belum
sempat dia membuka mulut untuk kali kedua, Shahrul terlebih dahulu melangkah
pergi. Terkesima Fazira dengan kelakuan lelaki itu. Hatinya berbelah bahagi
namun yang pasti dia perlu meminta maaf atas sikap kasarnya tempoh hari.
“Shahrul.., tunggu!” Panggil Fazira
sambil mengejar langkah Shahrul yang sudah menghampiri keretanya. Shahrul
langsung tidak mengendahkan panggilan Fazira. Sebaik saja pintu kereta dibuka,
Fazira menolak kuat hingga kembali tertutup. Shahrul nampak terkejut dengan
tindakan Fazira.
“Puan..., rasanya saya tak ada
urusan dengan Puan. Jadi.., tolong jangan ganggu saya lagi.” Shahrul bersuara
tegas dengan pandangan yang dingin. Fazira terkesima lagi. Dia memberanikan
diri untuk bertentang mata dengan lelaki itu.
“Saya nak cakap sesuatu dengan
awak.” Fazira bersuara tenang. Shahrul diam.
“Apa dia..?” Balas Shahrul juga
tenang. Fazira tertunduk dan diam seketika. Shahrul mendengus sambil menyilang
lengannya kerana bosan menunggu lama.
“Saya minta maaf..!” Fazira
bersuara pantas selepas melihat reaksi lelaki itu. Shahrul agak terkejut.
“Saya nak minta maaf atas sikap
kurang sopan saya tempoh hari. Saya sedar yang saya sudah berkasar dengan awak
tapi... saya nak awak tahu yang saya tak berniat nak meninggi suara dengan
awak. Angin saya tak berapa baik hari tu dan secara tak sengaja juga saya...
lepaskan semuanya pada awak. Saya tak berniat begitu.., percayalah. Saya minta
maaf sekali lagi.” Tambah Fazira panjang lebar dan penuh penyesalan. Shahrul
yang masih setia mendengar hanya mendiamkan diri. Masing-masing membisu.
Fazira memberanikan diri untuk
melihat reaksi Shahrul namun hatinya hampa melihat Shahrul seperti tidak
mengendahkan bicara ikhlasnya. Dia tertunduk malu dan sedih seraya mengeluh
kecil.
“Saya tak kisah kalau awak tak
boleh maafkan saya. Tapi.., sekurang-kurangnya saya sudah meminta maaf. Saya
minta diri dulu.” Pinta Fazira sopan dengan hati yang agak sebal.
“Saya maafkan awak asalkan awak
belanja saya lunch.” Kata-kata Shahrul serta-merta mematikan langkah Fazira. Shahrul
mula tersenyum menang. Tidak sangka, sikap dingin dan merajuknya berjaya
menarik perhatian wanita itu.
Fazira menoleh pantas. Dia
tersenyum lega melihat Shahrul yang sudah tersenyum manis memandangnya.
Langsung dia terlupa dengan perangai beluncas lelaki itu.
Fazri berjalan keluar dari perut
lif menuju ke pintu keluar. Perut yang kosong perlu diisi memandangkan hari
sudah pun tengahari. Memandangkan hari ini bukan giliran bersama Fazira,
terpaksalah dia makan seorang diri. Kalau nak balik ke kondo Erin agak jauh
dari pejabatnya. Lagipun, seleranya hilang sebaik saja menatap wajah perempuan
itu. Dia mengeluh berat. Sampai di sebuah restoran berhampiran syarikat,
langkahnya mati serta-merta tatkala matanya menangkap sepasang pengunjung yang
sedang asyik berbual.
Bukan pasangan biasa tapi isterinya
sedang duduk bersembang mesra dengan seorang lelaki segak. Yang menambahkan
rasa panas ialah isterinya nampak gembira dan sentiasa tersenyum dan tertawa
setiap kali lelaki itu membuka mulut. Ini tak boleh jadi. Disebabkan api
cemburu yang membuak-buak, dia segera mengorak langkah mendekati meja mereka.
Sebaik saja menatap wajah jantan yang berjaya mengukir senyuman manis di bibir
isterinya, langkahnya mati sekali lagi. Niat untuk mengganggu perbualan mereka
hilang seketika. Barulah dia kenal siapa gerangan lelaki itu.
Shahrul, pembantu peribadi kepada
Datuk Hamdan. Mereka baru saja selesai bermesyuarat bersama-sama papanya. Bila
diajak untuk makan tengahari bersama, lelaki itu menolak dan katanya ada temu
janji dengan seseorang. Memang tidak sangka, lelaki keparat itu ada temu janji
dengan isterinya. Hati lelaki Fazri sudah panas lagi mendidih. Gigi diketap
rapat, penumbuk pula digenggam seeratnya. Rasa amarah selepas bergaduh dengan
Erin pagi tadi masih bersisa. Sekali lagi, langkahnya dihayun laju. Namun,
langkahnya terhenti selepas menangkap beberapa butir bicara yang dibualkan oleh
mereka berdua.
“Jadi..., khabar angin tu
betullah..?” Shahrul bersuara. Fazira memandang Shahrul terkejut kemudian
tertunduk. Nasi yang dikunyah, ditelan kasar malah terasa seperti menelan
ketulan batu.
“Saya tak suka cakap pasal perkara
tu.” Jawab Fazira tenang walhal hatinya sudah mula bergelora. Shahrul diam
namun matanya langsung tidak dialih dari memerhati reaksi Fazira.
“Saya minta maaf kalau-kalau saya
sakiti hati awak cuma... kalau awak rasa ingin luahkan rasa marah yang masih
bersisa tu, saya tak kisah. Sebab..., saya sanggup.” Kali ini, pandangan mereka
bersatu namun tidak lama.
“Itu masalah peribadi saya dengan
suami saya. Hal rumah tangga kami. Tak elok dibincangkan dengan orang lain
walaupun dengan ibu bapa sendiri.” Fazira menegas lagi.
“Bukan niat saya untuk memaksa
tapi... manalah tahu, saya mungkin ada nasihat yang boleh membantu.” Tambah
Shahrul tidak mahu mengalah. Fazira mula ketawa halus.
“Awak nak beri nasihat pada
pasangan yang berkahwin sedangkan awak sendiri tak pernah berkahwin.” Balas Fazira
dengan tawa yang masih bersisa. Shahrul tersenyum tampan.
“Sebab saya tahu, bagi awak...
berkahwin umpama satu permulaan bagi awak dan suami awak bercinta, betul kan?
Jadi, bagi saya pengalaman bercinta dan berkahwin sama saja.” Terang Shahrul
ringkas. Fazira diam. Bukan mengalah cuma malas untuk meneruskan perbualannya
dengan Shahrul kerana sudah jelas dia akan terus diasak dengan soalan yang
sama. Dia tertunduk dan mengeluh kecil.
“Fazira.., saya bukan mendesak cuma
saya nak awak tahu yang...”
“Assalamua’laikum..”
“Waa’laikum salam..” Jawab Fazira
lancar seraya menoleh ke arah empunya pemberi salam. Serentak, dia bangun
menegak. “Abang...!”
Tangan Fazira ditarik membuatkan
badannya turut terheret keluar dari restoran tersebut oleh Fazri. Shahrul ditinggalkan
begitu saja.
Panas hatinya mendengar pujuk rayu
si jantan keparat itu, panas lagi telinganya tatkala mendengar suara lembut si
Shahrul yang tidak putus-putus cuba menarik minat isterinya untuk menceritakan
hal sebenar. Marah pada isterinya juga satu hal, ingin saja disembur tetapi
hati lelakinya berjaya disejukkan oleh belaian lembut Fazira sebentar tadi.
“Abang, sakitlah tangan Zira.”
Rintih Fazira yang masih diheret Fazri. Fazri pula baru saja tersedar segera
mematikan langkah. Serta-merta, Fazira berlanggar dengan dada bidang itu
manakala dahi licinnya sudah terlanggar dagu Fazri. Pantas saja, Fazri memeluk
erat tubuh langsing itu.
“Kenapa sayang makan dengan dia..?”
Tanya Fazri lembut walaupun hatinya masih panas. Fazira tidak menjawab kerana
sibuk melepaskan diri dari pelukan Fazri. Rasa rimas kerana mereka berpelukan
berhampiran pintu dan bertambah rimas dan lemas dengan mata-mata yang
menjeling.
“Abang tengah marah sekarang ni..,
baik sayang cakap sebelum Abang cium sayang kat sini.” Bisik Fazri dengan suara
yang agak keras dan kasar. Fazira sudah terkedu. Dia terbatu seketika. Kaget.
Fazri tidak pernah mengasarkan nada suaranya sepanjang mereka bersama.
“Zira... belanja dia makan sebab
nak minta maaf. Masa Zira bad mood hari tu, Zira tak sengaja tinggikan suara
padanya depan orang ramai. Tu saja. Lepaslah.” Jelas Fazira lembut sambil
meronta. Pelukan Fazri masih begitu.
“Sayang ada temu janji dengan dia
ke?”
“Taklah.”
“Habis tu.., sayang buat apa kat
sini?”
“Papa call, suruh Zira datang temankan
dia lunch. Tapi dia batalkan pula, katanya dia terpaksa temankan kawannya
makan. Zira dah jelaskan semuanya, sekarang lepaslah..!” Terpaksalah Fazri
melepaskan pelukannya selepas terkena ketam batu berbisa isterinya. Fazira pula
sibuk menggosok dahinya yang sudah merah.
“Lain kali tak payah belanja. Kalau
terpaksa juga, ajak Abang sekali.” Tegas Fazri serius kemudian mencium dahi
merah itu. Kening Fazira terjungkit sebelah.
“Jangan cakap yang Abang cemburu.”
Kata Fazira dengan tawa kecil. Fazri geram, dia bergerak pantas mendekati
isterinya membuatkan Fazira berundur pantas kerana terkejut hingga dia dihenyak
rapat pada dinding restoran tadi. Tangan Fazri sudah melekat pada dinding dan
wajahnya sengaja dirapatkan dengan wajah Fazira.
“Suami mana yang tak cemburu kalau
nampak isterinya bermesraan dengan lelaki lain.” Kata Fazri dengan renungan
yang agak tajam. Terkebil-kebil mata Fazira di saat cuba membalas renungan
Fazri. Anak mata Fazri bergerak-gerak, meratah lumat wajah isterinya. Ingin
saja diratah bibir mungil Fazira.
“Sekarang Abang tahu apa yang Zira
rasa.” Fazira bersuara lembut disertakan dengan pandangan yang sayu. Di saat
itu, Fazri hanya mampu mengeluh kecil. Sedar hati wanita isterinya sedikit
sebanyak terguris. Dia segera menarik tangan Fazira dan berjalan menuju ke
bangunan syarikat.
“Nak ke mana ni..?” Tanya Fazira
kalut.
“Temankan Abang makan.”
“Dekat mana?” Mereka sudah
melangkah masuk ke dalam lif.
“Dalam pejabat Abang.”
Fazri mengenyit mata sambil
tersenyum penuh makna. Fazira sudah menelan liur. Dia kenal benar dengan
senyuman itu. Kali pertama dia makan di pejabat Fazri, mereka nyaris-nyaris
membuat setiausaha Fazri menjerit kerana terkejut malu. Mana tidaknya, si
Kristina membuka pintu di saat mereka sedang sibuk berasmara di atas sofa.
Entah kenapa, bulu tengkuk Fazira tiba-tiba meremang.
Fazri duduk bersantai di laman
rumah sambil membelek surat khabar. Fikri pula begitu asyik bermain dengan
permainannya di atas rumput. Fazira muncul sambil menatang dulang berisi teh
dan pisang goreng. Fazri memandang wajah ceria isterinya sambil tersenyum.
Selepas beberapa bulan berlalu,
Fazri dapat melihat sedikit perubahan pada isterinya. Fazira seolah-olah sudah
melupakan kehadiran Erin dan juga kisah hitam yang hampir meragut kebahagiaan rumah
tangganya. Fazira nampak makin ceria dengan kehadiran Fikri sebagai pelengkap
keluarga mereka. Fazri sememangnya bersyukur dengan perubahan itu namun dia
masih menanggung satu lagi masalah iaitu kandungan Erin.
Fikri berhenti bermain sebaik saja
melihat kelibat mamanya. Fazira mengambil tempat di sebelah Fazri manakala
Fikri pula diangkat ke atas riba Fazri.
“Hari ni papa cuti, Fikri nak pergi
jalan-jalan tak?” Tanya Fazri mesra.
“Nak... nak. Fikri nak pergi tengok
ikan dalam balang kaca yang besar tu. Macam dalam tv.” Terang Fikri penuh
teruja. Fazri dan Fazira sudah ketawa.
“Kalau macam tu, lepas makan
tengahari dan solat Zohor kita pergi ke sana.”
“Betul ke, papa?!” Fikri menjerit
teruja.
“Betullah. Kenapa pula papa nak
tipu?” Jelas Fazri lagi. Serentak, Fikri bersorak girang. Tanpa membuang masa,
dia melompat turun dari ribaan Fazri lalu berlari masuk ke dalam rumah. Pelik
Fazri dengan perangai anaknya.
“Dia nak mandi. Lepas tu bersiap.
Kan Abang kata nak bawa dia jalan-jalan.” Jelas Fazira selepas melihat kerutan
di dahi Fazri.
“Tapi, sekarang baru pukul 10 pagi.”
“Fikri memang macam tu. Terlebih
excited.” Tambah Fazira membuatkan Fazri ketawa kecil. Melihat hanya mereka
berdua di laman, Fazri mula mengesot rapat dengan isterinya. Tangannya sudah melilit
pinggang ramping Fazira.
“Abang..., Fikri nampak nanti.”
Larang Fazira bila bibir Fazri mula melata di pipinya tapi langsung tidak
diendahkan Fazri. Badan Fazira pula dipaksa mengadapnya.
“Dia kan ada di dalam. Cuma kita
berdua saja di sini.” Tambah Fazri lagi dengan suara manjanya. Belum sempat dia
menjamah bibir mungil isterinya, deringan telefon bimbit mematikan niatnya. Dia
mendengus marah dalam diam. Telefon diambil dan skrin dilihat. Serentak,
dahinya berkerut.
“Siapa?” Tanya Fazira selepas melihat
riak wajah Fazri.
“Ermm..., kawan. Abang jawab
panggilan dia kejap.” Jelas Fazri seraya bangun dan berjalan menjauhi
isterinya. Fazira hanya tersenyum tanpa mengesyaki perkara yang bukan-bukan
tentang perilaku Fazri.
“Hello, kenapa kau call waktu ni?”
Tanya Fazri dengan suara yang keras dan dalam. Seakan-akan berbisik.
“Assalamua’laikum.” Sapa pemanggil
lembut. Fazri terkedu sendiri.
“Waa’laikum salam.” Salam tadi
dijawab malu-malu.
“Abang, Erin bukan suka-suka nak
telefon Abang cuma... Erin nak minta izin keluar rumah.” Pinta Erin dengan
suara yang lembut.
“Kau nak ke mana?”
“Abang dah lupa..? Hari ni, Erin
ada appointment dengan Doktor Sarah. Maaf kalau mengganggu.” Jelas Erin dengan
suara yang kedengaran sayu. Fazri diam seketika. Dia sendiri sudah terlupa
tentang hal itu. Erin pernah beritahunya cuma dia saja yang buat tak endah.
“Pukul berapa?” Tanya Fazri masih
kasar.
“Sebelas setengah nanti. Erin dah
call teksi. Erin janji akan balik terus lepas...”
“Tak payah.” Fazri memotong pantas.
“Tunggu di rumah, nanti aku datang.” Talian diputuskan pantas. Fazri mengeluh
berat. Waktu begini juga si Erin menelefonnya. Makin resah apabila memikirkan
janjinya dengan Fazira dan Fikri.
“Abang... Ada masalah ke?”
Tersentak Fazri dengan teguran
isterinya dari belakang. Fazri berpusing sepenuhnya mengadap isterinya.
“Tak.., cuma Abang terpaksa keluar kejap.
Tapi, Abang janji akan balik secepat mungkin.” Fazri bersuara pantas dan
tenang.
“Hal kerja?”
“Lebih kurang. Abang minta maaf
sebab tak boleh nak bawa Fikri jalan-jalan seperti yang kita rancang tadi.”
Fazri masih tenang.
“Tak apa. Pasal si Fikri, Abang tak
perlu risau. Nanti pandai-pandailah Zira pujuk dia. Kalau dia teringin sangat
nak pergi, Zira boleh bawa dia pergi sendiri. Itu pun kalau Abang izinkan.”
“Abang izinkan. Asalkan Liam ada
bersama. Boleh?” Fazri menarik lembut tubuh langsing isterinya lalu mencuit
manja hidung mancung Fazira. Fazira mengangguk dengan tawa manja.
“Abang minta maaf sekali lagi
dengan sayang. Lepas ni, Abang janji...” Kata-kata Fazri mati selepas jari
telunjuk Fazira melekat di bibirnya.
“Jangan. Zira takut... kita berdua
kecewa sebab tak mampu penuhi janji yang dibuat.” Fazira bersuara lembut. Fazri
tersenyum seraya melilit kemas pinggang isterinya.
“Abang minta maaf sekali lagi.”
Kata-kata Fazri diakhiri dengan
kucupan lembut di bibir mungil isterinya. Fazira hanya membiarkan bibirnya
dielus Fazri walaupun dia sedar yang Fikri mungkin akan muncul bila-bila masa
sahaja.
“Abang pergi dulu.”
“Hati-hati memandu.”
“Ya. Assalamua’laikum.”
“Waa’laikum salam.”
Fazri masuk ke dalam keretanya.
Selepas menghidupkan enjin, kereta mewah hitam milik Fazri berundur dan
meluncur pergi. Fazira yang dari tadi melambai, segera berlari masuk. Ada tugas
penting yang menantinya di dalam rumah yang mungkin akan memerlukan sepenuh
tenaganya.