------------BAB 3------------
Sembilan
tahun kemudian...
Suasana tempat letak kereta sunyi sepi.
Saerah mengerling jam di tangan. Masih awal. Dia melangkah memasuki lif. Pintu
lif terbuka apabila tiba di tingkat tiga. Saerah berjalan santai sambil mata
melilau memerhati sekeliling. Kedai-kedai di tingkat itu masih belum dibuka.
Ruang legar juga sedikit malap kerana masih banyak lampu yang tidak terpasang.
Dia memperlahankan langkahnya apabila mendekati sebuah kedai pakaian.
Saerah tersengih apabila terpandang kelibat
Adilla sedang sibuk memakaikan pakaian pada sebuah patung wanita. Dia
menjengket perlahan lalu menyergah teman baiknya itu. Adilla yang cukup khusyuk
dengan kerjanya melatah panjang. Siap terpeluk patung tadi lagi. Saerah ketawa
bagai tidak ingat dunia.
“Nak mampus betul makcik sekor nih..!!”
Adilla menjerit geram. Tangan patung tadi dijulang tinggi. Geram betul apabila
disergah begitu. Saerah berlari anak masuk ke dalam tanpa mempedulikan leteran
mak nenek temannya.
“Kau nih, kang mati terkujat anak dara
Sufian tu, siapa nak jawab..?” tegur Hanis yang turut sama merasa tahap kejutan
dek pekikan dan latahan Adilla.
“Alah.., sekali-sekala mengusik! Bukan
selalu pun.” Saerah masih tersengih suka. Hanis hanya mampu menggeleng
mengenangkan perangai makcik yang seorang ini. “Aik.., dia tak sampai lagi ke?”
Saerah memandang sekeliling mencari seseorang.
Mendengar pertanyaan itu, Hanis
mengerling jam tangannya. Dia sendiri berasa pelik. “Tersangkut dalam trafik
kot.” Hanis membuat telahan sendiri.
“Hish..! Merepeklah kalau tersangkut.
Lainlah kalau dia drive macam kita. Dia tu naik skuter. Sepatutnya dia sampai
awal dari kita.” Saerah membebel risau. Tidak pernah temannya yang seorang itu
lewat begini.
“Dia ada hal sikit. Pagi tadi dia call.
Dia kena hantar sepupu dia ke kolej sebelum datang sini.” Suara Adilla muncul
di belakang Saerah membuatkan gadis itu berpusing sambil tersenyum comel. Wajah
cemberut Adilla memang comel! Tidak semena-mena, penyangkut pakaian di tangan
Adilla hinggap di lengannya. Menyeringai sakit dia dibuatnya.
“Alah bucuk cayang intan payung..!
Janganlah marah, anje gurau aje.” Usik Saerah suka sambil mencuit dagu berisi
Adilla. Makin seronok melihat mimik muka ala-ala asam kecut Adilla. Hanis
ketawa halus melihat dua temannya itu. Tidak ubah seperti Fizi dan Ehsan dalam
cerita animasi Upin & Ipin.
“Safe!!!” Jeritan halus di muka pintu
membuatkan tiga dara pingitan tadi menoleh laju. Mereka tersenyum panjang. Hati
masing-masing mengucap rasa syukur apabila melihat wajah ceria yang menjadi bualan
mereka sebentar tadi telah tiba dengan selamat. Cukup lega!
“Banyaklah kau punya safe! Dah pukul
berapa sekarang..?” Saerah bersuara tegas sambil mencekak pinggang. Wajahnya
sengaja dibuat garang. Gadis tadi melangkah masuk sambil tersengih-sengih. Nafasnya
sedikit turun naik akibat larian maratonnya sebentar tadi.
“Tepat pukul sembilan. Tak lambat tak
cepat. Thank you very much!” Ceria sahaja gadis itu bersuara sambil
tersenyum-senyum. Saerah tarik muka manakala Adilla dan Hanis tersenyum lucu.
“Dah breakfast? Aku ada beli roti canai. Untuk Dilla macam biasa. Anis pun
sama.”
“Untuk aku..?!” Tanya Saerah laju sambil
membelek bungkusan plastik yang dibawa gadis manis itu.
“Lah.., kau tak makan lagi ke? Aku ingat
kau dah makan kat rumah tadi.”
“Assyifa..!!!” Saerah menjerit geram.
Marah. Makin geram apabila gadis itu ketawa suka. Hanis dan Adilla juga begitu.
Seronok mengetawakannya.
“Alah bucuk cayang intan payung..!”
Intro Saerah diguna pakai tanda menyakat. Bahu temannya dipeluk mesra. “Tak
payah buat muka cemberut asam kecut tu. Takkanlah aku lupakan kau wahai si
mulut kecoh, kaki mengusik lagi apa eh..?”
“Perut tong drum, mulut longkang.”
Sampuk Adilla geram.
“Kurang lemak punya mulut. Meh sini kau,
aku nak sira dengan kuah roti canai nih!” Saerah mengejar Adilla yang sudah
membuka langkah ke pantri bersama bungkusan makanan tadi. Tergelak Hanis dan
Assyifa melihat gelagat mereka.
“Jomlah kita makan dulu. Hari ni buka
lambat sikit. Syifa nak check stok yang baru sampai semalam lepas makan nanti.”
Assyifa bergerak ke pejabatnya. Hanis tersenyum seraya mengangguk tanda faham
dengan arahan bosnya.
Hampir jam sebelas pagi, Ody Style mula
dikunjungi pelanggan. Ody Style ataupun nama panjangnya, Out-Do-Yourself adalah
hasil inspirasi dari Assyifa sendiri. Kedai pakaian yang dibuka bersama tiga
teman baiknya mula beroperasi sejak tiga tahun yang lalu. Ody Style bukan
sahaja menyediakan pakaian yang bermutu tinggi malah turut menawarkan khidmat
perunding imej dan juga mekap. Ody Style amat mengutamakan gaya pemakaiannya
pada pemakainya. Menutup aurat dan sopan tetapi berketrampilan moden serta
berstail. Cukup kena dengan cita rasa remaja zaman sekarang yang inginkan gaya
urban. Pelanggan tetap Ody Style terdiri daripada remaja yang masih
tercari-cari penampilan yang bersesuaian terutama sekali bagi gadis yang
bertudung.
“Akak rasa dress kembang ni sesuai
dengan adik yang bertubuh kurus. Adik rasa macam mana..?” Tanya Assyifa mesra
pada seorang pelanggannya. Gadis itu mengia setuju. Nampak terpegun dengan
dress kapas paras bawah pinggul itu. “Adik boleh pakai dengan seluar jeans,
slack ataupun slack-jean. Ikut keselesaan adik. Pakai skrit labuh pun okey.”
“Kalau pakai inner putih.., akak rasa
okey tak..?” Tanya gadis itu sambil membelek blaus rona merah ala jaket yang
tersarung di tubuhnya.
“Pakai inner memang tak salah tapi
pakaian tu selalunya ketat dan mengikut badan. Tak manislah pulak. Dress tanpa
lengan ni memang elok ditutup dengan blaus ni. Ataupun adik ada pilihan lain.
Gantikan inner tadi dengan plain t-shirt lembut dan longgar lepas tu tutup
dengan tudung atau selendang labuh.” Serentak, Assyifa mengambil pakaian yang
disebutnya sebentar tadi lalu diacukan kepada gadis itu. Gadis itu masuk
kembali ke bilik persalinan.
“Hem.., okey jugak macam tu!” Gadis itu
berpusing di hadapan cermin selepas Assyifa menolongnya mengenakan sehelai
selendang dengan gaya ringkas. Seronok Assyifa melihat seorang lagi
pelanggannya yang nampak teruja dengan gaya terbarunya. “Tapi akak.., rasanya
dah terlebih budgetlah. Saya datang cuma nak cari baju saja.”
Assyifa tersenyum senang. Itulah
rungutan yang selalu keluar dari mulutnya dahulu. “Berapa budget adik?” Assyifa
tersenyum manis.
“Em, dalam RM150 saja sebab terfikir nak
ambil dua tiga helai baju macam nih.”
“Itu dah lebih dari cukup, dik.
Selendang, dress dan seluar yang adik pakai tu tak sampai seratus pun. Oleh
sebab adik pelanggan pertama akak pagi ni.., akak hadiahkan sehelai lagi dress.
Adik pilih saja yang mana adik suka.”
Gadis itu nampak tersentak dan teruja.
“Biar betul kak..?!”
“Betullah. Tapi, kalau adik tambah lagi
tiga puluh ringgit, akak boleh padankan dengan kasut dan aksesori yang
bersesuaian.”
“Rasanya ni pun dah terlebih cukup.
Kalau boros sangat nanti tak ada tambang nak balik pulak.” Gadis itu tersengih
malu. Assyifa turut sama ketawa. “Kalau macam tu, saya terus pakailah. Malas
nak salin lain.”
“Set! Adik tunggu kat kerusi depan
cermin tu. Kami sediakan solekan percuma untuk pelanggan yang first time datang
ke sini.”
“Wow! Bestlah kedai akak nih. Esok-esok,
saya nak ajak kawan-kawan saya datang pulak.” Gadis itu membelek dress yang dia
berkenan. Jumpa yang sesuai terus diambil lalu diserahkan kepada Assyifa.
“Tapi.., akak tak rugi ke buat sale macam ni. Siap mekap serba-serbi lagi.”
Assyifa tersenyum lagi. Itulah yang
soalan yang selalu dilontarkan kepadanya. “Kalau nak buat benda baik ni dik,
memang tak menguntungkan. Tapi yang paling penting niat akak sampai pada semua
gadis macam adik kat luar sana.”
“Niat..? Maksud akak..?”
“Akak teringin nak tengok gadis-gadis
suci macam adik pelihara aurat mereka. Adik sendiri boleh tengok kan macam mana
pemakaian gadis remaja zaman sekarang. Yang bertudung macam tak bertudung. Yang
tak bertudung pulak.., lagilah. Remaja Islam sekarang makin terpesong.
Bertudung tetapi mendedahkan aurat. Tudung cantik tetapi pendek dan singkat
hingga menampakkan bahagian dada. Dah cantik bertudung tapi pakai pulak baby
shirt dengan skinny jean. Tak pelik ke macam tu..?” Panjang hujah Assyifa.
Gadis itu pula terangguk-angguk setuju dengan kata-kata Assyifa.
“Adik tengok akak ni dah macam pendakwah
pulak. Tapi versi moden dan urban. Nak kata macam ustazah memang tak ada ciri
langsung sebab adik tengok pakaian akak memang bergaya dan ranggi habis.” Jujur
gadis itu berkata. Assyifa ketawa sendiri. Memang benar kata gadis itu, dia
memang tak ada langsung ciri-ciri seorang ustazah. Hari ini, dia mengenakan selendang
labuh yang dililit hingga ke paras pinggang, bersingsing di bahu dan dipadankan
dengan dress paras paha bersama jeans straight cut.
“Ini dah macam pakaian rasmi akak.
Takkanlah akak nak berjubah dengan jilbab tapi jual pakaian macam ni.”
“Betul jugak kan..?” Gadis itu
tersengih. Dia duduk di kerusi berhadapan cermin solek.
“Adik duduk ya, akak panggilkan kawan
akak untuk mekapkan adik sementara akak siapkan resit. Dilla.., make-up
please!” Assyifa melaung lembut sambil bergerak ke kaunter pembayaran. Adilla
datang untuk melaksanakan tugasnya.
------------BAB 4------------
Medan selera tingkat bawah mula
dikerumuni pengunjung dan pelancong asing. Selain pemilik kedai dan pekerja
dalam Bentara Megamall, segelintirnya adalah pekerja-pekerja ofis dari bangunan
berdekatan. Medan Selera Bahtera memang akan sesak setiap kali masuk waktu
tengahari dan petang. Tarikan utama tentulah masakannya yang pelbagai. Cukup
sedap dan berpatutan. Segala macam masakan ada tersedia selain masakan dari
tiga kaum utama di Malaysia. Masakan dari negara jiran seperti Thailand dan
Indonesia termasuklah masakan Eropah, Timur Tengah dan Asia Barat juga turut
dihidang. Itulah yang menjadi tarikan utama di Medan Selera Bahtera.
Di satu sudut, kelihatan empat orang
gadis sedang enak menjamu selera. Hingar-bingar di sekeliling mereka langsung
tidak mengganggu acara bersembang mereka.
“Amacam dengan stok tadi?” Tanya Saerah
dengan mulut separuh penuh. Adilla di sebelah menjeling jengkel. Tak senonoh
betul makcik sorang nih!
“Okey-okey je. Tak ada yang kurang, tak
ada yang reject. Lepas ni boleh tempah dengan supplier tu lagi.” Jawab Assyifa
tersenyum. Kelakar dengan mimik muka meluat Adilla.
“Kasut-kasut yang kau minta aku pesan
hari tu mereka cakap akan sampai dalam empat lima hari lagi. Kalau sampai awal,
pihak mereka akan call.” Sampuk Hanis. Assyifa terangguk faham. “Kalau aku
free, aku pergi ambil. Kalau tak...”
“Meh aku ambil!” Jawab Saerah
bersemangat. Tangan kanannya diangkat tinggi. Temannya yang lain tergelak.
“Okeylah. Nanti kau pergi ambil. Tapi
ingat, jangan kau buat aksi drift macam hari tu pulak. Bukan aku tak tahu
perangai gila-gila kau tu.” Assyifa menasihat dengan suara yang lembut.
Temannya yang seorang ini bukan tidak pernah kemalangan tapi sudah beberapa
kali cuma tidak pernah serik.
Saerah tersengih. “Janganlah risaulah
intan payung. Aku drive sehemah mungkin. Okey?”
“Okey!” Ceria Assyifa menjawab.
Selesai makan, mereka ke surau di
tingkat dua manakala Assyifa kembali ke kedainya yang dijaga seorang pembantu
Filipina sementara mereka keluar makan. Ketika hampir memasuki kedainya,
Assyifa perasan sesuatu. Premis niaga bertentangan dengan kedainya nampaknya
telah disewa. Beberapa pekerja pengangkut barang sedang menyorong kotak-kotak
besar masuk ke dalam premis tersebut. Malas membuang masa, Assyifa meneruskan
langkah masuk ke dalam kedainya.
“Syifa..!” Suara Saerah bergema nyaring.
Dari tadi mulutnya gatal ingin menberitahu Assyifa mengenai pendatang baru di
seberang sana. Disebabkan ramai pelanggan yang berkunjung, terpaksalah dia
menahan dahulu. Kakinya bergerak laju melangkah ke kaunter bayaran.
“Ada apa..?” Tanya Assyifa tanpa
memandang. Tangannya lincah menulis sesuatu di atas kertas. Saerah yang bertenggek
di hadapannya, tersengih sendiri.
“Kau tahu tak...”
“Tak tahu..!” Pantas Assyifa menjawab.
Tergelak melihat muka kelat temannya.
“Hish minah ni! Aku cium kang. Aku nak
beritahu berita sensasi ni. Kau tahu tak..?! Kedai depan kita seberang sana
nuh.., dah bukak. Kejap tadi aku pergi merisik khabar. Dengar cerita penyewa tu
nak buka butik baju. Habislah kita, Syifa!” Lagak Saerah menyampaikan berita
hampir seiras dengan lagak seorang mami jarum.
Assyifa memandang pelik. Dia bangun dan
bergerak ke susunan seluar berlipat di atas rak. “Kenapa pulak nak habis?
Biarlah mereka nak bukak gedung baju sekali pun. Itu hak mereka.”
“Ish..! Bendul betullah kawan aku nih!”
Saerah merungut sambil menggaru laju kepala yang dilitupi tudung. Assyifa menjeling
geram. “Kau sedar tak kita dah ada pesaing.”
“Okeylah tu. Sekurang-kurangnya taklah
kita sunyi kat sini. Ada pesaing macam tu boleh tingkatkan semangat kita untuk
terus berusaha dan bekerja keras. Makin kita berusaha, makin banyaklah untung
yang kita dapat.”
“Ke situ pulak! Kau tak takut ke
pelanggan kita lari ke sana? Tak pasal-pasal sale kita merudum jatuh. Ngeri
pulak bila ingat masa kita mula-mula buka kedai ni dulu.” Saerah termangu penuh
perasaan apabila mengingati kembali zaman awal penubuhan kedai mereka.
“Macam yang aku cakap tadi, jangan
takut. Persaingan antara kita adalah persaingan sihat. Kalau dia untung, tu
rezeki dia. Kita untung, rezeki kita. Lagipun, kita belum tahu butik tu jual
pakaian yang macam mana. Tauke pun kita belum tahu. Entahkan cina, entahkan
melayu. Janganlah risau sangat. Tu ha.., customer dah masuk. Pergi layan
cepat.” Assyifa memberi arah ringkas dengan senyuman manis. Tidak mahu temannya
terasa hati.
Saerah berlalu pergi dengan cebikan.
Geram dengan ketenangan Assyifa. Memang susah nak lihat gadis itu gelabah.
Tetapi dalam hati dia tahu, Assyifa pasti tidak tenteram walaupun luarannya
nampak tenang.
Assyifa menongkat skuter Icon birunya
sebaik saja memasuki ruang laman rumah teres tiga tingkat milik Hanafi. Mujur
dia sempat sampai awal sebelum hujan turun. Salam dilaung apabila pintu pagar
dibuka. Salamnya dijawab seorang wanita berbaju kelawar.
“Sampai pun Syifa! Mak chu risau sangat
bila dengar bunyi guruh tadi. Kat sana dah hujan ke?” Kalut Linda bertanya.
Nadanya seperti biasa. Kalut dan risau.
“Belum, mak chu. Syifa kena paksa balik
awal kalau tak, mereka tiga orang tu nak kurung Syifa dalam kedai. Tak bagi
balik.” Assyifa ketawa sendiri sambil duduk di sofa melepaskan lelah. Linda
menghilang ke dapur dan kembali dengan segelas jus oren.
“Kalau mak chu jadi mereka pun mak chu
akan buat benda yang sama. Bahaya menunggang dalam hujan. Malam pulak tu.
Senang-senang kamu naik keretalah.”
Hampir tersedak Assyifa dibuatnya. Gelas
kosong diletak di atas meja kopi sambil tangan mengurut dada. Linda duduk di
sebelah anak saudaranya sambil menolong menggosok belakang. Tahu benar gadis
itu masih trauma.
“Bukan Syifa tak nak memandu mak chu
tapi mak chu sendiri faham kan?” Assyifa tertunduk sayu.
“Maaflah. Bukan mak chu marah tapi mak
chu risau sangat. Syifa tu anak dara. Keluar pagi balik malam. Tak elok!”
nasihat Linda lagi. Assyifa hanya membisu.
“Ayah chu mana mak chu?” Assyifa segera
menukar topik. Melihat jelingan tajam dan dengusan geram Linda, dia tersengih.
“Ada kat atas. Tengah solat Isyak. Syifa
dah makan?”
“Dah mak chu. Syifa naik atas dulu.
Melekit betul badan ni.” Assyifa meminta diri dan berlalu ke tingkat atas.
Linda memerhati dengan pandangan yang sayu. Dia bersyukur kecelakaan masa lalu
tidak mengubah personaliti Assyifa walaupun parut kesan lecuran kekal terukir
di wajah ayu itu.
Assyifa selesai mengambil wuduk. Anak
rambut yang basah ditolak ke belakang lalu dipakaikan cekak. Dia bergerak ke
arah cermin. Lama dia berdiri di situ. Mata tunak memandang imbasan wajahnya
pada permukaan cermin. Tangan kanan mula bergerak lalu dilekapkan pada cermin.
Kemudian, dia tergelak sendiri. Lucu dengan kebodohan akalnya.
“Apalah yang kau buat ni, Syifa?
Macamlah parut tu boleh hilang kalau kau tutup macam tu.” Assyifa mengeluh
sendiri. Beberapa ketika kemudian, matanya merah. Tubir matanya mulai panas dan
memberat. Entah kenapa setiap kali melihat wajah sendiri, hatiya tersayat sayu.
Dia simpati dengan diriya sendiri. Parut di sebelah kanan wajah membuatkan
jiwanya rawan. Pedih!.
Memori silam yang mengerikan sentiasa
terbias di ruang minda dan matanya. Paksalah sehebat mana pun, kotak ingatannya
tidak mungkin dapat melupakan kecelakaan yang berlaku pada dirinya hampir sembilan
tahun yang lalu. Tidak mungkin! Dia cuba berjasa kepada seseorang tetapi padah
yang dia terima. Parut kekar di wajah mulusnya adalah buktinya. Kesan lecur itu
tidak pernah hilang walaupun sudah sembilan tahun peristiwa itu berlaku. Pelbagai
produk yang disapu tetapi langsung tidak menunjukkan kesan. Mungkin tidak
mendapat keizinan dari-Nya. Air mata Assyifa mengalir jua.
Wajahnya hodoh. Cacat! Kesan dari air
panas yang disimbah ke wajahnya dahulu telah membuatkan kulit di wajahnya
melecur. Kelopak mata dan juga anak matanya turut terjejas. Mata kanannya
kabur. Tetapi dia tetap bersyukur. Selepas dua kali pembedahan, dia mampu
melihat walaupun terpaksa mengenakan kanta lekap. Dia juga bersyukur hanya air
panas menyentuh kulit wajahnya. Keadaannya mungkin lebih parah jika asid yang
diguna mak nyah itu.
Mengingatkan perkataan mak nyah, dia
jadi benci dan menyampah. Dalam masa yang sama juga, dia rasa takut dan fobia.
Laju otak Assyifa mengingati lelaki berpakaian wanita yang pernah
diselamatkannya dahulu. Selepas dia sembuh sepenuhnya, pak chu banyak kali
bertanya punca sebenar wajahnya melecur teruk namun dia tidak pernah bersuara.
Dan sehingga ke hari ini Assyifa setia mendiamkan diri. Ketika itu, dia terlalu
takut dan di dalam trauma. Dan perasaan itu masih setia merantai benaknya
hingga ke saat ini. Kesan sakit akibat lecuran dan kemalangan berjaya
melumpuhkan semangatnya untuk bersuara.
Bukan sahaja semangatnya tetapi juga
masa depannya. Assyifa koma selama enam bulan akibat hentakan di kepala dalam
kemalangan tersebut. Dia gagal hadir untuk menduduki peperiksaan SPMnya malah
dia juga dilanda kemurungan selama tiga tahun sebelum semangatnya kembali
pulih. Cukup hebat rentetan peristiwa hidupnya.
Assyifa
mengesat air matanya. Dia melangkah keluar lalu bergerak ke permaidani yang
menempatkan sejadah. Selepas rasa pedih dan sedihnya hilang dan jiwanya kembali
tenang, dia segera menunaikan solat Isyak dengan penuh khusyuk. Akhir solat,
doanya sentiasa sama. Semoga semangatnya terus hidup demi masa depannya.