Monday, 5 May 2014

Untitle ~ Sakit Otak Nak Pikir Tajuk

 ------------BAB 1------------

Sebuah motosikal Yamaha 125 ZR berwarna merah matelik ditunggang sederhana laju membelah jalan raya yang agak sesak dengan kenderaan lain. Cara penunggang menunggang motosikalnya memang hebat, mengalahkan yang pakar. Topi keledarnya berjenama Arai berwarna merah dengan visor fullface yang gelap lagi berkilat. Kedua tangannya bersarung. Si penunggang segak berjaket kulit hitam dan seluar jeans lusuh serta kasut sneaker, jelas sekali barang bundle.

Tidak lama kemudian, penunggang tadi berhenti di sebuah kedai kopi yang agak sesak dengan pelanggan. Enjin dimatikan seraya menurunkan tongkat. Dengan selamba, si penunggang tadi masuk lalu duduk di meja yang kosong seperti sudah tersedia khas untuknya.

“Hai, Izat! Lambat kamu hari ni.” Sapa seorang lelaki India seraya mendekati penunggang tadi yang sudah duduk.

“Lambat apanya? Betullah pukul 7.30.” Jawab si penunggang dengan suara yang agak halus jika dibandingkan dengan suara lelaki biasa.

“Bukan apa selalunya kamu datang pukul 7.15 pagi, itu yang Uncle kata lambat.” Lelaki India itu mengelap meja.

“Masalah sikit pagi tadi. Perut meragam.” Izat memegang perutnya. Dia meletakkan beg sandang di kerusi.

“Kamu makan apa semalam?”

“Uncle ni banyak soal pulak. Sarapan biasa saya dah siap ke belum?!”

“Dah siap.” Satu suara menyampuk dari belakang lelaki India tadi. Mereka berdua menoleh. Seorang wanita Cina memakai tudung litup berjalan ke arah mereka sambil membawa dulang.

“Teh panas kurang manis dengan roti canai telur dua keping special punya.” Tambahnya lagi seraya meletakkan teh panas dan sepinggan roti canai telur beserta kuahnya di atas meja.

“Fuyoo ! Ini buat saya bertambah sayang dengan Aunty Ai ni.” Izat tersengih sambil menggosok kedua tapak tangan.

“Kalau ya pun, buanglah dulu topi tu.” Kata wanita dengan loghat Penang bernama Ai Ling atau nama Islamnya, Aisyah. Lelaki India disebelahnya pula adalah suaminya iaitu Ravi Ismail. Mereka berdua memeluk Islam lebih kurang 10 tahun yang lalu.

“Hish !, Aunty tau tak betapa mahalnya harga topi ni! Mana boleh buang macam tu saja.”

“Tak habis-habis dengan loyar buruk.” Uncle Ravi menjeling geram sambil menggeleng-geleng kepalanya.

“Alah, takkan nak melawak pun tak boleh!” Izat menanggalkan helmetnya.

Sejurus itu, nampaklah kain tudung bercorak ombak berwarna coklat lembut menutup kepalanya. Kulit wajahnya kuning langsat lagi berseri tanpa sebarang cela melainkan beberapa tompok jerawat yang semakin menghilang. Matanya bercelak tebal ala Gothic dengan celak Mekah segera ditutup dengan cermin mata berbingkai petak lagi tebal dengan kanta sedikit biru laut. Jaket hitam tadi ditanggalkan menampakkan sweater tanpa zip yang agak lusuh warnanya. Tanpa membuang masa, dia segera membaca doa dan menjamah sarapan paginya.

Inilah rutin setiap hari bagi seorang gadis bernama Nur Shahrizat binti Abdullah. Sarapan pagi yang ringkas di kedai kopi yang dikunjunginya sejak Tingkatan Satu lagi, sebelum memulakan kerja hariannya. Bukan sebagai seorang pelajar tetapi seorang pengajar di sebuah pusat tuisyen di Bandar Angsana, bandar paling sesak dan sedang membangun yang padat dengan penduduk. Bandar yang mendapat perhatian Kerajaan selepas berjaya dimajukan oleh beberapa pemaju bukan kerajaan.


Sebuah bilik kedengaran agak bising, begitu juga dengan bilik bersebelahan dengannya. Meja dan kerusi panjang dibina bagi memudahkan budak-budak tadi menulis. Lantainya pula dibina secara bertangga iaitu tinggi di belakang kemudian rendah ke hadapan untuk memudahkan mereka melihat papan putih tanpa perlu terhalang dengan kepala budak lain di hadapan. Kelihatan lebih kurang 20 orang budak sebahagian berpakaian seragam sekolah dan ada yang berpakaian biasa dan para pelajarnya memang majmuk. Tiba-tiba, seorang memukul pembaris besar dengan kuat hingga mengejutkan budak-budak yang sedang membuat bising tadi. Suasana bertukar sunyi.

“Aku suruh korang buat latihan bukannya melalak, faham?!”

Izat bersuara garang. Dia duduk di mejanya sambil membelek buku rujukan Matematik Moden Tingkatan Lima. Budak-budak yang membuat bising sebentar tadi tersengih sesama sendiri. Tiada perasaan dan emosi takut terpancar di wajah muka mereka.

“Dah siap, senyap. Kalau tak faham, nyanyi!” marahnya lagi. Kemudian, beberapa orang budak mula menyanyikan lagu Linkin Park bertajuk New Divide dengan suara yang sumbang lagi nyaring.

“Okey okey. Sumbang, tak sedap langsung.”

Izat bangun dari kerusinya. Budak-budak yang lain ketawa, begitu juga Izat. Jelas menampakkan lesung pipit yang agak dalam setiap kali dia tersenyum. Dia berjalan ke arah budak-budak yang menyanyi sebentar tadi.

“Bahagian mana yang korang tak faham?” tanyanya lagi, kali ini dengan suara yang agak lembut. Budak-budak tadi mula menunjukkan soalan kepada Izat. Selepas menerangkan jalan penyelesaian untuk soalan tadi, Izat berjalan pergi mendekati papan putih seraya mengambil pen penanda lalu mula menulis.

“Cikgu ulang balik kalau darab ia akan bertukar menjadi...” Dia menunggu respon dari anak muridnya.

“Tambah !” jawab budak-budak tadi lancar.

“Pandai pun. Jangan keliru dan jangan takut bila soalan tu gunakan unknown yang banyak. Jalan penyelesaiannya tetap sama walaupun dia beri soalan yang berbelit. Faham tak?”

Budak-budak tadi pantas menjawab seraya mengangguk.

“Indeks memang pening tapi kalau faham dan buat semua latihan yang Cikgu bagi InsyaALLAH, kamu boleh jawab tanpa sebarang masalah.”

“Terima kasih, Cikgu!” ucap budak-budak itu serentak dan lancar. Mereka mula mengemas alat tulis yang bersepah di atas meja. Selepas beberapa ketika, para pelajarnya mula meninggalkan tempat duduk masing-masing.

“Minggu depan Cikgu akan terangkan balik secara ringkas sebelum masuk ke bab baru.” Terang Izat yang sudah berdiri di hadapan pintu. Para pelajarnya pantas menyahut. Dia tersenyum senget sambil melihat pelajarnya hilang dari pandangan. Dia masuk semula kemudian menutup kesemua lampu dan penghawa dingin. Beg di atas meja segera dibuka.

Botol air diambil dan diminum agak rakus. Dia memang dahaga. Sebelum kelas ini, dia sudah mengajar satu lagi kelas Biologi Tingkatan 4 selama dua jam kemudian kelas Matematik Tingkatan 3. Memang penat. Tekaknya masih terasa sakit kerana terlalu banyak bercakap dan menjerit. Jam tangan menunjukkan pukul 12.30 tengahari.

Dia mendekati pintu kemudian, menoleh ke belakang untuk memastikan kesemua peralatan elektrik sudah dimatikan. Pintu ditutup. Dia berjalan menuruni tangga dari tingkat 3 ke tingkat 1. Pintu tertulis ‘Pejabat’ dibuka. Izat berjalan masuk dengan selamba seraya mengambil sebuah buku panjang di atas kaunter lalu menulis sesuatu.

“Dah habis, Izat?” Seorang wanita bertudung dan bercermin mata tebal menyapa mesra dengan senyuman. Kak Tijah, seorang kerani di pusat tuisyen tempat Izat bekerja, juga adik bongsu kepada Cikgu Fauzi.

“Iya..” Izat menjawab ringkas. Dia masih menulis dengan tekun.

“Kesian akak tengok kamu. Selalu sangat cover period cikgu lain.”

“Alah.., akak! Izat bukannya buat kerja percuma. Lagipun, Cikgu Fauzi kata dia akan bayar. Akak tahu kan Izat memang perlukan duit.” Izat menutup buku tadi kemudian diletakkan ke atas rak kecil.

“Memanglah cikgu bayar tapi kesihatan tu kena jaga juga.” Seorang lelaki muncul di muka pintu. Lelaki itu juga bercermin mata lebar. Cikgu Fauzi, bekas guru sekolah asrama penuh yang pernah mengajar Izat semasa dia di Tingkatan 4 dan 5.

“Janganlah mengajar sampai lupa nak makan. Kamu tu bukannya sihat sangat, kurus macam lidi. Kalau kamu jatuh sakit, siapa yang susah?”

“La takkanlah Cikgu tak tahu yang saya ni tulang besi, urat dawai.” Izat mengangkat lengan gaya orang kuat.

“Eleh, tulang besi, urat dawai konon! Cubit sikit dah lebam.” Perli Kak Tijah. Izat sudah menjeling. Manja.

“Memanglah lebam. Kulit Izat bukannya dibuat daripada aluminium.” Balas Izat seraya berlari anak menuju ke arah pintu sambil ketawa jahat.

“Buat lawak bodoh lagi.” Kak Tijah membuat aksi cuba melempar buku panjang ke arah Izat yang sudah pun menutup pintu. Cikgu Fauzi hanya mampu menggeleng sambil ketawa kecil.


------------BAB 2------------

Di sebuah restoran yang agak sesak dengan orang ramai memandangkan waktu tengahari, sebuah motosikal merah berhenti. Izat turun dari motosikalnya sambil berlari anak menaiki anak tangga kemudian mendekati kaunter.

“Pak Teh !” panggil Izat agak kasar. Pelanggan lain yang mendengar segera menoleh kerana terkejut. Bagi pelanggan tetap, mereka hanya memandang sekilas.

“Hish kamu nih!” marah seorang lelaki separuh abad, bermisai lebat dan berlebai berjalan mendekati kaunter. “Macam biasa ke?” tanya Pak Teh lagi. Izat membuka visornya sambil tersengih.

“Macam biasa cuma nasi dan sayur lebih sikit. Sambal taruh asing.”

Pak Teh mengangguk faham. Selesai membuat pesanan, dia berjalan mendekati meja yang kosong seperti tersedia untuknya.

“Minum?!” laung Pak Teh. Izat hanya menggeleng. Helmet dan beg diletakkan di atas meja. Selepas beberapa minit, pesanannya tiba.

“Fuyoo ! Banyaknya lauk. Izat mana ada duit nak bayar semua ni.”

“Alah, yang lauk lebih ni Pak Teh belanja! Yang lain kamu bayar macam biasa saja.”

“Laa kena bayar juga ke?! Ingatkan tak payah.”

“Banyak cantik muka kamu. Bulan lepas pun tak berbayar lagi nak makan percuma pulak.”

“Alah, Pak Teh nih..! Izat lawak saja. Janganlah terasa sangat.” Izat mula menekan-nekan nasi di dalam pinggannya.

“Pak Teh tahu. Sebab tulah, hutang bulan lepas kira settle.”

“Aik, apasal pula?!”

“Pak Teh patut berterima kasih pada kamu sebab kamulah, anak Pak Teh berjaya dapat lima A dalam UPSR. Pak Teh betul-betul bangga dengan dia.”

“Alhamdulillah, Pak Teh. Semua tu berkat usaha dan tawakal dia juga. Kalau setakat ilmu dan usaha saya sorang saja memang tak jalan otak budak tu. Dia ada potensi untuk berjaya, jadi saya tolong setakat yang termampu saja.” Izat meneguk air kosong dari botolnya. “Dia buat apa sekarang?” tanyanya seraya menyuap nasi kosong.

“Pak Teh hantar dia ke sekolah Maa’had dekat Kelantan.”

“Oo ni mesti nak suruh sambung belajar sampai ke al-Azhar macam abang-abang dia, betul tak?” Izat bersuara dengan mulut yang agak penuh.

“Harapan Pak Teh macam tulah.” Balas Pak Teh. Izat tersenyum senang. Bangga pun ada.

“Kita sembang lain kali. Orang ramai sangat waktu ni.” Pak Teh melangkah pergi. Izat hanya mengangguk dengan mulut yang penuh. Dia makan dengan penuh berselera.

Selepas beberapa minit, sebuah kereta Harrier berhenti di depan restoran bersebelahan motosikal Izat. Tiga orang pemuda segak bergaya keluar dari perut kereta tersebut kemudian berjalan masuk ke restoran seraya mendekati Izat yang masih asyik menjamah makanan tengaharinya.

“Mak oi, kau ni makan ke melantak?!” tegur seorang pemuda sebaik saja duduk di hadapan Izat. Dua orang kawannya lagi sudah tersengih. Masing-masing duduk bersebelah dengan Izat. Izat yang hampir-hampir tersedak terus menelan nasi yang belum lumat dikunyah.

“Mangkuk betul! Rasanya kau ni memang tak pernah rasa makan nasi guna kaki, kan? Dah la salam tak bagi, alih-alih terus tegur anak orang. Langsung tak bertamadun!”

“Padan muka. Kan dah kena.” Balas seorang pemuda lagi dengan ketawa. Wajahnya seiras dengan wajah pemuda tadi. Memanglah sama kerana mereka berdua adalah kembar. Si abang bernama Aidil dan adik pula bernama Adha. Pemuda ketiga yang masih diam bertopi pula bernama Chong, pemuda Tiong Hua yang lebih suka bergaul dengan orang melayu. Mereka semua boleh dikatakan sahabat baik Izat sejak Tingkatan 4 lagi.

“Kau diamlah..!” Aidil geram. Kepala adiknya ditunjal. Mereka yang melihat sudah ketawa. Pandangan Izat beralih ke arah Chong yang duduk menyandar seperti orang mengantuk dengan topi yang sedikit ke depan. Tangan memegang perut.

“Kau apasal Chong? Diam saja.” Izat pelik. Chong memang nampak diam dan pemalu tetapi itu cuma luaran. Bila orang lain mula bercakap tentang komputer dan telefon serta perkara yang sama waktu dengannya, mulutnya memang susah ditutup. Kalau boleh, dia ingin bercakap hingga hilang suara.

“Dia sakit perut sejak pagi lagi.” Terang Adha. Chong merengek. “Banyak kali dia keluar masuk tandas waktu kelas tadi.”

“La kau pun sama. Kesiannya.” Izat simpati.

“Kau pun sakit perut juga ke?” tanya Aidil pantas.

“Em pagi tadi. Tapi, lepas tu dah lega sikit. Kau tak makan ubat ke?”

Chong menggeleng tanpa suara.

“Korang makan apa semalam?” tanya Adha pula. Aidil pergi memesan makanan.

“Aku ada beli rojak pelam semalam dari sorang makcik dekat dengan gerai burger Abang Jongang.”

“Laa rojak semalam tu ke?!” Adha ketawa kecil selepas teringatkan perkara semalam. Chong sudah meletakkan kepala di sisi meja sambil menekan perut. “Kau tak tengok dulu ke gerai tu bersih ke tak?”

“Gerai dia bersih cuma aku rasa dia guna kuah semalam. Itu yang...”

“Ni kau punya pasallah!” Chong hampir menjerit tiba-tiba. Bahasanya langsung tidak tersemat loghat Cina. Izat tercengang. “Kalau kau tak bagi aku makan rojak semalam, perut aku takkan sakit sampai gini!”

“Kepala otak kau!” Izat membalas keras. Cermin matanya ditolak kasar. “Kalau aku tak bagi, kau kata aku kedekut. Sekarang ni, kau salahkan aku pulak. Ish.., aku sepak juga mamat sorang ni!” Izat mengangkat tangan kanannya yang penuh dengan butiran nasi. “Tunggu sini!” Izat sudah berdiri sambil menjilat jari-jemarinya yang runcing. “Nanti aku datang balik.”.

“Kau nak pergi mana?” tanya Chong pelik. Adha juga hairan.

“Tunggu sajalah.” Marah Izat lagi kemudian dia hilang di sebalik pintu dapur.

Selepas lima belas minit, Izat muncul semula dengan segelas air berwarna hijau cair dan semangkuk bubur. Aidil dan Adha sudah makan dan yang tinggal hanya Chong yang masih menahan senak.

“Nah, minum ni!” Izat meletakkan segelas air dan mangkuk berisi bubur di depan Chong.

“Air apa ni?” Chong merenung gelas tadi dengan air muka yang geli. Matanya meliar melihat mangkuk tadi pula. “Ni pulak bubur apa?”

Aidil dan Adha yang mula menjamah turut memerhati.

“Apasal kau ni banyak tanya sangat?! Buat sajalah apa yang aku suruh, bukannya susah sangat pun.” Izat sudah duduk di tempatnya. Mulutnya pantas menyambung makan.

“Aku cuma tanya. Itu pun salahkah?” Chong cuba menghidu air di dalam gelas tadi. Kemudian, dia mula minum seteguk. Keningnya pantas berkerut. “Air apa ni? Pahit betul..!”

“Air yang dimasak dengan pucuk jambu batu. Elok untuk perut yang sakit sebab salah makan. Bubur tu pula dimasak dengan halia, untuk buang angin dalam badan.” Terang Izat agak sopan.

“Mana kau dapat?” tanya Aidil dengan mulut yang penuh.

“Laa kau tak tahu ke? Aku tunggu macam orang bodoh bawah pokok jambu batu belakang kedai Pak Teh. Tetiba saja, gedebuk! Jatuh segelas air dengan bubur halia.” Perli Izat kasar. Aidil sudah menjeling. Adha pula tersengih. “Boleh tanya lagi. Aku minta kat Pak Tehlah!” tambahnya lagi sambil menggeleng.

“Kau ni memang tak sayang mulutlah. Aku tanya bebaik, kau jawab macam tu pulak!” Aidil menjeling geram. Izat hanya tersenyum senget. Dia bangun untuk mencuci tangan selepas pinggannya licin.

“Kalau perut kau sakit juga lepas ni, aku nasihatkan pergilah jumpa yang pakar, okey!” Chong mengangguk tanpa suara. Buburnya sudah tinggal separuh. Kemudian, Izat terus memakai helmetnya. “Pak Teh?!” panggil Izat. Pak Teh segera menoleh. “Duit nasi saya minta kat Chong.” Chong tersentak dan hampir-hampir tersedak. “Dia kata dia belanja.” tambahnya sambil berlari anak ke luar restoran.

“Woi, bila masa aku kata macam tu?!” Chong tayang penumbuk. Geram. Izat yang sudah duduk di atas motosikal, ketawa mengejek. Enjin dihidupkan. Bunyi deruman enjin motosikalnya kedengaran agak lembut berbanding motosikal lain yang sejenis dengannya. Sebaik saja klac ditarik, tiba-tiba Aidil muncul dan pantas menutup suis motornya.

“Hoi, kau ni apahal?!” Izat membuka visornya, kasar. Aidil tersengih dengan tangan yang melekit dengan sisa nasi.

“Yang kau tergesa-gesa sangat ni apasal?!”

“Aku nak pergi solatlah. Waktu Zohor dah masuk.”

“Itu aku tahulah. Yang aku nak tahu sekarang ni, kenapa kau dah tak melepak kat tempat Abang Fuad? Hari ni dah masuk 2 minggu kau tak pergi sana. Kau tahu tak yang dia rindu sangat nak jumpa dengan kau.”

“Gila! Buat apa aku melepak kat sana. Bukannya duit masuk poket pun.” Izat menghidupkan semula suisnya.

“Si Zarul pun rindukan kau!” Aidil menutup semula suis tadi.

“Ala kesiannya dia! Kalau kau jumpa dia, kau cakap yang aku suruh dia cepat-cepat cari bini. Taklah dia merayau malam-malam buta cari betina. Tak pasal-pasal kena cekup dengan Jabatan Agama, kau faham? Dah..! Tepi sikit.” Izat mengundur ke belakang. Aidil hanya memerhati sambil tersenyum.
“Apasal aku dengar kau macam jealous?”

“Tolonglah! Aku takde masa nak jealous kat dia. Kalau dia nak berkepit dengan sepuluh perempuan pun aku tak heran. Tu masalah dunia akhirat dia. Sendiri buat, sendiri tanggung.”

“Jadi, betullah yang kau tak sukakan dia?”

“Kalau dalam dunia ni cuma tinggal dia seorang saja lelaki, belum tentu aku akan suka dengan dia, kau faham?!” balas Izat tegas. Dia terus memecut pergi. Mata Aidil hanya mengekor kelibat Izat hingga hilang dari pandangan.

“Kalau kau tak suka dia, maknanya aku ada peluanglah nak tackle kau balik.” Kata Aidil sendirian sambil tersenyum sinis.