------------BAB 6------------
“Fazira..!!”
laung satu suara kedengaran keras dan kasar datang dari dalam dapur. Fazira
yang dari tadi asyik dengan ayam-ayam di reban sebelah dapur, tersentak dan
terkejut mendengar namanya dipanggil.
Ayam-ayam sudah lari berselerak,
inikan pula dia. Tadi bukan panggilan biasa tapi lebih kepada ngauman suara
singa yang kelaparan. Fazira menoleh pantas dan matanya menangkap kelibat
seorang wanita berusia lewat 40-an sedang berdiri di muka pintu sambil mencekak
pinggang dengan muka yang marah. Badannya mula menggeletar, takut.
“Yang kau terpacak macam tunggul kayu kat situ, kenapa?! Tak tahu sekarang ni dah pukul berapa?” tengking Mariam. “Aku dah lapar, kenapa tak masak lagi?”
“Ma... maaf, mak. Zira tak sedar tadi.” Fazira sudah berjalan pantas menuju ke pintu. Mangkuk berisi biji jagung sudah diletakkan di atas reban ayam. “Pagi tadi mak tak makan nasi yang Zira goreng?” Fazira bersuara perlahan dan terketar.
“Nasi masin, air pula manis. Kau nak aku mati cepat!” tengking Mariam lagi. Fazira diam tertunduk. Dia memang tidak berani bertentang mata dengan Mariam setiap kali wanita itu naik angin.
“Cepat masak! Aku dah lapar. Buat kerja tu cepat sikit, lembap!” tambah Mariam garang seraya beredar meninggalkan ruang dapur. Fazira mengeluh lega melihat ibunya melangkah pergi.
Kata-kata Mariam sikit pun tidak disimpan di hati. Selama dia tinggal di sini, itulah yang dijamah telinganya setiap hari. Dia sudah lali dengan makian ibunya. Dia tidak tahu kenapa ibunya begitu benci dengannya. Yang pasti, Mariam memang benci dengan ibu kandung Fazira iaitu Khadijah.
Kata ayah, Mariam naik berang selepas mendapat tahu ayahnya sudah berkahwin dengan seseorang semasa belajar di Indonesia. Beberapa tahun selepas itu, Fazira dibawa ke Malaysia kerana ibunya meninggal dunia selepas melahirkannya. Ketika itu, Fazira baru berusia sebulan lebih. Disebabkan itu jugalah dia tidak pernah merasa kasih sayang dari seorang ibu. Malah, wajah ibunya juga tidak pernah ditatapnya. Fazira mengeluh kecil.
Selepas beberapa minit memandu, keretanya berhenti di hadapan sebuah kedai runcit. Kedai itu terletak agak jauh dari Kampung Lata. Rumah kedai itu tidaklah sebesar mana tetapi cukup luas untuk menjual pelbagai jenis keperluan dapur seperti bahan basah dan kering. Kalau nak ke pasar agak jauh malah tempat parkir juga terhad. Fazira pula jenis tidak suka bersesak dengan orang ramai. Fazira berjalan masuk ke dalam kedai yang agak lengang walaupun jam sudah pukul 9 pagi. Biasanya, suri rumah akan menyerang kedai runcit Pak lang untuk membeli bahan-bahan untuk memasak juadah tengahari.
“Hai..., Zira! Awalnya kamu datang hari ni.” Tegur satu suara ketika Fazira sedang sibuk membelek bawang besar. Suara tadi milik Pak lang atau Ismail, pemilik kedai runcit. Orangnya memang peramah.
“Saja datang awal, takut nanti orang ramai.” Balas Fazira dengan senyuman yang manis.
“Takut orang ramai ataupun... mak kamu yang mengamuk suruh kamu masak awal.” Teka Ismail agak sinis. Fazira sekadar membalas dengan senyuman. Ismail kenal dengan setiap ahli keluarga Fazira malah satu kampung kenal keluarga Fazira terutama sekali Mariam. Maklumlah, Ghazali bekas Imam besar Masjid Daerah.
“Alah.., apa salahnya kalau masak awal sikit hari ni!” Kata Fazira cuba menamatkan sangkaan Ismail.
“Kamu nak masak apa hari ni? Pak lang boleh tolong ambilkan barangnya.” tanya Ismail tanpa segan silu. Fazira tersenyum manis. Gadis di hadapannya sudah dianggap seperti anak sendiri. Bapa Fazira pula sudah dianggap seperti abang sendiri.
“Biasa saja. Emm... nak masak... masak lemak cili padi, sambal tumis udang dan...”
“Saya suka masak lemak kurma.” Satu suara garau milik seorang lelaki yang amat dikenali Fazira tiba-tiba menerkamnya dari belakang. Dia hampir-hampir menjerit kerana terkejut. Dia menoleh pantas. Memang betul. Telinganya tidak pernah menipu tuannya sendiri.
“Assalamua’laikum.” Ucap Fazri dengan senyuman. Matanya sudah tertacap pada wajah Fazira.
“Waa’laikum salam.” Jawab Ismail lancar manakala Fazira menjawabperlahan. “Kamu pun datang awal hari ni, Fazri.” Tegur Ismail sambil tersenyum. Kening Fazira sudah bertaut.
“Tak tahulah kenapa Pak lang, tiba-tiba saja terasa nak datang awal.” Jawab Fazri selamba. Hairan Fazira bila melihat mereka tersengih sesama sendiri. Seperti ada sesuatu yang tersembunyi antara mereka.
“Pak lang kenal ke?” tanya Fazira pula seperti berbisik.
“Mestilah Pak lang kenal. Fazri selalu datang kedai Pak lang beli barang. Katanya kedai Pak lang murah dan barang-barang dapur pula fresh belaka.” Jawab Ismail sambil melirik ke arah Fazri yang sudah tersenyum lebar. Seperti mahu ketawa. Kali ini, dahi Fazira pula yang berkerut. “Fazira kenal dengan Fazri?”
“Taklah kenal sangat.” Balas Fazira ringkas seraya berjalan ke bahagian ikan yang diletakkan ke dalam peti sejuk. Kening Fazri terangkat manakala Ismail hanya menjongket bahunya. Sekali lagi, mereka sama-sama tersenyum. Jejaka itu kembali mendekati gadis idamannya yang sibuk memasukkan beberapa ikan bawal ke dalam plastik.
“Awak nak masak untuk siapa?” tanya Fazri lagi. Dia sudah berdiri di sebelah kanan Fazira. Dia masih menjaga jarak antara mereka supaya gadis idamannya tidak terasa kekok bila bersembang dengannya.
“Untuk siapa lagi kalau bukan untuk family di rumah.” Fazira hanya melayan soalan Fazri walaupun dia sendiri tahu soalan itu boleh dikategorikan sebagai soalan bodoh.
“Awak tak sudi masak... untuk saya?” Fazira tersentak dan terkejut mendengar kata-kata Fazri. Wajah jejaka itu ditenung lama. Sebaik saja dia berlaga pandang, anak matanya segera melarikan diri. Lantas, jantungnya berdegup kencang. Nafasnya pula tidak stabil. Dia akui, jejaka di sebelahnya memang segak dan tampan.
Dengan kulitnya cerah dan agak kuning langsat dan wajah yang terkenan seperti jejaka Cina cukup kacak seperti model di majalah. Tetap nampak kemas dan bergaya walaupun hanya berbaju T-shirt lengan panjang dan seluar jeans yang agak lusuh. Ditambah pula dengan tubuh yang tinggi lampai dan badan yang tegap, setiap gadis yang terpandang pasti terpikat.
Fazira beristighfar lama dalam hatinya. Minta dijauhkan segala jenis bisikan nafsu dari syaitan yang sentiasa bertenggek di telinga. Nafas dikawal dengan rapi supaya lebih teratur. Selepas melihat kelakuan Fazira yang tiba-tiba saja diam dan kaku seperti patung, Fazri jadi takut. Manalah tahu dia tersilap cakap tanpa dia sendiri sedari.
“Bukan niat saya sebenarnya tapi sekadar nak beritahu yang... saya pernah menolong awak hari tu, tak salah kan... kalau awak masakkan untuk saya sebagai balasan...” Fazri cuba membetulkan semula keadaan yang terasa seperti tegang semacam. Fazira sedar dirinya dalam perhatian jejaka itu, dia kembali bergerak.
“Rupanya pertolongan awak hari tu... tak ikhlas.” Jeling Fazira lembut. Walaupun jelingan itu hanya untuk beberapa saat tapi ianya cukup kuat untuk menggetarkan seluruh sel dalam tubuh Fazri. Dia tersenyum lebar. “Bahaya kalau saya masakkan untuk awak.” Sambung Fazira.
“Bahaya? Kenapa pulak bahaya?” Fazri pelik lagi hairan. ‘Takkanlah beracun’.
“Saya takut nanti awak... tersampuk.” Balas Fazira perlahan.
“Tersampuk? Saya... tak faham.” Fazri semakin bingung. Gadis itu mengeluh lemah.
“Saya takut sekali awak rasa, kemaruk nakkan lagi. Faham?” Jelas Fazira perlahan tapi cukup jelas kedengaran di telinga jejaka itu. Fazri tersentak dan mematung. Kemudian, terburai ketawa dari bibirnya. Baru dia faham kata-kata Fazira. Aduh, lembapnya aku nak pick up!.. jerit hati Fazri agak malu. Fazira sudah menggeleng dengan senyuman yang ringkas.
“Baru saya faham... kenapa awak kata bahaya.” Kata Fazri masih dengan ketawa yang bersisa. Betullah kata Ummi, cara pertama si isteri ingin memikat hati si suami ialah melalui perutnya. Hatinya bersuara lagi. “Saya tak takut sebabnya... sekarang ni pun... saya memang dah tersampuk dengan awak.”
Telinga Fazira berdengung semacam saja sebaik mendengar kata-kata jejaka itu. Jantungnya pula terasa seperti berhenti berdegup. Tubuhnya terkaku seketika. Perasaan yang ditakutinya menjelma kembali. Entah bagaimana, dia mempunyai kekuatan untuk menoleh ke arah Fazri yang sudah merenungnya sambil tersenyum. Pandangan mereka bertaut. Fazira dapat merasa sesuatu yang tersembunyi di sebalik renungan lembut Fazri. Sedar dengan kelakuan sumbangnya, dia segera melarikan pandangannya. Mukanya terasa panas semacam. Fazri masih tersenyum. Andaian Fazri, gadis itu bukannya takut tapi sekadar ingin memelihara pandangannya.
Fazira bergerak menjauhi Fazri dan berjalan perlahan ke arah susunan botol kicap. Tiba-tiba, matanya terpandang satu lembaga berbentuk manusia yang sedang bersembunyi di hujung rak. Yang kelihatan hanyalah separuh dari badannya. Mata lembaga itu seolah-olah sedang berapi ketika merenung Fazira. Malah, sangat sinis lagi tajam. Menggerunkan. Lutut Fazira mula menggeletar. Liurnya ditelan kasar. Dia berundur beberapa tapak hampir-hampir terlanggar Fazri yang masih terpacak di belakangnya.
“Saya minta diri dulu.” Fazira bersuara perlahan dan sedikit serak dan melangkah pantas menuju ke arah Ismail yang sibuk memasukkan barangan Fazira. Fazri jelas sekali bingung melihat perubahan drastik Fazira. “Pak lang simpan bakinya, ya.” Fazira meletakkan not lima puluh di atas meja. Barangnya diambil kemudian berjalan keluar dari kedai Ismail.
“Fazira... tunggu..!” Fazri sudah mengejar.
“Fazri..!” panggil Ismail tegas. Fazri menoleh memandang Ismail yang sudah menggeleng tanda melarang ditambah dengan jelingan yang serius. Fazri sedikit terkesima. Ismail berdeham dan mengalihkan pandangannya ke sebelah kirinya, tempat Fazri bersembang dengan Fazira tadi. Fazri turut memandang lantas matanya menangkap kelibat seorang wanita yang agak berumur sedang berdiri tegak sambil menjeling ke arah kereta Fazira yang sudah beredar. Wajahnya nampak seperti meluat dan menyampah.
“Sudah-sudahlah tu, Cik Nab. Tak guna kau jeling lama-lama. Dia dah pergi.” Kata Ismail dengan suara yang sinis dan sengaja dikuatkan. Wanita itu menjeling marah. Fazri pelik melihat kelakuan mereka berdua.
“Yang kau sibuk pasal aku kenapa?! Mata aku.., biarlah aku nak jeling sampai juling sekali pun. Ada kacau tepi kain kau.” Balas Zainab berapi. Sudahlah berapi, suaranya pula sengaja ditinggikan seperti mahu satu dunia mendengarnya. Telinga Fazri juga dah mula sakit.
“Memanglah mata kau tapi.., masalahnya dia pelanggan aku. Kalau hari-hari kau buat perkara yang sama, lingkuplah perniagaan aku.” Balas Ismail tidak mahu mengalah. Wajahnya selamba tetapi hatinya geram dan sakit melihat perangai wanita tadi. Mendengar kata-kata Ismail, wanita itu ketawa buat-buat.
“Macamlah aku kisah kalau kedai kau bankrap sekalipun. Banyak lagi kedai macam ni dekat pekan.” Zainab membalas. Matanya kini melekat pada Fazri. Naik pelik dibuatnya, macam si Fazri ada membuat kesalahan besar.
“Aku bukan nak marah kau tapi sekadar nak nasihat sebagai saudara seagama. Budak tu tak buat salah dan kau tak ada hak nak hukum dia.” Jelas Ismail tegas. Fazri hanya mendengar walaupun tidak mengerti apa yang dituturkan oleh dua manusia itu. “Ingat Nab, kita hidup tak lama. Nasihat aku, bawak-bawaklah bertaubat.”
“Kau jangan nak berceramah dengan akulah! Kubur sendiri, masing-masing jaga.” Zainab merengus kasar lantas membuka langkah keluar dari kedai Ismail. Anak mata Fazri hanya mengekor langkah wanita itu yang jelas nampak sumbang semacam.
“Siapa tu, Pak lang?” Fazri bersuara selepas sekian lama membisu. Ismail diam sejenak.
“Itulah Mami Jarum Kampung Lata. Si Fazira cukup takut dengan dia.”
“Takut..? Kenapa dia takut?” tanya Fazri makin bingung. Ismail mengeluh.
“Pak lang malas nak cerita sebab hal ni bersangkut-paut dengan maruah Fazira.” Fazri tersentak mendengar penjelasan Ismail. Hatinya makin memberontak ingin tahu. Niat utama bukannya nak menyibuk tapi sekadar ambil tahu hal yang mungkin dapat tolong elakkan dirinya dari terlajak kata bila berhadapan dengan gadis idamannya.
“Tolong Pak lang. Kan Pak lang dah janji nak tolong saya hari tu.” Rayu Fazri lagi. Ismail tertunduk. Rasa kasihan terbit di hatinya.
Lebih kurang sebulan yang lalu, Fazri datang berjumpa dengannya bersama satu tujuan iaitu untuk mengenal lebih dekat tentang gadis idamannya. Ismail setuju tanpa berfikir panjang kerana dari matanya saja dia dapat tahu yang Fazri seorang pemuda yang baik.
“Baiklah, Pak lang akan cakap... tapi jangan pula kamu cakap atau tanya dia mengenai hal ni, faham?” Ismail menegas. Fazri mengangguk pantas dengan senyuman yang lebar.
------------BAB 7------------
Pada petang Jumaat, Ghazali duduk
bersantai di ruang tamu sambil membelek buku agama. Cermin mata tebal setia
tersangkut di hidungnya. Sekali-sekala, kerusi malasnya bergerak-gerak mengikut
ayunan badannya. Tidak lama kemudian, Fazira datang sambil membawa dulang
berisi air kopi serta pisang goreng. Suasana di rumah sunyi kerana hanya dihuni
dua beranak. Anak-anak saudaranya masih di sekolah manakala Mariam sudah
bertandang ke rumah Mak Bedah, kawan lamanya.
“Minum ayah.” Fazira meletakkan secawan kopi panas di hujung meja.
“Terima kasih.” Ucap Ghazali seraya bangun dan duduk di kerusi rotan. Fazira duduk bertentangan dengan ayahnya. Sunyi seketika. Yang kedengaran hanyalah bunyi kicauan burung pulang ke sarang dan kerangupan pisang goreng yang digoreng Fazira.
“Zira..?” Ghazali bersuara.
“Ya, ayah.” Jawab Fazira lembut. Matanya sudah memandang wajahnya Ghazali.
“Ayah ada perkara penting yang nak dibincangkan dengan Zira.” Ghazali memulakan sesi perbincangannya. Fazira sudah memberi sepenuh tumpuan. “Ianya mengenai masa depan Zira.”
Pada saat itu, Fazira sudah menelan liur. Wajah serius ayahnya ditenung lama dan dari situ juga dia dapat mengagak perkara yang bakal diutarakan olehnya. Ghazali menghirup kopi panasnya dan kemudian memandang anak gadis kesayangannya.
“Zira.., ayah nak tahu sama ada Zira dah bersedia untuk menerima pengganti Saiful?”
Fazira terpempang seketika. Itulah soalan yang paling merbahaya untuk didengari telinganya. Dia tertunduk dan membisu. Kedua tangannya pula sudah saling meramas. Keliru dan bingung. Takut dan was-was juga ada. Ghazali diam selepas melihat reaksi anaknya. Dia dapat agak respon yang diberikan oleh Fazira. Dia faham apa yang dirasakan oleh Fazira ketika ini.
“Zira.., ayah faham kalau Zira masih belum bersedia tapi... ayah nak Zira tahu yang ayah nak masa depan anak ayah terjamin selepas ayah pergi mengadap ILLAHI nanti.” Fazira pantas mendongak sebaik saja Ghazali habis berkata. Dia bangun dan duduk bersimpuh di hadapan ayah kesayangannya. Tangan Ghazali digenggam erat.
“Ayah.., tolong jangan cakap macam tu. Ayah masih sihat, ayah pasti...”
“Ingat Zira..., ajal dan maut di tangan ALLAH.” Ghazali memotong pantas. Fazira diam seraya kembali tertunduk. “Ayah nak kamu cari pengganti supaya kebajikan Fazira terjaga bila ayah tak ada nanti.” Tambah Ghazali sambil mengusap kepala Fazira yang sentiasa tertutup dengan tudung. “Ayah sayangkan Zira.., seperti anak sendiri dan kalau boleh sebelum ayah pergi biarlah ayah selesaikan amanah terakhir yang abah dan ibu Zira berikan pada ayah.”
Fazira terdiam dalam sendu.
“Zira.., ada jumpa dengan seseorang yang berkenan di hati?” tanya Ghazali seolah-olah ingin menduga perasaan Fazira. Tercengang Fazira mendengar pertanyaan ayahnya. Entah kenapa dan dari mana malah tidak semena-mena, raut wajah seorang jejaka muncul dalam ruang mindanya. Siapa lagi kalau bukan Fazri.
“Kenapa ayah tanya Zira..?!” Ghazali tersenyum melihat reaksi anaknya yang sudah tersipu-sipu.
“Ayah dah buat kesilapan dulu dan kalau boleh ayah tak nak ulangi kesilapan yang sama lagi.” Ghazali menarik nafas dalam. “Sebab tulah ayah tanya sama ada Zira dah ada pilihan sendiri atau tak?” Ghazali merenung lembut kedua mata perang anaknya. Fazira diam. “Kalau Zira masih belum jumpa, ayah ada seorang calon yang mungkin sesuai dengan Fazira.”
Fazira sedikit tersentak. Cepatnya ayah jumpa calon.
“Ayah baru kenal pemuda tu. Dia orang bandar, baru berpindah ke pekan ni. Orangnya segak, kemas, bekerjaya dan yang paling penting dia rajin dan soleh. Sepanjang perkenalan, ayah dapat lihat dia seorang pemuda yang baik. Budi bicaranya pun sopan dan tertib. Ayah selalu terserempak dengannya semasa solat Zohor dan Asar. Sembahyang Jumaat pula, dia selalu berada di saf yang paling depan, sebelah ayah.” Cerita Ghazali panjang lebar. Wajahnya juga jelas bersinar-sinar.
“Dah berapa lama ayah kenal dia?”
“Emm... lebih kurang dua bulan.” Fazira sedikit mengeluh kecil.
“Hai...! Ayah baru kenal dia dua bulan dah puji melangit.”
“Taklah sampai ke langit. Masih melekat di muka bumi.” Ghazali masih sempat berseloroh. Fazira menjeling manja.
“Niat Zira bukan nak mengata tapi mungkin apa yang ayah lihat pada lelaki tu hanya lakonan semata-mata. Yelah, bila dia dapat tahu yang ayah ada anak gadis cantik, dia terus berlakon baik, alim. Konon-kononlah... nak pikat hati bakal mertua.”
“Tak baik Zira buruk sangka pada orang.”
“Bukan buruk sangka ayah tapi itu cuma andaian, lebih kepada kemungkinan. Zira takut pisang berbuah dua kali.” Ghazali terdiam seketika. Fazira pula terkedu selepas menyedari keterlanjurannya.
“Ayah.., ayah jangan salah faham. Zira tak salahkan ayah. Tak pernah walau sekali. Apa yang menimpa Zira adalah tanda kekuasaan ALLAH menguji hamba-NYA. Bukan salah ayah.”
“Ayah tahu. Zira tak perlu risau. Ayah langsung tak terasa hati.” Fazira menghembus nafas lega. Senyuman kembali terukir di wajah tua bapanya.
“Ayah.., Zira dah beritahu ayah yang Zira sedia terima sesiapa saja yang ayah pilih untuk Zira kerana Zira yakin dengan pilihan ayah. Zira tahu lelaki pilihan ayah mampu berikan kebahagian pada Zira dan lelaki tu juga mampu membimbing Zira hingga ke akhirat kelak.”
Ghazali tersenyum lega seraya mengucup lembut ubun-ubun anak gadisnya.
“Terima kasih, Zira. Ayah sayangkan Zira.” Fazira memeluk erat pinggang bapanya. Mereka ketawa seketika. Apa yang melucukan kedua beranak itu, hanya mereka saja yang tahu.
“Ayah tak pernah terfikir ke yang mungkin jodoh Zira bukan dengan anak teruna. Mungkin ALLAH telah takdirkan Zira dengan seorang duda atau mungkin lelaki yang seusia ayah.”
“Hish...!” Ghazali mencubit manja pipi gebu anaknya. “Mulut Zira ni kenapa celupar sangat. Tak baik cakap macam tu. Wanita yang baik akan diberikan seorang lelaki yang baik sebaik dirinya. Itu janji ALLAH. Zira dah lupa?”
“Ayah janganlah marah. Zira cuma cakap.” Rengek Fazira manja seraya mengusap lembut pipinya yang begitu mudah bertukar warna.
“Kata-kata pun boleh jadi satu doa. Ayah rasa Zira ni terlalu terpengaruh dengan gambar dalam tv tu. Apa tajuk ceritanya...”
“Duda dan dara.”
“Haah..! Cerita tulah. Ayah tak patut biarkan Zira tengok cerita tu dari awal lagi.” Ghazali merenung tajam wajah anak gadisnya yang sudah sedia cantik dan manis. Fazira hanya ketawa melihat gelagat ayahnya merajuk mengalahkan si Atif. Fazira menekup mulut menahan tawa yang makin terburai selepas melihat riak wajahnya bapanya.
------------BAB 8------------
Kelihatan seorang budak lelaki
sedang seronok berlari. Sekali-sekala, dia menoleh ke belakang seperti
melarikan diri dari seseorang. Tiba di satu koridor, tubuh kecil tadi
berlanggar dengan kaki seseorang. Budak itu jatuh terduduk. Gerangan yang
dilanggarnya sudah melatah kerana terkejut. Budak itu jadi takut bila manusia
yang dilanggarnya merenungnya dengan pandangan yang tajam. Seperti budak-budak
kecil lain pasti menangis setiap kali melakukan sesuatu kesalahan. Samalah
dengan budak tadi. Dia menangis semahu-mahunya.
“Adik, kenapa ni? Jangan menangis. Abang tak marah adik pun.” Kata suara itu sambil mengusap-usap kepala Atif. Suara itu milik seorang lelaki. Dia duduk sama rendah dengan si Atif.
“Atif..?!” panggil Alif cemas sebaik saja melihat adik bongsunya menangis sambil dipujuk seseorang yang tak dikenalinya. Dia berlari mendekati Atif.
“Kamu abang dia?” tanya lelaki itu. Alif mengangguk dengan muka yang agak takut. Lelaki itu tersenyum. “Sudahlah, abang tak marah pun. Jangan menangis, ya.” Pujuk lelaki itu lagi dengan suara yang lembut. Lama-kelamaan, Atif berhenti menangis.
“Atif?!” panggil satu lagi suara yang lembut.
“Mak ngah!” jerit Atif manja. Dia terus menerpa ke arah suara halus tadi sebaik saja melihat kelibat ibu saudaranya. Fazira sudah mendepakan tangan. Tubuh kecil itu dijulang tinggi sebaik saja Atif masuk dalam pelukannya. Tubuh kecil itu dipeluk erat. Dengan manja, Atif melentokkan kepalanya di bahu Fazira.
“Kenapa Atif lari? Risau Mak ngah. Lain kali, jangan buat lagi.” Pesan Fazira sambil menggosok belakang Atif. Si Atif sudah mula menangis. “Alah.., Mak ngah bukan marah! Sudahlah, sayang. Tolong jangan menangis. Nanti Mak ngah belikan ais krim, ya?” pujuk Fazira lagi.
“Adik nak jugak.” Rengek Atiqah sambil menarik-narik baju Fazira.
“Ya, sayang. Untuk adik pun ada jugak.” Balas Fazira sambil memegang kepala Atiqah.
“Mak ngah?!” panggil Alif sambil berjalan ke arahnya. “Tadi Atif langgar abang tu.” Alif menoleh ke belakang sambil menuding jari ke arah lelaki tadi yang sudah terpaku melihat Fazira yang sedang mendukung Atif. Fazira memandang dan matanya turut tergamam melihat kelibat lelaki itu. Lelaki itu nampak segak dengan kemeja coklat dengan seluar jeans gelap.
“Dia?” Fazira bersuara perlahan. Anak matanya masih tertumpu pada wajah lelaki itu. Tiba-tiba, jantungnya bergetar laju bila melihat si lelaki mula berjalan mendekatinya dengan senyuman tampan.
“Mereka ni... anak-anak saudara awak?” tanya Fazri lembut. Fazira hanya menjawab dengan anggukan. Fazri tersenyum manis. Dalam hatinya sudah melonjak gembira bukan kepalang. Sudah dua minggu dia tidak menatap wajah gadis idamannya. Selepas kejadian di kedai Pak lang, Fazira seolah-olah hilang dari pekan itu. Selama itulah, dirinya jadi tidak keruan.
“Mak ngah.., abang ni siapa?” tanya Atiqah dengan suara yang manja. Fazri tersenyum seraya tunduk melutut sebelah dihadapan Atiqah yang sama tinggi dengan pahanya.
“Adik nama apa?” tanya Fazri lembut. Atiqah memandang Fazira seperti meminta izin. Fazira mengangguk lembut.
“Nama adik Nurlina Atiqah.” Jawab Atiqah dengan suara yang comel. Fazri tersenyum manis.
“Nama abang Fazri. Abang kawan Mak ngah. Tapi.., abang lagi suka kalau Adik panggil abang... Pak ngah.” Fazri memandang sekilas wajah Fazira yang sudah berkerut. Marah agaknya.
“Pak ngah..?!” Atiqah bingung. “Mak ngah, bila masa Mak ngah kahwin?” tanya Atiqah lagi. Merona merah wajah ibu saudara menahan malu. Adik...! Kenapalah Adik tanya soalan macam tu?.., jerit hati kecil Fazira. Bibirnya sudah diketap rapat. Geram. Fazri pula menutup mulut menahan tawa selepas melihat reaksi air muka gadis idamannya. Merah menyala.
“Adik jangan merepeklah.” Terkeluar juga suara lembut Fazira selepas begitu lama ditahan. “Sudahlah. Jom balik.” Fazira menggenggam tangan Atiqah lalu diheret pergi bersama langkahnya dengan niat untuk melarikan diri dari Fazri.
“Nak balik?! Tapi, kita kan baru saja sampai.” Atiqah menahan badannya dari diheret ibu saudaranya. Fazri sendiri juga agak terkejut dengan tindakbalas Fazira. “Tadi.., Mak ngah janji nak belikan ais krim.” Atiqah mula merengek dengan muncung yang panjang.
“Adik...!” Fazira menekan suaranya. Jelingannya juga agak lembut. Atiqah mencebik. Tangannya ditarik kuat. Sebaik saja terlepas, dia berlari dan menyorok dibelakang Fazri yang sudah berdiri. Angin satu badan Fazira bila melihat perangai manja Atiqah.
“Adik nak ikut Pak ngah.” Atiqah menggenggam tangan Fazri. Terkejut juga dia melihat keletah si kecil comel itu. “Pak ngah belikan Adik ais krim, ya?” pinta Atiqah manja.
“Ya, sayang. Nanti Pak ngah belikan.” Fazri membalas beserta senyuman.
“Adik...” Fazira memanggil lagi dengan nada yang sama.
“Tadi, awak sendiri yang janji dengan dia, kan?” potong Fazri pantas. Renungannya yang tajam membuatkan Fazira terdiam. Pandangan Fazira beralih ke arah Alif. Si abang hanya menjongket bahunya.
“Lepas makan, kita balik.” Kata Fazira ringkas tanda dia mengalah. Atiqah melompat gembira. Atif yang begitu erat memeluk ibu saudaranya segera meminta diturunkan. Dia berlari ke arah Fazri dan meminta Fazri mendukungnya pula. Fazri dengan senang hati mengikut saja telatah si kecil itu. Mereka berjalan pergi sambil diperhati Fazira dibelakang. Bertambah sakit kepalanya bila melihat Atif juga ingin bermanja dengan Fazri.
“Mak ngah jangan risau, Along ada.” Kata Alif sambil memegang erat tangan kiri ibu saudaranya. Fazira hanya membalas dengan senyuman yang hambar.
Alif tahu apa yang bermain di fikiran Fazira. Ibu saudaranya takut kalau-kalau terserempak dengan
penduduk kampungnya. Kalau itu terjadi, pasti khabar angin atau lebih tepat, fitnah pasti tersebar.
Sepanjang mereka berada di pusat beli-belah itu, Fazri seronok melayan kerenah dua beradik iaitu Atiqah dan Atif yang begitu petah bercakap. Yang paling menggembirakannya ialah mereka begitu cepat mesra dengannya walaupun baru saja kenal. Berkembang mekar hatinya bila terdengar beberapa pengunjung memuji mereka sebagai pasangan suami isteri yang bahagia.
“Awak takut saham awak jatuh ke?” tanya Fazri bila melihat Fazira gelabah semacam setiap kali ada mata yang memerhati. Atif masih setia dalam dukungannya. Fazira memandang dengan dahi berkerut.
“Kenapa awak cakap macam tu?” balas Fazira selamba. Fazri ketawa kecil.
“Awak jangan risau. Bila dah ada orang fikir awak dah kahwin, senanglah saya nak...” Fazri diam.
“Nak apa..?!” tanya Fazira pantas. Fazri tersenyum lebar membuatkan Fazira bertambah bingung.
“Rahsia.” Kata Fazri perlahan dengan senyuman yang tersirat seribu makna kemudian berjalan pergi meninggalkan Fazira yang sudah bermuka pucat tidak berdarah. Dia sengaja membiarkan Fazira terkontang-kanting dalam andaian sendiri. Dia kembali mendekati Atiqah yang masih sibuk membelek baju. Hari ini merupakan hari paling gembira dalam hidupnya. Dia dapat bersama dengan orang tersayang dan mungkin bakal menjadi suri hidupnya.
Namun, timbul sedikit kerisauan setiap kali dia melihat Alif. Si abang seperti tidak begitu suka dengannya. Jelingan si abang juga seperti terselit perasaan benci dan menyampah. Mungkin dia lebih berfikiran matang dari adik-adiknya atau mungkin juga dia tidak suka melihat adik-adiknya begitu dimanjakan.
Fazri membeli pakaian termasuklah permainan untuk Atiqah dan Atif walaupun dilarang keras oleh Fazira. Alif pula sentiasa menolak, tidak seperti adik-adiknya. Si abang lebih suka berkepit dengan ibu saudaranya.
“Bukan selalu saya boleh belanja begini. Lagipun, saya memang teringin nak buat macam ni. Maklumlah, saya tak ada anak saudara macam awak.”
Itu saja yang Fazri mampu jelaskan setiap kali Fazira melarang. Dia tahu gadis itu takut anak-anak saudaranya akan melemak atau makin manja bila dihulur dengan pelbagai benda yang membuatkan mereka seronok. Habis membeli-belah, mereka singgah di taman permainan yang tersedia di dalam pusat beli-belah itu. Ketiga-tiga beradik sudah hilang dan tinggallah Fazri dan Fazira. Mereka duduk sambil melihat mereka dari jauh.
“Awak memang suka dengan budak-budak?” tanya Fazri tiba-tiba. Fazira menjawab dengan anggukan saja. “Saya kagum.” Fazri yang bersandar pada pagar besi segera menyilangkan tangannya. Matanya sekali-sekali memerhati riak wajah Fazira.
“Kenapa awak perlu rasa kagum?” tanya Fazira kembali. Fazri tersenyum.
“Sebab ramai gadis yang saya jumpa malah sebaya awak.., mereka tak berapa suka bermanja dengan budak kecil. Kononnya.., menyusahkan.”
“Kalau macam tu, merekalah yang rugi.” Fazri agak terkejut mendengar respon dari gadis itu.
“Kenapa awak kata macam tu?”
“Mereka lupa yang suatu masa dulu... mereka pun pernah jadi budak kecil. Pernah jadi kanak-kanak sebelum meningkat dewasa.” Balas Fazira dengan pandangan yang sayu. “Kalau mereka fikir budak kecil menyusahkan, maknanya dulu mereka juga pernah menyusahkan orang lain.”
Fazri hanya merenung wajah Fazira tanpa kata. Air muka si gadis begitu mudah berubah dari gembira kepada sedih dan suram. Seperti merasa sesuatu yang pedih. Tiba-tiba saja, otaknya seperti mendengar suara Ismail menerjah masuk ke dalam telinganya.
“Fazira pernah bertunang, tapi tiba-tiba saja tunang dia lesap. Lepas tu, Pak lang dapat tahu yang tunang dia lari sebab tak sanggup nak pikul tanggungjawab lepas mereka berkahwin sebabnya... Fazira tiba-tiba lumpuh. Jantan tu memang tak guna..!”
Fazri mengeluh perlahan. Dia sendiri tidak pernah menjangka gadis idamannya pernah lumpuh dan bertunang. Tidak hairanlah kalau dia bertunang, siapa yang tidak tertawan bila berjumpa dengan gadis ala-ala Arab malah secantik bidadari. Yang membuatkan hatinya panas dan sakit tidak tertahan ialah gadis itu ditinggalkan tunangnya ketika dia lumpuh dengan tiba-tiba. Dari Ismail juga dia dapat tahu, gadis itu pernah terlibat dalam satu kemalangan selepas tamat Tingkatan Lima. Kecederaannya tidaklah parah cuma selepas dua minggu kemudian, dia tiba-tiba lumpuh. Doktor kata ada masalah dengan saraf di tulang belakangnya.
Hatinya mengucap rasa syukur dan lega kerana selepas lebih enam bulan menjalani terapi, gadis itu kembali berjalan seperti biasa. Fazri kagum dengan gadis di sebelahnya itu. Fazira bukan saja gadis yang kuat semangat malah, ketabahannya itu juga membuatkan dia sendiri segan untuk berdepan dengannya.
“Mak ngah.., Atif nak pi tandas.” Rengekkan Atif memecahkan lamunannya.
“Yelah, sayang. Jom kita pergi.” Fazira memimpin tangan si kecil. “Along, jaga Adik, ya?” pinta Fazira pula. Alif mengangguk. Selepas beberapa ketika mereka hilang, Alif berdiri menyandar di sebelah Fazri.
“Macam mana abang kenal dengan Mak ngah?” Alif tiba-tiba bersuara. Fazri tersenyum sambil memerhati Alif yang sama paras dengan dadanya.
“Kali pertama... secara kebetulan. Tapi.., kali kedua... mungkin kerana jodoh.” Balas Fazri selamba. Langsung tidak terfikir sama ada budak seusia Alif akan mengerti apa yang diucapnya.
“Abang ikhlas berkawan dengan Mak ngah?” tanya Alif lagi. Kali ini, disertakan dengan jelingan yang agak tajam. Terkedu Fazri seketika.
“Maksud...?” Fazri sekadar ingin melihat tindakbalas si abang.
“Alif hanya mahukan kepastian. Sebabnya.., Alif tak suka tengok Mak ngah sedih. Mak ngah dah cukup terseksa lepas Abang Saiful tinggalkan dia.” Suara Alif agak keras dan sinis. Fazri yang melihat sudah tercengang dan bingung semacam. Terpinga-pinga pun ada. Memang tidak sangka budak seusia Alif boleh berfikir seperti lelaki yang matang. Tentang nama Saiful, dia kenal nama itu. Itulah nama lelaki keparat yang tinggalkan Fazira.
“Tak baik Along cakap macam tu.” Tiba-tiba, si Atiqah menyampuk. “Pak ngah tak macam tu, kan?” Atiqah memegang erat tangan kanan Fazri. Sekali lagi, dia terkedu. Tidak sangka Fazira mempunyai anak saudara yang begitu menyayanginya. “Pak ngah sayangkan Mak ngah, kan?” tanya Atiqah dengan mata yang bersinar.
Kening Fazri terangkat. Dia masih belum habis dilanda dengan kejutan. Kejutan di mana gadis itu mempunyai pengawal peribadi secilik Alif. Kedua pula pertanyaan Atiqah. Sayangkah dia pada Fazira? Termangu dia seketika. Ya... dia memang sayangkan Fazira, lebih tepat dia mencintai gadis itu. Perasaan itu sudah lama terbit di dalam benaknya, cuma menunggu masa untuk diluahkan saja. Dia merendahkan badannya sambil memegang kedua bahu Atiqah.
“Ya, sayang. Pak ngah sayangkan Mak ngah.” Ucap Fazri dengan senyuman. Atiqah juga turut tersenyum.
“Penipu..!!” Satu perkataan yang keras dan kasar keluar dari mulut Alif. Suaranya agak meninggi. Perasaan benci yang meluap-luap sudah terpancar di matanya. Fazri terkaku mendengar kata-kata si abang, apatah lagi melihat renungannya. Dia menelan liur walaupun terasa pahit.
“Muhammad Alif Firdaus..!” panggil Fazira lembut tetapi dengan nada yang keras. Alif tersentak lantas menoleh ke belakang. Matanya terbeliak melihat kelibat ibu saudaranya dengan kening yang berkerut. Tiada tanda marah, cuma air muka terkejut.
------------BAB 9------------
Malam itu, Alif masuk tidur lebih
awal dari biasa. Ghazali juga pelik melihat perubahan yang berlaku pada cucu
sulungnya. Atiqah dan Atif sudah dilarang Fazira supaya tidak menceritakan
kejadian tengahari tadi pada datuk mereka. Pening kepala Fazira tengahari tadi.
Dia terpaksa meninggalkan lelaki itu dalam keadaan yang agak sukar untuk
digambarkan olehnya bila Alif tiba-tiba saja melarikan diri kerana takut
selepas melihat Fazira menonton perangainya yang agak kurang ajar.
Pintu bilik diketuk dan dibuka perlahan. Fazira menjenguk masuk. Suasana bilik itu agak gelap dan hanya diterangi dengan cahaya yang samar-samar di luar tingkap.
“Along...?” panggil Fazira lembut selepas melihat sekujur tubuh sedang berbaring mengadap ke dinding. Tiada jawapan. Fazira tersenyum. Dia mendekati birai katil lalu duduk perlahan.
“Boleh Mak ngah cakap sikit dengan Along?” Diam.
“Sayang.., Mak ngah tahu Along belum tidur. Bangunlah, sayang.” Pujuk Fazira sambil menggosok-gosok lembut belakang Alif. Suaranya pula perlahan seperti berbisik. Kelakuannya tidak ubah seperti seorang isteri sedang memujuk suaminya. Alif masih tidak bergerak. Fazira mengeluh penat. Namun, bibirnya masih mengukir senyuman.
“Mak ngah tak marahkan Along pasal tengahari tadi. Langsung tak. Sebaliknya, Mak ngah bangga dengan Along. Mak ngah tahu... Along buat macam tu sebab Along sayangkan Mak ngah.”
Tiada respon.
“Mak ngah kenal lelaki tu sebagai kawan, tak lebih dari tu. Dia pernah tolong Mak ngah sebelum ni, tapi sampai situ saja. Mak ngah tak pernah anggap dia sebagai... seseorang yang istimewa. Percayalah, sayang.” Jelas Fazira panjang lebar. Alif masih diam.
“Along marahkan Mak ngah, ke..?” tanya Fazira lembut.
Kali ini, barulah ada respon. Alif bangun dan mengadap sepenuh ke arah ibu saudaranya. Dia menggeleng dengan kepala tertunduk.
“Habis tu.., kenapa Along lari tanpa minta maaf dengan dia?” Alif diam sejenak.
“Along takut. Along tak nak tengok Mak ngah sedih lagi.” Akhirnya, Alif bersuara. “Along tak suka tengok Mak ngah menangis macam hari tu.” Kali ini, suaranya agak serak. Fazira masih membisu dan membiarkan Alif habis berucap dulu. “Along jugak tak suka tengok nenek pukul Mak ngah macam hari tu.” Lantas, Alif memeluk pinggang Fazira seraya menangis sepuas hatinya di paha ibu saudaranya. Fazira agak terkejut dengan reaksi Alif. Dia hanya diam sambil menahan sebak.
‘Tak sangka..., dia masih ingat peristiwa lima tahun yang lepas.’ Bisik hati Fazira sambil membelai kepala Alif. Siapa yang boleh lupa. Ketika itu, Alif baru berusia 8 tahun. Dia menyaksikan peristiwa pahit yang sering menghantui Fazira sampai sekarang. Pada hari Ghazali tiada di rumah, Fazira teruk dipukul dengan Mariam kerana geram dan marah. Dia marah kerana maruahnya tercalar gara-gara Fazira. Amarah Mariam sebenarnya bercampur-baur dengan perasaan benci terhadap ibu kandung Fazira.
Fazira memang jarang berjumpa dengan lelaki inikan pula bersembang dengan lelaki kerana takut kejadian yang sama akan berulang. Tetapi, sejak pertemuannya dengan lelaki bernama Fazri, perasaan takut itu tiba-tiba hilang. Memang dia kurang selesa bila bersama dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya, tapi dia rasa senang dan gembira bila mendengar suara lelaki itu.
“Mak ngah suka dengan Abang Fazri?” Fazira tergamam mendengar soalan Alif. Matanya pula terkebil-kebil merenung wajah anak saudaranya.
“Hah..?! Kenapa... Along tanya soalan macam tu?” balas Fazira agak gagap. Alif diam.
“Sebab masa Adik tanya Abang Fazri sama ada dia sayangkan Mak ngah atau tak..., dia mengaku. Dia kata dia memang sayangkan Mak ngah. Along tak tipu.” Jawab Alif yakin dan jujur. Fazira tercengang dengan wajah yang agak pucat. Jantungnya berdegup tidak menentu.
“Sebab tulah Along tanya..., Mak ngah pun sayangkan Abang Fazri ke?” tanya Alif lagi. Pertanyaan Alif langsung tidak dijawab. Bibirnya seperti dijahit dengan benang besi. Perasaan lama yang cuba dilupakan kembali menyerang. Perasaan yang pernah melukakan hatinya suatu masa dulu. Fazira hanya diam.
“Penipu...!!” Suara Alif masih
bergaung di telinga Fazri. Dia langsung tidak menjangka budak seusia Alif akan
mengucapkan perkataan seperti itu kepadanya selepas dia meluahkan perasaan
sayang gadis idamannya. Memanglah bukan pada Fazira, tetapi respon yang
diberikan oleh pihak lain membuatkan hatinya tidak tenteram walaupun kejadian
itu sudah tiga hari berlalu.
“Itu baru anak saudara dia. Belum lagi ayah dia.” Fazri bermonolog. “Aduh...!!” Dia memegang kepalanya yang semakin sarat dengan masalah untuk medapatkan cinta dari gadis idamannya. Susah. Dia bangun dan berjalan ke jendela. Pandangannya dilempar jauh.
“Pak lang tak mahu kamu terlalu berharap sebab... Fazira tu dah teruk terluka disebabkan perbuatan seorang lelaki. Pak lang takut dia tak terima cinta kamu kerana luka lama masih berdarah.” Suara Ismail pula bergema dalam otaknya. Dia mengeluh berat. Ismail sendiri tidak yakin, inikan pula diri sendiri. Mengapa begitu berat dugaannya hanya untuk mencari jodoh sendiri.
“Atau mungkin dia bukan jodoh aku..?” Fazri resah. Dia menggigit ibu jari. Mungkin ini jawapan dari-Nya. Seminggu yang lalu, dia bangun pada tengah malam untuk mengerjakan solat istikarah malah sebelum itu juga, dia turut mengerjakan solat yang sama. Takkanlah begitu mudah ALLAH memberikan jawapannya.
Deringan telefonnya di atas meja tulis membuatkan lamunannya berkecamuk. Telefon diambil dan diamati dengan penuh taksub. Tiada nama. Dia mengeluh lemah. Masalah yang menimpa dirinya membuatkan dia malas untuk menjawab sebarang panggilan. Bila terfikir panggilan ini mungkin datang dari ibu saudaranya, dia segera menjawab.
“Hello..?” Ucap Fazri dahulu.
“Hello.., assalamua’laikum.” Balas si pemanggil dengan suara yang lembut dan mendayu. Fazri tercengang dan tersentak. Suaranya hilang seketika. Matanya pula membesar tiba-tiba kerana terkejut. ‘Betulkah apa yang aku dengar? Ini suara dia. Ataupun aku sedang bermimpi..?’ Hati Fazri sudah menggila. Dia memegang kepalanya yang terasa seperti ingin melayang.
“Hello..? Ada sesiapa di sana?” tanya suara lembut itu lagi.
“Ya... ya.., saya ada. Saya masih di sini.” Fazri sedikit gagap. Dia segera membetulkan anak tekaknya. “Boleh saya tahu siapa yang bercakap?” Fazri inginkan kepastian.
“Ini saya..., Fazira.” Ketika itu jugalah, Fazri melompat tanda gembira tahap melampau. Seperti sedang bermimpi, dia menerima panggilan dari gadis idamannya. “Awak sibuk...?”
“Tak... tak, saya tak sibuk. Tak sibuk langsung.” Fazri cuba menenangkan jantungnya yang sedang berdegup kencang.Kewarasannyapula sudah hampir ke tahap menggila. “Ada apa awak telefon saya....Kejap! Mana awak dapat nombor saya?!” tanya Fazri pantas dengan dahi berkerut. Fazira diam.
“Dari... Kak Maimun. Dia ada kad nama awak jadi...” Fazira diam lagi. Lain pula Fazri, dia sudah tersenyum lebar bila memikirkan keadaan Fazira ketika ingin menelefonnya. Pasti gadis itu berfikir lama sebelum membuat panggilan. “Saya telefon awak sebab... nak..”
“Nak apa?” tanya Fazri terburu-buru.
“Saya nak... minta maaf bagi pihak anak saudara saya... mengenai hal hari tu, awak masih ingat.., kan?” Balas Fazira agak takut-takut. Fazri diam kemudian kembali tersenyum. Malah, makin lebar.
“Ya, saya masih ingat. Secara jujurnya, saya agak terkejut. Tapi, apa yang berlaku hari tu saya tak simpan langsung di dalam hati. Anak saudara awak bersikap macam tu sebab dia sayangkan awak, betul tak?” jelas Fazri lancar. Fazira diam.
“Jadi.., awak maafkan dia..?”
“Mestilah.” Kedengaran hembusan nafas lega di corong telefon.
“Syukurlah kalau begitu. Barulah lega sikit hati saya.” Fazri tersenyum senang. “Memandangkan awak sendiri cakap yang awak maafkan dia, sudi tak... kalau awak berjumpa sendiri dengan dia..?”
“Maksud awak..?” tanya Fazri dengan dahi berkerut. Dia masih berdiri sambil menyandar pada dinding di sebelah jendela. Tangan kiri sudah dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Maksud saya..., Alif dah janji dengan saya yang dia akan minta maaf secara berdepan dengan awak. Jadi.., kalau boleh saya nak awak jumpa dengan dia dan biar dia minta maaf dari awak. Itu saja.”
Kali ini, Fazri pula terdiam.
“Kalau saya berjumpa dengan dia, adakah saya akan berjumpa dengan awak jugak?” tanya Fazri bersungguh-sungguh.
“Mestilah saya ada sekali. Takkanlah saya nak biarkan awak berjumpa dengan dia saja.” Sekali lagi, Fazri melonjak gembira. ‘Yes..!!’ jerit hati Fazri. Dia tidak lagi menyandar.
“Okey. Bila dan di mana?” tanya Fazri lancar.
“Hari Ahad minggu depan. Tempatnya pula... agak jauh. Air terjun Juntai.., awak pernah dengar?” tanya Fazira pula.
“Air terjun Juntai..? Di mana tempat tu?” Balas Fazri sambil menggaru kepalanya.
“Tempat tu agak terpencil dan jauh dari jalan utama. Nak ke sana, awak perlu banyak bertanya dengan orang kampung. Kalau tak, nanti tersesat.” Jelas Fazira panjang lebar.
“Apa awak buat di sana?”
“Saya bawa anak-anak saudara saya pergi berkelah setiap kali hujung bulan.”
“Berkelah..?!” Fazri nampak teruja. “Siapa lagi yang ikut?”
“Saya dan mereka saja. Rasanya dalam pukul 8.30 pagi, kami akan sampai di sana. Kalau lambat, nanti tak ada tempat parking.” Jelas Fazira lagi.
“Sebelum tu, kalau saya hal kecemasan dan tak dapat datang, macam mana saya nak hubungi awak?” tanya Fazri lagi.
“Awak boleh hubungi nombor ni. Kalau tak ada masalah lain, kita jumpa di sana nanti, ya..?”
“Ya, baiklah. Jumpa nanti.”
“Assalamua’laikum.”
“Waa’laikum salam.” Jawab Fazri seraya memutuskan talian. Dia segera menyimpan nombor Fazira. Selesai, dia berjalan menghampiri kerusi lalu duduk sambil menyandar santai. Bibirnya sudah mengukir senyuman yang lebar. Tersangat lebar hingga boleh mencecah ke telinga. Matanya terpejam rapat. Mungkin ALLAH sekadar ingin menduga imannya. Dia hampir-hampir putus asa terhadap takdir yang tertulis padanya. Dalam keadaan yang terkapai-kapai, dia diberi cahaya baru. Mungkin dia masih ada jodoh dengan gadis idamannya.
------------BAB 10------------
Seperti yang telah dijanjikan,
Fazri bergerak menuju ke tempat yang telah ditetapkan oleh Fazira. Dia bertolak
sesudah subuh dengan kereta sewanya jenis pacuan empat roda. Pemilik kereta
sewa itu sendiri menyarankan dia supaya menggunakan kereta jenis itu. Selepas
penat bertanya dan nyaris tersesat, dia akhirnya sampai di pintu gerbang untuk
masuk ke kawasan Air Terjun Juntai. Dia meneruskan pemanduannya menaiki jalan
yang agak landai dan mencerun.
Untuk naik ke tempat itu, dia hanya menggunakkan gear kedua dan pertama. Tempat yang ditujuinya memang tinggi. Bukan saja tinggi, jalan yang dibina juga agak sempit. Jika berselisih dengan kenderaan lain, salah sebuah perlu berhenti untuk memberi laluan kepada yang lain. Terdapat papan tanda supaya membunyikan hon setiap kali tiba di selekoh yang agak tajam.
Pemandangan yang dapat dilihat dari kaki Bukit Berjuntai memang mempersonakan. Dari satu tempat, dia dapat melihat keseluruhan pemandangan Pekan Juntai. Bunyi unggas sudah mula bermain di telinga. Deruman air yang menghempas juga semakin jelas. Fazri tersenyum. Otaknya mula terasa tenang dan nyaman. Bebas dari masalah kerja yang masih bertimbun di atas mejanya.
Selepas sepuluh minit mendaki bukit, dia tiba di detinasinya. Dia segera mencari tempat parkir. Selepas menempatkan keretanya, dia berjalan dengan mata yang meliar mencari seseorang. Memang betul apa yang dikatakan oleh Fazira, jam baru menunjukkan pukul 8.35 pagi tetapi tempat itu sudah sesak dengan pengunjung. Semuanya berkeluarga dan ada yang berteman. Beberapa buah khemah sudah didirikan tanda ada yang akan bermalam di sini. Memang betul kata si pemilik kereta sewa, kebanyakan pengunjung menggunakan kereta jenis pacuan empat roda.
Suasana sekeliling gamat dengan bunyi deruman air, unggas dan sorakan serta jeritan pengunjung yang seronok bermain air. Kawasan parkir sudah sesak dan penuh. Dia dikira bernasib baik kerana berjaya menjumpai tempat kosong. Beberapa buah gerai menjual dan menyewa pelampung terbina kukuh. Ada juga gerai yang menjual makanan dan minuman ringan seperti biasa.
Fazri masih berjalan dan mencari. Dalam masa yang sama, dia mengeluarkan telefonnya lalu mendail nombor Fazira. Nasib baiklah ada isyarat di atas Bukit Juntai. Telefon diletakkan di telinganya.
“Hello.., assalamua’laikum?” Ucap Fazira lembut.
“Waa’laikum salam. Awak.., saya dah sampai. Awak di mana sekarang ni?” tanya Fazri sambil berpusing melihat sekeliling. Kaki yang melangkah sudah berhenti.
“Awak dah sampai? Cepatnya. Awak ada di mana sekarang?”
“Emm... saya sendiri tak pasti. Awak pula di mana sekarang?” tanya Fazri kembali.
“Awak tak nampak saya..?” Fazri agak terkejut dengan kata-kata Fazira. Matanya kembali meliar melihat sekeliling.
“Maksudnya.., awak nampak saya..?!” tanya Fazri masih terkejut. “Tipulah. Kenapa saya tak nampak awak?”
“Mungkin sebab... awak tak cari dengan mata hati awak.” Kata Fazira perlahan tetapi jelas kedengaran di lohong telinga Fazri. Lelaki itu diam terpaku. Tiada reaksi di wajahnya. Timbul secebis rasa terkilan di hatinya.
“Baiklah. Kalau betul awak nampak saya, buktikan.” Kata Fazri tegas namun dengan nada yang lembut. Fazira sudah ketawa kecil. Jantung Fazri mula berdegup pantas tidak menentu selepas mendengar tawa gadis itu.
“Awak sedang mencekak pinggang dengan tangan kiri. Kalau nak lebih tepat, awak pakai T-shirt hijau daun pisang dengan seluar warna krim dan sandal warna hitam.., betul tak?” jelas Fazira panjang lebar. Sekali lagi, Fazri terpaku dan tercengang.
“Baiklah..! Awak menang. Saya menyerah kalah.” Fazri mengangkat tangan tanda menyerah sambil berpusing-pusing melihat sekeliling. Kedengaran keluhan kecil di hujung talian. Tiba-tiba, talian terputus.
“Saya agak kecewa. Awak menyerah kalah begitu mudah.” Satu suara yang lembut menyerang Fazri dari belakang. Fazri yang sudah terkejut tahap cipan segera menoleh. Jantungnya hampir-hampir meletup selepas melihat raut wajah empunya suara itu. Matanya pula terpaku seketika apabila melihat bidadari idamannya sedang berdiri dengan senyuman yang kelihatan agak hambar.
“Awak... dari mana..? Tak... kejap.., di mana awak menyorok..?” tanya Fazri dengan mata yang terkebil-kebil.
“Saya tak menyorok. Awak yang tak cari betul-betul. Kan saya cakap, awak tak guna mata hati awak.” balas Fazira selamba. Wajah Fazri yang masih dalam keadaan yang terperanjat mula buat Fazira ingin ketawa. Dia segera menekup mulutnya.
“Awak ketawakan saya?” Kata Fazri seperti marah. Fazira diam dengan tangan masih di mulutnya.
“Awak patut tengok muka awak sekarang?”
“Kenapa dengan muka saya?” Fazri memegang sebelah pipinya. Fazira sambung ketawa.
“Tak ada apa cuma... bila marah.., muka awak nampak... comel.” Balas Fazira selamba seraya melangkah pergi melepasi Fazri. Hujung ayatnya sengaja diperlahankan seperti tidak mahu didengari oleh Fazri. Namun, perkataan tadi telah pun memasuki lohong telinga Fazri. Dia terpaku dan mematung seketika.
Jantungnya makin berdegup kencang. Menggila tidak menentu. Nafasnya pula terasa sesak semacam. Mukanya mula terasa panas. Lantas, tangannya memegang dada kirinya. Dia... betul-betul dah berjaya mencuri hati aku.., bisik hati Fazri dengan senyuman yang lebar. Dia mengekori langkah Fazira dan mereka terus berjalan sambil bersembang hinggalah mereka tiba di sebuah pondok yang kecil yang diperbuat dengan kayu sepenuhnya. Dari jauh sudah kedengaran bunyi percikan air dan suara Atiqah menjerit seronok.
“Sebelum saya terlupa, Alif tak tahu yang saya jemput awak sekali jadi..,”
“Pura-pura kita terserempak di sini..” Potong Fazri pantas sambil tersenyum. Kening Fazira terangkat kerana terkejut. Tidak sangka Fazri mampu membaca fikirannya. Dia membalas senyuman tadi sambil mengangguk lembut. Mereka kembali berjalan ke arah gigi air. Jauh pondok dengan gigi air lebih kurang satu setengah meter saja. Sampai saja sudah kelihatan tiga beradik sedang seronok bermain air.
“Along..?!” Panggil Fazira lembut. Alif menoleh pantas. Matanya membesar terus melekat pada wajah Fazri yang sedang berdiri di sebelah ibu saudaranya sambil tersenyum. Fazira melambai seperti memanggilnya.
“Pak ngah..!!” jerit Atiqah keriangan sebaik saja melihat kelibat Fazri. Dia berlari menaiki tangga lalu memeluk kaki Fazri.
“Apa khabar, sayang?” Fazri mengangkat Atiqah ke dalam dukungannya walaupun badan Atiqah basah kuyup. Fazira hanya menggeleng melihat telatah anak manja seperti Atiqah.
“Along.., bawa Atif naik. Atiqah.., jom. Tolong Mak ngah angkat barang.” Tambah Fazira lagi. Adik-beradik itu terus bergerak tanpa membantah. Atif segera menaiki tangga kecil menyaingi si abang yang masih melangkah lemah.
“Along.., tengok siapa Mak ngah jumpa.” Kata Fazira sambil berjalan mendekati Alif yang sudah terpaku di
anak tangga terakhir. Atiqah dan Atif sudah berlari ke pondok tadi. “Along ingat janji Along, kan..? Sekarang, Mak ngah nak Along tunaikan janji tu.” Fazira memegang bahu Alif. Si abang mengeluh lemah. Dia memandang Fazri yang sentiasa tersenyum kemudian mengalihkan anak matanya ke arah Fazira pula.
“Jangan takut. Mak ngah ada di sini.” Fazira cuba menyuntik semangat. Alif mengangguk. Fazira tersenyum lebar. Dengan pantas, pipi Alif dicium.
“Mak ngah..?!” Rengek Alif sambil mengusap kasar pipi yang dicium tadi. Fazri juga nampak terkejut.
“Itu suntikan semangat khas dari Mak ngah.” Balas Fazira dengan senyuman yang manis. Muka Alif sudah
bertukar merah. Malu dan segan. Fazira berjalan mendekati Fazri.
“Jangan buli anak saudara kesayangan saya.” Fazira memberi amaran.
“Saya akan cuba.” Balas Fazri
selamba dengan senyuman. Fazira membalas sambil menggeleng. Dia berlalu pergi
meninggalkan Alif dan Fazri yang nampak kekok untuk bertegur sapa. Fazri
menarik nafas dalam. Dia perlu memulakan langkah yang pertama. Untuk memikat
ibu saudara, pertama sekali perlulah bermula dengan anak saudaranya dulu. Hati
Fazri sudah mengomel sendirian.