PROLOG
Seorang gadis berlari anak menuju
ke pintu lif yang masih terbuka. Dia nampak tergesa-gesa. Tangannya pantas
menahan pintu lif yang hampir-hampir tertutup. Lantas, matanya beradu dengan
sepasang mata yang sudah merenungnya dengan mata yang terkebil-kebil. Seorang
jejaka yang berkemungkinan terkejut melihat tindakannya yang jelas kelihatan
agak kasar. Kaki si gadis segera melangkah masuk tanpa menghiraukan pandangan
si jejaka. Pintu lif tertutup dan bergerak ke tingkat bawah. Suasana sunyi
memandangkan hanya mereka berdua sahaja di dalam lif.
Putih betul kulitnya. Hati si
jejaka sudah berbisik. Sekilas matanya mencuri lihat tangan si gadis yang
nampak sibuk melihat beberapa keping kertas di tangannya. Ekor matanya merayap
pula ke wajah si gadis yang cerah lagi gebu dan sedikit kemerahan. Seperti anak
mat saleh tapi lebih kepada gadis Arab. Memang sejuk mata memandang.
Mungkin orang Arab campur Melayu.
Memang cantik.., fikirnya lagi. Sebaik saja dia berlaga pandang dengan si
gadis, bibirnya segera menguntum senyuman yang manis. Si gadis membalas dengan
gaya acuh tak acuh ditambah dengan dahi berkerut.
Bunyi dari telefon bimbit si gadis
memecahkan suasana sunyi tadi. Dia segera menyelongkar beg tangannya. Senyuman
lembut terukir pada bibir mungil itu sebaik saja merenung skrin telefon.
“Assalamua’laikum, sayang.” Jawab
si gadis lembut. Kening si jejaka sudah terangkat. Dah berpunya rupanya.
Tapi..., kenapa tak ada cincin di jarinya?.., bisik hati si jejaka selepas
terpandang tangan kiri si gadis yang cuba menutup perbualannya dari didengari
olehnya. Kedengaran si gadis mengeluh sambil mengerling jam tangan.
“Maaf, sayang. Rasanya... Mak ngah
tak sempat nak hantar tapi... Mak ngah janji akan ambil Along dan adik-adik
lepas sekolah nanti, boleh?” pujuk si gadis manja.
Laa... anak saudara rupanya!
Ingatkan suami atau buah hati. Getus si jejaka seraya tersenyum sendiri.
Walaupun suara si gadis agak samar-samar namun telinganya masih mampu menangkap
beberapa patah kata yang keluar dari bibir si gadis...
“Okey. Balik nanti Mak ngah belanja
ais krim, ya?” kata si gadis lembut. “Waa’laikum salam, sayang.” Tambah si
gadis agak berbisik seraya memutuskan talian. Keadaan kembali sunyi. Lif masih
bergerak tanpa henti.
“Anak saudara?” Si jejaka tiba-tiba
bersuara. Terkejut si gadisseketika.
“Ya..” Jawab si gadis ringkas tanpa
melihat wajah si jejaka yang boleh dikatakan sedap mata yang memandang. Si
jejaka tersenyum lebar melihat kelakuan si gadis yang jelas agak malu untuk
bertentang mata dengannya. Belum sempat dia membuka mulut untuk kali kedua,
pintu lif terbuka. Si gadis sudah membuka langkah keluar. Si jejaka hanya mampu
melihat kelibat si gadis hilang dari pandangannya. Di dalam hatinya sudah
berdoa agar dia dapat bertemu dengan gadis itu untuk kali yang kedua.
------------BAB 1------------
Fazri memanjangkan lehernya untuk
melihat seseorang yang sedang rancak bersembang dengan Juliana di hadapan pintu
jabatan. Dia kenal akan susuk tubuh milik seorang gadis yang sering mengganggu
tidur malamnya.
“Apa yang Encik Fazri pandang tu?
Lain macam saja saya tengok.” tegur Linda yang tiba-tiba muncul di sebelahnya.
“Tak... tak ada apa.” Fazri segera
menyembunyikan kelakuan kantoinya. Linda sudah tersenyum.
“Saya tahu siapa yang Encik
pandang. Kalau Encik nak berkenalan dengan dia, cakap saja nanti saya kenalkan
dia pada Encik.” Tambah Linda dengan senyuman yang lebar. Fazri sudah
tercengang.
“Jangan merepeklah. Saya pergi
dulu.” Fazri segera meninggalkan Linda sebelum gadis itu mengetahui niat
sebenarnya bertenggek lama di mesin fotostat.
Di dalam pejabat, Fazri bersandar
sambil menghembus nafas lega. Dapat juga melepaskan rasa rindunya pada gadis
yang ditemuinya secara kebetulan di dalam lif beberapa hari yang lalu.
Kebetulan...? Betulkah secara
kebetulan... atau pun dia sememang telah ditakdirkan untuk bertemu dengan
aku...?
“Hish...! Apa yang kau merepek ni,
Fazri?! Baru jumpa sekali dah cakap ditakdirkan pulak. Kau ni memang suka perasan
betul.” Marah Fazri pada bisikan hatinya. Dia mengeluh lemah. Sejak berpindah
ke syarikat di cawangan yang bertempat di sebuah pekan kecil bernama Pekan
Juntai lebih kurang sebulan yang lalu, Fazri sering termenung dan termangu
sendiri selepas terserempak dengan seorang gadis ala-ala minah Arab.
Bukan dia seorang saja yang begitu
kerana menurut kata Linda, malah ramai staf lelaki yang berkelakuan sepertinya,
ada juga yang lebih kronik. Ingin saja dirisik mengenai gadis itu dari si Linda
tetapi ego seorang lelaki menahan dirinya dari berbuat demikian. Dia menarik
nafas sedalam-dalamnya. Setahunya, gadis itu bukan pekerja di syarikat tersebut
tetapi sering pula dia melihat gadis itu bersembang dengan rakan sekerjanya
seperti Juliana dan beberapa staf wanita yang lain.
Pintu bilik diketuk beberapa kali
langsung tidak menghentikan Fazri dari terus mengelamun.
“Jauhnya awak mengelamun. Sampai
saya masuk pun tak perasan.” Tegur Jamaludin dimuka pintu. Fazri baru
tersentak.
“Ada... apa-apa masalah ke?” Tanya
Fazri agak tergagap.
“Memang ada masalah. Awak dah
tengok sekarang pukul berapa? Staf yang lain semua dah turun. Awak tak nak
turun makan?” Kata Jamaludin panjang lebar. Fazri menepuk dahi selepas melihat
jam di dinding.
“Laa.., dah tengahari rupanya. Cepat
betul masa berlalu.”
“Memanglah cepat kalau sepanjang
hari asyik termenung saja.” Jamaludin tersenyum penuh makna. Fazri sekadar
membalas selamba untuk menutup rasa kantoinya. Mereka bergerak turun ke kafe
syarikat.
“Saya perasan awak asyik termenung memanjang.
Awak ada masalah ke?” tanya Jamaludin penuh prihatin. Pinggan yang sudah kosong
ditolak ke tepi. Fazri diam seketika. Peristiwa terserempak dengan gadis
ala-ala Arab beberapa hari yang lalu betul-betul membuat tidurnya tidak lena.
“Kalau saya tanya, awak janji
jangan beritahu sesiapa.” Kata Fazri perlahan dan penuh misteri. Jamaludin
mengangguk serius. Fazri menarik nafas yang dalam.
“Saya perasan ada seorang gadis
selalu datang ke jabatan kita berjumpa dan bersembang dengan Juliana dan staf
wanita yang lain. Setahu saya, dia bukan staf syarikat ni. Awak kenal gadis
tu..?”
Jamaludin diam sejenak cuba
memikirkan gerangan gadis yang dimaksudkan oleh Fazri.
“Oh.., awak mesti cakap pasal
Nurliana. Dia memang bukan staf syarikat. Dia datang ke sini pun sebab Juliana
dan Linda rapat dengan dia. Juliana beritahu gadis tu bekerja di butik tak jauh
dari sini. Ramai juga staf wanita yang menempah baju dari dia. Mereka kata
hasil tangan dia memang halus dan kemas.” Terang Jamaludin panjang lebar.
“Nurliana...” Dalam tidak sedar,
Fazri sudah ter‘sebut’ nama gadis itu. Jamaludin tersenyum penuh makna.
“Awak pun dah tersangkut dengan
dia..?” Serkap Jamaludin. Fazri tersipu malu. Jamaludin galak ketawa. “Saya tak
hairan sebab ramai staf lelaki yang terpikat dengan rupa parasnya. Kalau nak
dengar suaranya pun memang susah. Ramai yang dah mencuba dan ramai jugak yang
gagal.”
“Kenapa..? Dia jual mahal ke?”
“Bukan masalah jual mahal tapi
Nurliana tu sememangnya mahal. Dengar kata, dia anak bekas imam masjid besar.
Sebab itulah saya kata yang dia memang mahal.” Fazri tersenyum mendengar
penjelasan Jamaludin. “Awak pun nak mencuba nasib jugak ke..?”
“Kalau dah jodoh apa salahnya..?”
Fazri membalas selamba. Jamaludin turut tersenyum sambil menggeleng.
“Kalau dah macam tu, saya akan
doakan semoga awak akan berjaya.” Tambah Jamaludin senang. Fazri tersenyum
lega. Dia akui, gadis bernama Nurliana betul-betul membuat jantungnya bergetar
laju. Tidak pernah dia berjumpa dengan mana-mana gadis yang mampu berbuat
demikian. Mungkin benar yang dia sudah berjumpa dengan jodohnya.
Fazri keluar dari keretanya
walaupun kepalanya sakit selepas terhantuk pada alas di belakang kepalanya. Dia
berjalan ke bonet depannya yang sudah berasap. Bumper kereta yang dilanggarnya
sudah tercabut. Dia memegang kepalanya. Inilah padahnya kalau tidak memberi
perhatian ketika memandu. Nasib baiklah kereta miliknya sekadar kereta Iswara
lama terpakai tetapi dia masih boleh didakwa kerana cuai ketika memandu.
“Macam mana awak memandu, hah...?!”
Satu suara yang lembut menerjah masuk ke lohong telinganya. Fazri tercengang
seketika. Jantungnya pula tiba-tiba saja berdegup pantas. Dia seperti kenal
akan suara lembut itu. Suara yang pernah didengarnya ketika berada di dalam
lif, lebih kurang dua minggu yang lalu. Walaupun suara terdahulu hanyalah
secebis tetapi otaknya masih mampu menganalisis dan mengimbas kembali kelunakan
suara itu. Fazri menoleh untuk melihat dan ternyata, dia betul. Suara itu milik
gadis yang berjaya mencuri tumpuannya.
“Dia?” Fazri bersuara perlahan
dengan mata yang masih tidak lekang merenung wajah gadis yang putih gebu itu.
Si gadis sudah mengerutkan dahi. Pelik dan hairan melihat jejaka di hadapannya
yang sudah sedikit terlopong dengan renungan yang tajam dan dalam.
“Hello...?! Saya sedang cakap
dengan awak... atau awak dah pekak!” tambah si gadis agak kasar. Kening Fazri
pula terangkat kerana terkejut. Beberapa pasang mata yang memandang langsung
tidak dipeduli, seperti kehadiran mereka langsung tidak wujud.
“Maaf... saya minta maaf. Saya akan
tanggung semuanya nanti.”
“Memanglah, sebab awak yang langgar
saya.” Balas si gadiskeras dengan jelingan yang tajam. Kemudian, dia mengeluh
berat. Sisi kepalanya dipegang lembut. Teruklah dia kali ini. Keretanya rosak
teruk. Tersilap, bukan keretanya tetapi kereta milik majikannya. Fazri dari
tadi hanya melihat.
Kereta mereka berdua ditarik ke
sebuah bengkel kereta berdekatan. Tauke bengkel akan cuba siapkan kereta si
gadis dalam masa seminggu. Kereta Fazri pula memang tak ada harapan walaupun
diperbaiki seperti biasa. Tapi, itu bukan masalah utamanya. Kegelisahan si
gadis yang begitu lama bercakap di telefon membuatkan dia sendiri ralat. Dia
sudah bertanya sama ada gadis itu cedera atau tidak, yang dibalas hanyalah
gelengan. Marah agaknya. Siapa yang tidak marah kalau kereta baru dilanggar
gara-gara cuai ketika memandu. Entah apalah reaksinya kalau dia tahu Fazri
bercakap di telefon ketika memandu.
------------BAB 2------------
Selepas seminggu, kereta Maimun
siap dibaiki. Di bengkel, kelihatan Fazri sedang bersembang dengan seorang
lelaki Cina berusia lewat 30-an. Tidak lama kemudian, sebuah kereta Wira
Aeroback merah berhenti di hadapan bengkel Ah Fat. Fazri dan tauke bengkel, Ah
Fat sendiri sudah memandang ke arah kereta tadi. Kemudian, seorang wanita
keluar dari tempat sebelah pemandu.
Wanita itu berusia dalam lingkungan
awal 40-an. Tidak bertudung tetapi berbaju kurung, menonjolkan gaya sopan dan
ayu seorang wanita Melayu. Pintu pemandu pula terbuka. Seorang gadis bertudung
litup keluar dari tempat memandu. Senyuman lebar terukir pada bibir nipis
Fazri. Gadis itulah yang ditunggunya. Gadis yang berjaya membuat tidurnya tidak
lena sepanjang minggu. Dia sendiri tidak sedar hatinya sudah tertawan dengan
gadis yang belum diketahui nama penuhnya.
“Encik ni... Muhammad Fazri?”
Maimun bertanya sopan. Fazri terjaga dari lamunannya.
“Ya... ya, sayalah tu.” Jawab Fazri
agak tergagap. Maimun sudah tersenyum manakala si gadis langsung tidak
menunjukkan sebarang reaksi.
“Puan ni...?”
“Saya Maimun, pemilik kereta ni.”
kata Maimun ringkas sambil memerhati kereta Toyota Vios hitam miliknya. Dahi
Fazri sudah berkerut.
“Kereta Puan? Tapi kenapa dia...”
“Saya selalu biarkan dia pandu
kereta saya setiap kali keluar mengambil sampel kain di luar atau berjumpa
pelanggan.” Terang Maimun. ‘Patutlah dia gelabah semacam saja. Rupanya dia
pakai kereta kawannya.’ Bisik Fazri sambil memandang si gadis yang masih diam
membisu.
“Kereta saya dah siap, kan?” tanya
Maimun ingin kepastian.
“Ya. Dah siap. Tapi, sebelum tu apa
kata kalau saya belanja Cik berdua lunch memandangkan sekarang pun dah
tengahari.” Kata Fazri penuh harapan. Maimun sudah tersenyum tetapi bukan si gadis.
Kalau boleh, dia nak cepat pulang ke butik.
“Bagus idea tu. Zira..?” Maimun
sudah mengerling tajam ke arah si gadis yang dari tadi hanya terpaku seperti
patung. Hati si gadis sudah membentak. Dia membalas renungan Maimun dengan
kening yang bertaut. Kemudian, bahunya dilepaskan ke bawah tanda mengalah.
“Yelah.” Jawab si gadis ringkas dan
jelas sekali tidak ikhlas. Takut juga kalau membiarkan Maimun makan sendirian
bersama seorang pemuda. Lebih teruk kalau terserempak dengan suaminya, yang
memang sinonim dengan perangai cemburu tidak bertempat. Si gadis mengeluh
sendirian kerana sentiasa tertewas dengan pujuk rayu Maimun.
Lain pula dengan Fazri, dia sudah
tersenyum puas. Hatinya melonjak kegembiraan tidak terkata. Bagai mimpi jadi
kenyataan. Ini adalah peluang keemasan untuknya mendekati gadis idamannya.
Di sebuah restoran masakan kampung,
mereka bertiga duduk di meja bersebelahan sebuah taman mini yang dilengkapi
dengan landskap yang ringkas tetapi dibina cantik dan indah. Mereka bertiga
sudah selesai makan dan duduk bersantai sambil berborak.
“Jadi, Akak buka butik di pekan
ni?” tanya Fazri selepas menyedut minumannya. Matanya sekali-sekala sempat
mencuri lihat si gadis yang nampak termenung memandang ke arah taman mini
bersebelahan.
“Ya. Buat masa ni, butik Akak
satu-satunya yang ada di pekan ni. Jadi, tak ada pesaing nak berebut pelanggan
dengan Akak.” Balas Maimun dengan senyuman. “Fazri kerja di mana?”
“Saya kerja di syarikat yang baru
bertapak di pekan ni.” terang Fazri ringkas.
“Syarikat baru? Oh, bangunan tinggi
yang warna biru tu, kan?!” teka Maimun. Fazri nampak terkejut.
“Ya. Mana Akak tahu?”
“Akak cuma teka.” Balas Maimun
ringkas sambil tersenyum. Fazri sekadar membalas dengan dahi sedikit berkerut
pelik.
Deringan telefon si gadis mematikan
perbualan mereka. Selepas beberapa ketika, talian tadi dimatikan.
“Siapa?” tanya Maimun ringkas.
“Kak Sal. Dia kata pelanggan
semalam datang nak tukar warna kain. Tak sesuai dengan ruang biliknya.” Jelas
Fazira padat. Maimun sudah mengeluh. “Zira perlu ke kedai semalam untuk ambil
sampel kain yang baru untuknya.” Fazira sudah berdiri dengan niat untuk
beredar. Fazri hanya melihat dan mendengar perbualan mereka.
‘Zira..? Bukan ke namanya
Nurliana..?’ Fazri berkerut dalam hati.
“Tak menyusahkan ke?” tanya Maimun.
“Tak... asalkan Akak janji untuk
bayar duit minyak kereta Zira.” Balas Fazira manja. Dalam tidak sedar, jantung
Fazri mula berdegup kencang tatkala terdengar suara manja Fazira.
“Oo... pandai Zira kenakan Akak,
ye!” Maimun menjeling lembut. Fazira tersenyum beserta tawa kecil lantas dia
segera menutup mulutnya selepas sedar ada sepasang mata sedang memerhatinya.
Tawanya sudah hilang. Kening Fazri sudah bersambung melihat kelakuan Fazira.
“Zira pergi dulu.”
“Eh..., sebelum tu...!” Langkah
Fazira terhenti selepas tangannya dipegang Maimun. “Punya seronok bersembang
sampai terlupa nak beritahu Fazri. Ini pekerja Akak yang paling rajin dan
paling manja.” Maimun dan Fazri sama-sama tersenyum melihat Fazira yang sudah
menjeling marah. “Namanya... Nurliana Fazira.”
‘Macam nama aku pulak...Nurliana
Fazira... cantik. Namanya memang cantik, seperti tuan empunya badan.’ Bisik
hati Fazri sambil melirik wajah mulus Fazira seraya menguntum senyuman yang
paling manis. Fazira sudah terpana melihat senyuman yang terukir. Dia dapat
rasa darahnya menyirap hingga ke pangkal lehernya. Jantungnya pula bergetar
tidak menentu. Pandangannya segera dialihkan ke arah Maimun.
“Okeylah, Akak. Zira pergi dulu.
Nanti merungut pulak Kak Sal.” Fazira segera membuka langkah tanpa menoleh. Dia
tidak sanggup untuk terus melihat senyuman tadi. Hatinya sudah tidak keruan
walaupun untuk memandang wajah jejaka itu. Entah kenapa, nafasnya terasa sesak.
Penat.
------------BAB 3------------
Di tempat parkir dalam perkarangan
sekolah rendah, kelihatan Fazira sedang duduk di kerusi batu di bawah pohon
yang rendang sambil berbual dengan seorang gadis hampir sebayanya.
“Dia belanja kau makan?!” Fazilah
nampak terkejut.
“Bukan aku sorang. Aku dengan Kak
Mun la...” Balas Fazira keras.
“Ceh..., Kak Mun tu kacau daun
betullah! Kenapalah dia tak biarkan kau makan berduaan dengan lelaki tu.”
Fazira menjegilkan matanya selepas mendengar kata-kata sahabat baiknya itu.
“Amboi..., lancarnya mulut!” Fazira
geram dengan pantas mencubit pipi temannya. Fazilah mengerang sakit. “Padan
muka.” Tambah Fazira.
Fazilah adalah sahabat Fazira
paling akrab. Persahabatan mereka bermula sejak dari tadika dan kekal hingga
sekarang. Fazilah tempat dia meluahkan perasaannya kala dirudung masalah dan
tempatnya berkongsi saat-saat gembira dan duka.
“Mak ngah...!!” jerit satu suara
kedengaran halus dan manja. Mereka menoleh. Seorang kanak-kanak perempuan
lengkap dengan pakaian sekolah rendah berlari anak ke arah Fazira. Ibu
saudaranya sudah tersenyum manis sambil mendepakan kedua tangannya. Mereka
berpelukan.
“Mak ngah tahu tak? Waktu
Pendidikan Seni tadi, adik dapat markah penuh sebab adik buat layang-layang
paling cantik dalam kelas.” Kata Atiqah dengan manja. Fazira tersenyum. Atiqah
anak kedua dari tiga adik beradiknya. Umurnya pula baru 9 tahun bermakna dia di
Darjah Tiga. Wajahnya memang comel terutama sekali bila bertudung sekolah.
“Alah, kalau setakat buat
layang-layang tu Along pun boleh!” kata Alif agak bongkak. Dia muncul di
sebelah Atiqah. Fazira sudah menjeling lembut. Alif yang berusia 13 tahun
adalah anak sulung abang Fazira iaitu Zafrul. Alif juga abang kepada Atiqah.
“Along jealous!” Atiqah mencebik
dan masih memaut bahu Fazira. Alif pula sudah menjelirkan lidahnya. Antara
semua anak saudara Fazira, Atiqahlah yang paling manja memandangkan dia
satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya.
“Hah..., sudah! Jangan bergaduh.
Mak ngah tak suka.” Fazira bersuara keras. Dia memang pantang kalau melihat
mereka bergaduh sesama sendiri walaupun hanya bertikam lidah.
“Mana Atif?” tanya Fazira agak
cemas dengan mata yang sudah melilau.
“Ni ha!” sampuk seorang lelaki
sambil mendukung seorang kanak-kanak lelaki memakai uniform pra-sekolah. Nampak
seperti baru sudah menangis.
“Dia jatuh masa keluar dari kelas
tadi.” Terang lelaki itu lagi seraya meletakkan Atif ke bawah. Atif segera
berlari ke arah Fazira. Lelaki tadi ialah Kamarul, tunang Fazilah. Mereka
berdua merupakan guru sekolah rendah. Kalau dipanjangkan cerita, Fazira dan
Fazilah berkenalan dengan Kamarul semasa di Tingkatan Satu. Kalau tidak kerana
kemalangan 5 tahun yang lalu, Fazira mungkin sudah menjadi guru sekolah seperti
mereka berdua.
“Macam mana sayang boleh jatuh?”
tanya Fazira lembut sambil mengelus-elus rambut pendek Atif. Anak kecil itu
diangkat ke atas ribanya.
“Kawan Atif... tolak...” Atif yang
baru berusia 4 tahun, menangis semula. Mungkin tidak mampu menahan sebak.
Fazira segera memeluk tubuh kecil itu sambil memujuknya supaya berhenti
menangis. Kamarul dan Fazilah hanya melihat layanan Fazira terhadap anak-anak
saudaranya yang mengalahkan anak sendiri. Hidung Atif yang berhingus dikesat
dengan tisu.
“Jangan nangis ya, sayang. Nanti
Mak ngah belikan ais krim, ya?” Itulah modal yang selalu digunanya untuk
memujuk anak kecil itu. Atif sudah mengangguk kepala. Atiqah dan Alif juga
sudah merengek mahukan benda yang sama.
“Kau terlalu manjakan mereka,
Zira.” Kata Fazilah dengan pandangan yang agak sayu. Kamarul pula sudah duduk
di sebelah kanan tunangnya memandang dengan pandangan yang sama.
“Kalau tak manjakan mereka ni,
siapa lagi. Dahlah jumpa mak ayah sendiri pun dua tiga bulan sekali.
Sekurang-kurangnya, layanan aku ni dapat ubatkan rasa rindu mereka.” Jelas
Fazira panjang lebar. Fazilah mengeluh kecil. Ada betul juga tindakan temannya.
Setahunya, Zafrul bekerja di pelantar minyak di Terengganu manakala isterinya,
Emilia bekerja sambil belajar di Sarawak. Anak-anak pula terpaksa ditinggalkan
walaupun hati tidak rela.
“Bila kau nak kahwin, Zira?” Entah
bila dan dari mana, tetiba saja ayat-ayat itu terpacul keluar dari bibir
Kamarul. Fazilah yang dari tadi mengelamun seorang diri, tercengang sambil
merenung tunangnya. Fazira lebih teruk, keningnya bertembung seperti dua treler
berlanggar dari arah bertentangan ditambah dengan dahi berkerut seribu. Suasana
sunyi seketika.
“Kenapa kau tanya soalan macam tu?”
marah Fazilah dengan suara yang ditekan. Jelingannya juga nampak tajam.
“Salah ke apa aku tanya? Kita dah
bertunang tunggu masa nak kahwin, yang dia pula sampai sekarang masih solo?
Kalau dia tak berkahwin, kita pun takkan kahwin, faham..!! Kau dah lupa dengan
janji kita buat dulu.”
“Kalau ya pun, berlapiklah sikit.”
Fazilah masih merenung dengan jelingan yang sama.
Fazira sudah tersenyum melihat
kedua temannya berperang mulut. Walaupun selalu bergaduh, namun kasih antara
mereka tidak pernah layu. Maklumlah, dah kenal sama kenal. Tinggal pula
berjiran. Nasib baiklah mereka tidak jemu memandang muka yang sama setiap hari.
Kalau dulu, perang pasti meletus kalau berjumpa. Mana tidaknya, dua-dua hantu sakat.
Memang benarlah kata orang, benci boleh berubah kepada sayang, maka lahirlah
perasaan cinta. Fazira tersenyum sendirian.
Pasal janji pula.., mereka pernah
berjanji akan berkahwin serentak pada hari yang sama. Janji mereka berdua tidak
akan berkahwin selagi Fazira tidak menemui lelaki yang sesuai untuk dijadikan
suami. Fazira menggeleng pula dengan senyuman yang sama.
“Hah..., tu senyum sorang-sorang
mesti ingatkan seseorang yang special!” Kamarul memulakan sesi menyakatnya.
Fazira sekadar ketawa kecil.
“Kalau sampai jodoh, aku kahwinlah.
Kau jangan sibuk pasal hal aku, buat masa ni... tunang kau lebih penting,
faham?!” tekan Fazira sambil merenung Fazilah yang sudah memandangnya dengan
pandangan yang suram.
“Si Fazilah kau jangan risau sebab
aku dah ikat dia.” Kamarul menjeling Fazilah yang sudah menoleh ke arahnya.
“Kalau kau tak ada calon yang sesuai, apa kata kalau kau ambil aku saja?”
Mata Fazilah hampir-hampir
tersembul keluar selepas mendengar kata-kata lelaki yang sudah menjadi
tunangnya. Fazira pula sudah menutup mulut. Mulut Kamarul kadang-kadang memang
celupar.
“Apa dia?!” Fazilah geram lalu
menghadiahkan satu cubitan yang paling berbisa di paha Kamarul. Lelaki itu
mengerang menahan sakit. Fazira sudah ketawa. ‘Padan muka. Ada sebab orang tua kata
kerana mulut, badan binasa.’ Jerit hati Fazira masih ketawa. Kamarul menggosok
paha yang dicubit tadi. Fazilah pula sudah merajuk. Fazira segera melarikan
diri bila Atiqah merengek mahu pulang. Kedua kawannya ditinggalkan begitu saja.
Malas dia nak masuk campur. Lagi lama dia menunggu, lagi teruklah dia disakat.
Silap hari bulan boleh putus sahabat dengan si Fazilah pula.
------------BAB 4------------
Di dalam sebuah pejabat yang
dingin, Fazri duduk menyandar dengan pandangan yang kosong. Jelas sekali dia
sedang menungkan sesuatu. Tiba-tiba saja, bibirnya merekah mengukir senyuman
yang lebar. Tengahari tadi, tanpa diduga Fazri bersua lagi dengan Fazira.
Mereka berjumpa di sebuah restoran bersebelahan dengan masjid besar di pekan
itu. Ketika Fazri tiba, gadis idamannya sedang seronok bersembang dengan
seorang lelaki yang agak berusia. Lelaki itu nampak kemas dengan serban putih.
Malah, mereka nampak sangat mesra.
Langsung tidak terlintas
difikirannya untuk menyapa mereka kerana takut mengganggu. Dia hanya mampu
memandang dari jauh. Sebelum beredar, gadis itu sempat bersalaman malah pipi
lelaki berumur itu juga sempat dicium. Terkejut juga Fazri. Maklumlah, Fazira
gadis yang bertudung litup. Mustahil dia akan menyentuh lelaki yang bukan
muhrimnya, inikan pula mencium. Dahi Fazri berkerut seribu. Otaknya mula
menganalisis beberapa andaian.
“Mungkin ayahnya. Tapi..., kalau
ayahnya... kenapa berbeza sangat?” Bisik Fazri sendirian. Lelaki berusia itu
agak gelap, lebih kepada hitam manis. Terlalu berbeza kalau dibandingkan dengan
Fazira. “Mungkin... ibunya orang luar negara.” Tambah Fazri sambil menggaru
pelipisnya.
Lamunannya berkecamuk selepas
mendengar deringan telefon bimbitnya. Dia tersenyum selepas melihat skrin
telefonnya.
“Assalmua’laikum, Papa.” Ucap Fazri
lembut dan sopan.
“Waa’laikum salam. Azri, apa
khabar? Sihat?” Kedengaran satu
suara yang agak garau di corong telefon Fazri.
“Alhamdulillah. Azri sihat. Macam
mana dengan Papa?”
“Alhamdulillah, Papa pun sama.
Maaflah, baru hari ni Papa ada masa nak bertanya khabar dengan kamu. Macam mana
dengan kerja kamu di sana?”
“Azri faham, Pa. Kerja Azri okey.
Layanan mereka biasa saja sebab mereka masih tak tahu yang Azri anak Papa.”
Terang Fazri sambil tersenyum.
“Itulah. Kalau kamu beritahu
mereka, mungkin tengok muka kamu pun mereka takut. Tapi, Papa bangga dengan
kamu. Azri sanggup sembunyikan identiti sendiri semata-mata untuk bergaul
dengan mereka dan saling mengenal pekerja bawahan sendiri.” Puji suara Faizzul.
“Azri sekadar nak belajar hidup
sendiri tanpa bantuan sesiapa. Macam Papa.” Tambah Fazri lagi. kedengaran
Faizzul ketawa besar.
“Papa bukan hidup sendiri tapi Papa
dapat bantuan. Itu pun dari kawan Papa. Kalau bukan kerana dia, kemungkinan
Papa takkan berjaya seperti sekarang. Dan... kerana dia jugalah, Papa berjaya
didik kamu untuk jadi anak yang baik, paling tepat anak yang soleh.” Kata
Faizzul panjang lebar. Fazri sudah tersenyum lebar.
“Papa dah jumpa dia?” tanya Fazri.
Faizzul mengeluh berat.
“Belum. Papa dah ke Indonesia tapi
rumah yang dia pernah tinggal sudah dirobohkan. Penduduk yang tinggal di situ
juga sudah berpindah ke tempat lain.” Terang Faizzul agak hampa dan lemah.
“Sabarlah, Papa. Banyakkan berdoa.
Insyaallah, Azri yakin suatu hati
nanti Papa akan berjumpa dengan dia.”
“Ya. Papa juga harap begitu.”
Faizzul menarik nafas. “Jadi..., lebih sebulan di Pekan Juntai ada jumpa gadis
yang istimewa?” Fazri tercengang mendengar kata-kata bapanya.
“Kenapa Papa tanya soalan macam
tu?” tanya Fazri dengan dahi berkerut.
“Manalah tahu. Dalam diam, Fazri
ada tersangkut dengan seseorang di situ. Maklumlah, di hujung Pekan Juntai, ada
kampung. Pasti ada gadis yang berjaya mencuri tumpuan Azri, tak begitu?” teka
Faizzul sambil ketawa kecil. Fazri sudah tersenyum lebar sebaik saja wajah
Fazira menerjah masuk ruang fikirannya.
“Kalau betul ada, Papalah orang
pertama yang akan tahu.” Balas Fazri dengan tawa kecil.
“Elok sangatlah tu. Nanti Papa
beritahu Ummi untuk merisik gadis tu.”
“Hish..., Papa ni! Sampai ke situ
Papa berangan.” Balas Fazri kalut. Faizzul sudah ketawa.
“Bukan berangan, Azri tapi itulah
impian Papa. Papa nak lihat anak Papa hidup bahagia di sisi seorang wanita yang
layak digelar sebagai isteri yang solehah. Takkanlah Azri nak membujang sampai
ke tua?” kata Faizzul penuh makna.
Fazri tersenyum simpul. Betul kata
bapanya. Usianya kini bakal mencecah 29 tahun. Kawan yang seusianya sudah
berkahwin. Malah, ada yang beranak dua. Tetapi, semua itu bergantung kepada
jodoh masing-masing. Mungkin jodohnya belum sampai.
“Sebelum Papa terlupa, Ummi kata
nak melawat kamu di sana. Tapi, belum pasti bila sebab... kamu tahulah perangai
Ummi kamu tu. Selalu buat surprise.” Beritahu Faizzul. Fazri sudah menegakkan
badannya. Ummi nak datang?.., omel Fazri sendirian.
Ummi atau nama sebenarnya, Jannah
adalah ibu saudara Fazri dan adik kepada Faizzul. Selepas diceraikan suaminya,
Jannah sering mengikut ke mana saja Faizzul pergi walaupun untuk urusan
syarikat. Malah, Faizzul juga tak kisah dengan kehadiran adiknya memandangkan
isterinya jarang berada di sisinya.
Di dalam ruang dapur, Fazira sedang
sibuk memasak makan malam untuk keluarganya. Atiqah pula sibuk menyusun pinggan
dan gelas di atas meja. Gadis kecil itu memang ringan tulang. Tidak perlu
disuruh, dia pasti akan datang dan menolong Fazira kerana itulah yang diajar
Fazira sejak dia berusia tujuh tahun. Gadis kecil itu pula langsung tidak
membantah. Dia sudah berazam untuk menjadi seperti Mak ngahnya, bukan saja
cantik malah pandai memasak. Alif dan Atif masih berada di ruang tamu, menonton
televisyen agaknya.
“Ada apa-apa yang akak boleh
tolong?” tegur Liyana dari muka pintu yang menghubungkan ruang dapur dan laluan
ke ruang tamu. Fazira menoleh. Kakak iparnya yang sedang mengandung enam bulan
berjalan menghampiri Fazira.
“Akak, kan mak larang akak masuk dapur.”
Tegas Fazira sambil menjeling sekilas ke arah pintu tadi, takut ibunya
tiba-tiba muncul.
“Alah..., Zira jangan takut! Mak
ada di ruang tamu, sedang bercakap di telefon. Zira masak apa? Wangi betul akak
bau.” Liyana menjenguk ke dalam kuali yang sedang panas mendidih.
“Ikan merah masak cili.”
“Wah.., terliur akak!” Liyana
segera menutup mulutnya. Fazira sudah tersenyum serta ketawa kecil. Mungkin
inilah ragam perempuan mengandung. Selera pula semakin bertambah. Maklumlah,
makan untuk dua orang.
“Abang Zul kerja malam ke?” tanya
Fazira sambil mengalihkan masakannya tadi ke dalam pinggan dan dihidangkan ke
atas meja. Atiqah pula sibuk menyediakan air sirap.
“Em... tapi, dia kata nak balik
awal malam ni. Mungkin dalam pukul 10 atau 11 malam nanti.” Jelas Liyana sebaik
saja melabuhkan punggung di kerusi. Fazira mengangguk tanda faham.
Abang Zul atau Zulkifli adalah adik
kepada Zafrul. Dia bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah kilang membuat
barangan elektrik di bandar. Liyana pula suri rumah sepenuh masa. Fazira
mengerling jam di dinding. Sebentar lagi ayahnya akan balik dari surau.
“Atiqah pergi panggil Nenek, Along
dan Atif. Atuk balik nanti kita boleh terus makan.” Kata Fazira. Atiqah
mengangguk lalu keluar dari ruang dapur. Tidak lama kemudian, Alif dan Atif
masuk ke ruang dapur dan segera mencuci tangan tanpa disuruh. Beberapa minit
selepas itu, Mariam pula masuk dan duduk di meja makan. Wajahnya nampak biasa.
“Siapa telefon tadi, mak?” tanya
Liyana yang sudah lama duduk di kerusi sambil mengusap perutnya.
“Adik mak, Mak teh Sakinah. Dia
telefon nak bagitau Haliza nak kahwin hujung bulan depan.” Terang Mariam
ringkas dengan nada yang agak mendatar.
“Haliza nak kahwin? Bukan ke budak
tu baru habis SPM?” Liyana nampak terkejut. Siapa yang tak terkejut, dia
sendiri pun berkahwin pada usia 26 tahun. Fazira hanya mendengar sambil menuang
air ke dalam gelas.
“Dah orang masuk minta, kahwin je
la. Kenapa nak tolak jodoh?” Suara Mariam agak meninggi. Matanya juga nampak
tajam. Alif dan adik-adiknya hanya diam, tertunduk.
“Bukan macam orang tu, dah ada
tunang tapi tak tahu nak jaga.” Mata Mariam sudah menjeling Fazira. “Ntah sial
jenis apa yang melekat. Tunang hilang ntah ke mana, alih-alih dapat berita dah
berkahwin dengan anak penghulu. Buat malu saja.” Mulut Mariam sudah melalak.
Fazira hanya menadah telinganya. Tangannya masih belum berhenti membuat kerja.
Hatinya yang sakit, hanya DIA saja yang tahu.
“Tak baik mak cakap macam tu. Benda
tu kan dah lepas.” Liyana cuba membela adik iparnya. Rasa kesal terbit di hati
kerana bertanyakan soalan pada mertuanya.
“Kau diam! Aku bukan cakap dengan
kau.” Tengking Mariam agak lantang. Liyana sedikit terkesima. Dia mengeluh
lemah. Bukan dia tak kenal perangai mertuanya. Kalau naik angin, air laut di
Kutub Utara pun belum boleh menyejukkan hatinya yang panas menggelegak. Mariam
masih menjeling tajam ke arah Fazira. Dia ingin meneruskan sesi ceramah tidak
bertauliahnya tetapi terpaksa ditunda selepas telinga terdengar satu suara
memberi salam.
Fazira berjalan pergi meninggalkan
ruang dapur. Buat sementara waktu, hatinya lega kerana tidak perlu berdepan
dengan perlian berbisa dan jelingan maut ibunya. Selak pintu depan dibuka.
Sebaik saja pintu dikuak, Ghazali sudah berdiri dengan senyuman.
“Dah habis masak?” tanya Ghazali sebaik
saja melangkah masuk ke ruang tamu.
“Semuanya dah masak. Kami cuma
tunggu ayah balik.” Jelas Fazira dengan senyuman yang manis. Tangan ayahnya
dicium lama. Fazira memang gembira setiap kali menyambut kepulangan ayahnya.
Kenapa? Sebabnya... Mariam takkan berani bersuara bila berhadapan dengan
Ghazali. Kehadiran ayahnya sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan yang
dialaminya.
Fazira duduk termenung di birai
katilnya selepas selesai solat Isyak. Tangannya memegang sekeping gambar lama
dan ada kesan terbakar pada sisi gambar. Imej pada gambar itu juga sudah kabur.
Walaupun imej pasangan suami isteri masih kelihatan, namun yang nampak hanyalah
bahagian bahu dan leher. Wajah mereka pada gambar itu langsung tidak dapat
ditafsir oleh matanya. Fazira mengeluh kecil.
“Abah... ibu... Zira rindukan abah
dan ibu.” Fazira bersuara lembut. Tanpa dipinta, air jernih mengalir turun
membasahi kedua pipi putihnya. Gambar itu diletakkan pada dadanya lantas
tubuhnya dipeluk erat. Dia tertunduk dengan bahu yang terhinjut-hinjut menahan
sebak. Tersentak dia bila terdengar seseorang mengetuk pintu biliknya.
Tangannya pantas mengusap kedua pipi. Lampu ditutup. Serta-merta biliknya
menjadi gelap tetapi masih samar bertemankan lampu jalan. Dia membuka pintu.
“Mak ngah...” panggil Atiqah sebaik
saja pintu bilik terbuka. Gadis comel itu berdiri di depan pintunya sambil
memeluk bantal busuknya. “Adik nak tidur dengan Mak ngah.” Rengeknya manja.
Fazira sudah tersenyum.
“Mari masuk sayang.” Sahut Fazira
lembut. Atiqah tersenyum lebar seraya melangkah masuk. Dia melompat naik ke
atas katil bersaiz queen. Selimut ditarik menutupi tubuh kecilnya. Belum sempat
Fazira bergerak ke katilnya, pintu diketuk sekali lagi. ‘Sah. Mesti Atif.’
Bisik hati Fazira. Bila pintu terbuka, dia tersenyum lebar melihat Atif berdiri
sambil memegang bucu bantal busuknya.
“Atif nak juga.” Kata Atif manja.
Kedua tangannya diangkat meminta Fazira mendukungnya. Fazira menggeleng dan
mendukung Atif masuk ke dalam biliknya. Beginilah setiap malam, Atiqah dan Atif
akan bertandang ke biliknya untuk tidur bersama. Alif sudah berhenti tidur
dengannya sejak 3 tahun lepas. Mungkin dia sudah mula rasa segan.
“Mak ngah tidur di tengah. Macam
tu, bolehlah adik dengan Atif share Mak ngah.” Kata Atiqah lancar sambil
menepuk-nepuk bantal untuk Fazira. Dia hanya mengikut kehendak anak saudaranya.
Fazira tidak terus tidur sebaliknya dia mendodoikan mereka berdua hinggalah
mereka tidur. Selepas beberapa minit, Atif terlelap tetapi bukan Atiqah.
Tiba-tiba saja dia mengajukan soalan pada Fazira.
“Mak ngah.., kenapa nenek selalu
marah Mak ngah?” tanya Atiqah manja dengan suara yang perlahan kerana tidak
mahu mengejutkan adiknya. Fazira sudah menelan liur. Pahit. “Kenapa nenek benci
sangat dengan Mak ngah?” tanyanya lagi. Fazira diam sejenak, cuba mencari
jawapan yang sesuai.
“Mungkin sebab... masa kecik-kecik
dulu, Mak ngah nakal. Sebab tulah nenek marah.” Jawab Fazira juga perlahan
dengan tangan yang masih menepuk lembut Atif.
“Tapi.., tu kan dulu... masa Mak
ngah kecik-kecik. Sekarang Mak ngah dah besar. Mak Ngah baik.., dah tak nakal.
Kenapa nenek masih marah? Atiqah benci nenek sebab nenek selalu cakap benda
yang Cikgu larang cakap masa di sekolah.” Omel Atiqah panjang lebar. Fazira
hanya mendengar sambil menahan sebak. Tidak sangka selama ni, anak saudaranya
memasang telinga setiap kali dia dimaki-hamun. Siapa yang tidak dengar suara
ibunya setiap kali melalak. Tak payah pakai pembesar suara. Sekali menjerit,
jiran sebelah pun boleh dengar dengan jelas. Fazira mengeluh berat.
“Sebab tulah Adik kena jaga
perangai dari sekarang. Dengar cakap mak dan ayah, buat kerja bila disuruh dan...
jangan sesekali menjawab bila kena marah. Barulah mak ayah sayangkan Adik macam
Mak ngah sayangkan Adik.” Balas Fazira sambil mengeletek pinggang si Atiqah.
Terkekek-kekeklah Atiqah ketawa kerana tidak tahan geli.
“Ssyy....nanti Atif bangun.” Fazira
menekan jari telunjuk dibibir. Atiqah sudah menutup mulut. Mereka ketawa
perlahan.
“Mak ngah...” panggil Atiqah lagi,
manja.
“Ya, sayang.” Fazira masih melayan
walaupun kelopak matanya sudah terasa berat.
“Adik doa... suatu hari nanti Mak
ngah akan jumpa seorang ibu yang baik.., cantik dan penyayang. Macam Mak ngah.”
Kata Atiqah seraya mengeratkan pelukannya di pinggang Fazira. Terkedu Fazira
seketika selepas mendengar kata-kata si kecil tadi. Tidak sangka budak sekecil
Atiqah juga boleh berfikir sepertinya. Ubun-ubun si kecil dicium lama.
“Amin...” kata Fazira perlahan.
Atiqah tersenyum comel walaupun matanya sudah tertutup.
------------BAB 5------------
Fazri tergesa-gesa berjalan masuk
ke tempat wuduk untuk mengambil wuduk. Dia agak lambat ke masjid untuk solat
Zohor kerana urusan pejabat. Dia sedar akan kealpaanya. Urusan akhirat lebih
penting jika dibandingkan dengan urusan dunia, itulah pesanan bapanya sebelum
dia berpindah ke Pekan Juntai.
Kaki seluarnya segera dilipat
hingga ke paras betis. Kepala pili dibuka lantas dia segera membasahkan kedua
tapak tangannya. Seorang lelaki agak berumur berdiri di sebelah berbuat perkara
yang sama. Mata Fazri terkebil-kebil melihat wajah lelaki di sebelahnya. Dia
kenal akan lelaki itu. Lelaki itulah yang pernah bersembang dengan gadis
idamannya, siap dapat ciuman manja lagi. Perasan sepasang mata sedang
merenungnya, secara automatik bibir lelaki itu menguntum senyuman yang manis.
Fazri sekadar tersenyum beserta
sengihan kantoi kerana terlalu serius merenung lelaki itu. Selesai mengambil
wuduk, Fazri masuk dan berdiri di sebelah lelaki tadi. Sebenarnya dia sengaja
berbuat demikian kerana ingin menggunakan peluang yang ada untuk mengenali
lelaki itu. Jemaah agak kurang kalau dibandingkan dengan waktu Maghrib dan
Isyak
Selepas beberapa minit, solat
berjemaah selesai. Fazri masih duduk sambil menadah tangan seraya berdoa
panjang. Lelaki tadi juga melakukan perkara yang sama. Kemudian, wajahnya
diraup kedua tapak tangannya. Dia menoleh ke kanan dan bersalaman dengan lelaki
tadi. Masing-masing berbalas senyuman.
“Maaf, Pak cik bertanya. Anak ni...
baru berpindah ke sini?” tanya Ghazali. Fazri sudah tersenyum.
“Taklah baru sangat tapi saya dah
tinggal di sini lebih kurang dua bulan lebih.” Balas Fazri sopan. Mereka sudah
berjalan menuju ke pintu utama masjid.
“Dah lama rupanya. Pak cik tak
perasan pula. Kamu selalu datang solat di masjid ni?” tanya Ghazali lagi.
“Ya. Saya selalu nampak Pak cik
duduk di saf depan sebelah Imam Yusoff setiap kali hari Jumaat.” Jelas Fazri
lagi. Lelaki itu ketawa kecil.
“Ya ke? Sebelum ni..., tinggal di
mana dan macam mana boleh pindah ke pekan ni?” soal Ghazali lagi, mengalahkan
polis. Fazri tersenyum lagi.
“Sebelum ni saya tinggal di Kuala
Lumpur. Syarikat di Kuala Lumpur hantar saya untuk bertugas di cawangan baru di
sini.” Terang Fazri pula. Ghazali mengangguk tanda faham. “Boleh saya tahu nama
Pak cik?” tanya Fazri pula penuh santun walaupun teragak-agak.
“Oh! Nama Pak cik.., Ghazali. Orang
kat sini panggil Pak long Zali.” Balas Ghazali ringkas beserta senyuman yang
manis. “Pak cik buka restoran kecil di sebelah masjid ni.” tambahnya lagi.
Fazri mengangguk faham.
“Nama saya Muhammad Fazri Alias. Panggil
saja Fazri.” Balas Fazri juga mengukir senyuman yang sama. Ghazali nampak
terkejut.
“La... nama kamu macam nama anak
Pak cik.”
“Anak Pak cik?” Fazri hanya
berpura-pura sedangkan dari awal dia sudah mengagak Ghazali adalah ayah kepada
gadis idamannya.
“Ya. Anak perempuan Pak cik.
Namanya Nurliana Fazira.”
‘Sah..!! Memang ayah dia.’ Jerit
hati Fazri. Tahap kegembiraan yang bukan kepalang. ‘Ya ALLAH, kau lancarkanlah
pula hubungan aku dengan Pak cik Ghazali. Amin.’ Doanya pula.
Seusai solat Isyak, Fazri duduk di
birai katilnya. Dia termenung seketika kemudian bibirnya merekah membentuk
senyuman yang lebar. Dia menjatuhkan badannya ke belakang. Tangan kanannya
diletakkan di dahi. Senyuman tadi masih kekal terukir malah makin lebar.
“Fazira...” Bibirnya bergerak
lembut menyebut nama gadis idamannya. Lantas, kotak ingatannya memainkan semula
babak-babak yang berlaku petang tadi. Dia ketawa kecil. “Kalaulah waktu boleh
berhenti setiap kali kita bertemu.”
Tepat jam 5.45 petang, matanya
terpandang kelibat seorang gadis bertudung litup dan berbaju kurung moden
sedang mundar-mandir di sebelah kereta Estima hitam sambil menekup telefon di
telinganya. Fazri yang membonceng motosikal segera memberhentikan motornya di
belakang kenderaan tadi. Tongkat diturunkan kemudian helmetnya pula
ditanggalkan.
“Assalamua’laikum.” Ucap Fazri
lancar. Dia turun dari motornya dan berjalan perlahan ke arah gadis tadi yang
sedang membelakanginya. Entah kenapa, tiba-tiba jantungnya berdegup kencang
sebaik saja melihat belakang gadis itu.
“Waa’laikum salam.” Jawab gadis itu
lembut seraya menoleh. Pandangan mereka bertaut. Kedua-dua insan itu terkaku
dan saling memandang dengan mata yang membesar kerana terkejut.
“Awak?” Mereka berdua bersuara
serentak. Mata saling menatap. Lantas, Fazira mengalihkan pandangannya. Telefon
pula sudah dialihkan dari telinga.
“Kenapa awak berhenti? Kereta awak
rosak?” tanya Fazri agak bertalu. Fazira nampak seperti serba salah untuk
memberitahu. “Cakaplah. Mungkin saya boleh tolong.” Tambah Fazri lembut. Fazira
mengetap bibirnya.
“Tayar belakang... pancit.” Balas
Fazira perlahan sambil menuding jari telunjuknya pada tayar belakang sebelah
kiri. Pancit rupanya. Fazri tersenyum.
“Kalau macam tu, biar saya tolong
tukarkan.” Kata Fazri seraya menanggalkan tali lehernya kemudian melipat lengan
kemejanya hingga ke paras bawah siku.
“Tak menyusahkan ke?” tanya Fazira
pantas. Dia gelabah semacam.
“Tak apa. Saya tolong awak hari ni,
mungkin esok lusa awak boleh tolong saya pula.” Balas Fazri dengan senyuman
yang manis. Fazira diam seribu bahasa. Tanpa membuang masa, Fazri memulakan
upacara menukar tayar kereta. Selepas tayar yang pancit dikeluarkan, dia
kembali bersuara.
“Ini... kereta siapa?” Fazira yang
dari tadi asyik memandang ke arah jalan segera menoleh.
“Kereta... ayah.” jawab Fazira
ringkas. Lantas, wajah Ghazali menerjah masuk ke ruangan minda Fazri. Dia
tersenyum.
“Kereta ayah? Mana kereta awak?”
tanya Fazri. Bukan niatnya untuk menyibuk tetapi sekadar ingin berbual kosong
dalam masa yang sama dia ingin mengenali gadis itu dengan lebih mendalam.
“Ada... di rumah.” Jawab Fazira
seperti acuh tak acuh. Fazri sudah tersenyum. Mungkin dia fikir aku ni jenis
yang suka menyibuk. Getus hati Fazri.
“Maaflah kalau soalan saya tadi
buat awak fikir saya jenis yang suka menyibuk.” Kata Fazri jujur. Gadis itu
nampak terkesima. Fazri tersenyum kerana mungkin betul andaiannya tadi. “Bukan
apa, saya jenis yang suka bersembang kalau buat kerja seperti ni.” Tambah Fazri
tanpa memandang Fazira.
“Jadi.., di pejabat pun awak memang
suka bersembang kalau buat kerja.” Kata Fazira pantas. Fazri tersentak. Di
pejabat..? Maknanya.., dia pernah nampak aku dalam syarikat tu. Tak sangka, dia
juga jenis yang berani menjawab rupanya.., bisik hati Fazri. Dia merenung gadis
itu sambil tersenyum dengan hati yang sudah berbunga bahagia. Fazira segera
melarikan anak matanya. Jelas sekali dia nampak malu.
“Saya kata saya suka bersembang
bila buat kerja macam ni, bukan kerja pejabat.” Fazri sengaja membalas untuk
melihat reaksi Fazira. Gadis itu hanya diam sambil melemparkan pandangan ke
jalan raya. Malu agaknya. Bisik hati Fazri. Dia ketawa kecil tetapi cukup jelas
kedengaran di telinga Fazira. “Awak dari mana nak ke mana?” tanya Fazri lagi.
“Dari rumah nak ke sekolah.” Fazira
masih mahu menjawab soalannya. Mungkin ingin menjaga hatinya.
“Ada apa di sekolah?”
“Nak ambil anak.” Balas Fazira
pantas dengan nada malas. Kening Fazri sudah terangkat tinggi.
“Apa dia?! Anak?” Fazri terkejut.
Tangannya sudah berhenti bekerja. Memanglah dia terkejut. Tak mungkin gadis
idamannya sudah berkahwin. Kalau betul, punahlah segala harapan dan impian yang
dia bina sendirian selama ini.
“Saya kata anak?” Fazri mengangguk
pantas.
“Tak... maksud saya... anak
saudara. Nak ambil anak saudara saya.” Fazira memperbetulkan ayatnya tadi.
Mukanya yang sedia putih sudah bertukar kemerahan. Fazri tersenyum lagi. Dalam
diam, Fazri sudah menghela nafas lega. Dia ketawa melihat kelakuan gadis itu.
“Kenapa awak ketawa?” tanya Fazira dengan jelingan yang tajam tetapi nampak ayu
dan menawan di matanya.
“Tak ada apa cuma... gaya gelabah
awak memang... comel.” Balas Fazri selamba sambil menggolek tayar pancit tadi
ke belakang. Fazira pula nampak tergamam.
Fazri kembali semula ke dunia
nyata. Senyuman tadi masih terlakar di bibir nipisnya. Insiden petang tadi
merupakan insiden yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sebelum berpisah, Fazira
menghadiahkan senyuman yang paling manis yang tidak pernah ditatap matanya
sebelum ini. Manis dan menawan. Dia meraba dadanya. Degupan jantungnya sudah
kencang. ‘Ya ALLAH, kalau dia adalah jodoh aku, kau makbulkanlah doa-doa yang
aku pohon pada-Mu selama ni. Amin.’ Selepas beberapa minit, dia terlelap sambil
ditemani bayangan senyuman si gadis idaman.