Wednesday, 12 September 2012

Bersatu Selamanya - 62


------------BAB 62------------
 “Richie..?! Apa you buat di sini?” Erin keluar dengan mata melingas kiri dan kanan. Lelaki muda berketurunan Cina yang masih setia terpacak di depan pintu pagarnya tersengih panjang. Mata nakalnya sudah melekat pada perut Erin.
“Wow, what happen to you..?” Tanya Richie dengan suara sinis. Erin menjeling geram.
“You nak apa..?!” Tanya Erin agak kasar. Cuak dia dengan kedatangan lelaki Cina itu atau lebih tepat bekas kekasihnya.
“Tak nak jemput I masuk dulu ke?” Richie tersenyum nakal. Erin mendengus tetapi tetap dibuka pintu pagar untuk lelaki itu.
“Macam mana you tahu I tinggal di sini..?” Erin duduk perlahan di sofa dengan jelingan yang sama. Richie tersenyum lebar.
“I have my sourses. I terjumpa Kelly dan dia beritahu yang you dah balik ke Malaysia. So.., I pun datang ke sini untuk cari you.” Jelas Richie sambil menyandar santai. Matanya tetap tertumpu pada raut Erin.
“Untuk apa you datang cari I?”
Kali ini, senyuman lelaki Cina itu semakin melebar. Dia bangun dan melutut di hadapan Erin. Kedua tangan Erin ditarik dan dikucup penuh kelembutan. Erin sedikit terpana. Anak mata tidak mampu bergerak, seolah-olah diikat dengan renungan menggoda Richie.
“I miss you so much, baby. Why did you leave without saying goodbye?” Richie berucap manja. Erin masih terkedu. Terkebil-kebil matanya cuba berbalas pandang dengan lelaki itu.
Richie O’Brian, lelaki Cina berdarah Belanda yang berasal dari Singapura. Erin bertemu dengan lelaki itu ketika masih belajar di luar negara. Disebabkan lelaki itulah, Erin berhabis duit semata-mata untuk kelihatan cantik dan anggun sentiasa. Memang tidak percaya kerana Richie boleh jatuh cinta padanya dengan begitu mudah.
Erin menarik kembali kedua tangannya.
“You sendiri tahu sebabnya. Keluarga you tak sukakan I. Mereka upah orang cari I dan ugut I. Nasib baiklah ada yang sanggup membantu.” Bohong Erin sedangkan dia dikejar kerana lari dari teman tidurnya. Cerita dia diugut oleh kedua orang tua Richie itu juga betul kerana mereka mengugut akan mendedahkan identitinya dan mungkin akan menamatkan riwayatnya jika dia terus mendampingi anak lelaki mereka.
“I tak tahu pun pasal tu.” Richie nampak terkejut.
“Memanglah you tak tahu sebab you tak pernah ambil tahu!” Suara Erin agak meninggi.
“I’m sorry baby. I promise, I won’t let it happen again.”
“Sudahlah. Lupakan I dan... cinta kita. I dah ada kehidupan sendiri. You pun patut mulakan hidup sendiri.”
Erin cuba bangun dalam kepayahan. Richie pula terkesima. Pantas, dia menghalang Erin dan memegang erat lengan Erin. Mukanya sedikit menyinga. Tanpa berfikir panjang, dia menolak tubuh Erin hingga terbaring dan bibir nipis itu dikulum rakus.
Erin yang terkejut terus menolak tubuh sasa Richie namun disebabkan terlalu mendambakan belaian dan sentuhan seorang lelaki, akhirnya Erin tewas. Dia membalas cumbuan Richie membuatkan Richie makin terangsang. Perut boyot Erin langsung tidak menghalangnya dari terus melempiaskan nafsunya. Aksi ranjang mereka terus berlarutan di atas sofa hinggalah loceng pintu berbunyi lagi.
Erin yang terkejut dan gelabah, segera menolak tubuh Richie dengan kasar. Kemudian, Richie ditarik masuk ke bilik tidurnya.
“Jangan berani keluar. Kalau tak, you takkan jumpa I sampai bila-bila.” Ugut Erin keras. Richie nampak terpinga-pinga. Pintu bilik tertutup rapat.
Sebelum bergerak ke pintu, dia mengamati keadaan dirinya di cermin. Segera dikesat gincu yang sudah comot akibat bibir kasar Richie. Rambutnya juga sempat disisir rapi. Dia menarik nafas panjang sebelum membuka pintu. Sebaik saja pintu dibuka, sekali lagi dia terpaku dengan mata terkebil-kebil. Rasa terkejut dan gemuruhnya sedikit sebanyak hilang.
“Boleh saya masuk?” Pinta Fazira lembut. Dia tersenyum dalam paksa. Jantungnya bagai direntap selepas melihat keadaan Erin. Sayat hatinya melihat perut Erin yang membesar. Namun dikuatkan jua jasadnya untuk terus berdiri di situ.
Erin terjaga dari lamunan singkatnya. “Maaf. Fazri tak ada di rumah.”
“Saya tahu..., saya datang untuk berjumpa awak.” Fazira menarik nafas dalam. Erin diam seketika. Pintu pagar dibuka dan Fazira dijemput masuk. Mereka bergerak ke ruang tamu. Richie sudah mencuri lihat dan menelinga dari celahan pintu yang dikuak sedikit.
“Duduklah dulu. Saya sediakan air...”
“Tak perlu. Saya tak boleh lama di sini.” Langkah Erin mati dan dia kembali duduk. Suasana sunyi seketika. Mulut masing-masing masih terkunci rapat.
“Dah berapa bulan..?” Akhirnya, Fazira bersuara juga selepas mengumpul tenaga yang tidak seberapa.
“Dah nak masuk lapan bulan.., sepasang.” Jawab Erin bangga sambil mengusap lembut perutnya.
“Kembar?!” Fazira terkejut besar. Erin mengangguk dengan senyuman sipu.
YA ALLAH..! Fazira mengucap panjang dan beristghfar. Hati dan jantungnya sama pedih, sama sakit namun ditahan jua. Fazira tertunduk lemah namun tidak begitu ketara riak kecewa yang terukir pada wajahnya.
“Macam mana awak tahu tentang kandungan dan alamat rumah saya?” Erin bertanya lembut sedangkan hatinya ketawa lantang melihar air muka madunya. Tidak sabar rasanya untuk memulakan drama sebabaknya.
Fazira menarik nafas dalam.
“Abang Fazri beritahu...” Bohong Fazira. Erin pula jungkit kening. Macam tak percaya. “Dia tak benarkan saya datang melawat sebab...”
“Dia takut awak kecil hati.” Erin memintas laju. Fazira sedikit tersentak.
“Dia cakap macam tu?” Tanya Fazira takut-takut. Sekadar ingin tahu.
Erin mengangguk lembut. Air mukanya masih beralun ayu.
“Dia takut awak kecil hati sebab... awak dan dia dah lama kahwin tapi masih tak ada berita gembira yang boleh dikhabarkan pada sesiapa.” Lancar saja Erin bertutur. Langsung tidak mempedulikan perasaan orang yang mendengar. Baginya, memang tidak penting pun kerana yang pasti dia mahu Fazira faham dengan apa yang bakal disampaikannya sebentar lagi.
Fazira terdiam seribu bahasa. Hatinya semakin sayat. Rasa perit yang tidak tertanggung lagi. Dia perlu beredar sebelum semangatnya yang makin rapuh, terus hancur dan lebur. Ketika dia ingin membuka mulut, Erin pula bersuara.
“Abang nampak gembira sangat. Saya tahu dia gembira sebab saya boleh rasakannya setiap kali dia belai mereka. Tapi..., dia tak tunjuk perasaan tu. Dia macam takut-takut. Semalam dia ada datang. Dia temankan saya tidur. Dia cakap dia rindu sangat nak rasa babies bergerak.” Tutur Erin sambil mengusap perutnya lagi. Bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman bahagia.
Jantung Fazira tersentap lagi, bagai terkena renjatan elektrik. Tangan sudah menekan dada yang sakit. Matanya pula mula bergenang. Dia takut. Sungguh dia takut. Tubuhnya juga sudah mula menggeletar. Jadi, tahulah dia ke mana dan di mana Fazri menghabiskan waktu malamnya.
“Maaf.., saya balik dulu.” Fazira bingkas bangun. Tidak sanggup lagi menadah telinga dengan kata-kata Erin yang boleh diumpamakan seperti pisau berkarat yang menghiris hatinya.
Erin agak terkejut dengan reaksi spontan Fazira, segera mencengkam tangan Fazira. Kejap dan kuat.
“Saya merayu pada awak...!” Langkah Fazira mati serta-merta. Mata perangnya bertembung dengan mata coklat yang sudah bergenang dengan air mata. “Lepaskan Fazri. Jangan menyeksa dia lagi.”
Terkesima Fazira mendengar rayuan Erin.
“Apa awak cakap ni?!” Fazira cuba melepaskan genggaman tangan Erin namun gagal apabila kedua belah tangan Erin sudah mencengkam erat pergelangan tangannya. Air mata palsu Erin mula mengalir turun.
“Fazri tak mampu beri kasih sayangnya pada anak-anak ni sebab dia risaukan awak. Dia takut awak akan terasa hati. Saya merayu pada awak... lepaskanlah Fazri. Kasihankan anak-anak ni. Mereka perlukan kasih sayang dari seorang ayah. Tak kasihankah awak dengan anak-anak ni? Mereka tak bersalah... langsung tak tahu apa-apa...” Erin meraung tanpa sedar. Fazira semakin resah. Takut lebih tepat. Kakinya kembali melangkah ke pintu walaupun Erin masih menggenggam tangannya.
“Saya tak kisah kalau tak dapat cinta dan kasih sayang Fazri..., tapi fikirkanlah tentang mereka. Mereka lebih perlukan Fazri.” Erin masih berucap dalam tangis. Tergerak hati liciknya untuk melakukan sesuatu.
Tangan Fazira ditarik dan dilekapkan ke perutnya. Terkejut dan tersentak Fazira tatkala terasa gerakan pada perut Erin. Pantas saja tangannya ditarik kembali. Seolah-olah tersentuh benda yang panas. Kakinya melangkah kembali ke pintu.
“Maaf sebab mengganggu.” Fazira berlalu pergi dengan linangan air mata yang jatuh berjurai tanpa henti.
Erin melihat kelibat Fazira hilang dengan senyuman yang lebar. Air mata palsunya dikesat penuh sinis. Puas hatinya. Biar Fazira tahu siapa yang lebih hebat dan lebih layak berada di sisi Fazri. Masuk saja ke dalam rumah, dia ketawa sepuas-puasnya. Dia menang. Dia berjaya merangkul trofi juara tanpa perlu mengerah tulang empat keratnya. Dia ketawa lagi, penuh rasa bangga dan gembira.
Richie keluar dari tempat persembunyiannya dengan air muka ingin tahu. “Who’s that?”
Tawa Erin sudah mati. “No one. You tak perlu tahu sebab tak penting bagi you pun.”
“I don’t think so. I mean... she’s quite a doll.”
Erin menjeling geram mendengar pujian miang Richie. Lelaki itu ketawa kecil.
“Setakat cantik tak ada maknanya... kalau dah ada gelaran mandul.”
“Ouch..!” Richie mengerut muka. “Seriously, who is she?”
Erin mula mendorong tubuh lampai Richie ke muka pintu. “Like I told you.., you tak perlu tahu. Sekarang I nak you keluar.”
“Please, baby. Give me one more chance.”
“Face it, Rich. Antara kita dah tak ada apa. Noktah. Titik. Jangan ganggu I lagi...”
Belum sempat Erin menghabiskan ayatnya, sekali lagi lelaki itu bertindak drastik. Bibir Erin dicumbu sepuas-puasnya. Erin yang sememangnya sedia lemah, langsung tidak melawan malah merelakan saja perlakuan sumbang Richie sehinggalah tubuhnya diangkat masuk ke dalam bilik tidur pun dia langsung tidak mengendah lagi.

Sampai di rumah, Fazira meluru ke bilik tidurnya. Badannya dihempas kasar. Raungan sayu mula kedengaran lantang. Fazira menangis semahunya. Hatinya sakit dan masih setia sakit sejak dari semalam lagi.
‘Padan dengan muka kau, Zira. Memang patut pun kau kena macam tu. Sekarang kau dah tahu kebenarannya, apa tindakan kau sekarang? Kau nak merayu, melutut depan Fazri supaya tak tinggalkan kau? Fikirlah sikit, Zira. Kau fikri dia akan terus simpan kau. Aku yakin, lepas anak-anak tu lahir... nama kau pun dia dah tak ingat...!’ Hati Fazira mengejek lantang.
Fazira segera menekup kedua telinganya.
‘Sekarang kau tahu kenapa dia menangis-nangis lepas balik dari rumah Erin... Dia menangis sebab dia geram dengan kau! Dia geram sebab kau.., dia tak boleh berikan kasih sayangnya untuk anak sendiri! Kau buat dia tersepit..., kau buat dia merana...!’
“TIDAAK...!!!!”
Fazira menjerit lantang. Kedua tangan masih melekap kemas di kedua telinga. Tidak sanggup lagi mendengar kata-kata nista yang keluar dari benaknya sendiri. Esakannya masih berlagu.
Apa yang perlu dia lakukan sekarang?! Perlukah dia berundur dan berikan peluang kepada Fazri dan Erin untuk mulakan hidup baru? Kalau begitu kesudahannya, dia sanggup. Fazri berhak untuk hidup bahagia, berhak punya zuriat sendiri.
Kata-kata Erin mula terngiang-ngiang dalam ruang mindanya. Tidak seperti Erin, dia boleh dikira bertuah kerana pernah merasai bahagia dibelai seorang insan bergelar suami. Dia sudah merasa bahagia kerana mempunyai keluarga yang lengkap walaupun tidak seperti yang diimpikan oleh sesetengah pasangan. Yang pasti, dia pernah merasa bahagia. Itu saja yang penting.
Fazira bangun dan duduk di birai katil. Dirinya sudah memasang tekad. Anggaplah dirinya bodoh atau pun gila, tapi apa yang bakal diputuskan nanti adalah untuk kebaikan semua. Dia akan pergi. Pemergian yang tidak akan kembali lagi. Dia akan memberi ruang kepada Fazri untuk mencurahkan semua kasih dan sayang yang pernah dimilikinya, kepada Erin dan bakal anak-anak mereka berdua.
Fazira menekan sesuatu di telefonnya kemudian bergerak ke almari lalu dikeluarkan bagasi besar. Kain baju miliknya diambil dan dimasukkan ke dalam bagasi termasuklah pakaian yang kemas berlipat. Sampul yang pernah disimpan di tempat itu jatuh tanpa Fazira sedar ketika dia sibuk menyumbat pakaiannya ke dalam bagasi. Sesudah selesai, matanya sempat menangkap sehelai baju melayu milik Fazri yang sentiasa dipakai setiap kali lelaki itu menunaikan solat.
Baju itu diambil dan dicium baunya. Fazira tersenyum sayu. Masih ada wanginya. Mujurlah dia tidak mencucinya pagi tadi. Selesai berkemas, dia ke bilik Fikri pula. Mustahil dia akan tinggalkan Fikri begitu saja. Fikri adalah anaknya dan dia akan bawa anak itu ke mana saja dia pergi.
Fazira segera memasukkan dua bagasi ke dalam boot kereta. Dia perlu cepat sebelum Liam muncul. Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat dilihat sekeliling rumah banglo dua tingkat itu. Di saat matanya meneroka segenap pelusuk laman, di saat itulah bayangan wajah bahagia bermain di ruang matanya. Tanpa sedar, air mata mengalir turun.
‘Maafkan Zira, Abang. Percayalah, apa yang Zira buat adalah untuk kebahagiaan Abang dan anak-anak Abang juga.’
Fazira masuk ke dalam perut kereta lalu menghidupkan enjin. Kereta mewah berwarna gangsa miliknya berlalu pergi dan menghilang.