------------BAB 61------------
Jarum jam mula menghampiri angka
empat. Ketika itu jugalah Fazira terjaga dari tidurnya. Di saat dia membuka
mata, dia terpaku. Wajah Fazri berada dekat dengan wajahnya. Malah, dahi mereka
juga sudah bersentuhan. Fazira bangun mengejut, serentak mengejutkan Fazri dari
tidur lenanya.
“Kenapa sayang? Dah masuk Subuh
ke?” Tanya Fazri dengan mata berpisat. Fazira masih terpatung. Keliru
sebenarnya. Seingatnya dia tertidur di bilik Fikri. Penat berendam air mata
dengan layanan dingin Fazri. Dia menyelak selimut untuk bangun.
“Hei.., nak ke mana ni?” Fazri
sempat menarik tangan isterinya.
“Zira... nak solat tahajjud.” Balas
Fazira ringkas. Serentak, Fazri memandang jam di atas meja sebelah. Dia
tersenyum pendek.
“Kita solat sama-sama, ya.” Cadang
Fazri. Fazira sekadar mengangguk dan melangkah laju ke bilik air. Fazri
tersenyum senget. Pasti Fazira masih terkilan dengan sikapnya semalam.
Fazri mengesot menghampiri Fazira
selepas selesai membaca doa untuk solat Subuh. Tangannya diraih dan cium lembut
seperti biasa. Belum sempat dia bersuara, Fazira bangun. Telekung ditanggal dan
disidai di penyangkut kemudian dia melangkah ke pintu. Fazri hanya melihat
sambil tersenyum sendiri. Barulah dia sedar betapa berbisanya rajuk Fazira.
“Sayang tak nak mengaji dulu?”
“Lepas solat Dhuha nanti.”
“Sayang..., boleh Abang cakap
sikit?” Fazri bersuara selembut mungkin. Langkah Fazira mati di depan pintu.
Dia menoleh perlahan memandang Fazri yang duduk di birai katil. Berkira-kira
juga sama ada untuk mengikut kemahuan Fazri atau rajuknya.
“Sayang...” Fazri masih memanggil.
Fazira mengalah. Dia melangkah lemah menghampiri katil lalu duduk di sebelah Fazri.
Tangannya ditarik dan dielus lembut. Sempat juga dikucup manja beberapa kali.
Fazira masih seperti tadi, diam seribu bahasa sedangkan hati sedikit sebanyak
terbuai dengan sentuhan Fazri.
“Sayang masih marahkan Abang..?”
“Patut ke Zira marah?”
“Sayang berhak untuk marah.” Fazri
merapatkan lagi jarak antara mereka. Dagu Fazira pula diangkat supaya
bertentang mata dengannya. “Kalau Abang bersalah, Abang minta maaf. Abang tak
berniat nak buat sayang...”
“Sudahlah.” Fazira menarik kembali
tangannya dan menepis tangan Fazri di dagunya. Fazri sudah terkejut. ”Janganlah
diungkit perkara semalam. Tak terdetik di hati Zira pun nak marahkan Abang.”
Dia bangun semula.
“Sayang nak ke mana?” Tanya Fazri
kalut.
“Nak ke dapur. Abang berehatlah.
Abang kerja kan pagi ni, petang nanti nak kena pulang ke rumah Erin pula. Zira
tak nak Abang penat bila sampai sana nanti.” Panjang lebar bicara Fazira. Fazri
hanya mendengar tanpa mencelah. Tahulah dia, luka isterinya yang sudah berparut
kembali terluka. Buat masa ini, biarlah rasa geram di hati isterinya hilang.
Kemudian, barulah dia mulakan sesi memujuk.
Di saat Fazri turun untuk
bersarapan, Fazira dan Fikri sudah sedia menunggunya di meja makan. Sesi
sarapan mereka agak sunyi dari hari biasa. Fikri sendiri perasan dengan
kebisuan yang sedang berlangsung. Wajah kedua ibu bapanya dipandang silih
berganti. Dahinya pula berkerut.
“Papa dengan mama... bergaduh ke?”
Bendul sahaja soalan yang
diutarakan. Fazri dan Fazira terkejut, kali ini mereka pula saling memandang.
“Kenapa Fikri cakap macam tu?”
Tanya Fazri selamba. Matanya sudah melirik ke raut isterinya.
“Fikri pelik. Selalunya waktu
sarapan, papa dan mama mesti bersembang, gelak-gelak. Tapi, hari ni senyap la
pulak.” Tambah Fikri dengan mulut separuh penuh. Kali ini, Fazira pula mencuri
pandang raut Fazri.
“Kami tak bergaduh, sayang. Cuma...
tak ada perkara menarik yang nak disembangkan.” Jelas Fazira seraya bangun dari
kerusinya dan bergerak ke sinki. Fazri menjadi tumpuan Fikri pula. Fazri
menjongket bahu sebaik saja melihat anak itu mengangkat kening. Fazira berlalu
ke bilik tidurnya meninggalkan mereka berdua.
Fazri dan Fikri menunggu Fazira di
pintu tetapi wanita kesayangan mereka tetap tidak muncul. Mereka bergerak naik
ke tingkat atas. Apabila pintu dikuak, dilihat sekujur tubuh sudah terbaring
mengiring di atas katil. Fazri kalut dalam pelik. Dia segera mendekati birai
katil manakala Fikri sudah melompat naik ke atas katil.
“Sayang...” Panggil Fazri lembut.
Resah hatinya bila Fazira langsung tidak memberi sebarang respon. Sakitkah
isterinya atau masih merajuk tentang hal semalam?
“Mama...” Kali ini, Fikri pula
bersuara. Bahunya pula dihinjut lembut. Serentak, Fazira tersedar dari tidur.
Terkebil-kebil dia melihat dua insan sedang menatapnya tanpa kelip.
“Sayang tak sihat ke?” Fazri
bersuara sambil meletakkan belakang tangan di dahi Fazira.
“Taklah..” Fazira mengelak lembut
lalu bangun dari baringannya. “Cuma... kepala ni rasa berat semacam. Mungkin
tak cukup tidur.” Jelas Fazira sambil menyelak rambut yang menutup mata.
“Kita pergi klinik, ya?” Cadang
Fazri. Hatinya masih dirudung rasa risau melihat alis mata Fazira yang nampak
layu, tidak bermaya.
“Tak payahlah. Bukannya pening
sangat. Zira cuma terlelap tadi. Letih agaknya.” Jelas Fazira lagi, kedengaran
lemah. “Tolong minta Liam hantarkan Fikri ke tadika, boleh?”
“Fikri boleh cakap sendiri. Mama
berehat, ya. Fikri pergi dulu.” Fikri meraih tangan mamanya lalu dicium lembut.
Kedua pipinya juga turut dicium manja. Tidak dilupa pada papanya. Perkara yang
sama diulang pada papanya. Fikri beredar meninggalkan mereka berdua. Anak itu
juga tahu berasa risau selepas melihat keadaan mamanya.
“Abang temankan sayang di rumah
hari ni, ya.” Fazri tiba-tiba bersuara. Fazira pula jadi tak keruan. Kalau
Fazri ada di rumah, rancangannya akan tergendala. Rancangan yang mungkin akan
membuka kembali luka yang sudah berparut.
Semalam dia sudah bertekad untuk
memastikan kesahihan tentang gambar-gambar yang dikirim kepadanya tempoh hari.
Dia perlu tahu kerana selagi dia tidak bertindak selagi itulah dia terasa
seperti diperbodohkan oleh Fazri. Dia juga sudah bersedia untuk sebarang
kemungkinan yang bakal melukakan hati wanitanya.
“Kan Zira cakap tak payah. Zira
cuma perlukan rehat. Lepas tidur, Zira nak ke butik sekejap. Abang pergilah kerja,
jangan risaukan Zira. Pandailah Zira jaga diri.” Fazira mempertahankan
pendiriannya. Rancangannya perlu dilaksanakan tidak kira apa pun yang bakal
berlaku nanti.
“Suami mana yang tergamak biarkan
isterinya yang tak sihat duduk seorang diri di rumah.”
“Abang..., Zira tak sakit cuma
perlukan rehat. Tu saja. Zira rasa ada baiknya kalau Abang pergi pejabat. Kalau
tak pergi nanti, makin bertimbun pula kertas kerja yang perlu dibuat. Lagi dua
minggu dah nak masuk tahun baru. Zira tahu Abang mesti tengah sibuk, kan?”
Fazira tepat meneka. Fazri terdiam. Kata-kata isterinya memang betul. Dia hanya
mampu mengeluh kecil.
“Abang pergi tapi ingat... kalau
ada masalah, cepat-cepat hubungi Abang. Pastikan Liam sentiasa ada bersama.”
Fazri menegas dengan muka seriusnya. Fazira sekadar tersenyum nipis.
“Abang pergi dulu.” Satu ciuman
melekat di dahi Fazira. Agak lama. Kemudian Fazri bangun dan bergerak ke pintu
bilik.
“Abang...” Langkah Fazri terhenti.
Dilihat isterinya bingkas dan menapak ke arahnya. “Tak nak special kiss ke?”
Perlawaan Fazira buat matanya meluas dan keningnya terjungkit. Kemudian, dia
tersenyum lebar.
“Boleh jugak.” Balas Fazri selamba
dengan lirikan mata yang nakal dan senyuman menggoda. Fazira tersenyum senang.
“Kenapa dengan kamu ni? Dari tadi papa
tengok, Azri asyik termenung saja. Masa dalam bilik mesyuarat pun sama. Azri
bergaduh dengan si Erin ke?” Tanya Faizzul panjang. Mereka berdua saja di dalam
lif menuju ke pejabat mereka berdua.
“Tak adalah. Azri tengah risaukan
Zira.”
“Kenapa dengan Zira? Dia merajuk
lagi?” Laju Faizzul bertanya.
“Entahlah. Perangai dia agak pelik
pagi tadi.” Mereka melangkah keluar dari lif, serentak.
“Pelik macam mana?” Kali ini, Fazri
terbisu seketika. Takkanlah perlu diberitahu pada papanya tentang kepelikkan
sikap dan cumbuan isteri sendiri pagi tadi dan juga semalam.
“Susah Azri nak cakap. Yang pasti
kelakuannya agak berbeza dengan hari-hari lain.” Jelas Fazri ringkas dan
diharap sangat papanya tidak akan terus bertanya.
Duduk saja di kerusi empuknya,
fikiran Fazri terus melayang. Dalam tidak sedar, jemarinya mula merayap ke
bibirnya.
Masih terasa sentuhan bibir
isterinya. Lembut dan mengasyikkan. Kepelikkan yang masih bermain di mindanya
ialah Fazira seolah-olah tidak mahu melepaskan bibir nipisnya. Biasanya dia yang
selalu berbuat begitu. Tetapi pagi tadi, mereka bercumbuan lebih lama dari
biasa. Baginya, semestinya memang mustahil untuk menolak layanan terlebih
istimewa isterinya.
“Zira cintakan Abang. Hanya Abang
seorang di hati Zira. Hanya Abang...”
Ucapan cinta isterinya bermain-main
di minda diselangi cumbuan berahi Fazira. Dia tersenyum lagi dengan mata sedia
tertutup rapat seraya menghela nafas lembut. Kalau boleh, dia mahu terus
terbuai dengan sentuhan itu pada setiap saat yang berlalu. Dia tersenyum sendiri,
nakal.
Isterinya memang istimewa. Wanita
itu punya cara tersendiri untuk buat dia angau sepanjang hari walaupun sudah
memegang gelaran suami. Giankah dia dengan cumbuan isteri sendiri..? Fazri
menggeleng beserta tawa kecil apabila terfikir yang dia mungkin sudah ketagih
dengan cumbuan isterinya. Entah apalah yang akan terjadi dengan dirinya jika
Fazira hilang dari hidupnya.
Erin bernyanyi riang di dapur. Dia
sibuk menyediakan makan tengahari. Senyumannya bertambah lebar tatkala
teringatkan pelukan dan kucupan lembut Fazri ketika lelaki itu datang mengejut
ke kondonya semalam. Langsung tidak diduga. Dia ketawa kecil. Dia yakin madunya
pasti cemburu tidak terkira jika mengetahui Fazri datang untuk berjumpanya
semata-mata ingin melihat keadaan dia dan anak kembar mereka.
Erin mengusap lembut ubun-ubunnya
sambil tersenyum lagi. Kali ini, dia benar-benar terasa puas. Fazri sudah mula
menerima dirinya termasuklah kembar yang sedang dikandungnya. Malah, hatinya
berlagu kepuasan kerana dia berkesempatan tidur bersama suaminya buat pertama
kali sepanjang dia bergelar isteri Fazri. Cuma menunggu masa sahaja sebelum
Fazri betul-betul jatuh ke tangannya.
Sedang dia sibuk menghidang
lauk-pauk yang dimasak di meja makan, loceng rumah berbunyi.
“Abang balik? Cepatnya.” Tanpa
berlengah, Erin menapak ke pintu. Dia melangkah penuh berhati-hati memandangkan
perutnya makin sarat dan tidak mahu apa-apa terjadi pada kandungannya dalam
masa terdekat ini. Buat masa ini, anak-anak itu adalah ‘tiket’nya untuk
merampas Fazri dari madunya.
Pintu dibuka tanpa menunggu.
“Awalnya Abang sampai..” Erin
bersuara ceria. Namun, rasa gembira dan terujanya hilang sebaik saja bersapa
pandang dengan seseorang yang tidak pernah terfikir akan terpacul di depan muka
pintu rumahnya. Matanya meluas, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.