Saturday, 8 September 2012

Bersatu Selamanya - 60


------------BAB 60------------
Fikri berlari mendapatkan ibunya di dapur. Sepucuk sampul surat coklat dipegang kemas.
“Mama... mama...!” Panggil Fikri teruja. Fazira yang sibuk di sinki sudah terkejut dengan laungan anaknya.
“Fikri.., kan mama pesan jangan lari.” Marah Fazira dengan nada yang lembut. Fikri tersengih comel seraya menghulurkan sampul bersaiz A4 kepada ibunya.
“Surat siapa ni?”
“Entah. Tapi, dekat situ tulis nama mama.”
Surat bertukar tangan.
“Mana Fikri tahu itu nama mama?” Fazira sengaja menduga anaknya.
“Fikri tahu eja nama mamalah.” Fikri angkat bakul sendiri. Fazira tersenyum lucu. Selepas menyerah surat tadi, Fikri kembali bermain di laman. Fazira pula kembali menyiapkan makan tengahari mereka. Sampul tadi dibiarkan saja di atas meja.
Fazira menanggalkan telekungnya lalu duduk di birai katil. Ketika dia bangun semula, matanya sudah menangkap sampul tadi. Berkira-kira untuk membuka sebenarnya. Entah kenapa hatinya terasa begitu berat untuk melihat isi kandungan surat tersebut. Bila memikirkan kemungkinan surat itu penting, tangannya segera mencapai.
“Pelik?” Itulah yang terkeluar dari mulut Fazira sebaik saja melihat kandungan sampul tersebut. Bukan terisi dengan surat tetapi beberapa keping kertas berupa gambar. Tangan diseluk lalu dikeluarkan kepingan gambar tadi.
Serentak juga, mata bulat Fazira meluas. Mulutnya dipekup. Dia terkejut. Terlalu terkejut hingga seluruh tubuhnya terkaku untuk beberapa minit kemudian dia jatuh terduduk di birai katil. Tangannya sudah menggeletar. Air hangat pula sudah berkumpul di empangan matanya, mengalir laju tanpa dipinta. Dia jadi bingung seketika. Bingung dengan apa dilihat oleh matanya.
Fazira mula tak keruan. Dia bangun dan berjalan berulang-alik di tepi katil sambil menggigit jari. Sesekali, rambutnya dikuak ke belakang. Sakit, kepalanya sakit. Hatinya pula pedih. Pedih lagi derita selepas matanya melihat imej-imej yang terpapar pada kepingan gambar-gambar tadi. Perasaannya semakin berkecamuk.
‘Apa maksud semua ni?! Kenapa Abang tak pernah beritahu Zira? Kenapa Abang sembunyikan semua ni dari Zira?! Kenapa?!!’
Terjaga dari persoalan hatinya, Fazira segera beristighfar panjang dan lama. Dia tahu, jerat dan bisikan syaitan mudah menyucuk masuk ke dalam hati yang sedang yang lemah dan keliru. Dia meraup wajahnya dan beristighfar lagi beberapa kali dan kembali duduk. Dia mematung seketika. Air mata masih bersisa di tubir mata. Telefonnya sudah berada dalam tangan. Perlukan dia menghubungi Fazri dan tanya tentang perkara itu?
“Tak... Zira percayakan Abang. Tak mungkin Abang akan buat macam ni. Abang dah janji takkan sakiti hati Zira lagi.” Fazira meyakinkan hati sendiri walaupun perasaan ragu-ragu makin menggunung.
Gambar-gambar tadi dikumpul dan dimasukkan semula ke dalam sampul. Dia agak terkejut kerana tertulis sesuatu dibelakang salah satu dari kepingan gambar itu. Gambar itu diambil dan disimpan dalam beg tangannya. Dia bergerak ke almari. Sampul tadi disimpan rapi di celah-celah baju yang berlipat. Sebelum menutup kembali pintu almari, matanya menangkap tiga buah album. Album yang menyimpan seribu satu kenangan ketika hari persandingan, hari kenduri, percutian bersama keluarga dan juga bulan madu mereka.

Hampir pukul sepuluh malam barulah Fazri sampai di rumah. Kertas-kertas kerja di pejabat disiapkan tanpa bertangguh kerana apabila sampai di rumah saja, dia ingin terus berehat tanpa perlu memikirkan kerja yang sudah sedia menunggu pada hari esok. Sebelum pulang juga, dia sempat singgah di rumah Erin. Sekadar menjenguk keadaan Erin yang kini makin sarat kerana membawa kembar.
Dia menapak laju menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya. Sebaik saja menguak pintu biliknya, dia tersenyum lebar. Fazira yang sudah lengkap bergaun tidur, duduk bersantai di atas katil dan nampak begitu asyik membelek sesuatu. Langsung tidak menyedari kepulangannya.
“Assalamua’laikum..” Sapa Fazri lembut. Fazira agak tersentak segera menoleh.
“Waa’laikum salam. Abang dah balik?” Fazira nampak teruja, mengesot laju turun dari katil dan mendekati Fazri. Terpinga-pinga Fazri apabila isterinya terus memeluknya dan bukan mencium tangan seperti biasa.
“Zira tak tahu Abang balik lambat hari ni. Maaf sebab tak tolong bukakan pintu untuk Abang.” Ucap Fazira masih erat memeluk tubuh sasa Fazri.
“Tak apa sayang. Salah Abang juga tak beritahu yang Abang balik lambat malam ni. Banyak sangat kerja tadi.” Balas Fazri seraya membalas erat pelukan isterinya. Mereka berpelukan. Lama.
“Zira rindukan Abang. Rindu sangat-sangat...” Fazira bersuara sayu sambil mengeratkan lagi pelukannya. Fazri sedikit terkedu. Bukan dengan bicara Fazira tetapi nada yang terkeluar tadi. Malah, gaya Fazira memeluknya juga agak berlainan dari sebelum ini. Seolah-olah mereka sudah lama tidak berjumpa.
“Abang pun rindukan sayang.” Fazri mengucup ubun-ubun Fazira beberapa kali. “Sekarang ni.., Abang dah ada depan mata, takkanlah rindu lagi.”
Fazira melepaskan pelukannya dan bertentang mata dengan Fazri. Sekali lagi, Fazri terkedu. Ada sesuatu yang tersirat di balik sinaran mata perang itu. Tanpa sedar, jemari halus Fazira sudah melata dan mengusap lembut wajah tampannya.
“Zira tak tahu kenapa, sejak siang tadi hati Zira asyik teringatkan Abang saja. Mata Zira pula asyik terbayangkan wajah Abang. Macam dah lama tak jumpa atau mungkin petanda... yang kita akan berpisah tak lama lagi.”
Tersentap Fazri mendengar bait-bait kata yang terkeluar dari bibir tebal itu. Pantas saja, dia mengulum rakus bibir tebal itu. Agak lama hingga isterinya tercungap.
“Jangan sesekali ungkap perkataan tu. Abang tak suka.” Fazri menegas. Fazira tertunduk malu. Dagu isterinya diangkat lembut. “Abang takkan tinggalkan Zira, takkan sesekali, faham? Abang janji.”
Fazira tersenyum segan. Fazri ditarik ke katil mereka lalu duduk di birai katil.
“Zira tengok apa?” Tanya Fazri lembut. Tangannya lincah menguraikan tali leher dan membuka setiap butang kemeja. Dia duduk di birai katil. Matanya pula sudah melekat pada album-album di atas katil.
“Album gambar masa kita kahwin.” Jelas Fazira yang masih berdiri di hadapan Fazri. Tangannya tidak terlepas dari genggaman tangan Fazri.
“Sayang tahu tak, lagi seminggu... genaplah setahun usia perkahwinan kita.” Kata-kata Fazri buat Fazira terpaku seketika. Matanya terkebil-kebil.
“Tak sangka kan.., pejam celik pejam celik dah masuk setahun. Rasa macam singkat sangat. Terlalu singkat...” Fazira membalas tenang. Kemudian, dia termangu seketika. Fazri sedar akan perubahan pada raut isterinya. Dia menarik Fazira rapat hingga terduduk isterinya di atas riba. Tangannya kemas melingkar di pinggang Fazira.
“Apa rancangan, sayang? Abang rancang nak bercuti dengan sayang. Kali ni kita pergi luar negara pulak.” Fazri mengucup manja bahu isterinya.
“Berapa lama?”
“Seminggu dua.” Fazri bersuara ceria melihat tindak balas Fazira. Fazira diam, seperti sedang berfikir.
“Macam mana dengan Erin?”
Hilang terus air muka teruja di raut Fazri. Nama yang disebut Fazira sebentar tadi seolah-olah merentap tangkai jantungnya. Fazri tertunduk manakala pelukan tadi terlerai. Fazira mula gementar dan takut. Namun, perasaan itu perlu ditahan. Kalau boleh, dia mahu semuanya terbongkar malam ini juga.
“Abang marah Zira sebut tentang Erin?” Fazira menarik wajah Fazri supaya mengadapnya. Wajah panjang Fazri jelas nampak hambar. “Abang marah ke?” Fazira masih memujuk manja. Fazri menggeleng lemah.
“Abang tak marah cuma...”
“Abang takut Zira kecil hati..?” Fazira mula berteka-teki. Fazri tertunduk manakala Fazira pula tersenyum nipis kemudian menarik nafas yang dalam. “Zira tak perlukan hadiah ulang tahun, barangan mewah dan semua tu. Yang Zira inginkan dari Abang ialah kasih sayang Abang.., keikhlasan cinta Abang... dan...” Fazira mula tersenyum nakal.
Dia mengubah posisi badannya, dari duduk ke sisi terus bertentangan dengan Fazri. Fazri pula nampak tergaman dengan aksi nakal lagi ghairah isterinya. Berderau darahnya tatkala lengan Fazira mula melilit lehernya malah dadanya juga sudah terhimpit rapat dengan tubuh langsing isterinya. Wajah mereka rapat hingga Fazri dapat merasa desahan nafas Fazira. Mata perang bertemu mata coklat. Kini, dia pula terasa gemuruh semacam. Naluri lelakinya sudah lama bergetar laju.
“...dan yang paling penting.., Zira mahukan kejujuran dari Abang. Zira tak mahu ada sebarang rahsia antara kita. Zira sanggup berkongsi rahsia Zira dengan Abang kalau itu galang gantinya.” Fazira berucap lancar tanpa tersekat. Dia sudah berterus-terang walaupun masih terselindung.
Fazri sudah menelan liur. Pahit dan payau. Anak matanya terketar-ketar di saat berbalas pandang dengan renungan tajam Fazira. Dalam diam, dia mula tak keruan. Otaknya keliru dan rasa takut mula beraja.
‘Zira dah tahu? Tak mungkin. Tapi..., tak mustahil. YA ALLAH.., takkanlah Zira dah tahu pasal Erin!’ Hati Fazri menjerit takut. Mulutnya pula seperti dijahit rapi. Jantungnya berdegup kencang.
“Zira sanggup, Bang. Sebab... Zira cintakan Abang...” Fazira bergerak perlahan menghampiri bibir nipis Fazri namun belum sempat bibirnya menyentuh bibir Fazri, lelaki itu mengelak.
Terkesima Fazira dengan tindakan Fazri namun tidak diukir perasaan itu pada wajahnya. Tidak pernah Fazri bersikap begini dengannya sebelum ini. Dia tersenyum nipis. Entah kenapa, dia malu sendiri. Dia bangun dan mengemas semula album-album gambar tadi dan disimpan semula di dalam almari.
Fazri pula masih terdiam dan memerhati kelakuan Fazira. Dia mengeluh dalam diam. Pasti isterinya terasa hati dengan tindakannya sebentar tadi.
“Abang mesti penat. Pergilah mandi lepas tu tidur, ya.” Fazira berucap ringkas kemudian bergerak ke pintu bilik.
“Sayang nak ke mana?” tanya Fazri laju. Dia sudah bangun mendekati Fazira yang terkaku di depan pintu.
“Zira tak ke mana cuma nak pergi tengok Fikri. Sejak Abang belikan dia permainan video tu, dia selalu tidur lewat. Abang pergilah bersihkan badan, nanti Zira datang balik, ya.” Fazira mengucup pipi kanan Fazri, lembut dan lama. Sempat dielus lembut pipi itu sebelum dia beredar pergi.
Fazri terkedu dengan kelakuan isterinya. Hatinya kembali resah. Persoalan yang sama kembali bertandang di benaknya. Adakah isterinya sudah mengetahui tentang hal Erin?
Selesai mandi dan solat, Fazri berbaring di atas katil. Matanya masih terbuka dalam erti kata lain, dia sedang menunggu isterinya. Sudah setengah jam berlalu namun kelibat Fazira masih belum muncul. Malas menunggu lama, dia bangun dan berjalan ke bilik tidur Fikri.
Tombol pintu dipulas kemudian dikuak perlahan. Suasana bilik bercahaya samar-samar dari lampu di sisi katil. Fazri mengeluh kecil sebaik saja melihat Fazira tertidur di sebelah Fikri. Pada mulanya dia ingin biarkan saja Fazira tidur dengan Fikri tetapi mengenangkan perbuatannya sebentar tadi, dia terus mencempung tubuh langsing isterinya lalu dibawa ke kamar mereka.
Tubuh Fazira diletakkan perlahan-lahan. Seperti biasa, lengan Fazri dijadikan bantal Fazira. Di saat itu juga, Fazira bergerak dan memeluk kemas pinggangnya. Fazri tersenyum senang. Ketika dia ingin menutup lampu, dia perasan sesuatu. Mata isterinya basah. Malah, bulu mata tebal itu juga nampak lencun.
‘Zira menangis?’ Hati Fazri berbisik. Di saat itu juga, hati Fazri sedikit terkilan. Terkilan dengan sikap dinginnya terhadap layanan Fazira. Rasa bersalah mula membuak-buak. Bersalah kerana melukakan hati isteri kesayangannya. Dahi Fazira dikucup beberapa kali. Tubuh langsing itu juga dipeluk seerat mungkin, seperti tidak mahu dilepas lagi. Diharap pelukannya dapat dirasa hingga ke alam mimpi.