------------BAB 1------------
Kaki panjangnya melangkah luas walaupun
berkasut tumit tiga inci. Peha putih gebu itu hanya tertutup dengan skirt
sendat dan singkat. Rambut panjang keperangan mencecah pinggang beralun
mengikut gerak tubuh lampainya. Lengan lelaki yang dikejarnya tadi segera
dicapai, ditarik kuat supaya mengadapnya. Lelaki itu jelas sekali terkejut.
“Han?! What the...”
“How could you Am?! You memang sengaja
mengelak dari I, kan?!” Marah Hana dengan rasa geram yang tidak terkira. Suara
yang serak basah itu bergema di ruang parkir bawah tanah. Ammar gelabah.
Matanya melingas ke merata tempat. Risau kalau ada mata asing yang menonton
drama sebabak mereka.
“I dah cakap dengan you Han..., I tak
mahu teruskan lagi. I dah tak mahu! You tak faham bahasa ke..?!” Ammar merentap
kembali tangannya. Dia juga menjarakkan kedudukan antara mereka.
Hana menangis tidak keruan. Tidak kisah
lagi di mana mereka berada. “But we love each other..! You sendiri cakap macam
tu dulu dengan I...”
“Dulu, Han! Dulu tapi sekarang tak lagi.
I dah bosan! Bukan saja bosan tapi I dah serik. I nak bertaubat...”
“You nak tinggalkan I macam tu saja
lepas apa yang I dah buat untuk you..!”
“I tak pernah mintak pun you buat semua
ni! You sendiri yang rela, I tak pernah paksa. Jadi.., jangan salahkan I!” Jelas
sekali Hana tertampar dengan kata-kata Ammar. Dia hampir-hampir jatuh terduduk.
“I tak pernah paksa you Han.” Suara Ammar sedikit mengendur.
“Tapi, I buat semua ni untuk you tanda
cinta I pada you” Hana kembali teresak. Mekap pada wajahnya mulai luntur dan
sememeh.
“You terlalu ikutkan nafsu, Han...”
Hana ketawa sinis. Cukup jengkel dengan
kata-kata itu. “Macamlah you tak..?!!” Dia menengking geram. Suaranya bertukar
nada.
“I mengaku. Dulu, I memang hanyut tapi
sekarang I dah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Dan I harap you pun
akan kembali ke...”
“Go to hell dengan pangkal jalan you
tu..!! I dah banyak berkorban demi you tapi ini yang you balas. Sampai hati
you, Am..!!” Hana membentak marah. Wajah cerah yang bersolek tipis bertukar
warna. Merah tanda dia menahan geram yang tidak terkira. Namun, rasa marah itu
hilang sedikit demi sedikit apabila terlihat riak serba-salah teman lelakinya.
“Kenapa you berubah Am..? Apa yang kurangnya pada I?”
Ammar merengus lemas. “You sendiri tahu
apa yang kurang tentang diri you, kan?”
Hana tersentak. Tangannya menggigil mengepal
penumbuk. “I akan sempurnakan kekurangan tu. You janji akan teman I ke Thailand
untuk buat surgery tu. You sendiri janji..!”
“I tahu, Han! I ingat! Tapi, itu sebelum
I sedar akan sesuatu. Perubahan tu takkan ubah siapa diri you yang sebenar,
Han. You and I sendiri tahu kekurangan tu takkan hilang walau apa pun cara yang
kita cuba. Jadi.., ada baiknya kita lupakan saja sebelum semuanya betul-betul
terlambat.”
Hana menggeleng-geleng, tidak percaya
dengan kata-kata lelaki itu. Air matanya terus menerus mengalir turun tanpa
henti. Tanda hatinya terluka teruk.
“Kenapa?! Tolong beritahu I, Am..!
Kenapa you berubah sampai macam nih..?!!” Rintih Hana dalam sendu.
Ammar bernafas lembut. “I... I dah jatuh
cinta. I jatuh cinta dengan seorang gadis yang cukup sempurna sifatnya, Han.
Lebih sempurna dari apa yang I pernah lihat pada diri you. Dia buat I sedar
tentang perbuatan kita selama ni. Dia yang buat I insaf.”
Hana tidak mampu menampung tubuhnya
lagi. Dia jatuh terjelupuk jua. Perkara yang cukup ditakutinya telah pun
berlaku. Dia cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang wanita yang sempurna.
Beribu ringgit dia habiskan pada pakaian dan mekap termasuklah barang perhiasan
wanita semata-mata ingin kelihatan seperti wanita. Malah, dia sanggup menelan
segala jenis cercaan, kutukan dan kejian dari rakan sebaya termasuklah ahli
keluarga sendiri. Malang sekali, segala usahanya ternyata gagal dan tetap tidak
mampu mengikat perasaan Ammar dari jatuh cinta pada perempuan lain.
“I boleh hilangkan kekurangan tu, Am.
Percayalah! Beri I masa dan I janji you sendiri akan terkejut dengan perubahan
terbaru I nanti.” Hana masih tidak berhenti memujuk. Kali ini, dia mencengkam
seluar jean Ammar.
“I takut you sendiri yang terkejut
dengan perubahan yang berlaku pada diri you..!” Ammar menengking. Dia hilang
sabar untuk menyedarkan Han. Walaupun dia hampir terpujuk sebentar tadi. Tetapi
mengingatkan kembali gadis yang telah mencuri hati lelakinya, dia kembali tegas
dan keras. Dia tidak mahu mengotorkan hidup barunya dengan dosa silam. Dan
kalau boleh, dia mahu Han mengikut jejak langkahnya.
“Bertaubatlah Han. Masih ada peluang
untuk you pulang ke pangkal jalan...”
“I dah tak ada sesiapa lagi selain you.
I cuma ada you, Am.” Hana semakin hilang arah apabila Ammar seakan tidak
termakan pujukannya.
“You masih ada keluarga, Han. Baliklah
kepada mereka. I jamin mereka akan terima you kembali. You anak lelaki
kesayangan mereka. Mereka pasti akan bantu you untuk kembali kepada Farhan yang
dulu.”
Habis berkata-kata, Ammar mengorak
langkah meninggalkan Hana yang sudah meraung bagaikan diserang histeria.
Langsung tidak memandang ke belakang tanda dia sudah bertekad untuk berubah
sepenuhnya.
“Bangsat!!! Jantan tak guna..!!!” Hana
menjerit geram. Derap kasutnya bergema kuat dan lantang. Tanda rasa geram masih
menggunung. Hatinya masih sakit selepas ditinggalkan kekasih hati yang
dicintainya sejak zaman sekolah lagi. Sampai hati Ammar..! Hana merintih lagi.
Air matanya mengalir tanpa sedar.
Dalam Hana ralit melayan perasaan
sendiri, seseorang mengekori langkahnya. Sekelip mata, tubuh lampai Hana
disambar dan dipeluk dari belakang. Hana menjerit kerana terlalu terkejut.
Lebih terkejut melihat sebilah pisau terhunus di lehernya.
“Diam..!!” sergah suara kasar milik si
penyamun. Tubuh Hana ditolak rapat ke dinding. Tidak mampu melawan kerana skirt
sendatnya. Hana menggigil ketakutan. Kelu lidahnya untuk terus menjerit.
“You nak apa..? Tolonglah.., jangan
apa-apakan I..!” Hana merayu dengan suara tergagap dan terketar.
“Diamlah..!!” Si penyamun menolak Hana
sekali lagi hingga terjelopok ke lantai. Hana menangis kesakitan. Beg tangan
milik Hana dirampas dan diselongkar. Dia tersenyum puas selepas menjumpai
dompet dan telefon bimbit milik mangsanya.
“Kaya aku kali ni..!!” Si penyamun
bersorak riang selepas terlihat sejumlah wang di dalam dompet milik Hana. Beg
tangan dicampak ke tepi. Kali ini, matanya tertacap pada Hana pula. Lirik mata
si penyamun bersinar dengan renungan berahi. Hana makin kalut.
“You dah dapat apa yang nak! Tolong..,
jangan apa-apakan I..!!” Hana merayu lagi. Air matanya tidak berhenti mengalir.
Dia takut untuk melawan memandangkan pisau tajam masih dipegang kejap si
penyamun.
“Rugilah kalau aku lepaskan ‘pencuci
mulut’ macam kau..! Alang-alang dah dapat...” Si penyamun menerkam tubuh Hana
yang masih terduduk di lantai. Blaus Hana ditarik dan dikoyak rakus. Hana
menjerit dan mengelupur tanpa sedar. Terkejut si penyamun apabila terkena
penampar dan tumbukan yang datang secara membabi buta. Tidak sangka mangsanya
kuat seperti lelaki!
Dalam keghairahan, kepala si penyamun
tiba-tiba dihentak sesuatu yang keras. Hana yang terkejut segera menolak kuat
tubuh si penyamun. Si penyamun tergolek ke tepi.
“Abang..,
cepat tangkap penyangak tak guna nih..!!” Jerit satu suara halus dalam
kekalutan. Sesaat kemudian, muncul dua pengawal bercota memegang kejap si
penyamun yang cuba melarikan diri. Si penyamun dibawa pergi. Sempat pulak salah
seorang pengawal itu mengucapkan tahniah. Si gadis tersengih lalu mengucap
syukur. Tidak sangka dia seberani itu berlawan dengan seorang penyamun. Rasa
gembira dan leganya hilang apabila terdengar bunyi esakan seseorang.
“Akak, akak okey..?” Tanya Assyifa kalut
sambil membuka jaketnya. Kasihan betul melihat keadaan wanita itu. Pakaiannya
koyak-rabak malah, kulit mulus itu luka berdarah. Jaketnya disarungkan ke tubuh
Hana, menutup kulit yang terdedah. Mata si gadis tercuri pandang sesuatu yang
membuatkan akalnya berpusing. Takkanlah...
“Terima kasih, dik.” Hana bersuara dalam
kepayahan. Dia tidak mendongak untuk melihat wajah gadis itu kerana terlalu
malu dengan apa yang terjadi. Malu dengan gadis di hadapannya dan dua pengawal
tadi.
“Akak boleh bangun..?” Tanya Assyifa
lagi. Rasa cuak dan sangsi tadi hilang apabila terdengar suara lembut tetapi
sedikit serak, milik wanita itu. Dalam segan, dia sempat memeriksa tubuh Hana.
Takut-takut ada luka yang lebih parah mengenangkan pisau yang dihunus si
penyamun keparat sebentar tadi.
“Aduh..! Kaki ni, dah terkehel.” Hana
mengerang sambil memicit pergelangan kakinya. Kasut tumit tingginya hilang
entah ke mana.
“Lengan akak pun luka. Tak apa. Biar
saya tolong. Saya bawa akak ke klinik, ya?” Assyifa segera meletakkan lengan
Hana merintangi bahunya. Tubuh Hana pula dipeluk kejap. Mujurlah saiz tubuhnya
hampir sama dengan Hana. Cuma tubuh wanita itu lebih tinggi dan lampai.
Hana mengikut tanpa bantahan. Dia
berjalan terjungkit-jungkit sambil menahan sakit. Lengannya memeluk kejap bahu
gadis manis itu. Memang manis dan lembut! Sempat Hana mengintai dalam diam.
Matanya melirik pada hidung dan bibir si gadis. Walaupun bahagian mata
terlindung dengan tudung, tetapi cukup untuk menggambarkan rupa gadis itu.
Bunyi penggera kereta mematikan intipan
Hana. Assyifa segera membuka pintu keretanya dan dengan penuh berhati-hati
mendudukkan Hana di tempat duduk sebelah pemandu. Saat itu juga, terasa pipinya
bergesel dengan pipi Hana. Entah kenapa, darah Assyifa berderau semacam. Saat
itu juga, matanya bertembung dengan mata Hana. Kali ini, jantungnya pula
meragam. Pelik sungguh! Agak lama pandangannya tertaut sebelum terlerai dengan
dehaman lembut datang dari Hana.
Assyifa jadi malu tidak menentu. Gila
betul! Tanpa berlengah, dia masuk ke dalam kereta dan memandu pergi.
“You nak bawa I ke mana..?” Lembut Hana
bertanya.
“Erm, ke klinik. Sebaiknya kita rawat
dulu luka akak tu. Takut terjangkit kuman. Luka kat lengan akak tu nampak
teruk. Lepas ni, akak pergilah ke balai polis buat report, ya..?” Panjang lebar
penerangan Assyifa. Hana hanya diam tidak terkutik. Assyifa sekali-sekala
mencuri lihat reaksi Hana. “Nama saya Assyifa.” Ringan mulutnya memperkenalkan
diri.
“Hana.” Ringkas saja jawapan Hana.
Assyifa mengangguk faham. Mereka diam sejenak. “Thanks, sebab tolong I tadi.”
Assyifa tersenyum senang. “Tak ada hal.
Tak salah rasanya membantu sesama kaum.”
Mendengar kata-kata itu, Hana mencebik
meluat tanpa sedar. Aku bukan kaum kaulah, bodoh!! Jerit hati Hana. Seketika
kemudian, dia tertawa sinis. Memang bodoh perempuan nih, langsung tak boleh
nampak perbezaan pada diri aku. Tapi, kenapa Am tak macam dia..? Aku memang dah
cukup sempurna sampai perempuan ni pun tak sedar yang aku ni lelaki. Kenapa Am,
kenapa..?!
Dalam tidak sedar, Hana kembali teresak.
Assyifa yang sekali-sekala memerhati kelakuan Hana kalut. Takut Hana menahan
sakit akibat luka tadi. Segera dia menekan pedal minyak. Kereta Honda Civicnya
meluncur laju.
“Ayah chu! Ayah chu!!” Assyifa
menjerit-jerit di hadapan kaunter klinik milik bapa saudaranya apabila Kak Ja
tidak berada di tempatnya.
“Ya.., ya..! Ayah chu datang ni..!”
Muncul seorang lelaki bercermin mata di pintu. Kalut dia memakai jubah
putihnya. “Kenapa Syifa..?” Wajahnya bertukar riak apabila melihat anak buahnya
memimpin seorang wanita.
“Tolong Syifa, ayah chu. Kawan Syifa
cedera kena rompak. Lengan dia terluka.” Terang Assyifa lancar.
Tanpa berlengah, Hanafi masuk ke dalam
semula dan membuka pintu bilik rawatan. Assyifa yang setia memapah Hana segera
memimpin Hana ke katil. Hana hanya mengikut dan setia diam membisu. Hanafi memakai
sarung tangan getah. Lengan jaket yang bertompok dengan darah, diselak lembut.
Luka itu dirawat dengan cermat. Selepas beberapa minit, tugas merawat selesai.
Tersenyum Assyifa melihat cara pak sunya menjalankan tugas. Cepat dan cermat.
“Erm, cik rehat dulu. Kejap lagi saya datang.”
Kata Hanafi sambil menanggalkan sarung tangannya. Wajahnya bertukar keruh
semacam.
“Thanks, doktor.” Ucap Hana dengan
senyuman manis. Malangnya, langsung tidak dibalas doktor kacak itu. Sombongnya!
Hana mencebik dalam hati.
“Syifa.., ikut ayah chu kejap.”
“Okey!” Ceria saja suara gadis itu.
Mereka berjalan keluar. Hana memandang tajam kelakuan Assyifa. Masih dengan
pandangan jengkel dan menyampahnya.
------------BAB 2------------
“Macam mana Syifa boleh kenal dia tu..?”
Agak keras nada Hanafi bertanya. Kening Assyifa terjungkit.
“Kan Syifa cakap tadi. Akak tu kena
samun, lepas tu penyamun tak guna tu cuba nak perkosa dia. Mujurlah Syifa
dengar dia menjerit dan sempat panggil pengawal yang kebetulan bertugas dekat
situ. Kesian dia, ayah chu. Kalau Syifa tak lalu kat situ, entah apalah yang
jadi. Kalau orang lain, tak tahulah nak ditolong ke tidak.”
Hanafi melepaskan nafas yang berat.
“Kalau Syifa tak tolong dia pun tak apa, Syifa.”
“Ayah chu..! Tak baik cakap macam tu!”
Suara Assyifa melantun tinggi. Secara spontan sebenarnya. Wajah comelnya bertukar
geram dan marah. Pinggangnya dicekak. “Tergamak ayah chu cakap macam tu! Kalau
benda yang sama jadi pada Syifa, baru ayah chu tau!”
Hanafi menggaru kepala. Tersilap cakap
pulak dia! “Ayah chu bukan maksud macam tu.., cuma Syifa tak perasan ke..?”
“Perasan apa..?!” Suara Assyifa masih
menegang. Hanafi mengeluh.
“Perempuan tu, sebenarnya lelaki!”
Hanafi berbisik di hujung ayatnya.
“Hah..?!!” Serentak Assyifa menekup
mulut. Matanya terbeliak. “Tapi, takkanlah! Tak mungkin! Rupa dia, suara dia,
memang perempuanlah.”
“Ayah chu pun tertipu jugak pada awalnya
tapi.., lepas ayah chu rawat dia tadi baru ayah chu perasan.”
“Perasan apa..?!” Tanya Assyifa laju.
“Ayah chu baru perasan kewujudan biji
halkum dekat kerongkong dia tu. Memang tak jelas sebab tertutup dengan kolar
jaket Syifa.”
Mendengar pengakuan mengejut itu,
Assyifa jatuh terduduk di atas sofa. Terlalu terkejut tidak terkata. Tidak
sangka dia telah menolong seorang lelaki yang hampir dirogol lelaki lain. Malah,
dia juga memeluk seorang lelaki dan membenarkan lelaki itu memeluk tubuhnya
sebentar tadi. Ya ALLAH!!
Hanafi segera menghampiri anak buahnya.
Pelik dan takut melihat wajah kuning langsat Assyifa bertukar pucat. “Syifa..,
kenapa ni..?!”
“Ayah chu, tadi... masa tu Syifa dah
perasan tapi Syifa tak ambik serius sebab suara dia lembut macam perempuan.
Syifa pun pegang dia.. tak berlapik. Syifa jugak biar dia peluk Syifa. Syifa
tak tahu...” Suara Assyifa terketar-ketar. Malah, tangannya juga menggigil. Ternyata
telahannya di awal pertemuan dengan Hana sememangnya tepat dan betul. Hana
memang seorang lelaki!
“Tenang, Syifa. Syifa tak bersalah.
Syifa tak berdosa sebab keadaan yang mendesak.”
“Syifa tak sengaja...” Syifa teresak
tanpa sedar. Hanafi tersenyum sembunyi. Anak buahnya yang seorang ini memang
sensitif dan agak bendul dalam bab-bab dosa dan pahala. Tidak hairanlah kalau
reaksinya nampak sedikit 'over'.
“Syifa sendiri cakap Syifa tak sengaja,
kan? Rasanya ALLAH takkan ambil kira perbuatan Syifa sebagai satu dosa. Jadi,
jangan risau. Situasi Syifa berbeza dari perbuatan yang disengajakan. Kalau
Syifa tak puas hati jugak, balik nanti Syifa sembahyang taubat. Minta
diampunkan.”
Assyifa berhenti menangis. Dia
mengangguk sambil mengesat kedua belah pipi. Hanafi tersenyum lega. Ada sinar
ceria di wajah itu.
Suasana di dalam kereta sunyi sepi.
Radio yang terpasang seakan tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Hana mengeluh
kasar. Bosan. Mereka terperangkap dalam trafik memandangkan waktu puncak orang
ramai pulang dari tempat kerja. Dia memandang ke sebelah. Bibirnya mencebik
meluat. Gadis itu nampak tenang dan begitu fokus dengan pemanduannya.
Pelik! Itulah yang dia rasa dengan sikap
Assyifa. Pada awal pertemuan, gadis itu nampak ceria dan ramah. Tetapi
sekarang, Assyifa berubah kepada pendiam dan mudah menggelabah apabila
bertentang mata dengannya. Malahan, gadis itu langsung tidak memimpinnya untuk
naik ke kereta. Doktor tadi juga sama. Bapa saudara Assyifa seakan tidak
membenarkan gadis itu menghantarnya pulang malah doktor itu sendiri menawarkan
diri. Malangnya, terpaksa dibatalkan niat tersebut kerana ada pesakit. Dari
situ, dia mula syak ada sesuatu yang tidak kena.
Hana tersenyum jahat apabila otaknya
merangka satu niat. Dia berdeham sambil membetulkan duduknya. Sesaat kemudian,
matanya tertarah pada wajah comel Assyifa.
“Cantik betul kulit you. You pakai
produk apa ya..?” Serentak, Hana mengusap pipi kiri Assyifa. Spontan juga,
gadis itu menjerit terkejut. “Kenapa..?!” Hana pura-pura terkejut walhal
hatinya ketawa lucu. Memang tepat jangkaannya, gadis itu tahu identiti
sebenarnya.
“Tak.. tak ada apa-apa.” Jawab Assyifa
gugup. Pipinya digosok kasar. Wajah cerah itu bertukar warna. Hana masih
menahan tawa. Kali ini, matanya melekat pula pada tangan Assyifa yang sentiasa
menggenggam kepala gear.
“I ucapkan terima kasih sangat-sangat
sebab you tolong I tadi.” Hana menggenggam erat tangan Assyifa sedangkan gadis
itu cuba sedaya-upaya menarik. “I akan ingat jasa you sampai mati!” Hana
mengelus-elus tangan Assyifa sambil menahan gelak yang cukup hebat ledakannya.
Rasakan perempuan!!
Hana hanya melepaskan tangan Assyifa
apabila perasan mata gadis itu merah dan berair. Hilang sekejap perangai
nakalnya tadi. Ada juga rasa kasihan dalam dirinya.
“You tak nak tolong hantarkan I ke..?”
Tanya Hana sebaik saja kereta berhenti di hadapan lif. Soalan Hana hanya
dijawab dengan gelengan. Hana mendengus geram. Dia kembali terkilan dan geram
dengan sikap Assyifa. “Takkanlah you nak biar I jalan sorang-sorang dengan kaki
berbalut macam nih! Nanti tak pasal-pasal dari terkehel saja terus patah. You
nak bertanggungjawab..?!”
Assyifa terpinga-pinga dihentam suara
nyaring Hana. Dia betul-betul gelabah. Dalam serba-salah dan takut, dia keluar
dan memimpin Hana naik ke kondo milik Hana yang berada di tingkat 9. Sepanjang
perjalanan, Hana tidak sudah-sudah mengenakan Assyifa. Tangannya tidak berhenti
menyentuh dan meraba tubuh kurus Assyifa. Hatinya ketawa berdekah-dekah setiap
kali melihat tindakbalas Assyifa. Geli sangatlah..!! Kau tunggu nasib kau
nanti! Hatinya mengejek.
Sampai di hadapan rumah, Assyifa segera
melepaskan tubuh Hana. Dia ingin segera beredar dan menangis semahunya. Dia
berasa dirinya dicabul berkali-kali. Hatinya merintih malu. Malu dengan
Tuhannya.
“Masuklah dulu. I buatkan you minuman
tanda terima kasih I untuk you.” Hana tersenyum manis. Assyifa menggeleng laju.
Dia membuka langkah untuk pergi. Entah kenapa, Hana naik berang. Geram dengan
penolakan Assyifa. Dia berpura-pura jatuh kemudian menjerit kesakitan.
Assyifa yang berada tidak jauh dari situ
segera berhenti dan menoleh. Terkejut melihat Hana terduduk di hadapan pintu
pagar sambil mengerang kesakitan. Hati berbolak-balik untuk menolong.
Disebabkan rasa simpati, dia berpatah balik. Dia segera membuka pintu pagar dan
memapah Hana masuk ke dalam rumah. Hana yang cukup gembira tidak terkata segera
meminta Assyifa membawanya ke dapur. Ada rancangan lagi yang belum terlaksana.
Jika apa-apa berlaku nanti, tidaklah mengganggu teman serumahnya.
“You duduklah. I buatkan air untuk you.”
Hana tersenyum suka lalu menuang air panas yang baru dimasak menggunakan jug
elektrik ke dalam mug. Assyifa panas punggung. Tidak betah lagi untuk dia terus
menunggu. Dia mahu segera pulang. Apabila dia ingin bersuara meminta diri,
tangannya digenggam kejap dan tubuhnya dipeluk erat. Assyifa menjerit nyaring.
“I ucapkan terima kasih sebab tolong I
tadi.” Hana mengeratkan pelukannya apabila Assyifa meronta. Malah, sengaja
dielus-elus belakang tubuh Assyifa.
Air mata yang ditahan sejak dari awal
lagi turun tanpa henti. Assyifa meronta dan menolak tubuh Hana sekuat hatinya
namun tidak berdaya. Lengan yang melilit tubuhnya dirasakan terlalu kuat.
“I gembira dapat berjumpa dengan you.
Betul cakap you, tak salah kita tolong kaum sendiri.”
“Tak!! Tak!! Awak bukan perempuan. Bukan
perempuan tapi lelaki. Lepaskan saya..!!” Assyifa menjerit sekuat hatinya.
Tanpa sedar, tubuhnya dilepaskan dan serentak penampar jantan melekat di pipi
gebunya. Assyifa jatuh terjelupuk ke lantai. Pandangannya berpinar. Pipinya pedih.
Belum pernah sesiapa menampar wajahnya sebelum ini.
“Perempuan bangsat..! Berani kau panggil
aku macam tu..! Kau ingat kau bagus sangat ke, hah..?!!” Hana meludah wajah
Assyifa malah tubuh kurus itu dipukul dan ditendang beberapa kali. Tudung
Assyifa diragut dan dikoyak. Akal Hana dirasuk syaitan apabila terkenangkan
Ammar yang sanggup berpaling kasih demi seorang perempuan.
“Mentang-mentanglah kau dilahirkan
perempuan, bolehlah kau berlagak! Hei.., aku tak heranlah..!! Aku lebih cantik
dari kau, aku lebih hebat dari kaum yang kau banggakan tu..!”
Hana menerpa ke arah Assyifa. Ingin
ditarik rambut panjang itu tetapi Assyifa lebih pantas bertindak. Kelangkang
Hana ditendang kuat. Hana terjerit kesakitan. Bahagian sulitnya terasa sakit
yang amat sangat. Dalam kesakitan itu juga, tangannya tersentuh mug tadi.
Dengan akal yang menggila, mug diambil lalu disimbah ke arah Assyifa yang
kebetulan cuba bangun. tidak cukup itu, Hana turut menyambar jug elektrik tadi
lalu disimbah lagi.
Assyifa menjerit sekali lagi dan
mengelupur sakan apabila air panas menyentuh kulit wajahnya. Dia meraung dengan
tapak tangan menekup kulit yang bertukar merah seperti udang yang dipanggang.
Dengan kekuatan yang masih bersisa, Assyifa bangun dan berlari keluar.
“Padan muka kau!! Biar muka kau cacat.
Tak ada lelaki yang akan kahwin dengan perempuan hodoh macam kau..!!” Jerit
Hana lantang. Dalam terbongkok-bongkok menahan sakit dia masih mampu ketawa
puas. Puas sungguh hatinya melihat kesakitan yang dirasai gadis itu. Puas..!!!!
Assyifa tercungap-cungap menahan sakit.
Tangan kanan setia menekup mata kanan. Pedih. Matanya pedih dan sakit. Begitu
juga kulit dan tubuhnya. Hanya itu yang dirasainya saat ini. Konsentrasi
pemanduannya sekali-sekala terganggu apabila rasa pedih menyengat. Bibir yang
lebam pula tidak putus-putus berdoa supaya dia cepat sampai ke hospital
berdekatan. Dalam sekelip mata saja, pandangannya bertukar gelap. Keretanya
meluncur laju lalu melanggar sebatang pokok. Kepala Assyifa terhentak kuat pada
stereng kereta.